Ahad, 6 Mei 2012

Dong Zong undur tidak beri kesan

2012/05/06

Isu atasi kekurangan guru Cina

KUALA LUMPUR: Keputusan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) untuk menarik diri daripada jawatankuasa khas mengatasi kekurangan guru di sekolah rendah Cina tidak akan menjejaskan tugas jawatankuasa itu, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong.

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu yang ditubuhkan atas arahan Kabinet akan meneruskan tugas bersama pihak berkepentingan lain kerana ia dibentuk dengan niat jujur mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak untuk menyelesaikan isu berkenaan.
"Saya kesal bahawa mereka (Dong Zong) mengambil keputusan menarik diri. Bagaimanapun kami akan terus bermesyuarat menyelesaikan isu secara menyeluruh.
“Kita tidak boleh memaksa mereka untuk hadir. Namun hasrat kita jelas dan akan meneruskannya," kata beliau ketika dihubungi BERNAMA.

Kelmarin, Pengerusi Dong Zong, Yap Sin Tian mengumumkan bahawa pergerakan pendidikan Cina itu menarik diri daripada menyertai jawatankuasa itu sambil mendakwa tidak guna menyertai 'jawatankuasa yang bukan badan pembuat dasar' dan 'tidak berupaya menangani masalah penting' yang dihadapi sekolah Cina.

Yap juga mendakwa jawatankuasa itu hanya boleh menangani isu teknikal dan menyelesaikan masalah berdasarkan kes demi kes.

Wee bagaimanapun menerangkan bidang kerja jawatankuasa khas itu sudah diperjelaskan untuk mengendalikan masalah guru, tidak kira sama ada ia berbentuk teknikal atau di peringkat dasar.
Beliau berkata jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh beliau setakat ini telah menjalankan pelbagai usaha mengikut pelan lapan perkara untuk menyelesaikan isu itu termasuk menghantar guru yang tidak mahir berbahasa Mandarin mengajar di sekolah jenis kebangsaan Cina.

Berita Harian Online: 6 Mei 2012

Tiada ulasan: