Rabu, 27 April 2011

Guru Didenda RM2,000 Atau Empat Bulan Penjara Kerana Tumbuk Guru Besar

ALOR SETAR, 27 April (Bernama) -- Seorang guru dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda, selepas didapati bersalah mencederakan Guru Besar sekolah tempat beliau mengajar lebih empat tahun lalu.

Majistret Nor Azah Idris menjatuhi hukuman itu ke atas Norazman Abdul Wahab, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Norazman, 41, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan terhadap tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menumbuk muka dan menyepak paha Halim Saad, 52, di pejabat Sekolah Kebangsaan Gerigis, Jalan Langgar, Alor Setar pada 20 Disember 2006 kira-kira pukul 8.35 pagi.

Dalam rayuannya Norazman meminta mahkamah meringankan hukuman kerana menurutnya dia digantung kerja sejak Mac 2008, manakala dua anaknya akan memasuki universiti dan dua lagi belajar di sekolah menengah.

Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd Nor meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh yang merupakan pendidik supaya menjadi contoh kepada penjawat awam lain.

Peguambela Norazaman, G Ravishankar tidak hadir dan beliau diwakili peguam Pyara Singh a/l Dara Singh.

Norazman kemudian membayar denda itu.


BERNAMA: 27 April 2011

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Takkanlah saja-saja nak tumbuk GB. Tentu ada sebab. Ini pun kena siasat juga. Mungkin provokasi/memalukan guru(memang ada berlaku).

Kalau GB baik, tak mungkin kena tumbuk.

Tanpa Nama berkata...

Kes yang melibatkan warga sekolah antara Guru Besar dan Guru. Penyelesaiannya di Mahkamah.

Mungkin di masa lain, ibubapa akan membawa kes anak mereka (kecederaan fizikal : yang kena tampar, pukul, rotan) untuk diselesaikan di Mahkamah juga?

- bapa prihatin, jelawat, bachok

Tanpa Nama berkata...

pengajarannya jangan ikutkan emosi dlm merungkai masalah.