Sabtu, 31 Disember 2011

Tambahan RM20 juta

Oleh Norfatimah Ahmad

2011/12/31

MUHYIDDIN  melihat kandungan buku teks ketika  mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Petaling Jaya, semalam.
MUHYIDDIN melihat kandungan buku teks ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Petaling Jaya, semalam.
Kerajaan tanggung RM147j kos mansuh yuran

PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukkan tambahan RM20 juta untuk membekal peralatan dan kemudahan bagi kegunaan pelajar apabila sesi persekolahan 2012 bermula minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peruntukan tambahan itu membabitkan penyediaan 122,846 kerusi, 122,675 meja dan 24.4 juta buku teks.
“Bersesuaian dengan program Satu Murid, Satu Kerusi, Satu Meja dan Satu Set Buku Teks, kerajaan menyediakan peruntukan melengkapkan sekolah dengan pelbagai peralatan untuk keselesaan.
“Langkah ini antara usaha yang dilakukan untuk memastikan musim persekolahan tahun depan berjalan lancar,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagaimanapun musim tengkujuh ketika ini menyebabkan peralatan untuk tiga sekolah di Pulau Tioman tidak dapat diserahkan mengikut jadual.

Beliau juga memaklumkan seramai 449,475 murid akan memasuki kelas Tahun Satu di seluruh negara, minggu depan, manakala seramai 437,475 pelajar akan menyambung pelajaran ke Tingkatan Satu di sekolah menengah.

Selain itu, katanya, sebanyak 26 sekolah rendah baru dibina dan 12 daripadanya akan beroperasi mulai Januari 2012, manakala bagi sekolah menengah, 25 sekolah baru dibina dengan empat daripadanya dapat digunakan bulan depan.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kerajaan menanggung RM147 juta kos pemansuhan yuran persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa supaya tidak ada sesiapa yang ketinggalan dalam pelajaran.

“Sebenarnya tidak ada yuran... bayaran hakiki tidak perlu dibayar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan memohon mendapatkan sumbangan daripada ibu bapa untuk melaksanakan program sekolah.

“Tetapi, jangan kenakan apa-apa lagi,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dan pembabitan ibu bapa dalam kegiatan sekolah anak mereka dapat membantu mewujudkan sekolah cemerlang.

“Di banyak negara dilawati, yang menyambut saya dulu bukannya guru, tetapi ibu bapa. Macam di Australia, bila ditanya mereka beritahu ‘kami datang ke sini untuk bantu sekolah kerana anak kami belajar di sekolah ini’,” katanya.

Berita Harian Online: 31 Disember 2011

Kaji semula tempoh cuti persekolahan

2011/12/31

CUTI sekolah memang menyeronokkan tetapi kepada golongan yang kurang mampu agak membebankan. Saya rasa cuti akhir tahun sejak beberapa tahun ini agak terlalu lama berbanding sebelumnya. Cuti untuk 2012 akan bermula 10 November 2012 dan berakhir 31 Disember 2012. Ini bermakna cuti lebih dari 1 1/2 bulan.

Saya lebih suka kalau anak saya pergi ke sekolah setiap hari bukan saja belajar tetapi dapatlah mereka bertemu dengan rakan serta guru.
Selain cuti akhir tahun terdapat juga cuti penggal iaitu setiap tiga bulan. Juga akan ada cuti selama 1 hingga2 minggu termasuk cuti peristiwa atau perayaan.
Cuti perayaan biasanya pihak sekolah akan dipanjangkan dan akan diganti pada Sabtu dan biasanya sekolah ganti pada Sabtu hanya diisi dengan aktiviti padang atau persembahan di dewan saja.

Bagi ibu bapa yang mampu cuti yang panjang ini akan diisi dengan makan angin, tetapi bagi yang tidak mampu anak-anak terpaksa duduk di rumah dan menonton televisyen atau bermain video. Lagipun zaman sekarang ini sudah jarang sangat orang menghantar anak balik ke kampung sebab anak-anak akan bosan duduk di kampung kerana tiada kemudahan seperti di bandar. Oleh kerana ibu bapa terpaksa bekerja anak-anak pula ditinggalkan bersendirian di rumah. Apa yang saya nampak, kebanyakan cuti sekolah ini adalah medan untuk anak-anak melepak, merayau dan berpeleseran di kawasan kedai, taman dan kafe internet (bagi yang tiada kemudahan internet di rumah). Ini akan menggalakkan gejala sosial dalam kalangan kanak-kanak kerana ibu bapa tidak akan dapat memantau anak mereka setiap masa kerana bekerja.

Saya berharap sangat sekiranya pihak kementerian pelajaran dapat meneliti serta membuat kajian mengenai tempoh cuti persekolahan yang terlalu banyak setiap tahun dan sangat lama itu.

UTAMAKAN PELAJARAN, Kuala Lumpur.

Berita Harian Online: 31 Disember 2011

Jumaat, 30 Disember 2011

Jadual Pergerakan Gaji Baru SBPA Guru

Rujukan berikut boleh didapati daripada Laman Rasmi Sekolah Kebangsaan Jitra Kedah DA


Disalin daripada Laman Rasmi Sekolah Kebangsaan Jitra Kedah DA

Belum dapat surat DG41

2011/12/30

SAYA seorang guru yang menyambung pelajaran anjuran Open University Malaysia-Kementerian Pelajaran di bawah program Sarjana Muda Pengajaran (Sekolah Rendah) dalam Pengkhususan Pendidikan Khas.

Saya belajar sejak Mei 2006 dan menghadiri konvokesyen OUM kali kelapan pada Jun 2010. Kemudian ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP) pada Januari 2011. Saya gembira kerana berjaya diperakukan lantikan tetap.

Sejak itu saya menunggu surat lantikan DG41 tetapi malangnya tiada. Saya berharap keluhan saya dipertimbangkan sewajarnya.

GURU TERPINGGIR,
Kuala Lumpur.


Berita Harian Online: 30 Disember 2011

Basinah tidak mahu anak bangsa tercicir

Oleh Nas Norziela Nasbah
nasnorziela@bharian.com.my
2011/12/23


LAMBAIAN terakhir yang diiringi lagu `Dimana ku cari ganti’ nyanyian seniman Tan Sri P Ramlee kepada pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian (SMKSI), Kajang, Selangor, Basinah Taib membuatkan ramai warga sekolah itu terharu dan menitiskan air mata.

Acara simbolik itu sempena perpisahan pengetua yang bersara pada usia 56 tahun pada majlis yang berlangsung di Dataran Gemilang dihadiri lebih 2,000 warga sekolah itu.

Menariknya, acara simbolik itu diserikan kehadiran sebuah kereta kuda yang dihias cantik membawa pendidik berjiwa besar ini mengelilingi sekolah buat kali terakhir.

Basinah yang dilahirkan pada 3 November 1955, pernah berkhidmat sebagai guru mata pelajaran di SMK Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), Kajang dan SMK Telok Datuk Banting, Kuala Langat, Selangor pada 1983 sehingga 1989.

Ketegasan dan komitmennya dalam memimpin pelajar sekolah terbukti apabila beliau dilantik sebagai penyelia petang di SAAS, Kajang pada tahun 1991 dan seterusnya diberi tanggungjawab untuk membimbing sebuah sekolah baru iaitu SMK Jalan 4 Bandar Baru Bangi, yang ketika itu baru dibuka pada November 2002 sebagai Penolong Kanan.

Seterusnya, anak kelahiran Muar, Johor itu tidak menoleh belakang dan menggalas tanggungjawab sebagai pengetua SMKSI bermula Ogos 2007 sehingga November 2011.

Pemimpin sekolah yang mudah mesra tidak kira dengan guru atau pelajar, bersikap terbuka dan menerima pandangan secara positif dalam memastikan prestasi akademik seiring pencapaian kurikulum.
Beliau berkata, menjadi kewajipannya memastikan pencapaian akademik sentiasa berada di tahap memberangsangkan terutama pada keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sudah menjadi tanggungjawab dan harapan melihat anak kita berjaya satu hari nanti. Setiap perkara yang dilakukan saya pasti sekolah memberi pengaruh utama dalam membentuk seseorang pelajar berjaya di luar.

“Oleh itu, saya lebih sukakan cara mendekati pelajar dan berbual bersama mereka jika terdapat sebarang masalah. Cara ini berkesan dalam memastikan anak bangsa tidak tercicir,” katanya yang bercadang untuk aktif menjayakan kerja amal.

Majlis persaraan turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), Azlan Ibrahim dan pegawai Jabatan Pelajaran Selangor, Pejabat Pelajaran Daerah serta Jabatan Penjara Kajang

Berita Harian Online: 30 Disember 2011