Oleh Ruhaiza Rusmin
Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai penawaran
tangga gaji lebih tinggi kepada guru yang mempunyai ijazah sarjana dan
doktor falsafah (PhD) menunjukkan betapa komitednya kerajaan menaikkan
martabat guru.
Biarpun mungkin segelintir pihak melihatnya tidak adil, secara positif ia bakal meningkat taraf profesion pendidik.
Ia juga dianggap pencetus semangat kepada guru lain mengejar taraf pendidikan serupa bagi menikmati ganjaran ditawarkan.
Bagaimanapun,
masih boleh dipersoalkan taraf dan kualiti guru itu sama ada mampu
mempunyai kelebihan berbanding guru bertaraf ijazah sarjana muda,
diploma atau sijil.
Adakah
mereka yang lebih tinggi kelayakan ini boleh memberi impak lebih besar
kepada dunia pendidikan negara dengan sumbangan idea lebih jitu serta
menggalas tanggungjawab lebih komited.
Atau hanya sekadar tinggi kelayakan, namun kredibiliti masih di takuk lama?
Dekan Pusat Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor
Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed berkata kelayakan dan ganjaran yang lebih
tinggi perlu diiringi dengan pencapaian lebih hebat dan berkualiti.
Beliau
berkata, biarpun ada segelintir menganggap kelulusan tidak dapat
menggambarkan secara tepat kemampuan sebenar, secara logik mereka yang
mempunyai ijazah sarjana atau Phd memiliki kelebihan ilmu.
“Justeru dengan kelebihan ini, pastinya tahap intelektual mereka lebih ke hadapan dengan idea atau cara pembelajaran lebih baik.
“Ini berpadanan dengan kelayakan disandang serta ganjaran diperoleh
selain memanfaatkan demi kesejahteraan menyeluruh,” katanya.
Bagaimanapun, perkara itu adalah subjektif kerana terpulang kepada
mereka untuk mentafsirkan kelebihan atau kebolehan masing-masing.
“Sebenarnya terpulang pada individu (guru) untuk menunjukkan kebolehan atau kelebihan semasa proses pembelajaran dan pengajaran.
“Namun, pastinya mereka yang mempunyai kelayakan lebih tinggi mempunyai lebih banyak keistimewaan.
“Dalam
konteks ini, dua aspek perlu dilihat sama ada melalui kandungan atau
pedagogi (kemahiran) guru sendiri ketika melaksanakan tugasan,” katanya.
Beliau
yang juga Pengerusi Majlis Dekan Fakulti Pendidikan Institut Pengajian
Tinggi Awam berkata kelayakan atas sekeping kertas bukan penentu
kejayaan total kemampuan guru.
“Rasionalnya belajar untuk
memperoleh sijil, diploma dan ijazah sarjana muda prosesnya tidak akan
sama untuk memperoleh ijazah sarjana atau PhD.
“Di situ wujud kelebihan dan perbezaan.
“Bagaimanapun,
untuk menjadi guru yang baik bukan saja memerlukan kelayakan, tapi
elemen lain seperti pengalaman dan kaedah pembelajaran mantap,” katanya
mengakui ganjaran diberikan itu sepatutnya menaikkan semangat guru
untuk gigih berusaha.
“Guru adalah golongan istimewa yang jasanya sukar dibalas.
“Dan, kerana keistimewaan itu mereka perlu diletakkan pada satu tahap istimewa untuk lebih dihormati.
“Penghargaan
penting bukan saja untuk menghargai jasa mereka, malah mengembalikan
kegemilangan golongan itu yang semakin tercalar kebelakangan ini,”
katanya.
Mengenai andaian kemungkinan wujud konflik perbezaan
darjat antara kedua-dua pihak di sekolah, beliau berkata ia tidak
mungkin berlaku.
“Sesiapa saja boleh belajar untuk memperoleh kelayakan dan ganjaran itu. Tiada halangan berbuat demikian.
“Jika rasa kelayakan sedia ada sudah memuaskan hati (tidak perlu menyambung pengajian). Begitu juga sebaliknya.
“Namun, sebagai guru mereka perlu profesional dan tahu meletakkan keperluan mana lebih penting,” katanya.
Guru masa kini juga katanya perlu sentiasa ada keinginan tinggi untuk meningkatkan pencapaian diri.
“Kita
bukan semakin bergerak ke belakang tapi ke depan. Apa yang berlaku pada
masa depan termasuk dalam sektor pendidikan tidak dapat dijangka.
“Guru
sepatutnya tidak boleh selesa dengan keadaan diri. Peluang sudah ada
kenapa tidak memanfaatkannya untuk mempertingkatkan taraf diri.
“Jika halangan masa atau kekangan tanggungjawab menjadi penyebab itu bukan alasan yang baik,” katanya.
Berkenaan pelbagai ganjaran diberikan kepada guru, beliau berkata ia perlu dilihat dalam pelbagai konteks berbeza.
“Ada yang melihatnya sebagai satu penghargaan, tapi ada juga sebaliknya.
“Pandangan peribadi saya, untuk menjadi guru perlu ada keinginan dan minat yang tinggi.
“Malangnya tidak semua sanggup menjadi guru, mungkin tiada pekerjaan lain atau sebab peribadi, mereka memilih guru,” katanya.
Malah, dengan nisbah 1:13 iaitu satu guru untuk 13 pelajar, katanya, negara memiliki antara teramai guru di dunia.
“Ini menunjukkan kita boleh melahirkan ramai guru berkualiti, berkelayakan serta mampu menjadi tenaga pengajar terbaik.
“Guru pula perlu melihat cabaran dunia perguruan dengan cara berilmu sebab itu anda dipanggil guru.
“Jangan
lagi dibuai tanggapan kerjaya guru ini mudah sebab bergelar guru hari
ini hanya untuk mereka yang berminat dan tabah berdepan sepak terajang
dunia perguruan,” katanya.
myMetro: 20 Januari 2014
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
sama juga dengan pensyarah di universiti..mempunyai Phd tidak semestinya lebih master dari pensyarah yang hanya mempunyai masters.. isu-isu berkaitan guru sepatutnya diulas oleh guru sahaja sebab mereka lebih arif dan dekat dengan pelajar berbanding pensyarah yang pandai berteori sahaja.
“Bagaimanapun, untuk menjadi guru yang baik bukan saja memerlukan kelayakan, tapi elemen lain seperti pengalaman dan kaedah pembelajaran mantap,” katanya mengakui ganjaran diberikan itu sepatutnya menaikkan semangat guru untuk gigih berusaha."
Kalau begitulah lojiknya ...dimana keperhatinan Kementerian Pendidikan, kerana kecemerlangan dan kepakaran guru dilihat dari prestasi yang cemerlang jasteru itu lahirlah Pengetua JUSA...Guru-guru Pakar. Tapi yang anihnya GPK-GPK terkecuali sedangkan prestasi mereka pada tahap cemerlang. Di sini Kementerian Pendidikan perlu memberi pencerahan seterusnya.
Catat Ulasan