Selasa, 30 November 2010

Pengawas Peperiksaan Keluar Kenyataan Berbaur Perkauman Digantung Tugas

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelajaran mengantung tugas seorang pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Jumaat, Lukut, Negeri Sembilan yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata Lembaga Peperiksaan Malaysia memaklumkan kepada beliau bahawa pengawas peperiksaan itu telah digantung tugas sehingga sebuah jawatankuasa khas selesai menjalankan siasatan.

"Jawatakuasa khas ini masih menjalankan siasatan. Guru terbabit juga tidak akan menerima sebarang elaun sepanjang tempoh penggantungannya," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen Selasa.

Beliau diminta mengulas usul yang dibawa anggota Parlimen Bakri Er Teck Hwa semalam mengenai tindakan pengawas peperiksaan itu mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman kerana calon peperiksaan SPM lewat masuk ke dewan peperiksaan pada 24 Nov lepas.

Usul itu bagaimanapun ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia semalam menerusi satu notis yang diedarkan di Parlimen hari ini kerana Kementerian Pelajaran telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengambil tindakan berhubung perkara tersebut.

Ditanya mengenai tindakan lain yang boleh dikenakan terhadap guru berkenaan, Wee berkata kementerian akan membuat pengumuman selepas selesai siasatan.



BERNAMA: 30 November 2010

Sabtu, 27 November 2010

Kurikulum Sejarah Perlu Dikaji Semula - NUTP

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Kurikulum sejarah Sekolah Menengah perlu dikaji semula sebelum mewajibkan pelajar lulus dalam mata pelajaran itu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2013, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) Hashim Adnan.

Beliau berkata Kementerian Pelajaran perlu mengkaji semula kurikulum sejarah di mana fakta-fakta dalam mata pelajaran itu perlu diubah suai dengan lebih realistik selain menggalakkan teknik pengajaran yang lebih menarik supaya menarik minat pelajar.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco KPPK di sini, Hashim berkata banyak perkara perlu diperbetulkan dahulu sebelum peraturan tersebut dikuatkuasakan.

Ini termasuk masalah sekolah yang kurang guru, guru berlebihan dan tenaga pengajar yang mengajar sejarah yang bukan subjek opsyen mereka, katanya.

Beliau berkata untuk itu adalah tidak adil bagi pelajar diwajibkan lulus dalam mata pelajaran tersebut tanpa sebarang pembaharuan dilakukan.

"Pelajar mesti dapat guru terbaik dalam mata pelajaran ini dan kemudian barulah dijadikan subjek wajib lulus dalam SPM.

"Sejarah tidak boleh menjadi penghalang mereka mendapatkan sijil kelak," katanya.

Hashim berkata KPPK akan menghadiri satu mesyuarat dengan Bahagian Kurikulum Kementerian Pelajaran berkaitan isu tersebut bulan depan bagi mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki.

Katanya, KPPK bukan menolak dasar yang diperkenalkan itu, tetapi ia perlu mengambil kira pelbagai faktor sebelum melaksanakannya.

BERNAMA:27 November 2010

Jumaat, 26 November 2010

Tiada surat sokongan

PUTRAJAYA 25 Nov. - Guru-guru yang memohon untuk bertukar mengajar di sekolah lain perlu melalui proses pertukaran biasa tanpa menggunakan surat sokongan individu tertentu seperti ahli politik.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, guru-guru perlu mematuhi syarat-syarat pertukaran yang telah ditetapkan seperti sudah berkhidmat selama lima tahun di sesebuah lokasi.

Katanya, faktor kekosongan bagi mata pelajaran penting seperti Bahasa Inggeris akan diberikan keutamaan dan bukannya mengikut kehendak seseorang guru.

''Tidak semua permohonan dianggap berjaya kerana pertimbangan kementerian berdasarkan kriteria ditetapkan dan disokong oleh jawatankuasa yang telah dilantik.

''Jawatankuasa tersebut yang akan membuat pertimbangan berdasarkan keperluan sekolah bagi menguruskan penempatan guru," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebagai contoh, katanya, jika di Kelantan sudah mempunyai guru agama mencukupi, maka sudah tentu permohonan mereka terpaksa ditolak tetapi jika guru Bahasa Inggeris yang memohon, ia akan diterima.

Beliau mengulas surat pekeliling daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang memberikan garis panduan berhubung tindakan ke atas surat sokongan yang diterima daripada pemimpin kerajaan, individu berpengaruh atau mana-mana orang mengenai sesuatu urusan kerajaan.

Abdul Ghafar berkata, guru-guru yang mahu memohon pertukaran penempatan ke sekolah baru perlu mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara itu kerana ia terpakai untuk semua kakitangan awam.

Utusan Malaysia Online: 26 November 2010

Elaun belum dibayar

KAMI pensyarah Institut Perguruan Seluruh Malaysia hingga kini masih belum dibayar elaun mengajar Kursus Masa Cuti (KDC) bagi interaksi bulan Mac, Jun dan September 2010 yang lalu. Kini interaksi bulan November dan Disember 2010 akan datang pula.

Persoalannya bagi kursus Pra Sekolah Kemas dan Perpaduan serta PGSR pada tarikh-tarikh tersebut bayarannya sudah dibayar. Bagi interaksi SABK dan GSTT masih belum dibayar. Oleh itu ramai pensyarah berlumba-lumba untuk mengajar kumpulan yang dibayar sahaja.

Apa hal bagi pensyarah yang terpaksa mengajar kumpulan SABK dan GSTT. Harapan kami pensyarah di Institut Perguruan Seluruh Malaysia, agar pihak Institut Pendidikan Guru (IPG) dapat mengatasi masalah ini.

PENSYARAH BIASA

Pulau Pinang.


Utusan Malaysia Online: 26 November 2010

Syarat naik pangkat LKPPP masih terpakai

2010/11/26

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk surat pembaca Bakal PhD, Sungai Petani, Kedah, dalam ruangan Surat & Emel akhbar Berita Harian bertarikh 2 November 2010 bertajuk ‘Pelaksanaan kenaikan gred PPPS’.

Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) memutuskan Margin of Preference (MOP) lebih besar diberikan kepada pegawai memiliki kelayakan lebih tinggi termasuk pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dalam urusan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).

Syarat kenaikan pangkat ditetapkan oleh LKPPP masih terpakai. Manakala, kriteria penilaian dipinda bagi semua urusan kenaikan pangkat mengikut laluan cemerlang dengan memasukkan kriteria kelayakan akademik di peringkat PhD dan pengalaman bertugas.
Kriteria penilaian yang dipinda akan digunakan dalam iklan urusan pemangkuan Guru Cemerlang, Pengetua Cemerlang dan Pegawai Cemerlang akan datang.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia

Berita Harian Online: 26 November 2010

Khamis, 25 November 2010

Bekas guru cemerlang dirai dalam Majlis Jasamu Dikenang


HUSSAIN Awang (empat dari kanan) bersama Burhan Ramli (dua dari kanan) dan sebahagian guru cemerlang pada Majlis Jasamu Dikenang di Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 24 Nov. - Seorang guru cemerlang tidak pernah mengenal erti berputus asa dan penat-lelah dalam menabur bakti mendidik anak bangsa menjadi seorang yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Guru cemerlang sanggup berkorban apa sahaja, masa hatta wang ringgit bagi melaksanakan pelbagai program demi memastikan anak didiknya beroleh kejayaan.

Komitmen tinggi guru cemerlang inilah yang menyaksikan ramai pelajar di Kelantan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama setiap tahun, sehingga membolehkan pelajar terbabit melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, kadangkala mengatasi guru mereka sendiri.

Menyedari sumbangan besar guru-guru cemerlang ini, maka Majlis Guru Cemerlang Kelantan (MGCK) mengambil pendekatan proaktif dengan menganjurkan Majlis Jasamu Dikenang sebagai menghargai jasa guru-guru terbabit yang telah menamatkan perkhidmatan secara rasmi, dekat sini semalam.

Pengerusi MGCK Sesi 2010/2011, Burhan Ramli berkata, majlis itu julung-julung kalinya bagi meraikan 12 orang guru cemerlang yang bersara pada tahun ini.

Pada majlis tersebut, guru-guru tersebut menerima anugerah daripada Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang.

Guru-guru itu antaranya Sowi Ahmad bekas guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong, Abd. Rahim Abd.Kadir (SMK Zainab 2), Nawi Ismail (SMK) Mahmud Mahyiddin, Nordin Mohamad (SMK Pangkal Kalong), Mat Yusoff Mohd. Noor, Sekolah Kebangsaan (SK) Perupok, Maznah Ramli (SK Badak), Maimunah Said (SK Padang Garong), Rahmah Yusoff (SK Tengku Indera Petra), Puziah Ahmad(SK Panji), Mat Salleh dari Sekolah Menengah (SM) Teknik Pengkalan Chepa) dan Abdullah Ismail (SM) Sains Machang.

Utusan Malaysia Online: 25 November 2010

Rabu, 24 November 2010

Ibu terharu keikhlasan guru sekolah

2010/11/24

SAYA yang mempunyai anak yang bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Putrajaya 16/2 ingin mengucapkan setinggi tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada guru yang mengajar anak murid Tahun 6.

Mereka sangat berdedikasi dan mempunyai semangat yang tinggi dalam memupuk semangat pembelajaran anak murid, termasuk anak saya.

Anak saya lemah dalam pembelajaran dan guru sanggup meluangkan masa untuk anak saya semata-mata untuk melihat dia berjaya.
Mereka memberikan semangat untuk berjaya dalam kokurikulum yang mana anak saya banyak menyertai acara sukan sehingga berjaya mewakili negeri dalam Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia.

Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Cikgu Shida, Cikgu Azizah dan Cikgu Azmi. Budi kalian hanya Allah SWT saja yang mampu membalas. Syabas kepada guru besar kerana mempunyai guru berjiwa mulia dan ikhlas dalam mendidik anak muridnya.

NORAINI AHMAD,

Putrajaya


Berita Harian Online: 24 November 2010

Selasa, 23 November 2010

MQA sedang akreditasi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan ditawar IPGM

2010/11/23
AGENSI Kelayakan Malaysia (MQA) ingin mengucapkan terima kasih atas pandangan daripada Guru Komited, Butterworth, Pulau Pinang, yang disiarkan dalam ruangan ini pada 20 November lalu.

Untuk makluman, MQA setakat ini sudah mengakredit sebanyak 20 ijazah sarjana muda pendidikan atau perguruan yang sebahagiannya ditawarkan oleh Universiti Terbuka Malaysia (OUM) secara kerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai program pengajian itu boleh diperoleh di laman web MQA melalui kemudahan carian atas talian di portal Daftar Kelayakan Malaysia (www.mqa.gov.my/mqa).
Pada masa sama, MQA juga sedang dalam peringkat akhir proses penilaian akreditasi untuk semua program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (PISMP) yang dijalankan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di semua kampus seluruh negara.

Penilaian akreditasi itu dijangka selesai penghujung Disember ini.

MQA juga mengambil maklum mengenai kebimbangan disuarakan pengadu berkenaan suasana serta pengajaran dan pembelajaran (P&P) di IPGM yang didakwa berbeza dengan situasi di universiti.

Sebagai makluman, proses penilaian akreditasi dilaksanakan MQA berpandukan Kod Amalan Akreditasi Program tidak hanya mengkhusus kepada program pengajian di peringkat universiti.
Malah, ia boleh disesuaikan dalam menilai pelbagai bidang dan bentuk pengendalian program pengajian tinggi termasuk yang ditawarkan IPGM.

Pihak yang berkenaan boleh mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan perkara ini dengan menghubungi Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa MQA melalui e-mel akreditasi@mqa.gov.my atau telefon: 03-79687002/4057.

ABDUL SAMAN TAIP,
Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa
b.p. Ketua Pegawai Eksekutif
Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Berita Harian Online: 23 November 2010

Abd Ghafar mantapkan legasi transformasi pendidikan cemerlang

2010/11/22

KETUA Pengarah Pelajaran baru, Datuk Abd Ghafar Mahmud, bukan nama asing dalam sektor keguruan, mahupun penulisan. Penulis sudah beberapa kali mengadakan wawancara dengan beliau ketika memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Sektor Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran.

Beliau kemudian dilantik sebagai Pengarah Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum (2007-2008), diikuti Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (2008-2009) serta Pengarah Institut Aminuddin Baki (2009-2010). Beliau seorang yang tenang, mesra, memiliki karisma tersendiri dan berpandangan jauh.

Kualiti dimiliki beliau pasti sedikit sebanyak dibina daripada hasil pengalaman yang cukup luas selepas sekian lama menyertai perkhidmatan pendidikan sejak 1977 apabila memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Sains (SMS) Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, sehingga 1984.
Seterusnya dilantik Penolong Pengarah di Bahagian Sekolah (1984-1989), Pegawai Atase di Kedutaan Malaysia, Washington, Amerika Syarikat (1989-1992), Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1992-1996), Penolong Pengarah di Bahagian Pendidikan Guru (1997-1998) dan Pengetua SMS Sultan Hj Ahmad Shah (1998-2001), sebelum menjadi Ketua Penolong Pengarah Sektor SBP sehingga 2007.

Justeru, apabila Abd Ghafar dipilih menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang bersara wajib pada 8 November lalu, penulis teruja untuk mengetahui gagasan kepemimpinan beliau.

Lebih-lebih lagi beliau mengambil alih jawatan itu tatkala Kementerian Pelajaran sedang memacu agenda transformasi pendidikan yang menjadi tumpuan seluruh rakyat negara ini, selain akan berdepan dengan jangkaan begitu tinggi daripada masyarakat selepas Alimuddin meninggalkan legasi cemerlang, termasuk keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini yang mencatat prestasi terbaik dalam sejarah.

Pelantikan ini amanah besar yang perlu saya pikul. Bukan saja kepada negara dan bangsa, tetapi lebih penting ialah amanah diberikan oleh ibu bapa dari segenap pelosok tanah air yang mahukan anak a mendapat didikan sempurna dari aspek jasmani dan rohani.
Pendidikan di Malaysia suatu usaha berterusan, dinamis dan bermatlamat, kata Abd Ghafar dalam pertemuan dengan Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai wawasannya untuk mengisi kemajuan pendidikan negara, beliau berpandangan apa saja dasar dan perancangan Kementerian Pelajaran yang sudah digubal, tidak akan memberi sebarang impak seperti dihasratkan jika sistem penyampaian tidak kemas.

Beliau mahu melihat pelaksanaan sistem kualiti yang betul, integriti dimantapkan dan dipantau, serta tindakan menangani kerenah birokrasi. Malah, dalam usaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan, kementerian akan cuba mewujudkan kaedah untuk mempermudah keputusan dibuat.

Beliau juga berazam akan berusaha sedaya mungkin untuk memastikan pengurus serta pemimpin pendidikan diberi latihan pelbagai dimensi dari sudut ilmu pengetahuan dan juga kemahiran terkini supaya berupaya menghadapi cabaran dan dugaan pada era pembangunan teknologi dan globalisasi kini.

Bagi Abd Ghafar, transformasi pendidikan yang bermula tahun ini amat penting sebagai perubahan terancang untuk meningkatkan kualiti akademik, kokurikulum serta pembangunan sahsiah pelajar ke arah membina modal insan cemerlang secara holistik.

Melalui transformasi pendidikan, Kementerian Pelajaran yakin akan menghasilkan generasi Malaysia lebih matang dan bermutu menjelang 2020, tegasnya.

Sebagai seorang yang pernah mengharungi jerih payah dan memahami pengorbanan selaku pendidik, Abd Ghafar meskipun dalam kesibukan memastikan matlamat transformasi pendidikan tercapai, tetap tidak lupa meletakkan guru pada kedudukan yang istimewa.

Seseorang yang memilih profesion pendidik, perlu bertanggungjawab untuk mendidik. Pada hemat saya, guru hari ini harus menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepada mereka. Transformasi perlu diiringi dengan perubahan strategi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, katanya.

Pendidik juga harus mampu mewujudkan perubahan tingkah laku pelajar mengikut kehendak dan aspirasi negara, di samping mengekalkan corak kehidupan serta kebudayaan baik seperti dihasratkan dalam gagasan 1Malaysia.

Kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan guru. Saya akan memastikan proses penambahbaikan skim perkhidmatan perguruan dibuat untuk memartabatkan profesion ini. Saya memberi jaminan kebajikan guru tidak akan sesekali terpinggir, katanya.

Berita Harian Online: 23 November 2010

Isnin, 22 November 2010

Dilema penempatan guru

Masalah penempatan guru memang rumit untuk diselesaikan. Ia menjadi bertambah sulit apabila terdapat segelintir daripada 400,000 guru yang masih dalam perkhidmatan memohon bertukar sekolah dengan alasan yang kurang wajar.

Rata-rata mahu mengajar di sekolah yang dekat dengan rumah. Lalu mereka cenderung menjadikan alasan rumah sedia ada atau rumah yang baru dibeli berhampiran sekolah sebagai sebab untuk bertukar tempat mengajar.

Sememangnya semua orang dalam apa jua profesion pun menginginkan jarak tempat tinggal yang berhampiran dengan tempat kerja. Jimat masa dan jimat kos.

Namun, kita juga perlu profesional kerana penempatan guru adalah berdasarkan keperluan perkhidmatan. Bukannya mengikut kesesuaian tempat tinggal.

Faktor ini penting demi meminimakan masalah kekurangan guru di kawasan luar bandar dan pedalaman tetapi terlebih guru di sekolah tertentu di kawasan bandar.

Misalnya, satu sekolah hanya memerlukan tiga guru Matematik tetapi terdapat lima guru di situ. Jika opsyen kedua semua guru ini berbeza, maka mereka boleh mengajar subjek yang lain. Tiada masalah.

Sebaliknya, masalah akan timbul jika ada pertindihan opsyen. Ia membabitkan guru terbabit, pengurusan sekolah dan Kementerian Pelajaran. Akhirnya pelajar menjadi mangsa keadaan, diajar oleh guru yang tidak terlatih dalam subjek berkenaan.

Justeru, bertukarlah dengan alasan yang konkrit seperti disebabkan isu keselamatan atau faktor kesihatan.

Contoh isu keselamatan ialah hal yang berbangkit akibat keganasan rumah tangga. Misalnya seorang guru wanita menerima ugutan dan ancaman daripada bekas suami. Bila ini berlaku memang wajar dan ada keperluan untuk beliau berpindah ke sekolah lain.

Manakala dalam masalah kesihatan pula mestilah yang melibatkan sakit kronik dan memerlukan rawatan rapi. Kemudahan perubatan mungkin hanya terdapat di hospital di kawasan bandar sahaja.

Bagaimanapun, ia terhad kepada guru itu sendiri dan ahli keluarga terdekatnya iaitu anak, suami atau isterinya sahaja.

Ibu bapa tidak termasuk dalam kategori ini. Rasionalnya, tanggungjawab menjaga ibu bapa yang uzur perlu dipikul bersama dan bukannya diletakkan kepada guru berkenaan sahaja.

Selain itu, alasan mengikut suami perlu diberi keutamaan agar tumpuan guru terbabit tidak terjejas. Ia juga bagi memastikan guru itu dapat memberikan prestasi yang tinggi dan terbaik untuk para pelajarnya.

Jelas di sini, Kementerian Pelajaran menitikberatkan tahap kemanusiaan yang tinggi dalam penempatan para guru supaya kebajikan mereka terbela.

Hal ini secara tidak langsung akan memotivasikan guru untuk komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing.

Dalam pada itu, pertukaran guru juga dilakukan secara pentadbiran. Sebagai contoh, jika Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mendapati ada lebihan seorang guru Bahasa Inggeris di sekolah A dan sekolah B memerlukannya. Maka guru tersebut akan dipindahkan ke sekolah B walaupun beliau tidak membuat sebarang permohonan pertukaran tempat mengajar.

Bagi guru yang memohon pertukaran secara atas talian, keputusan telah pun diumumkan. Kepada yang berjaya, selamat mencurah bakti di sekolah yang baru. Kepada yang kurang bernasib baik, bersabar dan jika perlu, buatlah rayuan.

Bila membuat rayuan pastikan mengikut etika dan tatacara urusan rasmi. Jangan dibawa bayi atau anak kecil ke pejabat. Apatah lagi ibu atau bapa yang uzur. Ia boleh mengganggu ketenteraman dan menjejaskan urusan pihak lain. Malah ia mungkin menjejaskan tugasan lain pegawai terbabit.

Memadai dengan menyediakan dokumen sokongan untuk rujukan pihak yang berkenaan. Bukti itu sudah mencukupi tanpa perlu ditambah dengan elemen emosi dan simpati.

Utusan Malaysia Online: 22 November 2010

Ahad, 21 November 2010

Liat bayar yuran PIBG

Oleh IDRIS MUSA
idris@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Masih ada ibu bapa di kawasan elit yang liat untuk menjelaskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi tujuan kebajikan anak mereka, walaupun sekadar RM50 setahun.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, beliau terkejut selepas diberitahu masih ada ibu bapa bersikap seperti itu.


Menurutnya, memang pelik apabila ada ibu bapa kepada murid di sekolah kawasan elit gagal menghulurkan bayaran seminimum itu, sedangkan pada waktu sama mereka rela membayar bil Astro setiap bulan.

“Saya terkejut mendengar di taman elit seperti Taman Tun Dr Ismail masih lagi ada ibu bapa tak memberi sumbangan RM50 setahun.


“Takkanlah RM50 untuk anak mereka memberi bebanan begitu kuat sampai tak boleh membantu.


“Jika sekolah di kawasan Pantai Dalam dan Sentul, mungkin boleh diterima alasan ibu bapa tidak mampu.

KUALA LUMPUR: Masih ada ibu bapa di kawasan elit yang liat untuk menjelaskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi tujuan kebajikan anak mereka, walaupun sekadar RM50 setahun.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, beliau terkejut selepas diberitahu masih ada ibu bapa bersikap seperti itu.


Menurutnya, memang pelik apabila ada ibu bapa kepada murid di sekolah kawasan elit gagal menghulurkan bayaran seminimum itu, sedangkan pada waktu sama mereka rela membayar bil Astro setiap bulan.

“Saya terkejut mendengar di taman elit seperti Taman Tun Dr Ismail masih lagi ada ibu bapa tak memberi sumbangan RM50 setahun.


“Takkanlah RM50 untuk anak mereka memberi bebanan begitu kuat sampai tak boleh membantu.


“Jika sekolah di kawasan Pantai Dalam dan Sentul, mungkin boleh diterima alasan ibu bapa tidak mampu.

“Tetapi jika nak kata RM50 setahun tak mampu di Kuala Lumpur ini, berat juga nak diterima. Sepatutnya itu menunjukkan pengorbanan ibu bapa untuk anak mereka, bersama ibu bapa lain,” katanya pada majlis penyampaian anugerah kecemerlangan kepada 62 murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan perasmian bangunan Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 2, di sini, semalam.


Sebelum itu, Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Ariff Fadillah Mohd Kulal, dalam ucapan aluannya mendedahkan sesetengah ibu bapa enggan memberikan komitmen bagi kemajuan anak mereka, termasuk menjelaskan yuran tahunan.

Raja Nong Chik berkata, ibu bapa sebenarnya mempunyai peranan sangat penting terhadap anak mereka dan bukan melepaskan tanggungjawab kepada guru, pihak sekolah dan PIBG.


Menurutnya, sikap alpa dengan urusan pekerjaan sehingga tidak meluangkan waktu kepada anak menyumbang kepada kemerosotan prestasi anak dalam pelajaran.


“Ini satu sebabnya saya dapati kadangkala prestasi murid, khususnya di bandar, menurun apabila ibu bapa tidak memberi masa kepada anak mereka.


“Kebelakangan ini saya dapati sekolah di mana ibu bapa mereka duduk di flet kos rendah, banyak kita tengok anak mereka lebih teruk daripada ibu bapa sendiri.


“Mungkin tidak ada masa, tidak ada kemudahan dan tidak ambil berat. Mereka yang ambil berat biasanya anak mereka cemerlang walaupun datang daripada golongan setinggan, yang duduk flet kos rendah,” katanya.


Ketika ditanya mengenai dasar yang diambil kira bagi menempatkan penghuni rumah pangsa kos rendah di ibu kota, beliau berkata, yang penting semua kawasan rumah pangsa perlu mencerminkan 1Malaysia..


myMetro: 21 November 2010

Khamis, 18 November 2010

Guru perlu berubah jika mahu maju


Sapawi Ahmad (kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 di SFI Motel, Sipitang, baru-baru ini.


SIPITANG 17 Nov. – Warga pendidik di negeri ini perlu bersedia menerima dan melakukan perubahan jika mahu terus maju dalam bidang pendidikan.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad berkata, ini kerana kemajuan pesat dunia sekarang turut memberi kesan kepada pembangunan pendidikan termasuk di negara ini.

‘‘Pembangunan pendidikan perlu selari dengan keadaan dunia dan ia turut memerlukan warga pendidik untuk menerima dan bersedia melakukan perubahan itu.

‘‘Langkah itu perlu supaya warga pendidik kita tidak ketinggalan kerana kelemahan pendidik boleh membantutkan perkembangan sistem pendidikan negara,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 di SFI Motel di sini kelmarin.

Hadir sama Pegawai Pelajaran Sipitang, Abdul Razak Abdul Karim; Pengerusi Majlis Guru Besar Sipitang, Asli Moksin dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin, Abdul Rahman Mohd. Noh.

Pada majlis itu seramai 64 pendidik dari 25 buah sekolah di daerah itu menerima anugerah perkhidmatan cemerlang Pejabat Pelajaran Sipitang.

Sapawi berkata, warga pendidik yang sentiasa mengikuti arus perubahan akan berupaya memberi bimbingan serta didikan yang berkesan kepada pelajar.

Katanya, usaha melahirkan generasi berilmu dan berhemah tinggi memerlukan sokongan daripada warga pendidik itu sendiri.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan juga sentiasa memberi perhatian terhadap kepentingan dan kebajikan di kalangan pendidik yang bertanggungjawab melahirkan generasi berilmu negara pada masa depan.

Beliau bagaimanapun menegaskan ibu bapa tidak boleh ‘lepas tangan' dengan meninggalkan sepenuhnya tugas mendidik anak-anak kepada guru.

Katanya, tugas itu wajar dilakukan oleh golongan ibu bapa ketika berada di rumah dan meluangkan lebih masa bersama mereka.

Utusan Malaysia Online: 18 November 2010

Rabu, 17 November 2010

Kursus ijazah tak diiktiraf

2010/11/17

ANAK saya baru-baru ini memaklumkan mengenai ijazah sarjana muda perguruan yang diambilnya ada masalah kerana program yang ditawarkan di Institusi Perguruan Tunku Bainun tidak mendapat kelayakan akreditasi.

Pihak institusi perguruan memaklumkan pelajar tidak dapat diberi penempatan sehingga masalah selesai. Saya difahamkan masa yang diambil bagi memperoleh kelayakan itu boleh berlanjutan daripada enam bulan sehingga setahun. Dalam proses mendapatkan kelayakan itu, pelajar diminta membuat kerja kursus tambahan bagi membantu pihak institusi mendapatkan kelayakan bagi program ditawarkan.

Sebelum ini, pelajar ijazah perguruan terbabit juga menerima elaun tertangguh sehingga dua bulan. Kesannya, ada pelajar yang terpaksa mengikat perut kerana tiada wang untuk perbelanjaan.
Saya mengharapkan setiap program perlu mendapat kelulusan pihak berwajib sebelum ditawarkan pada peringkat institusi.

Bukan setakat anak kami saja yang resah, tetapi sebagai seorang bapa saya juga tidak tidur malam memikirkan masalah yang menimpa anak saya ini.

BAPA GELISAH,
Selangor

Berita Harian Online: 17 November 2010

SK Sek. 24 juara Piala Raja Muda Selangor


Razali Ibrahim (tiga dari kanan) turut bersorak meraikan kejayaan pasukan SK Seksyen 24 yang muncul juara Piala Raja Muda Selangor selepas menyampaikan hadiah kepada pasukan itu di padang SK TTDI Jaya di Shah Alam, baru-baru ini.


SHAH ALAM 16 Nov. - Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 24, Shah Alam muncul juara Piala Raja Muda Selangor apabila menewaskan SK Seksyen 7 Shah Alam 2-1 pada perlawanan akhir di padang SK TTDI Jaya di sini baru-baru ini.

Piala kemenangan dan medal disampaikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim yang turut menyaksikan perlawanan akhir tersebut.

Guru Besar SK TTDI Jaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan, Mariah Mahat berkata, kejohanan tersebut telah bermula pada 7 Oktober lalu dan disertai oleh 30 buah sekolah kebangsaan di daerah itu.

Katanya, sekolah-sekolah itu dibahagikan kepada lapan kumpulan untuk persaingan peringkat awal sebelum dua sekolah itu berjaya ke perlawanan akhir.

"Tujuan kejohanan ini ialah untuk mencungkil bakat muda dalam sukan bola sepak khususnya di kalangan sekolah di sekitar Shah Alam," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kepada juara dan naib juara.

Hadir sama menyaksikan perlawanan tersebut Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan Bolasepak Piala Raja Muda Selangor, Datuk Ahmad Nawawi Md. Zain dan Pengarah Pelajaran Selangor, Sulaiman Wak.

Utusan Malaysia Online: 17 November 2010

Guru buka kedai kek, roti



Norhasimah Abdul Karim bersama Azizan Shaari menunjukkan produk roti dan kek keluaran syarikatnya di Ulu Kinta, semalam.


IPOH 16 Nov. - Bermula dengan perniagaan membuat kek secara kecil-kecilan di rumah, seorang guru, Norhasimah Abdul Karim membuka kedai Norzan Bakeri dan Kek di kawasan Industri Mara di Tambun, Ulu Kinta dekat sini sejak Disember 2005.

Norhasimah, 50, berkata, dia mula berkecimpung dalam pembuatan kek dan biskut di rumah sejak 1989.

Katanya, dia bermula dengan membuat kek dan biskut yang ditempah oleh rakan kerana minatnya mendalam dalam perusahaan itu secara kecil-kecil.

"Minat itu bertambah apabila saya mengikuti kursus membuat roti selama dua bulan di sebuah kilang roti di Batu Caves, Selangor pada 2003," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas tamat mengikuti kursus tersebut, dia membuka kedai di Bandar Baru di sini dengan membuat roti dan kek pada Jun 2003 dengan dibantu tiga pekerja.

"Saya melaburkan RM50,000 sebagai modal awal untuk membeli sebuah mesin pembancuh tepung untuk membuat kek," katanya yang dibantu oleh suaminya, Azizan Shaari, 51.

Ibu kepada empat anak berusia 14 hingga 23 tahun berkata, apabila perniagaan makin berkembang dan mendapat sambutan menggalakkan, dia berpindah ke Tambun dengan membeli beberapa buah lagi mesin.

Bermula dari situ, katanya, dia teruskan dan tingkatkan usaha untuk menjadi usahawan berjaya satu hari nanti dan usaha gigihnya itu amat berbaloi.

Katanya, bermula dengan membuat piza di sini, dia melebarkan perusahaan itu dengan mengeluarkan pelbagai produk seperti roti arab, roti mini arab, roti rangup, roti john, roti kelapa, roti kacang merah, roti sandwich, roti kaya, roti sosej, donut, roti bun dan pelbagai jenis kek.

Norhasimah berkata, roti berkenaan dijual dengan harga di antara 50 sen hingga RM4.50 setiap satu.

Sementara itu, pelbagai jenis kek pula dijual antara 80 sen hingga RM8 setiap satu.

Selain itu, dia juga menghasilkan kek perkahwinan dengan menawarkan pakej kek span dua tingkat berharga RM116 bagi berat tiga kilogram dan RM170 bagi berat 4.5 kilogram.

"Kek tiga tingkat pula dijual dengan harga RM160 bagi berat 4.5 kilogram dan RM190 bagi berat 5.5 kilogram," katanya.

Menurut beliau, beberapa jenis lagi kek turut dihasilkan bagi memenuhi permintaan orang ramai.

"Perniagaannya itu mula terkenal setelah ia mendapat sambutan di kebanyakan pasar tani di negeri ini setelah menyertai promosi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang banyak membantu," katanya.

Norhasimah berkata, permintaan terhadap roti arab yang dihasilkan paling tinggi dengan purata jualan mencecah RM50,000 sebulan.

"Produk yang dihasilkan di sini terjamin kerana ia adalah halal," katanya yang menggaji 13 orang pekerja.

Beliau berkata, produk keluaran syarikatnya itu kini sudah dipasarkan di Johor Baharu dan Melaka, selain di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan.

Katanya, syarikat kini membuka empat cawangan di Medan Gopeng, Terminal Makanan Negara (Teman), Chemor dan Klebang Jaya di sini.

Dia sedang memohon untuk memasarkan produknya di beberapa pasar raya besar di sini dalam usaha meningkatkan pemasaran kepada orang ramai.

Selain itu, pihaknya juga mengadakan kursus membuat kek dan mereka yang berminat boleh menghubungi beliau di talian 019-4476906/ 012-5035023 atau pejabat di talian 05-5332116.

Utusan Malaysia Online: 17 November 2010

SMK Sri Bachok menang Majalah Terbaik


MOHD. Adnan Mohd. Noor (empat dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian pemenang Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Wilayah Timur pada majlis penyampaian hadiah, di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 16 Nov. - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gunung, Bachok memenangi kategori utama Majalah Terbaik dalam pertandingan Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Wilayah Timur (ACMSM) 2010 dalam majlis penyampaian hadiah yang diadakan di sini semalam.

Pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur itu menyaksikan majalah Kemuncak terbitan SMK Sri Gunung berjaya mengatasi saingan 29 sekolah lain dari negeri-negeri di Pantai Timur.

Mereka memenangi wang tunai RM2,000, hadiah iringan beserta sijil yang disampaikan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran negeri Kelantan, Mohd. Adnan Mohd. Noor.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu, Jabatan Pelajaran Terengganu, Che Soh Muda dan Pemangku Pengarah DBP Wilayah Timur, Che Zainab Omar.

Pertandingan ACMSM meliputi beberapa kategori iaitu cerpen, esei, puisi, penerbitan majalah, bahasa dan pemilihan majalah terbaik.

Sebanyak 30 buah majalah sekolah dan karya pelajar terdiri daripada 25 cerpen, 33 puisi dan 21 esei telah diadili oleh barisan hakim pada kali ini.

Dua lagi sekolah dari negeri ini iaitu SMK Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas memenangi tempat pertama kategori penerbitan dengan hadiah wang tunai RM1,000 manakala SMK Machang pula kategori bahasa dan mendapat hadiah wang tunai RM1,500 serta hadiah iringan dan sijil.

Kesemua karya pelajar yang menjuarai kategori masing-masing pula memenangi wang tunai RM250.

Kategori cerpen dimenangi Nur Nazifah Mohd. Yusof dari SMK Machang, Kelantan dengan tajuk Setulus Kasihmu; esei, Saliha Abdul Ghafar bertajuk Inflasi Peranan Semua Pengguna (SM Sains Kuala Terengganu, Terengganu) dan puisi, Siti Farah Wahida Ismail Seindah Hiasan Adalah Wanita (SMK Padang Midin, Terengganu).

Utusan Malaysia Online: 17 November 2010

Guru mahu kurus badan dakwa berat tidak turun

IPOH 16 Nov. - Seorang guru yang ingin kelihatan kurus telah mendakwa tertipu apabila berat badannya tidak menurun selepas membayar RM2,000 untuk menjalani rawatan menguruskan badan di London Weight Management (LWM) pada 16 Jun lalu.

Namun, setelah mengikuti enam daripada 10 sesi rawatan yang ditawarkan, K. Kumuthavally, 38, sudah mula kurang yakin dengan perkhidmatan yang ditawarkan, sekali gus ingin menuntut baki bayaran empat sesi yang masih belum dipenuhi.

Pada masa sama, dia yang juga tidak menghadiri rawatan kali kelima kerana sibuk berpindah rumah baru akhirnya membawa perkara itu ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Presiden TTPM, Faridah Abraham ketika mengadili perbicaraan tersebut berkata, berdasarkan rekod rawatan yang diterima Kumuthavally, ia jelas menunjukkan terdapat pengurangan ukur lilit badan seperti yang dijanjikan LWM.

"Pihak LWM telah menunaikan jaminan mereka bahawa setiap pelanggan akan mengalami pengurangan ukur lilit badan daripada 4 ke 16 cm bagi setiap dua rawatan dan bukannya berat badan.

"Sehubungan itu, ia jelas menunjukkan bahawa penentang (LWM) tidak langsung melanggar kontrak perjanjian yang ditandatangani bersama penuntut," katanya.

Dalam pada itu, menurut wakil LWM, ukur lilit pinggang Kumuthavally telah mengalami pengurangan pada setiap rawatan iaitu 6.8 cm bagi rawatan pertama diikuti oleh 7.9 cm bagi rawatan kedua, 6.8 cm (rawatan ketiga) dan 6.8 cm (rawatan keempat).

Malah katanya, pihak syarikat turut mengesyorkan pelanggan untuk datang menjalani rawatan pada seminggu atau dua minggu sekali bagi mendapatkan hasil yang berkesan.

Sehubungan itu, Faridah memutuskan Kumuthavally gagal menuntut bayaran baki sesi rawatan yang masih belum dipenuhi.

Sebaliknya, beliau meminta Kumuthavally melengkapkan sesi rawatan tersebut memandangkan dia menggunakan perkhidmatan itu sebanyak 60 peratus.

Beliau berkata, pihak LWM turut berbesar hati untuk menawarkannya satu rawatan tambahan Blue Spirit Treatment yang berharga RM450 secara percuma.

Utusan Malaysia Online: 17 November 2010

Selasa, 16 November 2010

SPM: Bilik peperiksaan alternatif disediakan

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Sekolah-sekolah yang berisiko tinggi dilanda banjir telah diarahkan menyediakan bilik peperiksaan alternatif yang lebih selamat untuk pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 23 November ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud (gambar) berkata, arahan penyediaan bilik peperiksaan alternatif di bawah 'Ops Payung' itu dibuat melalui Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan Bil. 6/2008 yang diedarkan kepada semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri.

"Kementerian Pelajaran akan bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan calon-calon SPM dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat.

"Segala bentuk bantuan termasuk tempat tinggal, makanan dan keperluan asas lain juga akan disalurkan segera kepada calon yang diancam banjir," katanya melalui kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Mengikut maklumat terkini kementerian, seramai 467,970 calon akan mengambil peperiksaan SPM di 3,594 pusat peperiksaan seluruh negara bermula 23 November hingga 20 Disember ini.

Daripada jumlah tersebut, 410,083 calon berdaftar di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan manakala 7,216 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Maktab Tentera Diraja (MTD) dan sekolah Perantis Tentera sementara 8,127 lagi calon di Sekolah Menengah Agama Negeri.

Baki 11,248 calon berdaftar di sekolah swasta dan Sekolah Menengah Agama Rakyat sementara 31,296 orang lagi merupakan calon persendirian.

Menurut Abdul Ghafar, bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar dan keputusan dapat diumumkan mengikut jadual, pihak kementerian juga melantik 26,142 orang petugas peperiksaan dan 22,183 orang pemeriksa skrip jawapan calon.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua calon supaya bersedia dan membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang keadaan yang mungkin menghalang atau melewatkan mereka ke pusat peperiksaan mengikut jadual.

"Calon-calon SPM diminta sentiasa peka dan mengikuti perkembangan terkini melalui media massa sekiranya berlaku sebarang pindaan jadual atau perubahan pusat peperiksaan.

"Pastikan juga anda membawa kad pengenalan dan Borang Perakuan Calon Peperiksaan SPM ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar," ujarnya.

Beliau menjelaskan, Bilik Gerakan SPM akan mula beroperasi di Lembaga Peperiksaan dari pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang di antara tarikh 23 November hingga 20 Disember ini.

Calon-calon SPM boleh mendapatkan maklumat semasa dari bilik gerakan itu menerusi talian 0388893551, 03-88893582, 03-88893601 atau 03-88893520.


Utusan Malaysia Online: 16 November 2010

Guru, pelajar IPTA ditahan


SEBAHAGIAN daripada pesalah yang ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu dibawa ke pekarangan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di IPD Besut semalam.


BESUT – Seorang guru dan empat pelajar termasuk mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi awam di negeri ini antara 157 orang yang ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu di sekitar daerah ini kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Kamaruddin Mohd. Zakaria memberitahu, guru berkenaan yang mengajar di sebuah sekolah menengah di daerah ini dan kesemua suspek lain ditahan selepas disahkan positif dadah.

“Kesemua suspek berusia di antara 15 hingga 51 tahun itu berjaya ditahan dalam operasi yang bermula pada pukul 1 pagi hingga 3 petang semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di sini semalam.

Kosmo Online: 16 November 2010

Isnin, 15 November 2010

JPN didakwa ugut guru bayar RM10

Oleh Syuhada Choo Abdullah

2010/11/15

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan beberapa Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mewajibkan guru menyumbang sejumlah wang yang didakwa dilakukan secara tidak telus dan mencetuskan banyak persoalan.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata kesatuan menerima banyak aduan daripada ahli yang mendakwa mereka diwajibkan membayar antara RM5 dan RM10 setahun atas alasan menampung aktiviti membabitkan guru termasuk Majlis Sukan dan Kebudayaan Pegawai Pelajaran dan persatuannya.

Beliau berkata, pelaksanaannya ada elemen berbaur ‘ugutan’ berikutan nama guru yang menyumbang dan tidak melakukan sumbangan disenaraikan mengikut kategori, sehingga menimbulkan perasaan bimbang serta takut dikenakan tindakan sekiranya ingkar membuat bayaran.
“Dalam konteks ini, guru mempertikaikan kutipan dibuat kerana majlis atau persatuan di bawah JPN terbabit bukan pertubuhan berdaftar, tiada sebarang resit dikeluarkan, malah corak perbelanjaan yang dibentang juga meragukan.

“Bagi sesetengah pihak, RM5 atau RM10 mungkin kecil, tetapi untuk guru yang ramai tanggungan ia membebankan.

“Malah, perkara ini adalah isu utama dibangkitkan pada perjumpaan NUTP dengan ahli di Melaka, hari ini (semalam) kerana ia membabitkan soal akauntabiliti dan integriti JPN.

“Kesatuan dimaklumkan dengan bayaran RM10 setahun yang diwajibkan, JPN Melaka boleh mengutip lebih RM100,000 setahun daripada kira-kira 11,000 guru di sekolah rendah dan menengah negeri itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, JPN Selangor pula dikatakan mengenakan bayaran mengikut gred jawatan dan gaji guru.

Justeru, NUTP berharap Kementerian Pelajaran akan meneliti, sekali gus menangani isu berkenaan yang semakin menjadi perhatian guru kerana ia membabitkan imej keseluruhan perkhidmatan pendidikan.

Dalam pada itu, Hashim meminta Kementerian Pelajaran mengumumkan segera keputusan hasil kajian mengenai beban tugas guru, terutama langkah penyelesaian yang akan diambil.

“Isu ini amat penting, lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai tahun depan akan menyaksikan guru dibebankan dengan kerja penilaian berasaskan sekolah,” katanya.

Berita Harian Online: 15 November 2010

Guru melecur gel pemanas makanan meletup



AINON MARDHIAH menunjukkan mukanya yang cedera dalam kejadian di SMK Sultan Yussuf, Batu Gajah, Perak.


IPOH - Seorang guru melecur teruk di kepala apabila disambar api kesan letupan bahan api berbentuk gel yang dinyalakan di bawah sebuah bekas dulang berisi lauk-pauk pada Jumaat lalu.

Berikutan kejadian pada majlis makan malam tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf, Batu Gajah dekat sini pada kira-kira 8.30 malam itu, Ainon Mardhiah Elias, 39, melecur di bahagian dahi, rambutnya sedikit terbakar dan mata serta pipinya bengkak.

Ainon Mardhiah yang juga warden sekolah terbabit memberitahu, semasa kejadian, dia dan seorang guru, Nur Haliza Zainal Abidin sedang memanaskan hidangan untuk majlis yang diadakan di dewan sekolah tersebut.

Majlis makan malam itu dihadiri kira-kira 250 orang merangkumi pelajar, guru dan ahli keluarga masing-masing.

Cerita Ainon Mardhiah, pada mulanya Nur Haliza memasukkan bahan api berupa gel yang diletakkan di dalam bekas khas di bawah sebuah dulang manakala dia menyalakan api dengan mancis.

"Tiba-tiba berlaku letupan kuat hingga botol berisi bahan api gel itu terpelanting hampir lima meter ke atas pentas dewan.

Kosmo Online: 15 November 2010

Ahad, 14 November 2010

Tukar guru besar cemerlang UPSR

APABILA keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 diumumkan Khamis lalu, ia memberikan berita gembira kepada banyak pihak.

Sebanyak 48,327 daripada 482,334 calon memperoleh kelulusan semua A dalam mata pelajaran yang mereka ambil. Ia disifatkan sebagai pencapaian yang paling tinggi dalam sejarah peperiksaan UPSR.

Apakah yang dapat difahami daripada keputusan tersebut?

Pada tahun 1998, kira-kira 12 tahun lalu, terdapat 466,353 pelajar menduduki UPSR. Bilangan yang memperoleh semua subjek A hanya 21,009 orang.

Pada 2010, bilangan yang meraih semua A telah meningkat kepada 48,327. Berbanding angka tahun 1998, pada tahun ini ada pertambahan 27,318 orang pelajar memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Statistik itu memperlihatkan para pelajar semakin cerdik dan kompetitif. Ia juga membawa makna bahawa sekolah-sekolah berasrama penuh sudah tidak mencukupi untuk menampung para pelajar yang bertambah cemerlang.

Siapakah yang berada di belakang kejayaan ini? Ada banyak. Antaranya calon peperiksaan sendiri, ibu bapa, guru-guru dan para pegawai pelajaran.

Bagaimanapun, salah satu faktor lain ialah bagaimana sekolah-sekolah ditadbir. Kita dapati sekolah-sekolah yang diurus dengan baik oleh guru-guru besar cemerlang menghasilkan keputusan UPSR yang hebat untuk sekolah masing-masing.

Guru besar menjadi individu yang memotivasikan guru-guru, ibu bapa dan pelajar untuk mengejar kejayaan dalam pelajaran.

Pada 1998, sebuah sekolah kebangsaan di Damansara, di bawah pentadbiran seorang guru besar yang komited, telah berjaya melahirkan 102 orang pelajar yang memperoleh 5A dalam UPSR tahun tersebut.

Malangnya, guru besar itu kemudian bersara kerana faktor umur dan digantikan dengan guru besar lain.

Dari setahun ke setahun, di bawah guru besar baru, sekolah tersebut semakin merosot dari segi keputusan peperiksaan UPSR.

Pada 2010 hanya terdapat 30 orang pelajar sekolah itu yang memperoleh 5A dalam UPSR berbanding 102 orang pada tahun 1998. Ia merupakan satu kejatuhan yang memalukan.

Persekitaran sekolah masih sama. Taraf kehidupan ibu bapa dan pelajar tetap serupa. Sebahagian daripada guru masih orang yang dulu. Yang berbeza hanyalah guru besar.

Keputusan peperiksaan yang berbeza dalam kes sekolah di Damansara itu seharusnya mencetuskan minat untuk Kementerian Pelajaran mengkaji punca kegagalan dan kecemerlangan sesebuah sekolah.

Awang percaya guru besar merupakan pemimpin yang mencorakkan arah tuju sekolah dan masa depan para pelajarnya.

Begitu juga dengan kejayaan banyak sekolah lain di bandar, luar bandar dan pedalaman. Guru besar yang berwawasan menjadikan sesetengah sekolah lebih kehadapan daripada sekolah yang lain.

Jika guru besar sekolah hebat seperti Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara dan Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1 di Kuala Lumpur ditukarkan ke Kerling di Hulu Selangor atau Cherok Paloh dekat Pekan, Pahang, sekolah-sekolah di luar bandar itu akan memperoleh keputusan UPSR yang lebih baik.

Kalau itulah yang akan berlaku dan sekiranya kepimpinan guru besar menjadi katalis yang melahirkan sekolah cemerlang, Kementerian Pelajaran harus segera merangka perancangan untuk 7,685 guru besar yang sedang mentadbir 7,685 buah sekolah rendah di seluruh negara.

Ada tiga opsyen boleh dipertimbangkan:

Pertama, melatih lebih ramai guru besar menjadi seperti guru besar sekolah-sekolah cemerlang.

Kedua, mencontohi model pendidikan sekolah-sekolah tersebut, membuat penambahbaikan dan memperluaskannya ke seluruh negara.

Ketiga, memindahkan guru-guru besar cemerlang itu ke sekolah-sekolah yang kurang berjaya di luar bandar bagi melahirkan para pelajar berkualiti yang berani menghadapi cabaran meritokrasi.

Dalam keterujaan kita untuk menghalusi idea ini, ada soalan lain yang wajar dipertanyakan iaitu adakah menghasilkan lebih ramai pelajar yang memperoleh 5A dalam UPSR akan menjadikan negara kita lebih baik pada masa depan dan melahirkan generasi yang lebih berbakat?

Soalan ini sahaja akan mencetuskan perdebatan yang tidak sudah-sudah.

Utusan Malaysia Online: 14 November 2010

Sabtu, 13 November 2010

Hubungan rapat guru, PIBG rahsia kejayaan

2010/11/13

KUALA LUMPUR: Hubungan rapat dengan guru, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta melaksanakan pelbagai aktiviti dalam dan luar sekolah adalah antara faktor kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1, di sini, apabila 75.25 peratus muridnya berjaya memperoleh A dalam sesuatu subjek Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Sekolah itu menduduki tangga teratas sekolah cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 106 daripada 204 calonnya berjaya memperoleh 5A berbanding 76 calon tahun lalu. Ia juga antara enam sekolah rendah diumumkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akhir Januari lalu.

Guru Besarnya, Nik Nab Sulaiman, berkata keputusan kali ini juga menunjukkan peningkatan 11.25 peratus terhadap keputusan muridnya yang mendapat keputusan 5A iaitu kepada kira-kira 51 peratus berbanding 40 peratus, tahun lalu.
Bagi keputusan tahun ini, 105 daripada 2004 murid mendapat keputusan 5A, 32 orang mencatat keputusan 4A dan 1B. Melalui keputusan ini juga pihak sekolah dapat mengatasi Gred Purata Sekolah (GPS) yang ditetapkan iaitu 1.39 kepada 1.35, katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Nik Nab yang mula berkhidmat di sekolah itu sejak tujuh tahun lalu berkata, beliau sering mengadakan perbincangan dengan guru terutama ketua guru panitia untuk merancang dan membuat strategi meningkatkan prestasi sekolah dan murid.

Selain itu, setiap ketua guru panitia yang dipilih mengikut subjek juga berperanan memantau keupayaan guru yang diselia, katanya.

Nik Nab berkata, bagi peringkat murid pula, sekolah itu mengadakan pelbagai aktiviti bersama agensi dan badan kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi membolehkan muridnya menimba ilmu lebih mendalam mengenai pemahaman serta pengucapan terutama dari sudut syair dan puisi.

Berita Harian Online: 13 November 2010

Cukup syarat ajar subjek

2010/11/13

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca, Mohd Dzulkarnain Baharuddin, Ipoh, Perak, dalam ruangan ini pada 26 Oktober 2010 bertajuk Tiada kelas Prinsip Akaun.

Untuk makluman, semua Sekolah Menengah Sains, KPM menawarkan aliran Sains Tulen dan Sains Teknikal saja. Bagaimanapun, sekiranya ada guru yang berkelayakan mengajar mata pelajaran Prinsip Akaun dan permintaan murid sekurang-kurangnya 15 orang, sekolah itu boleh menawarkan mata pelajaran berkenaan untuk Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.

Mulai 2010, jumlah keseluruhan mata pelajaran yang dibenarkan diambil oleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya 12 mata pelajaran.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia


Berita Harian Online : 13 November 2010

KPM masih lengkap data

2010/11/13

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada SMS SUTANDAUD:BHA33360 dalam ruangan Rakan@bh akhbar Berita Harian bertarikh 25 Oktober 2010.

KPM merujuk kepada SMS Bilakah lantikan guru Tingkatan Enam untuk kumpulan kedua di Perak akan dilakukan oleh KPM?

Untuk makluman, KPM telah menerima perakuan bagi mengisi kekosongan jawatan gred DG44, DG48 dan DG52 di Sekolah-sekolah Tingkatan Enam di negeri Perak pada 24 Ogos 2010.
Bagaimanapun, KPM masih memerlukan beberapa maklumat untuk melengkapkan perakuan.

Perakuan Urusan Pemangkuan Fasa 2 Negeri Perak yang lengkap akan dikemukakan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pertimbangan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran secepat mungkin setelah menerima perakuan yang lengkap.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia

Berita Harian Online: 13 November 2010

Ceria, sebak selubungi persaraan Cikgu Narimah


NARIMAH Mohd. Shahid memotong kek hari lahirnya yang ke-56 sempena hari persaraan beliau di SK LKTP Sening, Kota Tinggi, baru-baru ini.


KOTA TINGGI 12 Nov. - Suasana sebak menyelubungi Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Sening di sini kelmarin apabila murid dan guru meraikan persaraan Guru Besar, Narimah Mohd. Shahid.

Lebih 150 warga sekolah itu berhimpun pada majlis persaraan Narimah, 56, yang turut dihadiri Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Kota Tinggi, Fadzil Ishak dan beberapa guru besar di daerah ini.

Narimah bersara wajib daripada bidang pendidikan yang amat dicintainya itu selepas menabur bakti mendidik anak bangsa selama 37 tahun dan sebagai tanda penghargaan pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk persembahan kebudayaan dan nasyid oleh murid-murid.

Ketika ditemui, Narimah terharu dengan sambutan yang diberikan oleh guru dan murid sekolah berkenaan kerana semua program itu dirancang tanpa pengetahuannya.

"Walaupun baru 11 bulan bertugas di sekolah ini, saya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua guru dan kakitangan sehingga segala aktiviti dapat dijalankan dengan lancar.

"Kerjasama erat juga membolehkan semua perancangan dilaksanakan dengan jayanya dalam usaha memajukan lagi sekolah ini sebagai gedung melahirkan lebih ramai murid berkualiti," katanya.

Narimah anak kelahiran Kampung Batu Mas, Pengerang memberitahu, beliau mula terlibat dalam profesion perguruan ketika menjadi guru di Sekolah Agama Arab Addin di Stulang Baru, Johor Bahru pada 1973 dan selepas itu menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Pengerang pada 1975 sebelum diserap sebagai guru terlatih.

Beliau mula menyandang jawatan Guru Penolong Kanan (GPK) 1 pada 1981 hingga 1999 sebelum dinaikkan pangkat menjadi Guru Besar Sekolah Kebangsaan LKTP Sening pada 22 November 2009.

