Rabu, 30 September 2009

Sayangi Sekolah: Sekolah prestasi tinggi

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my


PERSEKITARAN sekolah yang kondusif memberi keselesaan kepada pelajar mengikuti pelajaran.

SMT Shah Alam tingkat usaha untuk kekalkan kecemerlangan

WALAUPUN visi Sekolah Menengah Teknik Shah Alam (SMTSA) menjadi sekolah teknik gemilang 2010 sudah tercapai menerusi Anugerah Sekolah Cemerlang (kategori sekolah teknik) yang diperoleh baru-baru ini, namun institusi itu terus mengorak langkah untuk tergolong antara 100 sekolah berprestasi tinggi.

Pengetuanya, Fuzyah Abdullah, berkata penarafan itu akan diumumkan tahun depan dan ia perkara yang menjadi impian semua sekolah di negara ini kerana penilaiannya sangat menitikberatkan prestasi cemerlang.

Katanya, gelaran sekolah Kluster juga bukan jaminan untuk tergolong dalam kelompok itu dan bagi mencapainya pelbagai usaha dijalankan SMTSA termasuk memperkasa aliran vokasional dengan meningkatkan kecemerlangannya.

“Selain menambah baik kursus vokasional sedia ada seperti Amalan Bengkel Mesin, Kimpalan Fabrikasi Logam dan Pengaturcaraan Komputer, kami juga berhasrat meningkatkan jumlah kursus iaitu Multimedia Kreatif serta Sistem Sokongan Komputer dan Rangkaian.

“Pengambilan pelajar juga akan ditambah dari 877 ketika ini membabitkan tiga aliran (teknik, vokasional dan kemahiran) menjadi 1,700 tahun depan bertujuan melahirkan ramai modal insan berkemahiran tinggi seperti dilakukan Jepun dan Singapura.

KEMESRAAN ditunjukkan guru ketika sesi pengajaran dan pembelajaran membantu meningkatkan motivasi pelajar.

“Enrolmen ini juga terkandung dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kementerian Pelajaran untuk Rancangan Malaysia Ke-10, jadi kami sedang menyusun perancangan bagi meningkatkan lagi kecemerlangan sedia ada,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau yang juga penerima Anugerah Pengetua Cemerlang, berkata kejayaan yang terhasil sejak 16 tahun lalu berpunca daripada kerjasama erat antara guru, kakitangan sekolah dan pelajar serta sokongan pihak luar yang membantu membangunkan prestasi sekolah itu.

“Contohnya, penyertaan dalam Seminar Skor A SPM anjuran Berita Harian dan Management & Science University (MSU) yang disertai sejak tiga tahun banyak membantu pelajar mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan umum itu.

“Malah, suntikan kewangan daripada Yayasan Proton Holdings yang juga menjadikannya sebagai sekolah angkatnya sejak dua tahun lalu membantu kemajuan akademik menerusi program tuisyen bestari, selain mendapat sokongan pihak industri di sekitar sekolah yang terletak di kawasan perindustrian.

Fuzyah Abdullah

“Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tiga tahun kebelakangan ini menunjukkan keputusan memberangsangkan iaitu dengan tahap kelulusan keseluruhan 99.3 peratus (2006), 99.14 peratus (2007) dan 99.57 peratus tahun lalu,” katanya.

Fuzyah berkata, antara perkara membanggakan di sekolah diterajuinya sejak empat tahun lalu adalah kemenjadian pelajar kerana ia dapat dilihat melalui perbezaan pencapaian pelajar daripada keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan SPM.

“Jika mereka hanya mendapat 2A ketika PMR, selepas belajar di sini rata-rata pelajar kami mampu memperoleh 4 hingga 5 A dalam SPM, sekali gus membantu SMTSA menduduki tempat kedua Anugerah Sekolah Harapan Negara 2007 (peringkat kebangsaan) dan johan anugerah sama setahun sebelum itu di peringkat negeri.

“Penyertaan mereka dalam bidang kokurikulum juga membanggakan sehingga berjaya melonjak nama sekolah itu hingga ke peringkat kebangsaan serta antarabangsa seperti penyertaan Kelab Rekacipta di Pertandingan & Inovasi (antarabangsa) dan Persidangan Teknologi Petroleum Antarabangsa tahun lalu.

“SMTSA juga pernah muncul juara ragbi pada Kejohanan Antara Teknik (2008) dan ketiga dalam pertandingan reka cipta anjuran Universiti Malaysia Perlis (2008), naib johan silat (2007 dan 2008), johan pesta pantun dan Perkhemahan Kadet Bomba & Penyelamat Malaysia peringkat negeri (2009),” katanya.

Berita Harian Online: 30 September 2009

Pentadbir sekolah YIK diminta jangan 'besar kepala'

Oleh L C Fang
bhkb@bharian.com.my

Laksana dasar ditetapkan demi kecemerlangan pelajar, sekolah

KOTA BHARU: Pentadbir sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK), terutama pengetua tidak wajar membuat dasar sendiri, sebaliknya harus melaksanakan dasar yang ditetapkan yayasan demi kecemerlangan pelajar dan sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata segala dasar yang ditentukan itu mempunyai peranan tersendiri dan rasional untuk dilaksanakan pentadbir sekolah.

Katanya, dasar untuk mentadbir sekolah YIK bukan saja membabitkan kemantapan akademik, malah mengambil kira usaha meningkatkan imej pelajar, guru dan sekolah.

“Kita (pengetua) tidak boleh buat dasar ikut suka hati hanya disebabkan tidak setuju dengan dasar ditetapkan YIK kerana peranan kita ialah melaksanakan dasar kerajaan, kita bukan penentu dasar berkenaan.

“Misalnya, apabila kita tetapkan syarat 3A 2B untuk kemasukan ke sekolah YIK, maka kita patut jelaskan rasionalnya kepada semua pihak, bukan turut sama membantah dasar berkenaan.

“Selain, itu, sekolah YIK hendaklah berusaha melahirkan kalangan pelajar yang mempunyai keseimbangan dalam intelektual dan emosi agar mereka mampu bersosial sebagai anggota masyarakat,” katanya.

Mohd Amar berkata demikian pada majlis penyerahan buku Ekspedisi Kutub Utara dan Antartika oleh penulisnya, Chua Yew Beng kepada sekolah YIK di Nilam Puri, di sini. Turut hadir ialah Pengarah YIK, Ahmad Robert Abdul Rahman.

Chua, 71, seorang pesara yang berasal dari Pasir Mas, diiktiraf Malaysia Book of Record (MBOR) sebagai pengembara tertua yang sampai ke Kutub Utara dan melakukan lawatan ke 151 negara di seluruh dunia setakat ini.

Chua berkata, sebanyak 2,000 naskhah buku edisi bahasa Malaysia mengenai pengalaman ekspedisinya akan diedarkan secara percuma kepada semua sekolah kebangsaan di negeri ini dalam masa terdekat.

Berita Harian Online: 30 September 2009

PIBG perlu selesai isu disiplin

PORT DICKSON 29 Sept. - Penyelesaian masalah disiplin pelajar bukan hanya tanggungjawab pihak sekolah semata-mata tetapi harus dipikul bersama oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, PIBG boleh berperanan besar dalam menyelesaikan masalah itu dan pada masa sama tidak menjadikannya sebagai isu besar.

"Kita bimbang isu masalah disiplin ini akan menjadi polemik malah lebih memburukkan keadaan jika ia menjadi isu politik.

"Kementerian berharap PIBG berfungsi sebagai pemangkin dengan sama-sama menyelesaikan masalah di sekolah terutama gejala disiplin di kalangan pelajar," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Pendaftaran PIBG Kawasan DUN Bagan Pinang di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Muhammad.

Menurut Mohd. Puad, PIBG perlu aktif memberi sumbangan kepada pihak sekolah termasuk daripada aspek penyampaian idea untuk membangunkan institusi pendidikan negara.

"Kita tidak boleh hanya menumpukan soal pembangunan infrastruktur sebaliknya memberi keutamaan kepada pembinaan dalaman para pelajar bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan berkualiti," katanya.

Tambahnya, jika semua PIBG mengambil pendekatan itu dan bermusyawarah dengan pihak sekolah, hasrat kerajaan untuk menjadikan negara sebagai pusat kecemerlangan pendidikan akan tercapai.

Utusan Malaysia Online: 30 September 2009

Murid tabika anggotai Pengakap Lebah



AHMAD ISMAIL (tengah) bersama kanak-kanak Tabika Kemas Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka yang menyertai Pengakap Lebah di Kem Tengku Mahkota Bandar Jengka, Pahang, baru-baru ini.


KUALA KRAU 29 Sept. - Seramai 50 kanak-kanak Tabika Kemas Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka terpilih menganggotai Pengakap Lebah sempena Perkhemahan Jambori 100 Tahun Pengakap Pahang 2009.

Penyelia Kemas DUN Jengka, Ahmad Ismail berkata, pelancarannya berlangsung di Kem Tengku Mahkota Bandar Jengka dekat sini yang disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Zainul Abidin Daud baru-baru ini.

"Pengakap Lebah adalah khusus kepada kanak-kanak sebagai pendedahan awal untuk mereka mengenali pergerakan pengakap di kemudian hari,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Ahmad berkata, kumpulan perintis itu adalah sebagai permulaan kepada penubuhan Pengakap Lebah di semua tabika dalam DUN Jengka.

Utusan Malaysia Online: 30 September 2009

Selasa, 29 September 2009

SK Pengkalan budayakan pembacaan al-Quran

LAHAT – Program Ihya Ramadan dan khatam al-Quran yang dianjurkan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan, sebelum Syawal lalu berjaya membudayakan pembacaan ayat-ayat suci al-Quran dalam kalangan murid-muridnya.

Guru Besar SK Pengkalan, Baharuddin Yaacob berkata, program berkenaan bertujuan menghidupkan Ramadan sebagai bulan ibadah, seterusnya mampu memartabatkan kitab suci al-Quran itu sendiri.

Menurutnya, program itu adalah wadah kepada pembudayaan al-Quran sebagai salah satu amalan dalam kalangan warga SK Pengkalan yang beragama Islam.

“Kita telah jalankan program ini sepanjang Ramadan yang lalu di mana kita lakukan pada waktu rehat Tahun Tiga, Empat dan Lima serta diadakan di Arena Nur Lestari SK Pengkalan, malah turut diadakan di surau sekolah.

“Kita telah jalankan tadarus al-Quran bagi murid-murid ini dan mana-mana murid yang lemah membaca al-Quran akan mengikuti Kem Bestari Solat. Kita juga turut mengadakan tazkirah Ramadan pada setiap Jumaat selama sepuluh minit selepas majlis bacaan Yasin,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Sebelum itu, badan dakwah sekolah berkenaan turut menganjurkan solat Hajat dan bacaan Yasin untuk murid sekolah itu yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang lalu.

Baharudin berkata, program berkenaan secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara murid sekolah itu, malah hubungan dengan warga pendidik juga semakin akrab.

“Kita mahu eratkan lagi hubungan antara murid itu sendiri dan juga dengan warga pendidik sekolah ini kerana hubungan yang baik akan melancarkan lagi proses pembelajaran.

“Kita yakin apabila adanya pelbagai aktiviti yang mampu memberi manfaat kepada anak-anak, ia sekali gus mampu memastikan bahawa mereka itu tadi tidak ketinggalan dalam apa jua lapangan di sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah turut mengharapkan kerjasama yang padu daripada ibu bapa kerana penglibatan mereka dalam perkembangan anak pasti akan membawa kejayaan yang cemerlang.

“Pencapaian pendidikan anak-anak terletak di tangan ibu bapa dan guru. Sekiranya mereka bekerjasama, maka aspirasi sekolah dan keinginan ibu bapa untuk melihat anaknya mereka cemerlang dalam pendidikan akan tercapai.

