Memaparkan catatan dengan label Cuti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cuti. Papar semua catatan

Jumaat, 10 Ogos 2012

16, 17 Ogos cuti berganti persekolahan sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Jemaah Menteri bersetuju supaya 16 dan 17 Ogos ditetapkan sebagai cuti berganti persekolahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 19 Ogos.
Perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet Rabu lepas, kata Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran membenarkan sekolah untuk memohon cuti berganti melalui pendaftar masing-masing untuk kelulusan.
Bagi tujuan penyelarasan, kementerian mencadangkan supaya cuti berganti persekolahan 16 Ogos diganti pada Sabtu, 8 September manakala cuti berganti 17 Ogos diganti pada Sabtu, 22 September. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 10 Ogos 2012

Jumaat, 3 Ogos 2012

Sekolah cuti awal Aidilfitri

Kementerian Pelajaran menetapkan Jumaat 17 Ogos depan sebagai cuti berganti sempena Aidilfitri untuk sekolah di negeri yang cuti hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad. Pihak sekolah dicadangkan menggantikan cuti berkenaan pada Sabtu 22 September.

Kementerian tidak bercadang membenarkan cuti berganti pada 15 dan 16 Ogos seperti didesak beberapa pihak.
Surat siaran mengenainya yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Sufa‘at Tumin, sudah dihantar kepada semua Jabatan Pelajaran negeri kelmarin untuk tindakan lanjut.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, pula berkata cuti pada Jumaat itu untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai pulang ke kampung menyambut Aidilfitri yang dijangka pada Ahad 19 Ogos.

Bercakap kepada BH semalam, beliau bagaimanapun berkata, kementerian tidak bercadang membenarkan cuti berganti pada 15 dan 16 Ogos seperti didesak beberapa pihak.

Beliau diminta mengulas cadangan orang ramai supaya sekolah diberikan cuti awal bagi memudahkan murid pulang kampung untuk berhari raya bersama keluarga. Mereka mengemukakan cadangan itu menerusi panggilan telefon dan laman Facebook BH.
NUTP anggap keputusan tepat

Dalam surat siaran Bilangan 25/2012 itu, kementerian tidak menyelaras cuti berganti Aidilfitri kerana perayaan diraikan dalam cuti pertengahan penggal kedua. Ini bermakna cuti ganti hanya untuk sekolah di negeri Kumpulan B, iaitu hujung minggu Sabtu dan Ahad.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan berkata kementerian membuat keputusan tepat memberi cuti ganti pada 17 Ogos.

Katanya, ini memudahkan orang ramai merancang program balik kampung tanpa perlu meredah kesesakan lalu lintas yang teruk berbanding menjelang perayaan.

Beliau berkata, ada keluarga sanggup memulakan perjalanan pada jam 11 malam walaupun ia tidak sesuai kerana penat dan mengantuk yang mendedahkan mereka kepada kemalangan jalan raya.

Berita Harian: 3 Ogos 2012:

Rabu, 1 Ogos 2012

Guru mohon cuti khas raya 17 Ogos

SEBAGAI warga sekolah di Lembah Klang, kami amat berharap agar kerajaan mempertimbangkan pemberian cuti khas atau membenarkan cuti peristiwa diambil oleh sekolah pada Jumaat 17 Ogos 2012 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ini kerana kebanyakan warga kota, khasnya guru, berasal dari negeri di luar Lembah Klang seperti negeri di utara, timur dan selatan Semenanjung Malaysia.
Sekiranya sekolah tidak bercuti pada 17 Ogos, semua warga sekolah dan kakitangan awam yang lain akan bertolak serentak pulang ke kampung halaman pada petang dan malam hari Jumaat serta pada pagi hari Sabtu. Ini sudah tentu mengundang kesesakan jalan raya yang terlampau.
Di samping itu, dengan limpahan kenderaan di jalan raya akan mengundang kemalangan pula kerana masing-masing bersaing untuk sampai cepat ke destinasi memandangkan raya semakin hampir.
Sekiranya Jumaat masih dikira sebagai hari bersekolah, bagaimana dengan sekolah yang mempunyai dua sesi di mana sesi petangnya berakhir pukul 5.30 petang. Tidak mustahil pada hari tersebut ramai guru yang mengambil cuti sakit semata-mata untuk pulang ke kampung lebih awal. Jika ini berlaku, sesi persekolahan pada petang itu akan terjejas.
Selain itu, cuti pada hari Jumaat sepatutnya diberikan pada sekolah memandangkan sekolah tidak mengambil cuti sempena hari raya ini iaitu selama dua hari, kerana kebetulan cuti hari raya jatuh semasa cuti sekolah. Oleh itu jumlah waktu bersekolah yang sepatutnya bagi semua sekolah adalah mencukupi, malah mungkin sudah melebihi jumlah maksimum yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Oleh itu, besarlah harapan kami warga sekolah agar permohonan kami ini mendapat perhatian dan dipertimbangkan.
Harapan kami juga agar makluman mengenai cuti ini dapat diumumkan lebih awal untuk memudahkan urusan kami membuat tempahan tiket dan merancang perjalanan.

Utusan Malaysia Online: 1 Ogos 2012

Selasa, 20 Mac 2012

Kementerian siasat dakwaan guru tak dapat cuti 90 hari

2012/03/20

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menyiasat dakwaan CUEPACS bahawa sebilangan besar penjawat awam wanita, khususnya mereka yang berkhidmat di sektor pendidikan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cuti bersalin 90 hari.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata isu itu tidak seharusnya timbul terutama di kalangan guru kerana peruntukkan cuti bersalin 90 hari adalah hak mereka dan ketua jabatan tidak boleh sewenang-wenangnya menolak atau memotong tempoh cuti berkenaan.
“Isu ini tidak seharusnya timbul kerana apabila guru memohon cuti, pihak sekolah selalunya akan menyediakan guru ganti bagi meneruskan kerja mereka sepanjang tempoh cuti bersalin.

“Kementerian akan menyiasat dakwaan CUEPACS itu bagi menentukan sama ada isu berkenaan benar-benar timbul,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, semalam.

Kelmarin, Setiausaha Agung CUEPACS, Lok Yim Pheng mendakwa sebilangan besar penjawat awam wanita, khususnya mereka yang berkhidmat di sektor perguruan dan kejururawatan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cuti bersalin 90 hari seperti diperuntukkan.

Yim Pheng berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada guru dan jururawat yang mendakwa permohonan cuti bersalin mereka ditolak oleh ketua jabatan masing-masing.

CUEPACS kecewa dengan tindakan sedemikian kerana alasan yang sering diberikan oleh ketua jabatan ialah berlaku kekurangan tenaga kerja untuk menggantikan mereka bagi tempoh 90 hari.
Mohd Puad berkata, kementerian akan menghubungi CUEPACS bagi mendapatkan bukti mengenai dakwaan itu.

Berita Harian Online: 20 Mac 2012

Isnin, 19 Mac 2012

Sukar dapat cuti bersalin 90 hari

Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
2012/03/19

CUEPACS terima banyak aduan permohonan guru, jururawat ditolak

KUALA LUMPUR: CUEPACS mendakwa sebilangan besar penjawat awam wanita, khususnya mereka yang berkhidmat di sektor perguruan dan kejururawatan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cuti bersalin 90 hari yang diperuntukkan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata pihaknya secara berterusan menerima banyak aduan daripada guru dan jururawat yang mendakwa permohonan cuti bersalin mereka ditolak oleh ketua jabatan masing-masing.

Beliau berkata, CUEPACS amat kecewa dengan tindakan sedemikian kerana alasan yang sering diberikan oleh ketua jabatan ialah berlaku kekurangan tenaga kerja untuk menggantikan mereka dalam tempoh 90 hari itu.

“CUEPACS mempunyai bukti dan kita bukannya membuat sebarang dakwaan..., ada di antara mereka yang memohon 90 hari cuti tetapi hanya mendapat kelulusan cuti 60 hari, alasan sering diberikan oleh ketua jabatan ialah berlaku kekurangan kakitangan untuk ganti mereka.

“Alasan seperti ini tidak boleh diterima kerana ia menafikan hak penjawat awam wanita memperoleh tempoh cuti bersalin yang diperuntukkan kepada mereka..., ada segelintir guru dan jururawat tertekan dengan perkara ini,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Yim Pheng berkata, CUEPACS baru-baru ini juga mengadakan pertemuan bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membincangkan perkara itu.
“Kita tidak bersetuju dengan tindakan segelintir ketua jabatan yang bertindak mengurangkan tempoh cuti bersalin sedangkan penjawat awam wanita berhak untuk mendapat 90 hari cuti bersalin.

“Oleh demikian, pada pertemuan bersama pihak kementerian itu kita ada membangkitkan perkara ini supaya tindakan sedemikian tidak berulang kembali lagi sehingga memberi tekanan kepada penjawat awam wanita,” katanya yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Berita Harian Online: 19 Mac 2012

Sabtu, 31 Disember 2011

Kaji semula tempoh cuti persekolahan

2011/12/31

CUTI sekolah memang menyeronokkan tetapi kepada golongan yang kurang mampu agak membebankan. Saya rasa cuti akhir tahun sejak beberapa tahun ini agak terlalu lama berbanding sebelumnya. Cuti untuk 2012 akan bermula 10 November 2012 dan berakhir 31 Disember 2012. Ini bermakna cuti lebih dari 1 1/2 bulan.

Saya lebih suka kalau anak saya pergi ke sekolah setiap hari bukan saja belajar tetapi dapatlah mereka bertemu dengan rakan serta guru.
Selain cuti akhir tahun terdapat juga cuti penggal iaitu setiap tiga bulan. Juga akan ada cuti selama 1 hingga2 minggu termasuk cuti peristiwa atau perayaan.
Cuti perayaan biasanya pihak sekolah akan dipanjangkan dan akan diganti pada Sabtu dan biasanya sekolah ganti pada Sabtu hanya diisi dengan aktiviti padang atau persembahan di dewan saja.

Bagi ibu bapa yang mampu cuti yang panjang ini akan diisi dengan makan angin, tetapi bagi yang tidak mampu anak-anak terpaksa duduk di rumah dan menonton televisyen atau bermain video. Lagipun zaman sekarang ini sudah jarang sangat orang menghantar anak balik ke kampung sebab anak-anak akan bosan duduk di kampung kerana tiada kemudahan seperti di bandar. Oleh kerana ibu bapa terpaksa bekerja anak-anak pula ditinggalkan bersendirian di rumah. Apa yang saya nampak, kebanyakan cuti sekolah ini adalah medan untuk anak-anak melepak, merayau dan berpeleseran di kawasan kedai, taman dan kafe internet (bagi yang tiada kemudahan internet di rumah). Ini akan menggalakkan gejala sosial dalam kalangan kanak-kanak kerana ibu bapa tidak akan dapat memantau anak mereka setiap masa kerana bekerja.

Saya berharap sangat sekiranya pihak kementerian pelajaran dapat meneliti serta membuat kajian mengenai tempoh cuti persekolahan yang terlalu banyak setiap tahun dan sangat lama itu.

UTAMAKAN PELAJARAN, Kuala Lumpur.

Berita Harian Online: 31 Disember 2011

Isnin, 21 November 2011

Staf sokongan tak kerja masa cuti sekolah

2011/11/21

SAYA tertanya-tanya sama ada jawatan Ahli Kakitangan Sokongan (AKS) seperti Pembantu Tadbir (kerani), Pembantu Pengurusan Murid (PPM) serta Kakitangan Am yang ditempatkan di kebanyakan sekolah rendah dapat meringankan beban tugas guru ataupun tidak. Kenyataan ini mungkin agak mengelirukan tetapi mungkin ada baiknya dikongsi bersama sebagai teladan.

Kebanyakan sekolah rendah mempunyai asrama harian khasnya di daerah terbesar di Sarawak iaitu Daerah Baram mempunyai cukup kakitangan AKS yang ditugaskan membantu guru menjaga kebajikan murid dari tahun 1 hingga tahun 6 di sekolah rendah berasrama. Bagaimanapun jawatan ini seolah-olah melepaskan batuk di tangga kerana tidak dapat menyumbangkan tugas dan bakti sepatutnya di sekolah.
Perkara pertama cuti sekolah, setahu saya cuti sekolah ialah cuti untuk murid-murid dan guru walaupun guru boleh dipanggil bertugas ketika cuti. Apa yang dikesalkan, kebanyakan sekolah di daerah itu terdapat sebilangan besar kakitangan AKS sibuk bercuti sedangkan mereka mempunyai cuti tahunan 30 hari dan perlu berada di sekolah ketika cuti sekolah. Apa yang dihairankan, staf sokongan di Semenanjung Malaysia sememangnya berada di sekolah pada waktu cuti sekolah, di sini senarionya berbeza.
Perkara kedua tugas harian PPM, merujuk bidang tugas skim perkhidmatan Pembantu Pengurusan Murid Gred N17, umumnya menjaga hal ehwal murid sekolah rendah dari semua aspek pengurusan diri di asrama, tatatertib murid, melayani keperluan murid yang sakit serta mengawasi keselamatan murid asrama.

Apa yang berlaku di kebanyakan sekolah, murid dibiarkan di kelas ketika waktu senggang selepas waktu persekolahan, manakala PPM berada di bilik khas mereka sambil melayari internet di komputer riba masing-masing.

Perkara ketiga kebajikan murid, kebanyakan PPM selalu terlepas pandang terhadap kebajikan murid terutama dari segi penyakit biasa dan juga kebersihan pakaian murid.

Ini yang menjadi persoalan saya kerana masih terdapat murid tidak memakai pakaian bersih ataupun kebersihan diri tidak terjaga.
Akhir kata, usaha Kementerian Pelajaran membantu mengurangkan beban tugas guru tidak kesampaian jika sikap staf sokongan yang diambil bekerja tidak membantu untuk mengurangkan beban guru.

CIKGU BIASA,
Baram, Sarawak

Berita Harian Online: 21 November 2011

Khamis, 28 Julai 2011

Guru bersalin tidak diganti jejas proses pelajaran anak

2011/07/28

JADUAL persekolahan kini memasuki penggal kedua. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi murid Tingkatan Tiga, Lima dan prauniversiti akan menghadapi peperiksaan besar yang akan menentukan hala tuju hidup mereka.

Satu perkara yang ingin saya utarakan dan diharap Jabatan Pelajaran Negeri atau Kementerian Pelajaran mengambil tindakan segera ialah guru ganti bagi guru yang cuti bersalin.
Mengikut pengamatan saya di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur, ada lebih daripada lima guru cuti bersalin dan terdapat tiga atau empat orang lagi yang menunggu masa untuk bersalin. Malang sekali bagi sekolah berkenaan kerana tiada guru ganti yang disediakan bagi guru yang akan cuti bersalin.

Apabila soalan diajukan kepada pihak sekolah, mereka menyatakan pihak jabatan tiada peruntukan untuk membayar gaji guru ganti. Kenapa tiada peruntukan untuk pendidikan anak? Jika kita perhatikan banyak peruntukan kerajaan dibelanjakan untuk sektor lain yang pada perkiraan saya tidak sepenting pendidikan.

Yang menjadi mangsa ialah anak kami yang akan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi sedangkan sesi persekolahan penggal dua baru bermula. Guru bersalin pula mengambil cuti selama tiga bulan.

Banyak topik belum diajar kepada murid. Guru yang cuti bersalin akan memulakan tugas mereka paling awal pada September dan pada masa itu peperiksaan percubaan sudah bermula.

Pelajar diberi guru sementara untuk mengawal kelas dan kalau ada pun guru ganti yang mengajar kelas mereka, guru terbabit turut dibebani dengan tugas lain yang terpaksa dipikul.
Saya berharap Kementerian Pelajaran boleh mempertimbangkan pengambilan guru ganti bagi guru yang bersalin agar proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan lancar.

NORIAH HARUN,
Selayang Baru, Batu Caves

Berita Harian Online: 28 Julai 2011

Sabtu, 18 Jun 2011

Cikgu boleh pilih tempoh cuti bersalin

2011/06/18

KEMENTERIAN Pelajaran merujuk kepada surat ‘Fadlina Othman’ dari Melaka bertajuk ‘Guru keliru peruntukan cuti bersalin’ yang disiarkan pada 3 Jun lalu. Adalah dimaklumkan bahawa cuti bersalin bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan Anggota Khidmat Sokongan, Jabatan Pelajaran Melaka (JPM) tertakluk Pekeliling Perkhidmatan Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam Bilangan 14 tahun 2010.

Surat siaran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran 3 Mac lalu menjelaskan bahawa tempoh cuti bersalin diputuskan melalui rundingan dan kelulusan Ketua Jabatan serta tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan.
Ketua Jabatan bertanggungjawab menimbang pemberian cuti bersalin dengan mengambil kira kebajikan pegawai dan memastikan kepentingan perkhidmatan tidak terjejas.

Pegawai diberi fleksibiliti menentukan sendiri tempoh cuti bersalin antara 60 hari hingga 90 hari bagi setiap kelahiran. Jabatan Pelajaran Melaka menerima waran daripada kementerian untuk guru ganti yang dibahagikan ke setiap Pejabat Pelajaran Daerah negeri Melaka yang menguruskan guru ganti.

JPM melantik guru ganti bagi memastikan urusan pengajaran dan pembelajaran murid tidak terganggu.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia

Berita Harian Online:18 Jun 2011

Ahad, 17 April 2011

Cikgu Maarof ditukar

Oleh HAMDAN TAWADI
utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 16 April - Maarof Abd. Mutalib (gambar), suami kepada calon Pas dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, 30 Januari lalu diarahkan bertukar ke sekolah lain selepas didapati menyalahgunakan cuti sakit untuk berkempen bagi pihak isterinya.

Maarof yang dilihat membantu isterinya, Normala Sudirman berkempen pada pilihan raya kecil itu dengan mengambil cuti sakit selama 21 hari, diarahkan bertukar berkuat kuasa 1 April lalu ke sebuah sekolah menengah di daerah lain di negeri ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Maarof turut melakukan satu lagi kesalahan serius iaitu mengingkari peraturan yang tidak membenarkan seorang guru terlibat dalam kempen pilihan raya.

"Sebagai seorang guru beliau tidak sepatutnya terlibat dalam kempen pilihan raya. Jadi dua kesalahan besar.

"Apa yang saya difahamkan, kita sudah ambil tindakan dengan menukarkan beliau ke tempat lain, keterangan lanjut kena tanya Pengarah Pelajaran Negeri," katanya selepas Majlis Juara Rakyat di Taman Sri Penggaram, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri, Markom Giran ketika dihubungi mengesahkan arahan pertukaran Maarof itu.

Pada pilihan raya kecil itu, Normala tewas kepada calon Barisan Nasional, Mohd. Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi.

Utusan Malaysia Online: 17 April 2011

Sabtu, 12 Mac 2011

Ada sekolah ingkar arahan cuti Sabtu

2011/03/12

MERUJUK kepada jawapan mengenai cuti Sabtu serta Ahad oleh Unit Komunikasi dan Korporat, Kementerian Pelajaran dalam ruangan ini bertarikh 17 Ogos tahun lalu. Jelas bahawa minggu pertama dan ketiga tidak dibenarkan kakitangan kerajaan mengadakan program.

Kementerian juga menegaskan bahawa tindakan boleh diambil kepada pihak pengurusan sekolah yang ingkar mematuhi arahan itu.
Walaupun kementerian sudah mengeluarkan surat arahan terbabit kepada Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah agar mematuhi Arahan Pekeliling Pentadbiran berkaitan cuti Sabtu yang diwartakan, masih ada pengetua tidak mematuhi arahan itu.

Sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Skudai menggunakan hampir tiga kali Sabtu pada setiap bulan tahun lalu untuk memaksa guru bertugas.

Bagi tahun ini saja aktiviti sekolah dijalankan pada 12, 19 dan 26 Februari, manakala pada 5 Mac aktiviti berjalan daripada 8 pagi sehingga 6.30 petang.
Sabtu minggu pertama dan ketiga dapat dimanfaatkan kerana suami atau isteri sering bertugas pada Sabtu. Mohon dapat disiasat perkara ini.

PG,
Johor Bahru

Berita Harian Online: 12 Mac 2011

Selasa, 15 Februari 2011

Apa jadi kisah 'MC' Cikgu Maarof

PILIHAN raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang sudah berlalu dan masyarakat di Labis telah kembali seperti sedia kala selepas kawasan tersebut dilanda banjir yang berlaku pada hari pengundian.

Namun demikian, isu besar yang berbangkit semasa pilihan raya terbabit masih belum selesai. Tentunya ramai yang mahu tahu perkembangan semasa berkaitan suami calon Pas, Cikgu Maarof Abd. Mutalib.

Sebelum ini tiada siapa pun yang mengenali Cikgu Maarof tetapi selepas isterinya Normala Sudirman bertanding sebagai calon Pas dalam pilihan raya Tenang, maka nama Cikgu Maarof mula menjalar sehinggakan saya melihat populariti beliau lebih banyak daripada Normala sendiri.

Malangnya satu demi satu keburukan terdedah sehinggakan profesion perguruan turut tercalar ekoran perlakuan mengaibkan seorang guru.

Media mendedahkan bahawa Cikgu Maarof mengambil cuti sehingga tiga sijil cuti sakit selama 21 hari sedangkan dalam masa yang sama dia dilihat siuman, sihat dan gembira bersama-sama jentera Pas.

Sebagai orang awam yang sayangkan anak bangsa, agama dan negara, saya meminta kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran mengambil tindakan berat ke atas Cikgu Maarof yang bukan hanya tidak mengambil endah berkaitan tugas malah sanggup menipu kononnya dia sakit.

Lebih teruk lagi dia tergamak berkempen bersama jentera Pas yang terang-terang untuk melawan kerajaan.

INGIN TAHU

Bukit Jalil, Selangor


Utusan Malaysia Online: 15 Februari 2011



Jumaat, 28 Januari 2011

Suami Normala sakit kritikal?



Maarof Abd. Mutalib (kiri) membantu isterinya, Normala Sudirman berkempen bagi Pilihan Raya Kecil DUN Tenang di Kampung Tenang, Labis, Johor, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Jan. - Status kesihatan Maarof Abd. Mutalib, suami kepada Normala Sudirman calon Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, menjadi persoalan kerana beliau dilaporkan mengambil cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini.

Perkara itu didedahkan menerusi sebuah blog, http://marahku.blogspot.com/ yang mendakwa Maarof mengambil cuti sakit selama dua hari pada 6 dan 7 Januari dari Pusat Perubatan Keluarga di Jalan Segamat, Labis, Johor.

Ia diikuti dengan cuti sakit selama dua minggu bermula 10 hingga 23 Januari yang dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Bandar Putra, Segamat dan tambahan cuti lima hari lagi yang diperoleh dari pusat kesihatan sama.

Ketiga-tiga salinan surat sakit yang dikeluarkan kepada Maarof itu turut dimuat naik ke dalam blog tersebut menerusi entri bertajuk 'PRK Tenang: Normala's cheating husband has been keeping secrets from her' yang disiarkan semalam.

Menurut penulis blog itu, cuti sakit yang panjang tersebut membayangkan Maarof sedang berdepan masalah kesihatan yang serius.

''Saya bertanyakan rakan yang merupakan seorang doktor, apakah penyakit yang memerlukan seseorang mengambil cuti sakit sehingga dua minggu dan dia (doktor) berkata, penyakit itu mestilah sangat serius dan berkemungkinan mengancam nyawa.

''(Sebab jika) demam hanya diberikan cuti sakit satu atau dua hari dan jangkitan mata pula paling lama hanya beberapa hari.

''H1N1 pula akan dikuarantin selama dua minggu. Mungkinkah beliau dijangkiti H1N1?.

''Saya tidak pasti tetapi selepas dua minggu, adalah jelas beliau masih tidak sihat untuk mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen dan doktor menambah lima hari lagi cuti sakit dari 24 hingga 28 Januari," katanya.

Tidak berpuas hati dengan perkara itu, penulis blog tersebut menambah, beliau membuat banyak rujukan, menyemak kamus perubatan, bercakap dengan ahli fizik dan pakar, malah, turut menulis kepada beberapa buah pusat kawalan penyakit.

Bagaimanapun tambahnya, kesemua usahanya itu menjurus kepada satu jawapan iaitu kesimpulan yang tidak dapat dijelaskan.

''Kami dengan sedih memaklumkan kepada Cikgu Mala (Normala) bahawa suaminya itu telah mengalami politicitis husbandus temperaturis permanantum atau juga dikenali sebagai election fever-candidate's husband strain 2 (EF-CHS2).

''Ia boleh menjadi penyakit yang kekal dan membunuh kariernya sebagai seorang guru," katanya dalam blog itu.

Penulis blog itu menambah, kelibat Maarof yang sentiasa kelihatan bersama Normala ketika berkempen sebelum ini telah menimbulkan pertanyaan di kalangan orang ramai mengenai pekerjaan sebenar beliau.

Antaranya, kata beliau, apakah Maarof bekerja sendiri atau merupakan seorang ahli politik sepenuh masa.

''(Sebenarnya) Maarof adalah seorang guru dan sangat jelas beliau sedang merahsiakan sesuatu daripada isterinya.

''Bukan rahsia kecil tetapi rahsia yang boleh merubah hidup," katanya.

Utusan Malaysia Online: 28 Januari 2011

Khamis, 27 Januari 2011

Suami ambil cuti teman Normala kempen

2011/01/27

LABIS: Suami calon PAS, Maarof Abd Mutalib, 45, berkata beliau memohon cuti semata-mata bagi menemani isterinya, Normala Sudirman berkempen sehingga selesai pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Guru Bahasa Melayu itu bagaimanapun enggan memaklumkan tempoh cutinya, sebaliknya sekadar memberitahu beliau memang sedang bercuti.

Malah, Maarof berkata, beliau sedia meletak jawatan jika isterinya menang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Ahad ini.
Ketika ditanya sama beliau bercuti sehingga habis kempen pilihan raya kecil itu, Maarof menjawab: “Insya-Allah... saya mahu menemani isteri berkempen”.

Katanya, beliau merestui serta menyokong penuh hasrat Normala bertanding apabila isterinya itu memberitahu dipelawa menjadi calon PAS.

“Malah saya rela letak jawatan jika beliau menang supaya dapat selalu berada di sisinya. Saya menemankan isteri berkempen bukan mahu mengambil kesempatan terhadap tumpuan diberikan masyarakat kepadanya tetapi lebih sebagai pemberi motivasi,” katanya.

Berita Harian Online: 27 Januari 2011

Ahad, 23 Januari 2011

Ponteng sekolah sebab cikgu tak mengajar

1
BERSEKOLAH pada hari Sabtu bukan berita gembira bagi murid dan juga ibu bapa. Guru-guru tak tahulah pula. Selepas lima hari bekerja dan bersekolah, kehadiran Sabtu dan Ahad sememangnya ditunggu-tunggu. Itulah hari untuk membasuh baju sekolah, kasut sekolah, bangun sedikit lewat berbanding hari biasa. Bila dapat pekeliling anak-anak perlu bersekolah pada Sabtu ada yang kelat wajah. Anak-anak apatah lagi, liat semacam terutama jika tahu telah ada perancangan untuk ke mana-mana.

Seorang teman menitip catatan sekolah hari Sabtu di Facebooknya. Dia yang juga seorang guru bertanya mungkinkah sekolah hari Sabtu ganti cuti Tahun Baru Cina akan mengulangi sejarah satu kelas satu murid. Satu guru mengajar satu murid.

Sebagai guru, tentunya sahabat itu amat arif perihal kehadiran murid setiap kali sekolah ganti diadakan pada Sabtu. Pasti kelas yang selalunya penuh dan riuh dengan pelbagai tata laku murid-murid agak sepi lantaran ramai yang ponteng. Ada ibu-bapa yang sengaja tidak mahu anaknya ke sekolah pada hari Sabtu. Alasannya mudah, mahu mencuci baju sekolah sekali gus pada pagi Sabtu. Lalu anak-anaknya diberi ‘pengecualian’ hadir ke sekolah atas alasan itu.

Ada juga murid tidak ke sekolah pada hari Sabtu kerana terikat dengan jadual ibu bapa. Oleh kerana ibu bapa telah membuat perancangan awal untuk bercuti atau menghadiri kenduri kahwin dan pelbagai majlis lagi, maka anak-anak terpaksa akur.

Boleh saja diandaikan ramai ibu bapa yang tidak peka tentang sekolah ganti pada hari Sabtu. Ada juga yang merungut setiap kali dimaklumkan tentang jadual persekolahan pada Sabtu. Bagi mereka cukuplah lima hari anak-anak bersekolah pagi dan petang (belum dicampur tuisyen pada waktu malam). Sabtu dan Ahad bagi kebanyakan ibu bapa adalah masa untuk bersama anak-anak biar pun dalam keadaan mana sekali pun. Kalau diberi cuti maka jangan minta diganti, kata mereka.

Mengajar

Ada juga ibu bapa yang berdisiplin mengikuti arahan sekolah atau pihak kementerian. Maka ‘berperanglah’ memujuk anak-anak bersekolah pada pagi Sabtu. Bukan mudah menyakinkan anak supaya bersekolah pada hari Sabtu. Apatah lagi jika adik beradik yang bersekolah di tempat lain tidak bersekolah. Mereka (anak-anak) ada alasan tersendiri untuk ponteng kelas. Alasan yang sering diberi cikgu tak mengajar. Kalau masuk kelas pun cikgu suruh buat kerja sendiri. Bila buat kerja sendiri faham-fahamlah, tentu ada rasa bosan. Nak buat bising takut cikgu ada di depan, nak baca buku, semestinya bukan itu pilihan mereka. Lalu apabila disuruh ke sekolah pada hari Sabtu tentu alasan tersebut meniti di bibir anak-anak. Ibu bapa pula apabila dengar cikgu tidak mengajar dan anak-anak tidak diajar maka cairlah hati mereka. Lalu termeterailah persetujuan bersama mengizinkan anak ponteng sekolah walaupun secara diam.

Yang pasti bersekolah pada Sabtu bagi menggantikan cuti peristiwa yang diambil oleh sekolah untuk menyambung cuti pendek sememangnya perlu. Tetapi sebagai guru yang berhadapan dengan cabaran dunia inovatif dan kreatif, apa kata wujudkan sedikit kelainan bagi hari persekolahan setiap Sabtu. Selain aktiviti biasa seperti merentas desa atau bersukan, tidak salah jika Sabtu dijadikan hari untuk mengenali alam semula jadi tanpa perlu pergi jauh. Jadikan kawasan sekeliling sekolah untuk bercakap tentang keindahan alam, pencemaran, kebersihan dan keselamatan. Aktiviti berkumpulan yang mencabar minda murid-murid sekali gus memberi nafas baru dalam pembelajaran secara tidak formal mesti dicetuskan oleh guru-guru. Apa kata Sabtu juga dijadikan hari untuk mengeratkan hubungan warga sekolah dengan penduduk di kawasan kejiranan terdekat. Terap nilai-nilai kejiranan, saling bantu-membantu, bekerjasama dan kenal-mengenali supaya persekolahan hari Sabtu menjadi umpama acara yang ditunggu-tunggu.

2
Bagi yang mengikuti kisah seorang pembaca yang terpaksa turun naik pejabat tanah dari Seremban ke Putrajaya dua minggu lepas, tentu tertanya-tanya apa kesudahannya.

Dalam luahan terbarunya, dia memberitahu akhirnya ‘nasib’ geran rumah ibu mertuanya diserahkan ke tangan peguam.

‘‘Sebabnya selepas pergi ke pejabat Tanah Seremban, saya diminta merujuk perkara itu kepada Wisma Persekutuan. Proses itu tidak berakhir di situ. Saya diberitahu selepas ke Wisma Persekutuan, saya kena kembali ke pejabat tanah dan ke Putrajaya semula.

‘‘Terlalu banyak ‘selepas itu’ dan ‘selepas itu’, menyebabkan saya jeran mahu mengunjungi pejabat-pejabat yang berkaitan dengan tuntutan geran rumah ibu mertuanya.

Berulang-alik

‘‘Bayangkan saya yang mempunyai sedikit wang berlebihan boleh menggunakan khidmat peguam untuk menyelesaikan masalah tersebut. Tetapi bagaimana pula orang susah atau orang kampung yang terpaksa berulang-alik ke pejabat-pejabat berkenaan yang bukan terletak di dalam satu negeri.

‘‘Apa jadi dengan kerja mereka? Bagaimana pula duit minyak dan tol untuk berulang-alik ke Putrajaya? Siapa pula yang hendak menguruskan anak-anak mereka? Adakah berbaloi berulang-alik tanpa mengetahui bilakah perkara tersebut dapat diselesaikan.

‘‘Saya juga tertanya-tanya sampai bila jabatan kerajaan masih terikat dan diikat dengan kerenah birokrasi ciptaan manusia. Jika Piagam Pelanggan menuntut segala urusan berkepentingan orang ramai diselesaikan secepat mungkin dengan mengetepikan kerenah birokrasi, kenapa pula kakitangan awam masih bersikap sambil lewa.

‘‘Adakah kerana saya rakyat marhaen maka mereka tidak kisah untuk buat begitu.’’

Utusan Malaysia Online: 23 Januari 2011

Isnin, 17 Januari 2011

Kementerian perjelas cuti peristiwa di Melaka

2011/01/17

KEMENTERIAN Pelajaran merujuk guru pencen yang disiarkan pada 25 Disember lalu bertajuk ‘Kerenah cuti peristiwa sekolah Melaka.’

Kementerian ini menjelaskan cuti peristiwa tidak bersambung dengan cuti hujung minggu. Cuti peristiwa dibenarkan diambil menyambung cuti hujung minggu biasa; contohnya cuti peristiwa yang diambil Jumaat kerana majlis rasmi sekolah pada petang Khamis. Cuti peristiwa tidak boleh diambil melangkaui hari selepas majlis, contohnya cuti peristiwa tidak boleh diambil pada hari Isnin sedangkan majlisnya Sabtu.

Cuti peristiwa ialah hari persekolahan yang tiada pembelajaran tetapi diadakan aktiviti kokurikulum.
Mengikut tafsiran cuti peristiwa dalam Peraturan-peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998, adalah hari yang tiada pendidikan dijalankan disebabkan oleh apa-apa perayaan atau majlis rasmi sekolah.

Ketika sambutan Aidiladha sekolah di Melaka tidak dibenar mengambil cuti khas dua hari walaupun kementerian sudah mengeluarkan surat pekeliling.

Arahan itu selaras dengan surat siaran Pejabat Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia KP/KPPM/s(69) bertarikh 27 Oktober lalu iaitu sekolah selain berasrama penuh (SBP), kekal bercuti seperti ketetapan asal (17 Oktober 2010 : Negeri Melaka dalam Kumpulan B).

Kementerian disaran supaya mengeluarkan garis panduan yang diselaraskan di setiap negeri. Kementerian mengeluarkan garis panduan berdasarkan Peraturan 1998.
Kadangkala tiada persamaan cuti peristiwa antara negeri kerana cuti peristiwa mesti mendapat kelulusan pendaftar sekolah negeri masing-masing berdasarkan kewajaran dan kepentingan murid.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 17 Januari 2010

Rabu, 5 Januari 2011

Kerenah 'cuti peristiwa' sekolah Melaka

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan takwim sesi persekolahan 2011. Pihak kementerian meneruskan pengurangan cuti penggal persekolahan selama seminggu sejak tahun 2010. Alasan yang diberikan supaya sekolah-sekolah dapat menggunakan kesemua cuti peristiwa yang diperuntukan empat hari setahun.

Namun demikian Jabatan Pelajaran Melaka lain pula gayanya berhubung cuti peristiwa ini. Pertama, cuti peristiwa yang diambil tidak boleh bersambung dengan cuti hujung minggu. Kedua, cuti peristiwa ialah hari itu merupakan hari tiada pembelajaran dan pengajaran, sebaliknya diadakan aktiviti seperti sukan sekolah, hari ko-kurikulum dan sebagainya.

Lazimnya, cuti peristiwa diadakan sehari selepas aktiviti itu diadakan. Sebagai contoh, jika hari Isnin diadakan sukan sekolah maka hari berikutnya boleh diambil sebagai cuti peristiwa. Hal ini tidak dibenarkan oleh pihak Jabatan Pelajaran Melaka.

Lebih malang lagi semasa sambutan Aidil Adha baru-baru ini, semua sekolah di Melaka tidak dibenarkan mengambil cuti khas dua hari, walaupun kementerian telah mengeluarkan surat pekeliling.

Lebih menyedihkan lagi, ada pengetua sekolah tidak mahu mengambil cuti peristiwa yang masih berbaki bagi perayaan Aidil Adha dengan alasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah hampir menyebabkan jumlah hari persekolahan 197 hari.

Oleh itu saya cadangkan Kementerian Pelajaran mengeluarkan garis panduan yang jelas dan diselaraskan dengan setiap negeri mengenai kaedah pemberian cuti peristiwa. Janganlah timbul perbezaan agak ketara antara negeri kerana ini menampakkan kepincangan walaupun kita di bawah satu bumbung.

GURU PENCEN

Melaka


Utusan Malaysia Online: 5 Januari 2011