Memaparkan catatan dengan label permohonan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label permohonan. Papar semua catatan

Ahad, 29 Januari 2012

Permohonan ditolak enam kali

JOHOR BAHRU: “Ketika isteri yang tinggal di Sarawak keguguran pada 17 Januari lalu, saya sedih kerana tidak mampu membantu sebaliknya hanya mendoakan keselamatannya kerana tinggal berjauhan (di Johor),” kata pekerja hotel, Mohd Fauzi Borhan, 37, yang amat bimbangkan keadaan isterinya kerana sudah dua kali keguguran dalam tempoh tiga tahun, dipercayai akibat tekanan hidup.

Menurutnya, lebih mengecewakan apabila usaha isterinya, Lida, 32, yang bekerja sebagai guru Lepasan Ijazah J-Qaf di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Sarawak, untuk bertukar ke Johor, tidak mendapat maklum balas positif sejak tiga tahun lalu.


Menurutnya, hasratnya membuat rayuan pertukaran isterinya itu menemui jalan buntu apabila tidak dibenarkan berbuat demikian oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian di Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya.

Katanya, keluarganya dimaklumkan pengurusan di Putrajaya bahawa permohonan dikemukakan isterinya ditolak berikutan tidak menerima sokongan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak.


“Saya dan isteri tinggal berjauhan sejak enam tahun lalu dan isteri sudah membuat permohonan pertukaran tempat kerja sebanyak enam kali iaitu dua kali setahun (sejak tiga tahun lalu).


“Dua tahun lalu, dia keguguran kali pertama, tetapi kami bersyukur kerana dikurniakan anak lelaki pertengahan Mei lalu,” katanya.

Fauzi berkata, kini dia terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak lelakinya berusia lapan bulan berikutan permohonan kali keenam pada November lalu ditolak tanpa alasan dan dia difahamkan keputusan itu muktamad.


“Apa yang kami minta ialah budi bicara, isteri sudah enam tahun berkhidmat di Sarawak, wajarlah dia berpindah balik ke sini. Saya risaukan keadaan isteri kerana doktor menasihatkannya banyak berehat, namun disebabkan tinggal berseorangan, dia perlu bekerja dan mengurus anak. “Saya harap kementerian prihatin dengan masalah kami dan membenarkan pertukarannya,” katanya.


myMetro: 28 Januari 2012

Khamis, 12 Januari 2012

Pemilihan murid ke SBP berdasar syarat ditetap KPM

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat pembaca, Guru Prihatin, Terengganu' di ruangan ini bertarikh 11 Januari 2012 bertajuk Dilema pelajar Terengganu.

KPM mengucapkan terima kasih kerana keprihatinan masyarakat terhadap pemilihan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, KPM hanya menguruskan kemasukan dan penempatan murid di SBP manakala penempatan murid di Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah-sekolah kawalan negeri diuruskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.

Pemilihan murid ke Tingkatan 1 di SBP adalah berdasarkan syarat dan kriteria yang telah ditetapkan oleh KPM iaitu:

* Warganegara Malaysia;

* Murid dari Sekolah Kebangsaan/Bantuan Penuh Kerajaan;

* Memperoleh keputusan 5A atau 4A, 1B dalam UPSR dengan mata pelajaran sains dan matematik memperoleh gred A;

* Memperoleh keputusan 3A2B dalam UPSR bagi murid dalam golongan miskin tegar; dan

* Pencapaian aktif dalam kokurikulum.

Walau bagaimanapun, bilangan murid yang mencapai prestasi cemerlang dalam UPSR dan kokurikulum, semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Jumlah permohonan ke SBP yang diterima oleh KPM juga meningkat berbanding bilangan tempat yang ditawarkan.

Pada tahun ini, permohonan ke Tingkatan 1 di SBP yang diterima oleh KPM ialah 99,765 untuk kemasukan ke 57 buah SBP, dan bilangan tempat yang dapat ditawarkan di SP ialah 7,657.

Sehubungan itu, KPM telah melaksanakan proses pengambilan murid berdasarkan merit yang merangkumi:

* Pencapaian akademik:

* Pencapaian kokurikulum:

* Pencapaian khas seperti aspek kepemimpinan; dan

* Status sosioekonomi keluarga.

KPM telah menyediakan peluang untuk permohonan ke Tingkatan 1 di SBP, yang tidak berjaya mengemukakan rayuan melalui talian e-rayuan di Portal Rasmi KPM iaitu di laman sesawang http//www.moe.gov.my bermula 14 Disember 2011 hingga 4 Januari 2012 .

