ALOR SETAR 27 Jan - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan
hukuman penjara dua tahun dan denda RM148,500 kepada seorang bekas
penjawat awam setelah didapati bersalah atas lima tuduhan salah guna
kuasa membabitkan bekalan pakaian seragam ko-kurikulum sekolah pada 2008
dan 2009 bernilai RM32,400.
Hakim Mohd Rosli Osman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Zakaria
Md Lazim,56, yang merupakan guru besar Sekolah Kebangsaan Tandop Besar
(SKTB), Kuala Nerang dekat sini ketika kesalahan dilakukan.
Hakim menetapkan hukuman penjara bermula dari hari ini, manakala
tertuduh akan dipenjara 15 bulan lagi jika gagal membayar jumlah denda
yang ditetapkan.
Dalam pertuduhan pertama, Zakaria didakwa menggunakan jawatannya
untuk memilih ZNR Kuala Nerang Enterprise (ZNR), sebagai pembekal set
pakaian Puteri Islam bernilai RM3,300 dan dia didakwa mempunyai
kepentingan kerana pemilik ZNR merupakan adiknya sendiri, Ros Adimas Md
Lazim.
Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, Zakaria juga dituduh
menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian
PBSM bernilai RM6,300, set pakaian TKRS bernilai RM8,200 dan set pakaian
Pengakap bernilai RM8,700.
Dalam pertuduhan kelima, Zakaria juga didakwa menggunakan jawatannya
untuk memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian seragam PBSM, Pengakap,
Puteri Islam dan TKRS bernilai RM5,900 di SKTB pada September 2009.
Utusan Malaysia: 27 Januari 2014
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan