Sabtu, 13 Mac 2010

Pangkalan data pastikan pertukaran guru telus

KOTA KINABALU 12 Mac - Pangkalan data guru yang lengkap dengan maklumat keluarga akan diwujudkan bagi memastikan urusan pentadbiran khususnya berkaitan penempatan dan pertukaran dilaksanakan secara telus, adil dan berkesan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu selari dengan dasar Kementerian Pelajaran yang menetapkan semua guru sama ada baru atau berpengalaman perlu bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman untuk tempoh masa tertentu sepanjang perkhidmatan mereka.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pangkalan data tersebut akan mempunyai maklumat terperinci termasuk latar belakang suami atau isteri guru berkenaan di samping anak dan kediaman mereka.

''Semua ini bukan sahaja dapat membantu kementerian mengurus penempatan dan pertukaran guru dengan cekap dan berkesan bahkan memberi peluang guru terbabit bersedia lebih awal sebelum ditukarkan," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan dialog bersama warga Jabatan Pelajaran Sabah di Sekolah Menengah Agama Bukit Padang di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Pengarah Pelajaran Sabah, Dr. Muhiddin Yusin.

Muhyiddin berkata, kementeriannya serius dalam memastikan sekolah di luar bandar mempunyai guru berpengalaman dan berharap ia akan mendapat sokongan semua warga pendidik.

Katanya, mengajar di pedalaman merupakan satu tugas mulia dan boleh dianggap sebagai sumbangan kepada negara selain membuktikan rasa cinta terhadap profesion perguruan.

Terdahulu pada sesi dialog, Muhyiddin berkata, kementerian sedia melihat semula peraturan yang menetapkan setiap guru hanya mempunyai satu peluang menduduki ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk melayakkan mereka meningkat ke Tahap Empat.

''Saya setuju hasrat guru itu tidak sepatutnya dikekang. Oleh itu kita akan melihat dengan lebih mendalam bagaimana untuk mengatasi masalah ini,' katanya.

Mengenai masalah 27 sekolah menengah di negeri ini yang terpaksa menumpang bangunan dan kemudahan di sekolah rendah, Muhyiddin berkata, ia berlaku kerana peningkatan mendadak pelajar ekoran pertumbuhan bandar baru di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, kementerian akan berusaha mengatasi masalah tersebut termasuk menyediakan kabin sebagai kelas sementara.

''Untuk jangka panjang, kita akan membina bangunan baru tetapi kita juga mesti ingat bahawa kita ada banyak sekolah yang tenggelam ketika banjir dan perlu dipindahkan.

''Semua ini akan membabitkan kos berbilion ringgit. Oleh itu kita perlu mengasingkan mengikut keutamaan dan masalah yang mendesak," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin memberitahu kementeriannya akan mendapatkan khidmat 300 guru pakar bahasa Inggeris untuk dihantar ke enam kawasan di seluruh negara bagi melatih guru di kawasan terbabit.

Katanya, langkah tersebut merupakan sebahagian usaha kementerian mengukuhkan penguasaan pengajaran bahasa Inggeris, sekali gus meningkatkan kemahiran pelajar dalam bahasa tersebut.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri menyangkal dakwaan bahawa beliau seorang yang anti sekolah Cina kerana enggan memberi peruntukan kepada sekolah Cina swasta.
Tegasnya, tanggapan tersebut tidak benar sama sekali kerana kerajaan tetap membantu sekolah terbabit namun ia bukan satu keutamaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, kerajaan lebih mengutamakan kebajikan dan keperluan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil yang dimiliki oleh kerajaan.

"Saya bukan anti sekolah swasta Cina tetapi sebagai kerajaan kita kena utamakan keperluan di SRJK Cina atau Tamil. Sekolah swasta adalah di bawah tanggungjawab mereka dan bukan kerajaan," ujarnya.

"Kalau dibantu, ia sebenarnya bercanggah dengan dasar kita. Sebab lain adalah kerajaan tidak punya cukup peruntukan dan oleh itu kita kena utamakan sekolah kita dulu," katanya ketika berucap pada majlis makan malam dan dialog dengan Dewan-dewan perniagaan Sabah di Magellan Sutera di sini malam tadi.

Muhyiddin berkata, kerajaan perlu menyediakan keperluan dan kemudahan asas di 10,000 buah sekolah miliknya.

Beliau memberitahu, ramai yang tidak menyedari bahawa kos perbelanjaan untuk membayar gaji guru di SRJK Cina dan Tamil berjumlah RM1.8 bilion setahun.

Utusan Malaysia Online: 13 Mac 2010

Tiada ulasan: