Selasa, 10 Julai 2012

Kurang ajar

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my


ROSAK...bilik guru disiplin disimbah cat merah.
ROSAK...bilik guru disiplin disimbah cat merah.
CONTENG...pelajar terbabit turut menconteng dinding kawasan sekolah.
CONTENG...pelajar terbabit turut menconteng dinding kawasan sekolah.
KUALA LUMPUR: Samseng junior. Itulah gelaran buat tiga pelajar lelaki apabila bukan saja memecah masuk bilik guru disiplin sebaliknya turut menyimbah cat merah di pagar sekolah mereka dalam kejadian di Subang Jaya, dekat sini.
Lebih berani apabila seorang pelajar berusia 17 tahun bersama dua lagi rakannya berusia 15 tahun itu turut menconteng bangunan sekolah berkenaan dengan pelbagai perkataan berbaur ugutan, selain nombor atau simbol dipercayai berkaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Dalam kejadian jam 10 malam Sabtu lalu, semua pelajar itu dikatakan mahu menunjukkan tanda protes kepada guru disiplin selain bertujuan menakutkan pelajar lain.
Bagaimanapun, keberanian mereka itu mengundang padah apabila mereka yang diburu sejak dua hari lalu dicekup polis kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Sumber polis berkata, laporan kejadian itu dibuat pengawal keselamatan sekolah berkenaan di Balai Polis USJ 8, di sini, selepas mendapati tiga pelajar terbabit menceroboh bilik guru, menyimbah cat merah dan menconteng bangunan.

Beliau berkata, ketika kejadian, pengawal keselamatan terbabit sedang melakukan rondaan rutin.

“Pengawal keselamatan itu terkejut apabila mendapati bilik guru disiplin di sekolah berkenaan berselerak akibat diselongkar,” katanya.

Sumber berkata, dia kemudian meneruskan pemeriksaan di kawasan sekolah sebelum menemui kesan conteng yang mempunyai pelbagai perkataan berbaur ugutan, simbol dan nombor dipercayai menjurus kepada kumpulan kongsi gelap.
“Ketika meneruskan pemeriksaan, pengawal itu terserempak dengan kumpulan pelajar terbabit sebelum cuba menahan mereka, namun gagal,” katanya.

“Walaupun berlaku pergelutan, namun pelajar berkenaan sempat melarikan diri,” katanya.

Katanya, ketika melalui pagar belakang sekolah, kumpulan pelajar terbabit sekali lagi menyimbah cat merah di kawasan berkenaan sebelum melarikan diri.

“Pengawal keselamatan itu kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

Sumber berkata, sepasukan anggota polis melancarkan usaha memburu kumpulan pelajar terbabit sebelum ditahan semalam di kawasan berhampiran sekolah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahya Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tiga pelajar terbabit.

“Semua mereka ditahan di kawasan berhampiran sekolah berkenaan (hari ini) semalam,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah merakam percakapan tiga pelajar itu dan siasatan awal mendapati kumpulan itu mahu menunjukkan tanda protes mereka kepada pihak sekolah selain menakutkan pelajar lain.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) dan 427 KK,” katanya yang turut mengakui pihaknya sedang menyiasat kemungkinan tiga pelajar terbabit dipergunakan mahupun menganggotai kumpulan kongsi gelap.

Katanya, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan yang ditemui di pejabat sekolah itu enggan mengulas lanjut kejadian berkenaan kerana bimbang menganggu siasatan.

myMetro: 10 Julai 2012

Tiada ulasan: