Khamis, 14 April 2011

Pendidikan awal langkah terbaik tangani masalah buta huruf

2011/04/14

NEGARA kita masih lagi mempunyai murid yang tidak tahu membaca dan menulis apabila berada di Tahun Satu, terutama di luar bandar.

Ini memberikan gambaran bahawa mereka tidak diberikan pendedahan ilmu asas membaca dan menulis di rumah oleh keluarga mereka. Antara faktor kepada fenomena ini ialah keluarga miskin, keluarga tidak mementingkan pelajaran, keluarga terumbang-ambing dan memang keluarga itu juga buta huruf.

Apabila tidak mendapat pendidikan secara asas di rumah, maka menjadi satu kesusahan kepada murid itu sendiri apabila melangkah ke alam persekolahan. Guru terpaksa bekerja keras untuk mengajar mereka mengenal huruf.
Proses pembelajaran ini memakan masa yang lama dan ada juga yang masih belum boleh membaca walaupun berada di Tahap Dua. Keadaan ini amat menyedihkan kepada murid-murid yang tidak bersalah ini yang menjadi mangsa.

Saya mencadangkan agar Kementerian Pelajaran membuat satu revolusi baru dalam dunia pendidikan dengan mengambil inisiatif menjadikan pendidikan awal sebagai dasar utama kepada kecemerlangan pendidikan.

Pihak kementerian harus mewujudkan sebuah badan khas yang bertanggungjawab melaksanakan peranan menghapuskan masalah buta huruf dalam kalangan kanak-kanak.

Idea paling praktikal yang boleh dilaksanakan ialah dengan mencari kanak-kanak seawal umur empat tahun yang terbiar akibat keluarga miskin, keluarga tidak sedar mengenai kepentingan pendidikan dan keluarga bermasalah khususnya di luar bandar.
Kanak-kanak ini harus ditempatkan di sekolah khas dan berasrama penuh dan dijadikan sebagai anak angkat kementerian.

Barulah kanak-kanak ini dapat mengenal apa itu A, B,C dan 1,2,3. Hidup mereka juga akan pasti lebih teratur, kemas, bersih dan yang penting mereka mempunyai cita-cita.

Pendidikan adalah teras utama kepada jatuh bangunnya sesebuah tamadun itu. Bangsa yang maju ialah bangsa yang cerdik.

Semoga dunia pendidikan tanah air akan terus berkembang dengan pesat dengan idea baru dan perancangan hebat dan menjadi nadi utama kepada penggerak kemajuan negara.

GURU SEKOLAH,
Larkin, Johor Bahru

Berita Harian Online: 14 April 2011

3 ulasan:

sakinah siddiq berkata...

seumur 4 tahun tinggal di asrama? semakin rengganglah dengan ibu bapa nanti..

Tanpa Nama berkata...

4 tahun dah ke asrama....?sedangkan bagi ibu yg bekerja, waktuu mlm sahaja ada masa untuk anak2..itupun hanya beberapa jam sahaja. kecuali hari sabtu dan ahad..dahla renggang, memang betul semakin renggang

kamanuk berkata...

Pendidikan awal kanak-kanak patut tekankan bahasa inggeris supaya bila besar nanti penguasan bahasa inggeris lebih baik. BM bukan tidak penting tapi BM mudah dikuasai sebab rata-rata rakyat malaysia bercakap dalam bahasa melayu kecuali penduduk Sabah dan Sarawak berubah fikiran khususnya yang beragama Kristian kerana ada tekanan dari PEMBELA DAN PERKASA supaya penganut kristian di Malaysia tidak menggunakan Bahasa melayu dalam percakapan lebih-lebih lagi berkaitan dengan Bible di gereja