Selasa, 14 Disember 2010

Minda Pengarang: Langkah sediakan guru pembantu mampu tingkat prestasi pelajar

2010/12/14

MASALAH beban tugas guru bukanlah perkara baru, namun ia kembali hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Bebanan tugas yang berlebihan dikatakan bukan saja mengganggu tugas hakiki guru, malah menyebabkan sesetengahnya hidup tertekan. Selain terbabit dengan kegiatan kokurikulum serta mengikuti pelbagai jenis kursus, guru juga terpaksa melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian.

Semua itu, membantutkan usaha golongan pendidik ini untuk memberikan sepenuh komitmen kepada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Menyedari hakikat itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran mengarahkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan pertengahan tahun ini bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan. Satu makmal khas turut diwujudkan dengan menjemput guru dan pengetua untuk mengatasi masalah itu, selain pergi ke sekolah untuk meninjau dan mendapatkan maklum balas daripada pihak guru sendiri.
Laporan akhir Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 itu yang didedahkan kepada umum kelmarin, mengenal pasti 14 faktor yang menyumbang kepada meningkatnya beban tugas guru. Antaranya termasuk penyertaan guru dalam terlalu banyak kegiatan kokurikulum dan sukan hingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan. Selain itu, jawatankuasa itu turut mengemuka serta memperakukan 28 cadangan kepada Kementerian Pelajaran. Antaranya untuk menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah serta melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak bagi mengurangkan beban tugas guru.

Justeru, apabila cadangan laporan itu dilaksanakan kelak, kita harap ia mampu menangani masalah beban tugas berlebihan yang dihadapi guru di setiap sekolah seluruh negara. Kita percaya Kementerian Pelajaran sudah mengkaji secara mendalam sebelum memutuskan untuk melaksanakan cadangan laporan itu agar tidak timbul masalah lain, termasuk dari segi kos operasi di sekolah kerana ia tentunya memerlukan peruntukan besar daripada kerajaan. Bagi memastikan pelajar mendapat manfaat dan meningkatkan kualiti pencapaian mereka, Kementerian Pelajaran harus melaksanakan cadangan laporan itu dengan bijaksana, teliti dan berkesan. Pembahagian tugas antara guru kelas dan guru pembantu perlu dilaksanakan dengan bijak agar tidak berlaku pertindihan.

Dengan berkurangnya beban kerja, kita harap setiap guru dapat memberi komitmen serta tumpuan sepenuhnya terhadap tugas mengajar di dalam kelas bagi meningkatkan prestasi pelajar. Kita tidak mahu ada lagi segelintir guru mengambil kesempatan menjadikan alasan bebanan tugas untuk tidak melaksanakan tugas hakiki mereka dengan baik dan mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Guru adalah kerjaya yang sentiasa mendapat perhatian utama kerajaan kerana peranannya cukup penting dalam mendidik rakyat agar menjadi modal insan cemerlang untuk membangunkan negara.

Sebab itulah kerajaan tidak pernah mengabai kebajikan guru dan setiap masalah yang timbul sentiasa mendapat perhatian untuk ditangani segera. Oleh itu, dalam keadaan tertentu, guru juga perlu membuktikan keikhlasan serta sikap sedia berkorban tanpa mengharapkan imbuhan semata-mata. Kita percaya sebahagian besar guru di negara ini komited dengan tugas mereka dan sanggup mengharungi cabaran bagi memastikan pelajar mendapat pendidikan sempurna dan cemerlang dalam pelajaran.

Berita Harian Online: 14 Disember 2010

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Harap-harap tifdak jadi cakap kosong je. Bila nak laksana, tak boleh. aalasan..... implikasi kewangan...

kamanuk berkata...

Saya harap semua perakuan oleh Jawatankuasa Mengkaji Beban Guru telah memikirkan lebih dalam tindakan-tindakan seterusnya yang tidak berat sebelah.

Satu perkara yang saya bimbang akan berlaku nanti iaitu pengambilan pembantu-pembantu guru sama ada dalam pengurusan kokurikulum,kurikulum atau dalam tugas-tugas perkeranian semuanya diambil dari tempat yang lain . Sebagai contoh pembantu-pembantu diambil dari Semenanjung untuk bertugas di Sabah dan Sarawak atau sebaliknya. Bukan soal wilayah atau perkauman tetapi implikasi yang sangat dalam dan membebankan kerajaan ialah kos yang bertambah kerana pembantu-pembantu yang diambil tentulah mahu rumah yang selesa, keluarga dan tempat yang sesuai. Jika ini berlaku maka pembantu-pembantu ini tidak dapat membantu guru sebenarnya sebaliknya asyik mengurus tempat tinggal, tempat yang selesa dan keluarga jadi akhirnya 2 kali 5 juga dimana guru akhirnya mendapat susah.

Saya berharap para pembantu guru didalam kelas atau jurulatih bertauliah kokurikulum hendaklah diambil dari kalangan warga tempatan supaya masalah-masalah seperti yang saya nyatakan diatas tidak berlaku dan dapat diatasi.Tambahan pula, kerajaan hendaklah memberikan peluang yang lebih baik dan keutamaan kepada warga tempatan sekitar sekolah tersebut.

seterusnya, pengambilan pembantu guru dan jurulatih bertauliah hendaklah berdasarkan kesesuaian sekolah tersebut, adil, tidak pilih bangsa dan agama.

Dan, yang terakhir saya juga mencadangkan agar kerajaan memberikan peluang kepada sekolah itu sendiri mencadangkan kepada kementerian cadangan-cadangan pembantu guru dan jurulatih yang diambil kerana saya beranggapan sekolah lebih tahu tahap keperluan sebenar pelajar.

Ini bukan mengajar atau melebih-lebih daripada Panel Jawatankuasa Mengkaji Beban Guru tapi sebagai warga guru, saya suka memberikan cadangan yang difikirkan ada kewajarannya.

Tanpa Nama berkata...

ADUH...publisiti shj lebih. Hari ni, dlm Berita Harian, Tim.Menteri Pelajaran berkata, 2 guru 1 kelas tidak akan dilaksanakan kerana melibatkan implikasi kewangan. Itu hanyalah cadangan utk jangka masa panjang.
Jadi.........

kamanuk berkata...

Baguslah kalau dibatalkan cadangan 1 kelas dua guru tu.Siapa yang mahu buatlah sekolah sendiri. Siapa yang cadang ni ..Guru Besar atau Pengetua ..?? Suruhlah mereka mengajar guru pula jadi pemantau.apa mereka rasa.OREN.Pandai-pandai buat cadangan.

Saya lebih rela ajar seorang berbanding dua orang. Sebenarnya bukan itu jalan penyelesaiannya.

Cara yang paling baik ialah

1. Tambah bilangan guru mengikut keperluan sekolah. Sebagai contoh kalau sekolah tu kekurangan guru BM. Hantarlah beberapa guru opsyen BM sehingga kuota guru BM dipenuhi. Begitulah seterusnya bagi mata pelajaran yang lain.

2. Kecilkan saiz bilangan murid dalam satu kelas. Sebagai contoh kelas yan bersaiz 25' X 35' hadkanlah kepada hanya 15 hingga 20 orang murid sahaja. Sekarang ini ada sekolah yang mempunyai murid lebih daripada 40 orang dalam satu kelas

Itu sahaja cara yang lebih logik daripada mencadangkan 2 guru dalam satu kelas. Itu cadangan BODOH tidak sesuai dan tidak praktikal

Soal satu sesi atau dua sessi bukan jadi masalah yang penting P & P berjalan dengan baik. Saya lebih suka kalau dua sessi kerana guru ada masa dengan keluarga pada waktu siang dan bukan hanya pada waktu malam sahaja.

Sebenarnya satu sessi pun banyak masalah. Bayangkanlah murid berada dikelas dari jam 7.00pagi sehingga jam 3.00 ptg atau jam 4.00ptg.Bukankah meletihkan pelajar. Sampai sahaja dirumah buang beg, terus tidur kerena terlalu penat. Dan, lebih para lagi ada pelajar yang sampai di rumah sehingga jam 7.00 petang kerena masalah kenderaan dan pagi-pagi subuh lagi sekitar jam 5.00 pagi sudah bersedia ke sekolah semula. Jadi, bila masa budak ini bersama keluarga serta membuat kerja rumah. Jangan lupa kerja-kerja rumah dan keluarga juga adalah sangat penting. Para pelajar haruslah juga belajar untuk menguasai kemahiran dalam mengurus keluarga keluraga.


Atuk oi ...

Tanpa Nama berkata...

SETUJU.... TAPI MASALAH KEWANGAN KERAJAAN MENJADI PENGHALANG.

Tanpa Nama berkata...

Harapan selepas ini sifarlah murid kurang membaca, sifarlah murid yang lemah matematik, sifarlah buku latihan yang tidak ditanda, sifarlah masalah disiplin.

Atau murid akan jadi mangsa macam "engin", tidak berhenti2 kerana macam-macam aktiviti, sukan (sebab ada pakar).

Maka peluang cikgu terlibat dalam politik semakin cerah, sebab tugasan semakin kurang dan masa terluang luas. Bolehlah cikgu gi kempen.

Tanpa Nama berkata...

tentang penglibatan guru dlm politik memang saya tak setuju. tetapi melarang budak melibatkan diri dlm sukan& kokurikulum adalah tindakan yg sangat tidak bijak.

"Kita ada FPK", bukan belajar semata-mata nak kejar "A" shj. itulah yg berlaku skrg, makin ramai dpt "A", makin banyak gejala buruk dlm kalangan remaja.