Selasa, 12 Jun 2012

Guru dari Sabah, Sarawak tertekan isu elaun

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/06/12

KESATUAN Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Jawatankuasa Bersama, Persatuan Guru Sabah dan Sarawak menggesa pihak pengurusan sekolah menyelesaikan segera isu guru dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung gagal menikmati pelbagai imbuhan.

Segelintir guru terbabit mendakwa mereka masih belum dibayar elaun ditetapkan Kementerian Pelajaran yang didakwa berpunca kegagalan pembantu tadbir sekolah menjalankan tugas dengan dedikasi.
Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata guru terutama yang berkhidmat di bandar gagal menikmati kemudahan seperti Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Elaun Perpindahan Wilayah (EPW) dan Elaun Sara Hidup (COLA), tertekan berikutan kos sara hidup yang tinggi.
Seorang guru mendakwa secara sinis seorang ketua kerani di sekolah tempatnya bertugas menyindir beberapa guru dari Sabah dan Sarawak dengan membangkitkan sentimen orang Borneo yang berkhidmat di Malaysia tidak seharusnya meminta yang bukan-bukan.
Katanya, keadaan ini dikhuatiri menyebabkan mereka gagal menumpukan perhatian kepada amanah mendidik yang dengan sendirinya menjejaskan prestasi akademik sekolah terbabit.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak sekolah mengambil tindakan segera membela nasib pendidik termasuk memastikan kerani atau pembantu tadbir menunaikan amanah mengurus dokumen kepada pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dengan segera.

“Kerani di sekolah asal guru berkenaan juga hendaklah melengkapkan dokumen mengenai pendidik terbabit bagi memudahkan sekolah baru mereka menguruskan penyaluran kemudahan elaun berkenaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Baru-baru ini, akhbar ini menyiarkan mengenai ada guru dari Sabah dan Sarawak yang berpindah ke Semenanjung gagal menikmati pelbagai kemudahan elaun iaitu elaun gangguan, ITP, EPW dan COLA selepas lebih setahun bertukar.
Elaun Gangguan sepatutnya dinikmati pada tempoh tiga bulan selepas berpindah, namun belum dinikmati pada tempoh setahun enam bulan serta lebih malang mereka gagal menikmati kemudahan lain termasuk bonus tahunan.

Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana menjadi tanggungjawab pentadbir menguruskan segala urusan berkaitan elaun dengan kadar segera dengan mengetepikan sentimen kenegerian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bersama, Persatuan-Persatuan Guru Sabah dan Sarawak, William Gani Bina, berkata pihaknya mengharapkan sekolah mengambil perhatian serius termasuk memantau tugas kerani yang gagal menjalankan amanah ini.

Katanya, jika kerani gagal menunaikan amanah, Pengetua dan Guru Besar hendaklah bertindak membela guru terbabit dengan membawa masalah mereka kepada pengetahuan pihak PPD dengan segera.

Seorang guru mendakwa secara sinis seorang ketua kerani di sekolah tempatnya bertugas menyindir beberapa guru dari Sabah dan Sarawak dengan membangkitkan sentimen orang Borneo yang berkhidmat di Malaysia tidak seharusnya meminta yang bukan-bukan.

“Negara kita sudah 55 tahun merdeka tahun ini, ibarat seorang penjawat awam yang berada di ambang persaraan, namun masih ada rakyat negara ini yang kolot dan bersikap kenegerian,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

Berita Harian Online: 12 Jun 2012

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kepada guru dari sabah dan sarawak, sebenarnya masaalah ini hanya dialami segelintir guru guru sahaja tidak semua. adalah lebih berkesan untuk berurusan sendiri daripada berharap kepada pentadbiran sekolah. bukanlah mudah nak mengajuhkan permohonan demi permohonan ke segala macam jabatan belum masuk lagi masa yang diperlukan untuk menerima jawapan dari pehak tertentu tersebut. guru tersebut haruslah melakukan tindakan susulan persendirian. kerana kunci kepada permohonan tersebut adalah pengalaman guru itu sendiri terutama dalam soal pentadbiran. luankan masa untuk R&D atau mintalah bantuan daripada orang yang tahu serba sedikit dalam perkara ini. insyaALLAH berkhat sedikit tuah semuanya akan berhasil.