Isnin, 28 Mac 2011

Guru lapor insiden gangguan seksual dapat penghargaan polis


MOHAMAD Nasir Ramli memeriksa perbarisan anggota polis pada sambutan Hari Polis Ke-204 di Tanjung Emas, Muar, Johor, baru-baru ini.


MUAR 27 Mac - Kepantasan seorang guru wanita melaporkan insiden gangguan seksual terhadap pelajar sekolahnya sehingga suspek ditahan, membolehkannya menerima penghargaan dalam sambutan Peringatan Hari Polis Ke-204 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini kelmarin.

Rosmah Kaharuddin, 47, yang merupakan kaunselor pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Muar telah menerima Sijil Penghargaan Ketua Polis Johor yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli.

Jelas Rosmah, kerjasama antara pihak polis dan sekolah adalah amat penting dalam memastikan keselamatan para pelajar di dalam sekolah dan di luar kawasan sekolah.

"Dalam kejadian itu, pelajar-pelajar perempuan sekolah saya telah diganggu seorang lelaki di luar kawasan sekolah yang suka membuka pakaian di khalayak ramai.

"Bimbang kepada keselamatan para pelajar, saya membuat laporan polis dan selepas tangkapan dibuat, rupa-rupanya lelaki itu melakukan kes yang serupa di banyak tempat," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya, hubungan baik antara masyarakat dan polis membawa pelbagai manfaat dan kerjasama baik tersebut sewajarnya diteruskan.

Dalam majlis sambutan Peringatan Hari Polis Ke-204 peringkat IPD Muar, Mohamad Nasir turut menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Daerah kepada tujuh orang awam yang memberi kerjasama baik dan pelbagai sumbangan kepada pihak polis.

Di samping itu, seramai 19 pegawai dan anggota dari IPD berkenaan diberi penghargaan di atas kejayaan dalam membanteras dan menyelesaikan kes jenayah di daerah ini.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan Pasukan T-Baton Wanita IPD Muar serta pertunjukan kawad kaki dari Kadet Polis SMK Dato Sri Amar Diraja Muar.

Utusan Malaysia Online: 28 Mac 2011

Cadangan naik gaji guru bertugas luar waktu sekolah disokong

2011/03/28

SAYA ingin memberi maklum balas kepada komen Guru Jujur, Kuala Lumpur dalam ruangan ini yang disiarkan 26 Mac lalu.

‘Guru Jujur’ amat tidak berpuas hati atas cadangan CUEPACS menaikkan gaji guru yang sering bertugas di luar waktu sekolah. Alasan yang diberikan, guru lain yang terpaksa mengganti guru yang bertugas di luar.
Saya amat bersetuju dengan cadangan CUEPACS itu. Jika Guru Jujur ingin mendapat kenaikan gaji, sila berkecimpung dalam aktiviti di luar waktu sekolah. Pengalaman saya berbelas tahun aktif dengan aktiviti luar ini amat memerlukan pengorbanan diri dan ahli keluarga.

Mana tidaknya, setiap hujung minggu pasti akan keluar membawa murid untuk berkhemah bagi memberi peluang murid mendapat sijil demi masa depan mereka. Apabila bergerak di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), guru tidak diberi sebarang elaun, malah perlu mengeluarkan duit poket sendiri untuk minyak kereta, makan dan sebagainya.

Tidak cukup dengan itu, pada Ahad habis bertugas, Isnin pula perlu ke sekolah seperti biasa. Persoalannya, bila guru ini bercuti, bila guru ini berpeluang untuk bersama keluarga dan siapa yang hendak bagi bayaran gaji lebih masa apabila berkhemah guru perlu bertugas 24 jam sehari bersama murid.

Di mana Guru Jujur waktu hujung minggu?, mungkin sedang berada di rumah menonton televisyen atau ke pusat beli-belah bersama keluarga. Sedangkan guru yang bertugas ini berhempas pulas menjaga murid dan meninggalkan anak dan isteri di rumah tanpa apa-apa balasan.

‘Guru Jujur’ perlu berkecimpung dalam bidang ini supaya berasa apa yang kami rasa. Ramai yang tidak sanggup bertugas di luar waktu persekolahan. Kalau semua guru ini tidak lagi mahu berkerja di luar waktu pejabat, maka murid yang akan rugi.
Harap Kementerian Pelajaran pandanglah masalah kami. Sediakan seorang guru khas setiap sekolah untuk menggalas tugas seperti ini dan berikan hak cuti apabila bertugas pada Sabtu dan Ahad.

Apapun, terima kasih CUEPACS kerana mengambil berat masalah guru seperti kami ini yang jarang sekali dipandang oleh pihak pentadbiran sekolah untuk diberi anugerah cemerlang.

CIKGU NGO,
Perak

Berita Harian Online: 28 Mac 2011

Kaji kenaikan pangkat guru siswazah

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/03/28

KEMENTERIAN Pelajaran perlu mengkaji semula kenaikan pangkat guru siswazah yang terbabit dengan peralihan daripada Sistem Saraan Baru (SSB) kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002.

Kajian itu perlu berikutan kesukaran mereka memperoleh kenaikan gred daripada DG44 kepada DG48 Khas Untuk Penyandang (KUP) berasaskan tempoh perkhidmatan.
SSB diperkenalkan pada 1992 manakala SSM menyusul 10 tahun kemudian sebagai penambahbaikan sistem sedia ada, namun ramai pendidik mendakwa wujud kekeliruan dan kepincangan dalam urusan dan laluan kenaikan pangkat.

Kementerian dalam kenyataannya di Kuala Lumpur, berkata kajian sekumpulan empat pendidik itu mendapati kakitangan yang dilantik pada 1990 dan 1991 terpaksa berkhidmat sehingga 24 tahun untuk melayakkan mereka memperoleh kenaikan gred daripada DG44 kepada DG48.

Ini berbeza dengan guru yang dilantik pada 1995 yang hanya berkhidmat 20 tahun untuk memperoleh kenaikan berkenaan sedangkan mereka memiliki kelayakan akademik dan opsyen sama.

Kenyataan itu juga menyatakan, perkara berkenaan harus diperinci supaya kakitangan awam khususnya perkhidmatan pendidikan tidak mengalami kerugian dan ketidakadilan dalam skim itu.

Katanya, dalam urusan kenaikan pangkat KUP berasaskan tempoh perkhidmatan wujud perbezaan tempoh masa ketara dalam skim yang didakwa bertentangan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Deklarasi Hak Asasi Manusia (UDHR).
Beliau berkata, artikel 23 (2) jelas menyatakan semua pekerja tanpa pilih kasih mempunyai hak sama rata dalam pekerjaan dan penggajian dalam skim sama.

“Peralihan SSB kepada SSM menyebabkan ada kakitangan mencapai tangga gaji mati dua hingga empat tahun sebelum layak untuk kenaikan DG48 mengikut jadual mata gaji Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)”, katanya.

Peralihan SSB kepada SSM menyebabkan guru yang menerima pelantikan pada 1990 dan 1995 memperoleh pergerakan gaji setara dan menikmati DG48 KUP berasaskan tempoh perkhidmatan pada 2014.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana kumpulan lantikan 1990 mengalami kerugian kekananan (senioriti) dua hingga empat tahun sehingga mereka yang dilantik pada 1990 seolah-olah bekerja dalam tempoh sama dengan pelantikan 1995.

Berita Harian Online: 28 Mac 2011

Sabtu, 26 Mac 2011

Kenaikan gaji guru biar ikut kejujuran diri

2011/03/26

SAYA ingin memberi pandangan berkenaan perubahan skim gaji yang dicadangkan Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS), iaitu penilaian kenaikan gaji bergantung kepada pembabitan guru di luar waktu sekolah dalam bidang kemasyarakatan, sukan, kebudayaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Apabila guru aktif di luar, 70 peratus pengajaran dan pembelajaran akan terabai. Guru tidak dapat menumpukan perhatian kepada kedua-dua bidang, tambahan lagi dengan pelbagai perkara yang perlu dibereskan di sekolah.
Tugas guru yang aktif di luar terpaksa diambil alih oleh guru lain yang tidak banyak kerenah. Apabila skim baru ini terlaksana, guru aktif di luar diberi ganjaran kenaikan gaji dan ganjaran khas, manakala guru lain hanya melihat rakan mereka menerima ganjaran.

Kesannya, timbul tanggapan ketidakadilan dan rasa tidak puas hati dari setiap tahun.

Justeru, saya mencadangkan pelaksanaan Sistem Kenaikan Gaji berdasarkan kejujuran guru menilai diri mereka sendiri. Pihak berkuasa hendaklah mengeluarkan Pekeliling setiap tahun bagi guru yang ingin mendapatkan kenaikan gaji tahunan.

Guru berminat yang berasakan mereka sudah melaksanakan tugas dengan baik di sekolah boleh mengisi borang dan mendapat pengesahan guru besar dan pengetua tetapi bukan untuk mendapatkan sokongan.

Selepas borang diproses, Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Nazir boleh memantau guru berkenaan seperti permohonan Guru Cemerlang.
Apalah salahnya prosedur ini digunakan untuk kenaikan gaji guru? Dengan cara ini pihak penilai dapat mengenalpasti adakah guru yang aktif di luar ini tidak mengabaikan kerja di sekolah.

GURU JUJUR,
Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 26 Mac 2011

Jumaat, 25 Mac 2011

Kementerian patut hebah kelebihan masuk Tingkatan Enam

2011/03/25

MERUJUK surat berkaitan Tingkatan Enam pada 19 Mac dan 23 Mac lalu. Isu ini sebenarnya berkaitan dengan komitmen semua pihak, hala tuju pelajar, dana dan yang terpenting masa depan pendidikan negara.

Keprihatinan semua pihak dari peringkat akar umbi hingga atasan perlu agar matlamat kerajaan untuk menjadikan pelajar Tingkatan Enam sebagai modal insan kelas pertama, terlaksana dengan jaya.

Adakah wujud keseragaman tindakan dan dasar Kementerian Pelajaran dengan dasar Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam soal Tingkatan Enam?

Kita mencari arah tuju yang betul. Kita pada peringkat bawahan, ibu bapa dan pelajar semakin keliru. Seperti orang buta kehilangan tongkat atau orang kehilangan kaki untuk berdiri dan menjadi mandiri, maka berlakulah krisis identiti, mental dan dilema.

Saranan saya selepas berbincang dengan banyak pihak dan membuat analisis, semua pihak duduk semeja untuk menangani isu berkaitan Tingkatan Enam?

Kebaikannya, peringkat ini sama tahap dengan 0 Level, kemasukan ke universiti melalui jalan Tingkatan Enam lebih mudah dan terbuka luas, pendidikan di Tingkatan Enam menjadikan modal insan lebih berketerampilan, Tingkatan Enam lebih murah belanjanya, pendidikan tidak menjadikan generasi muda penghutang dalam usia rebung, mereka kurang terjebak gejala sosial kerana masih di bawah perhatian ibu bapa berbanding rakan yang memasuki kolej swasta.

Pihak kementerian perlu memberikan pendedahan mengenai keistimewaan pendidikan Tingkatan Enam jika benar-benar mahu memartabatkan dan memperkasakannya.
Jangan berkata sekolah perlu berfikir untuk mempromosikan Tingkatan Enam jika mahu ia wujud atau hadapi kemungkinan sekolah terbabit turun gred.

INSAN PRIHATIN,
Ampang, Selangor

Berita Harian Online: 25 Mac 2011

SMK Jengka Pusat teruskan kecemerlangan SPM 2010


Calon SPM 2010 bersama Hafidzah Jono (belakang tiga dari kiri) menunjukkan slip keputusan mereka di SMK Jengka Pusat, semalam.


MARAN 24 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat mengekalkan kecemerlangan sebagai antara sekolah terbaik peringkat tanah rancangan Felda di negeri ini dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diumumkan semalam.

Pengetuanya, Hafidzah Jono berkata, seramai 74 calon yang menduduki peperiksaan itu mencatat keputusan 100 peratus lulus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.45 berbanding 4.77 pada 2009.

Menurutnya, pencapaian paling membanggakan ialah bagi mata pelajaran Matematik Tambahan apabila mencatatkan 100 peratus lulus dengan empat calon mendapat A.

"Seramai 14 calon berjaya mencatatkan kejayaan cemerlang memperoleh sekurang-kurangnya 6A, 7A, 8A dan 9A dalam peperiksaan berkenaan.

"Berdasarkan keputusan itu SMK Jengka Pusat menduduki kedudukan ke-17 daripada 179 sekolah di Pahang dan tempat kedua selepas SMK Seri Jengka daripada 19 sekolah Maran.

"SMK Jengka Pusat turut menduduki tempat kesembilan daripada 22 sekolah tanah rancangan di Pahang dalam SPM 2010," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hafidzah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama guru, ibu bapa, pengurusan Felda, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta Jabatan Pelajaran yang memain peranan penting di atas kejayaan tersebut.

Sementara itu, pelajar terbaik SPM 2010, Nurul Farah Nadia Rusly yang memperolehi 9A 1B menyifatkan kejayaan tersebut adalah sokongan kedua-dua ibu bapa dan guru sekolahnya.

Dia memperoleh A+ untuk Bahasa Melayu, Sejarah, Pendidikan Islam dan Kimia manakala A dalam subjek Bahasa Inggeris dan Matematik, A- (Bahasa Arab Tinggi, Biologi dan Matematik Tambahan ) serta B+ untuk Fizik.

Menurutnya, dengan dorongan dan tunjuk ajar mereka, dia mempunyai keyakinan dan semangat untuk meraih kejayaan cemerlang.

"Memberi tumpuan ketika guru mengajar, membuat latihan, belajar berkumpulan dan bertanya guru jika kurang faham mengenai sesuatu tajuk antara rahsia kejayaan ini.

"Pelajar tidak harus malu untuk bertanya sebarang soalan dan jangan pendam di hati kerana ia merugikan diri sendiri," katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Kurikulum, Mohd. Rozi Mat Sani berkata, pihaknya telah mengatur strategi dan program khas untuk memastikan keputusan SPM 2011 adalah lebih baik.

Utusan Malaysia Online: 25 Mac 2011

Pelajar kena cekup maki guru

2011/03/25

KUALA TERENGGANU: Pelajar perempuan berusia 14 tahun memaki guru dan anggota RELA yang menahannya bersama dua rakan dalam Operasi Ponteng Sekolah peringkat negeri, semalam.

Kejadian berlaku di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, ketika pelajar berkenaan yang berpakaian biasa asyik menyaksikan acara sukan Majlis Sekolah Daerah Kuala Terengganu Utara kira-kira jam 10 pagi.

Pelajar itu antara 53 pelajar berusia antara 14 dan 17 tahun yang ditahan dalam operasi ponteng sekolah bermula jam 8 hingga 11 pagi.

Dalam operasi itu, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun didapati positif dadah selepas menjalani ujian air kencing.

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Azahar Abu Bakar, berkata 13 pelajar ditahan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gong Badak), SMK Bukit Besar (14), SMK Bukit Tunggal (sembilan), SMK Seri Budiman (tujuh) dan masing-masing tiga dari SMK Bukit Guntong; SMK Agama Tok Jiring dan SMK Ibrahim Fikri serta dua SMK Panji Alam.

“Lokasi serbuan adalah port pelajar itu ponteng. Kita juga menahan beberapa pelajar ponteng kononnya untuk menyokong rakan yang menyertai acara sukan di kompleks itu,” katanya selepas memberi taklimat kepada pelajar terbabit dan ibu bapa mereka di Dewan SMK Ibrahim Fikri, semalam.

Berita Harian Online: 25 Mac 2011

Khamis, 24 Mac 2011

SMS Tuanku Munawir SBP paling cemerlang

SEREMBAN 23Mac - Penambahbaikan program serta modul pembelajaran yang berkesan menjadikan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SMSTM), di sini dinobatkan sebagai sekolah berasrama penuh (SBP) paling cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Pencapaian membanggakan itu turut menyaksikan 143daripada 266calon SPM sekolah berkenaan memperoleh pangkat A dalam semua mata pelajaran termasuk 16calon mendapat pangkat A+ dalam semua subjek.

Pengetuanya, Sabuddin Sani berkata, kejayaan itu merupakan hasil usaha, disiplin, kerjasama serta komitmen yang tinggi daripada semua pihak termasuk tenaga pengajar, ibu bapa khususnya pelajar.

''Saya bersyukur dengan keputusan ini dan lebih menggembirakan apabila berjaya mengekalkan rekod cemerlang lima tahun berturut-turut di negeri ini. Hari ini, kami diberitahu SMSTM menjadi 'juara' peringkat kebangsaan," katanya.

Beliau ditemui di sekolah berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Seremban (Saser), di sini hari ini.

Sabuddin berkata, antara program dan modul pembelajaran sokongan yang diterapkan di sekolah itu adalah seperti kelas tambahan malam, 'lonjakan Saujana', 'Perkampungan Ilmu', bengkel latih tubikelas pagi dan program 'Guru Muda'.

Sementara itu, seorang pelajar cemerlang SMSTM, Muhammad Fahim Hanaffi Azahan, 17, berkata, kaedah pembelajaran akademik yang diterapkan di sekolah berkenaan banyak membantunya meraih keputusan 10A+.

''Guru banyak memberi tunjuk ajar selain dorongan dan bantuan daripada ibu bapa serta rakan-rakan juga sedikit sebanyak menjadi faktor penyumbang kepada keputusan saya ini," jelas pelajar berasal dari Ampang, Selangor itu yang bercita-cita menjadi ahli geologi.

Seorang lagi pelajar, Mohd. Fateh Mohd. Lani, 17, berkata, walaupun sedih kerana bapanya terpaksa dimasukkan ke hospital kerana mengalami jangkitan darah, kejayaan meraih 10 A+ akan menggembirakan keluarganya.

''Saya amat berterima kasih kepada semua guru serta rakan-rakan yang banyak membantu mencapai keputusan ini," ujarnya yang turut mengakui program akademik khas yang diwujudkan oleh pihak sekolah menjadi pemangkin terhadap kejayaannya itu.

Bagi, D. Aghilan, 17, pula, kejayaannya memperoleh 10A+ itu merupakan hasil bantuan semua pihak.

"Sekolah ini memang bagus, mereka akan pastikan tiada pelajar yang tercicir dan kalau lemah, rakan-rakan lain pasti akan membantu,"katanya.

Utusan Malaysia Online: 24 Mac 2011

Keprihatinan guru banyak membantu

KUALA LUMPUR: “Dia sering mengalami kesukaran berkomunikasi atau memahami pelajaran yang diajar dalam bilik darjah kerana dia satu-satunya pelajar kurang upaya (OKU) yang ditempatkan dalam kelas pelajar normal, namun ketabahannya mengagumkan saya.

“Walaupun ada yang prihatin untuk membantu tetapi dia banyak berdikari dan saya lihat dia seorang yang sangat tabah dan mempunyai disiplin tinggi dalam mengharungi tempoh persekolahan apalagi dikelilingi pelajar lain yang sempurna daripada segi fizikal,” kata Azlina Abdul Rahman, 45, ibu kepada seorang pelajar OKU yang memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek aliran sains.


Kekangan daripada segi keupayaan berikutan cacat pendengaran sejak lahir tidak menghalang anaknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Shah Alam, Iylia Azwa Abdul Wahab, 17, untuk mencatat keputusan 2A bagi subjek Matematik dan Sains dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010, yang diumumkan semalam.

Iylia berkata, walaupun sukar memahami apa yang diajar guru tetapi keprihatinan guru yang sanggup menyalin nota dalam kelas untuk diberikan kepadanya bagi aktiviti ulangkaji banyak membantu.


“Saya dan ibu juga bersama-sama menyusun jadual belajar selain mendapatkan khidmat cikgu tuisyen yang datang ke rumah untuk mengajar saya lebih memahami subjek yang diambil,” katanya dengan bantuan ibunya, ketika ditemui selepas mengambil keputusan semalam.


Sementara itu, pengetua SMK Seksyen 9, Abdul Hakim Samuri berkata, beliau bersyukur dengan pencapaian akademik dalam keputusan SPM kali ini berikutan secara keseluruhan daripada 281 calon, seramai 17 pelajar sekolah itu berjaya mencatat keputusan semua A.

Beliau berkata, peratusan kelulusan pelajar dalam SPM kali ini juga meningkat berbanding tahun sebelumnya menjadi 89.32 peratus iaitu peratus kelulusan terbaik sejak sekolah itu dibuka.

myMetro: 24 Mac 2011

Rabu, 23 Mac 2011

SMSM sekolah dalam taman


Nor Assyikin Samsudin (kiri) bersama Marie Young Pik Hua (dua dari kiri) di hadapan sekolah yang dipenuhi bunga di SM. St. Michael Penampang semalam.


PENAMPANG 22 Mac - Sekolah Menengah St. Michael (SMSM) di sini, mempunyai keluasan yang terhad iaitu kira-kira 1.9 hektar, tetapi semua kawasannya dioptimumkan dengan landskap menarik.

Hampir seluruh kawasan sekolah dihiasi dengan tumbuhan hijau iaitu menerusi 12 taman dan sembilan plot sayur-sayuran dengan setiap satu daripadanya mempunyai tema dan konsep tersendiri dan diberi nama saintifik.

Semuanya diusahakan secara kolektif dan gotong-royong antara pelajar, guru dan kakitangan sokongan sekolah.

Keindahan landskapnya bukan sahaja membolehkannya memenangi pelbagai anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan, tetapi turut menjadi penanda aras sekolah-sekolah dalam dan luar negara.

Antara yang selalu melawat sekolah berkenaan adalah pelajar dari beberapa buah sekolah di Jepun dan Korea Selatan.

Sekolah tersebut merupakan salah sebuah daripada 15 sekolah seluruh negara yang terpilih dalam pertandingan Anugerah Agro Remaja@Sekolah 2010 anjuran Utusan Malaysia dengan kerjasama Institut Skill-Tech (IST) sebagai penaja utama.

Daripada jumlah itu, lapan sekolah telah melalui proses penghakiman dan hari ini ia dijalankan di SMSM bagi kategori landskap dan ternakan.

Menurut Pengetua Cemerlang SMSM, Marie Young Pik Hua, pertandingan itu telah merapatkan lagi hubungan antara pelajar, pihak sekolah dan ibu bapa.

"Saya kagum melihat sikap pelajar yang mempamerkan nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, kasih sayang, prihatin dan paling penting adalah kerjasama di antara mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu Pegawai Keusahawanan IST, Nor Assyikin Samsudin berkata, metodologi penghakiman terbahagi kepada tiga bahagian iaitu pembentangan projek yang perlu dilakukan dalam bentuk multimedia, sesi soal jawab dan lawatan projek.

Selain kategori landskap, SMSM turut bertanding dalam kategori penternakan ikan keli yang amat relevan dengan sistem pengajaran dan pembelajaran melibatkan seluruh warga sekolah, termasuk kakitangan sokongan.

Institut Skill-Tech ialah institusi latihan kemahiran swasta yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang pertanian kepada sesiapa sahaja yang berminat dan kini sudah melahirkan hampir 500 usahawan remaja berusia 20 hingga 25 tahun di seluruh negara.

Ia juga merupakan perintis dalam mewujudkan kursus bioteknologi dan inap desa serta telah berjaya melatih graduan menjadi juruteknik makmal bioteknologi melalui persijilan SKM.

Utusan Malaysia Online: 23 Mac 2011

Selasa, 22 Mac 2011

Guru rayu kembalikan elaun pertukaran

2011/03/22

SAYA warga pendidik di Daerah Semporna, Sabah. Saya sudah berkhidmat hampir lapan tahun di sini. Kami mengajar di perantauan dengan penuh komitmen demi mendidik anak bangsa dan membina modal insan gemilang selaras dengan arahan dan visi Kementerian Pelajaran Malaysia.

Mengajar di perantauan memerlukan pengorbanan yang tinggi. Jika orang lain boleh selalu berulang ke kampung halaman, sedangkan kami hanya berpeluang pulang setahun sekali kerana untuk membeli tiket sendiri harganya tinggi berbanding rakan yang berada di Semenanjung.

Pengorbanan terpaksa berjauhan dengan ibu bapa juga amat dirasai, tambahan sekiranya mereka sakit dan memerlukan rawatan, sedangkan anak yang diharapkan tiada di sisi.

Namun, itu lumrah kehidupan yang perlu ditempuhi demi mencari kehidupan masa kini.

Perkara yang menjadi persoalan sekarang ialah kami guru terutama berasal dari Semenanjung dan berkhidmat di Sabah serta Sarawak, begitu juga sebaliknya amat terkilan dengan keputusan Kementerian Pelajaran yang masih tidak menyediakan elaun pertukaran untuk Jun 2011.

Kami amat berharap kementerian dapat mengkaji semula keputusan itu terutama bagi pertukaran Jun ini yang membabitkan kes-kes tertentu seperti kesihatan dan sebagainya.

Jika dilihat situasi semasa kita lihat kerajaan mampu berbelanja mengambil dan menghantar pulang pelajar dan warga Malaysia di Mesir yang membabitkan perbelanjaan jutaan ringgit.
Jika dibandingkan dengan situasi mereka, kami juga dalam keadaan yang memaksa seperti saya yang perlu memohon pertukaran atas sebab rawatan kesihatan anak yang memerlukan rawatan berterusan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Kami berharap impian Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan perlu direalisasikan Kementerian Pelajaran Malaysia. Akhir sekali, harapan kami iaitu guru supaya dikembalikan elaun pertukaran.

GURU SEMPORNA,
Sabah

Berita Harian Online: 22 Mac 2011

Norsiah bersara selepas 33 tahun berjasa

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

2011/03/22

SELEPAS hampir 33 tahun menabur bakti dalam dunia pendidikan, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Datuk Harun (SMKTDH), Selangor, Norsiah Abd Ghani menamatkan perkhidmatannya apabila bersara wajib, baru-baru ini.

Sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan baktinya itu, kira-kira 1,000 pelajar serta 70 guru dan kakitangan mengadakan majlis persaraan bagi meraikan sumbangan beliau dalam pendidikan.

Norsiah memulakan perkhidmatan sebagai guru pada 1978 di SMK Pulau Sebang, Melaka sebelum bertukar ke Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran selama 16 tahun.

Selepas itu, beliau kembali bertugas di sekolah semula, antaranya SMK Kelana Jaya, Selangor dan SMK Subang, Selangor sebagai Penolong Kanan Pentadbiran dan terakhir di SMKTDH pada 2003.

Pelbagai perubahan berjaya dilakukan ketika mengemudikan SMKTDH hingga menerima banyak anugerah antaranya Anugerah Amalan Persekitaran Berkualiti 5S selama tiga tahun berturut-turut.

Beliau ketika ditemui berkata, kejayaan yang dikecapi sepanjang tujuh tahun berkhidmat di sekolah itu adalah hasil usaha serta kerjasama yang diberikan pelajar dan kakitangan.

"Saya harap semua guru serta pelajar akan terus memberi komitmen dalam meningkatkan lagi kecemerlangan sekolah dalam akademik dan kokurikulum.
"Kepada pelajar, nasihat saya hargai dan guna masa sebaik mungkin dengan aktiviti berfaedah jika mahu memperoleh kejayaan," katanya pada majlis berkenaan.

Hadir sama Pengerusi Yayasan Amir, Datuk Ir Manan Amir serta bekas Adun Taman Medan, Datuk Wahab Ibrahim.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Lima, Muchsin A Latif, berkata seluruh pelajar akan kehilangan seorang guru yang sudah dianggap seperti ibu kerana banyak membantu mereka dalam akademik dan kokurikulum.

"Beliau sering memberi galakan dan sokongan dalam apa jua aktiviti yang dilakukan pelajar, kerana itu kami sentiasa bersemangat untuk hadir ke sekolah
.
"Persaraan beliau adalah kerugian bagi kami kerana masih banyak yang boleh dipelajari daripadanya, namun kami tahu tiada benda yang akan kekal, kami berharap beliau akan sentiasa berada dalam keadaan sihat dan tidak melupakan warga sekolah ini," katanya.

Berita Harian Online: 22 Mac 2011

Isnin, 21 Mac 2011

Generasi baru perguruan


Abdul Ghafar Mahmud menyampaikan Ijazah Sarjana Muda Perguruan kepada graduan IPG pada majlis Konvokesyen PISMP 2011 di PICC Putrajaya, baru-baru ini.


Graduan sulung Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang kini telah mula berkhidmat sebagai pendidik diharap dapat membawa perubahan serta menjadi sebahagian daripada pemacu kepada kegemilangan pendidikan di negara ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, kemenjadian guru keluaran sulung yang dilahirkan oleh Institut Pendidikan Guru (IPG) ini akan menjadi penanda aras untuk dinilai oleh masyarakat dalam memberikan kepercayaan mereka terhadap tugas yang akan dilaksanakan oleh para graduan.

"Gunakanlah pemikiran kritis dan kreatif yang diperoleh semasa pembelajaran di bilik kuliah atau semasa menimba pengalaman dalam pelbagai aktiviti luar kampus seperti praktikum dan pengalaman berasaskan sekolah untuk dicurahkan kepada anak didik masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Keempat Majlis Konvokesyen PISMP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, baru-baru ini.

PISMP yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran (KPM) pada 2007 itu melibatkan seramai 1,987 pelajar yang ditempatkan di 27 buah IPG seluruh negara dan kumpulan pertama ini telah berjaya menamatkan pengajian mereka pada November 2010.

Kesemua graduan ini telah pun ditempatkan di sekolah-sekolah rendah seluruh negara bermula pada 7 Februari lalu.

Menurut Abdul Ghafar, pendidik dan pendidikan amat perlu serta relevan sepanjang masa kerana ia elemen utama untuk membina dan membentuk kemanusiaan.

"Guru seperti para graduan hari ini perlu mempertingkat dan melengkapkan diri dengan kemahiran asas sebagai pendidik seperti memahami konsep pengetahuan kandungan pedagogi.

"Semua guru hendaklah sentiasa siap siaga dengan ilmu, kemahiran serta seni pengajaran dan juga pengetahuan kandungan serta perlu mencari, meneliti dan membuat penyelidikan agar ilmu pengetahuan dapat dipertingkatkan jika terdapat kekurangan," katanya.

Beliau memberitahu, konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat bagi seseorang guru amat penting bagi mencari, mengkaji dan menyelidik ilmu dan kemahiran pengajaran bagi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak didik mereka.

"Para guru perlu peka bahawa kemahiran mendidik sentiasa berubah dan bertambah serta disesuaikan dengan perubahan semasa dan persekitaran.

"Jika usaha tidak dibuat untuk bergerak serentak dengan perkembangan ilmu, maka para guru akan ketinggalan dalam banyak hal terutamanya dalam aspek pembangunan manusia.

"Oleh itu, diharap agar semua guru yang telah lulus pengajian di IPG tidak merasakan mereka telah mempunyai ilmu yang cukup sebaliknya terus meneroka ilmu dan pengalaman bagi memastikan diri sentiasa kemas kini dengan perkembangan serta teknik menyampaikan ilmu," jelasnyanya.

Terangnya lagi, cabaran guru pada masa kini lebih berat berbanding dahulu di mana guru hanya mengajar tulis baca bagi mengatasi masalah buta huruf.

"Masyarakat kini memerlukan guru yang lebih berkualiti tinggi dari sudut keilmuan dan sahsiah, beriltizam dan mempunyai kesedaran untuk membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

"Saya amat yakin bahawa guru mempunyai keupayaan untuk membentuk personaliti kukuh di kalangan muridnya ditambah dengan bentuk latihan persediaan yang diterima sebelum menyertai PISMP ini," ujarnya.

Hal ini, jelasnya, dibuktikan oleh inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang telah berjaya meningkatkan taraf pendidikan dan prestasi pencapaian murid sekolah kebangsaan tahun lalu.

Utusan Malaysia Online: 21 Mac 2011

Sabtu, 19 Mac 2011

Tingkatan Enam perlu dirombak

2011/03/19

TINGKATAN Enam atau prauniversiti adalah pendidikan alternatif bagi lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran. Namun, Tingkatan Enam sering dianggap tidak glamor dan pilihan terakhir bagi pelajar dan ibu bapa.

Tanggapan pelajar, ibu bapa dan masyarakat pada masa ini terhadap Tingkatan Enam amat mendukacitakan berbanding pada 1970-an, 80-an dan 90-an dan tanggapan pelajar di bandar juga berbeza dengan pelajar desa.

Tingkatan Enam tidak popular berbanding kolej swasta yang tumbuh bagai cendawan dan tidak tentu hala tujunya. Masalahnya, tanggapan serupa ini berterusan kerana tiada pihak yang mahu memartabatkan kepentingan belajar di Tingkatan Enam.

Kerajaan melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) atau Kementerian Pengajian Tinggi tidak serius menguar-uar Tingkatan Enam sebagai pendidikan lanjutan penting untuk melangkah ke peringkat ijazah sedangkan MPM sedar akan kepentingannya.

Keadaan ini menyebabkan Tingkatan Enam atau prauniversiti ‘hidup segan mati tidak mahu’ dan semakin dilupai. Pelajar lepasan SPM ‘agak malu’ untuk ke Tingkatan Enam dan lebih suka belajar di kolej swasta yang dianggap ‘standard’ dan ‘glamor’.

Peratusan pelajar ditawarkan ke Tingkatan Enam adalah tinggi tetapi yang mendaftar di Tingkatan Enam cuma lima hingga 10 peratus dan selebihnya memilih kolej swasta atau bekerja.

Sayang seribu kali sayang, pelajar yang ditawarkan ke Tingkatan Enam jika tidak ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan menjadi generasi ketinggalan untuk pendidikan lebih tinggi kerana kurang kesedaran dan tidak didedahkan kepada pendidikan di Tingkatan Enam.
Pihak tertentu seperti MPM dan Kementerian Pelajaran mesti lebih proaktif mempopularkan Tingkatan Enam, terutama kini kerajaan memperkenalkan perjawatan baru kepada guru Tingkatan Enam. Tidak mungkin sekolah yang ada Tingkatan Enam bersendirian mempromosikan dan cuba mempopularkannya tanpa pembabitan dan komitmen pihak lebih berwibawa. Langkah proaktif mesti dilakukan oleh MPM dan KPM dalam memartabatkan Tingkatan Enam.

Ada khabar menyatakan Tingkatan Enam akan berubah ke sistem modular (sistem semester) dan sukatan pelajarannya akan berubah pada tahun ini iaitu bermula kemasukan pelajar lepasan SPM 2011 tetapi tiada satu rencana akhbar, internet atau iklan pun terpapar di akhbar atau televisyen mengenai pembelajaran di Tingkatan Enam.

Cubalah bandingkan iklan atau rencana mengenai kolej swasta dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Sesi pembelajaran Tingkatan Enam 2011 akan bermula beberapa bulan lagi tetapi hingga kini, maklumat mengenai sukatan baru, sistem pembelajaran, sistem penilaian/pentaksiran dan sebagainya masih belum didedahkan.

PELAJAR PRAUNIVERSITI 2010/2011,
Ampang

Berita Harian Online: 19 Mac 2011

Khamis, 17 Mac 2011

Ibu bapa tidak puas hati


Sebahagian ibu bapa pelajar yang dikenakan tindakan buang sekolah menunjukkan surat yang diterima mereka di hadapan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Bukit Kayu Hitam, semalam.


KUBANG PASU 16 Mac – Kira-kira 20 ibu bapa pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di sini yang dikenakan tindakan buang sekolah melahirkan rasa tidak puas hati kerana tidak dibawa berbincang sebelum tindakan berkenaan diambil ke atas anak mereka.

Seorang bapa, Mohd. Azami Abd. Majid, 45, berkata, kesemua yang dibuang itu adalah pelajar tingkatan lima dan mereka dikenakan tindakan itu kerana didapati membuli dua pelajar tingkatan empat sekolah tersebut pada 25 Februari lalu.

“Salah seorang pelajar yang dibuang ini adalah anak saya dan jika dia bersalah pihak sekolah patut memanggil kami para waris untuk berbincang terlebih dahulu.

“Kami menerima surat melalui perkhidmatan kiriman cepat dua hari lalu memaklumkan anak kami telah dibuang sekolah dan pihak sekolah enggan memberikan peluang kepada anak kami untuk meneruskan persekolahan di situ,” katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah tersebut di sini hari ini.

Menurut Mohd. Azami, anaknya mengambil jurusan Sains Teknikal dan tidak semua sekolah di negeri ini menawarkan jurusan tersebut.

“Lagi tujuh bulan anak-anak kami akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kami berharap anak-anak kami dapat bersekolah semula di sekolah ini.

“Selepas dibuang sekolah, emosi anak-anak kami terganggu dan kami bimbang pelajaran mereka terjejas,” katanya.

Seorang lagi bapa, Azlah Haron, 54, berkata, para waris telah berjumpa dan berbincang dengan pengetua sekolah tersebut namun anak-anak mereka tetap tidak dibenarkan menyambung persekolahan di sekolah berkenaan.

“Anak-anak kami akan mengambil peperiksaan SPM dalam bulan Oktober nanti dan proses pertukaran sekolah lain pasti akan mengambil masa. Kami berharap anak-anak kami akan diterima semula belajar di sekolah ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Abdullah Saad berkata, waris pelajar yang terlibat perlu membuat rayuan terus kepada pihaknya dalam tempoh sebulan dari tarikh hukuman buang sekolah dikenakan.

“Pihak kami akan menyiasat perkara ini dan akan membawa kes ini kepada Bahagian Sekolah Berasrama Penuh (SBP) untuk tindakan lanjut.

“Jika Bahagian SBP tidak menerima rayuan ini, JPN akan mencari sekolah lain yang lebih sesuai untuk pelajar-pelajar yang terlibat,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 17 Mac 2011

Guru penggalak inovasi, kreativiti

2011/03/17

PUTRAJAYA: Guru perlu berfungsi sebagai penggalak kepada budaya inovasi dan kreativiti di kalangan pelajar selaras dengan agenda negara dalam menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri, berkata guru perlu melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran asas sebagai pendidik termasuk memahami konsep Pengetahuan Kandungan Pedagogi.

“Semua guru hendaklah sentiasa siap siaga dengan ilmu, kemahiran serta seni pengajaran malah termasuk juga pengetahuan kandungan dan jika ada salah satu kekurangan daripada elemen diperlukan dalam aspek ini, guru hendaklah mencari, meneliti dan membuat penyelidikan agar dapat meningkatkan pengetahuan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Seramai 1,987 pelatih IPG dari pelbagai jurusan menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan kepujian yang ditawarkan oleh IPG.

Mereka berjaya menamatkan program persediaan di IPG selama tiga semester mulai Januari 2007 sebelum meneruskan pengajian selama empat tahun dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan menamatkan pengajian pada November tahun lalu.

Muhyiddin berkata, bagi menambah ilmu, konsep pembelajaran sepanjang hayat penting bagi mencari, mengkaji, menyelidik pengetahuan dan kemahiran bagi disampaikan kepada pelajar.
“Guru adalah ejen sosialisasi yang berpengaruh dalam menyemai semangat kekitaan, kerjasama dan cintakan negara di kalangan anak didik mereka,” katanya.

Berita Harian Online: 17 Mac 2011

Rabu, 16 Mac 2011

Guru disyaki cabul murid kena tahan

2011/03/16

GEMAS: Polis menahan seorang guru lelaki sekolah kebangsaan di sini, Jumaat lalu kerana disyaki mencabul seorang murid perempuan Tahun Enam.

Guru berumur 20-an itu dipercayai melakukan perbuatan itu dua kali dengan kejadian pertama pada 8 Mac lalu.

Guru terbabit menjemput dua murid perempuan ke rumahnya kira-kira jam 3 petang untuk menyusun jadual waktu.

Selepas selesai, seorang daripada murid disuruh pulang untuk menukar pakaian bagi menyertai kegiatan kokurikulum.

Ketika tiada orang lain di rumah, guru terbabit mencium pipi dan leher mangsa, meramas buah dada serta meraba kemaluannya.

Kejadian kedua berlaku keesokan hari apabila guru sama menjemput enam murid ke rumah dan dijamu minuman serta kek. Ketika kejadian, isteri guru terbabit tiada di rumah kerana bekerja.

Perbuatan guru itu terbongkar apabila rakan mangsa menceritakannya kepada guru tuisyen yang kemudian melaporkan kejadian itu di Balai Polis Gemas, Jumaat lalu.

Berita Harian Online: 16 Mac 2011

'Biar adil lantik guru besar'

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/03/16

CADANGAN pelantikan guru Skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Siswazah DG44 yang mengajar di sekolah rendah sebagai guru besar mendapat reaksi berbeza Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD).

Pemegang jawatan PPPS menyokong cadangan melantik guru dalam kalangan siswazah sebagai guru besar manakala PPPLD menentangnya kerana mendakwa boleh menggugat peluang kenaikan pangkat mereka.

Seorang guru dari Kuching, Sarawak, William Ghani Bina berkata adalah tidak wajar melantik PPPS sebagai guru besar kerana ia bercanggah dengan dasar Kementerian Pelajaran dan menggugat peluang kenaikan pangkat PPPLD.

Katanya, ini ditambah dengan peluang lebih luas guru siswazah untuk memegang jawatan pada peringkat tinggi meliputi Pegawai Pelajaran Daerah, Ketua Sektor dan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri.

Beliau mendakwa ada guru DG32 dan DG34 tidak sempat menjadi guru besar kerana tidak ada kekosongan jawatan sehingga mereka bersara atau hanya menjawat jawatan berkenaan dalam tempoh kurang enam bulan.

“Guru lepasan diploma hanya berpeluang menjawat jawatan tertinggi sebagai guru besar atau Gred DG32 dan DG34, namun ada daripadanya terpaksa menunggu kekosongan jawatan dalam tempoh lama,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Seorang guru PPPS di sebuah sekolah di Tanjung Malim, Perak yang enggan namanya disiarkan berkata adalah tidak adil jawatan guru besar hanya diperuntukkan kepada PPPLD kerana mereka turut menunaikan tanggungjawab sebagai pendidik untuk melahirkan pelajar cemerlang.
Katanya, guru yang memegang jawatan DG34 yang dilantik ke jawatan guru besar hanya mengambil masa tiga tahun untuk menerima kenaikan DG44 sedangkan mereka mengambil masa tujuh tahun daripada DG41 kepada DG44.

Beliau berkata, fakta ini dengan sendirinya membuktikan guru siswazah juga tidak mudah memperoleh DG44 berbanding lepasan diploma yang dilantik menjawat jawatan guru besar.

“Kami bukan tamak atau hanya mengejar pangkat, sebaliknya mahukan keadilan iaitu peluang sama rata untuk memegang jawatan guru besar.

“Apatah lagi kami bekerja keras untuk menjadi guru siswazah dengan belajar bersungguh-sungguh di universiti,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad mencadangkan guru DG44 yang mengajar di sekolah rendah diberi peluang kenaikan pangkat sebagai guru besar.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata guru DG44 mempunyai peluang kenaikan gred kepada DG48, DG52 dan DG54 sedangkan pemegang diploma hanya peringkat DGA32 dan DGA34 atau berjawatan guru besar.

Sehubungan itu katanya, peluang PPPS untuk naik pangkat atau kenaikan gred gaji lebih banyak berbanding PPPLD dan adalah tidak wajar guru terbabit (DG44) dilantik ke jawatan guru besar kerana ia menutup peluang guru lepasan diploma.

Dalam pada itu, seorang pengirim surat pembaca yang hanya mahu dikenali Zam dari Kuching berkata, sudah tiba masanya pelantikan jawatan guru besar dan penolong kanan dirombak.

Rombakan itu katanya perlu memberi penekanan kepada tahap akademik meliputi gred DG44 sesuai dengan tuntutan semasa dan memenuhi keperluan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk memartabatkan profesion perguruan.

Berita Harian Online: 16 Mac 2011

Ahad, 13 Mac 2011

Lima dakwa ditampar guru

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
iskandar@hmetro.com.my

SAKIT... mangsa menunjukkan bagaimana guru didakwa menampar muka mereka.
SAKIT... mangsa menunjukkan bagaimana guru didakwa menampar muka mereka.

PORT DICKSON: Hanya kerana dikesan ponteng kelas, lima pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di sini, mendakwa terpaksa menanggung malu apabila ditampar oleh guru mereka di depan rakan lain, baru-baru ini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Rabu lalu, semua pelajar perempuan berusia 13 tahun iaitu Cheok Lai Jun, Liew Jia Kei, Choo Je Yan, Sua Hui Yi dan Yong Poi Xia yang berlainan kelas dikatakan dipanggil oleh guru wanita berusia lingkungan 20-an.


Sejurus berkumpul di dalam sebuah kelas, pelajar sesi petang itu dikatakan diarah guru berkenaan supaya beratur dan menampar pipi kiri mereka di depan beberapa pelajar lain.

Menceritakan kejadian itu, Je Yan berkata, mereka berlima tidak menyertai pelajar lain pergi ke bengkel kemahiran hidup berikutan terlalu letih kerana menyertai program kokurikulum pada sebelah pagi.


“Kira-kira jam 4 petang itu, kami bagaimanapun tidak keluar dari kawasan sekolah dan hanya berehat di kelas. Sejam kemudian, guru yang turut mengajar mata pelajaran Sejarah pada ketika itu memanggil kami dan bertanya mengapa kami tidak pergi ke bengkel.


“Kami memberitahu kerana terlalu letih namun dia tidak dapat menerima alasan itu lalu menampar muka kami,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir, ibunya, Tan Sew Eng, 40, dan dua lagi rakannya, Lai Jun dan Jia Kei.


Menurut Je Yan yang mewakili semua rakannya, emosi mereka terganggu dengan kejadian itu kerana terpaksa menanggung malu dengan rakan pelajar lain.

Sementara itu, Sew Eng berkata, beliau tidak dapat menerima tindakan guru berkenaan yang dianggap keterlaluan.


“Saya tahu dia (anak) memang bersalah tetapi mengapa guru menampar muka mereka di depan pelajar lain?Saya tidak akan mempertikaikan tindakannya jika dia merotan tangan atau anggota badan lain kurang tidak sensitif,” katanya.


Menurutnya, dia akan membuat laporan rasmi kepada Jabatan Pelajaran negeri dan Kementerian Pelajaran supaya guru terbabit dikenakan tindakan sewajarnya.

myMetro: 13 Mac 2011

Sabtu, 12 Mac 2011

Pelajar masih trauma



JITRA - Gara-gara ingin menyelamatkan seorang rakan dari dituduh melakukan kesalahan untuk berjumpa dengan guru, seorang pelajar Tingkatan Lima ditampar seorang anggota polis di sebuah sekolah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku di tempat meletakkan kenderaan pelajar selepas tamat waktu persekolahan kira-kira jam 1.30 petang kelmarin, bapa pelajar terbabit, Ainol Anwar Ahmad, 42, mendakwa anaknya, Muhammad Danial, 17, ditampar seorang anggota polis yang lengkap beruniform tanpa sebarang sebab.

Ainol berkata, sebelum ditampar, anaknya sempat menghubunginya yang juga salah seorang guru di sekolah sama untuk memaklumkan dia menyelamatkan rakannya dari dituduh melakukan kesalahan.

“Difahamkan anak saya berlari sambil menjerit ke arah seorang guru untuk memberitahu bahawa rakannya itu tidak bersalah, namun secara tiba-tiba belum sempat guru berkenaan memberi reaksi, anggota polis berkenaan terus menampar pipi kanan anak saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini, semalam.

Ainol berkata, dia amat kesal dengan kejadian ini dan mahukan penjelasan mengapa anaknya ditampar tanpa sebarang sebab.

Menurutnya, kini anaknya itu masih trauma dan emosinya sedikit terganggu kesan dari kejadian yang menimpanya itu.

Menurutnya, dia akan membawa anaknya itu untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Jitra dan mendapat pengesahan doktor bahawa anaknya mengalami kecederaan pada bahagian pipi kanan akibat ditampar.

“Saya bimbang kesan dari kejadian ini, ia akan mengganggu emosi anak saya dan sedikit sebanyak akan menjejaskan tumpuannya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaluddin Hamenuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan.

Sinar Harian: 12 Mac 2011

Ada sekolah ingkar arahan cuti Sabtu

2011/03/12

MERUJUK kepada jawapan mengenai cuti Sabtu serta Ahad oleh Unit Komunikasi dan Korporat, Kementerian Pelajaran dalam ruangan ini bertarikh 17 Ogos tahun lalu. Jelas bahawa minggu pertama dan ketiga tidak dibenarkan kakitangan kerajaan mengadakan program.

Kementerian juga menegaskan bahawa tindakan boleh diambil kepada pihak pengurusan sekolah yang ingkar mematuhi arahan itu.
Walaupun kementerian sudah mengeluarkan surat arahan terbabit kepada Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah agar mematuhi Arahan Pekeliling Pentadbiran berkaitan cuti Sabtu yang diwartakan, masih ada pengetua tidak mematuhi arahan itu.

Sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Skudai menggunakan hampir tiga kali Sabtu pada setiap bulan tahun lalu untuk memaksa guru bertugas.

Bagi tahun ini saja aktiviti sekolah dijalankan pada 12, 19 dan 26 Februari, manakala pada 5 Mac aktiviti berjalan daripada 8 pagi sehingga 6.30 petang.
Sabtu minggu pertama dan ketiga dapat dimanfaatkan kerana suami atau isteri sering bertugas pada Sabtu. Mohon dapat disiasat perkara ini.

PG,
Johor Bahru

Berita Harian Online: 12 Mac 2011

Khamis, 10 Mac 2011

Tiga pelajar samseng

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

NOREL AZMI...ambil keterangan tiga pelajar.
NOREL AZMI...ambil keterangan tiga pelajar.

HULU SELANGOR: Tiga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini, bertindak samseng dengan mengugut untuk membunuh seorang guru disiplin, kelmarin.

Difahamkan, kumpulan terbabit bertindak demikian kerana tidak puas hati apabila guru terbabit enggan menerima buku teks yang mahu dipulangkan mereka.

Berikutan itu, ketiga-tiga pelajar terbabit ditahan pihak berkuasa sejurus guru lelaki berkenaan membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Kejadian itu bermula kira-kira jam 11 pagi apabila tujuh pelajar sekolah berkenaan pergi ke pejabat sekolah bertemu pengetua untuk memulangkan buku teks yang enggan digunakan mereka.

Menurut sumber, tindakan tujuh pelajar itu yang berlagak samseng dengan meluru masuk ke pejabat sekolah tanpa meminta kebenaran bagaimanapun cuba dihalang guru berkenaan.

“Hairan dengan tindakan pelajar terbabit, guru disiplin itu bertanyakan tujuan mereka mahu berjumpa pengetua dan mereka memberitahu mahu memulangkan buku teks yang tidak mahu digunakan lagi.

“Guru itu menjelaskan kepentingan dan salah faham yang timbul mengenai buku berkenaan yang dianggap memberi ilmu pengetahuan kepada pelajar,” katanya.

Namun, pelajar terbabit tidak puas hati dengan penjelasan guru itu dan menganggap dia sengaja menghalang mereka bertemu pengetua dan mula bertindak biadab dengan meninggikan suara.

Sumber berkata, guru disiplin yang tergamam dengan tindakan pelajar terbabit cuba menenangkan keadaan dan menjelaskan perkara sebenar.

“Bagaimanapun, keadaan menjadi kecoh apabila tiga daripada pelajar terbabit mengugut guru itu kerana mendakwa dia menyinggung perasaan mereka,” katanya.

Bimbang keselamatan diri berikutan ugutan pelajar terbabit, guru berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendy ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga pelajar itu.

Menurutnya, semua mereka ditahan dalam tempoh 24 jam bagi mengambil keterangan berhubung insiden itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu, Bernama memetik Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan, sebagai berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa dan guru sekolah berkenaan esok berhubung isu buku teks itu.

“Saya akan pastikan pelajar menerima kembali buku berkenaan kerana itu arahan kerajaan yang mengekalkan novel berkenaan sebagai teks komponen sastera (Komsas) tingkatan lima,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Kamalanathan berkata, berikutan kejadian itu, guru berkenaan sudah membuat laporan polis kerana mendakwa diugut abang seorang daripada pelajar itu pada Isnin lalu, manakala pelajar terbabit turut membuat laporan polis kerana perkataan yang digunakan guru itu.

myMetro: 10 Mac 2011

Guru lebam dibelasah

TEMERLOH: Gara-gara tidak berpuas hati anaknya dimarahi, seorang pemandu lori bertindak ‘ala mafia’ apabila membelasah seorang guru lelaki sehingga mengakibatkan mangsa lebam dan cedera di badan, dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Kerdau, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, pemandu lori berusia 40 tahun itu menghampiri mangsa berusia 30 tahun yang sedang berjalan seorang diri keluar dari pekarangan sekolah itu.


Tanpa berbicara panjang, pemandu lori terbabit terus membelasah mangsa sehingga berdarah dan lebam.

Sebelum kejadian, anak lelaki kepada pemandu lori terbabit yang berusia 15 tahun dipanggil guru berkenaan kerana tidak memakai tali leher ketika keluar dari tandas sekolah.


Ketika ditegur tidak memakai tali leher, pelajar tingkatan tiga itu memaklumkan dia malas memakainya dan guru itu memarahinya kerana enggan patuh undang-undang sekolah.


Difahamkan, sebaik saja mengetahui nama bapa pelajar terbabit, guru terbabit terus mencekak baju pelajar itu dan membawanya ke bilik disiplin berjumpa dengan guru disiplin.

Bagaimanapun, ketika dibawa ke bilik disiplin badan pelajar terbabit tiba-tiba menggigil dan hanya mendiamkan diri.

Lebih mengejutkan, ketika pelajar terbabit diarahkan masuk semula ke dalam kelas dia menjadi lemah serta tidak bermaya dan pada masa sama ada pelajar lain menghubungi keluarganya memaklumkan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, ketika dihubungi, semalam mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.


“Susulan kejadian itu, ibu pelajar terbabit pergi ke sekolah berkenaan dan memapah anaknya keluar dari sekolah kerana dikatakan tidak bermaya hendak berjalan.


“Pada masa sama, pemandu lori terbabit yang tiba di sekolah itu kemungkinan terkejut besar selepas melihat anaknya dipapah sebelum bertanya mengenai hal sebenar,” katanya.


Menurutnya, selepas mendapat tahu mengenai keadaan anaknya, pemandu lori terbabit terus meluru ke arah guru berkenaan sebelum membelasahnya menggunakan tangan dan kaki.


Katanya, akibat kejadian itu, guru terbabit terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), di sini, berikutan mengalami kecederaan di muka dan badan sebelum membuat laporan di Balai Polis Kerdau, kira-kira jam 3 petang.


Md Nor berkata, siasatan awal mendapati, pemandu lori terbabit dipercayai turut menyepak guru berkenaan ketika mangsa terjatuh di permukaan jalan sebelum dileraikan beberapa guru lain.


“Siasatan turut mendapati, mangsa tidak dapat mempertahankan diri kerana diasak bertubi-tubi ketika dibelasah.


“Kes terbabit masih dalam siasatan lanjut dan kertas siasatan akan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya di sini, semalam.


Katanya, pada masa sama, polis akan merujuk kes terbabit kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.

myMetro: 10 Mac 2011

Kenakan syarat penempatan serupa bagi pemohon GSTT, KPLI, DPLI

2011/03/10

SAYA ingin mengemukakan pendapat berhubung isu pengambilan guru. Sebagai ibu bapa dan masyarakat sudah tentu kita ingin insan yang terbaik untuk mendidik anak kita.

Isu pelajar bidang pendidikan di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang tidak dapat menjadi guru tetap harus diberi perhatian terlebih dulu. Begitu juga kesukaran penempatan pelajar bidang pendidikan institut pengajian tinggi awam (IPTA) dewasa ini.
Mungkin pemohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) yang tidak mendapat cemerlang dalam Purata Gred Kumulatif (CGPA) mereka disyaratkan agar mempunyai pengalaman dalam bidang masing-masing sekurang-kurangnya tiga tahun.
Mengambil kira syarat untuk memohon masuk ke Institut Pendidikan Guru ketika ini, sekurang-kurangnya tiga subjek cemerlang dan tiga subjek kepujian diperlukan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Syarat ini juga perlu dikenakan kepada pemohon Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), KPLI dan DPLI agar kualiti mereka setara.

Saya bersetuju jika pengambilan program GSTT, DPLI dan KPLI ini untuk menyeimbangkan peratusan gender dalam bidang pendidikan. Bilangan guru lelaki yang sedikit boleh menyebabkan kesukaran dalam beberapa bidang tugas seperti penjagaan sistem siar raya, padang, inventori barang dan sebagainya.

Penempatan GSTT, DPLI dan KPLI yang baru ini dicadangkan di kawasan pedalaman. Beri peluang pula kepada guru yang sudah bertahun di pedalaman yang memohon ditukarkan ke tempat asal mereka.

Kerap kali kita mendengar GSTT sudah lama mengajar dan berpengalaman, mampu mengajar guru baru, mendapat pujian pengetua dan sebagainya. Ini masanya menguji siapa guru sejati, tinggalkan ibu bapa, suami, isteri dan anak kerana cita-cita menjadi pendidik berdedikasi.

SANG ALGOLJO,
Merlimau, Melaka

Berita Harian Online: 10 Mac 2011

Isnin, 7 Mac 2011

Pelajar patah tangan kena belasah

Oleh Rashidi Karim

2011/03/07

KANGAR: Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun parah dibelasah sekumpulan pelajar lain yang bertindak ala samseng membawa mangsa keluar dari kelas ketika guru sedang mengajar sebelum membelasahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Safi (SMKSS), Simpang Empat, dekat sini, Jumaat lalu.

Muhammad Shahfaly Anoar, pelajar Tingkatan Tiga sekolah itu dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, selepas tulang bahunya terkehel dan patah lengan kiri serta luka di kening akibat teruk dibelasah tiga daripada 10 pelajar yang menunggu di tingkat bawah bilik kelasnya dalam kejadian jam 11 pagi itu.
Kejadian hanya disedari bapa mangsa, Anoar Ahmad, 38, selepas melihat anak sulung daripada empat beradik itu yang dalam kesakitan, dipapah keluar oleh rakan sekelas ketika mengambil mangsa waktu pulang sekolah kira-kira jam 12.15 tengah hari Jumaat lalu.

Anoar mendakwa, guru sekolah itu gagal memberi rawatan kecemasan kepada anaknya, malah lebih dikesali semua guru mendakwa tidak mengetahui kejadian itu walaupun anaknya dipaksa keluar oleh suspek dari dalam kelas ketika guru sedang mengajar.

“Saya amat terkilan dengan sikap guru yang tidak mengambil peduli masalah disiplin pelajar sekolah berkenaan serta gagal bertindak melindungi anak saya sehingga teruk dibelasah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Empat, dekat sini, semalam.

Beliau bertindak membuat laporan selepas kejadian terbabit di Balai Polis Simpang Empat, kira-kira jam 7.30 malam Jumaat lalu. Berikutan kecederaan teruk dialami itu, Muhammad Shahfaly diberi cuti sakit selama 11 hari dan dibenarkan keluar dari HTF, petang kelmarin.

Sementara itu, Muhammad Shahfaly berkata, seorang daripada suspek memasuki kelas di tingkat satu ketika guru sedang mengajar sebelum bertindak memegang tengkuk dan mengheretnya turun ke tingkat bawah sebelum membelasah.
“Di tingkat bawah, saya lihat tidak kurang 10 pelajar sedang menunggu dan tiga daripada mereka, termasuk suspek yang memasuki kelas memukul hingga saya berasa hendak pitam. Bagaimanapun, mereka melarikan diri selepas mendengar pekikan daripada seorang guru yang kebetulan lalu di itu.

“Beberapa pelajar lain bertindak memapah saya memasuki kelas semula dalam keadaan lemah dan tidak bermaya, bagaimanapun guru lelaki yang sedang mengajar ketika itu tidak menanyakan keadaan diri saya, malah guru yang menyuraikan suspek juga langsung tidak menjenguk saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, polis sudah menahan empat pelajar sekolah berkenaan bagi membantu siasatan.

“Semua empat pelajar lelaki berusia 14 dan 15 tahun itu ditahan di rumah masing-masing malam tadi (kelmarin). Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaaan kerana mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa,” katanya.

Berita Harian Online: 7 Mac 2011

Pemilihan PPG berat sebelah

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

2011/03/07

BIARPUN mencapai purata Sasaran Kerja Tahunan (SKT) melebihi 80 peratus bagi tempoh tiga tahun berturut-turut, namun ramai guru mendakwa gagal menyertai Program Pensiswazahan Guru (PPG) hingga menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak.

Beberapa guru yang memohon program mengikuti sesi pengajian Mac 2011 mendakwa berlaku amalan berat sebelah sehingga permohonan ditolak.
Masing-masing menggesa Bahagian Pendidikan Guru (BPG) telus dalam pemilihan calon sekali gus mencapai sasaran 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah menjelang 2015.
Seorang guru dari Perak, berkata dia sudah tiga kali mengemukakan permohonan mengikuti PPG tetapi sehingga kini permohonannya ditolak biarpun mencapai purata SKT melebihi 80 peratus.

Beliau yang enggan disiarkan namanya, berkata dia sudah mengemukakan rayuan tetapi gagal sedangkan rakan sejawat yang mencapai SKT lebih rendah berjaya ikut serta.

“Saya hampir putus asa, bagaimanapun tetap berharap masih ada peluang meneruskan pengajian,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini

Baru-baru ini, Pengarah BPG, Datuk Mohd Ghazali Ab Rahman dalam kenyataannya sebagai memetik, sekurang-kurangnya 40,000 guru dijangka mengikuti PPG di institut pendidikan guru dan institusi pengajian tinggi seluruh negara bermula Mac ini.
Program pengajian tiga tahun setengah hingga empat tahun itu sejajar inisiatif kementerian mempergiat usaha meningkatkan kelulusan akademik guru menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) dengan peruntukan RM1.4 bilion.

Jurucakap BPG ketika dihubungi berkata, ada pemohon yang memperoleh purata markah 78 dan 79 peratus turut diterima mengikuti program berkenaan selepas menimbangkan pelbagai faktor termasuk aktif kokurikulum.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad ketika mengulas dakwaan itu, berkata permohonan ditolak atas pelbagai faktor.

Katanya, mungkin ia berpunca kegagalan mereka bersaing dengan pemohon lain, selain gagal melepasi tapisan keselamatan, pernah dikenakan tindakan tatatertib dan tidak ada audit bersyarat.

“Segelintir pemohon pula memperoleh markah tinggi untuk dua tahun penilaian misalnya 85 peratus tetapi setahun lagi 75 peratus.

“Biarpun purata markah melebihi 80 peratus tetapi keutamaan diberikan kepada mereka yang konsisten melepasi 80 peratus sepanjang tempoh tiga tahun penilaian,” katanya.

Berita Harian Online: 7 Mac 2011

Sabtu, 5 Mac 2011

Ketua guru disiplin didakwa cabul 11 pelajar

KUALA LUMPUR 4 Mac - Seorang ketua guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Pandan Indah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas 11 pertuduhan mencabul 11 pelajar perempuan berusia antara 15 dan 16 tahun, bulan lalu.

Ismazi @ Megat Ismazi Ismail, 49, berasal dari Pulau Pinang memohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Azaraorni Abd. Rahman.

Tertuduh didakwa mencabul kehormatan semua mangsa tersebut di dalam bilik guru disiplin di sekolah tersebut antara pukul 7.30 dan 8.30 pagi, 25 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Jaizah Jaafar mencadangkan jaminan RM1,500 bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadap tertuduh.

Katanya, Ismazi yang berkhidmat sebagai guru selama 23 tahun juga telah memberikan kerjasama yang baik terhadap pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

Azaraorni menetapkan tertuduh diikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 25 Mac ini.

Isteri Ismazi yang hadir bersama rakan-rakannya membayar jaminan tersebut.

Utusan Malaysia Online: 5 Mac 2011

Peranan PIBG tidak dihargai?

ARKIB : 02/03/2011

Tahniah kepada 586 guru besar dan 12,141 guru cemerlang serta 2,800 kakitangan sokongan sekolah seluruh negara yang bakal menerima ganjaran Anugerah Tawaran Baru. Ganjaran untuk pengetua-pengetua sekolah menengah turut akan menyusul.

Sungguh bertuah mereka yang akan menerima ganjaran tersebut atas usaha dan komitmen untuk mencapai prestasi cemerlang dalam membangunkan kualiti murid dan sekolah-sekolah terlibat.

Tetapi bagaimana pula dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)? Sehubungan itu, mari kita lihat sebahagian daripada fungsi PIBG:

“Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah salah satu pertubuhan di dalam sekolah yang boleh memainkan peranan besar dalam meningkatkan pencapaian persekolahan murid-murid mereka dan juga memberi sumbangan untuk perkembangan sekolah.

Fungsi PIBG ini dapat dilihat daripada kegiatan-kegiatan sosial, akademik dan kebajikan yang diusahakan mengikut garis panduan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).”

Adakah sumbangan mereka yang menerajui PIBG ini dihargai, terutama ahli jawatankuasa di kalangan ibu-bapa? Jauh sekali untuk menerima ganjaran seperti yang diumumkan untuk guru dan kakitangan sokongan sekolah.

Peranan PIBG yang seiring dengan pencapaian kecemerlangan sekolah, perlu dilihat sebagai aset yang berharga. Jawatan mereka tidak bergaji dan terpaksa hadir mesyuarat AJK PIBG, datang semasa aktiviti sekolah. Juga ada yang terpaksa mengambil cuti kerja untuk bersama dengan aktiviti sekolah.

Cuba tanya guru-guru besar dan pengetua-pengetua sekolah, kepada siapa mereka akan memohon sumbangan perbelanjaan untuk adakan motivasi pelajar, kelas tambahan, baiki bilik komputer, tandas, kantin, hari sukan, hari anugerah dan kecemerlangan pelajar, kokurikulum dan lain-lain lagi?

Semua akan dirujuk kepada PIBG untuk kelulusan peruntukan bagi perbelanjaan seperti dinyatakan. Peruntukan pula datang daripada yuran-yuran sekolah dan daripada ibu-bapa.

Sehubungan itu saya merayu kepada pihak-pihak yang berkenaan, lihat dan dengarlah suara hati dan peranan mereka yang berada di dalam PIBG. Sekurang-kurangnya iktiraflah sumbangan yang telah mereka berikan dalam mencapai sasaran yang dihajati oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.

Niat mereka yang berada dalam PIBG hanya untuk turut sama merealisasikan impian ibu bapa yang memilih mereka untuk melihat kecemerlangan siasah dan akademik anak didik sekolah berkenaan.

NYDP PIBG

Kuala Lumpur


Utusan Malaysia Online: 5 Mac 2011

GSTT: Bukti kerajaan prihatin kebajikan rakyat

HAMPIR 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di seluruh negara pasti tersenyum lebar dan berasa lega yang amat sangat selepas mendengar khabar gembira ini.

Khabar yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kinabatangan, Sabah semalam membuktikan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan mendengar keluhan rakyat.

Memang diakui sejak kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung semula perkhidmatan GSTT yang ditamatkan perkhidmatan pada akhir tahun lalu, ramai GSTT terutama yang berpengalaman mengajar melebihi tiga tahun mengeluh. Sejak itu, e-mel untuk ruangan Forum, akhbar ini menerima banyak komen yang kesal dan mahu kerajaan membela nasib mereka.

Antaranya e-mel milik Khatijah Abdullah dari Cheras, Kuala Lumpur bertarikh 8 dan 11 Februari 2011, e-mel dari seorang GSTT yang telah lapan kali mohon mengikuti kursus KPLI dan DPLI tetapi gagal, e-mel dari seorang insan yang menggelarkan dirinya X GSTT dan banyak lagi. Kesemua mereka kini tentunya menarik nafas lega kerana perjuangan membela nasib sendiri dan rakan-rakan akhirnya mendapat perhatian kerajaan.

Inilah yang dikatakan kerajaan prihatin dan sentiasa mendahulukan rakyat dalam segala perkara. Keluhan dan rintihan rakyat daripada pelbagai latar belakang sentiasa menjadi keutamaan untuk diselesaikan, sekali gus membuktikan bahawa slogan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' tidak sekadar slogan, sebaliknya dibuktikan dengan tindakan.

Tidaklah seperti pihak pembangkang yang 'cakap tak serupa bikin', sekadar menabur janji tetapi tidak dipenuhi.

Dalam pada itu, kumpulan GSTT tersebut harus bersedia untuk ditempatkan ke mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka. Seperti kenyataan Muhyiddin, mereka yang inginkan jawatan ini, maka mereka juga harus bersedia untuk ditempatkan di mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.

Jangan pula selepas ini, ada GSTT menghantar pula e-mel kepada akhbar ini atau mana-mana akhbar kerana tidak sanggup bertugas di kawasan berkenaan. Alasannya, berjauhan dengan keluarga, tiada kemudahan asas dan lain-lain.

Janji kerajaan bahawa kumpulan GSTT berpeluang menjadi guru terlatih juga membuktikan kerajaan begitu komited mahu melahirkan seberapa banyak guru yang mampu mendidik anak bangsa dengan kualiti tersendiri. Jangan mempersiakan peluang yang ada kerana ada kalanya peluang datang hanya sekali dalam hidup seseorang.

Di pihak Pengarah Pelajaran Negeri pula, inilah masanya untuk bekerja lebih keras kerana pasti banyak 'tugas-tugas khas' menanti anda selepas ini. Merancang pelan pelaksanaan bersama kakitangan jabatan perlu dilakukan dari sekarang kerana kita tahu, kumpulan GSTT di setiap negeri bukannya sedikit, malah mencecah ribuan orang. Jangan pula, ada GSTT merungut tidak dialu-alukan kedatangan mereka ke pejabat pelajaran negeri.

Sambutlah mereka dengan senyuman kerana ia pasti meredakan perasaan tertekan yang dialami mereka selama ini. Untuk GSTT pula, berterima kasihlah kepada kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat.

Utusan Malaysia Online: 5 Mac 2010