Sabtu, 16 April 2011

Guru Cemerlang wajar muhasabah diri, usah pertikai beban tugas

2011/04/16

SAYA ingin menarik perhatian mengenai surat bertajuk 'Prestasi Guru Cemerlang dipertikai, tenaga diperah' yang disiarkan pada 15 April lalu. Persoalannya, benarkah tenaga Guru Cemerlang diperah?

Berdasarkan pemerhatian saya, sebenarnya tenaga guru biasa yang diperah, contohnya dalam program di sekolah membabitkan semua guru sama ada cemerlang ataupun tidak, begitu juga untuk menyiapkan modul, soalan dan bahan pengajaran dan pembelajaran.

Guru Cemerlang akan mengumpulkan guru mengikut opsyen untuk berbengkel. Hasil bengkel itu akan dihebohkan sebagai hasil kerja Guru Cemerlang, malah Guru Cemerlang menggunakan modul dan hasil bengkel itu sebagai bahan untuk memohon gred lebih tinggi. Justeru, jika Majlis Pengetua tidak meletakkan Logo Majlis Guru Cemerlang pada muka hadapan soalan adalah perkara biasa. Guru Cemerlang perlu sedar, pengetua mempunyai kuasa eksekutif di sekolah walaupun gred mereka lebih rendah.
Kementerian Pelajaran perlu melihat semula gred perjawatan bagi memastikan gred guru mestilah tidak mengatasi gred pengetua dan pengarah. Hal ini penting kerana mereka dilantik menjadi pengetua atau pengarah berdasarkan perkhidmatan cemerlang sebagai guru di sekolah.

Saya juga adalah Guru Cemerlang, jurulatih utama yang terbabit dengan Kementerian Pelajaran, Lembaga Peperiksaan, Panel soalan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) peringkat negeri dan macam-macam lagi.

Apa yang saya hendak maklumkan, tidak dinafikan Guru Cemerlang memang cemerlang tetapi bukan semuanya cemerlang seperti label yang diberi. Mulai 2007, sebahagian besar mereka yang dilantik adalah untuk memenuhi kuota perjawatan yang diluluskan, malah ada yang tidak memohon tetapi menerima surat pelantikan.

Saya menyeru kepada semua Guru Cemerlang, bersyukurlah dengan gred yang kita dapat sekarang. Rutin kerja kita hanya fokus kepada pengajaran dan pembelajaran. Tugas yang kita laksanakan sekarang tidak seberapa jika dibandingkan dengan gred perjawatan yang diberikan oleh kerajaan.

GURU CEMERLANG INSAF,
Kuala Lumpur


Berita Harian Online: 16 April 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya GC yang juga Ketua Guru Disiplin. saya memang tidak dapat fokus utk mengajar sebab byk masalah disiplin kat sek.