Khamis, 10 Mei 2012

Beri nombor giliran calon gagal

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di atas kejayaan memperkenalkan sistem secara atas talian, iaitu e-GTukar, yang telah memangkin proses permohonan pertukaran guru ke arah menjadi lebih telus dan sistematik, mulai tahun 2008.
Mengambil sempena siri Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteeri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 April lalu, saya ingin memberi cadangan penambahbaikan dalam aspek pertukaran guru. Ini sebagai usaha memartabatkan profesion perguruan dan memartabatkan sistem pendidikan negara.
Rasionalnya, pada setiap sesi permohonan pertukaran guru (sama ada pada sesi Januari atau Jun setiap tahun) bagi sesebuah negeri, terdapat sejumlah guru yang layak dipertimbangkan untuk bertukar masuk.
Bagaimanapun mereka gagal dalam permohonan bagi sesi tersebut, walaupun menepati syarat pertukaran (seperti mengajar opsyen subjek yang terdapat kekosongan di sesebuah negeri), kerana situasi kekosongan tempat yang terhad bagi sesebuah negeri.
Ini jelas dapat dilihat bagi kes-kes permohonan masuk ke negeri Kelantan dan negeri-negeri lain yang dikategorikan sebagai kritikal.
Oleh itu, bagi kumpulan guru yang 'layak tetapi gagal' dalam sesi permohonan pertukaran semasa, seharusnya diberikan nombor giliran sebagai keutamaan untuk diluluskan permohonan pertukarannya dalam sesi permohonan pertukaran akan datang.
Pemberian nombor giliran kepada setiap guru yang memohon pertukaran ini boleh dipraktikkan, dengan syarat permohonan yang dibuat oleh seseorang guru tersebut adalah konsisten, iaitu melibatkan sebuah negeri yang sama sahaja pada setiap sesi permohonan.
Saya berharap agar Bahagian Pengurusan Sekolah Harian yang menguruskan permohonan pertukaran guru bagi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), dapat mencuba idea untuk menyediakan sistem nombor giliran atau ranking bagi permohonan pertukaran guru antara negeri.
Pengenalan sistem ini diharap mampu meredakan prejudis dan tohmahan kepada KPM yang dikatakan mementingkan 'kabel', dan pelbagai lagi tuduhan tidak benar dalam soal menguruskan permohonan pertukaran guru.
Selamat Menyambut Hari Guru 2012.

Utusan Malaysia Online: 10 Mei 2012

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

wajar ikut merit perkhidmatan..