Isnin, 15 Mac 2010

Guru SK Balar bersemangat mengajar di pedalaman

Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my
2010/03/15


RAMAI guru dikatakan enggan bertugas di luar bandar dan pedalaman termasuk di penempatan Orang Asli. Bayangkan, untuk ke pekan terdekat mengambil masa berjam-jam. Namun, ramai lagi guru sanggup menerima cabaran berkhidmat di pedalaman meskipun serba kekurangan dari segi kemudahan prasarana.

Itulah pengalaman guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar yang perlu meredah hampir empat jam perjalanan sejauh 90 kilometer dari Bandar Gua Musang menuju ke sekolah paling terpencil di pedalaman Kelantan itu untuk sampai ke Pos Balar.

Perjalanan mereka merentasi tiga batang sungai, jalan berdebu ketika panas dan laluan licin berbahaya ketika musim hujan tentunya mencabar ketabahan mana-mana individu yang diarah menuju ke lokasi itu. Ada 15 guru berkhidmat di SK Balar demi menabur bakti kepada 315 murid terdiri daripada anak masyarakat Orang Asli suku Temiar. Semua guru itu tinggal di asrama yang disediakan dalam kawasan sekolah. Rutin harian mereka selain mengajar sepanjang waktu persekolahan ialah sebelah petang diisikan dengan kegiatan sukan bersama murid yang tinggal di asrama. Sebelah malam, generator yang menjadi sumber elektrik dimatikan kira-kira jam 11. Hujung minggu, ada antara guru mengambil kesempatan pulang melawat keluarga masing-masing menaiki motosikal untuk keluar dari Pos Balar ke Gua Musang yang mengambil masa hampir empat jam.

Mereka lebih gemar menunggang motosikal bagi mengurangkan kos kerana jika menggunakan khidmat kenderaan pacuan empat roda yang disewa untuk perjalanan pergi balik, tambang yang perlu dibayar mencecah RM1,000.

Guru Pendidikan Seni, Bahasa Malaysia dan Pendidikan Islam, Zaidi Ghani, 38, berkata berbeza sesetengah guru yang mungkin mengelak mengajar di pedalaman atas pelbagai alasan, beliau lebih bersemangat menggalas tanggungjawab pendidik di situ walaupun terpaksa hidup di lokasi terpencil sekali gus jauh daripada keselesaan di bandar.

Katanya, sepanjang berkhidmat sebagai guru sekolah itu, banyak pengalaman ditempuhi semata-mata mahu menabur bakti demi meningkatkan tahap pendidikan anak Orang Asli sekitar kawasan berkenaan.
“Saya sudah biasa mengajar di pedalaman. Sebelum bertukar ke sini, saya pernah berkhidmat di sekolah yang majoritinya kaum Iban di Sarawak. Ini menjadikan saya biasa dengan pedalaman. Di SK Balar ini, bukan sedikit cabaran perlu dihadapi namun saya menganggapnya lumrah kehidupan setiap guru.

“Paling ketara di sini ialah aspek bahasa. Sebab itu saya cuba mempelajari serba sedikit bahasa Orang Asli bagi mewujudkan kemesraan antara guru dan murid. Sepanjang berkhidmat di sini, antara cabaran lain terpaksa ditempuh ialah faktor pengangkutan dan perhubungan.

“Biasanya kalau mahu ke bandar, saya lebih suka menunggang motosikal kerana lebih mudah dan menjimatkan masa perjalanan sehingga hampir setengah jam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Mesra Muhibah sempena lawatan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi ke SK Balar, baru-baru ini.

Guru Matematik, Mohd Fadhli Md Diah, 29, berkata sebaik menerima surat tawaran mengajar di SK Balar pada 2008, beliau segera mencari lokasinya dalam peta dan juga internet, malangnya gagal kerana tidak disenaraikan.

“Saya tidak menolak ketika menerima tawaran ini, malah berusaha mencari lokasi sekolah dengan bertanya kepada orang ramai. Namun kebanyakan mereka termasuk masyarakat Gua Musang sendiri tidak tahu di mana sebenarnya sekolah itu.

“Saya tetap tidak patah semangat dan terus mencari di dalam peta dan internet tetapi masih gagal mengesannya. Kemudian saya mengambil keputusan melayari laman web Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan bertanya kepada PPD. Syukurlah sebab mereka dapat membantu saya,” katanya.

Katanya, ramai pelajar di situ lebih gemar menggunakan bahasa mereka sendiri ketika berkomunikasi. Situasi ini menguatkan azamnya untuk turut mempelajari bahasa itu bagi memudahkan beliau bergaul bersama mereka.

“Sebenarnya bukan sesuatu yang sukar untuk mengajar anak Orang Asli kerana mereka juga mempunyai keazaman kuat untuk belajar dan mengubah nasib keluarga.

Saya melihat kesungguhan mereka ini. Disebabkan itu, saya bertekad terus berkhidmat di sekolah ini selagi khidmat saya diperlukan,” katanya.

Guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral, Mazlina Shafie, 32, dari Pasir Puteh, Kelantan, berkata meskipun hatinya agak berat menerima tawaran mengajar di sekolah berkenaan, beliau tidak mempunyai pilihan dan menganggapnya sebagai cabaran bagi guru baru sepertinya.

Mazlina yang mula berkhidmat awal Januari lalu berkata, beliau tidak menyangka sekolah tempat beliau berkhidmat terlalu jauh di pedalaman dan terpaksa melalui jalan balak yang cukup mencabar ketika waktu panas dan hujan.

“Memang saya tidak sangka langsung sekolah itu terlalu jauh meskipun menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan berada di dalam hutan. Pada mulanya memang sukar untuk saya menerimanya, namun kini sudah boleh menyesuaikan diri.

“Tekad saya sekarang ialah untuk membantu murid Orang Asli ini berjaya dalam pelajaran seterusnya mengubah kehidupan keluarga masing-masing pada masa akan datang. Memang bukan mudah untuk menarik minat mereka belajar, namun saya akan terus berusaha sedaya upaya mendekati mereka sebaik mungkin,” katanya.

Berita Harian Online: 15 Mac 2010

1 ulasan:

JOM KE PEDALAMAN: DUNIA ILMU YANG DILUPAKAN berkata...

Saya tertarikdengan blog anda dan turut ingin berkongsi pengalaman sebagai guru yang berkhidmat di pedalaman. Sekiranya guru2x pedalaman atau yang pernah berkhidmat di sana dapat menubuhkan persatuan sendiri, ia sangat bermanfaat bagi sistem pendidikan Malaysia. Sila lawati http:planetmzj.blogspot.com.