Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my
SERDANG: “Kami tidak lihat sekolah kurang murid sebagai kekurangan kerana dengan jumlah murid yang tidak ramai ini, guru lebih mudah memberikan perhatian kepada murid,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Chengkau (SKC), Negeri Sembilan, Razali Yassin.
SKC antara penerima Anugerah Sekolah Cemerlang (ASC), Kementerian Pelajaran Malaysia bagi kategori Sekolah Kurang Murid.
Razali berkata, dengan jumlah murid hanya 88 orang dan 12 guru serta empat kakitangan sekolah, hubungan antara murid dan guru lebih akrab berbanding sekolah harian biasa yang mempunyai jumlah pelajar lebih ramai.
“Disebabkan murid tidak ramai, guru dapat memberi perhatian secara individu kepada murid dan secara tidak langsung menjadikan hubungan lebih rapat,” katanya.
Menurutnya, murid dilatih untuk menjadi serba boleh terutama dalam mewakili sekolah untuk pelbagai pertandingan atau acara.
“Kekurangan sekolah kurang murid adalah kami tidak mempunyai banyak pilihan kerana setiap pertandingan pasti akan menampilkan kumpulan murid yang sama.
“Maka, guru perlu melatih mereka agar menjadi serba boleh supaya apa juga pertandingan yang dianjurkan pasti mendapat penyertaan daripada sekolah kami,” katanya.
Menurutnya, istimewanya SKC berbanding sekolah lain disebabkan jumlah murid tidak ramai, maka sekolah mudah mencatat kecemerlangan akademik.
“Tahun lalu, hanya 15 murid menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan empat murid berjaya mendapat 5A.
“Jumlah murid tidak ramai menjadikan saban tahun kami mencatat kelulusan 100 peratus bagi UPSR,” katanya pada majlis berkenaan di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.
Sementara itu, bagi guru besar Sekolah Kebangsaan Putra (SKP), Simpang Durian, Negeri Sembilan, Bahiah Abu Zarin, kemenangan sekolah berkenaan untuk kategori Sekolah Orang Asli menjadi kayu ukur dalam membuka mata masyarakat Orang Asli mengenai kepentingan pendidikan.
“Ini adalah pertama kali sekolah kami menerima penghargaan seumpama ini dan ia menjadi titik tolak dalam membuktikan bahawa komuniti masyarakat Orang Asli juga boleh berjaya seperti pelajar lain,” katanya.
Menurutnya, antara cabaran dilalui mengendalikan sekolah itu, kebanyakan murid lambat menguasai kemahiran membaca dan menulis.
myMetro: 19 Ogos 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan