Rabu, 8 Februari 2012

46 pelajar sekolah ditahan tahun lalu

MELAKA 7 Feb. – Seramai 46 pelajar sekolah di negeri ini telah ditahan tahun lalu atas pelbagai kesalahan kesalahan termasuk jenayah rogol yang mencatatkan bilangan kes paling tinggi dalam tempoh tersebut.

Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye, indeks jenayah keseluruhan membabitkan golongan itu namun menunjukkan penurunan iaitu 28 kes pada 2010 yang melibatkan tangkapan seramai 67 orang.

“Penurunan 15 kes atau 54 peratus itu menunjukkan kesungguhan dan komitmen pasukan polis dalam membendung jenayah membabitkan pelajar sekolah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Kempen Cegah Jenayah 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent di sini hari ini.

Menurut Ghee Lye, walaupun terdapat penurunan dalam statistik indeks jenayah, kerjasama yang holistik di antara pihak sekolah, ibu bapa dan polis perlu terus dipergiatkan bagi membendung salah laku pelajar sekolah daripada menjadi lebih serius.

Katanya, kempen pencegahan jenayah perlu diperluaskan ke semua sekolah bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada pelajar supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah.

“Sesuatu perlu dilakukan bagi membendung salah laku pelajar yang kini terdedah kepada pelbagai jenis jenayah termasuk penyalahgunaan dadah, seksual, gengsterisme, vandalisme dan buli yang menimbulkan kebimbangan dan ketakutan kepada masyarakat,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 8 Februari 2012

Tiada ulasan: