Selasa, 15 September 2009

Guru Kafa Negeri Sembilan miskin tegar

SAYA salah seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di Negeri Sembilan (NS), ingin melahirkan rasa sedih di atas apa yang berlaku kepada kami yang hanya mendapat elaun bukan gaji sebanyak RM500 sebulan.

Bagi kami di NS, sudah berapa kali disajikan dengan cerita kenaikan tetapi sampai sekarang masih tiada apa-apa berita.

Pada awal tahun, penyelia Kafa telah memberi jaminan jika Kafa Wilayah Persekutuan mendapat kenaikan elaun maka kami di Negeri Sembilan mungkin akan mengikut jejak yang sama.

Kemudian pertengahan tahun, kami diberitahu bahawa Jakim akan menyemak elaun kami dan daripada pihak Cuepacs pun ada mencadangkan agar guru Kafa dijadikan jawatan tetap.

Tetapi apa yang amat menyedihkan sampailah surat ini ditulis, semua khabar itu umpama mainan politik sahaja.

Apakah kami yang lulusan agama ni tidak layak untuk menikmati kemudahan seperti kakitangan awam yang lain.

Cubalah pembaca sekalian mencongak apa yang kami boleh buat dengan elaun RM500 itu?

Tidak cukup sampai hujung bulan pun, kami termasuk dalam kategori rakyat termiskin.

Memanglah kami mengajar hanya 10 jam seminggu tetapi sepenuh masa di dalam kelas walaupun ada pertukaran kelas.

Tidak seperti guru KPM yang mengajar sebelah pagi walaupun 6 jam di sekolah bukan sepenuh masa ada kelas, sekurang-kurangnya mereka ada masa untuk berehat.

Hari ini kakitangan sokongan mendapat duit raya sebanyak RM500 walaupun gaji mereka hampir RM1,000 sebulan.

Guru Kafa mahu merasa duit raya, nampaknya tidak adalah.

Alasan yang selalu diberi biarlah kita ini bekerja kerana Allah.

Maaflah andai surat ini mengganggu JAKIM, JAINS dan sesiapa yang terlibat, tetapi inilah luahan rasa hati kami guru-guru KAP yang sekadar bergantung kepada elaun RM500 untuk hidup.

Guru KAP Negeri Sembilan


Utusan Malaysia Online: 15 September 2009

Isnin, 14 September 2009

SK GONG KAPAS MENANG ANUGERAH CEMERLANG



Para pelajar serta guru Sekolah Kebangsaan Gong Kapas gembira menunjukkan replika cek dan piala iringan selepas dinobatkan Anugerah Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2009 bagi kategori Sekolah Bandar Terbaik di Kuala Terengganum, baru-baru ini.


SEKOLAH Kebangsaan (SK) Gong Kapas, Kuala Terengganu menerima Anugerah Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan Kategori Bandar, baru-baru ini. Kejayaan yang turut melibatkan pengurusan organisasi dan kemandirian murid menyaksikan sekolah itu membawa pulang plak, sijil dan waran sebanyak RM50,000. SK Gong Kapas menewaskan sembilan sekolah lain dari seluruh negara bagi memperoleh anugerah tahunan tersebut.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyampaikan anugerah tersebut kepada Guru Besar SK Gong Kapas, Hafsah Mohamad di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Utusan Malaysia Online: 14 September 2009

Fokus: Penutur jati

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

Guru 'orang putih' ditempatkan di sekolah pedalaman bantu pelajar kuasai bahasa Inggeris

PENEMPATAN guru bahasa Inggeris (BI) di kalangan penutur jati di sekolah terutama di pedalaman diyakini dapat membantu pelajar kawasan itu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, berkata usaha itu sudah dilaksanakan sebelum ini dengan membawa guru terbabit kebanyakannya dari United Kingdom ke semua sekolah berasrama penuh.

Hasil program itu, beliau berkata, semua pelajar di sekolah berkenaan mampu berkomunikasi dalam BI dengan begitu baik dengan tatabahasa yang betul, selain meningkatkan perbendaharaan kata.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak dapat meneruskan program mengambil guru dari negara penutur jati kerana berdepan masalah kos pengurusan yang tinggi.

“Program dilaksanakan sekitar 70-an ini menunjukkan kesan positif kerana selain dapat dimanfaatkan pelajar, guru sekolah terbabit juga menikmati kesannya apabila mereka boleh berkomunikasi dengan baik.

“Hasil membanggakan itu menjadi penanda aras kementerian melaksanakan semula program berkenaan.

“Kertas cadangan lengkap mengenainya sudah disediakan dan kementerian akan mengemukakannya kepada Menteri Pelajaran bulan depan,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, program itu akan diperluaskan ke sekolah pedalaman memandangkan pelajar bandar banyak kemudahan dan mudah mendapatkan bimbingan tambahan.

Untuk tujuan itu, Noor Rezan berkata, peruntukan pendidikan sedia ada bagi memperkasakan BI berjumlah RM5 bilion dapat digunakan sebaik mungkin untuk guru penutur jati itu ke negara ini seterusnya ditempatkan di pedalaman.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengetua Sekolah Menengah Guntong, Setiu, Terengganu, Romeli Ismail, berkata kerajaan Terengganu pernah membawa masuk 23 guru BI dari Amerika Syarikat dan berkhidmat selama lapan bulan setahun.

Beliau berkata, penempatan guru penutur jati dengan kos dibiaya kerajaan negeri pada peringkat awal di sekolah bandar, bagaimanapun mulai tahun ini ia diperluaskan ke pedalaman.

Sambil menjelaskan guru penutur jati itu berusia antara 24 hingga 26 tahun, beliau berkata;

“Berdasarkan penilaian mendapati pelajar yang mendapat bimbingan daripada guru ini mampu berkomunikasi dengan baik, selain membaca dan menulis menggunakan tatabahasa lengkap serta sebutan sempurna.

“Selain mencurah bakti dengan mengajar penuh dedikasi, guru penutur jati ini juga berpeluang mendalami kehidupan masyarakat setempat dan mengunjungi tempat menarik,” katanya.

Berikutan kejayaan itu, Romeli yang juga Distric English Language Coordinator berkata, kerajaan negeri meneruskan program itu yang kini masuk tahun keempat.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia, Adimas Halim Abdul Manaf, berkata langkah menggunakan khidmat guru penutur jati itu dilihat sebagai kaedah terbaik membentuk semangat dan keyakinan pelajar berkomunikasi dalam bahasa antarabangsa itu.

Sebagai pengamal pendidikan, pihaknya mengharapkan usaha murni itu berjalan lancar dengan mengambil kira pelbagai faktor antaranya perubahan budaya dan norma hidup.

Guru terbabit katanya, wajar menjalani sesi suai kenal dengan guru di kawasan berkenaan, selain penduduk setempat bagi membolehkan mereka memahami persekitaran yang berbeza dengan cara hidup di negara asal.

Sesi pengenalan itu penting bagi membolehkan guru berkenaan mengenal pasti dan mengetahui keadaan serta persekitaran setempat sebelum mereka memulakan tugas, selain mewujudkan kemesraan.

“Proses pembelajarannya berkesan kerana guru menggunakan BI sepenuhnya dan pada masa sama memperbaiki kelemahan pelajar secara bimbingan berterusan,” katanya.

Adimas Halim berkata, pendekatan itu pernah dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara selepas mencapai kemerdekaan.

Ketika itu, katanya, ramai guru BI dari negara bekas jajahan British datang ke negara ini dan selain pelajar, peluang itu juga dapat dimanfaatkan pelbagai pihak termasuk penduduk setempat.

“Memandang pelajar di pedalaman berdepan pelbagai masalah infrastruktur, wajar jika guru penutur jati itu dihantar ke sana,” katanya.

Berita Harian Online: 14 September 2009

Kementerian optimis dapat tingkatkan kemahiran murid

KEMENTERIAN Pelajaran optimis usaha membawa masuk guru bahasa Inggeris (BI) dari negara penutur jati untuk ditempatkan di sekolah pedalaman mampu memantapkan penguasaan bahasa berkenaan di kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata proses membawa masuk graduan muda dari beberapa negara sudah dikenal pasti, antaranya Australia, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, pendekatan itu lebih sesuai kerana sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), guru terbabit akan bertutur dalam BI yang secara tidak langsung menggalakkan pelajar menggunakan bahasa sama.

Sambil menjelaskan usaha itu akan dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai kriteria, beliau berkata, selain kelayakan, hanya mereka yang sedia berkhidmat di pedalaman diberi keutamaan.

“Kita melihat proses memperkasakan BI sebagai program menyeluruh, ia tidak hanya memberi tumpuan kepada P&P di sekolah semata-mata.

“Skop pendidikan luas dengan mengambil kira aktiviti luar bilik darjah, antaranya kegiatan kokurikulum yang mampu mewujudkan suasana pembelajaran bahasa secara lebih santai,” katanya.

Mohd Puad berkata, pembabitan guru BI dari negara penutur jati dalam kegiatan kokurikulum juga diutamakan kerana ia peluang mereka mendekati pelajar di luar waktu sekolah.

Dengan cara itu, katanya, ia akan mewujudkan hubungan akrab antara guru terbabit dan pelajar yang secara tidak langsung menggalakkan mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Guru berkenaan juga dapat berkongsi maklumat dan kepakaran serta panduan berkesan dalam meningkatkan kemahiran berkomunikasi menggunakan BI dengan tatabahasa dan sebutan yang betul.

“Pendekatan ini secara tidak langsung mewujudkan suasana belajar yang menyeronokkan, selain keadaan muhibah yang diharap dapat memupuk minat serta kesungguhan pelajar,” katanya.

Berita Harian Online: 14 September 2009

Ahad, 13 September 2009

“Rotan mendidik bukan balas dendam”



KAMPUNG GAJAH - Kementerian Pelajaran perlu meletakkan garis panduan yang betul kepada guru yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar jika mahu perkara itu dikuatkuasakan kembali.

Bekas Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Zamsuri Zakaria berkata, GMGBM telah lama bersetuju untuk melaksanakan hukuman rotan itu tetapi perlu ada garis panduan yang betul.

Menurutnya, mereka yang diletakkan tanggungjawab untuk merotan perlu diberi pendedahan atau latihan khusus cara-cara merotan yang betul.

:“Hukuman rotan yang dilakukan haruslah untuk mengajar dan bukannya untuk membalas dendam ataupun kerana perasaan marah seseorang itu kepada pelajar berkenaan.

:“Mereka yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan hukuman itu perlu diberi kursus atau pendedahan bagaimana untuk merotan dengan betul iaitu merotan untuk memberi pengajaran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

:Zamsuri berkata, Kementerian Pelajaran perlu memikirkan satu garis panduan yang betul supaya hukuman rotan yang akan dilaksanakan memberi kesan positif kepada pelajar yang menerima hukuman berkenaan.

“Ia perlu dikaji terlebih dahulu bagaimana untuk melakukan hukuman rotan supaya ia memberi kesan yang positif dan betul-betul memberikan pengajaran kepada pelajar berkenaan.

“Merotan janganlah dilakukan di hadapan khalayak ramai kerana ia boleh mengaibkan pelajar berkenaan dan ia boleh dilakukan di bilik tertutup seperti pejabat atau bilik guru,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Fuad Zarkashi berkata, pengenalan semula hukuman rotan yang dihentikan pada 2006 lalu wajar diteruskan mengikut keperluan semasa.

Menurutnya, hukuman itu perlu dikenakan kepada pelajar jika mereka masih berdegil walaupun sesi kaunseling sudah dijalankan.

Sinar Harian: 13 September 2009

Mahu semua pihak tidak timbulkan isu

KERIAN - Saya harap tidak ada lagi isu gaduh, isu masam muka, isu orang lama dan orang baru dan berbagai lagi isu yang boleh menjejaskan perjalanan pendidikan untuk anak bangsa kita, Penolong Pegawai PPD Kerian, Mohd Fisol Sapiee.

Beliau hadir pada majlis penutup Kursus Tatatertib untuk semua warga Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Daerah Kerian bertempat di Dewan Malinja Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kerian, Sabtu lalu.

Lebih 200 warga pentadbiran dan pendidik SABK Kerian hadir sebagai peserta kursus berkenaan.

Mohd Fisol dalam ucapannya mengharapkan perubahan positif dalam kalangan warga SABK bagi memastikan agenda kementerian dalam memajukan pendidikan untuk anak-anak.

“Banyak input berguna untuk diteliti dan diambil pengajaran hasil dari pembentangan oleh penceramah. Ia termasuk dari perihal urus tadbir hinggalah kepada sikap dan profesional seorang guru dibentangkan bagi kesedaran kepada semua warga guru SABK.

Beliau berkata, kursus ini diharap menjadi pembuka jalan baru kepada pentadbiran SABK yang masih mencari ‘identiti’ bagi meneruskan kesinambungan pendidikan dan persefahaman di antara warga sekolah.

“Harapan saya, agar semua warga pentadbir SABK Kerian terutamanya mencari jalan penyelesaian yang baik bagi semua masalah yang timbul di sekolah masing-masing,” katanya.

Beliau turut berharap ada perbincangan terbuka dan tulus di semua cabang urus tadbir termasuk Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), Lembaga Pengelola Sekolah dan Ahli Jawatan Kuasa Guru untuk membuahkan hasil yang lebih baik kepada sekolah.

Kursus yang julung kali diadakan itu mendedahkan semua peserta kepada peraturan-peraturan yang wajar dipatuhi bagi memastikan pengurusan sekolah berjalan dengan baik.

SABK Al-Falah mengambil inisiatif ini menjadi pengelola program sebagai memenuhi tanggungjawab memberi latihan kepadai guru baru yang masih belum berpengalaman dalam arena pendidikan dan bagi guru lama untuk kembali mengikut prosedur yang sebenar.

Kursus yang menggunakan pendekatan Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) itu memberi pendedahan kepada semua warga SABK.

Kursus disampaikan oleh Ramli Muhaidin dari Jabatan Pelajaran negeri (JPN) Perak selama tiga jam.

Antara SABK yang turut mengambil bahagian ialah SABK Al-Falah Tanjung Piandang, Shamsul Maarif Tanjung Piandang, Al-Hidayah Kuala Kurau, Ehya Assyarif Gunung Semanggol Rendah dan Menengah, Ridwaniah Telok Medan (rendah dan menengah).

Sinar Harian: 13 September 2009

Yasin Perdana iringi doa, mohon keberkatan



BAGAN SERAI - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) telah pun berakhir Jumaat lalu. Ini bermakna, debaran pelajar tahun 6 juga telah berakhir.

Kebanyakan pihak sekolah tidak lupa untuk mengadakan majlis bacaan Yasin yang disertai dengan solat Hajat bagi mendapat keberkatan sekali gus mampu melenyapkan rasa debaran yang dihadapi pelajar, guru dan ibu bapa calon.

Majlis membaca Yasin UPSR Perdana telah diadakan di dewan peperiksaan Sekolah Kebangsaan Parit Haji Taib (SKPHT) antara yang tidak ketinggalan menganjurkan Majlis Membaca Yasin Perdana sebelum UPSR bermula 8 September lalu.

Sebelum itu, pada setiap pagi Jumaat majlis membaca Yasin hanya diadakan di surau SKPHT bersama guru Pendidikan Islam dan beberapa orang guru yang berkelapangan. Namun berbentuk perdana itu disertai semua guru sekolah berkenaan.

Bagaimanapun majlis itu tidak dapat disertai ibu bapa pelajar atas arahan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) kerana wabak Influenza A (H1N1) yang sedang melanda sekarang.

Majlis berkenaan diketuai Guru Pendidikan Islam, Mohamad Khairuddin manakala bacaan doa disempurnakan Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Mohd Nasir Samsuri.

Sinar Harian: 13 September 2009