Sabtu, 10 Disember 2011

Graduan TESL masih menunggu

2011/12/09

SAYA ingin meminta pihak yang berkenaan supaya membuka mata dan mengambil berat mengenai masalah menimpa kami, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua).

Sudah enam tahun kami menghabiskan masa dan kudrat kami di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan universiti demi mendapatkan segulung ijazah. Alhamdulillah, pada pertengahan 2011, kami berjaya menamatkan pengajian kami dan mendapat segulung ijazah yang kami idam-idamkan.

Kami ditawarkan biasiswa Kementerian Pelajaran untuk mengambil ijazah TESL dalam program berkembar antara pihak IPG dan universiti. Malangnya, selepas menunggu lebih kurang lapan bulan, kami masih belum mengetahui status mengenai penempatan kami.
Kami cuba untuk mengajukan soalan mengenai penempatan kami kepada Kementerian Pelajaran, tetapi setiap kali kami menghantar e-mel kepada kementerian, jawapan yang diberikan cukup mudah, “Tiada sebarang tarikh ditetapkan”.

Beberapa hari lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengeluarkan kenyataan meminta supaya 5,000 pelajar ISMP daripada IPTA supaya tidak menyangka mereka dianaktirikan kementerian.

Sekiranya mereka yang mengambil ijazah di IPTA berasa mereka dianaktirikan, bagaimana pula dengan kami? Kami ditemuduga oleh kementerian dan kemudian diberi biasiswa untuk mengambil ijazah dalam bidang pendidikan. Bukannya kursus yang kami ambil ini baru diperkenalkan, tetapi sudah bertahun-tahun diperkenalkan. Kami berharap Kementerian Pelajaran dapat mengambil langkah yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah kami.

GURU TESL, Cohort 4.

Berita Harian Online: 9 Disember 2011

Tiada ulasan: