Khamis, 2 Januari 2014

Pengarah JPN diberi kuasa lulus projek RM5 juta

KUALA LUMPUR - Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kini boleh meluluskan projek pembangunan pendidikan sehingga RM5 juta setahun untuk negeri masing-masing, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini adalah satu daripada langkah transformasi pendidikan yang bertujuan memperkasakan jabatan pendidikan di peringkat negeri dan daerah di bawah fasa pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.  
  
"Ketua Setiausaha kementerian telah meluluskan penurunan kuasa kepada pejabat peringkat negeri, yang dahulu mereka hanya boleh belanja sekadar RM500,000 setahun," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan hari pertama persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, di sini, hari ini.
  
Terdahulu beliau turut melakukan tinjauan ke SK Presint 14(1) Putrajaya, Sekolah Menengah Kebangsaan St. Gabriel di Kampung Pandan dan Sekolah Jenis Kebangsaan(SJK) Tamil Kampung Pandan, Jalan Thaver.

Muhyiddin berkata, dengan kelulusan itu, "kalau ada perkara-perkara yang perlu dilaksanakan maka pihak pengarah peringkat negeri boleh laksanakan.
  
"Dia boleh panggil sebut harga ataupun tawaran untuk selesaikan hal-hal berkaitan pelaksanan infrastruktur fizikal, dan juga perolehan yang perlu dibuat di peringkat negeri masing-masing," tambahnya.
  
Muhyiddin berkata, ia bertujuan untuk pengagihan keputusan-keputusan pelaksanaan dan mempercepatkan proses kelulusan tanpa perlu melalui peringkat kementerian, dan dengan cara itu, perjalanan pembelajaran di sekolah boleh berjalan lebih lancar.
  
Kerajaan sedar banyak pihak yang kritikal mengenai pencapaian pendidikan negara, justeru pelbagai inisiatif lain yang telah dirangka di dalam PPPM akan diterjemahkan secara berperingkat dengan secepat mungkin, katanya.
  
"Nak terjemahkan semua dalam tempoh singkat tidak mungkin dapat dilakukan. Ia kena berperingkat, sebab itu 13 tahun.
  
"Proses ini akan berlaku sepanjang masa, dengan cara itu kita boleh perbaiki kelemahan ataupun tingkatkan kualiti pembelajaran," katanya.
Menyentuh mengenai guru, Muhyiddin berkata, tahun ini, kira-kira 9,000 guru lagi akan menjalani latihan tingkat kemahiran dan kecekapan (Upskill) dalam persediaan mencapai objektif pelajar wajib lulus Bahasa Inggeris menjelang 2016.
Sementara itu, mengulas tinjauannya ke empat buah sekolah hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau amat puas hati dengan perjalanan awal persekolahan tahun ini bermula dengan lancar di kesemua sekolah.
Malah pihaknya juga berpuas hati dengan kemampuan sekolah-sekolah memenuhi Penunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian iaitu satu pelajar, satu meja, satu kerusi dan satu set buku teks, katanya.
"Kesemua tidak hadapi masalah dan semua berjalan baik," katanya dan menambah, peranan komuniti dan ibu bapa  amat penting dalam memastikan sistem pendidikan sekolah terus mencapai matlamat.
Bagaimanapun daripada tinjauannya hari ini, beliau mendapati wujud beberapa keperluan yang dikemukakan oleh empat sekolah yang dilawatinya, termasuk penambahbaikan dan menurutnya ini akan laksanakan dalam Bajet 2014. - Bernama

Sinar Harian: 2 Januari 2014

Tiada ulasan: