Rabu, 8 Ogos 2012
Kutipan derma sekolah oleh pelajar tidak digalakkan - NUTP
Presidennya, Hashim Adnan berkata, NUTP melihat aktiviti itu sebagai mengundang bahaya kepada pelajar tanpa mengira peringkat usia.
"Kita tak nak nanti ada kes pelajar diculik atau dirogol," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya walaupun mendapat kebenaran jabatan pelajaran negeri masing-masing, program itu tidak sepatutnya diadakan kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kepada pihak sekolah.
"Semua kerajaan dah bagi, alat sukan tak cukup kerajaan bagi, budak miskin tak ada makanan, kerajaan peruntukkan RM1.80 setiap hari, pembangunan kalau rosak boleh minta.
"Saya hairan, kenapa nak minta derma lagi, kalau boleh, elakkan perkara berkenaan," katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui ada kes tertentu yang memerlukan kutipan derma seperti ketika sekolah memerlukan dana segera bagi mengganti peralatan rosak dan sebagainya.
Utusan Malaysia Online: 8 Ogos 2012
Isnin, 27 Februari 2012
NUTP syor guru bersara ganti ETA
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2012/02/27
KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa tindakan menempatkan Peace Corps atau Pembantu Guru Bahasa Inggeris Fullbright (ETA) selama beberapa bulan tidak banyak membantu meningkatkan penguasaan pelajar.
Di AS katanya, bahasa Inggeris ialah bahasa ibunda tetapi di negara ini, bahasa berkenaan ialah bahasa kedua atau bahasa asing.
“Adalah lebih wajar jika Kementerian Pelajaran mengambil semula guru Bahasa Inggeris yang sudah bersara bagi mengatasi masalah itu yang sekali gus membantu meningkatkan penguasaan pelajar.
“Sebagai penyelesaian jangka panjang, mereka juga beranggapan melatih warga negara tempatan yang fasih dalam bahasa berkenaan lebih baik daripada menaja sukarelawan atau penutur jati dari negara lain,” katanya.
Baru-baru ini, seramai 50 rakyat AS tiba di negara ini dan mereka ditempatkan di beberapa sekolah di Terengganu, Pahang dan Johor sebagai kumpulan pertama ETA. Masing-masing adalah sebahagian daripada 300 ETA yang dibiayai kementerian.
Adnan berkata, kedatangan ETA juga boleh mewujudkan pertembungan budaya yang mungkin tidak disenangi pelajar.
Sepanjang tempoh beberapa bulan pertama, ETA perlu menghabiskan masa menyesuaikan keadaan tempatan kerana mereka perlu belajar budaya dan mesra dengan murid.
Sementara itu, Presiden Kirkby International College, Bismillah Khatoon Abdul Kader, berkata hasrat membawa ETA supaya pelajar meniru percakapan penutur asli mengelirukan pelajar.
Katanya, slanga penutur dari AS berbeza dari United Kingdom (UK), bahkan UK mempunyai beberapa slanga seperti Irish, Scotland atau Welsh.
Beliau berkata, AS juga menggunakan sistem ejaan berbeza berbanding UK yang dianggap standard di negara ini.
“Lagipun, ada banyak lagi negara lain yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda selain UK atau AS dan mereka juga boleh dianggap sebagai penutur jati,” katanya.
myMetro: 27 Februari 2012
Sabtu, 25 Februari 2012
Guru Dipaksa Derma Untuk Sekolah - NUTP
Presidennya Hashim Adnan berkata sehubungan itu wakil guru sekolah di Batu Pahat tersebut telah membuat laporan kepada NUTP Rabu lepas.
Pentabir sekolah dikatakan telah mengeluarkan arahan kepada 50 guru berkenaan untuk membuat sumbangan berikutan kenaikan gred mereka ke gred tersebut.
"Tujuan kutipan wang tersebut tidak diberikan penjelasan yang lengkap dan kaedah pengumpulan itu hanya tertera kepada guru yang memegang jawatan itu," katanya pada sidang media di sini Jumaat.
Hashim berkata sebarang kutipan wang dari pihak sekolah, sama ada melibatkan guru atau ibu bapa perlu mengikut prosedur dan mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran.
BERNAMA: 24 Februari 2012
Khamis, 2 Februari 2012
Tak perlu beri elaun
PUTRAJAYA: “Tak perlu beri elaun bulanan kalau nak tarik minat pelajar,” kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud mengulas mengenai cadangan Majlis Profesor Negara (MPN) supaya kerajaan memberi elaun bulanan kepada pelajar aliran sains di sekolah bagi menarik lebih ramai meminati bidang itu.
Katanya, ini berikutan banyak pendekatan lain boleh digunakan untuk menggalakkan lebih ramai pelajar memilih aliran sains di sekolah. “Malah, kerajaan juga ada pendekatan sendiri untuk mengurangkan jurang perbezaan bilangan antara pelajar aliran sains dan sastera di sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT). “Ini termasuk Dasar 60:40 iaitu 60 peratus pelajar aliran Sains dan 40 peratus Sastera pada peringkat sekolah dan IPT bagi mengurangkan jurang perbezaan itu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam. Sebelum ini, MPN memencadangkan supaya kerajaan memberi elaun bulanan kepada pelajar aliran sains di sekolah bagi menarik lebih ramai pelajar memilih bidang itu. MPN juga menyarankan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menambah bilangan biasiswa untuk mereka yang mengikuti bidang sains di institut pengajian tinggi (IPT) supaya lebih ramai yang berminat mengikuti jurusan itu.
Cadangan penuh menerusi Kluster Sains dan Matematik MPN itu dikemukakan memandangkan hanya 20 peratus pelajar sains di sekolah berbanding sasaran 60 peratus.
Sementara itu, Abdul Ghafar berkata, pendekatan lain seperti memberi pendedahan awal mengenai peluang kerjaya dan manfaat diperolehi daripada ilmu yang dipelajari boleh menggalakkan pelajar memilih jurusan sains.
myMetro: 2 Februari 2012
Selasa, 10 Januari 2012
Bayaran untuk kerusi, meja sekolah tidak wajar
Bentong, Pahang
SAYA tertarik dengan tulisan Cikgu Keliru dari Dengkil, Selangor dalam ruangan ini baru-baru ini yang menyatakan bahawa para pendidik dan murid-murid akan dikenakan bayaran bagi menambah kelengkapan sekolah yang tidak cukup.
Jika tidak silap saya dalam Belanjawan 2012 lalu peruntukan khusus untuk penambahbaikan kelengkapan sekolah, membaik pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan diwujudkan di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah yang berjumlah RM1 bilion.
Jadi di mana logiknya pihak sekolah mengenakan bayaran bagi murid dan guru untuk menambah peralatan sekolah?
Menurut Perdana Menteri, dalam gagasan 1Malaysia dan pelbagai kempen Kementerian Pelajaran sendiri telah menyatakan tidak akan ada kekangan kewangan untuk mendapat pendidikan dari kerajaan. Malah usaha memansuhkan pelbagai yuran sekolah dilihat sesuatu yang amat dialu-alukan.
Tetapi pihak sekolah tiba-tiba mengenakan bayaran lain yang dilihat tidak selari dengan niat sebenar kerajaan. Malah bayaran bagi kelengkapan bilik darjah sekolah seperti kerusi dan meja pada saya amatlah mengarut. Sebagai seorang bapa yang mempunyai anak bersekolah saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Pelajaran mengenai perkara ini.
Jangan pula ia akan jadi polemik bagi pihak yang mencari isu untuk dibangkitkan untuk menentang kerajaan.
Kempen pendidikan percuma yang sedang kerajaan jalankan kini amat membantu, terutama bagi golongan-golongan berpendapatan rendah dan sederhana seperti saya.
Utusan Malaysia Online: 10 Januari 2012
Rabu, 4 Januari 2012
Guru diminta keluar wang sendiri beli kerusi meja murid
Dengkil, Selangor
SAYA amat berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sentiasa mengambil berat tentang keperluan murid-murid di sekolah.
Bagi persediaan Penggal Persekolahan 2012 ini, 'Touch Point' beliau ialah 1 Murid 1 Meja 1 Kerusi 1 set Buku Teks. Saya amat gembira dengan adanya 'touch point' tersebut di mana saya menganggarkan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah pun membuat pengagihan secukupnya bagi meja, kerusi dan buku-buku teks kepada setiap sekolah untuk setiap murid.
Namun begitu saya difahamkan hanya murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 sahaja diberi keutamaan untuk mendapat kelengkapan tersebut. Jadi bagaimanakah nasib murid-murid lain di sekolah?
Saya seorang warga pendidik yang agak keliru dengan apa yang berlaku sekarang. Saya telah menghadiri Mesyuarat Guru Kali Pertama Bagi Tahun 2012 di sekolah saya di Dengkil.
Pihak pentadbir sekolah telah membuat keputusan untuk meminta guru-guru menyumbangkan RM50.00 seorang bagi menampung kos pembelian meja dan kerusi murid bagi sesi persekolahan 2012. Manakala murid pula akan diminta untuk membayar RM10.00 seorang bagi tujuan tersebut.
Menurut pihak pentadbir, keputusan ini terpaksa dibuat kerana sekolah berada dalam keadaan kritikal untuk menyediakan meja dan kerusi bagi murid.
Justeru saya masih lagi terfikir-fikir akan siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab untuk menyediakan kelengkapan murid tersebut? Saya bukan mahu berkira tetapi saya berpendapat ada pihak yang lebih bertanggungjawab dapat menyelesaikan perkara ini.
Walaupun RM50.00 itu nampak kecil jumlahnya, janganlah kos penyediaan meja dan kerusi murid diletakkan di bahu guru kerana guru juga mempunyai tanggungan lain yang perlu diselesaikan.
Utusan Malaysia Online: 4 Januari 2012
Minda Pengarang: Pendidikan percuma buka lembaran baru sistem persekolahan
2012/01/04
SESI baru persekolahan 2012 yang bermula semalam di Kedah dan negeri Pantai Timur, manakala hari ini di negeri lain benar-benar mencatat sejarah, berikutan buat pertama kalinya pendidikan rendah dan menengah di sekolah kerajaan disediakan secara percuma. Perkembangan ini adalah berikutan pemansuhan bayaran RM24.50 mulai tahun ini bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2012, 7 Oktober lalu.Hasrat kerajaan memansuhkan bayaran berkenaan adalah bagi membolehkan setiap rakyat negara ini, tanpa mengira latar sosioekonomi, mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Bayaran dimansuhkan itu membabitkan bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, yuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan insurans takaful. Adalah difahamkan surat pekeliling berhubung penghapusan itu sudah dihantar ke sekolah agar tidak timbul kekeliruan apabila sesi pelajaran bermula. Selain pemansuhan bayaran terbabit, kerajaan juga sudah melaksanakan pemberian bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima bagi tujuan membeli peralatan sekolah. Walaupun bantuan berkenaan menyasarkan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, mereka yang berkemampuan turut menerimanya, membuktikan keikhlasan kerajaan membantu semua rakyat. Menerusi kedua-dua langkah ini – ditambah pula dengan skim buku bantuan percuma yang dinikmati pelajar – ia sudah tentu meringankan beban perbelanjaan kira-kira 5.3 juta pelajar.
Berita Harian Online: 4 Januari 2012
Sabtu, 31 Disember 2011
Tambahan RM20 juta
Oleh Norfatimah Ahmad
2011/12/31
PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukkan tambahan RM20 juta untuk membekal peralatan dan kemudahan bagi kegunaan pelajar apabila sesi persekolahan 2012 bermula minggu depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peruntukan tambahan itu membabitkan penyediaan 122,846 kerusi, 122,675 meja dan 24.4 juta buku teks.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagaimanapun musim tengkujuh ketika ini menyebabkan peralatan untuk tiga sekolah di Pulau Tioman tidak dapat diserahkan mengikut jadual.
Beliau juga memaklumkan seramai 449,475 murid akan memasuki kelas Tahun Satu di seluruh negara, minggu depan, manakala seramai 437,475 pelajar akan menyambung pelajaran ke Tingkatan Satu di sekolah menengah.
Selain itu, katanya, sebanyak 26 sekolah rendah baru dibina dan 12 daripadanya akan beroperasi mulai Januari 2012, manakala bagi sekolah menengah, 25 sekolah baru dibina dengan empat daripadanya dapat digunakan bulan depan.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kerajaan menanggung RM147 juta kos pemansuhan yuran persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa supaya tidak ada sesiapa yang ketinggalan dalam pelajaran.
“Sebenarnya tidak ada yuran... bayaran hakiki tidak perlu dibayar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan memohon mendapatkan sumbangan daripada ibu bapa untuk melaksanakan program sekolah.
“Tetapi, jangan kenakan apa-apa lagi,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama dan pembabitan ibu bapa dalam kegiatan sekolah anak mereka dapat membantu mewujudkan sekolah cemerlang.
“Di banyak negara dilawati, yang menyambut saya dulu bukannya guru, tetapi ibu bapa. Macam di Australia, bila ditanya mereka beritahu ‘kami datang ke sini untuk bantu sekolah kerana anak kami belajar di sekolah ini’,” katanya.
Berita Harian Online: 31 Disember 2011
Sabtu, 3 Disember 2011
Bekas guru kecewa hilang wang pencen
BALING: “Saya terkejut selepas kemas kini buku akaun mendapati wang pencen tidak ada dalam simpanan. Selepas diperiksa saya dapati wang pencen tidak dimasukkan sejak Februari lalu,” kata pesara guru, Abdullah Ismail yang kini sudah berusia 104 tahun.
Abdullah dari Kampung Seberang Pekan, di sini, berkata dia yang kini dimamah usia mengharapkan wang pencen RM221 itu untuk menampung perbelanjaan harian.
“Memanglah jumlahnya kecil, tetapi ia wang saya dan jika mereka tidak mahu memasukkannya, mereka patut memberi notis terlebih dulu,” katanya.
Abdullah berkata, sejak bersara pada tahun 60-an, dia menerima wang pencen setiap bulan sehinggalah pada Februari lalu apabila ia tidak dimasukkan ke dalam akaunnya seperti biasa.
Ketika menjadi guru, Abdullah pernah mengajar di Sekolah Melayu Baling (kini Sekolah Kebangsaan Baling) dan walaupun berusia lebih 100 tahun, dia masih mampu membaca akhbar yang menjadi rutin hariannya ketika bersarapan.
Anaknya, Siti Safur, 50, berkata, bapanya masih boleh membaca walaupun usianya lanjut, cuma pendengarannya terjejas dan memerlukan bersuara kuat ketika bercakap dengannya.
“Alhamdulillah ayah masih sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit. Amalannya ketika muda ialah sering berdoa ketika melakukan apa-apa perkara termasuk ketika mandi, solat, memakai baju dan keluar bekerja,” katanya. Abdullah yang juga bapa kepada lapan anak (tiga daripadanya sudah meninggal dunia) kini mempunyai 32 cucu, 22 cicit dan enam piut. Dia kini tinggal bersama Siti Safur yang juga anak bongsunya selepas isterinya, Sofiah Daud meninggal dunia 25 tahun lalu.
myMetro: 3 Disember 2011
Isnin, 28 November 2011
Benarkah wujud jurang maklumat?
pendidikan@utusan.com.my
KES pemotongan bayaran awal bantuan persekolahan yang berlaku di beberapa buah sekolah menimbulkan persoalan apakah wujud jurang maklumat antara sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)?
Sebuah sekolah di Keramat, Kuala Lumpur telah membuat potongan awal bantuan tersebut bagi kegunaan bayaran tahunan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) manakala sebuah sekolah di Sabah pula melakukan perkara yang sama bagi melunaskan yuran komputer lebih awal.
Lebih mengecewakan ialah sebelum insiden tersebut dilaporkan, di Selangor turut berlaku keengganan pihak sekolah untuk membuat bayaran kepada ibu bapa pelajar yang berada di Tahun 6 kerana mengandaikan bahawa mereka akan mendapat bayaran semasa berada di Tingkatan 1 tahun depan di sekolah lain. Pada 2012 hanya murid tahun 1 sahaja yang akan menerima bantuan khas RM100 itu.
Dari perspektif KPM perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana sejak 4 November lalu peruntukan tersebut telah dimasukkan ke akuan sekolah bagi membolehkan para pelajar menerimanya sebelum cuti sekolah bermula.
Malah sebelum itu beberapa taklimat turut diberikan kepada pengetua dan guru besar bahawa bantuan awal persekolahan tersebut hendaklah diberikan sepenuhnya tanpa sebarang pemotongan walaupun murid terbabit berhutang dengan pihak sekolah.
Sekiranya pihak sekolah ingin menuntut sebarang hutang atau yuran tertunggak daripada pelajar, perbincangan hendaklah dibuat supaya satu persetujuan dicapai tetapi bukannya dengan cara memotong wang bantuan tersebut.
Pada dasarnya, guru besar atau pengetua tidak dibenarkan membuat potongan.
Perbezaan tafsiran ketika melaksanakan sesuatu arahan, walaupun arahan itu telah diturunkan secara jelas, masih berlaku. Keadaan ini menyebabkan ramai yang tertanya-tanya bagaimana satu arahan boleh menjadi lebih banyak tafsiran? Apakah kaedah komunikasi yang digunakan tidak berkesan?
Jawapannya ialah kerana ada segelintir guru besar dan pengetua memberikan alasan kerana perkara tersebut sudahpun diputuskan oleh PIBG dalam mesyuarat tahunannya, maka ibu bapa tidak seharusnya merungut.
Sewaktu keputusan itu dibuat, tidak ramai ibu bapa yang hadir dan apabila hendak dilaksanakan, maka ramailah ibu bapa tidak berpuas hati.
Setiap kali permulaan penggal sekolah, rungutan demi rungutan mengenai bayaran tambahan yang dikenakan oleh pihak sekolah menjadi perhatian masyarakat walaupun secara jelasnya KPM telah memansuhkan semua yuran-yuran yang dahulunya terpaksa dibayar oleh pelajar seperti yuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), yuran peperiksaan dan sebagainya.
Belum pun sekolah bermula, ada sekolah telah memberitahu bahawa setiap pelajar mesti membayar sejumlah wang bagi membolehkan beberapa aktiviti sekolah terus berjalan seperti biasa.
