Isnin, 17 Ogos 2009

Utara: Projek senamrobik isi tabung sekolah

Oleh Rosdalilah Zahari
bhnews@bharian.com.my

IPOH: Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun (SMKRPB) mengadakan Projek Senamrobikthon 2009 sempena sambutan Jubli Perak sekolah berkenaan di sini, kelmarin.

Program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu bertujuan mengisi tabung persatuan berkenaan di samping melaksanakan program untuk pelajar, sama ada dari segi akademik atau kokurikulum.

Program itu dirasmikan oleh Raja Datuk Seri Eleena Sultan Azlan Shah.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Norlia Mohd Shuhaili; Yang Dipertua PIBG SMKRPB, Shaharudin Deli dan Pengetua SMKRPB, Jamaluddin Yusoff.

Seramai 500 pelajar tingkatan satu hingga lima dan guru menyertai persembahan senamrobik beramai-ramai itu.

Raja Eleena berkata, beliau amat prihatin dalam perkembangan sekolah itu yang berjaya menghasilkan pendidik serta pelajar kondusif.

"Pelajar perlu diberi pendedahan di luar bilik darjah supaya mereka dapat memikul amanah apabila dewasa," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup sempena program terbabit, di sini.

Raja Eleena berkata, kemudahan prasarana yang lengkap dan moden juga memainkan peranan penting untuk membantu pelajar mentelaah pelajaran.

"Pelajar perlu seimbang dalam intelek, rohani dan jasmani, serta dunia dan akhirat supaya dapat mencapai apa yang diusahakan mereka selama ini," katanya.

Sebelum itu, Eleena mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak RM15,000 menjadikan kutipan terkumpul Projek Senamrobikthon berjumlah RM50,000.

Beliau akan mempertimbang permohonan SMKRPB melalui Shaharudin untuk menjadikan sekolah berkenaan sebagai sekolah angkat syarikatnya.

Sementara itu, pelajar yang berjaya memperoleh kutipan tertinggi, Muhammad Fadhli Aladdin, 17, berkata dia tidak menyangka akan diberi imbuhan komputer riba berkat usahanya.

Berita Harian Online: 17 Ogos 2009

Tiada ulasan: