Khamis, 9 Disember 2010

Guru Sandaran Tidak Terlatih ikuti kursus tak abai murid

2010/12/09

TERIMA kasih kepada Berita Harian yang mewujudkan ruangan ini kepada pembaca untuk meluahkan perasaan mereka. Bukan hasrat saya untuk berdebat tetapi ingin meluahkan rasa hati selepas berasa ‘terpukul’ dengan kenyataan ‘guru baru, Putrajaya’ yang disiarkan dalam ruangan ini pada 4 Disember lalu.

Saya sudah berkhidmat sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) tiga tahun sejak 2008 di Selangor. Kami juga perlu melalui proses temu duga dan penyaringan dari Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Selangor untuk penempatan.
Mungkin saya tidak mendapat latihan formal dalam perguruan tetapi pengalaman mengajar yang ditimba sama dengan guru tetap. Saya juga menerima tugasan dan tanggungjawab sama dengan mereka cuma tidak pegang jawatan penting di sekolah.

Untuk pengetahuan, saya sudah memohon untuk Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sebanyak lima kali dan terpaksa membeli nombor pin dan menunggu semakan nama dengan seperti dinyatakan oleh ‘guru baru’. Mungkin saya tidak bernasib baik kerana masih belum diterima untuk KPLI.

Berdasarkan pengalaman kawan yang pernah mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC), mereka harus meluangkan masa cuti dengan menghadiri kelas.

Apapun tugasan sebagai pendidik mesti diteruskan, jangan sampai menggadai masa depan anak murid. Seharusnya bersyukurlah kedatangan GSTT dapat menampung kekurangan guru, jika tidak guru terpaksa masuk ke kelas sepanjang masa persekolahan setiap hari.

Terima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana membuka peluang ini kepada kami. Keputusan yang diambil sudah tentu sudah dibincangkan dan dikaji baik buruknya.

GSTT,
Shah Alam, Selangor

Berita Harian Online: 9 Disember 2010

1 ulasan:

kamanuk berkata...

Pemilihan GSTT masuk ke KDC tidak adil,temuduga hanya formaliti sahaja kerana ada GSTT yang lebih baik dan berkelayakan bahkan lebih senior sebagai GSTT tidak dapat masuk KDC. Apa yang Jawatankuasa Pemilih lihat, fikir,analisis, pertimbangkan kalau semua calon GSTT sama kelulusan? Surat sokongan GB dan Pengetua cukup baik.Siapa yang lebih tahu tentang sikap,kemampuan,sumbangan,komitmen guru GSTT kalau bukan pihak sekolah dimana GSTT itu sedang bertugas berbanding Jawatankuasa Penemuduga atau Jawatankuasa Pemilih yang hanya menilai GSTT 30 minit sahaja?

Apa yang dilihat kelayakan,bangsa,agama?????????????