BALING: “Saya terkejut selepas kemas kini buku akaun mendapati wang pencen tidak ada dalam simpanan. Selepas diperiksa saya dapati wang pencen tidak dimasukkan sejak Februari lalu,” kata pesara guru, Abdullah Ismail yang kini sudah berusia 104 tahun.
Abdullah dari Kampung Seberang Pekan, di sini, berkata dia yang kini dimamah usia mengharapkan wang pencen RM221 itu untuk menampung perbelanjaan harian.
“Memanglah jumlahnya kecil, tetapi ia wang saya dan jika mereka tidak mahu memasukkannya, mereka patut memberi notis terlebih dulu,” katanya.
Abdullah berkata, sejak bersara pada tahun 60-an, dia menerima wang pencen setiap bulan sehinggalah pada Februari lalu apabila ia tidak dimasukkan ke dalam akaunnya seperti biasa.
Ketika menjadi guru, Abdullah pernah mengajar di Sekolah Melayu Baling (kini Sekolah Kebangsaan Baling) dan walaupun berusia lebih 100 tahun, dia masih mampu membaca akhbar yang menjadi rutin hariannya ketika bersarapan.
Anaknya, Siti Safur, 50, berkata, bapanya masih boleh membaca walaupun usianya lanjut, cuma pendengarannya terjejas dan memerlukan bersuara kuat ketika bercakap dengannya.
“Alhamdulillah ayah masih sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit. Amalannya ketika muda ialah sering berdoa ketika melakukan apa-apa perkara termasuk ketika mandi, solat, memakai baju dan keluar bekerja,” katanya. Abdullah yang juga bapa kepada lapan anak (tiga daripadanya sudah meninggal dunia) kini mempunyai 32 cucu, 22 cicit dan enam piut. Dia kini tinggal bersama Siti Safur yang juga anak bongsunya selepas isterinya, Sofiah Daud meninggal dunia 25 tahun lalu.
myMetro: 3 Disember 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan