ALOR SETAR 9 Julai - Hanya kerana tidak
menegangkan cadar katil senior, seorang pelajar tingkatan satu
berkemungkinan mengalami masa depan yang gelap kerana tidak boleh
mendengar dengan sempurna setelah ditampar hingga pecah gegendang
telinganya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi pada Khamis lalu itu, mangsa
yang belajar di sebuah sekolah di Jalan Langgar di sini, dibuli dan
dipukul oleh dua pelajar senior tersebut dalam asrama sekolah.
Nor Hapizah Putih, 39, mendakwa, insiden menimpa Mohd. Hazim Mohd.
Zaid, 13, yang tinggal di asrama sekolah itu, disedari setelah anaknya
mengadu sakit telinga Khamis lalu.
Katanya, Mohd. Hazim bagaimanapun tidak memaklumkan kisah sebenar dibuli oleh pelajar senior sekolah itu.
"Ketika dia (Mohd. Hazim) pulang ke rumah Sabtu lalu, dia masih
mengadu sakit telinga lalu saya terus bawa dia ke klinik. Hasil
pemeriksaan, doktor beritahu gegendang telinga dia pecah mungkin
disebabkan anak saya dipukul atau ditampar dengan kuat.
"Ketika itu anak saya masih enggan beritahu dia dibuli, namun selepas
dipujuk, baru dia ceritakan perkara sebenar kepada kami," katanya
ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Teduh, Gunung Keriang di
sini, semalam.
Menurutnya, dia dan suaminya telah berjumpa dengan pihak sekolah dan melaporkan perkara tersebut kepada polis.
"Saya lahirkan Mohd. Hazim dengan sempurna tanpa ada sebarang
kecacatan tetapi disebabkan dia dibuli, gendang telinga dia pecah dan
mungkin pada masa depan dia tidak dapat mendengar dengan baik.
"Saya berharap pihak sekolah akan mengambil tindakan segera kepada
pelajar yang membuli anak saya kerana tidak mahu pelajar lain mengalami
nasib sama seperti anak saya," katanya.
Mohd Hazim ketika menceritakan insiden itu memberitahu, kesemua
pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga telah dipanggil oleh pelajar senior
Tingkatan Lima untuk berkumpul di bilik asrama.
"Mereka suruh kami semua ketuk ketampi 250 kali dan suruh siapa yang ada buat salah di dalam asrama tampil ke depan.
"Saya yang tidak tegangkan cadar keluar ke depan dan dua pelajar
senior tampar pipi kanan dan kiri dengan kuat sehingga saya berasa sakit
di dalam telinga," jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Mansor Lat ketika
dihubungi berkata, dia belum menerima laporan mengenai kejadian buli di
sekolah tersebut.
"Saya belum dimaklumkan mengenai kes buli ini namun saya akan
menyiasat perkara ini dengan segera," katanya yang berada di Putrajaya
ketika dihubungi.
Utusan Malaysia Online: 10 Julai 2012
Selasa, 10 Julai 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan