2011/04/30
KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca ‘Guru Cemerlang, Putrajaya, dalam ruangan ini bertarikh 15 April 2011 – Prestasi Guru Cemerlang dipertikai, tenaga diperah.Tujuan utama kerajaan meluluskan kaedah kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) yang dikenali dengan Guru Cemerlang adalah untuk mengiktiraf khidmat guru yang cemerlang di bilik darjah dan mewujudkan peluang kenaikan pangkat secara laluan pantas (fast track) kepada mereka tanpa perlu ditukarkan ke jawatan pentadbiran secara hakiki.
Guru yang dilantik sebagai Guru Cemerlang adalah guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran, khususnya dari aspek perancangan, pengurusan dan pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah.
Sebagai role model kepada guru lain, sewajarnya Guru Cemerlang menguasai kandungan mata pelajaran kepakarannya, bijak mengurus masa, mampu mengenal pasti masalah pembelajaran murid dan berupaya merangka program pendidikan yang boleh membangunkan potensi murid.
Selaras dengan pengiktirafan dan insentif yang diberikan, Guru Cemerlang yang dilantik berupaya menyumbang tenaga dan kepakaran sebagai pakar rujuk dalam bidang atau mata pelajaran masing-masing pada peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.
Guru Cemerlang berupaya menjadi sumber inspirasi dan pakar rujuk kepada guru lain untuk mempertingkatkan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran pada masa depan.
Walaupun tiada halangan bagi Guru Cemerlang untuk memberi sumbangan profesionalisme dalam bentuk perkongsian kepakaran dan pengalaman dengan warga pendidik yang lain, keutamaan tugas Guru Cemerlang hendaklah diberikan kepada program pembangunan dan peningkatan prestasi murid di sekolah masing-masing kerana ia lebih bermakna.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia
Berita Harian Online: 30 April 2011
1 ulasan:
assalamualikum wbt dan salam 1 malaysia.
Syabas guru cemerlang, anda sebenarnya amat diperlukan di sekolah untuk mencipta program pembangunan bagi tujuan peningkatan prestasi murid.
Suatu masa yang lalu saya pernah mencadangkan warga guru dan ibubapa dijemput menghadiri satu 'makmal' bagi merumuskan pelajar dan guru : bagaimana P&P dapat dilaksanakan dengan berkesan dan cemerlang.
Semuga akan ada usaha ke arah itu.
- bapa prihatin, jelawat, bachok.
Catat Ulasan