KUALA LUMPUR 1 Dis. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengedarkan 15.9 juta buku teks ke sekolah di seluruh negara bermula November lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 7.9 juta buku teks judul baru.
"DBP juga telah mencetak semula sebanyak 200 buku teks judul lama, manakala 53 buku teks judul baru dan telah pun diedarkan di sekolah-sekolah bermula bulan lalu.
"Proses pengedaran yang akan mengambil masa selama tiga bulan ini telah bermula pada 1 November lalu untuk sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak, manakala di Semenanjung (15 November)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Setitik Budi Selautan Kasih anjuran bersama DBP dan pelajar semester lima Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Dekan FPM, Dr. Azman Mat Isa dan Pengerusi Badan Keluarga DBP, Kusni Ahad.
Ditanya mengenai krisis DBP dengan Dawama, Termuzi yang enggan mengulas lanjut berkata, beliau menyerahkan segala keputusan kepada pihak mahkamah.
Pada 17 Oktober lalu, Dawama memfailkan saman terhadap DBP dan Termuzi atas dakwaan ketua pengarah berkenaan telah mengeluarkan satu kenyataan berbaur fitnah terhadap syarikat terbabit ketika diwawancara dalam program terbitan Radio Bernama, Kerusi Panas pada 24 April lalu.
Menurutnya, jika tugasan mencetak dan menerbitkan buku teks ini tidak diambil alih oleh DBP maka akan timbul pelbagai masalah terutamanya ketiadaan buku teks apabila sesi persekolahan baru dibuka.
"Kami tidak mahu pihak sekolah mahupun ibu bapa 'menuding jari' kepada kerajaan sekiranya kegagalan mendapatkan buku teks ini berlaku di sekolah-sekolah anak mereka," katanya.Utusan Malaysia Onlie: 2 Disember 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan