Ahad, 5 Januari 2014

Pelajar serang guru ditahan

Suspek berumur 17 tahun dibawa ke mahkamah untuk direman kerana menyerang seorang guru di Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, semalam

KANGAR 3 Jan. - Polis menahan seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis dekat sini kerana didakwa mencederakan seorang guru lelaki dengan kerambit pada hari pertama persekolahan semalam.
Kejadian dipercayai berlaku selepas pelajar lelaki itu ditegur oleh guru berkenaan kerana menggayakan rambut ala 'punk'.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Supritendan Ismail Che Isa berkata, suspek lelaki berusia 17 tahun itu ditahan pada pukul 1 pagi ini di rumahnya di Kuala Perlis dekat sini.
"Turut dirampas ialah senjata yang digunakan untuk mencederakan guru lelaki tersebut iaitu gunting kecil yang telah diubah suai menjadi kerambit," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut Ismail, pihaknya telah mendapatkan perintah tahanan reman selama seminggu terhadap pelajar berkenaan bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
"Kita akan berbincang dengan pihak Jabatan Pendidikan negeri dan juga sekolah terbabit supaya dapat melakukan pemeriksaan mengejut bagi memastikan insiden pelajar membawa senjata ke sekolah tidak berulang.
"Kita juga mahu memastikan persekitaran sekolah bebas daripada sebarang kejadian jenayah," ujarnya.
Dalam kejadian pukul 7 pagi semalam, pelajar terbabit dikatakan marah selepas guru berkenaan yang memeriksa pintu masuk sekolah menegurnya kerana menggayakan rambut ala 'punk' dan mewarnakan rambut.
Selepas ditegur, pelajar itu pulang ke rumah dan datang semula ke sekolah dengan ibunya untuk bertemu dengan guru tersebut sehingga berlaku satu pertengkaran.
Pelajar itu dikatakan bertindak menyerang guru berkenaan menggunakan kerambit sehingga mengakibatkan kecederaan di bawah mata kanannya dan terpaksa diberikan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Perlis.

Utusan Malaysia: 4 Januari 2014

Tiada ulasan: