Jumaat, 31 Disember 2010

Guru kekal dipenjara 20 bulan rangsang murid


MAHKAMAH Tinggi Seremban semalam mengekalkan hukuman penjara 20 bulan terhadap Mohd. Harith yang didapati bersalah mencabul muridnya.


SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini semalam mengekalkan hukuman penjara 20 bulan terhadap seorang guru penolong kanan sebuah sekolah rendah di sini yang didapati bersalah melakukan kelucahan melampau terhadap murid lelakinya tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas mendapati Hakim Mahkamah Majistret telah membuat keputusan yang tepat dan menyeluruh.

Menurut Ahmad Nasfy, dalam kes tersebut ada saksi yang melihat kelakuan tertuduh selain pihak pendakwa mempunyai beberapa keterangan sokongan daripada saksi-saksi lain.

Tertuduh, Mohd. Harith Mohd. Nor, 42, didapati bersalah merangsang seorang murid lelaki yang ketika itu berusia 11 tahun untuk melakukan kelucahan melampau di dalam pejabatnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Wawasan Seremban 2 di sini pada November dan Disember 2007.

Bapa kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun itu didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan sebatan jika bersabit kesalahan.

Kosmo Online: 31 Disember 2010

Selasa, 28 Disember 2010

Program ekuin, teknologi kayu di sekolah vokasional

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/12/28

pix_gal0
Projek perintis diperkenal di semua SMV mulai sesi 2011

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memperkenalkan program perantisan bidang pengurusan dan penyelenggaraan kuda atau ekuin serta teknologi pemprosesan kayu di sekolah menengah vokasional (SMV) mulai tahun depan.

Projek perintis itu akan bermula dari Tingkatan Empat membabitkan kerjasama pihak industri dengan pelajar menjalani pendedahan amali melalui latihan di lapangan dan hanya dua hari pembelajaran teori dalam kelas setiap minggu.
Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab, berkata pelajar program ekuin akan mempelajari pelbagai aspek seperti pengurusan dan penyelenggaraan kuda serta bangsal kuda dan penjagaan haiwan yang meliputi pemakanan dan kesihatan.

“Bagi program perantisan teknologi pemprosesan kayu, mereka diberi pendedahan penting seperti mengenali jenis kayu, kegunaan dan kualitinya, penghasilan produk kayu serta teknologi pembuatan perabot,” katanya kepada Berita Harian.

Program ekuin membabitkan kerjasama dengan Setia Brothers Sdn Bhd yang akan mengendalikan latihan lapangan serta University of Ballarat, Australia, untuk aspek sukatan pelajaran dan kurikulum, latihan guru serta penganugerahan sijil kemahiran kepada pelajar yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Program teknologi pemprosesan kayu pula membabitkan kerjasama LY Industry di Batu Pahat untuk latihan lapangan, serta Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi penggubalan sukatan pelajaran dan kurikulum serta penganugerahan sijil kemahiran yang diiktiraf di seluruh negara.
Sebagai permulaan, program perantisan ekuin akan ditawarkan kepada masing-masing 20 pelajar Tingkatan Empat SMV Sungai Buloh dan SMV Kajang pada sesi persekolahan 2011, manakala teknologi pemprosesan kayu di SMV Batu Pahat membabitkan dua kelas dengan 20 pelajar Tingkatan Empat setiap kelas.

“Pelajar terbabit akan mengikuti pembelajaran teori ringan apabila sesi persekolahan dibuka bulan depan sebelum ke lapangan mulai Mac. Bagi program perantisan ekuin, pelajar akan menjalani latihan lapangan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). Jika berjaya, ia akan diperluaskan ke SMV lain kerana pendekatan pembelajaran sebegini dijangka lebih berkesan,” katanya.

Ahmad Tajudin juga berkata, dua pensyarah University of Ballarat akan membantu pelaksanaan permulaan program perantisan ekuin di sekolah, selain mengendalikan latihan kepada guru yang kemudian berperanan melatih rakan sejawat mereka pada masa depan.

Sambil menjelaskan perbelanjaan latihan lapangan akan ditampung keseluruhannya oleh syarikat swasta, beliau berkata, sebuah tabung akan diwujudkan bagi menjana dana membantu pembiayaan kos yang agak besar bagi program ekuin, di bawah penyeliaan jawatankuasa khas yang meliputi golongan tokoh kenamaan dan ahli korporat.

“Industri ekuin bukan saja semakin berkembang di Malaysia, malah seluruh dunia dan bidang ini memerlukan tenaga pakar terlatih. Begitu juga dengan industri perkayuan di mana pelajar memiliki nilai tambah yang tinggi hasil pengalaman menjalani latihan lapangan. Mereka bukan saja akan memiliki persediaan cukup baik untuk menceburi kerjaya apabila tamat persekolahan, malah menjadi usahawan,” katanya.

Ahmad Tajudin berkata, program perantisan yang pertama seumpamanya di SMV itu adalah sebahagian daripada inisiatif penjenamaan semula sekolah berkenaan bagi melahirkan tenaga mahir yang menyumbang ke arah pencapaian status Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

INFO:
  • Program perantisan ekuin
    - mempelajari pengurusan dan penyelenggaraan kuda.
  • Program perantisan teknologi pemprosesan kayu
    - mengenali jenis kayu, kegunaan dan kualiti, penghasilan produk kayu serta teknologi pembuatan perabot.

  • Berita Harian Online: 28 Disember 2010

    Masalah salah laku disiplin pelajar masih terkawal

    2010/12/28

    PUTRAJAYA: Masalah salah laku disiplin di kalangan pelajar masih terkawal dan statistik Kementerian Pelajaran menunjukkan hanya kira-kira tiga peratus daripada lebih 5 juta pelajar dari 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara terbabit kegiatan salah laku itu sepanjang sesi persekolahan 2010.

    Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Kah Siong, berkata ini bermakna kira-kira 97 peratus daripada keseluruhan pelajar di sekolah menengah dan rendah di negara ini, tidak terbabit dengan sebarang salah laku disiplin.

    Beliau berkata, mengikut rekod kementerian 111,484 pelajar atau 72,557 pelajar sekolah menengah dan 38,927 murid sekolah rendah dikesan terbabit pelbagai salah laku disiplin pada 2010.
    Katanya, antara kes salah laku disiplin yang sering dilakukan pelajar terbabit termasuk jenayah (17,595 kes), ponteng sekolah (19,545 kes), berlaku kurang sopan (18,346 kes), kekemasan diri (21,384 kes), tidak mementingkan masa (17,808 kes), kelucahan (3,031 kes), vendalisme (5,212 kes) dan kenakalan (8,563 kes).

    "Walaupun masalah salah laku disiplin pelajar di negara ini masih terkawal, kita tetap memandang serius gejala ponteng sekolah kerana ia menjadi penyebab utama pembabitan seseorang pelajar dalam pelbagai kegiatan berunsur negatif seperti penagihan dadah, minuman keras, samseng, seks bebas, buli dan judi.

    "Saya berpendapat penguatkuasaan peraturan sekolah semata-mata tidak memadai bagi menangani gejala ponteng sekolah, namun masyarakat khususnya ibu bapa dan pelajar juga perlu diberikan kesedaran mendalam mengenai masalah ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid 2010 di sini, semalam.

    Mengulas lanjut, Wee berkata kementerian juga meminta sekolah mengambil pelbagai pendekatan efektif termasuk memberi amaran, bimbingan dan kaunseling kepada pelajar yang terbabit dengan gejala ponteng sekolah.

    Berita Harian Online: 28 Disember 2010

    Isnin, 27 Disember 2010

    Semesta kekal rekod sekolah terbaik 5 tahun

    RAUB 26 Dis. - Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (Semesta) di sini mengekalkan rekod apabila menjadi sekolah terbaik selama lima tahun berturut-turut di negeri ini selepas 103 daripada 128 pelajarnya memperoleh semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010.

    Pengetua Semesta, Kamaruddin Kasim berkata, pencapaian 81 peratus semua A itu membuktikan perancangan yang baik dan usaha bersungguh-sungguh mampu meraih kejayaan cemerlang.

    Katanya, sekolah itu memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 1.01 berbanding 1.02 tahun lalu dan 1.05 pada 2008.

    "Mata pelajaran yang mendapat 100 peratus A tahun ini juga meningkat daripada tiga kepada lima subjek iaitu Matematik, Sains, Sejarah, Geografi dan Kemahiran Hidup," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

    Kamaruddin berkata, pada tahun lalu seramai 108 daripada 125 pelajar atau 86.4 peratus memperoleh semua A dalam PMR.

    Beliau berkata, pada 2005 seramai 88 pelajarnya mendapat 8A atau 63.31 peratus (GPS 1.096) dan pada 2006 seramai 81 pelajar mendapat 8A atau 65.32 peratus (GPS 1.105).

    Pada 2007 katanya, seramai 95 pelajar mendapat 8A atau 67.86 peratus dengan GPS 1.059 manakala pada 2008 seramai 94 pelajar mendapat 8A dengan 73.44 peratus dan GPS 1.05.

    "Amalan budaya kerja yang diterapkan seperti membina sikap bertanggungjawab terhadap diri dan organisasi banyak mendorong pencapaian cemerlang ini," katanya.

    "Guru dan pelajar mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing yang perlu dilaksanakan kerana ia memberi kesan positif terhadap kecemerlangan pendidikan.

    "Konsep ini diterapkan kepada tenaga pengajar dan pelajar supaya mereka sentiasa berusaha keras mencapai yang terbaik dalam semua bidang diceburi," katanya.

    Menurut Kamaruddin, guru dan pelajar juga digesa menjauhi sindrom selesa bagi mengelakkan mereka leka terhadap tanggungjawab masing-masing.

    Beliau juga memuji peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Persatuan Alumni SEMESTA dan masyarakat yang sentiasa membantu terutama di segi penyaluran dana.

    Sementara itu, pelajar terbaik PMR 2010 SEMESTA, Shamsul Ammar Shamsul Baharin, 16, berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

    Utusan Malaysia Online: 27 Disember 2010

    576 sekolah usang

    Oleh Mohd Azrone Sarabatin
    azrone@bharian.com.my
    2010/12/27

    MOHD PUAD memeriksa dinding SK Nanamun, Kota Belud, yang sudah reput dan perlu dibaiki segera.
    MOHD PUAD memeriksa dinding SK Nanamun, Kota Belud, yang sudah reput dan perlu dibaiki segera.
    Kementerian perlu peruntukan RM500 juta bina naik taraf

    KEMENTERIAN Pelajaran memerlukan peruntukan RM500 juta untuk membina dan menaik taraf 576 bangunan sekolah usang di seluruh negara dalam peruntukan pusingan pertama Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) mulai bulan depan.

    Timbalannya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata berdasarkan laporan jawatan kuasa audit kementerian, bilik darjah sekolah berkenaan berada pada tahap amat kritikal dan memerlukan bangunan baru.
    “Kementerian akan berusaha memohon peruntukan itu khususnya membina dan menaik taraf enam peratus bangunan sekolah sangat kritikal daripada kira-kira 9,600 sekolah yang diaudit di seluruh negara,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanamun, Kota Belud, Sabah, baru-baru ini.

    Hadir sama Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Dr Muhiddin Yusin; Guru Besar SK Nanamun, Alkesah Bidin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pinjaman Hassin.

    Mohd Puad, berkata, antara bangunan sekolah amat kritikal adalah SK Nanamun yang memerlukan pembinaan bangunan baru kerana sukar dinaik taraf, termasuk pendawaian semula dan struktur bangunan sudah reput.

    Katanya, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga bekas murid sekolah itu pernah membincangkan masalah dihadapi dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
    "Timbalan Perdana Menteri meluluskan RM10 juta untuk pembinaan bangunan konkrit enam kelas bagi peruntukan pusingan pertama RMK-10," katanya.

    Mengenai projek sekolah yang gagal disiapkan dalam RMK-9 di seluruh negara, Mohd Puad berkata, kontraktor terbabit sudah dikenakan tindakan dan disenarai hitam manakala kontraktor baru turut dilantik bagi menyempurnakannya.

    Katanya, pembinaan itu membabitkan 38 sekolah di Sabah seperti didedahkan Berita Harian baru-baru ini, termasuk juga Sekolah Menengah Sains Batu Pahat di Johor.

    Beliau berkata, sebelum ini kementerian menyenaraikan 45 projek sekolah sakit daripada 17,000 bangunan sekolah membabitkan makmal yang dibina dan dinaik taraf di seluruh negara," katanya.

    Berita Harian Online: 27 Disember 2010

    Ahad, 26 Disember 2010

    Hanya guru berkelayakan ajar BM

    PUTRAJAYA 25 Dis. – Kementerian Pelajaran mengarahkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menempatkan guru yang mempunyai kelayakan sahaja untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia mulai tahun depan.

    Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud (gambar) berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan ia selari dengan kehendak pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

    “Guru yang mengajar Bahasa Malaysia untuk Tahun Satu dan Dua di SJKC dan SJKT hendaklah terdiri daripada mereka yang boleh bertutur dalam dwibahasa dan perlu mempunyai kredit dalam Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    “Bagi Tahun Tiga hingga Enam, guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia hendaklah mereka yang memiliki opsyen ikhtisas Pengajian Melayu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam satu pekeliling yang dipetik daripada laman web rasmi Kementerian Pelajaran, di sini hari ini.

    Abdul Ghafar berkata, bagi SJKC dan SJKT dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM), guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia hendaklah dipilih di kalangan guru berpengalaman dan boleh bertutur dwibahasa serta mempunyai kredit Bahasa Malaysia dalam SPM.

    Sehubungan itu, katanya, Jabatan Pelajaran Negeri perlu mengambil tindakan sewajarnya semasa pelaksanaan proses penempatan, pertukaran dan penempatan semula guru di SJKC dan SJKT.

    Utusan Malaysia Online: 26 Disember 2010

    Sabtu, 25 Disember 2010

    Muhyiddin nafi dakwaan tidak hargai jasa guru

    Oleh Rohaniza Idris
    roha@bharian.com.my
    2010/12/25

      MUHYIDDIN   melancarkan Teach For Malaysia sambil diperhatikan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz (kiri) dan Pengasas Teach For Malaysia, Keeran Sivarajah  di Suruhanjaya Sekuriti, di Kuala Lumpur, semalam.
    MUHYIDDIN melancarkan Teach For Malaysia sambil diperhatikan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz (kiri) dan Pengasas Teach For Malaysia, Keeran Sivarajah di Suruhanjaya Sekuriti, di Kuala Lumpur, semalam.

    Imbuhan RM500 hanya untuk guru sukar dilaksana

    KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuduh Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran tidak menghargai peranan guru apabila mempertikaikan tawaran pembangkang mahu memperkenal-kan imbuhan khas pendidik RM500 seorang setiap bulan.

    Sambil menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai taktik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk meraih sokongan rakyat bagi mendokong hasratnya menawan Putrajaya, Timbalan Perdana Menteri berkata, hanya Menteri Pelajaran yang tidak berhati perut tidak menghargai jasa guru.
    “Saya gembira mendengar tawaran ini, tetapi kita perlu melihat secara keseluruhan untuk menterjemahkan apa yang ditawarkan ini dengan hakikat. Kita kena ingat apabila menawarkan RM500, kita kena ambil kira jumlah keseluruhan kakitangan awam lain iaitu 1.2 juta orang. Kita perlu beri tawaran sama kepada mereka juga.

    “Saya ingin cabar Anwar melaksanakan kenaikan gaji bagi kakitangan awam di negeri pakatan pembangkang dulu jika beliau benar-benar prihatin dengan nasib penjawat awam,” katanya sambil menambah Anwar yang ‘pakar dan bijaksana’ harus tahu bagaimana sukar melaksanakan tawaran itu kerana pernah berada dalam kerajaan dan menjadi Menteri Pendidikan.

    Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis ‘Teach for Malaysia’, di sini semalam, Muhyiddin berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) mengamalkan langkah meneliti setiap perkara yang berkaitan secara holistik sebelum membuat tawaran kepada rakyat.

    “Kerajaan bukan tak boleh buat begitu (beri imbuhan kepada guru)... tetapi kita mengambil kira implikasi dan kesannya kepada pihak lain. Jika saya naikkan gaji guru saja, penjawat awam lain akan persoalkan. Saya membuat penilaian kepada semua perkara dan me-ngambil kira konteks keseluruhan kakitangan awam,” katanya.
    Sementara itu, Muhyiddin berkata, program ‘Teach for Malaysia’ berasaskan konsep mengajar sambil berbakti dipelopori rangkaian global ‘Teach for All’ yang memberi peluang kepada graduan cemerlang berkhidmat kepada negara melalui profesyen perguruan.

    Katanya, penempatan peserta program itu di sekolah berkeperluan tinggi akan bermula pada Januari 2012 dan akan dilatih selama lapan minggu di Institut Aminuddin Baki sebelum diserapkan mengajar di sekolah terpilih dengan Malaysia negara pertama di Asia Tenggara dan ketiga di Asia selepas India dan China melaksanakan inisiatif itu.

    Dalam perkembangan lain, Muhyiddin meminta Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia Bhd merumuskan formula yang boleh memberi faedah kepada kedua-dua pihak jika mahu memulakan kerjasama strategik bagi memastikan kedua-dua syarikat dapat terus bersaing pada peringkat global.

    “MAS dan AirAsia perlu memulakan kerjasama strategik walaupun mereka bersaing khususnya dalam soal tambang murah dan sederhana. Bagaimanapun, perkara itu terserah kepada pihak pengurusan kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan kerana kami (kerajaan) faham ini satu bentuk perniagaan dan elemen persaingan sihat,” katanya.

    Mengenai isu pembangunan nuklear, beliau menjelaskan perkara itu masih belum diputuskan kerana kerajaan perlu mengambil pandangan pelbagai pihak.

    Berita Harian Online: 25 Disember 2010

    Tindakan jika tak mula sesi persekolahan ikut jadual

    2010/12/25

    KANGAR: Kementerian pelajaran akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana sekolah yang didapati gagal memulakan persekolahan awal tahun depan seperti dijadualkan, terutama atas alasan yang tidak sewajarnya.

    Sehubungan itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Operasi), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, mahu semua bentuk alasan atau gangguan berkenaan termasuk kerja pembersihan, orientasi pelajar dan mesyuarat guru disempurnakan lebih awal iaitu sebelum 1 Januari.

    “Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana segala aktiviti berkenaan seharusnya dilakukan lebih awal iaitu seminggu sebelum sekolah dibuka.
    “Justeru, jika ada sekolah yang gagal berbuat demikian, surat tunjuk sebab akan diberikan kepada pihak berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Perlis, di sini, semalam.

    Hadir sama, Timbalan Pengarah Pelajaran Perlis, Abdul Hadi Harun dan Guru Besar bahagian Sekolah Rendah IPGM Perlis, Kamarudin Ismail.

    Difahamkan, Noor Rezan kini dalam proses lawatan kerja ke semua sekolah di seluruh negara bagi mendapat maklum balas dan perkembangan mengenai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) selain meninjau persediaan sekolah bagi permulaan sesi persekolahan ini.

    Selain itu, Noor Rezan berkata, pihaknya berpuas hati dengan program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIT) dan Program Pembangunan Sekolah (SIP) yang dilihat membuahkan hasil.
    Katanya, melalui program itu, banyak sekolah yang sebelum ini berada pada tahap enam dan tujuh iaitu kategori lemah, berjaya dilonjak ke kedudukan yang lebih baik.

    “Melalui program ini, setiap masalah yang dihadapi boleh diselesaikan secara bersama sama ada di peringkat sekolah, jabatan dan kementerian demi meningkatkan mutu pendidikan negara," katanya.

    Berita Harian Online: 25 Disember 2010

    SMK Aminuddin Baki kekal rekod lulus 100% PMR

    KUALA LUMPUR 24 Dis. - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki di sini mengekalkan rekod kelulusan 100 peratus dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) selama tiga tahun berturut-turut sejak 2008.

    Pengetuanya, Latifah Mahfod berkata, kejayaan itu adalah atas usaha berpasukan guru-guru, pelajar dan ibu bapa.

    "Kesemua mereka bergabung dalam usaha meningkatkan prestasi cemerlang sekolah. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga mengumpul dana sebanyak RM52,600 bagi melaksanakan program kecemerlangan akademik.

    "Sekolah menyasarkan 70 peratus calon mendapat A bagi semua mata pelajaran pada 2011 berbanding 65.55 peratus pada tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian anugerah cemerlang PMR 2010 Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

    Anugerah disampaikan oleh Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Mohd. Adenan Deraman. Turut hadir Pengerusi Yayasan Pendidikan Titiwangsa, Datuk Astaman Abd. Aziz.

    SMK Aminuddin Baki menerima empat anugerah untuk kategori sekolah kawalan dan sekolah berasrama penuh iaitu Anugerah Pencapaian Terbaik PMR 2010 (tempat ketiga), Anugerah Peratus Semua A Tertinggi (tempat ketiga), Anugerah Sekolah Harapan dan Anugerah Semua Aliran Pencapaian 100 Peratus Lulus.

    Sementara itu Latifah berkata, semangat kerja yang sangat tinggi tanpa mengira masa di kalangan guru-guru sekolah itu juga antara faktor penyumbang kepada kejayaan itu.

    "Bagi mempersiapkan pelajar untuk PMR 2010, kami menjalankan usaha meningkatkan pencapaian pelajar sejak berada di Tingkatan Satu lagi.

    Sementara itu, SMK Putrajaya Presint 11 (1) pula menerima Anugerah Pencapaian Terbaik PMR 2010 bagi kategori sekolah harian manakala Sekolah Sultan Alam Shah bagi kategori sekolah kawalan dan sekolah berasrama penuh.

    Utusan Malaysia Online: 25 Disember 2010

    Jumaat, 24 Disember 2010

    Guru tidak termakan umpan

    SALAH satu janji pakatan pembangkang melalui Program 100 Hari sekiranya mereka dipilih memerintah negara ialah memberi imbuhan kepada kakitangan kerajaan. Guru adalah keutamaan mereka dan akan diberi kenaikan RM500 ringgit sebulan.

    Saya menunggu selama beberapa hari untuk melihat reaksi persatuan guru. Sehingga ke hari ini tiada sebarang reaksi diberikan. Barangkali persatuan guru beranggapan janji ini adalah janji kosong yang tidak perlu diberi perhatian.

    Saya percaya pakatan pembangkang menabur janji ini berasaskan kepada beberapa faktor. Antaranya:

    * Guru adalah kakitangan kerajaan paling ramai. Bilangannya melebihi 400 ribu orang di seluruh negara. Pembangkang menyangka guru akan termakan umpan mereka dan sudah pasti mereka akan mendapat undi daripada para guru.

    * Guru mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan masyarakat. Sejarah membuktikan bahawa guru memang mempunyai pengaruh yang amat besar dalam mana-mana masyarakat tempat di mana mereka berkhidmat.

    * Kadangkala kita mendengar rungutan guru mengenai beberapa perkara berkaitan kebajikan mereka dan ini cuba dipolitikkan oleh pembangkang.

    Malangnya, pakatan pembangkang tidak membuat sebarang kajian sewaktu melontarkan umpan mereka. Kesannya mereka gagal memahami beberapa faktor yang sangat rapat dengan guru. Saya mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan ramai guru dan mendapati kebanyakan mereka:

    * Tidak meletakkan gaji dan imbuhan sebagai keutamaan mereka dalam perkhidmatan. Saya dapati bagi guru yang sudah lama berkhidmat khasnya, mereka sangat mencintai bidang yang mereka ceburi dan sanggup melakukan pelbagai pengorbanan bagi membantu pelajar.

    * Sangat komited untuk membantu pelajar berkembang dengan baik dan cemerlang. Lihatlah gaya guru menjelang musim peperiksaan dan lihat pula resah gelisah guru pada hari keputusan peperiksaan diumumkan. Ghairah guru kadangkala mengatasi keghairahan pelajar itu sendiri.

    * Meletakkan pelajar dan ibu bapa mereka seperti keluarga sendiri. Pergilah ke sekolah-sekolah khasnya di desa-desa. Guru sudah sebati bersama masyarakat. Mereka tidak sahaja berperanan di sekolah bahkan mereka juga berkhidmat kepada masyarakat di tempat mereka bertugas.

    * Guru yang berkesan berkhidmat dengan jiwanya. Kita selalu mendengar guru balik lewat kerana mengadakan kelas tambahan. Kita tahu ada guru yang sebahagian besar masanya bersama pelajar. Guru bukan sekadar mengajar huruf dan angka. Guru mendidik pelajar bagaimana mendepani kehidupan.

    Atas asas-asas yang saya nyatakan di atas, saya percaya janji Pakatan Pembangkang adalah satu penghinaan kepada profesion perguruan yang selamanya dipandang mulia. Saya yakin para guru sebahagian besarnya berasa terkilan dan tersinggung. Pakatan pembangkang memandang rendah kepada guru yang hakikatnya telah menjadikan mereka seorang peguam, ahli perniagaan, Wakil Rakyat, Menteri Besar, Ketua Menteri dan sebagainya.

    Kepada pakatan pembangkang saya ingin mengingatkan, mungkin mereka terlupa bahawa mereka pernah termakan budi dan jasa guru. Tetapi janganlah lupa bahawa menghina, memandang rendah kepada sesiapa sekalipun adalah perbuatan yang amat tidak wajar dan tidak sesuai dilakukan walau apa pun niat dan tujuannya.

    KAMARIAH YOUB

    Enggor, Perak


    Utusan Malaysia Online: 24 Disember 2010

    Guru mahu penjelasan elaun pegawas peperiksaan, EPW

    2010/12/24

    SAYA guru dari Semenanjung yang ditempatkan di pedalaman Sabah. Pada 2009 saya dilantik sebagai pengawas untuk Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Jumlah hari pengawasan selama enam hari. Jumlah ulang alik jauhnya jarak tempat pusat peperiksaan itu dari sekolah 78 kilometer. Bayaran iktisas sebagai pengawas peperiksaan PMR ialah RM75 dan pembayaran elaun perjalanan ialah 50 sen, 60 sen dan 70 sekilometer. Jumlah keseluruhan tuntutan sebagai pengawas peperiksaan ialah kira-kira RM480. Selepas setahun menunggu, tuntutan pembayaran itu baru dibayar. Apa yang amat mengejutkan ialah pembayaran dibuat hanya RM83 saja. Ini bermakna pembayaran untuk perjalanan hanya RM8. Di mana keadilan? Justeru, saya bertanya pada pakcik saya yang juga pengawas peperiksaan PMR 2009 di Johor. Beliau hanya menjadi pengawas peperiksaan di pusat peperiksaan yang hanya 12 kilomeer perjalanan dan jumlah tuntutan RM260 dan beliau menerima bayaran tuntutan itu selepas sebulan peperiksaan PMR tamat dan mendapat jumlah seperti yang dituntut. Yang amat menghairankan kenapa di Sabah jumlah pembayaran didiskriminasikan dari segi jumlah dan tempoh pembayaran. Tindakan Lembaga Peperiksaan Malaysia ini seolah-olah mahu memperlekehkan pengorbanan guru dan ada unsur penganiayaan.

    Keduanya, pada 2008, saya bertugas sebagai pengawas peperiksaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam di SMK Taman Maluri selama satu hari. Dalam borang tuntutan pembayaran berjumlah RM45. Apa yang amat mendukacitakan ialah sehingga ke hari ini tuntutan pembayaran itu masih tidak dapat dan apa yang menyedihkan SPA atau pembayar hanya mendiamkan diri walaupun sudah beberapa kali saya mengutarakan hal ini kepada mereka.

    Ketiga, pada 2008 saya dihantar bertugas di Sabah. Selepas dua tahun bertugas, barulah kali pertama saya memohon tiket percuma untuk pulang ke Semenanjung. Apa yang menyedihkan pihak yang menguruskan tiket percuma itu mengatakan peruntukan tiket tambang percuma sudah dibekukan. Di manakah hak kami kerana seingat saya pada hari pertama melapor diri di Kota Kinabalu, kami diberi taklimat dan antaranya mengenai keistimewaan guru Semenanjung yang bertugas di Sabah diberikan tiket tambang percuma pulang ke Semenanjung sekali setahun.
    Keempat, soal Elaun Perumahan Wilayah (EPW). Pada peringkat awal pembayaran EPW di sini berjalan lancar dan pada tahun kedua pelbagai masalah timbul.
    Antaranya, guru Semenanjung yang duduk di kuarters guru akan ditarik balik elaun EPW. Persoalannya mengapa hanya di sekolah tempat saya mengajar saja melaksanakannya, sedangkan saya lihat banyak sekolah lain di Sabah yang mana guru Semenanjung yang tinggal di kuarters masih menikmati EPW.

    GURU DILEMA,
    Kota Kinabalu

    Berita Harian Online: 24 Disember 2010

    Jumaat, 17 Disember 2010

    Muhyiddin minta sekolah tidak kenakan bayaran tambahan tinggi

    KUALA LUMPUR 16 Dis. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pihak sekolah supaya tidak mengenakan bayaran tambahan yang tinggi kepada pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan baru pada 2 dan 3 Januari ini.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, selaras dengan pekeliling yang telah dikeluarkan Kementerian Pelajaran, bayaran itu hanya boleh dikenakan setelah mendapat persetujuan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta diluluskan oleh Jabatan Pelajaran negeri.

    "Kita jangan bebankan ibu bapa dengan pembayaran yang tinggi kerana ia boleh menyebabkan masalah kepada keluarga.

    "Kalau pihak sekolah perlu mendapatkan sedikit sumbangan daripada ibu bapa untuk menambah baik lagi proses pembelajaran, maka ia hanya boleh dibuat menerusi mesyuarat PIBG dan mendapat kelulusan Jabatan Pelajaran kita di peringkat negeri," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2011 di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya telah membuat persiapan secukupnya bagi menghadapi sesi persekolahan 2011 yang akan bermula pada 2 Januari bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala negeri lain pada keesokan harinya.

    Beliau berkata, takwim persekolahan 2011 juga memperuntukkan jumlah hari persekolahan sebanyak 210 hari dan cuti penggal selama 78 hari.

    "Dijangka seramai 457,760 murid tahun satu dan 474,803 pelajar tingkatan satu akan memulakan sesi persekolahan mereka pada 2011," katanya.

    Muhyiddin berkata, pihaknya sudah membekalkan 185,125 set kerusi meja di seluruh negara, termasuk sebanyak 6,012 set di Sabah yang sebelum ini dilaporkan mengalami masalah kekurangan bekalan.

    "Begitu juga bekalan buku teks. Sebanyak 15.6 juta naskhah buku bagi semua jenis sekolah turut dihantar," ujarnya.

    Katanya, dianggarkan seramai 229,705 guru akan mengajar di sekolah rendah manakala sekolah menengah seramai 164,824 guru.

    "Kekosongan 4,653 jawatan guru sekolah rendah dan 3,720 jawatan guru sekolah menengah akan diisi oleh guru sandaran dengan kadar segera," katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, dua dasar baru akan dilaksanakan berkuat kuasa Januari ini iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi murid tahap satu dan 'satu murid satu sukan.'


    Utusan Malaysia Online: 17 Disember 2010

    Selasa, 14 Disember 2010

    Minda Pengarang: Langkah sediakan guru pembantu mampu tingkat prestasi pelajar

    2010/12/14

    MASALAH beban tugas guru bukanlah perkara baru, namun ia kembali hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Bebanan tugas yang berlebihan dikatakan bukan saja mengganggu tugas hakiki guru, malah menyebabkan sesetengahnya hidup tertekan. Selain terbabit dengan kegiatan kokurikulum serta mengikuti pelbagai jenis kursus, guru juga terpaksa melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian.

    Semua itu, membantutkan usaha golongan pendidik ini untuk memberikan sepenuh komitmen kepada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Menyedari hakikat itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran mengarahkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan pertengahan tahun ini bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan. Satu makmal khas turut diwujudkan dengan menjemput guru dan pengetua untuk mengatasi masalah itu, selain pergi ke sekolah untuk meninjau dan mendapatkan maklum balas daripada pihak guru sendiri.
    Laporan akhir Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 itu yang didedahkan kepada umum kelmarin, mengenal pasti 14 faktor yang menyumbang kepada meningkatnya beban tugas guru. Antaranya termasuk penyertaan guru dalam terlalu banyak kegiatan kokurikulum dan sukan hingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan. Selain itu, jawatankuasa itu turut mengemuka serta memperakukan 28 cadangan kepada Kementerian Pelajaran. Antaranya untuk menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah serta melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak bagi mengurangkan beban tugas guru.

    Justeru, apabila cadangan laporan itu dilaksanakan kelak, kita harap ia mampu menangani masalah beban tugas berlebihan yang dihadapi guru di setiap sekolah seluruh negara. Kita percaya Kementerian Pelajaran sudah mengkaji secara mendalam sebelum memutuskan untuk melaksanakan cadangan laporan itu agar tidak timbul masalah lain, termasuk dari segi kos operasi di sekolah kerana ia tentunya memerlukan peruntukan besar daripada kerajaan. Bagi memastikan pelajar mendapat manfaat dan meningkatkan kualiti pencapaian mereka, Kementerian Pelajaran harus melaksanakan cadangan laporan itu dengan bijaksana, teliti dan berkesan. Pembahagian tugas antara guru kelas dan guru pembantu perlu dilaksanakan dengan bijak agar tidak berlaku pertindihan.

    Dengan berkurangnya beban kerja, kita harap setiap guru dapat memberi komitmen serta tumpuan sepenuhnya terhadap tugas mengajar di dalam kelas bagi meningkatkan prestasi pelajar. Kita tidak mahu ada lagi segelintir guru mengambil kesempatan menjadikan alasan bebanan tugas untuk tidak melaksanakan tugas hakiki mereka dengan baik dan mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Guru adalah kerjaya yang sentiasa mendapat perhatian utama kerajaan kerana peranannya cukup penting dalam mendidik rakyat agar menjadi modal insan cemerlang untuk membangunkan negara.

    Sebab itulah kerajaan tidak pernah mengabai kebajikan guru dan setiap masalah yang timbul sentiasa mendapat perhatian untuk ditangani segera. Oleh itu, dalam keadaan tertentu, guru juga perlu membuktikan keikhlasan serta sikap sedia berkorban tanpa mengharapkan imbuhan semata-mata. Kita percaya sebahagian besar guru di negara ini komited dengan tugas mereka dan sanggup mengharungi cabaran bagi memastikan pelajar mendapat pendidikan sempurna dan cemerlang dalam pelajaran.

    Berita Harian Online: 14 Disember 2010

    Guru kedua tumpu tugas sampingan

    Oleh Lum Chee Hong
    lumch@bharian.com.my
    2010/12/14

    Cadangan ringan tugas pendidik, jamin keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran

    KUALA LUMPUR: Cadangan menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah mampu mengurangkan beban tugas guru, sekali gus dapat keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).
    Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Lok Yim Peng, berkata antara lain guru pembantu boleh menumpukan kepada tugas sampingan lain seperti perkeranian serta pengurusan program teknologi maklumat dan komunikasi.

    Katanya, guru pembantu juga boleh berperanan membantu murid yang menghadapi masalah seperti sakit atau demam ketika berada dalam kelas.

    “Guru pembantu adalah cadangan yang baik, tetapi tidak boleh mengambil peranan sepenuhnya sebagai guru.

    “Guru pembantu boleh membantu guru di bilik darjah, tetapi tugas mereka tidak boleh bertindih, contohnya jika lebih tertumpu kepada tugas perkeranian dan pengurusan program teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

    Beliau mengulas cadangan itu, antara 28 perakuan dikemuka Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
    Dalam laporannya, jawatankuasa itu mengenal pasti 14 faktor yang menyumbang peningkatan beban tugas guru, termasuk terlalu banyak penyertaan dalam kokurikulum dan sukan sehingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan.

    Yim Peng turut mencadangkan Kementerian Pelajaran supaya melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak ke jawatan tetap selepas mereka berkhidmat dalam tempoh tertentu.

    Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata pelaksanaan dua guru satu kelas dapat memberi faedah kepada murid kerana mudah untuk mengawasi mereka.

    Katanya, guru boleh memberi tumpuan terhadap proses P&P, manakala guru pembantu berperanan memastikan proses berkenaan berjalan lancar di dalam bilik darjah.

    “Justeru, guru pembantu perlu memiliki kelayakan Kursus Khas Perguruan, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Diploma Pendidikan atau mengambil mereka kalangan guru sandaran tak terlatih (GSTT) bagi memenuhi keperluan terbabit,” katanya.



    INFO: Nisbah murid, guru


  • Belgium: 15 murid
  • Amerika Syarikat: 14 murid
  • Denmark: 10 murid
  • Singapura: 17 murid
  • Thailand: lebih 30 murid
  • Indonesia: lebih 30 murid
  • Malaysia : lebih 30 murid

    Sumber: Institusi pendidikan negara terbabit dan UNICEF

  • Berita Harian Online: 14 Disember 2010

    Isnin, 13 Disember 2010

    Dua guru 1 kelas

    Oleh S Anand Kumar dan Haspaizi Mohd Zain
    bhnews@bharian.com.my
    2010/12/13

    Syor dikemukakan jawatankuasa khas tangani peningkatan beban tugas pendidik

    KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran merancang menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah serta melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak bagi mengurangkan beban tugas guru.
    Cadangan itu adalah antara 28 perakuan yang dikemukakan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

    Dalam laporannya, jawatankuasa itu mengenal pasti 14 faktor yang menyumbang kepada peningkatan beban tugas guru, termasuk penyertaan dalam terlalu banyak kegiatan kokurikulum dan sukan hingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan.

    Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata satu pelan operasi latihan juga sedang dibangunkan untuk dilaksanakan tahun depan bagi mengurangkan kekerapan guru meninggalkan kelas untuk berkursus.

    Malah, katanya, antara perakuan yang sudah diambil tindakan ialah memohon agensi Pusat menempatkan 100 jawatan pembantu tadbir N17 melalui urusan pindah butiran perjawatan di 50 sekolah gred A yang mempunyai enrolmen melebihi 1,500 murid untuk mengurangkan tugas perkeranian yang terpaksa dilakukan guru.

    Beliau berkata, semua perakuan itu dikemukakan selepas isu beban tugas guru dibangkitkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.
    Katanya, jawatankuasa itu dalam laporannya turut mendedahkan ada guru memegang dan melaksanakan sehingga 30 tugasan di sekolah serta peringkat daerah dan negeri.

    Sehubungan itu, katanya, satu jawatankuasa pelaksanaan ditubuhkan dan akan bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menyemak status pelaksanaan semua perakuan yang kemukakan jawatankuasa berkenaan.

    Mengenai aduan aktiviti sekolah pada Sabtu, Mohd Puad berkata, pekeliling sudah dikeluarkan dengan membenarkan hanya dua Sabtu dalam sebulan dibenarkan aktiviti sekolah dan kegagalan mematuhinya perlu dilaporkan kepada kementerian.

    Sementara itu, Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata jawatankuasa berkenaan turut memaklumkan kepada pihaknya berhubung kajian yang dilakukan di beberapa sekolah di Johor dan Melaka, termasuk cadangan mengurangkan peperiksaan dan ujian yang diganti dengan penilaian.

    “NUTP difahamkan mulai Januari depan, penilaian itu akan diamalkan setiap bulan yang menjurus kepada ujian pendek dengan soalan disediakan guru.

    “Ini bermakna beban guru semakin bertambah lagi dan tiada pengurangan, kita berharap kerajaan akan mengkaji semula perkara ini,” katanya.


    INFO: Antara beban tugas guru
  • Kekerapan guru keluar berkursus
  • Kokurikulum/sukan
  • Tugas hujung minggu
  • Tugas rencam
  • Tugas tidak jelas
  • Penempatan guru
  • Rantaian arahan (chain of command)
  • Ujian/peperiksaan
  • Silap padanan (mismatch)
  • Saiz kelas
  • Sebaran kurikulum.

    INFO: Antara perakuan tangani isu beban tugas guru
  • Menambah staf sokongan untuk tugas perkeranian
  • Pengwujudan jawatan pembantu bengkel di semua sekolah menengah
  • Menambah jawatan Pembantu Perpustakaan N17
  • Gabungan jawatankuasa pada peringkat sekolah tidak melebihi 10 jawatankuasa
  • Pelan Operasi Latihan Tahunan
  • Aktiviti Sabtu berjadual tidak melebihi 2 kali sebulan
  • Jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak
  • Mewujudkan jawatan Jurulatih Utama Kurikulum
  • Pengenalan kurikulum secara atas talian
  • Penganjuran kursus yang berasaskan sekolah diperluas
  • Guru pembantu bagi kelas melebihi 35 murid untuk sekolah rendah dan 40 pelajar di sekolah menengah
  • Kajian semula bilangan enrolmen pelajar di sesebuah kelas supaya lebih kondusif
  • Pembinaan lebih banyak sekolah di kawasan padat untuk tujuan sekolah satu sesi
  • Pengurangan ‘mismatch’ melalui pelabelan guru serta iktiraf guru melalui latihan.
  • Lebih ramai guru lelaki di kawasan pedalaman dan bandar raya
  • Tempoh perkhidmatan di pedalaman ditetapkan lima tahun
  • Pasangan suami isteri bertugas di pedalaman ditempatkan di sekolah sama atau berhampiran
  • Kemudahan dan persekitaran kerja kondusif
  • Perlindungan insurans takaful semasa menjalankan tugas rasmi di luar sekolah
  • Penyediaan khidmat guaman kepada guru bagi kes berkaitan tugas rasmi

  • Berita Harian Online: 13 Disember 2010

    Jumaat, 10 Disember 2010

    Angkat status sekolah kebangsaan

    SEKOLAH 'separa korporat' akan menjadi kenyataan apabila pihak korporat dibenarkan terlibat secara langsung mengangkat status quo sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan - sama ada menengah atau rendah - di bawah inisiatif Sekolah Amanah mulai tahun depan.

    Hal ini akan menjadikan sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan - menengah atau rendah - setanding dengan sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina, atau sekolah swasta dari segi status elitis dan pembiayaan kewangannya, sekali gus mengubah topografi pendidikan dan tanggapan terhadap sekolah kebangsaan di negara ini.

    Apakah pula perbezaan Sekolah Amanah dengan sekolah swasta?

    Perbezaan besar ialah Sekolah Amanah merupakan sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan yang bakal mendapat penajaan syarikat, sementara sekolah swasta ialah sekolah yang dimiliki secara berdaftar oleh sebuah pegangan swasta sepenuhnya.

    Inisiatif Sekolah Amanah akan mencakupi sekolah kerajaan iaitu sekolah kebangsaan harian, sekolah menengah harian, sekolah agama, sekolah vokasional, sekolah berasrama, sekolah pendidikan khas, sekolah Orang Asli, Sekolah Sukan dan Sekolah Seni.

    Turut mendapat tempias ialah sekolah bantuan kerajaan yang meliputi sekolah aliran dan sekolah mubaligh.

    Turut diberi jaminan ialah, tiada bayaran tambahan - sama ada berbentuk yuran, aktiviti atau yang tersembunyi - yang akan dikenakan kepada pelajar atau ibu bapa untuk memasuki Sekolah Amanah.

    Hal ini berbeza dengan sekolah swasta yang mengenakan yuran yang tinggi kepada pelajar.

    Namun begitu, hal ini tidak bermakna pihak swasta yang menjadi penaja bakal mempunyai kuasa autonomi ke atas pentadbiran sedia ada di sekolah.

    Pengetua atau guru besar masih berkuasa penuh.

    Sebagai permulaan, Khazanah Nasional melalui perbadanannya, Yayasan Amir - sebuah organisasi bukan komersial yang baru diperbadankan - akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelajaran merintis pelaksanaan di 10 sekolah rintis, yang akan diumumkan kelak.

    ''Kita akan cuba menerapkan budaya korporat dalam budaya sekolah dan mempercepatkan keberhasilan yang dirancang di bawah inisiatif utama Kementerian Pelajaran Malaysia pada 2010," kata Pengarah Eksekutif Pengurusan Strategik Pembangunan Sumber Manusia Khazanah Nasional, Shahnaz Al-Sadat.

    Inisiatif tersebut ialah program prasekolah, tawaran baru kepada pentadbir dan pengetua sekolah, program sekolah berprestasi tinggi, program literasi dan numerasi (LINUS) dan program penambahbaikan sekolah.

    Beliau menggambarkan, Khazanah Nasional akan mengeluarkan belanja yang besar bagi merintis program Sekolah Amanah.

    ''Mungkin RM4,000 bagi setiap pelajar," ujar Shahnaz sambil membayangkan penerapan budaya korporat melalui corak pentadbiran, serta pengenalan beberapa kurikulum sampingan baru yang ada 'sentuhan' korporat.

    Kepada pertanyaan yang lebih mendalam, khususnya yang menyentuh tentang 'imbuhan' kepada guru dalam persekitaran dan kesesuaian terma gaji korporat, beliau menjawab: ''Terlalu banyak perkara yang hendak diteliti dan kalau soal itu, ia tertakluk pula kepada terma Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)."

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan tentang insiatif Sekolah Amanah itu hari ini.

    Kepada satu soalan pemberita pada taklimat khas tentang Sekolah Amanah di Kuala Lumpur baru-baru ini, Shahnaz menekankan bahawa projek rintis telah dijalankan selama lebih setahun ke atas sembilan kesatuan dan persatuan guru, seramai 60 pengetua dan guru serta 10 pakar subjek selain kumpulan guru dan orang awam.

    ''Rata-rata positif, dan Khazanah Nasional sendiri tidak mahu merosakkan anak bangsa dengan projek ini," tegasnya.

    Tambah beliau, objektif Sekolah Amanah ialah merapatkan jurang elitis, menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), memantapkan program pedagogi, menambah baik jaringan pentadbiran antara sekolah primer dengan sekolah yang kurang berkemampuan, merangsang guru untuk lebih berinovatif dan seterusnya menjadi contoh kepada transformasi sekolah.

    Jika berdasarkan pelan asal yang dibentangkan oleh Khazanah Nasional yang bakal mengambil 10 sekolah sulung sebagai sekolah angkatnya bagi projek berkenaan mulai tahun depan, peranan pihak swasta lebih kepada menaja sebarang program untuk kebaikan sekolah.

    Khazanah Nasional turut menganggap program berkenaan sebagai melangkaui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), kerana ia melibatkan pertaruhan pembangunan modal insan.

    Secara teknikalnya, pihak Kementerian Pelajaran serta penaja akan mengadakan perjanjian pelaksanaan dan pengurusan (OMA) - satu ikatan perjanjian yang akan menentukan had autonomi, indeks utama pencapaian (KPI) serta terma yang menggariskan bidang pelaksanaan dan pengurusan oleh pihak swasta.

    Pihak Kementerian Pelajaran mempunyai kuasa penuh untuk memilih dan menjalin kontrak dengan mana-mana penaja, memilih sekolah yang layak serta menentukan prestasi berdasarkan sasaran awal.

    Bagi penaja atau yayasan yang telah dilantik, mereka akan terlibat secara langsung dengan aspek pengurusan berasaskan sekolah, perkhidmatan nilai tambah dan pembiayaan tambahan.

    Hal ini bermakna pihak berkenaan akan menetapkan garis panduan dan piawaian bagi bidang autonomi yang telah dipersetujui, memastikan kemapanan kewangan sekolah, menyediakan kawalan kualiti dalaman dan memilih penyediaan perkhidmatan jika difikirkan perlu.

    Apa pula peranan pengetua sekolah?

    Mereka akan meneruskan rutin tugas harian seperti sekarang dalam hal berkaitan dasar pengajaran dan pembelajaran, dasar staf dan pelajar serta pengurusan bajet.

    Shahnaz menambah, pihaknya membuat kajian terperinci tentang program Sekolah Amanah daripada beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), India dan Sweden, yang ada keperluan khusus masing-masing.

    Katanya, model perkongsian pintar sektor awam dan swasta (PPP) wujud di lebih 50 buah negara di seluruh dunia.

    Di AS, katanya, Sekolah Amanah berfungsi menangani 'sekolah yang gagal' di kawasan yang 'paling sukar', memenuhi keperluan pelajar yang tidak mendapat cukup perhatian dan meningkatkan keseluruhan aspek persekolahan melalui persaingan.

    Di UK pula, konsep yang sama dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan, seperti mana juga di India. Di Sweden, konsep yang sama telah berjaya merapatkan jurang pendidikan antara sekolah yang berprestasi tinggi dan sekolah yang berprestasi rendah khususnya di kawasan ramai anak penghijrah.

    Di atas premis yang lebih kurang sama, kata Shahnaz, Yayasan Amir akan memilih berdasarkan kriteria berikut: lima sekolah adalah berdasarkan prestasi yang rendah , prestasi sederhana (3) dan prestasi tinggi (2)

    ''Dengan pemilihan ini, kita akan mewujudkan rangkaian supaya sekolah berprestasi rendah boleh belajar daripada rakan mereka di tahap yang lebih baik," kata Shahnaz.

    Utusan Malaysia Online: 10 Disember 2010

    Memartabatkan profesion guru bukan dengan penyerapan GSTT

    2010/12/10

    SAYA ingin merujuk kepada aduan oleh ‘GSTT’ dan ‘cikgu lama’ dalam ruangan ini kelmarin.

    Berdasarkan pandangan itu, saya mengakui berlaku sedikit kecelaruan dalam sistem perjawatan perguruan.
    Bagaimanapun, kita tidak boleh nafikan pandangan dan peringatan sesetengah pihak yang sedia menyedari hakikat profesion perguruan di Malaysia.

    Saya suka mengemukakan satu persoalan. Adakah profesion perguruan di Malaysia sudah dianggap satu kerjaya profesional? Mungkin ada kalangan kita termasuk saudara sendiri mengatakan 'ya' tetapi bagi saya 'tidak'.

    Antara faktornya kerana kehadiran GSTT. Jika kita teliti profesion lain yang dianggap popular dan bertaraf profesional seperti perubatan, guaman dan akauntan, adakah akan wujud jawatan bertaraf 'sandaran tidak terlatih’?

    Pernahkah kita mendengar 'akauntan sandaran tidak terlatih' atau 'doktor sandaran tidak terlatih'? Jawapannya ada pada saudara.

    Menyedari realiti pada masa kini keperluan terhadap sistem pendidikan amat tinggi dan kritikal maka usaha dilakukan untuk menambahbaikan terhadap profesion dengan perguruan.
    Selaras dengan itu jugalah Kementerian Pelajaran menyediakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 dan satu daripada terasnya ialah 'Memartabatkan Profesion Perguruan' dan mengikut teras ini jugalah satu daripada pengisiannya 'sifar GSTT'.

    Saya mengakui GSTT banyak membantu dari segi perjalanan operasi sekolah, tetapi untuk diserap ke jawatan tetap bukan sesuatu yang wajar kerana masih ramai mereka yang berkelayakan yang boleh memenuhi jawatan berkenaan.

    Mungkin dengan menyerap GSTT masih ramai bakal guru sukar mendapat tempat di mana-mana sekolah selepas tamat kursus kelak. Apapun, saya sendiri tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak.

    Saya menyedari kecelaruan yang berlaku disebabkan tuntutan semasa dan kehendak sesetengah pihak yang kurang sedar akan tanggungjawab mereka memartabatkan profesion perguruan yang hakikatnya semakin hari semakin mencabar.

    Janganlah sampai suatu ketika masyarakat mempersoalkan kelayakan seseorang guru untuk mengajar.

    Harus diingat Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Kursus Dalam Cuti (KDC) mahupun kursus lain yang ditawarkan di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bukanlah untuk menindas mana-mana pihak.

    Semua kursus itu adalah suatu usaha ke arah memartabatkan profesion perguruan.

    Kalau saudara ingin memandu kereta haruslah dapatkan lesen memandu terlebih dulu, begitu juga pengamal perubatan, peguam dan tidak terkecuali sebagai seorang guru.