Ibu kepada enam cahaya mata dan enam cucu itu memberitahu, kenangan yang tidak mungkin dilupakan pada 1970 ialah kejadian rentetan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 apabila beliau dilantik sebagai ketua membaca ikrar sempena pelancaran Rukun Negara di Padang Awam Sungai Rengit.

Ketika itu, penduduk Pengerang berhimpun di padang berkenaan untuk diberi kesedaran betapa pentingnya semangat bersatu-padu dan hidup dalam aman dan damai tanpa perasaan curiga antara kaum.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu, Zuwita Soloma Md. Kadar, 45, pula menyifatkan persaraan Narimah sebagai satu kehilangan bagi sekolah itu atas sumbangan besar beliau walaupun belum lama bertugas di situ.

"Pendekatan dan kegigihan beliau menyasarkan sekolah ini menjadi sekolah cemerlang amat dihargai dan sumbangannya melebihi apa yang diharapkan pihak sekolah, guru dan ibu bapa," katanya.

Sementara itu, murid tahun enam, Nurshuhadah Atikah Abdullah, 12, berkata, dia menjadikan guru berkenaan sebagai idola kerana berjaya menyuntik semangatnya untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai kejayaan.

Utusan Malaysia Online: 13 November 2010

52 5A DI SK JITRA


JAMALIAH Din (kanan) bersama 52 muridnya yang meraih 5A dalam UPSR di Sekolah Kebangsaan Jitra, Kubang Pasu, kelmarin.


KEMURAMAN dan kesedihan warga Sekolah Kebangsaan Jitra, Kubang Pasu akibat banjir besar yang melanda minggu lalu, terubat sedikit kelmarin apabila 52 murid sekolah itu berjaya memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Linangan air mata dan pelukan gembira menghiasi dewan terbuka sekolah itu apabila Guru Besarnya, Jamaliah Din mengumumkan peningkatan jumlah murid yang mendapat 5A iaitu daripada 35 orang tahun lalu kepada 52 orang tahun ini.

“Sasaran kita adalah 50 murid tetapi kesungguhan dan peranan ibubapa serta guru nampaknya membuahkan hasil apabila keputusan yang dicapai melebihi sasaran yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di sekolah itu.

Sementara itu, pelajar cemerlang yang mendapat 5A, Muhammad Saniy Samsudin berkata, dia amat berterima kasih kepada guru-guru sekolah tersebut dan semua yang membantunya sehingga berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.

“Saya begitu tertekan sebelum ini kerana bapa dan guru mahu saya menumpukan perhatian kepada pelajaran, namun kini saya faham semua itu adalah untuk melihat kejayaan saya,” ujarnya.


Utusan Malaysia Online: 13 November 2010

Jumaat, 12 November 2010

Akademik merudum

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah
upen@bharian.com.my
2010/11/12

Kadar perpindahan guru tinggi jadi punca utama di Sabah

KADAR perpindahan dan pertukaran guru yang tinggi di Sabah dengan anggaran 700 orang setiap tahun dikenal pasti punca utama tahap pencapaian akademik di negeri itu tidak mampu menyaingi pencapaian yang direkodkan negeri lain.

Exco Pelajaran negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata perpindahan itu kebanyakannya membabitkan guru berpengalaman dari Semenanjung dan Sarawak yang kembali ke negeri asal selepas berkhidmat antara tiga hingga lima tahun di sini.
Katanya, kajian Jabatan Pelajaran negeri mendapati keadaan itu menyebabkan corak pengajaran sesuatu mata pelajaran di sesebuah sekolah berubah kerana setiap guru mempunyai pendekatan mengajar yang berbeza, selain mengambil masa menyesuaikan diri dengan keadaan setempat.

“Perubahan cara mengajar dan tempoh yang diambil seorang guru menyesuaikan diri di sekolah baru memberi kesan kepada pencapaian akademik peringkat sekolah, lebih-lebih lagi keadaan berlaku hampir setiap tahun.

“Selepas tiga tahun, apabila guru terbabit serasi dan corak pengajarannya difahami, mereka memohon kembali ke negeri asal. Apabila mereka pindah, guru lain menggantikan tempat mereka dengan membawa pendekatan pengajaran berbeza," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, merasmikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Shiong, Putatan, dekat Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Masidi yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mengulas mengenai masalah utama kerajaan dalam meningkatkan pencapaian akademik di negeri berkenaan yang masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

Katanya, kadar perpindahan dan pertukaran guru perlu diatasi dengan mengambil lebih ramai bakal guru berasal dari Sabah.

“Walaupun kini, jumlah guru tempatan lebih ramai berbanding negeri lain, diharapkan Kementerian Pelajaran perlu menambah pengambilan mereka bagi mengatasi situasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan kementerian menerusi pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Menerusi perjumpaan itu, katanya Muhyiddin memberi jaminan kementerian akan mengkaji pendekatan sesuai mengatasi keadaan itu dan melaksanakannya tidak lama lagi.

Masidi berkata, guru berpengalaman amat diperlukan di negeri ini untuk meningkatkan pencapaian akademik murid dan pelajar serta membantu meningkatkan prestasi akademik peringkat negeri.

Kerajaan negeri kata beliau, mengambil berat masalah kekurangan dana dialami kebanyakan sekolah aliran Cina di negeri itu, khususnya dalam menyediakan prasarana untuk keselesaan pelajar.

Katanya, sekolah aliran Cina di Sabah bukan saja diperlukan masyarakat Cina, malah kini kira-kira 60 peratus murid di kebanyakan SJKC adalah masyarakat Bumiputera.

Berita Harian Online: 12 November 2010

Detik gembira Guru Besar SK Paya



Maisarah Mohd. Noor (kanan) dan Siti Nursyafira Sahifuddin berkongsi RM1,000 pada majlis penyampaian penghargaan kepada mereka di SK Paya Bunga, semalam.


KUALA TERENGGANU 11 Nov. - "Pagi tadi pun masih ada individu yang bertanya, bila nak tutup sekolah ini," itu antara luahan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga, Rohaya Ibrahim.

Sememangnya sekolah ini dilihat tidak bermaya dari segi jumlah murid, pencapaian akademik dan 'terpinggir' dari segi prasarana walaupun di tengah kesibukan bandar raya ini dan lokasinya yang sempit itu makin dihimpit pembangunan.

Namun pertanyaan itu tidak memadamkan keceriaan Rohaya apabila dua murid perempuan daripada 15 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah berusia lebih 100 tahun ini berjaya mendapat 5A setelah kali terakhir murid sekolah itu mendapat keputusan tersebut lima tahun lalu.

Anak bongsu daripada enam beradik, Maisarah Mohd. Noor dan rakannya, Siti Nursyafira Sahifuddin berjaya memperolehi keputan 5A setelah usaha mereka berdua selama ini berjaya mencipta kejayaan untuk dirinya, keluarga dan sekolah itu sendiri.

Maisarah ditemani ibunya, Zaleha Hassan yang berkerja sebagai peniaga di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan suri rumah, Nazimah Ahmad menemani anaknya, Siti Nursyafira.

Rohaya memberitahu, berlaku peningkatan pencapaian dalam UPSR pada tahun ini yang mana 93.3 peratus lulus dalam semua mata pelajaran berbanding 77.7 peratus pada tahun lalu.

"Sekolah ini merupakan sekolah angkat Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan sebelum ini dijadikan sekolah angkat Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Razali Daud ketika melakukan lawatan ringkas ke sekolah berkenaan berkata, kejayaan dua pelajar itu sebagai petanda baik dan sokongan moral kepada warga pendidik.

"Ini kerana, sekolah ini akan dinaik taraf sebagai Sekolah Elit Bandar Raya pada tahun depan dengan melaksanakan pelbagai pembaharuan dari segi pengisian akademik mahupun fasiliti pembelajaran.

"Turut diberi perhatian, aspek keselamatan sekolah yang menimbulkan kebimbangan ibu bapa serta kemudahan perpustakaan, makmal komputer dan kantin agar ia setaraf dengan namanya sebagai sekolah cemerlang," katanya.

Apa yang menarik katanya, walaupun keputusan subjek Bahasa Melayu (Penulisan) di seluruh negeri mengalami sedikit penurunan, tetapi di sekolah ini semua 15 calonnya mendapat A.

Pada majlis ringkas itu juga, Razali turut menyampaikan penghargaan berupa wang tunai berjumlah RM1,000 kepada kedua-dua murid cemerlang itu.

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Tengku Mohd. Yusoff Tengku Mansor.

Utusan Malaysia Online: 12 November 2010

Khamis, 11 November 2010

Bekas guru ke penjara

Oleh Junaidi Ladjana

BERSALAH...Adrian dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan empat sebatan, semalam.
BERSALAH...Adrian dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan empat sebatan, semalam.

KOTA KINABALU: "Sepatutnya tugas kamu sebagai guru ialah mendidik, tetapi apa yang kamu lakukan ini menjejaskan profesion perguruan," kata Hakim Duncan Sikidol sebelum menjatuhkan hukuman 36 tahun penjara dan empat sebatan ke atas bekas guru, Adrian Simon, 31, yang didapati bersalah merogol seorang murid warga Singapura.

Adrian didapati bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, terhadap dua tuduhan merogol murid berusia 11 tahun itu di sekolah berkenaan pada Februari dan Mac lalu.

Bagi tuduhan pertama, guru Matematik dan Sains itu dihukum penjara 18 tahun dan dua sebatan kerana merogol murid berkenaan di stor makmal sekolah antara jam 2.10 hingga 3.30 petang pada Februari lalu.

Bagi tuduhan kedua, Adrian dituduh melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di makmal jam 10.25 pagi pada 26 Mac lalu dan dikenakan hukuman penjara 18 tahun serta dua sebatan.

Adrian dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Luke Ressa Balang manakala tertuduh diwakili Hairul Othman dan PJ Perira bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.

Terdahulu, Hairul memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya berdasarkan kerjasama diberikan kepada polis selain tiada rekod kesalahan lampau.

Bagaimanapun, permohonan itu dibantah Luke dengan alasan tertuduh tidak seharusnya melakukan jenayah yang menjatuhkan kredibiliti perguruan.

“Sebagai guru, tertuduh bertanggungjawab mendidik murid, bukannya melakukan kesalahan jenayah. Kita harus memikirkan tekanan dihadapi mangsa dan keluarga,” katanya.

Ketika penghakimannya, Duncan mengakui walaupun kekurangan bukti daripada aspek perubatan, keterangan mangsa meyakinkan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman.

“Selepas menimbangkan semua bahan bukti, saya mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan tertuduh didapati bersalah.

"Mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan, ibu bapa sudah memberi kepercayaan kepada tertuduh menjaga muridnya, tetapi kepercayaan itu disalahguna dengan mengambil kesempatan terhadap mangsa,” katanya.

Sepanjang perbicaraan selama tiga hari bermula 6 September lalu, pihak pendakwaan mengemukakan sembilan saksi, termasuk guru dan murid sekelas mangsa manakala pihak pembelaan mengemukakan empat saksi.

Mahkamah mengarahkan hukuman berjalan serentak menyebabkan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman 18 tahun, tetapi membenarkan tarikh hukuman ditangguhkan sementara Adrian memohon rayuan di Mahkamah Tinggi.

myMetro: 11 November 2010

Kita juara Sukan Sekolah Rendah ASEAN


MUHYIDDIN Yassin membelek salah satu daripada empat pingat emas yang dimenangi oleh Yeoh Li Tian semasa meraikan 26 atlet Majlis Sukan Sekolah Malaysia yang muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Olimpiad Sukan Sekolah Rendah ASEAN di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 10 Nov. - Malaysia terus menunjukkan keunggulannya dalam bidang sukan sekolah di peringkat antarabangsa apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Olimpiad Sukan Sekolah Rendah ASEAN (APSSO) di Jakarta, Indonesia minggu lalu.

Ini berikutan kecemerlangan kontinjen negara merangkul sembilan pingat emas, satu perak dan lima gangsa.

Kejayaan kontinjen Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) itu diraikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada satu majlis ringkas di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama Penasihat Sukan Kementerian Pelajaran, Datuk Wira Mazlan Ahmad; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud dan Ketua Kontinjen MSSM, Ee Hong dari Bahagian Sukan kementerian berkenaan.

Bagi temasya edisi keempat APSSO itu, kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 26 orang atlet dan 10 orang pegawai berjaya membawa pulang satu pingat emas masing-masing menerusi acara bola sepak dan olahraga manakala badminton (tiga emas) dan catur (empat emas).

Acara olahraga turut menyumbangkan satu pingat perak dan satu gangsa manakala empat lagi gangsa diperoleh menerusi badminton perseorangan perempuan, catur perseorangan perempuan masing-masing bagi kategori standard dan rapid serta pingpong.

Kejohanan yang berlangsung dari 4 hingga 10 November itu turut disertai oleh kontinjen dari Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

APSSO yang mula dianjurkan pada 2007 merupakan inisiatif Indonesia dalam usaha menampilkan keupayaan murid-murid sekolah ASEAN dalam bidang sukan selain membina persahabatan yang kukuh di kalangan mereka.

Utusan Malaysia Online: 11 November 2010

Kerugian peralatan sekolah di Perlis RM13 juta

2010/11/11
KANGAR: Jabatan Pelajaran Perlis menganggarkan mengalami kerugian lebih RM13 juta selepas pelbagai peralatan, termasuk kelengkapan di hampir semua sekolah seluruh negeri itu ditenggelami banjir sejak lebih seminggu lalu.

Pengarahnya, Mansor Lat, berkata daripada jumlah kerosakan itu, kira-kira RM2 juta dianggar membabitkan kerosakan kelengkapan teknologi maklumat (IT) di sekolah terjejas seperti peralatan komputer, perisian, pelayar komunikasi serta bahan teknologi lain.

Katanya, barangan lain dilapor turut rosak termasuk kerusi, meja dan almari, buku sekolah serta segala kelengkapan pembelajaran lain.
“Walaupun banyak peralatan rosak, kita bersyukur kerana bencana banjir ini melanda pada hujung tahun.

“Bagaimanapun, usaha sedang dilakukan untuk membaik pulih kerosakan dialami, terutama peralatan pendidikan dan pembelajaran asas untuk membolehkan baki tempoh persekolahan yang masih ada dapat berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tok Bandar, di sini yang turut terjejas dalam bencana banjir.

Difahamkan, SK Titi Tok Bandar yang mempunyai 174 pelajar dan 24 guru adalah antara 33 sekolah di negeri ini yang terjejas akibat banjir, termasuk 15 daripadanya dijadikan sebagai pusat pemindahan.

Sementara itu, tinjauan di sekolah berkenaan semalam mendapati pihak sekolah terutama guru sibuk memunggah pelbagai barangan yang dihanyutkan air, selain mencuci segala kelengkapan yang diselaputi lumpur akibat banjir.
Pemangku Guru Besarnya, Mohd Zaki Abdul Ghani berkata, sehingga kini, sekurang-kurangnya lima keluarga yang menjadi mangsa dari kawasan sekitar masih berlindung di sekolah berkenaan, manakala selebihnya sudah pulang apabila keadaan banjir di kawasan kediaman masing-masing mulai pulih.

Berita Harian Online: 11 November 2010

Warga negara diutama masuk SBP

2010/11/11

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk aduan oleh ‘SJN (U) Bersara, Pahang’, dalam ruangan ini bertarikh 29 Oktober lalu bertajuk ‘syarat baru SBP jejas kemasukan’.

Kementerian sudah membuat semakan dan penambahbaikan terhadap dasar pemilihan murid ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), pada 2011.

Antara perubahan yang dibuat adalah memberi keutamaan kepada murid, ibu dan bapa atau penjaga yang berstatus warga negara Malaysia.
Sebelum ini, syarat kewarganegaraan Malaysia hanya ditetapkan kepada anak saja. Namun berdasarkan dasar terbaru ini, permohonan murid ini tidak dapat diterima.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 11 November 2010

Guna idea baru ajar Sejarah

2010/11/11

SELEPAS Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran mengumumkan bahawa mata pelajaran Sejarah bakal dijadikan subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2013, pelbagai reaksi diterima daripada masyarakat.

Isu ini menjadi polemik dan menjadi perdebatan hangat. Jika kerajaan ingin menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus maka kaedah pengajaran subjek berkenaan perlu diubah.

Pendekatan menggunakan buku teks semata-mata sudah ketinggalan zaman. Sejarah perlu dihayati dengan pendekatan yang dekat di hati pelajar.
Mungkin menggunakan pendekatan dengan pelajar sendiri pergi ke tempat bersejarah itu dan mengkaji sendiri sesuatu latar belakang kajian akan membenihkan kesedaran dalam diri pelajar mengenai realiti sebenar apa yang berlaku.

MOHD ERZUAN ERMAN,
Taiping, Perak

Berita Harian Online: 11 November 2010

Guru Sejarah kena kreatif mengajar

2010/11/04

LANGKAH kerajaan menjadikan subjek Sejarah sebagai subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah satu tindakan bijak. Namun, ada sedikit kebimbangan jika dasar diputuskan itu tidak dihayati sebaik-baiknya.

Seperti yang kita maklum, pendidikan di Malaysia adalah berorientasikan peperiksaan. Oleh itu, dibimbangi jika pelajar mempelajari subjek Sejarah hanya sekadar untuk lulus SPM.

Kebanyakan pelajar tidak meminati subjek ini kerana ia bersifat fakta dan pelajar mempelajarinya secara menghafal untuk skor cemerlang tanpa mengetahui hujung pangkalnya.
Dalam hal ini, pelajar lebih menitikberatkan keputusan peperiksaan berbanding inti pati sebenar yang harus diperoleh berdasarkan subjek itu. Apabila hal ini berlaku, maka objektif mempelajari subjek Sejarah tidak akan tercapai.

Sehubungan itu, tanggungjawab besar diletakkan pada bahu guru Sejarah untuk mengubah persepsi berkenaan. Guru Sejarah perlu peka terhadap isu ini dan mengambil langkah penyelesaian supaya pelajar berada pada landasan yang betul ketika mempelajari subjek ini.

Guru seharusnya menyedarkan pelajar bahawa subjek Sejarah bukannya berorientasi peperiksaan semata-mata, tetapi lebih daripada itu.

Dengan sejarah, kita mengetahui banyak peristiwa lampau yang bermakna dan boleh diambil pengajaran. Contohnya, peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, pelajar boleh didedahkan mengenai iktibar daripada peristiwa itu.
Begitu juga dengan semangat perpaduan ditunjukkan tokoh pemimpin berlainan bangsa seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V T Sambanthan yang mewakili kaum masing-masing dalam mencapai kata sepakat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Daripada peristiwa ini, pelajar akan memahami bahawa perpaduan antara kaum sangat penting untuk merealisasikan keharmonian negara.

MUHAMMAD FAUZI A RAHMAN,
UPM, Serdang

Berita Harian Online: 11 November 2010

Rabu, 10 November 2010

Tadbir urus sistem pendidikan perlu dinilai

2010/11/10

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kualiti pengurusan dan pentadbiran perlu diberi penilaian serta pemantauan sewajarnya dalam sistem pendidikan meskipun aspek kualiti pengajaran dan pembelajaran dilihat sebagai fokus utama.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, peranan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) perlu diperluaskan supaya proses pemantauan dan penilaian merangkumi semua aspek, terutama memastikan tadbir urus yang baik diamalkan di semua institusi pendidikan terutama di sekolah.

“Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) perlulah dijadikan panduan dan dorongan untuk melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan. Usaha harus dilakukan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang supaya Standard Kualiti Pendidikan Negara sentiasa berada di tahap yang cemerlang, ” katanya ketika merasmikan Persidangan Tahunan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti kali ke-48 2010, di sini malam tadi.
Muhyiddin berkata, langkah JNJK menghasilkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) dapat membantu sekolah membuat penarafan kendiri dan melaksanakan penambahbaikan terhadap semua aspek pengurusan dan pencapaian sekolah.

Sehubungan itu, katanya, SKPM yang digubal semula oleh JNJK itu diperlukan oleh kementerian dalam melaksanakan transformasi sistem pendidikan negara.

Katanya, sejak dilantik Menteri Pelajaran tahun lalu, beliau sudah membaca beberapa laporan yang disediakan JNJK untuk mengetahui status pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dan kejayaan pelbagai dasar pendidikan di sekolah.

Beliau berkata, pentingnya laporan itu disusuli dengan tindakan susulan supaya proses penambahbaikan dapat dilaksanakan, manakala JNJK juga harus berperanan menjadi agensi penasihat dan pembimbing agar setiap laporan yang dikemukakan sama ada bersifat positif atau negatif dapat diambil tindakan sewajarnya.

Berita Harian Online: 10 November 2010

Guru tidak dapat nikmati cuti panjang persekolahan

2010/11/10

TIDAK lama lagi cuti penggal akhir persekolahan akan bermula. Semua pelajar yang tidak terbabit dengan peperiksaan mula bercuti pada 23 November ini hingga 2 Januari depan.

Pada masa sama, masyarakat sering beranggapan guru adalah penjawat awam yang mendapat paling banyak cuti. Apa tidaknya, jika dilihat cuti sekolah, memang banyak cuti, tetapi adakah cuti itu memberi makna kepada guru?

Saya ingin memaklumkan hak cuti yang diberi kepada guru ‘ditarik balik’ secara tidak langsung kerana semasa cuti kami dipaksa melakukan pelbagai tugasan bukan hakiki kami.
Rasionalnya, antara perkara yang boleh dilihat iaitu tempoh peperiksaan yang terlalu lama, sebagai contoh untuk SPM dari 23 November hingga 20 Disember ini.

Semua pengawas peperiksaan membabitkan guru sekolah. Walaupun mereka dibayar elaun sebagai pengawas peperiksaan, tetapi jika diberi pilihan tidak semua guru bersedia untuk mengawas peperiksaan.

Hal ini kerana, pada masa inilah mereka ingin menghabiskan masa bersama keluarga. Pihak kementerian tidak bolehkah mempercepat tarikh peperiksaan itu seperti tahun sebelumnya, iaitu pada minggu terakhir persekolahan.

Ini kerana kebanyakan sekolah sudah menyelesaikan segala urusan peperiksaan dan semua murid juga selesai proses pengajaran dan pembelajaran.
Untuk makluman, peperiksaan yang diadakan pada masa cuti sekolah sudah mengambil cuti guru kerana guru terpaksa mengawasi peperiksaan yang mengambil masa hampir sebulan.

Bagi guru yang menanda kertas peperiksaan pula, mereka akan bermesyuarat bermula 9 Disember ini. Masa yang diberi untuk menanda kertas peperiksaan selalunya tiga minggu.

Mesyuarat pengurusan sekolah bermula pada 27 Disember 2010, pada 28 Disember pula mesyuarat guru kali pertama (2011), manakala pada 29 Disember mesyuarat Panitia dan pada 30 Disember majlis suai kenal Tingkatan Satu. Secara purata cuti sebenar yang dirasai oleh guru ialah seminggu saja.

GURU BIASA,
Selangor

Berita Harian Online: 10 November 2010

Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan ditubuh





PUTRAJAYA 9 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang berperanan menasihati beliau selaku Menteri Pelajaran berhubung isu-isu berkaitan pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan tujuh anggota majlis yang terdiri daripada pakar dalam bidang pendidikan.

Mereka ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Noordin sebagai Pengerusi; Profesor Emeritus Jabatan Sejarah Fakulti Sejarah dan Sains Sosial Universiti Malaya, Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim; dan Timbalan Naib Canselor Universiti Antarabangsa INTI, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid.

Turut dilantik ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Sidek Baba; Pengerusi Sekolah Antarabangsa Cempaka, Datin Freida Mohd. Pilus; Pengerusi Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak, Datuk Dr. Adi Badiozaman Tuah dan Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Penyelidikan), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan.

''Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud turut dilantik sebagai anggota MPPK," kata Muhyiddin selepas mempengerusikan buat pertama kalinya mesyuarat majlis berkenaan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau akan merujuk perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan pendidikan antaranya meliputi sistem pendidikan dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat lepasan menengah, hala tuju pendidikan dan pembangunan modal insan serta kebolehpasaran.

MPPK turut menjadi tempat rujukan beliau bagi merapatkan jurang pendidikan daripada aspek akses ekuiti dan kuantiti dalam pendidikan, perkembangan kurikulum, penilaian dan pentafsiran pendidikan, pengukuhan dasar untuk perancangan dan penggubalan dasar pendidikan berkaitan pengurusan meliputi soal kepimpinan, penyeliaan kebolehlaksanaan, penyeliaan profesionalisme pendidikan serta isu-isu pendidikan.

Selain itu, katanya, ia turut melibatkan pengurusan pendidikan di samping membuat penilaian terhadap isu-isu pendidikan secara objektif dan mengemukakan strategi serta kaedah penyelesaian yang praktikal dalam menangani isu-isu tersebut.

''Penubuhan majlis ini adalah pertama kali dalam sejarah kerana saya berpendapat proses perkembangan (pendidikan) dalam negara adalah begitu dinamik.

''Perkembangan ini ada hubungkait dengan soal modal insan dan pastinya pendidikan sesuatu yang utama, kita hendak melihat ke hadapan untuk tempoh 10 tahun akan datang selaras dengan dasar dan transformasi yang dilakukan kerajaan," katanya.

Muhyiddin berkata, tujuh pakar akademik yang dilantik itu adalah untuk tempoh dua tahun dan mereka boleh dilantik semula selepas jangka masa itu dengan persetujuan menteri.

Beliau berpendapat penubuhan majlis itu sangat relevan dan signifikan kerana apa yang hendak dilakukan adalah untuk kepentingan negara.

Katanya, majlis itu akan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Ditanya sama ada majlis berkenaan akan terlibat dalam merangka dasar kerajaan, Muhyiddin berkata, mereka hanya memberikan pandangan dan kerajaan akan menelitinya sebelum dilaksanakan.

''Mereka boleh berjumpa dengan badan-badan yang ada kepentingan dalam soal pendidikan negara untuk mendapatkan maklumat lebih jelas sebelum memberi cadangan kepada menteri, saya serahkan kebijaksanaan mereka menguruskan perkara ini," katanya.

Utusan Malaysia Online: 10 November 2010

Profesion keguruan ke tahap lebih tinggi

PUTRAJAYA 9 Nov. - Ketua Pengarah Pelajaran yang baru, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berazam menambah baik skim perkhidmatan pendidikan dan mengangkat profesion keguruan ke tahap lebih tinggi dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata, dengan memartabatkan profesion itu maka ia akan memperkemaskan lagi sistem penyampaian dan seterusnya meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini secara menyeluruh.

''Saya menyeru semua warga guru di Malaysia supaya meneruskan usaha bakti mendidik anak bangsa dengan memastikan setiap murid dapat menerima pendidikan berkualiti dari peringkat prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas.

''Guru mulai sekarang semestinya berusaha dengan gigih untuk meningkatkan pengetahuan dan kualiti pengajaran mereka. Diharapkan sumbangan mereka dapat melahirkan warganegara yang kreatif dan inovatif ke arah Wawasan 2020," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Abdul Ghafar, 56, yang sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang bersara wajib.

Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan, Abdul Ghafar telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Atase Pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia, Washington, Amerika Syarikat; Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum serta Ketua Nazir Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran.

Abdul Ghafar berkata, Alimuddin dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang merupakan mentor untuk meneruskan agenda transformasi pendidikan.

''Saya akan memberi komitmen yang tinggi dalam meningkatkan imej pendidikan negara selaras dengan Model Baru Ekonomi," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghafar merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kepercayaan yang diberikan.

''Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi kepercayaan untuk menjalankan tugas ini.

''Sesungguhnya pelantikan ini merupakan amanah yang besar dan saya sangat menghargainya," katanya.

Utusan Malaysia Online: 10 November 2010

Selasa, 9 November 2010

Abdul Ghafar Ikrar Tingkat Imej Pendidikan Negara

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Ketua Pengarah Pelajaran yang baru Datuk Abdul Ghafar Mahmud berikrar akan memberi komitmen yang tinggi dalam meningkatkan imej pendidikan negara.

Beliau berkata beliau akan meneruskan usaha kerajaan menambah baik Skim Perkhidmatan Pendidikan bagi mengangkat profesion perguruan ke tahap yang lebih tinggi dalam Perkhidmatan Awam.

"Penambahbaikan ini akan dapat memperkemaskan lagi sistem penyampaian dan seterusnya meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini secara menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Abdul Ghafar turut meminta warga guru supaya meneruskan usaha mendidik anak bangsa dengan memastikan setiap murid dapat menerima pendidikan berkualiti dari peringkat prasekolah sehingga menengah atas.

"Guru mulai sekarang semestinya berusaha dengan gigih untuk meningkatkan pengetahuan dan kualiti pelajaran mereka. Diharapkan sumbangan guru-guru ini akan dapat melahirkan warga negara yang kreatif dan inovatif ke arah Wawasan 2020," katanya.

Abdul Ghafar semalam dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang bersara wajib.

BERNAMA: 9 November 2010

Ibu bapa mahu pelaksanaan KSSR di sekolah diperjelas

2010/11/09

MURID sekolah akan mula bercuti sempena cuti penggal akhir persekolahan pertengahan November ini. Ibu bapa yang prihatin mengenai pendidikan anak mereka sudah tentu akan merancang pelbagai program yang bermanfaat bagi memenuhi cuti yang panjang itu.

Apabila Kementerian Pelajaran mahu menukar pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dulu, kami ibu bapa diberi penjelasan beberapa kali oleh pihak sekolah mengenai rasionalnya perubahan itu.

Kami boleh menerima rasionalnya dan membuat persediaan dengan membimbing anak atau menghantar mereka ke pusat tuisyen dan sebagainya.
Bagaimanapun, saya yakin ramai ibu bapa seperti saya yang mempunyai anak yang akan memasuki Tahun Satu pada tahun depan masih kabur mengenai pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang akan menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

Saya masih keliru terutamanya mengenai pelaksanaan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu mulai 2011.

Apabila diajukan kepada pihak sekolah, mereka juga masih kabur kerana tidak ada taklimat yang diberikan, manakala maklumat yang diperoleh mengenai dasar ini hanyalah dari akhbar dan media yang diberikan oleh menteri berkenaan.

Persoalannya, adakah semua murid akan belajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu? Adakah semua aliran sekolah akan diwajibkan mematuhi dasar baru ini? Bagaimana pula dengan persediaan guru? Bagaimana pula dengan peralatan bahan bantu mengajar?
Saya rasa persoalan ini perlu penjelasan supaya ibu bapa dapat membuat pilihan dan perancangan untuk pendidikan anak mereka. Saya berharap pihak pengurusan sekolah akan dipanggil oleh jabatan untuk diberi taklimat dengan kadar segera.

Pihak sekolah bolehlah menyebarkan maklumat ini semasa Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah atau semasa Mesyuarat Agung PIBG.

IBNU AZMI,
Besut

Berita harian Online: 9 November 2010

Isnin, 8 November 2010

Memperkasa bahasa Inggeris

PUTRAJAYA - Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan mengambil 600 pesara guru Bahasa Inggeris secara kontrak untuk membantu dalam pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Mereka akan ditempatkan di sekolah yang benar-benar memerlukan guru Bahasa Inggeris.

Penempatan akan bersesuaian dengan lokasi tempat tinggal guru kontrak berkenaan.

Program MBMMBI akan bermula pada 2011 untuk murid tahun satu dahulu, sebelum dilanjutkan ke tahun berikutnya.

Atas tujuan yang sama, kenyataan KPM baru-baru ini memberitahu, mereka juga telah mengambil 376 guru kontrak penutur jati untuk ditempatkan di lima buah institut perguruan Malaysia (IPGM) dan sekolah terpilih mengikut zon untuk memberi tunjuk ajar kepada guru Bahasa Inggeris.

Pada masa yang sama, kenyataan itu menambah, program pengukuhan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru baru dan guru dalam perkhidmatan terus dijalankan dari semasa ke semasa.

Menurut kenyataan KPM, mereka juga akan menambah bilangan guru Bahasa Inggeris secara berperingkat mulai 2011 sehingga 2016.

Selain itu, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) telah menganjurkan program tukar opsyen bagi guru bukan opsyen Bahasa Inggeris dan kursus peningkatan potensi guru Bahasa Inggeris telah dijalankan.

Dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar MBMMBI, keutamaan perlu diberi kepada prosedur penghantaran dan pengedaran buku teks supaya bekalan buku teks dapat sampai sebelum sesi persekolahan 2011.

Pelan kontigensi juga perlu disediakan untuk memastikan pihak sekolah menerima buku teks tepat pada waktunya, tambah kenyataan KPM.

Kementerian itu juga mengingatkan pensyarah IPGM, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan guru supaya sentiasa maklum tentang perubahan kurikulum supaya mereka cukup bersedia untuk menyampaikannya dengan berkesan.

Pensyarah dan guru pelatih di IPGM juga didedahkan dengan kurikulum standard Bahasa Inggeris tahun satu oleh BPK melalui bengkel induksi, ujar kenyataan tersebut.

Utusan Malaysia Online: 8 November 2010