Hal ini akan menyebabkan ibu bapa terus beranggapan, sekolah masih mengenakan yuran sedangkan kerajaan telah membuat keputusan memberi pendidikan rendah dan menengah secara percuma dengan memansuhkan semua yuran.
Di sinilah bermulanya salah faham antara ibu bapa dengan pihak sekolah. Maka adalah wajar pihak sekolah memberikan taklimat atau mengeluarkan surat siaran memberitahu ibu bapa bahawa yang mereka pungut bukanlah yuran.
Sekolah memerlukan sumbangan daripada ibu bapa untuk melaksanakan beberapa aktiviti kokurikulum demi membolehkan para pelajar mencapai kecemerlangan dan menjadi modal insan terbaik.
Jika diberi penjelasan secara baik, ibu bapa secara rasional akan memahami kenapa sesuatu sumbangan itu penting. Namun begitu, pihak sekolah tidak boleh melakukan paksaan bahawa semuanya perlu dijelaskan sebelum berakhir minggu pertama persekolahan.
Misalnya untuk sumbangan kepada tabung PIBG, pihak sekolah bolehlah membuat perancangan bahawa ibu bapa boleh menyumbang secara beransur-ansur selama tiga atau empat kali.
Sekiranya ini sanggup dilaksanakan oleh pihak sekolah dan dipersetujui oleh PIBG, salah faham tidak mungkin berlaku.Utusan Malaysia Online: 28 November 2011
Isnin, 21 November 2011
Pengetua potong wang RM100 kena tindakan
Oleh Azida Shaharuddin dan Norhidayah Che Din
bhnews@bharian.com.my
2011/11/21
Kementerian arah siasat sekolah langgar pekelilingKUALA LUMPUR: Sekolah yang masih berdegil memotong wang bantuan khas RM100 yang diberikan kepada ibu bapa pelajar untuk membeli kelengkapan persekolahan bakal dikenakan tindakan tegas, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.
“Saya minta Ketua Pengarah Pelajaran buat siasatan menyeluruh berhubung perkara ini dan ambil tindakan tegas terhadap mereka.
“Ketua Pengarah Pelajaran juga diminta memberi arahan lebih jelas kepada pihak sekolah melalui jabatan dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) supaya tidak lagi timbul kekeliruan atau salah faham sekali gus menjaga kepentingan pelajar,” katanya, semalam.
Berita Harian semalam melaporkan bapa seorang pelajar Azman Salleh, 38, hanya menerima RM56 kerana pengurusan sekolah memotong RM44 dengan alasan untuk melunaskan hutang buku rampaian.
Puad berkata tindakan seumpama ini tidak wajar dan bukan cara terbaik meminta pelajar menyelesaikan sebarang bayaran tertunggak.
Di JOHOR BAHRU: Pengurusan sekolah seluruh negeri itu diberi amaran supaya memberikan wang bantuan persekolahan RM100 oleh kerajaan kepada ibu bapa pelajar dan jika masih ada hutang tertentu, ia perlu dikutip mengikut tatacara kewangan ditetapkan dan bukan melalui pemotongan bantuan wang itu.
Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A Ghani, berkata peringatan dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini sudah jelas dan tidak sepatutnya timbul masalah berkaitan pemberian wang bantuan itu membabitkan oleh ibu bapa dan pengurusan sekolah.
Beliau berkata, Jabatan Pelajaran Negeri juga sudah memberikan taklimat kepada pihak berkaitan termasuk Pejabat Pelajaran Daerah, guru besar dan pengetua sekolah mengenai penyaluran wang bantuan terbabit kepada ibu bapa, sebelum dilaksanakan pada 14 November lalu.
“Tatacara pembahagian wang bantuan persekolahan RM100 ini sudah dikeluarkan dan pihak sekolah perlu ikut arahan dikeluarkan kementerian.
“Jika ada hutang, sekolah perlu ikut tatacara kewangan iaitu sekiranya ibu bapa berhutang, pengurusan (sekolah) perlu menulis surat rasmi kepada mereka dan memohon pembayaran hutang. Bukan memotong bantuan RM100 ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Berita Harian Online: 21 November 2011
Ahad, 20 November 2011
Tiada cadangan selaras yuran PIBG
PONTIAN - Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang cadangan untuk menyelaraskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara.
Bagi menyelaraskan yuran berkenaan, kajian terperinci perlu dilaksanakan untuk memastikan mekanisme yang diwujudkan nanti benar-benar berkesan dan boleh dilaksanakan.
Beliau berkata, yuran PIBG yang dikenakan di setiap sekolah kini dibuat berdasarkan keadaan semasa sekolah dan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun selain mengambil kira kemampuan setiap ibu bapa di sekolah tersebut.
"Yuran PIBG di setiap sekolah itu dibuat menerusi mesyuarat dan keputusan itu perlu diperakui atau disahkan oleh pengetua sekolah atau guru besar selepas menerima maklum balas daripada ibu bapa.
"Sekiranya tidak setuju, mereka boleh menyuarakannya dalam mesyuarat PIBG," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Sekolah Cemerlang Parlimen Pontian di Dewan Sultan Ibrahim, di sini semalam.
Oleh yang demikian beliau menasihati ibu bapa agar menghadiri setiap mesyuarat PIBG yang diadakan.
Berdasarkan rekod Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), yuran PIBG sekolah kebangsaan ialah di antara RM50 hingga RM100 manakala bagi sekolah menengah pula sebanyak RM100 hingga RM300.
Kosmo Online: 20 November 2011
Guru lempar wang
asmaini@nstp.com.my
PAGOH: “Saya terkejut kerana guru besar sanggup melemparkan wang RM26 di depan kami dan melayan seperti pengemis, sedangkan kami ke sekolah kerana mahu menuntut hak anak mendapat RM100 seperti mana diterima pelajar lain,” kata Azman Salleh, 38, bapa seorang murid yang kecewa wang pemberian kerajaan kepada anaknya dipotong tanpa alasan munasabah.
Menurut Azman, anaknya, Ainul Akmal, 8, hanya menerima RM56 kerana pengurusan sekolah memotong RM44 dengan alasan untuk melunaskan hutang buku rampaian.
Potongan itu memeranjatkan Azman dan isteri, Norizan Mohd Mustafa, 38, kerana apa diketahui mereka, tiada sebarang hutang buku yang masih belum dilunaskan.
Azman berkata, Selasa lalu dia pergi ke sekolah untuk mengambil wang seperti diarahkan tetapi terkejut apabila hanya menerima separuh daripada jumlah asal.
Katanya, dia ada bertanyakan guru mengenai hutang dimaksudkan tetapi tidak mendapat jawapan meyakinkan. “Pengurusan sekolah memaklumkan hutang buku rampaian Ainul tahun ini belum dijelaskan sedangkan saya dan isteri sudah membayarnya.
“Lebih pelik, anak saya juga tidak pernah mendapat buku rampaian dimaksudkan sehingga tamat persekolahan tahun duanya.
“Jika benar kami masih mempunyai hutang, mengapa pengurusan sekolah tidak mengeluarkan sebarang surat untuk memaklumkan perkara itu sebelum ini?” katanya.
Tidak puas dengan penjelasan itu, Azman berkata, dia sekali lagi pergi ke sekolah berkenaan, semalam, namun kecewa apabila guru besar melayannya seperti pengemis selain mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan mereka sekeluarga.
Katanya, kejadian berlaku di pejabat itu turut disaksikan isteri, kerani dan kakitangan sekolah berkenaan.
“Saya meminta secara elok baki duit anak kerana Ainul tidak pernah mendapat buku rampaian dimaksudkan.
“Namun, guru besar itu tiba-tiba melenting dan mengeluarkan duitnya sendiri sebanyak RM26 sebelum melemparkannya kepada kami.
“Saya begitu terkejut dengan tindakannya itu. Inikah sikap seorang guru yang selama ini diagungkan sebagai pendidik bangsa?” katanya yang membuat laporan polis pada hari sama.
myMetro: 20 November 2011
Sabtu, 19 November 2011
Pulangkan duit jika tidak dituntut
| SERAMAI 5.3 juta pelajar di seluruh negara telah mula menerima wang bantuan persekolahan sebanyak RM100 setiap seorang sejak Rabu lalu. - Gambar hiasan |
KUALA LUMPUR - Pihak sekolah diarahkan mengembalikan semula wang bantuan persekolahan RM100 kepada kerajaan sekiranya wang terbabit tidak dituntut oleh ibu bapa pelajar di sekolah anak-anak mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ibu bapa juga boleh membuat pilihan sama ada untuk menerima bantuan itu atau berhasrat untuk menyumbang kepada pihak sekolah.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ibu bapa perlu membuat tuntutan ke atas wang berkenaan di sekolah anak-anak mereka sebelum membuat keputusan untuk menyumbang kepada sekolah.
"Kalau di sekolah itu ada ibu bapa pelajar yang kata tidak memerlukan (bantuan) dan sebagainya, itu tidak apa. Kita sudah arahkan kepada sekolah, kalau ada lebihan, mereka pulangkan kepada kementerian dan wang itu akan masuk balik dalam tabung kerajaan. Itu duit kerajaan.
"Terserah kepada ibu bapa (untuk ambil atau tidak) kerana tujuan kita hendak kurangkan beban sebab awal tahun ibu bapa nak belanja beli kasut dan sebagainya. Kalau ibu bapa kata dah mampu dan ada kemudahan lain dan fikir nak sumbangkan, ibu bapa kena ambil dahulu duit itu," katanya selepas majlis perasmian Hari Unesco Malaysia di sini semalam.
Kosmo Online: 19 November 2011
Jumaat, 18 November 2011
Kementerian tak ambil tindakan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap sebuah sekolah rendah di Keramat di sini yang didakwa memotong RM50 daripada wang bantuan persekolahan RM100 yang diberikan kerajaan kepada pelajar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekolah berkenaan sebaliknya hanya akan diberi nasihat berhubung perkara itu.
“Kami sudah maklumkan bahawa wang itu mesti diserahkan dulu kepada pelajar, jika ada bayaran lain biasa dikenakan jangan dibuat sekarang, tapi perlu diadakan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk dibincang bersama-sama,” katanya.
“Kalau ibu bapa bersetuju kemudian itu soal lain, sementara ini biarlah pelajar itu seronok terima duit ini,” katanya ketika kunjungan ke Sekolah Kebangsaan Sentul 1, di sini bagi meraikan pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah itu, semalam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Datuk Khairil Awang berkata, beliau sudah menghubungi guru besar sekolah itu yang bersetuju memansuhkan pemotongan dan akan mengembalikan wang itu, kelmarin.
myMetro: 18 November 2011
Khamis, 17 November 2011
Wang RM100 hak pelajar, keluarga
| GURU besar Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, Azma Senun bersama pelajar-pelajar menunjukkan replika cek dan wang bantuan persekolahan RM100 di Kuala Terengganu semalam. |
KUALA LUMPUR – Semua pihak diingatkan jangan sesekali memotong wang bantuan persekolahan sebanyak RM100 yang diagihkan kepada 5.3 juta pelajar di seluruh negara seperti yang diputuskan dalam Bajet 2012.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika pihak sekolah atau PIBG membuat potongan terhadap wang bantuan itu, ia perlu dikembalikan segera kepada pelajar terbabit.
“Tindakan (memotong duit bantuan) itu tidak wajar kerana kerajaan telah memutuskan bahawa ia adalah hak pelajar dan keluarga mereka,” kata beliau yang juga Menteri Pelajaran pada sidang akhbar selepas majlis Sepetang Bersama Belia Wilayah Persekutuan di sini semalam.
Kosmo Online: 17 November 2011
Rabu, 16 November 2011
Jangan Potong Duit Bantuan RM100, Kata Muhyiddin Kepada PIBG
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, meminta mana-mana PIBG yang berbuat demikian supaya segera memulangkan wang yang dipotong itu kepada pelajar berkenaan.
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar, beliau berkata ia tidak seharusnya berlaku kerana kerajaan telah memutuskan bantuan itu adalah untuk diagihkan sepenuhnya kepada pelajar dan keluarga mereka.
"Kita minta kerjasama pentadbiran sekolah untuk pastikan bantuan RM100 ini diberikan sepenuhnya, jangan kurang satu sen pun...ini keputusan kerajaan.
"Kita tidak mahu nanti timbul salah faham dan ada pihak yang menyalahkan kerajaan kerana dikatakan `cakap lain, buat lain'," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Belia Wilayah Persekutuan sempena program turun padang sehari beliau ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu.
Sebanyak RM550 juta diperuntukkan oleh kerajaan bagi melaksanakan program wang bantuan persekolahan itu, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada Oktober lepas.
Isu potongan bantuan itu dibangkitkan seorang bapa pada sesi soal jawab bersama Muhyiddin pada majlis itu, yang mendakwa PIBG sebuah sekolah rendah di sini memotong RM50 daripada bantuan itu.
Dalam jawapannya, Muhyiddin berjanji akan menyiasat perkara itu.
"Perdana Menteri sudah sebutkan, Timbalan Perdana Menteri pun sudah beritahu, dapat RM100, kenapa bawa balik RM50?. Ini adalah komitmen Perdana Menteri hendak tolong rakyat, hendak ringankan beban mereka, jadi kalau dah awal-awal dipotong. makin terbebanlah rakyat.
"Jika ada apa-apa bayaran, itu kemudianlah, bagi dulu RM100 tu. Kalau selepas ini PIBG hendak minta apa-apa bayaran, itu soal lain. Ini duit yang telah diberikan oleh kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA: 16 November 2011
Bantuan RM100 Boleh Lagi Dituntut Selepas Minggu Ini
Sambil menolak dakwaan kononnya wang itu akan dipulangkan kepada kerajaan jika ia tidak dituntut dalam minggu ini, beliau berkata bantuan itu akan tetap dikeluarkan pada masa lain termasuk cuti sekolah sekiranya ia dituntut kerana ia merupakan hak pelajar.
"Kita tekankan untuk beri pada minggu ini sebab kita nak kejar waktu persekolahan, jadi ibu bapa boleh datang bersama dan duit itu dapat digunakan untuk membeli keperluan persekolahan mereka. Sebab dah tak ada masa lagi sekolah nak beri pada ibu bapa dan murid-murid kerana nanti dah cuti sekolah.
"Jadi kalau tak dapat datang, mereka boleh tuntut dari pihak sekolah selepas itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 1Malaysia di sini pada Rabu.
Abdul Ghafar bagaimanapun menasihatkan ibu bapa agar segera menuntut bantuan itu bagi membolehkan persediaan untuk sesi persekolahan tahun depan termasuk membeli pakaian dan buku dapat disempurnakan secepat mungkin.
Beliau berkata mana-mana pihak yang tidak mahu menerima bantuan itu pula perlu memaklumkan kepada pihak sekolah untuk memulangkannya.
Mengenai kebenaran untuk melanjutkan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ke sekolah menengah, Abdul Ghafar berkata pihak sekolah akan menentukan sama ada untuk menyediakan kemudahan tersebut dengan mengambil kira pandangan dan kesediaan ibu bapa dan pelajar.
Beliau berkata sekiranya sekolah di mana pelajar berkenaan didaftarkan tidak dapat menyediakan kemudahan itu, pelajar yang masih ingin meneruskan aliran itu dibenarkan untuk menukar sekolah dengan dibantu oleh pasukan petugas yang diwujudkan di peringkat Pejabat Pelajaran Daerah masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA: 16 November 2011
Ahad, 13 November 2011
Guru besar boleh minta polis iringi wang bantuan
ALOR SETAR 12 Nov. - Guru besar dan pengetua sekolah boleh meminta bantuan anggota polis bagi mengiringi mereka membawa wang bantuan khas awal persekolahan yang dikeluarkan dari bank ke sekolah untuk diagihkan kepada pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, langkah itu boleh diambil jika jumlah wang bantuan khas itu dibawa dalam kuantiti yang besar memandangkan jumlah pelajar yang ramai di sesebuah sekolah.
"Jika sebuah sekolah ada 2,000 pelajar, maknanya sekolah itu akan membawa pulang wang tunai RM200,000 ke sekolah jadi kementerian telah berbincang dengan pihak polis agar mengiringi mereka ketika wang itu dibawa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Wisma Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kedah di Jalan Pegawai, di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden NUTP, Hashim Adnan dan Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.
Ka Siong mengulas langkah kerajaan mengagih wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 seorang kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara seperti diumumkan dalam Bajet 2012 melalui akaun sekolah masing-masing.
Ka Siong berkata, para pengetua diminta mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya dan tidak perlu berasa bimbang hendak menguruskan wang berkenaan.
Selain itu, beliau berkata, bantuan wang tersebut dijangka mula diagihkan di Sabah dan Sarawak pada minggu depan.Utusan Malaysia Online: 13 November 2011
Sabtu, 12 November 2011
RM100 sebelum cuti
Oleh Nor Fariza Ramlan dan Norhidayah Che Din
2011/11/12
KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan sekolah akan mengeluarkan surat pekeliling kepada setiap ibu bapa atau penjaga meminta mereka hadir pada tarikh ditetapkan bagi pengagihan wang bantuan persekolahan RM100 seorang yang diberikan kerajaan.
Pengagihan wang yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin, akan diterima secara tunai oleh setiap pelajar dengan ibu bapa atau penjaga perlu hadir bagi menerimanya.
“Pengagihan itu juga dijangkakan dapat dibuat sebelum sesi pembelajaran tamat 18 November ini supaya ibu bapa dapat membeli keperluan pelajar bagi sesi persekolahan 2012,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengenai pemberian bantuan kepada kira-kira 5.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah yang sudah mula disalurkan ke akaun sekolah masing-masing bermula kelmarin.
Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, pula berkata proses pengagihan patut diberi masa sehingga tiga hari bagi memastikan ibu bapa dapat mencari kelapangan untuk menghadirkan diri ke sekolah.
Sementara itu, ibu bapa dan pelajar yang ditemui semalam, mengalu-alukan pemberian itu yang disifatkan tepat masanya ketika ibu bapa memulakan perancangan perbelanjaan bagi sesi persekolahan akan datang.
Berita Harian Online: 12 November 2011