Ahad, 13 September 2009

“Rotan mendidik bukan balas dendam”



KAMPUNG GAJAH - Kementerian Pelajaran perlu meletakkan garis panduan yang betul kepada guru yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar jika mahu perkara itu dikuatkuasakan kembali.

Bekas Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Zamsuri Zakaria berkata, GMGBM telah lama bersetuju untuk melaksanakan hukuman rotan itu tetapi perlu ada garis panduan yang betul.

Menurutnya, mereka yang diletakkan tanggungjawab untuk merotan perlu diberi pendedahan atau latihan khusus cara-cara merotan yang betul.

:“Hukuman rotan yang dilakukan haruslah untuk mengajar dan bukannya untuk membalas dendam ataupun kerana perasaan marah seseorang itu kepada pelajar berkenaan.

:“Mereka yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan hukuman itu perlu diberi kursus atau pendedahan bagaimana untuk merotan dengan betul iaitu merotan untuk memberi pengajaran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

:Zamsuri berkata, Kementerian Pelajaran perlu memikirkan satu garis panduan yang betul supaya hukuman rotan yang akan dilaksanakan memberi kesan positif kepada pelajar yang menerima hukuman berkenaan.

“Ia perlu dikaji terlebih dahulu bagaimana untuk melakukan hukuman rotan supaya ia memberi kesan yang positif dan betul-betul memberikan pengajaran kepada pelajar berkenaan.

“Merotan janganlah dilakukan di hadapan khalayak ramai kerana ia boleh mengaibkan pelajar berkenaan dan ia boleh dilakukan di bilik tertutup seperti pejabat atau bilik guru,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Fuad Zarkashi berkata, pengenalan semula hukuman rotan yang dihentikan pada 2006 lalu wajar diteruskan mengikut keperluan semasa.

Menurutnya, hukuman itu perlu dikenakan kepada pelajar jika mereka masih berdegil walaupun sesi kaunseling sudah dijalankan.

Sinar Harian: 13 September 2009

Tiada ulasan: