CADANGAN Timbalan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Puad Zarkashi, supaya hukuman rotan dilaksanakan semula di sekolah dengan syarat dan prosedur ditetapkan amat disokong. Bagaimanapun kami, guru disiplin berharap biarlah keputusan itu tidak seperti main tarik tali, sekejap boleh dan tidak boleh.
Saya mencadangkan supaya akta pendidikan yang berkaitan salah laku pelajar disemak semula dan dikaji bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan disiplin di sekolah. Apa yang memeningkan kami sebagai guru disiplin ialah prosedur dan garis panduan yang ditetapkan menimbulkan banyak masalah dan kerumitan.
Andai kata pelajar melakukan kesalahan yang melayakkan dia di rotan, guru perlu memastikan semua dokumen dan butiran mesti lengkap, amaran satu, dua, tiga. Selain itu, surat rujuk kaunselor dan laporan juga perlu disertakan. Pelaksanaan hukuman rotan bukan saja perlu ada saksi dan direkodkan tetapi waris juga mesti dihubungi.
Semua perlu direkodkan, bayangkan kalau setiap minggu ada lima hingga 10 pelajar melakukan kesalahan (mungkin lebih). Bagaimana kami dapat memberikan tumpuan kepada tugas yang lain.
Kerenah waris juga perlu dilayan dan malang sekali guru tiada imuniti daripada tindakan undang-undang. Kenapa ibu bapa perlu bimbang? Adakah risau guru merotan mengikut emosi atau kerana sayangkan anak dan ego masing-masing? Kalau begitu kenapa anak kita berpeleseran, merempit dan dibiarkan mati di jalanan.
Mungkin lebih baik Kementerian Pelajaran meletakkan seorang penasihat undang-undang dan mewujudkan jawatan penolong kanan disiplin di sekolah dan memperkasakan peraturan yang lebih baik dengan konsep zero paper (paperless) selain peruntukan membolehkan guru disiplin dilindungi. Negara kita ramai guru tapi bukan semua berkemampuan dan layak apatah lagi jawatan itu paling tidak digemari oleh guru dan dibenci pelajar juga ibu bapa. Berikan sedikit ruang bagi kami dan penghargaan sewajarnya.
SHAHRULIMAN,
Bangi, Selangor.
Berita Harian Online: 18 Ogos 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan