Isnin, 14 September 2009

Fokus: Penutur jati

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

Guru 'orang putih' ditempatkan di sekolah pedalaman bantu pelajar kuasai bahasa Inggeris

PENEMPATAN guru bahasa Inggeris (BI) di kalangan penutur jati di sekolah terutama di pedalaman diyakini dapat membantu pelajar kawasan itu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, berkata usaha itu sudah dilaksanakan sebelum ini dengan membawa guru terbabit kebanyakannya dari United Kingdom ke semua sekolah berasrama penuh.

Hasil program itu, beliau berkata, semua pelajar di sekolah berkenaan mampu berkomunikasi dalam BI dengan begitu baik dengan tatabahasa yang betul, selain meningkatkan perbendaharaan kata.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak dapat meneruskan program mengambil guru dari negara penutur jati kerana berdepan masalah kos pengurusan yang tinggi.

“Program dilaksanakan sekitar 70-an ini menunjukkan kesan positif kerana selain dapat dimanfaatkan pelajar, guru sekolah terbabit juga menikmati kesannya apabila mereka boleh berkomunikasi dengan baik.

“Hasil membanggakan itu menjadi penanda aras kementerian melaksanakan semula program berkenaan.

“Kertas cadangan lengkap mengenainya sudah disediakan dan kementerian akan mengemukakannya kepada Menteri Pelajaran bulan depan,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, program itu akan diperluaskan ke sekolah pedalaman memandangkan pelajar bandar banyak kemudahan dan mudah mendapatkan bimbingan tambahan.

Untuk tujuan itu, Noor Rezan berkata, peruntukan pendidikan sedia ada bagi memperkasakan BI berjumlah RM5 bilion dapat digunakan sebaik mungkin untuk guru penutur jati itu ke negara ini seterusnya ditempatkan di pedalaman.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengetua Sekolah Menengah Guntong, Setiu, Terengganu, Romeli Ismail, berkata kerajaan Terengganu pernah membawa masuk 23 guru BI dari Amerika Syarikat dan berkhidmat selama lapan bulan setahun.

Beliau berkata, penempatan guru penutur jati dengan kos dibiaya kerajaan negeri pada peringkat awal di sekolah bandar, bagaimanapun mulai tahun ini ia diperluaskan ke pedalaman.

Sambil menjelaskan guru penutur jati itu berusia antara 24 hingga 26 tahun, beliau berkata;

“Berdasarkan penilaian mendapati pelajar yang mendapat bimbingan daripada guru ini mampu berkomunikasi dengan baik, selain membaca dan menulis menggunakan tatabahasa lengkap serta sebutan sempurna.

“Selain mencurah bakti dengan mengajar penuh dedikasi, guru penutur jati ini juga berpeluang mendalami kehidupan masyarakat setempat dan mengunjungi tempat menarik,” katanya.

Berikutan kejayaan itu, Romeli yang juga Distric English Language Coordinator berkata, kerajaan negeri meneruskan program itu yang kini masuk tahun keempat.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia, Adimas Halim Abdul Manaf, berkata langkah menggunakan khidmat guru penutur jati itu dilihat sebagai kaedah terbaik membentuk semangat dan keyakinan pelajar berkomunikasi dalam bahasa antarabangsa itu.

Sebagai pengamal pendidikan, pihaknya mengharapkan usaha murni itu berjalan lancar dengan mengambil kira pelbagai faktor antaranya perubahan budaya dan norma hidup.

Guru terbabit katanya, wajar menjalani sesi suai kenal dengan guru di kawasan berkenaan, selain penduduk setempat bagi membolehkan mereka memahami persekitaran yang berbeza dengan cara hidup di negara asal.

Sesi pengenalan itu penting bagi membolehkan guru berkenaan mengenal pasti dan mengetahui keadaan serta persekitaran setempat sebelum mereka memulakan tugas, selain mewujudkan kemesraan.

“Proses pembelajarannya berkesan kerana guru menggunakan BI sepenuhnya dan pada masa sama memperbaiki kelemahan pelajar secara bimbingan berterusan,” katanya.

Adimas Halim berkata, pendekatan itu pernah dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara selepas mencapai kemerdekaan.

Ketika itu, katanya, ramai guru BI dari negara bekas jajahan British datang ke negara ini dan selain pelajar, peluang itu juga dapat dimanfaatkan pelbagai pihak termasuk penduduk setempat.

“Memandang pelajar di pedalaman berdepan pelbagai masalah infrastruktur, wajar jika guru penutur jati itu dihantar ke sana,” katanya.

Berita Harian Online: 14 September 2009

Tiada ulasan: