Isnin, 15 Mac 2010

Guru SK Balar bersemangat mengajar di pedalaman

Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my
2010/03/15


RAMAI guru dikatakan enggan bertugas di luar bandar dan pedalaman termasuk di penempatan Orang Asli. Bayangkan, untuk ke pekan terdekat mengambil masa berjam-jam. Namun, ramai lagi guru sanggup menerima cabaran berkhidmat di pedalaman meskipun serba kekurangan dari segi kemudahan prasarana.

Itulah pengalaman guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar yang perlu meredah hampir empat jam perjalanan sejauh 90 kilometer dari Bandar Gua Musang menuju ke sekolah paling terpencil di pedalaman Kelantan itu untuk sampai ke Pos Balar.

Perjalanan mereka merentasi tiga batang sungai, jalan berdebu ketika panas dan laluan licin berbahaya ketika musim hujan tentunya mencabar ketabahan mana-mana individu yang diarah menuju ke lokasi itu. Ada 15 guru berkhidmat di SK Balar demi menabur bakti kepada 315 murid terdiri daripada anak masyarakat Orang Asli suku Temiar. Semua guru itu tinggal di asrama yang disediakan dalam kawasan sekolah. Rutin harian mereka selain mengajar sepanjang waktu persekolahan ialah sebelah petang diisikan dengan kegiatan sukan bersama murid yang tinggal di asrama. Sebelah malam, generator yang menjadi sumber elektrik dimatikan kira-kira jam 11. Hujung minggu, ada antara guru mengambil kesempatan pulang melawat keluarga masing-masing menaiki motosikal untuk keluar dari Pos Balar ke Gua Musang yang mengambil masa hampir empat jam.

Mereka lebih gemar menunggang motosikal bagi mengurangkan kos kerana jika menggunakan khidmat kenderaan pacuan empat roda yang disewa untuk perjalanan pergi balik, tambang yang perlu dibayar mencecah RM1,000.

Guru Pendidikan Seni, Bahasa Malaysia dan Pendidikan Islam, Zaidi Ghani, 38, berkata berbeza sesetengah guru yang mungkin mengelak mengajar di pedalaman atas pelbagai alasan, beliau lebih bersemangat menggalas tanggungjawab pendidik di situ walaupun terpaksa hidup di lokasi terpencil sekali gus jauh daripada keselesaan di bandar.

Katanya, sepanjang berkhidmat sebagai guru sekolah itu, banyak pengalaman ditempuhi semata-mata mahu menabur bakti demi meningkatkan tahap pendidikan anak Orang Asli sekitar kawasan berkenaan.
“Saya sudah biasa mengajar di pedalaman. Sebelum bertukar ke sini, saya pernah berkhidmat di sekolah yang majoritinya kaum Iban di Sarawak. Ini menjadikan saya biasa dengan pedalaman. Di SK Balar ini, bukan sedikit cabaran perlu dihadapi namun saya menganggapnya lumrah kehidupan setiap guru.

“Paling ketara di sini ialah aspek bahasa. Sebab itu saya cuba mempelajari serba sedikit bahasa Orang Asli bagi mewujudkan kemesraan antara guru dan murid. Sepanjang berkhidmat di sini, antara cabaran lain terpaksa ditempuh ialah faktor pengangkutan dan perhubungan.

“Biasanya kalau mahu ke bandar, saya lebih suka menunggang motosikal kerana lebih mudah dan menjimatkan masa perjalanan sehingga hampir setengah jam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Mesra Muhibah sempena lawatan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi ke SK Balar, baru-baru ini.

Guru Matematik, Mohd Fadhli Md Diah, 29, berkata sebaik menerima surat tawaran mengajar di SK Balar pada 2008, beliau segera mencari lokasinya dalam peta dan juga internet, malangnya gagal kerana tidak disenaraikan.

“Saya tidak menolak ketika menerima tawaran ini, malah berusaha mencari lokasi sekolah dengan bertanya kepada orang ramai. Namun kebanyakan mereka termasuk masyarakat Gua Musang sendiri tidak tahu di mana sebenarnya sekolah itu.

“Saya tetap tidak patah semangat dan terus mencari di dalam peta dan internet tetapi masih gagal mengesannya. Kemudian saya mengambil keputusan melayari laman web Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan bertanya kepada PPD. Syukurlah sebab mereka dapat membantu saya,” katanya.

Katanya, ramai pelajar di situ lebih gemar menggunakan bahasa mereka sendiri ketika berkomunikasi. Situasi ini menguatkan azamnya untuk turut mempelajari bahasa itu bagi memudahkan beliau bergaul bersama mereka.

“Sebenarnya bukan sesuatu yang sukar untuk mengajar anak Orang Asli kerana mereka juga mempunyai keazaman kuat untuk belajar dan mengubah nasib keluarga.

Saya melihat kesungguhan mereka ini. Disebabkan itu, saya bertekad terus berkhidmat di sekolah ini selagi khidmat saya diperlukan,” katanya.

Guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral, Mazlina Shafie, 32, dari Pasir Puteh, Kelantan, berkata meskipun hatinya agak berat menerima tawaran mengajar di sekolah berkenaan, beliau tidak mempunyai pilihan dan menganggapnya sebagai cabaran bagi guru baru sepertinya.

Mazlina yang mula berkhidmat awal Januari lalu berkata, beliau tidak menyangka sekolah tempat beliau berkhidmat terlalu jauh di pedalaman dan terpaksa melalui jalan balak yang cukup mencabar ketika waktu panas dan hujan.

“Memang saya tidak sangka langsung sekolah itu terlalu jauh meskipun menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan berada di dalam hutan. Pada mulanya memang sukar untuk saya menerimanya, namun kini sudah boleh menyesuaikan diri.

“Tekad saya sekarang ialah untuk membantu murid Orang Asli ini berjaya dalam pelajaran seterusnya mengubah kehidupan keluarga masing-masing pada masa akan datang. Memang bukan mudah untuk menarik minat mereka belajar, namun saya akan terus berusaha sedaya upaya mendekati mereka sebaik mungkin,” katanya.

Berita Harian Online: 15 Mac 2010

Prosedur Pemilihan Guru Cemerlang didakwa tidak telus

2010/03/15

SAYA ingin membangkitkan isu lantikan guru cemerlang tidak telus dan seterusnya menjadikan gelaran Guru Cemerlang adalah tidak menggambarkan kehendak sebenar Kementerian Pelajaran. Janganlah disebabkan ingin memenuhi kuota yang diperuntukkan maka pemilihan diadakan sambil lewa dan ia akan menjejaskan peluang guru lain.

Sebagai contoh, guru yang tidak menunjukkan kecemerlangan dari segi keputusan peperiksaan pelajar, tiada pembabitan ke peringkat antarabangsa, tiada penghasilan bahan penulisan seperti modul tetapi hanya lebih banyak menjalankan kerja yang bukan berkaitan dengan subjek serta bidang tugas dan hanya disokong oleh pengetua tanpa sebarang pemantauan layak dicalonkan sebagai Guru Cemerlang.

Jadi, apakah kriteria sebenar yang diperlukan oleh guru untuk memegang gelaran Guru Cemerlang?

GURU KELIRU,
Pahang.


Berita Harian Online: 15 Mac 2010

Agenda pendidikan

Oleh Noor Azlina Zainudin
azlina@nstp.com.my
2010/03/15

Sisipan Didik, Minda, SKOR bahan bantu mengajar berkesan

PENGGUNAAN akhbar sebagai bahan bantu mengajar adalah alternatif terbaik kepada bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) sedia ada kerana mengandungi pelbagai jenis bahan bacaan serta gambar yang boleh dimanipulasikan sebagai bahan pengajaran berkesan.

Guru Cemerlang Bahasa Melayu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selayang Baru, Nooraziah Abdullah, berkata akhbar memaparkan pelbagai jenis bahan seperti gambar, berita dan rencana terkini yang boleh disesuaikan dengan topik yang hendak diajar serta sesuai dengan kemampuan pelajar. “Sebagai contoh, guru boleh meminta pelajar yang cemerlang membuat ringkasan karangan atau mengenal pasti maklumat penting daripada artikel atau berita yang disiarkan selain membuat karangan berdasarkan maklumat dalam iklan.

“Sebaliknya bagi pelajar yang lemah, mereka boleh diminta membina ayat daripada gambar atau iklan yang tersiar dalam akhbar sebagai latihan berpandu selain mewujudkan suasana belajar yang menyeronokkan kerana mereka boleh berbincang dalam kumpulan,” katanya ketika ditemui selepas Bengkel Akhbar Dalam Darjah (ADD) Peringkat Selangor anjuran Berita Harian di Balai Berita, minggu lalu.

Bengkel dirasmikan Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Selangor, Hasnul Hadi Abdullah Sani. Hadir sama Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Berhad, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengarang Pendidikan Berita Harian, Zainor Said.

Seramai 66 guru dari kira-kira 30 sekolah sekitar daerah Petaling, Gombak dan Hulu Langat menyertai bengkel bertujuan mendedahkan mereka cara memanfaatkan bahan siaran akhbar Berita Harian, khususnya sisipan Didik, Minda dan SKOR sebagai bahan bantu mengajar.
Justeru, katanya, penggunaan akhbar dalam kelas sangat bagus sebab ia meliputi pelbagai aspek termasuk aktiviti hands on yang tidak membosankan seperti gunting dan tampal, interaksi sesama rakan sekumpulan, mempelajari cara membina struktur ayat yang betul selain menambah pengetahuan am.

Terdahulu, Mior Kamarul dalam ucapannya, berkata Berita Harian memang meletakkan agenda pendidikan sebagai antara fokus utama untuk memberi ilmu dan maklumat kepada semua golongan termasuk guru dan pelajar.

Tambahan pula, katanya, penggunaan akhbar sebagai salah satu medium pembelajaran berasaskan konsep ADD yang diperkenalkan Berita Harian sejak 1985 ternyata sangat relevan kerana pengisian akhbar sentiasa seiring dengan perkembangan semasa selain ditapis supaya hanya berita bermanfaat disiarkan untuk santapan pembaca.

“Walaupun pelajar mempunyai saluran lain termasuk menerusi internet untuk memperoleh ilmu dan pengetahuan am terkini, kandungan akhbar masih dianggap terbaik kerana telah melalui proses tapisan supaya hanya berita terbaik disajikan setiap hari.

“Berita dan isu semasa yang dipaparkan boleh dijadikan bahan bantu mengajar dalam kelas untuk mengelakkan pelajar berasa bosan selain menarik minat mereka untuk membaca pelbagai bahan bacaan, bermula dengan membaca surat khabar setiap hari,” katanya.

Berita Harian Online: 15 Mac 2010

Ahad, 14 Mac 2010

Laporan Khas: Pelajar lalui tapisan ketat

PELAJAR yang berminat meneruskan pengajian di dalam tahanan penjara perlu melalui tapisan ketat sebelum diluluskan termasuk rekod latar belakang pendidikan awal, had umur serta keupayaan mereka untuk mengikuti kelas akademik.

Guru Penyelia Sekolah Integriti Kajang, Suriah Awang Chik, berkata pengurusan sekolah dan penjara juga perlu melihat kepada minat banduan, kemampuan mereka serta tempoh hukuman sama ada sempat menghabiskan pengajian atau tidak.

“Cabaran sebenarnya lebih kepada pengurusan sekolah kerana terpaksa membuat keputusan tepat dan teliti. Bukan senang nak memilih yang berkelayakan, kena kaji sempat ke mereka nak habiskan pengajian, apa akan jadi kalau mereka dipindahkan ke blok tahanan dewasa. “Mereka cukup bertuah kerana mendapat peluang kedua dalam hidup. Memang suasananya berbeza berbanding belajar universiti lain yang mempunyai kebebasan penuh, tiada sekatan maklumat dan pergerakan, tetapi sekurang-kurangnya berpeluang,” katanya.

Berdasarkan pengalamannya, juvana yang dimasukkan ke situ memerlukan masa untuk mengubah sikap dan membentuk minat mereka dalam pelajaran kerana pengalaman dituduh, dibicara, dijatuhkan hukum oleh mahkamah membuatkan mereka celaru dan keliru.

“Moral mereka merudum, perlu membentuk semula keyakinan diri, berani berdepan, berani hadapi cabaran dan kenyataan. Semua itu memerlukan masa yang agak lama dan tempoh perubahan juga berbeza mengikut ketahanan individu.

“Sebab itu kami galakkan sokongan mana-mana pihak termasuk NGO (badan bukan kerajaan) untuk jalankan aktiviti motivasi, pemulihan untuk membentuk semula karektor mereka supaya lebih terurus serta bantuan kemudahan dan kelengkapan belajar,” katanya.

Antaranya ialah kerjasama dengan Kolej Komuniti Hulu Langat yang membantu menyediakan kursus multimedia dan reka bentuk laman web.

Berita Harian Online: 14 Mac 2010

Sabtu, 13 Mac 2010

Pangkalan data pastikan pertukaran guru telus

KOTA KINABALU 12 Mac - Pangkalan data guru yang lengkap dengan maklumat keluarga akan diwujudkan bagi memastikan urusan pentadbiran khususnya berkaitan penempatan dan pertukaran dilaksanakan secara telus, adil dan berkesan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu selari dengan dasar Kementerian Pelajaran yang menetapkan semua guru sama ada baru atau berpengalaman perlu bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman untuk tempoh masa tertentu sepanjang perkhidmatan mereka.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pangkalan data tersebut akan mempunyai maklumat terperinci termasuk latar belakang suami atau isteri guru berkenaan di samping anak dan kediaman mereka.

''Semua ini bukan sahaja dapat membantu kementerian mengurus penempatan dan pertukaran guru dengan cekap dan berkesan bahkan memberi peluang guru terbabit bersedia lebih awal sebelum ditukarkan," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan dialog bersama warga Jabatan Pelajaran Sabah di Sekolah Menengah Agama Bukit Padang di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Pengarah Pelajaran Sabah, Dr. Muhiddin Yusin.

Muhyiddin berkata, kementeriannya serius dalam memastikan sekolah di luar bandar mempunyai guru berpengalaman dan berharap ia akan mendapat sokongan semua warga pendidik.

Katanya, mengajar di pedalaman merupakan satu tugas mulia dan boleh dianggap sebagai sumbangan kepada negara selain membuktikan rasa cinta terhadap profesion perguruan.

Terdahulu pada sesi dialog, Muhyiddin berkata, kementerian sedia melihat semula peraturan yang menetapkan setiap guru hanya mempunyai satu peluang menduduki ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk melayakkan mereka meningkat ke Tahap Empat.

''Saya setuju hasrat guru itu tidak sepatutnya dikekang. Oleh itu kita akan melihat dengan lebih mendalam bagaimana untuk mengatasi masalah ini,' katanya.

Mengenai masalah 27 sekolah menengah di negeri ini yang terpaksa menumpang bangunan dan kemudahan di sekolah rendah, Muhyiddin berkata, ia berlaku kerana peningkatan mendadak pelajar ekoran pertumbuhan bandar baru di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, kementerian akan berusaha mengatasi masalah tersebut termasuk menyediakan kabin sebagai kelas sementara.

''Untuk jangka panjang, kita akan membina bangunan baru tetapi kita juga mesti ingat bahawa kita ada banyak sekolah yang tenggelam ketika banjir dan perlu dipindahkan.

''Semua ini akan membabitkan kos berbilion ringgit. Oleh itu kita perlu mengasingkan mengikut keutamaan dan masalah yang mendesak," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin memberitahu kementeriannya akan mendapatkan khidmat 300 guru pakar bahasa Inggeris untuk dihantar ke enam kawasan di seluruh negara bagi melatih guru di kawasan terbabit.

