Isnin, 28 November 2016

NUTP setuju cadangan Kementerian Pendidikan mansuh UPSR

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Presidennya Kamarozaman Abd Razak berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Ahli Majlis NUTP ke-9 yang berlangsung hari ini dan melibatkan 73 anggota exco kesatuan tersebut.

"NUTP bersetuju dengan cadangan kementerian untuk mansuhkan UPSR dengan syarat mereka rujuk kepada kami dahulu.

"Kementerian perlu melibatkan kami dalam perbincangan termasuk ketika melakukan kajian mengenai perkara tersebut," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di sini, hari ini.

Jelasnya, keputusan itu dibuat untuk mengurangkan tekanan kepada guru di negara ini selain mengubah persepi sesetengah masyarakat yang menganggap 'A' itu semata-mata sebagai kayu ukur kualiti seseorang murid.

Kamarozaman bagaimanapun berkata pemansuhan UPSR tidak bermakna murid tidak akan dinilai sama sekali terutama berhubung kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

"Murid akan tetap dinilai tetapi oleh sekolah masing-masing dan bukannya berorientasikan peperiksaan berpusat semata-mata," katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata kementeriannya akan memuktamadkan sama ada memansuhkan UPSR atau sebaliknya pada tahun hadapan.

Katanya, cadangan tersebut dipertimbangkan dengan mengambil kira pandangan ahli akademik tempatan, modul-modul luar negara yang diketengahkan seperti Perancis, Finland dan Korea Selatan serta agensi berkaitan selain guru-guru berpengalaman di sekolah.

Sementara itu, Kamarozaman berkata pihaknya meminta Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Bahagian Pembangunan Kurikulum kementerian supaya mendedahkan kepada orang awam skema pemarkahan bagi UPSR baru-baru ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mempersoalkan prestasi guru berikutan peratusan murid yang mendapat keputusan semua A dalam UPSR tahun ini hanya 1.11 peratus dari jumlah keseluruhan 440,782 calon.

-- BERNAMA

Khamis, 1 Oktober 2015

UPSR guna format baharu tahun depan


PUTRAJAYA 28 Sept. - Mulai tahun depan, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris bagi Ujian Pencapai­an Sekolah Rendah (UPSR) akan dipecahkan kepada bahagian Pemahaman dan Penulisan yang sekali gus menjadikan mata pelajaran itu mempunyai dua gred berasingan.
Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan, Datin Nawal Salleh berkata, perkara itu merupakan format baharu bagi peperiksaan UPSR yang diperkenalkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).
Beliau menjelaskan, ini bermakna pada tahun depan, calon UPSR bagi sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) akan memiliki enam hingga lapan gred dalam keputusan UPSR berban­ding sekarang lima hingga tujuh gred atau bergantung pada jumlah mata pelajaran yang diambil.
Beliau berkata, turut diubah adalah kertas peperiksaan bagi mata pelajaran Sains yang telah dipe­cahkan kepada dua bahagian iaitu kertas satu (objektif) dan kertas dua (subjektif), bagaimanapun gred bagi kertas itu masih kekal satu.
“Sejajar dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melengkapi pelaksa­naan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), di samping membudayakan unsur Kemahiran Berfikir Asas Tinggi (KBAT), maka format peperiksaan UPSR 2016 yang baharu dan ditambah baik ini akan digunakan.
“Begitupun, UPSR masih berbentuk ujian bertulis 100 peratus peperiksaan berpusat seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Nawal memberitahu, perubahan format baharu bagi kertas peperiksaan Bahasa Inggeris itu kini menjadikan semua kertas mata pelajaran bahasa di peringkat sekolah rendah mempunyai dua kertas (Pemahaman dan Penulisan) dan gred berasingan.
Katanya, sebelum ini hanya Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil yang memerlukan calon UPSR menduduki dua kertas (Pemahaman dan Penulisan).
Selain itu, beliau berkata, format baharu UPSR telah menambah ujian subjektif bagi kertas Pemahaman untuk semua mata pelajaran bahasa berbanding hanya ujian objektif sebelum ini.
Turut dilakukan pembaharuan, katanya, ialah pada soalan objektif iaitu bahagian aneka pilihan akan dikurangkan sementara bahagian soalan pelbagai bentuk akan ditingkatkan dan ditambah dengan soalan respon terhad (soalan pendek).
“Format baharu itu bertujuan mentaksir pencapaian akademik murid seluruh negara dengan mematuhi standard yang ditetapkan,” katanya.
Beliau menambah, mana-mana pihak yang ingin melihat dan meneliti format serta contoh instrumen UPSR mulai 2016 boleh melayari laman sesawang: www.lp.edu.my mulai Isnin.

Utusan Online: 1 Oktober 2015

Sabtu, 17 Mei 2014

26,200 guru naik pangkat

MUHYIDDIN Yassin merasmikan sambutan Hari Guru ke-43 yang bertemakan Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi, di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/NASIRRUDDIN YAZID
KUALA LUMPUR 16 Mei - Seramai 26,200 guru lepasan diploma dan siswazah di seluruh negara menerima kenaikan pangkat sejak 1 Januari lalu selepas kerajaan memperkenalkan skim perkhidmatan bersepadu dengan menjadikan aspek kecemerlangan sebagai garis panduan utama penilaian.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah tersebut, pa­ling ramai yang menikmati kenaikan pangkat hasil skim ber­kenaan ialah kumpulan guru bukan siswazah iaitu 354 dinaikkan gred DGA38, 11,314 dinaikkan gred DGA34 dan 4,091 dinaikkan gred DGA32.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan menambah, sehingga Jun 2014, bagi kumpulan pendidik lepasan siswazah pula dijangkakan seramai 195 guru dinaikkan gred DG54, 643 dinaikkan gred DG52, 803 dinaikkan gred DG48 dan 8,954 guru bakal menikmati tangga gaji baharu gred DG44.
"Bagi melaksanakan semua urusan kenaikan pangkat guru, kerajaan memperuntukkan sejumlah besar kewangan sekaligus membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memberi pengiktirafan kepada guru dalam usaha membentuk serta melahirkan modal insan yang berpersonaliti unggul.
"Saya berharap peluang ke­naikan pangkat ini akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan prestasi masing-masing," katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Guru ke-43 yang bertemakan Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan I dan II, Datuk Mary Yap Kain Ching serta P. Kamalanathan dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Selain itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad; Ketua Setia­usaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof juga turut hadir.
Sempena sambutan tersebut, Penasihat Kluster Johor, Tengku Azuan Tengku Mohamed dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2014 manakala bekas Ketua Pe­ngarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2014.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, menjelang tahun depan pula, seramai 27,105 guru bakal menikmati kenaikan pangkat hasil daripada skim sama kerana ketika ini mereka sedang mengikuti Program Pensiswazahan Guru (PPG) dan dijangka bakal menamatkan pengajian pada 2015.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin mahu nilai profesional guru ditingkatkan dengan kualiti menjadi keutamaan bagi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 mencapai objektif sebagaimana diharapkan pihak kerajaan.
Jelasnya, bagi tujuan itu, latihan guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) akan dimantapkan de­ngan penekanan diberikan kepada unsur-unsur kreativiti dan inovasi merangkumi program diploma perguruan serta sarjana muda perguruan.
Pada masa yang sama, beliau juga menuntut para guru agar sentiasa menambah nilai intelektual masing-masing kerana golongan pendidik merupakan ejen perubahan dalam usaha kerajaan melahirkan modal insan berkualiti yang sangat diperlukan negara.
"Guru biasa memberi petunjuk jalan yang betul, tetapi guru yang hebat memberi inspirasi kepada kita untuk mengenal diri. Mereka menggalakkan kita untuk menonjolkan bakat yang ada. Guru yang hebat mengasuh murid mereka untuk menjadi pemimpin.
"Jadi, guru perlu bersedia menerima perubahan dan memiliki ciri inovatif memandangkan tugas serta tanggungjawab mereka cukup besar khususnya dalam menghadapi persaingan global yang menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan," katanya.

Utusan Malaysia: 17 Mei 2014

Selasa, 18 Mac 2014

PT3 ganti PMR

KUALA LUMPUR 18 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mulai tahun ini.
Menerusi pelaksanaan penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada 1 April ini, tiada lagi peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah, katanya.
"Akan ada bentuk penilaian di peringkat sekolah. PT3 ini akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional.
"Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga akan menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka," jelas beliau.
Muhyidddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian dalam sidang media khas yang turut dihadiri penggiat utama sistem pendidikan negara seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di bangunan Parlimen di sini hari ini. -BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 18 Mac 2014

Selasa, 25 Februari 2014

PBS tidak dimansuhkan - Idris

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my

Idris Jusoh bertanyakan sesuatu kepada Nur Khairunnisahana Fazail (dua dari kanan) berkenaan sampel laut semasa melawat Pameran Kejayaan Penyelidikan di Universiti Malaya, Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) tidak akan dimansuhkan walaupun pelaksanaannya mendapat bantahan daripada guru.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh sebaliknya berkata, satu bentuk baharu pelaksanaan sistem itu akan diputuskan pada 1 April depan yang dijamin tidak akan membebankan lagi golongan pendidik.
Sehubungan itu, jelas beliau, dalam tempoh tersebut, guru diminta memberi fokus pengajaran kepada murid tanpa terlalu bimbang berhubung perkara tersebut.
"PBS merupakan sistem terbaik setelah kajian mengenainya dibuat selama dua tahun dan mendapat pelbagai input daripada 55,000 orang yang menyatakan tidak mahu lagi kepada sistem berorientasi peperiksaan.
"Kerajaan sudah buat keputusan untuk meneruskannya dan sistem ini tidak akan dimansuhkan, cuma baru-baru ini hanya timbul masalah implementasi yang akan diperkemaskan dan ditambah baik melalui kajian yang sedang dilaksanakan ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penerangan kejayaan hasil penyelidikan berasaskan penerbitan oleh lima Universiti Penyelidikan negara, di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin.
Kementerian Pendidikan semalam membuat keputusan menangguhkan pelaksanaan PBS bagi menjalankan kajian menyeluruh mengenainya agar dapat mengurangkan beban tugas guru.
Kajian itu membabitkan rombakan terhadap perkara yang melibatkan kekerapan guru memasukkan data berkaitan bukti dan pencapaian murid termasuk pengisian borang rekod prestasi murid.
Dalam pada itu Idris berkata, kementerian sentiasa terbuka dan telus terhadap rungutan, komen, pandangan, kritikan daripada guru dan masyarakat.
Oleh itu, kata beliau, isu bantahan berhubung perkara itu tidak perlu diperbesarkan kerana pasukan yang ditugaskan di pihak kementerian telah berjumpa dengan guru untuk mendapatkan maklum balas.
Sementara itu, mengulas mengenai kejayaan penyelidikan Universiti Penyelidikan negara iaitu UM; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau berkata, trend penyelidikan berasaskan penerbitan sudah menunjukkan peningkatan mendadak sejak 2007.
Katanya, demi mencapai kecemerlangan lebih baik, kerajaan akan memberikan dana bersesuaian agar universiti berkenaan dapat melakukan kerjasama penyelidikan dengan universiti ternama di luar negara.
"Pada 2008, universiti tempatan mengatasi Thailand dan pada 2010 berjaya mengatasi Singapura dalam bidang penerbitan penyelidikan.
"Sebab itu saya kesal apabila ada pihak yang menyatakan bahawa universiti kita banyak membelanjakan duit tetapi tidak ada hasil sekali gus memberi gambaran salah kepada negara luar," katanya.

Utusan Malaysia Online: 25 Februari 2014

TPM: Tiada arahan tukar guru tentang PBS

HULU LANGAT 24 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan arahan untuk mengambil tindakan atau menukar mana-mana guru yang menentang pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya dan Kementerian Pendidikan juga tidak pernah menganiaya mana-mana guru malah golongan itu bebas bersuara dalam menyatakan pendapat masing-masing.
"Saya tak keluarkan apa-apa arahan untuk mengambil tindakan (menukar) terhadap guru yang menentang PBS. Kalau ada (ditukar) mungkin berlaku melibatkan peringkat pentadbiran daerah, (tetapi tidak pasti) sama ada tindakan itu dibuat atas fakta lain atau hanya sebab guru berkenaan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap PBS.
"Saya sudah memperjelaskan pendirian saya dan kementerian. Kita tidak mahu menganiaya sesiapa, kita bersikap adil dan tidak mahu dilihat zalim," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Mesra Rakyat di Kampung Bukit Dukong, Kajang dekat sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika ditanya sama ada keputusan menukarkan seorang guru, Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari selaku Pengerusi Penaja Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) akan ditarik balik selepas kerajaan menangguhkan sementara pelaksanaan PBS.
Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof mengumumkan guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga perkara itu diputuskan oleh kementerian dalam masa terdekat.
Muhyiddin berkata, walaupun guru bebas bersuara, tetapi perkara itu perlu mengikut prosedur bersesuaian berdasarkan pekeliling tertentu.
"Bagi saya, yang penting ialah kita dalam peringkat untuk menemukan cara baharu yang mampu memberi keadaan lebih baik kepada semua pihak jika dilaksanakan kelak.
"Ini (pelaksanaan PBS) akan kita umumkan apabila kementerian meneliti semua aspek," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau ketika ditanya tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pencatuan air bagi kawasan yang terjejas di negeri itu berkata, perkara tersebut sepatutnya dirujuk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
"Ini (merujuk SPAN) tertakluk kepada undang-undang yang mana boleh diputuskan selepas SPAN berpuas hati jika situasi di peringkat kritikal. Ini mungkin dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet oleh menteri bertanggungjawab tetapi belum ada keputusan mencatu.
"Jadi, kalau dibentangkan nanti kata paras air menurun, ada cara-caranya. Kita tidak mahu menyusahkan rakyat kata esok kita nak catu, kerana ini mesti ada persiapan. Kalau nak catu, maknanya pengguna (orang ramai) perlu ada persiapan," katanya.
Beliau berkata, makluman mengenai pencatuan air juga perlu dinyatakan melalui notis awal.
"Tetapi saya tidak tahu jika Menteri Besar ada kuasa, tetapi setahu saya, itu diletakkan di bawah SPAN dan ini diputuskan dalam mesyuarat Kabinet," tambahnya.

Utusan Online: 25 Februari 2014

Ahad, 23 Februari 2014

Guru tidak perlu teruskan pelaksanaan PBS sehingga diberitahu

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan PBS setelah Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan.
Katanya, penambahbaikan itu mengambil kira dapatan kajian terbaharu KPM, rungutan guru dan mengambil kira pandangan masyarakat termasuk Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).
"KPM telah mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru, dengan memfokuskan kepada rombakan perkara yang melibatkan kekerapan guru memasukkan data termasuk pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru," katanya.
Selain itu, antara tindakan yang diambil KPM ialah menubuhkan Jawatankuasa Task force PBS di peringkat kementerian yang akan mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS.
"War Rooms PBS di peringkat KPM juga diwujudkan untuk menangani isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan PBS dengan segera dan berkesan termasuk membuat maklum balas segera mengenainya dari semasa ke semasa," katanya.
KPM juga sedang melaksanakan usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bagi memastikan guru boleh mengakses sistem itu dengan lebih mudah dan berkesan.
Beliau juga memaklumkan bahawa KPM turut menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula 17 Feb lalu untuk mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.
KPM juga, katanya, telah mengadakan perbengkelan melibatkan guru termasuk kesatuan-kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula pelaksanaan PBS pada Februari lalu dan hasilnya akan dibentangkan dalam tempoh terdekat.
"Kesemua tindakan itu diambil bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa sama mengurangkan beban guru yang melaksanakannya," katanya.
- BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 23 Februari 2014