Ahad, 13 September 2009

Mahu semua pihak tidak timbulkan isu

KERIAN - Saya harap tidak ada lagi isu gaduh, isu masam muka, isu orang lama dan orang baru dan berbagai lagi isu yang boleh menjejaskan perjalanan pendidikan untuk anak bangsa kita, Penolong Pegawai PPD Kerian, Mohd Fisol Sapiee.

Beliau hadir pada majlis penutup Kursus Tatatertib untuk semua warga Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Daerah Kerian bertempat di Dewan Malinja Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kerian, Sabtu lalu.

Lebih 200 warga pentadbiran dan pendidik SABK Kerian hadir sebagai peserta kursus berkenaan.

Mohd Fisol dalam ucapannya mengharapkan perubahan positif dalam kalangan warga SABK bagi memastikan agenda kementerian dalam memajukan pendidikan untuk anak-anak.

“Banyak input berguna untuk diteliti dan diambil pengajaran hasil dari pembentangan oleh penceramah. Ia termasuk dari perihal urus tadbir hinggalah kepada sikap dan profesional seorang guru dibentangkan bagi kesedaran kepada semua warga guru SABK.

Beliau berkata, kursus ini diharap menjadi pembuka jalan baru kepada pentadbiran SABK yang masih mencari ‘identiti’ bagi meneruskan kesinambungan pendidikan dan persefahaman di antara warga sekolah.

“Harapan saya, agar semua warga pentadbir SABK Kerian terutamanya mencari jalan penyelesaian yang baik bagi semua masalah yang timbul di sekolah masing-masing,” katanya.

Beliau turut berharap ada perbincangan terbuka dan tulus di semua cabang urus tadbir termasuk Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), Lembaga Pengelola Sekolah dan Ahli Jawatan Kuasa Guru untuk membuahkan hasil yang lebih baik kepada sekolah.

Kursus yang julung kali diadakan itu mendedahkan semua peserta kepada peraturan-peraturan yang wajar dipatuhi bagi memastikan pengurusan sekolah berjalan dengan baik.

SABK Al-Falah mengambil inisiatif ini menjadi pengelola program sebagai memenuhi tanggungjawab memberi latihan kepadai guru baru yang masih belum berpengalaman dalam arena pendidikan dan bagi guru lama untuk kembali mengikut prosedur yang sebenar.

Kursus yang menggunakan pendekatan Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) itu memberi pendedahan kepada semua warga SABK.

Kursus disampaikan oleh Ramli Muhaidin dari Jabatan Pelajaran negeri (JPN) Perak selama tiga jam.

Antara SABK yang turut mengambil bahagian ialah SABK Al-Falah Tanjung Piandang, Shamsul Maarif Tanjung Piandang, Al-Hidayah Kuala Kurau, Ehya Assyarif Gunung Semanggol Rendah dan Menengah, Ridwaniah Telok Medan (rendah dan menengah).

Sinar Harian: 13 September 2009

Tiada ulasan: