KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Pendidikan seksualiti yang diajar secara menumpang mata pelajaran lain sebelum ini akan diajar secara berasingan mulai tahun depan dengan mengekalkan penggunaan istilah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, melalui pelaksanaan di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) itu, kementerian tersebut menetapkan subjek tersebut diajar selama 40 minit, dua kali sebulan di Sekolah Menengah dan 30 minit setiap minggu di Sekolah Rendah.
"PEERS sebenarnya telah dilaksanakan sejak 1989 di Sekolah Menengah dan 1994 di Sekolah Rendah, cuma di Sekolah Rendah ia menumpang merentasi kurikulum di bawah Pendidikan Jasmani.
"Bermula tahun 2011 di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah, kementerian memutuskan Pendidikan Kesihatan yang ada didalamnya PEERS akan diajar secara berasingan sebagai satu mata pelajaran yang tidak lagi bercantum dengan mana-mana mata pelajaran lain," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini Isnin.
Hadir sama di sidang media itu ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Julaihi Bujang.
Beliau berkata antara skop yang akan dimasukkan bagi murid Tahap Satu ialah perbezaan aspek fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga kebersihan diri, kemahiran berkata tidak kepada sentuhan yang tidak selamat, kepentingan memelihara kehormatan diri serta pengurusan perasaan.
Bagi tahap dua yang membabitkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam, skopnya ialah bagaimana mengurus konflik, perubahan fizikal, akil baligh, sistem reproduktif, kemahiran memelihara kehormatan diri, risiko hubungan seks sebelum nikah, jangkitan penyakit seksual dan kemahiran berkata tidak kepada rokok, alkohol dan dadah.
Mohd Fuad berkata bagi pelajar Sekolah Menengah di peringkat rendah pula, mereka akan didedahkan mengenai kecekapan psikososial atau 'lifeskill' menangani situasi berisiko, pengurusan tekanan, jangkitan penyakit seksual, perkembangan sifat seksual sekunder, identiti dan orientasi seksual, perhubungan dan kesan buruk alkohol, rokok dan dadah.
"Manakala di peringkat menengah atas, skopnya ialah kemahiran kecekapan sikososial, kestabilan emosi dan mental, kehamilan remaja, kekeluargaan, jangkitan penyakit seksual, langkah pengawalan dan pencegahan rokok dan dadah," katanya.
Beliau berkata pengetahuan mengenai pendidikan seks mencakupi 75 peratus daripada keseluruhan pengisian kurikulum baru subjek berkenaan.
Mengenai pengekalan istilah PEERS, Mohd Fuad berkata istilah yang diputuskan Kabinet pada 2006 lebih luas maknanya merangkumi aspek nilai, sikap dan proses sepanjang hayat berbanding 'pendidikan seks' yang istilahnya memberi konotasi negatif dan terhad di kalangan masyarakat.
"Oleh kerana masih timbul kekeliruan dan permintaan pelbagai pihak maka Kementerian Pelajaran memutuskan untuk terus menggunakan istilah PEERS melalui mata pelajaran pendidikan kesihatan bagi memenuhi pendidikan seks di Malaysia," katanya.
Untuk rekod, istilah PEERS diputuskan Kabinet pada 20 Disember 2006 dan dipersetujui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menggantikan istilah pendidikan kesihatan keluarga yang digunakan pada tahun 1989 hingga 2002 yang kemudiannya digantikan dengan istilah pendidikan seksualiti dari 2003 hingga 2005.
BERNAMA: 6 Disember 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 ulasan:
Saya setuju mata pelajaran sekualiti diajar secara berasingan kepada semua pelajar memandangkan ketika ini negara sedang dilanda masalah dimana pelajar universiti pun terlibat dalam kes-kes pelacuran.Ini mungkin berlaku kerana negara kita tidak memberikan kefahaman secara formal tentang pendidikan seks kepada pelajar.
walau bagaimana pun pihak-pihak tertentu patut mengawal yuran belajar di universiti terutama di IPTS. Pihak Kementerian Pengajian Tinggi juga patut memantau sewasewa rumah di sekitar universiti kerana mengenakan sewa yang terlalu tinggi kepada pelajar
Pendidikan seks patut diajar di sekolah.Tengoklah sekarang pelajar universiti pun sudah terlibat sama
Tapi sebenarnya perkara ini sudah berlaku begitu lama. Mereka terpaksa menghambakan diri demi menyelamatkan diri dari hambatan yuran dan sara hidup di universiti/kolej yang tinggi.
salam, sebenarnya pendidikan seks telah pn diajar iaitu dlm pendidikan kesihatan yg digabungkan sekali dgn pendidikan jasmani,bukannya soal asing ke tak yang dapat mengekang masalah pelacuran dan gejala seks bebas di Malaysia tapi kualiti penyampaian dan kefahaman yg dibawa oleh guru. Kalau tak asing pn masih sama kalau diajar betul2. Cuma adalah kepentingan2 tertentu bilamana subjek ini diasingkan oleh pihak2 tertentu. Balik2 guru2 kita yang terbeban ditambah dengan bebananan kerja2 pengkeranian. Bila sistem pendidikan kita nak maju dan bertaraf dunia.
Catat Ulasan