“Jadi kita harapkan dalam majlis yang akan kita anjurkan selepas ini, semua ibu bapa akan memainkan peranan masing-masing dan dapat hadir bagi memeriahkan lagi majlis, seterusnya memberi sokongan kepada anak mereka,” katanya.

Sinar Harian: 29 September 2009

Dua sekolah bergabung kukuh perpaduan kaum

KUPANG – Sekolah Kebangsaan (SK) Kupang dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Seng Yok mengadakan Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (Rimup) peringkat sekolah.

Guru Besar, SK Kupang, Abdul Rahim Hasan berkata, antara salah satu aktiviti Rimup iaitu aktiviti Majlis Jamuan Hari Raya bagi mengeratkan silaturahim bersama dengan sekolah lain.

Menurutnya, ia dapat menggalakkan penyertaan masyarakat setempat, guru dan murid serta warga sekolah dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah dalam kegiatan khas secara bersama.

“Secara tidak langsung, ia dapat mewujudkan sikap kerjasama tolong-menolong dan melahirkan suasana muhibah secara terancang.

“Sifat positif inilah yang perlu diterapkan dalam diri murid ini supaya mereka lebih berdisiplin dan menjadi orang yang berguna di masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian di Majlis Jamuan Hari Raya yang diadakan di Sk Kupang, semalam.

Abdul Rahim berkata, aktiviti tersebut dapat melahirkan persefahaman dan toleransi antara murid pelbagai kaum di sekolah dan saling bertukar pendapat.

Sementara itu, Guru Besar SRJKC Seng Yok, Liew Lee Lee berkata, program yang diadakan peringkat sekolah ini dapat melahirkan generasi muda yang berilmu pengetahuan, memiliki jiwa dan peribadi yang unggul dan mampu menghadapi cabaran yang lebih meluas.

Menurutnya, program Rimup yang diaturkan oleh kerajaan ini sememangnya begitu memberikan kesan yang positif khususnya murid di sekolah.

“Saya percaya, adanya kerjasama daripada semua pihak ini, pasti murid di sekolah ini yang kebanyakan adalah golongan sederhana dapat membuktikan kejayaan yang lebih cemerlang.

“Apa yang penting, guru-guru di sekolah ini, sentiasa berusaha sedaya-upaya untuk memastikan murid-murid di sekolah ini mendapat keputusan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 700 murid yang hadir dan masing-masing memakai baju raya dan membawa kuih raya di majlis tersebut.

Sinar Harian: 29 September 2009

Bantu anak yatim, miskin berterusan

REMBAU - Keprihatinan masyarakat berkemampuan membantu menyumbangkan wang ringgit dan keperluan barangan dapur kepada penduduk miskin, anak yatim dan ibu tunggal seharusnya menjadi amalan berterusan.

:Pengetua Sekolah Me-nengah Agama Haji Mohd Yatim, Ulu Gadong, Jamil Othman berkata, usaha murni itu dapat memberi keceriaan dan kegembiraan terutamanya kepada pelajar miskin dan anak yatim yang sememangnya memerlukan perhatian banyak pihak.

Menurutnya, sumbangan diberi dapat meringankan beban ditanggung mereka kerana pemberian itu amat bermakna dan pastinya sangat dihargai.

“Ini menunjukkan walaupun mereka hidup susah namun ada pihak yang prihatin dengan nasib mereka.

“Mungkin apabila dewasa kelak pelajar ini pula akan meneruskan amalan baik ini untuk membantu golongan memerlukan,” katanya.

Jamil berkata, kesanggupan pelbagai pihak turun padang menghulurkan bantuan kepada pelajar membuktikan mereka tidak pernah disisihkan tetapi sentiasa mendapat perhatian daripada orang perseorangan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Hanya Allah SWT yang boleh membalas budi baik mereka dan semoga segala kebaikan dibalas dengan rahmat-Nya” katanya.

Pada majlis itu, seramai sembilan anak yatim piatu, 42 anak yatim, 20 pelajar miskin dan saudara baru menerima sumbangan wang.

Sinar harian: 29 September 2009

Sekolah terap salam kemaafan

RAMUAN CHINA BESAR – Salam kemaafan diterapkan di peringkat sekolah melibatkan murid-murid yang secara tidak langsung memberi cetusan keinsafan kepada mereka supaya melatih diri setiap kali berjumpa orang lebih tua untuk mengamalkan budaya bersalam.

Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Melaka (JPM), Ismail Mohamad berkata, program bawah kelolaan Panitia Islam dan Bahasa Arab, Guru j-Qaf dan Pusat Sumber Sekolah secara tidak langsung memberi pendedahan kepada semua murid supaya bersalam dengan iringan kata maaf kepada golongan dewasa.

Menurutnya, zaman sekarang yang berteraskan kemodenan, kecanggihan kadangkala membuatkan anak-anak leka dengan dunia sendiri sehinggakan rasa hormat mahupun budaya bersalam tidak dihiraukan mereka.

“Inilah caranya pendidikan di peringkat awal terutama di sekolah memberi tunjuk ajar dan kaedah terbaik memastikan setiap murid diisi dengan nilai-nilai murni.

“Seterusnya mengelakkan rasa kekok apabila berhadapan bersama orang dewasa,” katanya kepada Sinar Harian pada program itu.

Hadir sama, Ketua Unit Pencegahan Dadah JPM, Manan Umar; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar, Abd Ghani Hahsim; Sidang Kampung Ramuan China Besar, Shaari Harun dan Imam 2 Masjid Ramuan China Besar, Abd Rahim Jalal.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar, Pouziah Ghani berkata, pihak sekolah akan meneruskan rancangan dan aktiviti mengikut saranan kementerian mahupun JPM untuk meningkatkan kecemerlangan murid.

“Banyak perkara dan budaya perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa kerana jika bukan di peringkat sekolah memulakan, maka sudah pasti murid-murid dibuai kelekaan dengan dunia sendiri, sehinggakan tidak mengetahui cara menghormati orang tua.

“Kita sememangnya mengharapkan sokongan ibu bapa juga PIBG termasuk agensi atau NGO untuk menganjurkan seberapa banyak program di sekolah ini demi untuk murid-murid sekolah,” katanya.

Sinar Harian: 29 September 2009

SK Seksyen 9 terus perkasa literasi murid

Pusat Sumber Sekolah (PSS) merupakan satu gedung ilmu pengetahuan yang mana individu atau kumpulan dapat mencari, memperkaya dan mempertinggi pengalaman dan pengajian.

PSS juga merupakan agen perubahan dalam sesebuah sekolah ke arah perkembangan potensi dan minat individu serta kerjasama kumpulan.

Kepentingan dan fungsi PSS dilihat mempunyai kuasa besar yang mampu memberi impak besar khusus kepada murid-murid terutamanya terhadap perkembangan intelektual mereka.

Menyedari hakikat itu telah mendorong Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 9, Shah Alam untuk terus memperkasa fungsi PSS di sekolah tersebut bagi meningkatkan tahap literasi dalam kalangan murid-muridnya.

Guru Besarnya, Paridah Anum Tajudin berkata, pihak sekolah sentiasa optimistik dalam merencana kecemerlangan murid-muridnya.

Menurutnya, pihak sekolah telah mencipta kelainan dan keunikan di PSS sehingga berjaya merangkul beberapa anugerah sama ada peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

“Kejayaan ini hasil keberkesanan PSS di sekolah ini yang berkonsepkan ‘sekolah dalam pusat sumber’.

“Idea ini tercetus rentetan senario pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia masih berada pada tahap yang rendah berbanding rakyat di negara maju,” katanya.

Selain itu beliau berkata, perlaksanaan daripada peringkat akar umbi yang bermula dari sekolah rendah dilihat platform terbaik untuk menarik minat murid-murid terhadap budaya membaca.

Katanya, melalui konsep ‘sekolah dalam pusat sumber’ bermaksud setiap sudut di sekolah adalah Pusat Sumber yang mengandungi bahan bacaan.

“Ia salah satu usaha untuk menghakis persepsi individu yang menganggap membaca buku hanya di Pusat Sumber sahaja. Tetapi pembacaan itu boleh dilakukan di mana-mana sahaja berdasarkan kreativiti sekolah untuk mencorakkan minat membaca terhadap murid-muridnya.

“Ini kerana konsep Pusat Sumber di sekolah ini ialah berdasarkan 23 koridor Pusat Sumber (Laman Bestari, Laman Nilam, Taman Maths) dan 22 rangkaian Pusat Sumber (Bilik APS, Bilik Kitar Semula, Bilik PPSMI). Ia juga merupakan salah satu mekanisme untuk menjadikan setiap bilik di sekolah sebagai perpustakaan,” katanya.

Kreativiti tersebut menurutnya, telah membantu sekolah meraih beberapa anugerah.

“Sejak 2004, PSS sekolah itu menjadi johan peringkat daerah. Walaupun PSS menjalankan fungsi sepenuhnya pada tahun 2005 tetapi tetap berjaya memenangi naib johan peringkat negeri dan tahun 2006 sekolah tersebut menjadi johan peringkat negeri.

“Namun yang lebih membanggakan 2008 telah mencatat detik bersejarah apabila merangkul johan Pertandingan Pusat Sumber Peringkat Kebangsaan dalam Majlis Hari Kualiti Kementerian Pelajaran Malaysia 2008,” katanya.

Antara kriteria yang dinilai dalam pertandingan itu ialah berdasarkan tahap penguasaan pembacaan yang tinggi dalam kalangan murid-murid menerusi pemantapan menerusi Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam).

Sekolah itu terus cemerlang apabila berjaya mendapat anugerah Pengurusan Nilam terbaik peringkat negeri Selangor pada tahun 2007. Bahkan berjaya melahirkan johan tokoh Nilam peringkat negeri Selangor 2007 iaitu Nurul Radhiah Ibrahim dan naib johan tokoh Nilam peringkat negeri Selangor 2008 iaitu Adriana Zainurin.

Selain itu, pengurusan dan penggunaan adalah aspek penting dan menjadi penanda aras kepada kejayaan sesebuah Pusat Sumber.

Dengan cara ini dapat membantu untuk melakukan penambahbaikan fungsi Pusat Sumber.

Pihak sekolah turut memanfaatkan fungsi dan bahan-bahan yang terdapat dalam PSS secara optimum untuk tujuan Pembelajaran dan Pembelajaran (P&P) dan aktiviti berpersatuan.

Paridah Anum berhasrat untuk terus mengekalkan kejayaan itu pada tahun yang seterusnya. Walau bagaimanapun, pihak sekolah akan mencipta kelainan supaya Pusat Sumber ini dijadikan wadah untuk mencipta kecemerlangan murid-murid di sekolah tersebut.

“Ia juga dapat merealisasikan hasrat kementerian untuk menarik minat membaca dan meningkatkan penguasaan membaca dalam kalangan murid-murid, katanya.

Bagi Guru Perpustakaan dan Media, Rosmiah Selamat berkata, PSS juga turut menggunakan pendekatan lain untuk menarik minat murid mengunjungi Pusat Sumber.

Menurutnya, antaranya dengan menggalakkan semua panitia mata pelajaran untuk menganjurkan program yang melibatkan penyertaan semua murid dan guru.

“Guru Besar berhasrat untuk menjadikan sekolah ini sebagai sekolah cemerlang. Oleh itu, menerusi lawatan kerja ke sekolah-sekolah cemerlang beliau telah menggunakan kelebihan di sekolah berkenaan untuk diadaptasikan di sekolah ini,” katanya.

Bagaimanapun, SK Seksyen 9 akan terus menerajui kecemerlangan murid melalui pembacaan. Bagi merealisasikan tujuan itu, pihak sekolah bakal mewujudkan ‘e-book’.

Ia sebagai perintis pendedahan kepada pembacaan yang berteraskan teknologi maklumat dengan kaedah yang lebih menarik.

Konsep ‘e-book’ itu bakal diluaskan penggunaannya dan diletakkan di setiap sudut koridor di sekolah itu.

Sinar Harian: 29 September 2009

Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan meriah

KLANG – Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Muzik dan Sivik Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi (SKBT) di sini, semalam diadakan dengan cukup meriah.

Penyelarasnya, Noraidah Ahmad Ahya berkata, majlis tersebut bersempena sambutan bulan kemerdekaan negara ke-52 yang lalu dan warga sekolah didedahkan dengan pelbagai aktiviti patriotik sepanjang ia berlangsung.

Menurutnya, perpaduan dan semangat muhibah perlu dipupuk sejak di peringkat sekolah rendah lagi dan dengan mengadakan pelbagai pertandingan patriotik semangat tersebut akan terus dapat disemarakkan.

“Terdapat beberapa pertandingan yang disediakan kepada semua murid baik tahap satu dan dua untuk bersama-sama menyertainya.

“Antaranya termasuk pertandingan mewarna patriotik, melukis poster, pakaian patriotik, nyanyian koir dan juga solo patriotik,” katanya.

Selain itu berkata, pembacaan perutusan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Aminuddin Mohd Dom untuk Hari Kebangsaan ke-52 disampaikan Guru Penolong Kanan (GPK) Kurikulum, Abd Majid Ismail manakala perutusan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pula disampaikan oleh GPK Kokurikulum, Abdullah Butun.

“Sementara itu, majlis perasmian penutupan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 peringkat sekolah ini dirasmikan oleh Guru Besar, Abas Bohilan,” katanya.

Noraidah berkata, majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian koir lagu patriotik daripada murid tahap satu, nyayian solo murid tahap dua dan juga pakaian patriotik tahap satu.

“Terdapat juga nyanyian beramai-ramai lagu ‘Budi Bahasa Budaya Kita’, ‘Pada Mu Malaysia’, ‘Tanggal 31 Ogos’ dan juga bacaan Rukun Negara selain daripada tayangan video kemerdekaan” katanya.

Antara lain katnaya, matlamat majlis tersebut untuk menanamkan semangat perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum dan anutan agama agar lebih mesra serta bekerjasama tanpa prejudis.

“Selain itu, ia juga dapat meningkatkan motivasi belajar dengan semangat patriotik selain dapat menggalakkan mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum bersatu dalam membentuk kumpulan untuk menguatkan integrasi nasional,” katanya.

Sinar Harian: 29 September 2009

Calon PMR perlu sedia mental, fizikal

KUANTAN - Pelajar Tingkatan Tiga yang bakal menghadapi Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) awal bulan depan, dinasihatkan supaya membuat persediaan rapi sebelum menempuh peperiksaan itu.

Yang Dipertua Majlis Guru-Guru Kaunseling Cawangan Pekan, Jamiuddin Kassim berkata, pelajar boleh membuat persediaan dalam beberapa aspek seperti mental dan fizikal.

Menurutnya, persediaan fizikal merangkumi beberapa perkara iaitu akademik manakala aspek mental pula membabitkan penjagaan kesihatan.

“Persediaan ini dilakukan secara berperingkat iaitu beberapa minggu sebelum peperiksaan dan seterusnya.

“Memandangkan pelajar menghadapi PMR minggu depan, mereka boleh melakukan persiapan terakhir dan jangan terlalu tertekan untuk menghadapi hari peperiksaan ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Jamiuddin berkata, untuk tempoh seminggu ini, pelajar boleh membuat ulang kaji menggunakan nota kecil atau peta minda.

"Ini kerana ia lebih mudah untuk difahami selain tidak menyukarkan pelajar mengingati fakta penting.

“Mereka (calon PMR) perlu mempraktikkan segala kemahiran diperoleh ketika belajar di kelas bagi membantu mereka lebih tenang dalam menghadapi peperiksaan ini.

“Saya percaya, setiap sekolah membuat pelbagai persediaan dan mereka juga didedahkan dengan teknik menjawab soalan yang betul," katanya.

Beliau berkata, untuk persediaan terakhir, pelajar juga dinasihatkan supaya memilih tempat yang sesuai dan selesa ketika membuat ulang kaji sama ada secara bersendirian ataupun berkumpulan.

"Tempat ulang kaji pelajaran amat penting juga supaya mereka tidak diganggu dengan unsur lain seperti bising yang menyebabkan hilang tumpuan.

"Oleh itu, memilih tempat ulang kaji yang kondusif dan selesa turut mendorong mereka boleh ingati dan memahami subjek yang dipelajari sebelum menjelang peperiksaan itu," katanya.

Jamiuddin turut menasihatkan pelajar menjaga kesihatan dalam tempoh peperiksaan dan mengelak terbabit aktiviti luar yang boleh menjejaskan kesihatan.

“Pelajar disarankan agar bijak memanfaatkan masa dan tidak salah jika mereka mahu bersantai bersama keluarga untuk hilangkan tekanan sebelum menghadapi peperiksaan.

“Bagaimanapun, pelajar tidak digalakkan untuk terlalu berseronok kerana bimbang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Sinar Harian: 29 September 2009

Bengkel kraf bantu pelajar istimewa berdikari

KUANTAN - Pelajar istimewa harus diberi peluang untuk mengetengahkan bakat dan kemahiran mereka supaya membantu mereka menjalani kehidupan lebih baik selepas tamat persekolahan.

Guru Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Damai, Che Zaini Yusof berkata, bengkel kraf tangan manik yang dikhususkan kepada pelajar istimewa mampu menjadi medium terbaik dalam membantu golongan itu menyara kehidupan selepas tamat persekolahan.

Menurutnya, bengkel yang beroperasi sejak 2003 itu sudah banyak memperlihatkan kemampuan pelajarnya malah kerja kraf tangan yang dihasilkan turut dikagumi guru di sekolah itu.

“Produk manik yang dihasilkan semakin bertambah jika dibandingkan pada awal dahulu.

“Pada tahun pertama, mereka hanya diajar untuk membuat rantai dan gelang manik, tetapi kini mereka berjaya menghasilkan tas tangan, pasu bunga dan kotak tisu malah ia dapat menarik perhatian guru untuk menempah produk berkenaan,” katanya ketika ditemui di sekolah itu.

Che Zaini berkata, seramai 19 pelajar istimewa terbabit dalam bengkel kraf tangan itu dan mereka diajar secara berperingkat mengikuti tahap kemahiran masing-masing.

“Ada sebahagian pelajar mahir dan ada juga masih memerlukan bantuan guru untuk menghasilkan sesuatu produk.

“Ia tidak menjadi masalah kerana dengan kekurangan mereka yang mempunyai masalah pembelajaran, guru pasti sabar untuk melihat mereka berjaya,” katanya.

Beliau tujuh tahun mengendalikan bengkel berkenaan juga berpuas hati dengan kesungguhan pelajarnya untuk mempelajari kemahiran berkenaan.

“Setakat ini, saya gembira dengan kemampuan dan minat mereka untuk mendalami kemahiran, tidak kira pelajar lelaki mahupun perempuan, mereka sama-sama berusaha memberi terbaik.

“Namun, kesedaran ibu bapa untuk bantu anak istimewa sangat mengecewakan kerana selepas tamat persekolahan, mereka tidak mempunyai peluang mengembangkan kemahiran dipelajari di sekolah.

“Satu kerugian kerana sekolah sediakan platform terbaik untuk golongan istimewa berdikari tetapi sikap sesetengah pihak mengecewakan,” katanya.

Sinar Harian: 29 September 2009

Kemiskinan bukan penyebab kegagalan

KOTA BHARU – Pelajar dinasihatkan supaya belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah masa depan keluarga walaupun berasal dari keluarga miskin.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin, Fauziah Mohamed berkata, walaupun kebanyakan pelajar terdiri dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan tetapi ia jangan dijadikan sebagai alasan terus tidak berubah.

Menurutnya, pelajar perlu menjadikan penga-laman hidup serta kesusa-han yang ada sekarang untuk lebih berjaya di dalam hidup.

“Saya mahu melihat semua anak murid di sekolah ini berjaya di dalam pendidikan dan boleh membuktikan mereka mampu memperoleh kejayaan seperti mereka yang cemerlang di negeri ini.

“Saya berharap kesukaran kita untuk mendapat sesuatu disebabkan oleh keluarga boleh menjadikan ia sebagai pencetus semangat untuk menjadi insan yang produktif,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Terdahulu beliau bersama kira-kira 135 pelajar yang menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan 100 penerima zakat di SMK Kemumin sempena Program Majlis Ada Yang Sayang.

Hadir sama menyampaikan wang KWAPM ialah Ketua Wanita UMNO Ba-hagian Pengkalan Chepa, Zarina Eusope.

Fauziah berkata, program berkenaan diadakan untuk membantu meri-ngankan beban pelajar kurang berkemampuan menerusi sumbangan yang diberikan.

“Saya berharap ibu bapa dan pelajar dapat meman-faatkan sumbangan yang diberikan,” katanya.

Sinar Harian: 29 September 2009

Tugas tambahan jejas keupayaan guru

Oleh Azrul Affandi Sobry

Penambahan jawatan staf sokongan amat penting untuk beri fokus tugas mengajar

AWAL tahun, hari sukan, hari kokurikulum, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hari terbuka, musim peperiksaan, pertandingan peringkat daerah dan negeri, minggu suai kenal serta banyak lagi beban kerja yang selama ini terpaksa ditanggung guru sehingga sering kali memberi tekanan kepada mereka.

Guru kini bukan sekadar pengajar, malah semakin kurang dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, walaupun semua pihak menekankan kewajipan itu sebagai skop tugas utama guru di sekolah. Apa tidaknya, jengoklah ke mana-mana sekolah, atau tanyalah kepada mana-mana guru pun, pasti keluhan dan rungutan yang akan kedengaran mengenai tumpuan tugas mereka yang semakin hari semakin membebankan.

Itulah gambaran yang sewajarnya dilihat bagi menceritakan betapa guru kini tidak seperti guru pada satu zaman sebelum ini yang dihormati atas kredibiliti sebagai guru yang tegas dalam menyampaikan pengajaran serta cukup disegani atas kedudukan sebagai gedung ilmu.

Banyak pihak yang mungkin mencebik, menjuih bibir apabila guru merungut mengenai beban yang mereka hadapi. Tak kurang juga yang mengatakan guru ketika ini manja dan banyak 'songeh' serta pelbagai kritikan lagi seperti � 'sudahlah kerja separuh hari, cuti banyak pula, itupun nak merungut'.

Namun, mereka yang kebanyakannya menyalahkan guru dalam isu rungutan itu mungkin tidak peka mengenai situasi sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan sekadar kerap perlu bekerja melebihi masa sepatutnya, malah dibebani dengan longgokan kerja yang ada kalanya tak selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga atas katil sebelum tidur.

Hampir kebanyakan tugas yang selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini menjadi tanggungjawab guru. Daripada tugas merekod maklumat murid, data peribadi, keputusan peperiksaan secara manual dan berkomputer, bayaran yuran, rekod pinjaman buku teks, inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada peringkat pejabat pendidikan daerah serta jabatan pelajaran negeri.

Justeru, tak wajar guru dulu dan sekarang dijadikan perbandingan kerana pada zaman berteknologi maklumat serba canggih ini, semuanya perlu direkodkan secara berkomputer walaupun rekod bertulis turut perlu dibuat dan yang menyedihkan, bukan semua guru ada komputer atau lebih parah lagi, tak semuanya celik komputer.

Sebagai contoh, setiap tahun guru perlu mengemaskini maklumat murid serta data peribadinya. Tak cukup dengan itu, kutipan yuran perlu dibuat sendiri dan direkodkan dengan kemas. Maklumat lain termasuk rekod pinjaman buku teks dan keputusan peperiksaan perlu dikemas kini segera.

Bagi guru yang ditugaskan mengepalai panitia pula, beban itu ditambah dengan keperluan menyediakan kertas soalan peperiksaan hampir setiap dua atau tiga bulan. Ada pula guru yang mahir sedikit dalam reka bentuk grafik ditugaskan pula menyediakan grafik untuk majalah sekolah.

Tidak perlulah diperincikan semua beban tugas lain yang perlu lakukan kerana realitinya itu bukan tugas utama guru di sekolah, malah tak pernah diajar ketika mereka mengambil kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG). Guru kelas pula pastinya sering merungut setiap kali musim kemas kini data tiba dan mereka ini juga yang kebiasaannya ditugaskan sebagai guru panitia, guru pembimbing rumah sukan serta kelab.

Persoalannya, bukankah semua beban tugas itu sewajarnya dilakukan oleh mereka yang lebih pakar dalam tugas merekod data atau maklumat. Bukankah kerja membabitkan kewangan perlu dilaksanakan kerani kewangan dan perihal data pula diuruskan oleh pegawai data? Memang ada guru data di sekolah, tetapi mereka sebenarnya bukan fokus dalam hal data semata-mata kerana perlu juga mengajar di kelas, malah ada yang perlu mengajar subjek kritikal.

Guru IT pula hanya layak mengajar asas komputer seperti menggunakan perisian Microsoft Word, Powerpoint atau Excel tanpa ada skil membuat sistem data yang lebih memudahkan guru memasukkan maklumat secara pantas dan pengiraan markah peperiksaan dibuat secara berkomputer, malah guru IT juga guru biasa yang perlu mengajar.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman, berkata kementerian wajar mewujudkan satu jawatan baru di sekolah iaitu staf sokongan yang ditugaskan merekodkan data.

"Ketika ini, guru terutama guru kelas adalah mereka yang paling teruk dibebani dengan tugas tambahan selain mengajar dan ia paling kritikal ketika musim persekolahan baru bermula. Ketika itu, guru bukan setakat perlu menyediakan maklumat peribadi pelajarnya tetapi dibebani dengan banyak lagi tugas lain.

"Mereka perlu mengutip yuran, sediakan buku kedatangan pelajar, dapatkan maklumat murid serta keluarga mereka seterusnya membuat analisis kelayakan untuk diberi bantuan, malah guru juga bertindak sebagai pegawai kesihatan yang merekodkan maklumat kesihatan.

"Justeru, penambahan jawatan staf sokongan itu amat penting untuk mengembalikan guru kepada tugas sebenar mereka iaitu mengajar. Mereka perlu fokus untuk pengajaran, bukan dalam kerja pekeranian. Jangan biarkan mereka terus buat banyak kerja lain setiap hari dan pening kepala setiap hujung bulan," katanya.

Jemali turut bersetuju bahawa guru kini bukan sekadar layak digelar kerani tetapi mungkin tukang kebun, pengasuh, pereka grafik, tukang cat dan semua beban kerja yang dilonggokkan ke bahu mereka. Katanya, masa yang lapang hanya dua atau tiga waktu tetapi mengikut pekeliling, ia perlu diisi dengan persiapan mengajar.

"Cuti tahunan atau cuti rehat khas hanya ada tujuh hari. Mana cukup untuk digunakan apabila perlu. Berbeza dengan sektor lain, mereka ada tempoh cuti tahunan lebih panjang dan dapat fokus pada skop kerja mereka.

"Contohnya, mana ada jururawat yang ditugaskan membuat landskap hospital. Mana ada jurutera yang ditugaskan mengecat bangunan pejabat, tapi guru ada ketikanya perlu buat semua itu. malah, mural sekolah atau mengecat bangunan sekolah juga tergalas di bahu mereka," katanya.

Justeru, adalah wajar kementerian memantau apa keperluan dan keperitan yang dihadapi penggerak utama dalam sektor pendidikan di negara ini. Jangan satu hari nanti, kerjaya guru tidak lagi dipandang tinggi lantaran tidak lagi bertindak sebagai penyampai ilmu berkaliber kerana terlalu fokus pada tugas lain.

Berita harian Online: 29 September 2009

Beri pendidikan berkualiti - TPM

PORT DICKSON 28 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan golongan pendidik dan perancang agar menyediakan pengisian pendidikan yang berkualiti tinggi supaya generasi masa depan dapat mengikuti sistem pendidikan yang terbaik.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, memang menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melihat generasi masa depan menguasai pembelajaran secara efisien dan berkualiti termasuk dengan menyediakan kemudahan fizikal yang baik.

''Di sebalik perancangan kerajaan menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif, kita seharusnya tidak boleh melupakan tenaga manusia terlatih terutama dalam menyediakan modal insan yang diperlukan negara,'' katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Sekolah Kebangsaan Intan Perdana di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Menurut Muhyiddin, kerajaan tidak akan mengabaikan sistem pendidikan negara kerana menyedari ia adalah perkara penting dalam pembangunan negara.

''Pendidikan adalah aspek yang kita (BN) berikan perhatian sejak dahulu lagi. Saya sebut ini kerana ia merupakan dasar kerajaan BN yang dibuat secara berterusan.

''Kita berikan perhatian yang paling utama dalam soal pendidikan bahkan memastikan akses pada pendidikan juga hendaklah berkualiti," ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan mahu melihat pada masa hadapan anak- anak dididik dengan pemikiran berdaya tinggi, mampu menguasai sains dan teknologi serta hebat dalam bidang inovasi.

''Kita tidak boleh bergantung kepada tenaga asing dan kepakaran luar negara. Kita mahu melahirkan kelompok yang mahir di kalangan rakyat Malaysia dan ada kepakaran sendiri yang sekali gus mempercepatkan proses pembangunan negara," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar kerajaan cukup jelas dalam mengutamakan pendidikan di negara ini dan ia sepatutnya tidak dipersoalkan oleh sesiapa pun.

''Kita tidak mahu ada anak-anak kita yang terkecuali dalam soal pendidikan. Kita mahu mereka diberikan peluang belajar yang secukupnya supaya mereka boleh menimba ilmu dan mentadbir negara pada masa hadapan," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, kementerian telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta lagi bagi membangunkan sekolah menengah berdekatan sekolah rendah tersebut.

Katanya, kos pembinaan Sekolah Kebangsaan Intan Perdana yang menyediakan 18 bilik darjah dan dua kelas pra sekolah juga ditambah RM500,000 lagi berbanding kos asal RM18 juta kerana ia menggunakan sistem binaan industri (IBS).

''Sekolah lama di sekitar kawasan ini sudah terlalu sesak dan ketika ini ia hanya mampu menampung lebih 1,700 pelajar. Jadi kita bersetuju untuk membangunkan sekolah yang baru di Taman Intan Perdana ini.

''Kita mahu memastikan pembinaan sekolah itu nanti dibuat secepat mungkin dan akan menggunakan kaedah pembinaan IBS. Saya mahu melihat sekolah rendah ini dapat dibina bermula awal 2010 dan dapat disiapkan sebelum penghujung 2011,'' tegasnya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM3.8 juta bagi membaiki dan menaik taraf 21 buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang kepada Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Muhammad.

Utusan Malaysia Online: 29 September 2009

Isnin, 28 September 2009

SMKSIS II teruskan tradisi tadarus al-Quran

GERIK – Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II (SMKSIS II) mempunyai tradisi tersendiri dijalankan pada setiap tahun sepanjang Ramadan.

Tradisi yang mula dijalankan sekitar 1996 ini diteruskan sehingga kini dan menjadi satu acara wajib yang diadakan sebelum bermula cuti perayaan Aidilfitri.

Penolong Kanan SMKSIS II, Mohd Nordin Mahmud berkata, acara yang dimaksudkan adalah acara khatam al-Quran beramai-ramai melibatkan semua pelajar yang menginap di asrama sekolah tersebut.

Menurutnya, ia adalah kesinambungan daripada tadarus al-Quran yang menjadi acara wajib bagi pelajar yang menetap di asrama sekolah itu sebagai pengisian aktiviti sepanjang Ramadan.

“Acara sebegini sememangnya ditetapkan untuk diadakan pada malam akhir persekolahan sebelum pelajar dilepaskan pulang untuk bercuti.

“Ia adalah acara tetap di asrama ini dan satu tradisi asrama yang ingin dikekalkan di masa akan datang,” katanya.

Selain itu, menurutnya majlis khatam tersebut membuka peluang kepada pihak sekolah dan pihak pengurusan asrama untuk memberikan zakat kepada pelajar yang diperoleh hasil sumbangan individu serta korporat.

Mohd Nordin berkata, program titu adalah program yang dijalankan di bawah program ibadat dan program kerohanian serta satu cara bagi pihak asrama menerapkan kemurnian ajaran Islam kepada pelajar asrama SMKSIS II.

“Selain mementingkan kejayaan akademik pelajar ini, pihak pengurusan asrama juga mempunyai matlamat membentuk pelajar yang menetap di asrama ini sebagai individu Muslim sejati.

“Kami percaya kejayaan dalam bidang akademik perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah Muslim sejati bagi membolehkan pelajar ini dibentuk menjadi seorang individu yang benar-benar berkualiti,” katanya.

Menurutnya, program ini adalah satu acara yang sering menjadi penantian pelajar asrama dan sering kali mendapat sambutan baik daripada mereka.

“Sambutan daripada pelajar menggalakkan dan mereka nyata sekali memberikan kerjasama yang bagus demi menjayakan program ini.

“Kerjasama yang diberikan biro asrama juga adalah amat baik di mana mereka bekerja keras dan bertungkus lumus bagi memastikan program ini berjaya dan tradisi ini dapat dikekalkan terus di asrama SMKSIS II,” katanya.

Sinar Harian: 28 September 2009

Kejayaan SMK Ayer Puteh Dalam luar biasa

PENDANG – Kejayaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Puteh Dalam amat tidak disangka apabila mencipta sejarah setelah muncul johan pada Kejohanan Bola Sepak Luar Musim Kategori Bawah 14 Tahun, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Pendang tahun 2009 menundukkan pasukan pilihan SMK Tunku Temenggung 1-0.

Pasukan yang sebelum ini dilabel sebagai pasukan belasahan tiba-tiba mempamerkan aksi mantap sepanjang kejohanan itu.

Saingan di peringkat kumpulan tidak begitu memberangsangkan apabila SMK Ayer Puteh Dalam mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan pasukan SMK Pendang dan SMK Kubor Panjang.

SMK Ayer Puteh Dalam bangkit pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan apabila membelasah SMK Sungai Tiang 3-0 untuk melayakkan diri ke separuh akhir.

Saingan separuh akhir mempertemukan sekolah itu dengan juara kumpulan A, SMK Tanah Merah dan keputusan memihak kepada SMK Ayer Puteh Dalam dengan kemenangan 3-2 dalam perlawanan yang begitu mendebarkan.

Jurulatih pasukan, Zairon Zainol berkata, aksi di pentas final yang diidamkan pemain digunakan dengan mempamerkan tentangan bertenaga.

Cubaan penyerang SMK Ayer Puteh Dalam, Md Khir Ismail pada minit terakhir perlawanan terkena pemain pertahanan pasukan SMK Tunku Temenggung dan bola menerjah jaring untuk memberi kemenangan mutlak 1-0.

Beliau berkata, kejayaan sekolah ini amat tidak disangka dan ia akan menjadi penyuntik semangat anak buahnya pada kejohanan akan datang.

Sinar Harian: 28 September 2009

SKPP9 (1) perkasakan pengetahuan ICT

PUTRAJAYA - Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) (SKPP9) (1) terpilih sebagai perintis Projek Pembelajaran Terupaya Komputer 1:1 bagi meningkatkan keupayaan pembelajaran kendiri murid, yang akan dilaksanakan mulai bulan depan.

Guru besar, Nafishah Hassan berkata, menerusi projek terbaru di bawah program Sekolah Angkat Kementerian Pelajaran - Intel Fasa 2, seramai 552 pelajar Tahun Tiga hingga Lima akan menerima komputer riba atau Classmate Portable Computer (CPC) secara percuma untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Menurutnya, kemudahan terbaru diberikan kepada Sekolah Bestari itu bagi memudahkan murid membuat rujukan dan mendapatkan maklumat tambahan, selain menjadikan proses pembelajaran dalam kelas lebih menarik.

“Pemilihan SKPP9(1) yang ditubuhkan pada 2000 di pusat pentadbiran negara itu menjalankan projek berkenaan kerana kejayaan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan disediakan di bawah program pembestarian sekolah dalam P&P.

“Pada awal pelaksanaan projek, murid hanya akan dibenarkan menggunakan CPC di bawah bimbingan guru ketika kelas berlangsung, sebelum diberi kepercayaan penuh memanfaatkannya pada waktu rehat dan di rumah,” katanya.

Sementara itu, pelaksanaan projek bagi memangkin pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai salah satu bidang kebitaraan sekolah itu sejajar penerimaan status Sekolah Kluster Fasa Ke-3 pada 20 April lalu.

Antara sasaran yang ingin dicapai menerusi pembangunan ICT di sekolah berkenaan adalah untuk menjadikan kaedah pembelajaran memfokuskan murid sepenuhnya serta membudayakan penggunaan teknologi bagi menjadikan P&P lebih menarik dan berkesan.

“Penggunaan ICT turut diterapkan dalam pembangunan dua lagi bidang kebitaraan sekolah termasuk dalam bidang tarian dan muzik menerusi gubahan lagu,” katanya.

Sinar Harian: 28 September 2009

SRJKC terus amal sikap berjaga-jaga

PASIR PUTEH - Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Kai Chih terus memupuk kesedaran dalam kalangan warganya, mengenai bahaya wabak Influenza A (H1N1) walaupun kes mengenainya mula berkurangan.

Guru Besarnya, Lee Cha Yop berkata, kesedaran mengenai pencegahan penyakit berbahaya perlu dibuat dari awal lagi bagi mengelak kanak-kanak yang bakal mewarisi kepimpinan negara menjadi mangsa.

Kata, guru dan ibu bapa mesti terus memainkan peranan memupuk kesedaran kepada anak-anak agar berusaha berlindung dari wabak melanda negara ketika ini.

Katanya, dalam keadaan H1N1 yang belum mempunyai ubat, kaedah pencegahan perlu diberi keutamaan khususnya kepada kanak-kanak yang belum sepenuhnya memahami wabak itu.

“Saya berharap, anak-anak ini tidak dibawa mengunjungi kawasan orang ramai berkumpul kerana ia cukup berisiko dihinggapi wabak tersebut.

“Kesedaran memakai topeng muka ini perlu dipupuk setiap hari sehingga negara kita benar-benar selamat daripada ancaman wabak H1N1, dapatkan rawatan doktor seberapa segera jika mengalami demam atau selesema,” katanya selepas mengagihkan topeng muka kepada warga SRJKKC yang disumbangkan Pengerusi MCA Bahagian Pasir Puteh, Lee Kok Seng.

Cha Yop berkata, keprihatinan yang ditunjukkan pimpinan masyarakat mampu memacu kehidupan lebih baik, apatah lagi kepada generasi baru yang disandarkan harapan besar untuk membangunkan negara suatu masa nanti.

Sinar Harian: 28 September 2009

8 tercampak daripada kereta api mini

PADANG BESAR: Seorang guru dan tujuh murid sebuah sekolah di Bukit Mertajam, cedera selepas tercampak keluar daripada kereta api mini di pusat rekreasi Gua Kelam 2 di Kaki Bukit, dekat sini, yang mengalami masalah teknikal secara tiba-tiba, semalam.

Guru pengiring perempuan dan seorang pelajar, cedera di kepala dan terpaksa menerima jahitan, manakala enam pelajar dirawat sebagai pesakit luar dan hanya mengalami lebam di tangan dan badan dalam kejadian jam 10.45 pagi itu.

Sebuah gerabak kereta api mini dinaiki 24 murid berkenaan dikatakan menggelongsor turun ketika memasuki gua yang curam selepas bekalan elektrik di situ terputus.

Semua mangsa dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perkampungan Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), kira-kira 45 kilometer dari tempat kejadian.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Ridzuan Salleh, berkata berikutan kejadian itu, pusat rekreasi ditutup untuk siasatan.

terbaru berhampiran Gua Kelam yang dibuka sejak beberapa bulan lalu, ditutup bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan.

Berita Harian Online: 28 September 2009

Jumaat, 25 September 2009

Nafisah jadi 'mama' 78 anak istimewa

JOHOR BAHRU 24 Sept. - Bagi 78 murid cacat penglihatan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth di sini, guru besar, Nafisah Ismail, 51, adalah 'mama' yang membesar dan mendidik mereka dengan penuh kasih sayang.

Pemerhatian Utusan Malaysia di sekolah itu di Jalan Nong Chik mendapati, berbanding gelaran guru besar, murid-murid di situ lebih selesa memanggil Nafisah sebagai 'mama'.

Buat Nafisah, panggilan itu amat menyenangkan, namun dalam masa sama beliau menyedari tanggungjawab besar dipikulnya lantaran harapan tinggi murid-murid yang menganggap beliau seperti ibu mereka sendiri.

Katanya, tugas membesar dan mendidik kanak-kanak istimewa adalah sangat mencabar justeru ia perlu dilakukan dengan kesungguhan, minat, keikhlasan, komitmen, kebijaksanaan dan kesabaran yang tinggi.

Tambahnya, disebabkan kekurangan yang dialami, murid-murid istimewa itu lazimnya bersifat sensitif justeru kesilapan yang dilakukan perlu ditegur dengan penuh hikmah supaya tidak menyinggung perasaan mereka.

"Namun ini tidak bermakna mereka perlu dimanjakan secara berlebihan. Jika salah mereka tetap perlu ditegur.

"Mereka perlu belajar daripada kesilapan supaya suatu hari nanti mereka dapat hidup tanpa terlalu banyak bergantung kepada orang lain," katanya ketika ditemui di sekolah itu di sini baru-baru ini.

Mengenai sekolah tersebut, Nafisah memberitahu, ia dibuka sejak 1953 dan kini menempatkan 78 murid berusia antara enam hingga 12 tahun yang menghadapi masalah penglihatan.

Sekolah di bawah kelolaan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) itu turut menyediakan kemudahan asrama memandangkan murid-murid di situ datang dari seluruh Semenanjung.

Nafisah berkata, seperti kanak-kanak biasa yang lain, murid-murid istimewa juga mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi, suka bermain, bergurau dan ada juga yang nakal.

Katanya, faktor keluarga juga banyak mempengaruhi perwatakan kanak-kanak istimewa dengan mereka yang mendapat kasih sayang lazimnya lebih berkeyakinan dan kurang masalah disiplin.

"Bagaimanapun ada juga ibu bapa yang menganggap anak istimewa ini sebagai beban dan ini menyebabkan mereka kurang keyakinan diri malah ada juga yang memberontak dengan mempamerkan tingkah laku bermasalah.

"Namun di sini, kita layan sama rata, semuanya satu keluarga, suka duka dikongsi bersama," katanya.

Sementara itu, menurut Nafisah, antara kisah yang menyentuh hatinya apabila seorang kanak-kanak dikenali sebagai Wan menelefon beliau untuk memaklumkan dia akan memasuki SKPK Princess Elizabeth pada tahun depan.

"Wan yang berusia enam tahun itu mempunyai seorang kakak berumur 12 tahun yang cacat penglihatan dan belajar di sekolah ini.

"Wan memberitahu, dia kini hampir buta akibat kanser dan menyatakan mahu memasuki sekolah ini tahun depan, namun dia tidak bimbang meninggalkan rumah kerana menurut kakaknya semua orang di sekolah, baik-baik belaka," katanya.

Tambah menyentuh perasaan, katanya, beliau juga pernah bertemu dengan Wan yang manja dan petah berkata-kata tidak lama dahulu ketika kanak-kanak itu datang melawat kakaknya di sekolah.

Utusan Malaysia Online: 25 Spetember 2009

Kisah sedih anak buta


NAFISAH Ismail memberi tunjuk ajar menggunakan tulisan Braile kepada murid istimewa di SKPK Princess Elizabeth di Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 24 Sept. - Walaupun kebanyakan murid cacat penglihatan yang tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth di sini gembira untuk pulang beraya di rumah masing-masing, namun segelintir daripadanya mempunyai kisah sebaliknya.

Ini kerana ada ibu bapa yang tidak menjemput mereka balik ke rumah dan ada juga murid istimewa itu sendiri yang tidak mahu pulang beraya.

Anak-anak istimewa yang berusia antara enam hingga 12 tahun di sekolah itu, datang dari seluruh Semenanjung tanah air dengan sebahagian daripadanya tinggal di asrama.

Guru Besar sekolah itu, Nafisah Ismail, 51, berkata, kisah sedih semasa Aidilfitri berlaku hampir setiap tahun dan pelbagai faktor menjadi penyebab antaranya sikap segelintir ahli keluarga yang menganggap anak istimewa itu hanya membeban dan memalukan mereka.

"Pernah berlaku, satu keluarga yang tinggal di bandar raya ini tidak menjemput anak mereka di asrama untuk pulang beraya walaupun setelah banyak kali dihubungi pihak sekolah.

"Kecewa dengan sikap itu, kami menggunakan taktik memaklumkan kononnya anak itu akan diserahkan ke balai polis jika mereka tidak datang mengambilnya dalam masa 45 minit. Tak sampai setengah jam, mereka dah sampai," katanya ketika ditemui di sekolah itu baru-baru ini.

Nafisah berkata, bagi anak-anak istimewa yang tidak mendapat perhatian keluarga tentunya berasa sedih mengenang diri tidak diperlukan sehingga lama kelamaan ada yang tidak berminat pulang ke rumah walaupun untuk menyambut hari raya.

Katanya, ada anak istimewa yang mengadu ketika di rumah, ahli keluarga tidak mahu membawa keluar berjalan-jalan sebaliknya terperuk di rumah tanpa mendapat layanan kasih sayang secukupnya dan tiada kawan untuk bermain.

Bagaimanapun, katanya, ada juga ahli keluarga murid yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan tinggal jauh di luar negeri ini, menyebabkan mereka tidak mampu menjemput anak di sekolah untuk pulang beraya.

"Walau apa pun sebabnya, pihak sekolah akan berusaha memastikan semua anak istimewa ini pulang beraya tanpa mengira kemahuan keluarga atau murid tersebut.

"Jalan terakhir, pihak sekolah akan menemani dan menghantar murid tersebut terus ke rumah keluarga mereka," katanya.

Utusan Malaysia Online: 25 September 2009

Pendekatan modular dilaksana tingkatkan pembelajaran BM

Oleh Khairina Yasin

KEMENTERIAN Pelajaran akan memperkenalkan pendekatan modular dalam Kurikulum Standard Bahasa Malaysia sebagai satu daripada strategi pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) bermula 2012.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Dasar dan Pembangunan, Kementerian Pelajaran, Dr Haili Dolhan, berkata pendekatan itu satu daripada usaha penambahbaikan kurikulum sedia ada yang lebih menekankan konsep huraian sukatan pelajaran.

Menerusi pendekatan modular, katanya, kurikulum digubal dan disampaikan mengikut bahagian dan unit lengkap dengan gabungan pengetahuan, kemahiran dan nilai bersepadu yang seimbang serta holistik.

“Penambahbaikan ini dibuat bagi memastikan kurikulum BM di semua peringkat sekolah sentiasa relevan dan bersepadu bagi melahirkan insan seimbang.

“Ia juga satu mekanisme mantap, bestari dan berkesan bagi memastikan kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan dan pengantar di sekolah terus kukuh,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, tumpuan akan diberikan kepada murid prasekolah menerusi modul penguasaan asas berbahasa dimulai dengan pradengar, prabaca dan pratulis, selain mengenal abjad serta perkataan.

Katanya, modul itu bertujuan memastikan murid mendapat asas dan landasan kukuh untuk menguasai kemahiran berbahasa merangkumi kemahiran mendengar, menulis, membaca dan bertutur dalam BM dengan baik.

“Pelaksanaan secara berstruktur dan sistematik menerusi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara berkesan diyakini dapat membantu murid memantapkan kefahaman dan penggunaan BM yang tepat.

“Setiap kemahiran akan didedahkan menerusi modul masing-masing yang dibangunkan menepati keperluan penguasaan BM murid,” katanya.

Selain itu, Haili berkata, elemen seni bahasa juga akan diketengahkan menerusi aplikasi kemahiran bahasa dan pendekatan didik hibur yang menyeronokkan.

Pendekatan didik hibur, katanya, akan dijelmakan menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi bagi mewujudkan proses P&P interaktif dan menyeronokkan.

“Malah elemen sastera BM kontemporari kepada murid tahap dua sekolah rendah juga akan diperkenalkan sejajar dengan pelaksanaan komponen sastera BM atau Komsas di sekolah menengah sejak tahun 2000,” katanya.

Berita Harian Online: 25 September 2009

Khamis, 24 September 2009

Sentral: Budak cerdik tak diterima sekolah

Oleh Haika Khazi
mfaizul@bharian.com.my

Pentadbir enggan terima status kewargenegaraan, anak angkat

PUTRAJAYA: Akibat kerenah birokrasi, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun terpaksa berhenti sekolah selepas pentadbiran sekolah barunya enggan menerima kemasukannya kerana mendakwa status kewarganegaraan yang kabur.

Penjaga sah kanak-kanak itu, Mohd Shari Baba, 50, berkata beliau hairan mengapa anak angkatnya, Muhammad Abdul Wafa, tidak dibenarkan bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Presint 11 di sini walaupun dia sudah mendapat hak penjagaan kanak-kanak itu daripada Mahkamah Juvana, Taiping pada Julai 2002.

Mohd Shari yang bekerja sebagai Pegawai Penilai Jabatan Insolvensi Malaysia berkata, sekolah itu memaklumkan Muhammad tidak boleh bersekolah kerana status kelahirannya diragui.

Mohd Shari berkata, pihak sekolah memintanya membuat permohonan rasmi dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkatnya secara sah sebelum diterima masuk ke sekolah.

"Saya pelik kenapa sebelum ini dia dibenarkan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Merab, tetapi apabila saya memindahkannya ke sekolah di Putrajaya, dia tidak diterima dengan alasan dia bukan anak angkat saya yang sah.

"Pihak sekolah terbabit juga memberi alasan maklumat mengenai latar belakang keluarga anak saya itu kurang jelas. Akibatnya anak saya sudah enam bulan tidak bersekolah dan terpaksa belajar sendiri di rumah," katanya yang datang ke pejabat Berita Harian di sini, kelmarin.

Mengulas lanjut, Mohd Shari berkata, beliau mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat selepas ditemui orang awam di Ladang Malakoff, Ulu Sepetang, Taiping, Perak, pada 2002, ketika kanak-kanak itu masih bayi dipercayai berusia tiga hari.

Berikutan itu, Mohd Shari membuat permohonan dengan mahkamah untuk menjaga kanak-kanak itu sehingga berusia 17 tahun.

Katanya, beliau sudah menghubungi JKM untuk mendapatkan surat pengesahan bahawa kanak-kanak itu adalah anak angkatnya yang sah dan diminta mencari ahli keluarganya bagi memudahkan urusan terbabit.

“Dia memang seorang anak yang cerdik. Kami sekeluarga amat menyayanginya dan dialah penghibur kami," katanya yang juga bapa kepada tiga anak.

Berita Harian Online: 24 September 2009

Guru dilarang hadir kuliah

BIDANG pendidikan mengalami perubahan dan pembaharuan seperti dalam kurikulum dan pedagogi. Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Guru (BPG) sudah memperkenalkan program meningkatkan profesionalisme guru.

Ia selaras saranan kerajaan mahu melihat bidang pendidikan bertaraf dunia.

Bagaimanapun, saya bersimpati dengan sesetengah guru yang mengikuti Pengajian Jarak Jauh (PJJ) KPM/OUM (Open University Malaysia) yang tidak dibenarkan guru besar mengikuti kuliah pada Sabtu dan Ahad.

Jika berdegil, gaji dipotong atau tindakan tataterib diambil dengan alasan ingkar arahan majikan. Ada guru besar mendakwa PJJ urusan peribadi yang tiada kaitan dengan sekolah.

Saya keliru dengan keadaan ini. Kementerian mengeluarkan peruntukan besar bagi meningkatkan kemahiran guru. Kami tidak pasti mana patut diutamakan (ikut arahan majikan atau sebaliknya). Kami meninggalkan kuliah demi mengelak diambil tindakan. Saya minta kementerian menyelesaikan kekusutan ini agar guru PJJ KPM OUM dapat belajar dengan tenang.

GURU KELIRU.

Berita harian Online: 24 September 2009

Pengetua, guru besar perlu ikut KPI

Oleh Khairina Yasin

PENGETUA dan guru besar seluruh negara diingatkan supaya bersedia memikul tanggungjawab bagi mencapai kecemerlangan sekolah berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Operasi Pendidikan, Kementerian Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, berkata pengurusan tertinggi sekolah itu perlu mempunyai akauntabiliti dan bertanggungjawab terhadap usaha menggerakkan pasukan masing-masing bagi mengatur segala perancangan dan strategi kecemerlangan.

Katanya, gabungan kebijaksanaan dan daya kepemimpinan pengetua dan guru besar perlu dibentuk jika mereka ingin memastikan sistem penyampaian yang lebih berkesan.

Beliau berkata, Ba'iah ditawarkan kepada semua pengetua dan guru besar dengan ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

“Sudah pasti, kita mahukan pulangan terbaik daripada mereka bagi memastikan agenda kerajaan meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan seperti ditetapkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara dicapai,” katanya.

Berita Harian Online: 24 September 2009

Majlis Aidilfitri SMK Zainab I Selasa ini

KOTA BHARU 23 Sept. - Seramai 1,268 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1 akan menyertai Majlis Kesyukuran Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekolah tersebut pada 29 September ini, mulai pukul 12 tengah hari.

Pengetuanya, Wan Jah Wan Yaacob berkata, majlis yang melibatkan pelajar, guru, kakitangan sokongan serta pekerja kontrak itu diadakan berkonsepkan 'mesra pendidik' apabila semua mereka akan menyumbang barangan untuk jamuan pada hari itu.

Katanya, ia termasuk pelajar tingkatan satu membawa gula sebanyak satu cawan, tingkatan dua pula buah-buahan seorang sekilogram, tingkatan tiga, empat dan lima pula membawa secawan beras manakala pelajar tingkatan enam membawa santan.

''Setiap guru diminta membawa dua kilogram daging, pengusaha kantin sekolah dan asrama pula masing-masing 50 ekor ayam," katanya selepas Majlis Penyampaian Zakat di sini hari ini.

Menurutnya, hidangan untuk jamuan itu akan diadakan secara gotong-royong bagi melambangkan kerja berpasukan yang diamalkan di sekolah itu.

Pada majlis itu katanya, orang ramai termasuk ibu bapa, warga Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Pejabat Pelajaran Daerah serta masyarakat setempat juga dijemput hadir.

Utusan Malaysia Online: 24 September 2009

Sabtu, 19 September 2009

Ganjaran khas pendidik

PORT DICKSON 18 Sept. - Kerajaan akan mengumumkan satu bentuk ganjaran khas kepada seluruh warga pendidik berdasarkan prestasi mereka menjelang Oktober ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, ia selari dengan hasrat kerajaan mempertingkatkan akses pengajaran dan pendidikan berkualiti di negara ini.

''Ia masih pada peringkat penelitian yang kini sudah hampir 90 peratus selesai dibincangkan di bawah perincian Bidang Keberhasilan Utama Negara ketiga (NKRA-3).

''Saya yakin ia akan diumumkan sendiri oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan depan," kata beliau.

Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program perjumpaan khas bersama warga pendidik daerah Port Dickson di sini malam tadi.

Beliau memberitahu, ganjaran itu akan diberikan kepada sekolah, pengetua dan guru di seluruh negara yang mempamerkan prestasi cemerlang.

''Mana-mana sekolah, guru besar, pengetua dan guru yang menunjukkan prestasi cemerlang, layak untuk diberikan ganjaran berkenaan.

''Inisiatif ini adalah untuk memberikan ganjaran kepada warga pendidik yang komited dalam membantu kerajaan bagi membentuk sekolah berprestasi tinggi menjelang 2012,'' katanya.

Menurutnya, dengan ganjaran itu, warga pendidik tidak lagi perlu memikirkan atau menunggu pemberian bonus serta kenaikan pangkat.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Puad memberitahu, kementerian itu akan mewujudkan sebuah unit khas dalam memperincikan soal pembangunan pendididkan luar bandar.

''Menerusi unit ini, kita yakin ia mampu merapatkan jurang pendidikan antara sekolah di bandar dan luar bandar.

''Unit ini juga akan berfungsi mempertingkatkan bukan sahaja keadaan fizikal sekolah di luar bandar dari segi infrastruktur dan kemudahan malah termasuk soal pemantapan pengisian pendidikan di kawasan terlibat," jelas Mohd. Puad.

Utusan Malaysia Online: 19 September 2009

Murid istimewa SKL bakar lemang


Guru-guru bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Lubok membakar lemang dalam program Gema Syawal di Batu Pahat, kelmarin.


BATU PAHAT 18 Sept. - Seramai 40 murid pendidikan khas dan tahun enam Sekolah Kebangsaan Lubok (SKL), Semerah bergotong-royong bersama 20 guru menjayakan program Gema Syawal dengan memasak 200 batang lemang semalam.

Guru Besar SKL, Abdul Halim Samad berkata, program berkenaan diharap dapat mengeratkan hubungan serta rasa tanggungjawab antara guru dan murid pendidikan khas sekolah berkenaan.

Program yang dibimbing oleh seorang mentor, Mohd. Anuar Ismail itu nyata memberi peluang kepada murid-murid istimewa itu bersama-sama memasak dengan guru mereka di samping merasai kemeriahan sambutan menjelang 1 Syawal.

Menurutnya, program itu juga untuk mendedahkan murid-murid berkenaan mengenai makanan tradisi hari raya yang terdapat di dalam negara walaupun ia bukan makanan tradisi negeri Johor.

Melalui aktiviti itu, ia dapat melatih murid-murid tersebut bersifat sabar dan dedikasi serta fokus dalam melakukan sesuatu kerja serta melatih mereka melakukan sesuatu secara berpasukan.

Selain didedahkan dengan cara penyediaan lemang, peserta turut memasak serunding daging, memarut kelapa, memerah santan, menyabit kelapa dan membakar lemang.

Utusan Malaysia Online: 19 September 2009

Contohi SKKT bantu murid susah


SHAFI Manan (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kepada murid kurang upaya, Mohd. Khoikal Shahari pada majlis sumbangan kepada 110 murid miskin di SKKT Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 18 Sept. - Usaha murni Sekolah Kebangsaan Kangkar Tebrau (SKKT) di sini harus dijadikan contoh dan diberi pujian kerana menubuhkan Tabung Amal Aidilfitri bagi membantu murid-murid daripada keluarga miskin dan anak yatim.

Setelah berjaya mengumpul sumbangan daripada guru, kakitangan serta ibu bapa dan murid-murid, SKKT berjaya memperoleh dana berjumlah RM12,525.

SKKT baru-baru ini menyampaikan sumbangan kepada 110 murid miskin termasuk 21 anak yatim bagi membantu mereka menyambut Aidilfitri tahun ini.

Penerima diberi sepasang baju raya dan duit raya bagi menceriakan sambutan 1 Syawal nanti.

Bantuan kepada murid-murid berkenaan disampaikan oleh Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKKT, Shafi Manan di dewan sekolah berkenaan.

Turut hadir Guru Besar SKKT, Harun Abdullah dan Guru Penolong Kanan 1 SKKT, Nurul Ain Hussein.

Shafi berkata, majlis tersebut diadakan dengan kerjasama PBIG SKKT untuk membantu murid-murid daripada keluarga miskin serta anak yatim.

Program itu juga diharap dapat memupuk semangat prihatin dan saling membantu di kalangan murid-murid sekolah berkenaan pada masa akan datang, katanya.

Utusan Malaysia Online: 19 September 2009

Jumaat, 18 September 2009

Bola sepak julang sekolah

Teks dan gambar Md Fuzi Abd Lateh
rencana@hmetro.com.my

KELAB Bola Sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sentosa, Hulu Selangor, Selangor menunjukkan prestasi terbaik dalam sukan itu apabila menjuarai Kejohanan Bola Selak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSS) Daerah Hulu Selangor sebanyak dua kali.

Prinsip pasukan iaitu 'kesungguhan berjuang membuahkan kejayaan berharga yang sentiasa dipegang ahlinya menjadi pendorong menunjukkan prestasi meyakinkan setiap kali beraksi.

Ketiadaan padang bola sepak sendiri bukan penghalang jurulatih dan guru merencanakan kejayaan yang mampu mengejutkan pasukan 'gergasi' lain di Hulu Selangor.

Guru penyelaras kelab, Kamarul Izham Abu Bakar, berkata sekolah mereka mempunyai murid berbakat bermain bola sepak yang digilap seawal usia 10 tahun.

Katanya, pemain sekolah menjalani latihan intensif selama empat bulan sebelum bertanding di kejohanan daerah. Mereka menggunakan padang permainan taman perumahan di Bukit Sentosa untuk berlatih.

"Murid dilatih selama empat jam sehari dengan bimbingan jurulatih kelab, Khairul Badli Abd Rahman.

"Latihan dilakukan empat hari seminggu itu banyak menekankan teknik menghantar bola, menjaringkan gol, menggelecek bola dan menyepak dengan betul," katanya.

Menurutnya, kejayaan pasukan kelab mempertahankan kejuaraan di kejohanan peringkat daerah Hulu Selangor menumpaskan SK Taman Bunga Raya dengan jaringan 2 -1, menjadi kenangan manis buat mereka.

Katanya, dengan sokongan Guru Besar, Nor Shakila Kamaluddin dan barisan jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), mereka bersemangat menjulang nama sekolah.

"Baru-baru ini, kami menjalani sesi pemilihan khas dan memilih 15 pemain muda untuk menyarung jersi sekolah tahun depan.

"Suntikan semangat pemain yang sentiasa mendapat ganjaran dan pulangan material membolehkan mereka meneruskan perjuangan," katanya.

Kamarul berkata, lima pemainnya mewakili daerah Hulu Selangor ke kejohanan peringkat Selangor di Kuala Langat.

"Kita berharap pemain yang dipilih mewakili daerah dan Selangor menunjukkan prestasi cemerlang mengharumkan nama sekolah," katanya.

>Profil

NAMA SEKOLAH: Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa, Hulu Selangor

TARAF: Sekolah Gred A

GURU BESAR: Nor Shakila Kamaluddin

BILANGAN MURID: 2,650 orang

BILANGAN GURU: 118 orang

NAMA KELAB: Kelab Bola Sepak

GURU PENYELARAS: Kamarul Izham Abu Bakar

JURULATIH: Khairul Badli Abd Rahman

TARIKH PENUBUHAN: 2004

AHLI: 240 orang

myMetro: 18 September 2009

Khamis, 17 September 2009

Ganjaran guru jika sekolah cemerlang

LIMBANG: Kerajaan bersedia memberi ganjaran kepada pengetua, guru besar serta guru terlatih yang berjaya membawa sekolah mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Kementerian Pelajaran ketika ini dalam proses mengkaji bagaimana ganjaran berkenaan dapat diberi kepada golongan pendidik yang bekerja keras demi mencapai status sekolah cemerlang.

Katanya, melalui pemberian ini, guru tidak perlu menunggu bonus tahunan atau kenaikan pangkat bagi mendapat ganjaran dalam bentuk kewangan kerana mereka boleh melakukannya pada bila-bila masa.

"Kementerian akan menetapkan suatu kriteria dalam memilih sekolah cemerlang dengan sekolah berkenaan akan mendapat Purata Nilai Gred (PNG) seperti pelajar di universiti.

"Kita tetapkan had nilai PNG kategori cemerlang dengan sekolah, tidak kira di bandar atau luar bandar yang berjaya melepasi had itu layak menerima ganjaran khas," katanya selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Sekolah Kebangsaan Lubok Tekurok, di sini, kelmarin.

Mohd Puad berkata, melalui pemberian ganjaran berkenaan, ia akan menggalakkan guru bersaing meningkat prestasi sekolah tidak kira apa juga kategori sekolah berkenaan.

"Kita belum putuskan berapa jumlah ganjaran yang akan diterima guru sekolah cemerlang namun saya boleh katakan, ia memang lumayan.

"Melalui cara ini, guru akan lebih proaktif mendidik pelajar dengan mereka tidak perlu lagi bergantung kepada bonus tahunan saja," katanya.

Difahamkan pemberian ganjaran berkenaan akan diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran dalam masa terdekat sebelum dilaksanakan bermula tahun depan.

Berita Harian Online: 17 September 2009

Guru DG41 rugi akibat 'time based'

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my

KESATUAN Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mendakwa kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) secara 'time based' dari DG41 ke DG44 hanya menguntungkan sebilangan kecil pegawai peringkat berkenaan.

Presidennya, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata akibat pelaksanaan bersifat terpilih itu, ramai PPPS DG41, DG44 dan DG48 yang dulunya pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) mengalami kerugian dari segi kekananan perkhidmatan.

“Kaedah pelaksanaan terbabit menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian besar PPPS yang tidak terbabit dengan kenaikan pangkat secara ‘time based’ dari DG41 ke DG44.

“Selain itu, mereka juga rugi dari segi kedudukan dalam perkhidmatan, ditambah pula dengan bilangan ramai dilantik ke Gred DG44 melalui pelbagai laluan kerjaya PPPS,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Bagi memberi keadilan kepada semua warga pendidik dan mengatasi rasa tidak puas hati mereka, pihaknya mencadangkan pemberian tiga tahun pengalaman PPPLD bersamaan satu tahun bagi mereka di Gred DG41.

Pemberian maksimum tiga tahun pengalaman PPPS pula, katanya, diberikan kepada semua guru terbabit.

Sambil menjelaskan pengalaman di Gred PPPS itu juga diiktiraf sebagai kekananan pegawai berkenaan, bukan saja untuk kenaikan pangkat, beliau berkata:

“Dalam hal ini, pengumuman kenaikan pangkat guru melalui laluan kerjaya PPPS dari DG41 ke DG44 dengan mengambil kira pengalaman tahun lalu melegakan sebahagian pegawai terbabit.

“Bagaimanapun, faedahnya hanya dinikmati segelintir pihak dan ini mencerminkan pelaksanaannya seolah-olah tidak dirancang dengan teliti.

“Selain pengumuman bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Melaka, perkara ini terkandung dalam minit mesyuarat wakil kesatuan guru dengan Ketua Setiausaha Negara serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 8 Mei 2008 dan 25 Ogos 2008,” katanya.

Berita Harian Online: 17 September 2009

Rabu, 16 September 2009

Mutakhir: Sekolah cuti khas Jumaat ini

PUTRAJAYA: Kerajaan memberikan cuti khas Jumaat ini kepada semua sekolah sempena Aidilfitri, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata pemberian cuti khas itu melibatkan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran.

"Kabinet membuat keputusan tersebut dalam mesyuaratnya hari ini bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga bercuti di kampung halaman masing-masing dan mengelakkan kesesakan jalan raya," katanya dalam kenyataan media.

Berikutan keputusan Kabinet itu, surat kementerian berkaitan cuti tambahan sempena hari raya sebelum ini adalah terbatal. - Bernama

Berita Harian Online: 17 September 2009

Johor: Sekolah Kita: Tiga sekolah raih hadiah cemerlang

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Kementerian Pelajaran iktiraf pencapaian keputusan akademik terbaik

MUAR: Tiga sekolah di Johor diumumkan sebagai antara pemenang Anugerah Sekolah Cemerlang (ASC) Kementerian Pelajaran, sekali gus memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada semua warga sekolah berkenaan yang berjaya mencapai kualiti secara menyeluruh.

Pengetua kanan Sekolah Tinggi Muar (STM), Latifah Hamdan berkata, STM menerima ASC bagi kategori Menengah Harian Bandar.

Sekolah Maahad Muar dipilih memenangi kategori Sekolah Menengah Kebangsaan Agama /Sekolah Agama, dan Sekolah Teknik (ERT) Azizah, Johor Bahru pula bagi kategori Sekolah Menengah Teknik.

Pada tahun ini, 60 sekolah di seluruh negara diberi ASC yang turut menawarkan imbuhan dalam bentuk projek bernilai RM50,000 dengan setiap penganugerahan mengikut 14 kategori berdasarkan kedudukan terbaik sekolah mencapai Taraf Cemerlang dan Gemilang serta memperoleh skor 80 peratus mengikut indeks pengukuran Standard Kualiti Pelajaran Malaysia.

Latifah berkata, selain prestasi akademik dan kokurikulum, pemilihan sekolah menerima anugerah yang diperkenalkan sejak 2007 itu juga berdasarkan hala tuju kepimpinan, pengurusan organisasi, program pendidikan dan pencapaian murid.

Penganugerahan sekolah itu juga katanya, berpegang kepada konsep penambahbaikan yang berterusan selaras dengan misi kementerian untuk membangunkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia.

ASC itu bertujuan memberi peluang kepada lebih banyak sekolah untuk menerima penghargaan atas usaha mempertingkatkan kualiti masing-masing ke arah kecemerlangan pendidikan negara dan menjadi anugerah secara berpasukan kepada seluruh warga sekolah terbabit.

Kejayaan itu usaha kerjasama semua pihak yang memerlukan kesungguhan yang tinggi menjadikan pertimbangan untuk memilih pemenang perlu mengambil kira daya usaha dan prestasi sekolah bagi beberapa tahun sebelum penilaian dibuat kerana kejayaan mencapai kecemerlangan pendidikan bukan satu usaha yang boleh dilakukan dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan tempoh yang panjang serta berterusan.

Langkah memberikan ASC itu memberi peluang kepada kementerian untuk mengenal pasti model sekolah bagi kategori berbeza yang dapat menjadi contoh kepada sekolah lain dan turut menjadi penanda aras kejayaan.

Selain itu penganugerahan itu juga diharap dapat memberi dorongan kepada warga sekolah untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dan memupuk semangat kerjasama serta memberi pengiktirafan secara berpasukan terhadap sumbangan semua warganya dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Berita Harian Online: 17 September 2009

Penempatan guru BI di bandar, pedalaman disusun semula

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my


Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim

TABURAN penempatan guru bahasa Inggeris akan disusun semula bagi mengimbangi keperluan di seluruh negara, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Operasi Pendidikan, Kementerian Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan jurang pencapaian dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar luar bandar dan bandar dapat dikurangkan.

Pada masa saya, katanya, usaha itu secara tidak langsung dapat mengatasi masalah kekurangan guru mata pelajaran berkenaan di luar bandar dalam tempoh singkat.

Beliau menjelaskan penyusunan semula itu sejajar dengan pelaksanaan dasar Memperkukuhkan Bahasa Inggeris itu turut membabitkan guru subjek lain antaranya bahasa Melayu dan Pendidikan Islam.

“Kita tidak mempunyai masalah dari segi bilangan guru bahasa Inggeris, ia mencukupi... masalahnya cuma dari segi taburan yang tidak menentu dengan negeri tertentu perlu lebih ramai guru subjek berkenaan.

“Contohnya, Pulau Pinang dikenal pasti mempunyai lebihan guru bahasa Inggeris berbanding Kedah dan Perlis yang kurang guru mata pelajaran itu tetapi ramai pengajar bahasa Melayu,” katanya.

“Justeru, tiga negeri ini akan dikelompokkan dan penyusunan semula guru dilakukan segera dengan menghantar guru lebihan ke negeri yang memerlukan,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya.

Bagi negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, Noor Rezan berkata, pola taburan gurunya tidak jauh berbeza dengan lebihan mengajar subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Melayu berbanding Bahasa Inggeris.

Katanya, keadaan itu juga menyukarkan proses pertukaran guru antara ketiga-tiga negeri, sekali gus memerlukan cadangan padanan perpindahan guru di negeri lain seperti Perak, Melaka dan Selangor.

“Setiap negeri khususnya sekolah perlu akur kepada Anggaran Belanja Mengurus Perjawatan yang ditetapkan... jika sesebuah sekolah itu layak menerima 70 guru, ... berapa guru bahasa Melayu, bahasa Inggeris... mereka perlu ikut.

“Jika sekolah A lebih dua guru bahasa Inggeris, manakala sekolah B pula memerlukan seorang lagi guru subjek ini, jadi mesti dipindahkan guru di sekolah A itu ke sekolah B.

“Susunan ini perlu dilakukan, jika tidak kita gagal mengatasi keperluan itu selama-lamanya,” katanya.

Noor Rezan berkata, pengagihan guru khususnya mengajar subjek Bahasa Inggeris yang tidak seimbang di sekolah bandar dan luar bandar perlu ditangani secara bijak bagi memastikan pelajar mendapat tenaga pengajar berkelayakan.

Situasi ketika ini, katanya, menyaksikan kebanyakan guru mengajar bahasa Inggeris di luar bandar bukan pengkhususan bahasa itu berikutan keengganan guru opsyen subjek berkenaan mengajar di pedalaman.

“Selain itu, kita juga mengkaji mekanisme pengambilan guru bahasa Inggeris bersara untuk membantu mengatasi masalah kekurangan guru di luar bandar, selain guru pakar bahasa itu dari luar negara.

“Malah, ada cadangan untuk menawarkan perkhidmatan guru secara kontrak lebih awal, iaitu enam bulan sebelum guru bahasa Inggeris bersara bagi memastikan mereka terus memberi perkhidmatan,” katanya.

Berita Harian Online: 17 September 2009

Sayangi Sekolah: Strategi berhasil

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my


SMKDP mencapai kecemerlangan hasil perancangan dan strategi kukuh pengurusan sekolah.

SMK Dato' Perdana raih kejayaan kerana perancangan rapi, pemantauan berterusan

BIARPUN usia penubuhannya baru mencecah tujuh tahun, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Perdana (SMKDP), Bachok, Kelantan, berjaya membina reputasi membanggakan dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Kecemerlangan dan pencapaian terbaik pelajar sekolah itu menyerlah saban tahun sehingga tersenarai antara Sekolah Cemerlang Kategori Sekolah Menengah Luar Bandar Kebangsaan tahun ini.

Pengiktirafan terbaru oleh Kementerian Pelajaran itu memberi makna cukup besar kepada warga SMKDP, khususnya Pengetua, Saupi Majid, yang nyata sangat berbangga dengan pencapaian itu.

Saupi berkata, banyak faktor yang mendokong kecemerlangan sekolah itu antaranya perancangan dan strategi kukuh, selain pemantauan berterusan sepanjang tahun.

Pada awal penubuhan, beliau berkata, SMKDP yang dulunya dikenali sebagai SMK Tangok menetapkan visi mencapai sasaran menjadi sekolah terunggul dan contoh di Kelantan.

SEBELAS budaya yang menjadi tonggak kecemerlangan SMKDP dipaparkan di kawasan sekolah.

“Kemajuan mula dicapai apabila sekolah ini dinaik taraf menjadi Sekolah Rancangan Khas (SRK) Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok pada 2004 dan seterusnya SRK Jabatan Pelajaran Kelantan, empat tahun kemudian.

“Seiring perkembangan itu, kelulusan 4A 1B Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan 6A Penilaian Menengah Rendah (PMR) ditetapkan sebagai syarat minimum kemasukan pelajar Tingkatan Satu dan Empat di sekolah ini, selain aktif kokurikulum,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, kecemerlangan akademik juga melayakkan sekolah itu meraih pelbagai pengiktirafan antaranya Anugerah Gemilang 2005 Kategori Lonjakan Saujana PMR Kecemerlangan dan Anugerah Kelulusan Am 100 Peratus Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia 2008.

Saupi berkata, SMKDP tidak hanya menumpukan aspek akademik semata-mata kerana sekolah itu juga memberi penekanan terhadap bakat pelajar dalam pelbagai bidang kokurikulum.

“Usaha menggilap bakat pelajar diberi tumpuan dan ternyata ia membuahkan hasil apabila berjaya merangkul beberapa anugerah dalam pelbagai pertandingan.

“Antara kejayaan pernah dicapai ialah juara Pertandingan Paint Ball Negeri Kelantan 2009, Anugerah Kaunseling Peringkat PPD Bachok 2005, penyertaan Perkhemahan Perdana Kadet Remaja Sekolah Malaysia Peringkat Kebangsaan Ke-8.

“Naib johan Tarian Anugerah Seri Asrama Terbilang Peringkat Negeri Kelantan 2007, Juara Kriket Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia 2008, johan Pidato Hasil Dalam Negeri Kelantan 2009,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kemahiran kepemimpinan turut diberi penekanan dengan menubuhkan Badan Pembantu Tadbir (BPT) dianggotai pengawas, pembimbing rakan sebaya, pengawas perpustakaan, ketua tingkatan, pengawas koperasi.

Katanya, BPT berperanan sebagai badan penyelaras bertanggungjawab melaksanakan aktiviti yang berupaya menyerlahkan bakat kepemimpinan, keyakinan, kewibawaan pelajar sekolah itu.

Saupi menjelaskan, hubungan sekolah dengan masyarakat juga diberi perhatian dengan menjayakan Program Guru Masuk Kampung sejak awal sekolah itu dibuka lagi.

Program itu antara lain bertujuan mewujudkan hubungan dan kerjasama antara guru, ibu bapa dan masyarakat setempat dalam menjayakan pelbagai aspek termasuk menyelesaikan masalah disiplin pelajar.

“Sebagai pengetua, saya menaruh kepercayaan dan keyakinan tinggi pelajar sekolah ini akan terus meningkatkan kecemerlangan bukan saja dalam akademik, malah mencakupi semua aspek bagi mendepani cabaran sebagai Sekolah Cemerlang pada masa depan,” katanya.

Berita Harian Online: 17 September 2009

Kurikulum sistem pendidikan Islam diselaras

PUTRAJAYA 15 Sept. - Kerajaan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi menyelaraskan kurikulum dan sukatan pelajaran pendidikan Islam di bawah program Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) serta Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA).

Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Islam (Lepai).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bagi memastikan tidak berlaku pertindihan di antara program j-QAF yang dilaksanakan di semua sekolah kebangsaan dengan KAFA di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

''Memang kita dapati ada keperluan selaraskan kerana matlamatnya adalah sama iaitu memberikan peluang kepada anak-anak kita mendapat ilmu dalam pengajian Islam

''Ini telah disediakan dalam sistem pendidikan kebangsaan kita, di mana kita telah lama mengadakan program mata pelajaran Islam, yang terbaru sejak 2003 apabila kita perkenalkan j-QAf dari darjah satu ke darjah enam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat hala tuju pendidikan Islam bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom di pejabatnya di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan turut memutuskan agar jawatankuasa khas itu meneliti bagaimana program j-QAF dapat dimantap dan diperluaskan ke peringkat sekolah menengah iaitu sehingga tingkatan lima.

''Kalau perlu diperkukuhkan selari dengan perkembangan dan tuntutan semasa dan kehendak masyarakat, ini akan kita laksanakan," katanya.

Muhyiddin berkata, buat peringkat permulaan, usaha penyelarasan itu tidak melibatkan sistem pendidikan Islam di peringkat negeri-negeri dan sekolah agama persendirian.

''Jawatankuasa itu diberi tanggungjawab meneliti soal tenaga pengajar dan kelayakan guru selain persijilan dan akreditasi serta situasi infrastruktur," katanya.

Kata beliau, langkah itu bertujuan memastikan sistem pendidikan Islam di negara ini adalah lengkap dan sempurna.

"Kita mahu anak-anak yang belajar di sekolah kebangsaan diberikan pendidikan agama yang lengkap.

''Sebelum ini timbul pandangan bahawa pelajaran agama di sekolah kebangsaan tidak memadai, kalau itu pandangannya kita boleh menambah baik," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan bercadang mewujudkan dasar pembelajaran Islam sepanjang hayat yang boleh dilaksanakan melalui Jakim.

''Ini memberikan peluang kepada masyarakat Islam yang tidak berkesempatan mengikuti pendidikan Islam secara formal atau menambah ilmu untuk menguasai ilmu Islam secara mendalam.

''Kita akan teliti supaya umat Islam sentiasa dapat menimba ilmu bukan setakat nak mati, nak hidup pun kena ada asas agama seperti dalam soal menguruskan perniagaan dan muamalat," katanya.

Utusan Malaysia Online: 16 September 2009

Selasa, 15 September 2009

Sekolah dibenar ambil cuti berganti

PUTRAJAYA 14 Sept. - Kementerian Pelajaran membenarkan mana-mana sekolah memohon cuti peristiwa atau cuti berganti pada 17 dan 18 September ini bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada 20 September ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, keputusan tersebut bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga masing-masing untuk bercuti di kampung halaman selain mengelak kesesakan jalan raya.

''Bagi negeri-negeri yang hari hujung minggunya jatuh pada Jumaat dan Sabtu, sekolah-sekolah boleh bercuti pada hari Khamis, 17 September ini dan negeri-negeri yang cuti hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad, sekolah-sekolah boleh bercuti pada 18 September ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Alimuddin, sekolah-sekolah yang mengambil cuti berganti hendaklah menggantikan hari persekolahan tersebut pada Sabtu 31 Oktober ini.

''Semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri diarah supaya meluluskan cuti tambahan tersebut mengikut kes-kes yang memohon sahaja dan kelulusan itu tidak diberikan secara keseluruhan.

''Semua Pejabat Pelajaran Daerah hendaklah memantau pelaksanaan cuti tambahan berganti tersebut," katanya.

Utusan Malaysia Online: 15 September 2009