Rabu, 19 Ogos 2009
Latih murid serba boleh
dayana@hmetro.com.my
SERDANG: “Kami tidak lihat sekolah kurang murid sebagai kekurangan kerana dengan jumlah murid yang tidak ramai ini, guru lebih mudah memberikan perhatian kepada murid,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Chengkau (SKC), Negeri Sembilan, Razali Yassin.
SKC antara penerima Anugerah Sekolah Cemerlang (ASC), Kementerian Pelajaran Malaysia bagi kategori Sekolah Kurang Murid.
Razali berkata, dengan jumlah murid hanya 88 orang dan 12 guru serta empat kakitangan sekolah, hubungan antara murid dan guru lebih akrab berbanding sekolah harian biasa yang mempunyai jumlah pelajar lebih ramai.
“Disebabkan murid tidak ramai, guru dapat memberi perhatian secara individu kepada murid dan secara tidak langsung menjadikan hubungan lebih rapat,” katanya.
Menurutnya, murid dilatih untuk menjadi serba boleh terutama dalam mewakili sekolah untuk pelbagai pertandingan atau acara.
“Kekurangan sekolah kurang murid adalah kami tidak mempunyai banyak pilihan kerana setiap pertandingan pasti akan menampilkan kumpulan murid yang sama.
“Maka, guru perlu melatih mereka agar menjadi serba boleh supaya apa juga pertandingan yang dianjurkan pasti mendapat penyertaan daripada sekolah kami,” katanya.
Menurutnya, istimewanya SKC berbanding sekolah lain disebabkan jumlah murid tidak ramai, maka sekolah mudah mencatat kecemerlangan akademik.
“Tahun lalu, hanya 15 murid menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan empat murid berjaya mendapat 5A.
“Jumlah murid tidak ramai menjadikan saban tahun kami mencatat kelulusan 100 peratus bagi UPSR,” katanya pada majlis berkenaan di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.
Sementara itu, bagi guru besar Sekolah Kebangsaan Putra (SKP), Simpang Durian, Negeri Sembilan, Bahiah Abu Zarin, kemenangan sekolah berkenaan untuk kategori Sekolah Orang Asli menjadi kayu ukur dalam membuka mata masyarakat Orang Asli mengenai kepentingan pendidikan.
“Ini adalah pertama kali sekolah kami menerima penghargaan seumpama ini dan ia menjadi titik tolak dalam membuktikan bahawa komuniti masyarakat Orang Asli juga boleh berjaya seperti pelajar lain,” katanya.
Menurutnya, antara cabaran dilalui mengendalikan sekolah itu, kebanyakan murid lambat menguasai kemahiran membaca dan menulis.
myMetro: 19 Ogos 2009
Sekolah atur program kemerdekaan
MARAN 18 Ogos - Pelbagai cara digunakan untuk memupuk semangat patriotik di kalangan generasi muda menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini.
Bagi Sekolah Kebangsaan LKTP Jengka 18 dekat sini, warga sekolah tersebut mengatur pelbagai program bagi memeriahkan sambutan hari bersejarah itu.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum sekolah itu, Narimah Hanom Abu Hassan berkata, antara aktiviti yang disusun di sekolah itu termasuk pertandingan menghias basikal dan bilik darjah dengan elemen-elemen patriotisme.
Pertandingan itu, kata beliau, menyerlahkan kreativiti murid-murid sekolah itu sekali gus menonjolkan semangat patriotik yang tertanam dalam jiwa mereka.
''Antara pertandingan yang mendapat sambutan hebat di kalangan murid lelaki dan perempuan ialah menghias basikal,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sharifah Khatijah Syed Yang berkata, aktiviti lain adalah melukis dan mewarna bagi murid prasekolah dan tahun satu, pertandingan mendeklamasi sajak dan pertandingan lagu-lagu patriotik.
Menurutnya, sambutan bulan kemerdekaan merupakan acara tahunan sekolah itu bertujuan merangsang minda murid supaya sentiasa mengamalkan prinsip Rukun Negara.
Sementara itu, Guru Besar sekolah itu, Asiah Mustaffa memberitahu, sepanjang sambutan bulan kemerdekaan itu, pelbagai program diatur seperti deklamasi sajak pada perhimpunan pagi dan tazkirah kemerdekaan.
Jelas beliau, aktiviti sedemikian bertujuan memupuk semangat sayangkan negara dalam jiwa kanak-kanak supaya terus subur sehingga dewasa.
Katanya, kanak-kanak perlu dididik menyayangi bangsa, agama dan tanah air supaya semangat itu kekal tertanam di jiwa mereka hingga ke akhir hayat.
''Kita mahu mereka menjadi warganegara bermaruah dan sentiasa bersedia mempertahankan negara daripada ancaman musuh,'' tegasnya.
Utusan Malaysia Online: 19 Ogos 2009
Segerakan bayaran insentif PPM
SAYA salah seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) di sekolah Pendidikan Khas. Pada bajet 2008, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan akan memberikan bayaran insentif RM200 kepada semua pembantu guru. Iaitu PPM yang di tempatkan di sekolah pendidikan khas atau kelas intergrasi.
Bayaran itu dijanjikan bermula Januari 2009 tetapi malangnya sehingga sekarang kami masih tidak menerima apa-apa bayaran.
Apabila hal ini dipanjangkan ke pihak pengurusan sekolah, maklum balas yang diterima tiada 'Surat Pekeliling' yang di keluarkan oleh Kementerian Pelajaran.
Pada sambutan Hari Guru yang lepas juga, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran sekali lagi menjanjikan insentif tersebut.
Oleh itu, saya amat berharap perkara ini dapat diselesaikan segera dan bayaran tunggakan dapat dibayar secepat mungkin, tambahan dengan keadaan ekonomi sekarang dan menjelang musim perayaan.
Tugas dan tanggungjawab kami sebagai PPM Pendidikan Khas bukanlah mudah seperti yang difikirkan.
Setiap hari kami berhadapan dengan pelbagai kerenah anak-anak istimewa ini. Tindakan mereka ada kalanya di luar jangkaan.
Mungkin dengan bayaran insentif ini dapat meningkatkan lagi kualiti kerja kami dan menambahkan lagi semangat kami.
PPM PRIHATIN,
Esplanade, Pulau Pinang
Utusan Malaysia Online: 19 Ogos 2009
Selasa, 18 Ogos 2009
Maruah 108 pengetua Gred DG52 tercalar diturunkan pangkat
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
rencanabh@bharian.com.my
KIRA-KIRA 108 pengetua yang sepatutnya dilantik ke Gred DG52 tahun ini akan dikeluarkan daripada jawatan berkenaan untuk terus kekal pada Gred DG48 seperti sekarang. Mereka adalah pengetua di sekolah menengah yang mempunyai Tingkatan Enam atau sekolah yang lebih daripada 1,750 pelajar.
Pengetua ini akan ditukarkan ke sekolah yang tidak mempunyai Tingkatan Enam atau pelajar kurang daripada 1,750 orang, iaitu pengetua DG48, seperti gred gaji mereka sekarang. Keadaan ini berlaku kerana Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran menganggap Kumpulan 108 pengetua itu berada di luar zon kenaikan pangkat.
Surat dari Bahagian Sumber Manusia menegaskan bahawa hanya pengetua yang sudah dilantik ke DG48 pada atau sebelum 2005 yang layak dinaikkan ke DG52 tahun ini.
Beberapa pengetua yang dihubungi mengatakan, tindakan itu satu lagi ‘serangan’ oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) terhadap warga pendidik dengan cuba merendah-rendahkan sumbangan guru.
Mereka berkata, PTD menyatakan guru yang sepatutnya dilantik ke DG52 secara hakiki itu berlaku secara luar biasa. Sebaliknya, guru mengatakan mereka diberi jawatan sekarang disebabkan merit, iaitu Pengarah Pelajaran Negeri berpuas hati dengan prestasi dan keupayaan masing-masing.
Pengetua DG48 itu dihantar memimpin di sekolah yang gred pengetuanya DG52 kerana kecemerlangan mereka.
Kumpulan 108 pengetua itu dilantik pada 2006 atau selepas tahun berkenaan dan tidak layak ke DG52 mengikut syarat tiga tahun di DG48 seperti ditetapkan oleh PTD yang mentadbir keseluruhan Bahagian Sumber Manusia.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan menerusi teras kelimanya menyatakan ‘Memartabatkan Kerjaya Keguruan’ namun tindakan ini seolah-olah menjatuhkan maruah guru dan keluarga mereka keseluruhannya.
Kumpulan 108 pengetua ini sudah lebih dua tahun memimpin sekolah berkenaan dan bakal ditukarkan ke sekolah lebih kecil.
Guru di daerah mereka mengenali pengetua ini sebagai penjawat DG48 yang akan dinaikkan ke DG52 kerana bertugas di sekolah sekarang tetapi tiba-tiba ditukarkan ke sekolah lain, semata-mata kerana tidak berada dalam zon kenaikan pangkat.
Zon kenaikan pangkat itu sekarang ditakrif oleh PTD sebagai ‘tiga tahun berada di DG48’.
Seorang pengetua berkata, ‘tindakan ini bukan saja menjatuhkan maruah kami tetapi juga mengakibatkan pengetua hilang moral dan tidak bersemangat untuk memimpin.
“Bayangkan keadaan kami. Selama dua, tiga tahun menjadi pengetua di sekolah DG52 tetapi ditukarkan semula ke sekolah pengetua DG48. Ini satu bentuk hukuman sedangkan kami tidak melakukan kesalahan. Kami dihukum kerana sebelum ini kami dinaikkan pangkat secara merit,” katanya.
Pelantikan Timbalan Perdana Menteri sebagai Menteri Pelajaran memberi harapan baru kepada warga pendidik untuk mendapat peluang kenaikan pangkat yang lebih terbuka dan adil.
Tan Sri Muhiyiddin Yassin sewajarnya meneliti rintihan Kumpulan 108 pengetua ini yang berasa mereka cuba dianiaya.
Berita Harian Online: 18 Ogos 2009
Rotan murid jangan seperti main tarik tali
Saya mencadangkan supaya akta pendidikan yang berkaitan salah laku pelajar disemak semula dan dikaji bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan disiplin di sekolah. Apa yang memeningkan kami sebagai guru disiplin ialah prosedur dan garis panduan yang ditetapkan menimbulkan banyak masalah dan kerumitan.
Andai kata pelajar melakukan kesalahan yang melayakkan dia di rotan, guru perlu memastikan semua dokumen dan butiran mesti lengkap, amaran satu, dua, tiga. Selain itu, surat rujuk kaunselor dan laporan juga perlu disertakan. Pelaksanaan hukuman rotan bukan saja perlu ada saksi dan direkodkan tetapi waris juga mesti dihubungi.
Semua perlu direkodkan, bayangkan kalau setiap minggu ada lima hingga 10 pelajar melakukan kesalahan (mungkin lebih). Bagaimana kami dapat memberikan tumpuan kepada tugas yang lain.
Kerenah waris juga perlu dilayan dan malang sekali guru tiada imuniti daripada tindakan undang-undang. Kenapa ibu bapa perlu bimbang? Adakah risau guru merotan mengikut emosi atau kerana sayangkan anak dan ego masing-masing? Kalau begitu kenapa anak kita berpeleseran, merempit dan dibiarkan mati di jalanan.
Mungkin lebih baik Kementerian Pelajaran meletakkan seorang penasihat undang-undang dan mewujudkan jawatan penolong kanan disiplin di sekolah dan memperkasakan peraturan yang lebih baik dengan konsep zero paper (paperless) selain peruntukan membolehkan guru disiplin dilindungi. Negara kita ramai guru tapi bukan semua berkemampuan dan layak apatah lagi jawatan itu paling tidak digemari oleh guru dan dibenci pelajar juga ibu bapa. Berikan sedikit ruang bagi kami dan penghargaan sewajarnya.
SHAHRULIMAN,
Bangi, Selangor.
Berita Harian Online: 18 Ogos 2009
Isnin, 17 Ogos 2009
Semua aspek diteliti sebelum mansuh PPSMI
Sehubungan itu, Dr Mohd Puad berpendapat keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI adalah langkah kerajaan untuk membetulkan sesuatu yang tidak betul demi kebaikan pelajar dan rakyat keseluruhannya.
Beliau berkata, sekiranya dasar itu bertujuan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dengan mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris maka adalah lebih baik mata pela-jaran berkenaan diajar dalam bahasa ibunda kerana ia lebih mudah difahami pelajar.
Katanya, kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menggunakan bahasa Malaysia dalam pengajarannya sehingga dapat melahirkan ribuan pakar dan profesional termasuk jurutera dan doktor, secara langsung membuktikan keupayaan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu.
Sekiranya pengajaran mata pelajaran berkenaan pula diajar dalam bahasa Inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris maka kaedah pengajarannya perlu diperbaiki, katanya, ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Tawau di sini semalam.
Beliau berkata, penelitian kerajaan mendapati walaupun dasar PPSMI sebelum ini wujud namun ia seolah-olah tidak dilaksanakan kerana kebanyakan guru mengajar subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia atau bercampur-campur.
"Cuma enam peratus saja guru mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris... kalau ia (PPSMI) tidak dilaksanakan, mengapa kita perlu teruskan. (Akhirnya) dasar ini meningkatkan ilmu pun tidak... penguasaan bahasa Inggeris pun tidak," katanya.
Katanya, kerajaan kini sedang mengambil langkah perlu untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran bahasa Inggeris termasuk mengambil lebih ramai guru pakar bahasa itu serta meningkatkan kemudahan pe-ngajaran termasuk penggunaan makmal bahasa serta mengajar kesusasteraan Inggeris di sekolah-sekolah.
Menurut Dr Mohd Puad kerajaan juga telah menerbitkan banyak kamus serta ratusan daftar istilah Sains dan Matematik yang mengandungi ratusan ribu istilah untuk digunakan ketika mengajar mata pelajaran berkenaan dalam bahasa Kebangsaan. - Bernama
Berita Harian Online: 17 Ogos 2009
Utara: Projek senamrobik isi tabung sekolah
Oleh Rosdalilah Zahari
bhnews@bharian.com.my
IPOH: Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun (SMKRPB) mengadakan Projek Senamrobikthon 2009 sempena sambutan Jubli Perak sekolah berkenaan di sini, kelmarin.
Program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu bertujuan mengisi tabung persatuan berkenaan di samping melaksanakan program untuk pelajar, sama ada dari segi akademik atau kokurikulum.
Program itu dirasmikan oleh Raja Datuk Seri Eleena Sultan Azlan Shah.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Norlia Mohd Shuhaili; Yang Dipertua PIBG SMKRPB, Shaharudin Deli dan Pengetua SMKRPB, Jamaluddin Yusoff.
Seramai 500 pelajar tingkatan satu hingga lima dan guru menyertai persembahan senamrobik beramai-ramai itu.
Raja Eleena berkata, beliau amat prihatin dalam perkembangan sekolah itu yang berjaya menghasilkan pendidik serta pelajar kondusif.
"Pelajar perlu diberi pendedahan di luar bilik darjah supaya mereka dapat memikul amanah apabila dewasa," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup sempena program terbabit, di sini.
Raja Eleena berkata, kemudahan prasarana yang lengkap dan moden juga memainkan peranan penting untuk membantu pelajar mentelaah pelajaran.
"Pelajar perlu seimbang dalam intelek, rohani dan jasmani, serta dunia dan akhirat supaya dapat mencapai apa yang diusahakan mereka selama ini," katanya.
Sebelum itu, Eleena mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak RM15,000 menjadikan kutipan terkumpul Projek Senamrobikthon berjumlah RM50,000.
Beliau akan mempertimbang permohonan SMKRPB melalui Shaharudin untuk menjadikan sekolah berkenaan sebagai sekolah angkat syarikatnya.
Sementara itu, pelajar yang berjaya memperoleh kutipan tertinggi, Muhammad Fadhli Aladdin, 17, berkata dia tidak menyangka akan diberi imbuhan komputer riba berkat usahanya.
Berita Harian Online: 17 Ogos 2009