Jumaat, 8 Jun 2012

Polis cari Proton Saga guru parah disamun

08/06/2012 7:56pm

PETALING JAYA — Polis kini mencari kereta Proton Saga milik guru wanita, yang diculik dan koma, setelah mangsa disamun oleh penjenayah dan ditinggalkan di ladang kelapa sawit di Kuala Selangor Rabu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata, polis sedang mencari kenderaan Proton Saga itu yang dilarikan penjenayah itu.
Beliau berkata, siasatan awal polis juga mendapati guru itu telah disamun sebelum dipukul dengan teruk sehingga menyebabkan mangsa kini koma dan dirawat di Hospital Sungai Buloh, dekat sini.
"Polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki mengenai guru itu yang ditemui dalam keadaan cedera teruk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai kehilangan guru itu, 51, oleh suaminya setelah beliau keluar dari rumahnya di Kinrara, Puchong pada Rabu lepas.
Guru itu ditemui pada hari yang sama dengan keadaan cedera teruk di bahagian muka sehingga sukar untuk suaminya mengecam mangsa.
Mohd. Adnan berkata, siasatan awal mendapati wanita itu telah keluar awal untuk berjoging sebelum dilarikan penjenayah.
"Polis kini menyiasat kes itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera ketika menyamun,” katanya. — BERNAMA

Kosmo Online: 8 Jun 2012

Tiada ulasan: