|
BACAAN ayat-ayat suci al-Quran bergema memenuhi ruang dewan terbuka Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK(C)) Chung Hua Pujut, Miri, Sarawak baru-baru ini.
Di atas sebuah astaka mini, empat pelajar Islam tahun enam sekolah itu khusyuk memperdengarkan bacaan mereka dengar lancar dalam sebuah majlis khatam al-Quran.
Biarpun berlangsung dalam keadaan yang amat sederhana, majlis itu tetap unik dan meriah khususnya buat keempat-empat pelajar yang terlibat ekoran latar belakang keluarga mereka yang kesemuanya bukanlah terdiri daripada anak Melayu tulen.
Bacaan yang diperdengarkan oleh Mohamad Naim Kasri, Shaqeem Valinton, Hijazida Hamdan dan Jhony Mohamad Ali pada hari itu mengesahkan satu lagi pencapaian buat Ali Sagir. Ali merupakan guru pendidikan Islam yang mereka kenali sejak pertama kali menjejakkan kaki di sekolah itu enam tahun lalu.
Mesra dengan panggilan Ustaz Ali, guru agama yang berasal dari Pahang itu berbangga dengan pencapaian anak didiknya menamatkan pengajian al-Quran mereka sebelum menamatkan pendidikan di sekolah itu.
“Sebenarnya jumlah pelajar Islam tahun enam di sini memang sedikit. Biarpun jumlah mereka sedikit, hasrat kami adalah untuk memastikan mereka dapat membaca al-Quran dengan baik sebelum tamat persekolahan mereka.
“Ibu bapa mereka pun beria-ia benar meminta saya mengadakan majlis khatam al-Quran di sekolah sebagai tanda pencapaian anak-anak mereka. Jadi kami buat majlis ini dengan kerjasama ibu bapa mereka,” katanya.
Sekolah tunggal
Ali berkata, SJK(C) Chung Hua Pujut adalah satu-satunya sekolah aliran Cina di Miri yang melaksanakan program j-QAF iaitu program yang bertujuan untuk memperkasa pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardhu Ain.
Bermula dengan hanya beliau seorang di sekolah itu sebagai guru khusus dalam pendidikan Islam, sekolah itu kini mempunyai dua lagi tenaga pengajar bagi membantunya melaksanakan program j-QAF.
Tidak seperti di sekolah kebangsaan, kekerapan waktu yang diperuntuk untuk pendidikan Islam adalah enam kali seminggu, sebaliknya di SJK(C) Chung Hua Pujut pendidikan Islam diperuntukkan sebanyak empat kali.
Namun, ia tidak menjadi penghalang kepada Ali untuk menjalankan tugasnya. Beliau secara sukarela mengadakan kelas mengaji untuk pelajarnya berikutan permintaan daripada ibu bapa.
“Peranan yang dimainkan oleh ibu bapa pelajar ini juga amat saya hargai kerana mereka amat prihatin demi memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran agama biarpun berada di sekolah aliran Cina,” katanya.
Ali menyifatkan sokongan yang diberikan oleh pihak pentadbiran SJK(C) Chung Hua Pujut, khususnya guru besarnya, Chuo Kwong Ung dan guru-guru lain telah membolehkannya menjalankan amanah sebagai guru agama sekolah itu dengan baik.
“Mereka amat terbuka setiap kali kami menyuarakan saranan dan sudah sekian lama berada di sekolah ini, saya merasakan kepentingan terhadap pendidikan Islam untuk pelajar tidak pernah dipinggirkan,” katanya yang telah berkhidmat lebih sedekad di sekolah itu.
Seorang lagi tenaga pengajar program itu, Nor Akmal Mohamad Zain berkata, beliau melalui pengalaman mengajar yang menarik sejak mula menjejakkan kaki di sekolah itu sejak 10 bulan lalu.
Kejutan
Anak kelahiran Kelantan yang juga merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Ilmu Wahyu dan Warisan pada mulanya agak terkejut menerima arahan untuk ditempatkan di sekolah aliran Cina.
“Daripada sejumlah 50 orang pelatih kursus program j-QAF ini, saya seorang sahaja yang dihantar untuk mengajar di sekolah aliran Cina,” katanya mengingati semula waktu beliau menerima arahan mengajar di sekolah itu.
Bagaimanapun, segala kerunsingan yang dirasakan sewaktu mula menjejak kaki ke sekolah itu hilang apabila beliau tidak mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran yang baharu itu.
Menurut Nor Akmal, pelatih di bawah program j-QAF akan dihantar ke sekolah dahulu untuk menimba pengalaman praktikal dan semasa cuti sekolah mereka akan kembali untuk berkursus di institut pendidikan guru.
Kata anak muda itu lagi, tempoh latihannya di situ hanyalah selama 18 bulan. Bagaimanapun kalau ditakdirkan juga untuk terus mengajar di situ, dia tetap menerima dengan tangan terbuka. – Bernama
Kosmo Online: 20 Disember 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan