Selasa, 18 Oktober 2011

Mahkamah izin tayang rakaman

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

AMPANG: Mahkamah Majistret di sini semalam membenarkan permohonan pembelaan menayangkan rakaman telefon bimbit membabitkan satu mesyuarat diadakan selepas kejadian ketua guru disiplin yang didakwa mencabul 11 pelajar perempuan berusia 15 dan 16 tahun di sebuah sekolah di Pandan Mewah, Februari lalu.

Rakaman video antara lima hingga tujuh minit itu yang dibuat seorang daripada guru di sekolah berkenaan ditayangkan di mahkamah bagi membolehkan Haniff Katri, peguam bela kepada Ismazi@Megat Ismazi Ismail, 48, membuat soal balas terhadap saksi pendakwaan pertama, Ricky Toong Foo Weng, 25.


Dalam prosiding di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman, Ricky yang juga pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Jenice Lee Ying Ha, ketika disoal balas peguam bela tertuduh mengesahkan rakaman berkenaan dan berkata, mesyuarat itu diadakan pada Isnin, 28 Februari lalu iaitu tiga hari selepas kejadian cabul berkenaan.

“Mesyuarat itu diadakan di antara wakil daripada Jabatan Pelajaran Selangor, sekolah, tertuduh, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan 11 mangsa bagi mencari penyelesaian,” katanya.


Ricky ketika menjawab soalan Haniff berkata, dia juga bersetuju orang yang banyak bersuara ketika mesyuarat terbabit adalah Jenice dan bapa seorang daripada mangsa. Sementara itu, Ricky yang mewakili semua mangsa cabul ketika membuat laporan polis terhadap guru disiplin berkenaan, bagaimanapun tidak bersetuju tindakan semua mangsa cabul itu yang bertepuk tangan selepas Jenice mengatakan guru berkenaan perlu diberhentikan menunjukkan mereka masih trauma.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Suzana Abdul Latiff, membantah permohonan pembelaan yang mahu menayangkan rakaman telefon bimbit itu.

Mengikut pertuduhan, Ismazi didakwa mencabul kehormatan dengan meletakkan tangannya di atas dada semua mangsa di dalam bilik guru disiplin antara jam 7.30 pagi dan jam 8.30 pagi 25 Februari lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu. Perbicaraan bersambung hari ini.

myMetro: 18 Oktober 2011

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hati-hati para guru :
dakwaan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu.

Cik ReeN berkata...

Assalamualaikum ..

Cikgu Ismazi sudah dibebaskan dari tuduhan @ fitnah yang di lemparkan terhadap beliau, Alhamdulillah .