Katanya, langkah tersebut merupakan sebahagian usaha kementerian mengukuhkan penguasaan pengajaran bahasa Inggeris, sekali gus meningkatkan kemahiran pelajar dalam bahasa tersebut.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri menyangkal dakwaan bahawa beliau seorang yang anti sekolah Cina kerana enggan memberi peruntukan kepada sekolah Cina swasta.
Tegasnya, tanggapan tersebut tidak benar sama sekali kerana kerajaan tetap membantu sekolah terbabit namun ia bukan satu keutamaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, kerajaan lebih mengutamakan kebajikan dan keperluan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil yang dimiliki oleh kerajaan.

"Saya bukan anti sekolah swasta Cina tetapi sebagai kerajaan kita kena utamakan keperluan di SRJK Cina atau Tamil. Sekolah swasta adalah di bawah tanggungjawab mereka dan bukan kerajaan," ujarnya.

"Kalau dibantu, ia sebenarnya bercanggah dengan dasar kita. Sebab lain adalah kerajaan tidak punya cukup peruntukan dan oleh itu kita kena utamakan sekolah kita dulu," katanya ketika berucap pada majlis makan malam dan dialog dengan Dewan-dewan perniagaan Sabah di Magellan Sutera di sini malam tadi.

Muhyiddin berkata, kerajaan perlu menyediakan keperluan dan kemudahan asas di 10,000 buah sekolah miliknya.

Beliau memberitahu, ramai yang tidak menyedari bahawa kos perbelanjaan untuk membayar gaji guru di SRJK Cina dan Tamil berjumlah RM1.8 bilion setahun.

Utusan Malaysia Online: 13 Mac 2010

Rabu, 10 Mac 2010

Pelajar terjun bangunan kerana tekanan

KANGAR: Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun cedera parah selepas bertindak terjun dari tingkat tiga bangunan sekolahnya di Behor Latih, dekat sini, selepas didakwa menghadapi tekanan dalam pelajaran, semalam.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, pelajar berkenaan cedera di pinggul, tangan dan kaki sebelum dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF). Bagaimanapun keadaannya dilaporkan stabil.

Dia bernasib baik kerana tersangkut pada wayar pembesar suara yang merentangi antara dua bangunan berkenaan ketika terjun pada ketinggian lapan meter sebelum terhempas ke tanah.

Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat, berkata setakat ini, pihaknya tidak mengetahui punca sebenar pelajar itu bertindak demikian memandang dia pelajar cemerlang.

Berita Harian Online: 10 Mac 2010

Tak wajar kelas Kafa dibatal kerana sukan

SATU insiden berlaku di sebuah sekolah di sekitar Kuala Lumpur. Sekumpulan pelajar meminta dibatalkan Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) selama seminggu gara-gara acara sukan di sekolah kebangsaan.

Begitu pun, guru agama yang mengajar Kafa membuat rayuan supaya perkara itu dirundingkan kerana dalam perancangan mereka peperiksaan Kafa dibuat pada minggu berikutnya. Malangnya perkara itu tidak diendahkan termasuklah ibu bapa pelajar sendiri. Hal ini amat menyedihkan.

Aktiviti kokurikulum di sekolah kebangsaan penting, tetapi menafikan waktu pelajar mengikuti kelas agama di sebelah petang selama seminggu amat tidak patut. Guru sekolah kebangsaan harus merangka aktiviti kokurikulum supaya semua pihak mendapat hak yang sepatutnya.

Adilkah bagi guru Kafa apabila pelajar tidak hadir semata-mata diwajibkan bersukan? Perlu difahami, kelas Kafa adalah satu-satunya kaedah menambah dan memantapkan ilmu agama dalam diri pelajar kerana subjek Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan sangat terhad.

Pihak sekolah kebangsaan dan pengelola kelas Kafa (Jabatan Agama Islam negeri biasanya), perlu duduk semeja bagi menyelesaikan perkara ini dengan baik. Semoga perkara ini dilihat sebagai suatu hal yang serius. Semoga insiden seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

HANAFI ISA,
Sentul, Kuala Lumpur.

Berita Harian Online: 10 Mac 2010