    PENDIDIK,
    Pulau Pinang

    Berita Harian Online: 10 Disember 2010

    Khamis, 9 Disember 2010

    Sokong guru sandaran komited diserap ke jawatan tetap

    2010/12/09

    MERUJUK kepada aduan ‘Cikgu Baru, Putrajaya’ yang disiarkan dalam ruangan ini pada 4 Disember lalu, saya sebagai cikgu lama yang berkhidmat lebih 11 tahun dalam bidang pendidikan tidak bersetuju dengan pendapat yang diutarakan beliau.

    Pada pendapat saya, semua Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) juga selalu membelek surat khabar untuk menunggu iklan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) atau Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI).
    Jika ‘cikgu baru’ mengikuti kursus setahun, GSTT pula perlu menjalani Kursus Dalam Cuti (KDC) setahun setengah. Adakah ini tidak adil lagi bagi ‘cikgu baru’?

    Saya tidak menyokong kepada mana-mana pihak tetapi pengalaman bekerja bersama GSTT dan guru baru membuatkan saya berminat untuk berkongsi pendapat.

    Pada saya, ramai GSTT yang komitmen melaksanakan tugas diamanahkan walaupun sudah berkeluarga seperti menjadi guru kelas, melatih pasukan sekolah, mengajar kelas belakang bersungguh-sungguh sehingga anak muridnya berjaya dalam PMR dan SPM.

    Mereka menerima semua tugasan tanpa membantah hingga jam 10 jam berada di sekolah setiap hari. Keadaan ini bukan saja berlaku di sekolah saya tetapi kebanyakan sekolah di daerah lain. Begitu juga dengan guru baru yang ditempatkan, kebanyakannya pernah menjadi GSTT menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas sebagai pendidik yang sangat mencabar pada masa kini.

    Untuk makluman ‘cikgu baru’, pada tahun ini ramai penjawat awam kontrak jabatan lain sudah diserap ke jawatan tetap kerana menunjukkan prestasi cemerlang dalam tugas dan begitulah yang akan dilaksanakan dalam Kementerian Pelajaran.
    Saya mewakili guru lama sangat menyokong GSTT dikekalkan dan diserap. Anggaplah ini rezeki mereka selepas bertahun-tahun mendidik dan membantu tenaga pengajar dalam Kementerian Pelajaran.

    CIKGU LAMA,
    Johor Bahru

    Berita Harian Online: 9 Disember 2010

    Guru Sandaran Tidak Terlatih ikuti kursus tak abai murid

    2010/12/09

    TERIMA kasih kepada Berita Harian yang mewujudkan ruangan ini kepada pembaca untuk meluahkan perasaan mereka. Bukan hasrat saya untuk berdebat tetapi ingin meluahkan rasa hati selepas berasa ‘terpukul’ dengan kenyataan ‘guru baru, Putrajaya’ yang disiarkan dalam ruangan ini pada 4 Disember lalu.

    Saya sudah berkhidmat sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) tiga tahun sejak 2008 di Selangor. Kami juga perlu melalui proses temu duga dan penyaringan dari Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Selangor untuk penempatan.
    Mungkin saya tidak mendapat latihan formal dalam perguruan tetapi pengalaman mengajar yang ditimba sama dengan guru tetap. Saya juga menerima tugasan dan tanggungjawab sama dengan mereka cuma tidak pegang jawatan penting di sekolah.

    Untuk pengetahuan, saya sudah memohon untuk Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sebanyak lima kali dan terpaksa membeli nombor pin dan menunggu semakan nama dengan seperti dinyatakan oleh ‘guru baru’. Mungkin saya tidak bernasib baik kerana masih belum diterima untuk KPLI.

    Berdasarkan pengalaman kawan yang pernah mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC), mereka harus meluangkan masa cuti dengan menghadiri kelas.

    Apapun tugasan sebagai pendidik mesti diteruskan, jangan sampai menggadai masa depan anak murid. Seharusnya bersyukurlah kedatangan GSTT dapat menampung kekurangan guru, jika tidak guru terpaksa masuk ke kelas sepanjang masa persekolahan setiap hari.

    Terima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana membuka peluang ini kepada kami. Keputusan yang diambil sudah tentu sudah dibincangkan dan dikaji baik buruknya.

    GSTT,
    Shah Alam, Selangor

    Berita Harian Online: 9 Disember 2010

    Rabu, 8 Disember 2010

    Pastikan guru terlatih ajar Pendidikan Kesihatan - PIBGN

    KUALA LUMPUR 7 Dis. - Kementerian Pelajaran perlu memastikan guru yang mengajar subjek Pendidikan Kesihatan di setiap sekolah mempunyai kelayakan yang sepatutnya sebelum ia dilaksanakan tahun hadapan.

    Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, langkah tersebut perlu diberi tumpuan agar pelaksanaan Pendidikan Kesihatan kelak tidak terpesong daripada objektif sebenar pelaksanaannya.

    Katanya, setiap perancangan daripada kementerian perlu ada tindakan susulan bagi memastikan setiap apa yang dirancang tercapai.

    "Para guru perlu dilatih semula kerana mereka seolah-olah tidak yakin dan kurang pengetahuan tentang kaedah yang sesuai dengan peringkat umur pelajar.

    "Jika modul dan panduan sahaja yang hebat tetapi guru tidak bersedia, memang sukar untuk melaksanakan pengajaran subjek tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengenai Pendidikan Kesihatan yang akan diajar secara berasingan dan tidak bergabung dengan mana-mana mata pelajaran lain mulai tahun hadapan.

    Mohd. Puad berkata, bermula tahun depan, Pendidikan Seks terkandung dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan dan akan menggunakan istilah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Peers).

    Menurut Mohamad Ali, Pendidikan Kesihatan bukan suatu kaedah pengajaran yang mudah sebaliknya memerlukan seorang pendidik yang betul-betul terlatih serta mempunyai pengetahuan luas dalam bidang itu.

    Bagaimanapun katanya, PIBGN tetap menyokong hasrat kementerian untuk melaksanakan subjek tersebut kerana ia mampu membimbing pelajar ke arah kebaikan.

    "Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam menjayakan hasrat kerajaan ini, jangan pula selepas ini ada bantahan kerana ia diperkenalkan di peringkat sekolah rendah," katanya.

    Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan bersetuju Pendidikan Kesihatan diajar secara berasingan dan tidak bergabung dengan mana-mana mata pelajaran lain.

    Katanya, Pendidikan Kesihatan tidak perlu digabung dengan mana-mana subjek kerana ia memerlukan tumpuan yang mendalam terhadap isi kandungan yang akan diajar.

    "Sebelum ini Pendidikan Seks hanya diajar dengan diselitkan dalam subjek tertentu dan ia terbukti gagal untuk membendung pelajar daripada terlibat dalam masalah sosial," katanya.

    Bagaimanapun katanya, apa yang perlu dilakukan kini adalah memantapkan bahan sedia ada di dalam kokurikulum sekolah terutama membabitkan buku-buku panduan mengajar Pendidikan Kesihatan.

    Utusan Malaysia Online: 8 Disember 2010

    Selasa, 7 Disember 2010

    Pendidikan kesihatan, reproduktif mulai 2011

    Istilah pendidikan seks secara umumnya mungkin boleh membawa kepada satu persepsi atau pemahaman bahawa ia hanya layak untuk diketahui oleh golongan dewasa sahaja.

    Sebahagian besar masyarakat tidak mahu anak-anak mereka yang mentah didedahkan dengan perkara itu malah kebanyakan ibu bapa sendiri malu atau tidak mahu untuk membincangkan mengenai pendidikan seks sebagai asas pemahaman anak- anak mereka.

    Maka, tidak hairanlah jika banyak pihak terutamanya golongan ibu bapa akan melatah dan memberi pandangan negatif apabila Kementerian Pelajaran mengambil keputusan untuk memperkenalkan pendidikan tersebut di sekolah rendah bermula tahun hadapan.

    Harus diingat bahawa pendidikan seks atau istilah sebenarnya Pendidikan Kesihatan, Reproduktif dan Sosial itu bukanlah bermaksud pendidikan mengenai teknik hubungan kelamin atau perkara-perkara yang tidak perlu diketahui oleh kanak-kanak.

    Ia lebih menjurus kepada asas terhadap perkembangan badan, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya.

    Pendidikan kesihatan, reproduktif dan sosial yang akan diperkenalkan ini termasuk dalam subjek Pendidikan Kesihatan di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu (tahun satu hingga tiga) Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang akan bermula pada Januari 2011.

    Subjek lain yang terdapat di bawah Modul Teras Asas ini termasuklah Pendidikan Jasmani, Bahasa Malaysia (BM), Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Matematik dan Pendidikan Islam/Moral.

    Elemen perkembangan manusia yang terdapat dalam pendidikan kesihatan, reproduktif dan sosial itu bermaksud pendedahan mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia manakala perhubungan pula mendedahkan mengenai sifat kasih sayang dan persahabatan.

    Pendedahan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa turut diajar kepada murid.

    Sementara itu, kebolehan untuk membuat keputusan pula menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri.

    Kesihatan dan tingkah laku seksual akan menyentuh amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelakkan hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV dan AIDS. Manakala masyarakat dan budaya pula menyentuh mengenai isu seks dan masyarakat. Hal berkaitan perundangan turut diberi penekanan.

    Oleh yang demikian, stigma masyarakat yang menganggap pendidikan seks tidak sesuai untuk golongan bawah umur harus dikikis agar pemahaman asas itu dapat diserap oleh kanak-kanak seterusnya mendidik mereka dengan betul.

    Pendedahan awal seperti ini adalah perlu bagi perkembangan mental kanak-kanak agar mereka membesar dengan pengetahuan penting yang diperlukan seterusnya mampu menghindari mereka daripada gejala sosial.

    Guru-guru yang terlibat untuk pengajaran subjek tersebut telah diberi kursus sementara bahan pengajaran turut disediakan bagi memudahkan murid.

    Masyarakat khususnya ibu bapa disaran menyokong dan memberi kerjasama terhadap pembaharuan yang dilakukan ini supaya pelaksanaannya berjalan dengan baik dan lancar.

    Dalam KSSR Tahap Satu, terdapat dua lagi modul selain Modul Teras Asas iaitu Modul Teras Tema dan Modul Elektif.

    Modul Teras Tema memperkenalkan subjek baru iaitu Dunia Kesenian yang memberi penekanan terhadap Dunia Seni Visual dan Dunia Muzik serta satu lagi subjek iaitu Dunia Sains dan Teknologi.

    Modul Elektif pula terdapat subjek Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan (SK), Bahasa Tamil SK, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun.

    Utusan Malaysia Online: 6 Disember 2010

    Wilayah: 'Projek sekolah sakit' disiap segera

    Oleh Mohd Azrone Sarabatin
    azrone@bharian.com.my
    2010/12/07

    Kontraktor baru teruskan bina 38 bangunan

    KOTA BELUD: Kementerian Pelajaran akan memastikan semua 38 sekolah rendah dan menengah di negeri ini yang gagal disiapkan mengikut jadual dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

    Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sekolah berkenaan sukar disiapkan bulan ini untuk memulakan operasi pada sesi persekolahan Januari 2011, namun kementerian akan memastikan ia akan siap selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

    Katanya, projek itu tidak perlu dibawa ke RMKe-10, sebaliknya hanya memerlukan kontraktor baru yang bertanggungjawab menyiapkan bangunan sekolah mengikut jadual dengan mengutamakan kualiti kerja dan binaan.

    "Kontraktor asal projek terbabit sudah dikenakan tindakan dan disenarai hitam, manakala kontraktor baru dilantik untuk menyempurnakan kerja berkenaan.

    “Sebelum ini, kementerian menyenaraikan 45 projek sekolah sakit daripada 17,000 bangunan sekolah merangkumi makmal komputer dan sains yang dibina serta dinaik taraf di seluruh negara. Bagaimanapun ada yang sudah siap," katanya.

    Beliau diminta mengulas pendedahan akhbar ini Jumaat lalu mengenai 38 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri gagal disiapkan mengikut jadual dalam RMKe-9 selepas melakukan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nanamun di sini, kelmarin.
    Hadir sama, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Dr Muhiddin Yusin; Guru Besar SK Nanamun, Alkesah Bidin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Pinjaman Hassin.

    Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, SK Nanamun memerlukan pembinaan bangunan baru kerana bangunan sedia ada sukar dinaik taraf, termasuk pendawaian semula berikutan ada struktur bangunan sudah reput.

    Katanya, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga bekas murid sekolah itu pernah membincangkan masalah sekolah berkenaan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    "Timbalan Perdana Menteri bersetuju meluluskan RM10 juta untuk pembinaan bangunan konkrit enam kelas dalam peruntukan pusingan pertama RMKe-10," katanya.

    Berita Harian Online: 7 Disember 2010

    Tindakan kementerian teruskan khidmat guru sandaran disokong

    2010/12/07

    SAYA menyokong keputusan Kementerian Pelajaran meneruskan perkhidmatan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) dan menarik balik notis tamat perkhidmatan.

    GSTT bukan mengancam peluang guru baru jika dilihat kepada sudut tertentu. Mereka ialah individu terpilih berdasarkan potensi dan kemahiran yang terbukti dengan sebahagiannya sudah pun menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan.

    Langkah yang amat bijaksana oleh kementerian membuka program penyerapan GSTT membabitkan Kursus Dalam Cuti (KDC) dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).

    Tidak perlu meraih simpati kerana sama ada individu itu bakal guru lepasan Kurus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) atau keluaran institusi pengajian tinggi awam (IPTA), rencana dan akar utamanya adalah untuk memajukan tahap pendidikan di sekolah.

    Lazimnya, penekanan tugas yang akan dikendalikan adalah lebih sistematik berbanding menyuarakan rasa ketidakpuasan hati dan iri hati semata-mata untuk merebut tempat dalam bidang pendidikan.

    INSAN GEMILANG,
    Rompin, Pahang

    Berita Harian Online: 7 Disember 2010

    Isnin, 6 Disember 2010

    Pendidikan Seks Diajar Berasingan Mulai Tahun Depan

    KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Pendidikan seksualiti yang diajar secara menumpang mata pelajaran lain sebelum ini akan diajar secara berasingan mulai tahun depan dengan mengekalkan penggunaan istilah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).

    Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, melalui pelaksanaan di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) itu, kementerian tersebut menetapkan subjek tersebut diajar selama 40 minit, dua kali sebulan di Sekolah Menengah dan 30 minit setiap minggu di Sekolah Rendah.

    "PEERS sebenarnya telah dilaksanakan sejak 1989 di Sekolah Menengah dan 1994 di Sekolah Rendah, cuma di Sekolah Rendah ia menumpang merentasi kurikulum di bawah Pendidikan Jasmani.

    "Bermula tahun 2011 di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah, kementerian memutuskan Pendidikan Kesihatan yang ada didalamnya PEERS akan diajar secara berasingan sebagai satu mata pelajaran yang tidak lagi bercantum dengan mana-mana mata pelajaran lain," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini Isnin.

    Hadir sama di sidang media itu ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Julaihi Bujang.

    Beliau berkata antara skop yang akan dimasukkan bagi murid Tahap Satu ialah perbezaan aspek fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga kebersihan diri, kemahiran berkata tidak kepada sentuhan yang tidak selamat, kepentingan memelihara kehormatan diri serta pengurusan perasaan.

    Bagi tahap dua yang membabitkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam, skopnya ialah bagaimana mengurus konflik, perubahan fizikal, akil baligh, sistem reproduktif, kemahiran memelihara kehormatan diri, risiko hubungan seks sebelum nikah, jangkitan penyakit seksual dan kemahiran berkata tidak kepada rokok, alkohol dan dadah.

    Mohd Fuad berkata bagi pelajar Sekolah Menengah di peringkat rendah pula, mereka akan didedahkan mengenai kecekapan psikososial atau 'lifeskill' menangani situasi berisiko, pengurusan tekanan, jangkitan penyakit seksual, perkembangan sifat seksual sekunder, identiti dan orientasi seksual, perhubungan dan kesan buruk alkohol, rokok dan dadah.

    "Manakala di peringkat menengah atas, skopnya ialah kemahiran kecekapan sikososial, kestabilan emosi dan mental, kehamilan remaja, kekeluargaan, jangkitan penyakit seksual, langkah pengawalan dan pencegahan rokok dan dadah," katanya.

    Beliau berkata pengetahuan mengenai pendidikan seks mencakupi 75 peratus daripada keseluruhan pengisian kurikulum baru subjek berkenaan.

    Mengenai pengekalan istilah PEERS, Mohd Fuad berkata istilah yang diputuskan Kabinet pada 2006 lebih luas maknanya merangkumi aspek nilai, sikap dan proses sepanjang hayat berbanding 'pendidikan seks' yang istilahnya memberi konotasi negatif dan terhad di kalangan masyarakat.

    "Oleh kerana masih timbul kekeliruan dan permintaan pelbagai pihak maka Kementerian Pelajaran memutuskan untuk terus menggunakan istilah PEERS melalui mata pelajaran pendidikan kesihatan bagi memenuhi pendidikan seks di Malaysia," katanya.

    Untuk rekod, istilah PEERS diputuskan Kabinet pada 20 Disember 2006 dan dipersetujui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menggantikan istilah pendidikan kesihatan keluarga yang digunakan pada tahun 1989 hingga 2002 yang kemudiannya digantikan dengan istilah pendidikan seksualiti dari 2003 hingga 2005.

    BERNAMA: 6 Disember 2010

    Sekolah perlu kekal pencapaian terbaik akademik

    Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
    bhnews@bharian.com.my
    2010/12/06

    KECEMERLANGAN pelajar dalam akademik hanya dapat direalisasikan apabila proses pembelajaran dan disiplin berterusan dilaksanakan bersungguh-sungguh, katanya Pengarah Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran, Ashah Samah.

    Beliau berkata, pelajar perlu mengekalkan kecemerlangan kerana pencapaian mereka menyumbang kepada usaha menaikkan imej sekolah sekali gus menyuntik semangat pelajar lain untuk terus memberikan yang terbaik.

    “Kesungguhan begitu diperlukan selain disiplin tinggi untuk mencapai kejayaan,” katanya di majlis bertemu pelajar Tingkatan Lima dan Enam Atas di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

    Seramai lebih 500 pelajar memenuhi Dewan Gemilang di sekolah itu mendengar amanat penting sekali gus memberi semangat mereka yang bakal menduduki peperiksaan.

    Hadir sama, Pengetua, Zakaria Awang, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Zaiton Salleh, Penolong Kanan HEM, Arman A Razak, Penolong Kanan Kokurikulum, Mohamad Saberi Salleh.

    Ashah berkata, nama baik sekolah yang termasyhur pencapaian akademik membanggakan perlu dikekalkan.

    Katanya, sekolah itu sudah melahirkan ramai tokoh dalam pelbagai bidang termasuk juga di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
    Sementara itu, Arman berkata, pihaknya berharap keprihatinan kementerian mengenai prestasi pelajar di sini mendorong mereka untuk terus memberikan yang terbaik.

    Beliau berkata, bimbingan berterusan guru perlu dijadikan panduan supaya pelajar berada di landasan betul untuk berjaya dalam pelajaran dan melakar kejayaan seterusnya.

    Berita Harian Online: 6 Disember 2010

    Ahad, 5 Disember 2010

    576 sekolah amat kritikal

    KOTA BELUD 4 Dis. - Kira-kira 576 daripada 9,600 sekolah yang telah diaudit di seluruh negara dikenal pasti amat kritikal dan perlu dinaiktaraf segera.

    Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, usaha menaik taraf sekolah berkenaan akan dilaksanakan awal tahun depan melibatkan peruntukan awal sebanyak RM500 juta.

    "Sebanyak enam peratus daripada 9,600 buah sekolah yang diaudit jawatankuasa fizikal pengauditan sekolah di seluruh negara berada dalam kategori kritikal.

    "Kita berharap pada tahun hadapan akan dapat peruntukan awal sebanyak RM500 juta," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanamun di sini hari ini.

    Turut hadir, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Muhiddin Yusin; Guru Besar SK Nanamun, Alkesah Bidin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nanamun, Pinjaman Hassin.

    Pada majlis itu, Puad turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membina bangunan baru menempatkan enam bilik darjah di SK Nanamun.

    "Mesej yang saya terima daripada Menteri Pelajaran (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bersetuju untuk membina bilik darjah baru SK Nanamun ini yang diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10)," katanya.

    Menurutnya, usaha menaik taraf sekolah-sekolah terbabit akan melibatkan pembinaan bilik darjah dan rumah guru yang dikategorikan sebagai amat kritikal.

    Dalam pada itu, beliau berkata, pada masa ini pihak kementerian telah memulakan usaha menaik taraf asrama pelajar melalui peruntukan RM50 juta daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

    "Sebanyak RM20 juta daripadanya diberikan untuk Sabah, RM20 juta untuk Sarawak dan RM10 juta untuk Semenanjung bagi menaik taraf asrama-asrama usang yang dikategorikan amat kritikal," katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 45 projek pembinaan sekolah di negara ini dikenalpasti sebagai 'projek sakit'.

    "Kalau hendak dibandingkan dengan kira-kira 17,000 projek kita, maka 45 projek sakit ini memang kecil tetapi kita tidak pandang ringan dan ambil tindakan seperti menyenarai hitam kontraktor terbabit," ujarnya.


    Utusan Malaysia Online: 5 Disember 2010

    Khamis, 2 Disember 2010

    Akibat Percaya Kenalan Lelaki Di Facebook, Guru Wanita Ditipu RM15,000

    KOTA BAHARU, 2 Dis (Bernama) -- Seorang guru wanita kerugian RM15,000 selepas dipercayai ditipu seorang kenalan melalui laman sosial Facebook.

    Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, ACP Mazlan Lazim berkata,kejadian itu berlaku selepas guru wanita dari Taman Uda Murni, dekat sini, berkenalan dengan seorang lelaki yang dipercayai berasal dari Iraq.

    Selepas berkenalan beberapa minggu, pada 30 November lalu, suspek menghantar khidmat pesanan ringkas melalui laman sosial itu kepada mangsa mengenai hasratnya untuk mempelajari agama Islam.

    Bagaimanapun, suspek menghubungi mangsa semalam bahawa dia menghadapi masalah dengan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana membawa sejumlah besar wang pound sterling yang tidak diisytihar, katanya kepada pemberita di sini Khamis.

    Selepas menerima panggilan dari suspek itu, mangsa sekali lagi menerima panggilan dari seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Imigresen dan bertanya sama ada mangsa mengenali suspek.

    Wanita itu memperkenalkan diri sebagai Fatimah dan dia dikatakan telah menawarkan diri untuk membantu membebaskan suspek dengan syarat mangsa membuat bayaran sebanyak RM15,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    "Selepas membuat transaksi, mangsa kemudian telah menghubungi pihak Imigresen KLIA untuk memaklumkan perkara itu (kemasukan wang) tetapi mangsa dimaklumkan bahawa wanita yang mendakwa sebagai Fatimah itu bukan kakitangan jabatan itu di KLIA," katanya.

    Mazlan berkata selepas menyedari beliau tertipu, mangsa cuba menghubungi suspek tetapi tidak berjaya sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu.


    BERNAMA: 2 Disember 2010

    Guru difitnah penceroboh fb

    IPOH: Berang selepas akaun laman sosial Facebook miliknya diceroboh, seorang guru tampil membuat laporan polis serta aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam bagi membolehkan satu siasatan dibuat untuk mengesan penceroboh terbabit.

    Lebih mengaibkan, penceroboh menggunakan akaun laman sosial guru berkenaan dan memaparkan komen di laman peribadi guru itu termasuk membuat pengakuan pernah meraba punggung pelajar lelaki dan perempuan selain fitnah lain yang mencemar maruahnya.


    Isnin lalu, sebuah akhbar berbahasa Cina memaparkan komen yang terdapat pada Facebook guru berkenaan serta mendapatkan kenyataan guru berkenaan mengenai perkara itu.

    Bagaimanapun, guru berkenaan, Lim Beng Lee, 42, yang mengajar di Sekolah Menengah Poi Lam (Suwa) menafikan perkara itu dengan mendakwa akaun Facebooknya diceroboh dan penceroboh turut memalukannya dengan memaparkan komen berunsur fitnah.


    Menurutnya, dia kesal dengan laporan akhbar berbahasa Cina berkenaan kerana mendakwa dia mengakui terbabit dalam semua fitnah dipaparkan dalam laman peribadi itu hingga mencemarkan maruahnya termasuk pihak pentadbiran sekolahnya.


    Katanya, pada mulanya dia marah dengan paparan berita itu kerana tersebar ke seluruh negara, namun akhbar berkenaan sudah memperbetulkan kesilapan itu Selasa lalu.

    “Saya menyedari akaun Facebook diceroboh pada 28 November lalu selepas gagal memasukinya kerana penceroboh menukar kata laluan. Sebaik gagal, saya memasuki satu lagi akaun Facebook saya bagi melihat akaun yang diceroboh itu dan terkejut melihat komen fitnah dipaparkan.


    “Saya mengakui tersilap kerana membiarkan akaun berkenaan tanpa mendaftar keluar terlebih dulu menyebabkan penceroboh memasukinya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

    Sementara itu, Pengetua Suwa, Leon Ping Chow, 54, berkata, gara-gara fitnah membabitkan gurunya itu, imej sekolah berkenaan tercalar, malah ada sebahagian ibu bapa pelajar yang mahu menukarkan anak mereka ke sekolah lain kerana bimbang fitnah terbabit.


    “Ketika ini, kami tetap menyokong Beng Lee bagi menghadapi fitnah yang tersebar itu dan mengembalikan keyakinannya,” katanya.


    Semalam, hampir 30 orang termasuk pelajar dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa pelajar hadir pada majlis pertemuan khas bagi menjelaskan kekeliruan dan fitnah itu selain memberi sokongan kepada guru berkenaan.

    myMetro: 2 Disember 2010

    Rabu, 1 Disember 2010

    Peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 2 tidak diulang

    Oleh Sazarina Shahrim
    sazarina@bharian.com.my
    2010/12/01

    Kementerian nasihat calon SPM usah percaya khabar angin

    PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran semalam menafikan khabar angin kononnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 mungkin perlu menduduki semula peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 2 yang sudah dilaksanakan pada 23 November lalu.

    Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata berdasarkan siasatan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), peperiksaan subjek itu adalah sah dan calon yang menduduki peperiksaan berkenaan tidak perlu mendudukinya semula.
    “Saya ingin menegaskan di sini supaya ibu bapa terutama calon peperiksaan supaya tidak mempercayai khabar angin yang tidak berasas ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

    Katanya, kementerian sentiasa mengambil langkah memastikan semua peperiksaan adalah sah serta kualiti atau standard peperiksaan berada pada tahap baik.

    Abd Ghafar berkata, sehingga hari ini, peperiksaan SPM yang bermula pada 23 November lalu dan berakhir pada 20 Disember depan berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan atau pertanyaan mengenai peperiksaan SPM 2010 boleh menghubungi Bilik Gerakan SPM, LPM di talian 03-8889 3551, 03-8889 3601 atau 03-2889 3520 yang beroperasi setiap hari peperiksaan dari jam 7 pagi hingga 6 petang.

    Berita Harian Online: 1 Disember 2010

    PSKPP cawangan Lipis juara Bola Sepak Veteran Pahang


    PASUKAN bola sepak Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) cawangan Lipis muncul juara Kejohanan Bola Sepak Veteran Pahang di Bentong, baru-baru ini.


    BENTONG 30 Nov. - Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) cawangan Lipis muncul juara pada Kejohanan Bola Sepak Veteran Pahang yang berlangsung di Kompleks Sukan Benus di sini baru-baru ini.

    Persatuan itu menewaskan PSKPP cawangan Temerloh 2-1 dengan membawa pulang pingat emas manakala pasukan yang kalah hanya memperoleh pingat perak.

    Kemenangan itu membolehkan pasukan veteran PSKPP Lipis mewakili Pahang ke kejohanan peringkat Kebangsaan anjuran Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (PSKPPM) di Perlis pada akhir Disember ini.

    Pengurus pasukan bolasepak PSKPP Lipis, Muhd. Hasbi Ibrahim, berkata, sebanyak lapan pasukan veteran PSKPP mewakili Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di Pahang dengan menyertai kejohanan secara liga yang berlangsung selama tiga hari di kompleks itu.

    "Walaupun kekangan tugas harian dan persiapan latihan yang singkat, kesungguhan dan semangat juang yang tinggi pemain Lipis berjaya mengharungi perlawanan tanpa kalah di peringkat kumpulan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

    Menurutnya, sebelum menyertai kejohanan itu, pasukannya cuma membuat persiapan latihan selama seminggu di samping mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan pasukan veteran Kampung Gua dan Pemuda UMNO Lipis.

    Dalam pada itu, jurulatih bola sepak PSKPP Lipis, Zainal Kamaruddin, berkata, kebanyakan pemain veteran berusia antara 35 hingga 45 tahun yang terdiri daripada guru dan kakitangan pejabat pelajaran daerah Kuala Lipis.

    Zainal berkata, kejayaan itu bukan sahaja kesungguhan pemain tetapi dibantu oleh kemahiran dan pengalaman mereka pada kejohanan yang sama tahun lalu.

    "Kita akan menggiatkan latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan lain sebelum menyertai kejohanan sebenar di Perlis," katanya.

    Utusan Malaysia Online: 1 Disember 2010

    Pemberian ITP berdasarkan gred pegawai perkhidmatan awam

    2010/12/01

    JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) ingin merujuk kepada aduan oleh ‘Guru PPPLD, Johor’ bertajuk ‘guru kesal tiada imbuhan’ yang disiarkan dalam ruangan ini bertarikh 22 November lalu.

    Peraturan mengenai pemberian ITP dan ITKA yang terkini adalah melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2004, ‘Pindaan Kadar Imbuhan Tetap Perumahan’ dan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 Tahun 2006 ‘Pindaan Kadar Imbuhan Tetap Khidmat Awam Bagi Pegawai Dalam Kumpulan Sokongan’.

    Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) adalah imbuhan tetap yang disediakan kerajaan bagi membantu penjawat awam menampung peningkatan kos sara hidup untuk perbelanjaan tertentu seperti kos pengangkutan, pelajaran dan pelbagai barangan serta perkhidmatan.
    Pemberian ITP dibuat berdasarkan gred pegawai perkhidmatan awam untuk membantu meringankan bebanan perbelanjaan pegawai terbabit.

    ITP kepada kumpulan sokongan ditetapkan dengan satu kadar saja iaitu RM180 sebulan dengan kadar ini dinikmati oleh semua peringkat pegawai dari gred 1 hingga 40. Ini bermakna skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) iaitu DGA29, DGA32, DGA34 dan DGA38 akan menikmati kadar ITP yang sama.

    Manakala, bagi ITKA pula, kadar yang ditetapkan ialah RM160 sebulan bagi pegawai gred jawatan DGA29, DGA32 dan DGA34. Kadar ITKA akan meningkat kepada RM220 apabila pegawai dinaikkan pangkat dari gred DGA34 ke DGA38.

    Kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa menyemak dan menambah baik pemberian ITP dan ITKA yang diluluskan kepada penjawat awam berdasarkan kemampuan kewangan Kerajaan.

    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
    Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia

    Berita Harian Online: 1 Disember 2010