Sekiranya pemohon memenuhi syarat dan kriteria yang telah ditetapkan oleh KPM, permohonan mereka boleh dipertimbangkan jika terdapat kekosongan tempat di SBP.

Utusan Malaysia Online: 12 Januari 2012

Rabu, 11 Januari 2012

Dilema pelajar Terengganu

Saya terpanggil untuk menulis di ruangan ini setelah saya dapati pemilihan pelajar-pelajar ke tingkatan satu Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau ke sekolah-sekolah pilihan di Terengganu, termasuk sekolah-sekolah di bawah kerajaan negeri, seakan-akan dikuasai oleh kuasa-kuasa politik.

Selaku guru sukan yang diarahkan oleh Guru Besar, saya diminta memastikan pelajar sentiasa aktif dalam bidang kokurikulum sama ada dalam sukan dan koakademik. Malah saya selalu menekankan kepada pelajar betapa pentingnya pencapaian kokurikulum sebagai satu tiket ke asrama penuh.

Penekanan ini telah berjaya melahirkan pelajar yang berjaya sehingga ada yang terpilih mewakili negeri dalam kejohanan sukan anjuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Malah ada pelajar yang terlibat dengan perkhemahan badan beruniform di peringkat kebangsaan.

Apabila mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), saya menjangkakan pelajar ini tidak menghadapi masalah untuk ke sekolah pilihan masing-masing.

Namun jangkaan saya meleset apabila ada pelajar yang gagal untuk ke sekolah yang dihajatinya. Malah pelajar yang tidak berapa aktif pula (hanya aktif di peringkat sekolah sahaja) yang terpilih. Ada pelajar cemerlang kokurikulum yang seolah-olah menjadi pengemis kerana terpaksa membuat rayuan seolah-olah sijil di peringkat kebangsaan tidak laku.

Bagi ibu bapa yang mempunyai kenalan politik, kenalan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan juga mengenal pengetua-pengetua serta orang-orang penting di Yayasan Terengganu, mereka ini tiada masalah untuk menempatkan anak-anak mereka di sekolah yang menjadi rebutan di negeri ini.

Bagi saya, selain pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah yang diberi keutamaan, pelajar yang cemerlang kokurikulum patut diberi keistimewaan ini. Mereka ini berhempas-pulas berlatih pada tiap-tiap hari dan hujung minggu semata-mata untuk mendapat tiket ke sekolah yang dihajati tetapi akhirnya belajar di sekolah harian biasa.

Sebagai guru yang terbabit dengan bidang kokurikulum, saya merasa amat kecewa sekali. Melihat keadaan ini, saya rasa lebih baik saya menyuruh pelajar hanya mengikuti aktiviti sekolah yang biasa diadakan pada tiap-tiap minggu. Tiada gunanya cemerlang di peringkat kebangsaan kalau akhirnya hanya belajar di sekolah biasa.

Saya sendiri kadang-kadang malu apabila berjumpa ibu bapa pelajar ini. Kalau dulu, saya memujuk anak-anak mereka untuk lebih aktif membantu sekolah, daerah dan negeri dengan alasan peluang untuk belajar di sekolah terbaik lebih cerah. Tetapi sekarang saya hanya mampu menebal muka kerana tidak mampu menjawab soalan berkenaan dengan penempatan anak-anak mereka.

Kepada pihak di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) yang terlibat dengan urusan pengambilan pelajar diharap lebih peka dengan perkara ini. Untuk guru-guru mengajak pelajar di kelas yang cerdik agar lebih aktif dalam kokurikulum bukannya senang.

Kebanyakan mereka hanya aktif di peringkat sekolah dan tidak mahu ke peringkat yang lebih tinggi walaupun berbakat. Alasan yang diberikan oleh ibu bapa biasanya mereka tidak mahu anak-anak mereka meninggalkan persekolahan kerana terbabit dengan latihan. Memang benar, bagi pelajar yang terpilih mewakili negeri, kebiasaannya mereka akan meninggalkan sekolah sehingga dua atau tiga minggu untuk menjalani latihan pusat.

Sebagai guru biasa, saya hanya berharap pihak JPNT memandang serius perkara ini. Hubungilah sekolah-sekolah rendah di Terengganu dan tanyalah pelajar-pelajar 5A yang mewakili negeri dalam apa jua pertandingan, di mana mereka belajar sekarang. Cemerlang akademik dan kokurikulum tetapi terpaksa merayu untuk ke sekolah terbaik adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Berilah keutamaan kepada pelajar ini sebagaimana yang dinikmati oleh pelajar-pelajar luar bandar dan miskin. Saya merasakan inilah jalan terbaik untuk menggalakkan pelajar lebih aktif. Kalaulah pelajar yang cemerlang akademik ditambah lagi dengan penglibatan di peringkat kebangsaan diberi peluang terus belajar di sekolah yang di pohon, nescaya saya merasakan ibu bapa akan berlumba-lumba menggalakkan anak-anak mereka aktif.

Utusan Malaysia Online: 11 Januari 2012

Tambah kuota guru pelatih Sabah, Sarawak

Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2012/01/11

Naik 30 peratus bagi atasi masalah permohonan perpindahan

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (KGS) menuntut Kementerian Pelajaran menaikkan kuota pengambilan guru pelatih dari Sabah dan Sarawak sehingga 60 peratus bagi mengatasi masalah kekurangan guru anak tempatan.
Langkah menambah lagi 30 peratus kuota sedia ada itu perlu untuk manfaat jangka panjang selain mengatasi masalah permohonan perpindahan guru asal Semenanjung bertugas di dua negeri itu.
Hanya guru tempatan memahami sentimen serta perasaan penduduk Sarawak dan Sabah berbanding guru luar yang mungkin agak sukar bergaul dengan mereka. - William Ghani Bina, Presiden KGS
Presiden KGS, William Ghani Bina, berkata setiap tahun kerajaan terpaksa berdepan ribuan permohonan dari guru Semenanjung yang ditugaskan di Sabah serta Sarawak, yang hanya mampu diatasi jika jumlah guru anak tempatan mencukupi.

Katanya, lebih banyak guru pelatih dari Borneo perlu diambil dalam dua hingga tiga tahun akan datang sebelum kuota pengambilan boleh kembali kepada asal, selepas bilangan guru di dua negeri itu mencukupi.

“Saya tidak salahkan guru dari Semenanjung yang memohon dipindahkan keluar dari Sabah dan Sarawak. Jika saya ada anak yang bertugas di Semenanjung, saya juga akan menyuruh dia pulang ke Sarawak.

“Saya menegaskan hanya guru tempatan memahami sentimen serta perasaan penduduk Sarawak dan Sabah berbanding guru luar yang mungkin agak sukar bergaul dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan kuota pengambilan guru pelatih masing-masing dari Sabah dan Sarawak kekal 30 peratus, yang antaranya bertujuan mengurangkan jumlah permohonan pertukaran guru.

William berkata, kuota pengambilan sedia ada jelas tidak mencukupi kerana ia hanya menyelesaikan masalah kekurangan guru di dua negeri terbabit bagi jangka pendek saja.

“Saya katakan banyak kali, kementerian perlu mengambil ramai guru pedalaman terutama mengikut etnik seperti dari suku Penan, Orang Ulu serta masyarakat Melayu di sini juga.

“Secara tidak langsung apabila ramai masyarakat luar bandar diambil berkhidmat sebagai guru, taraf kehidupan mereka akan meningkat dengan kesedaran terhadap kepentingan pelajaran dapat ditingkatkan,” katanya.

Berita Harian Online: 11 Januari 2012

Rabu, 23 November 2011

Guru empat kali mohon bertukar masih gagal

Hubungan baik sesama ahli keluarga dan suasana positif di rumah amat penting serta perlu diberi perhatian kerana ia boleh mempengaruhi produktiviti penjawat awam dalam pekerjaan mereka. Demikian kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti dilaporkan oleh akhbar. Tetapi sejauh mana ucapan ini dihayati oleh kakitangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)?

Saya amat berharap agar KPM dapat menyelesaikan isu pertukaran guru antara negeri. Adik saya adalah salah seorang mangsa ketidakadilan dan ketidaktelusan dalam proses pertukaran guru. Ada guru yang baharu berkhidmat di Sarawak telah berjaya dalam permohonan pertukaran ke Semenanjung.

Adik saya, seorang guru yang sedang berkhidmat di Kuching, Sarawak telah empat kali memohon untuk bertukar ke sekolah di kawasan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pekan, Pahang tetapi masih gagal.

Walaupun rayuan demi rayuan dibuat termasuk berjumpa dengan pegawai Bahagian Sekolah KPM, permohonan ditolak. Adik saya telah memohon pertukaran ke Pekan, Pahang untuk dipertimbangkan pada 01/01/2012. No.Permohonan: Y20121344. Sekali lagi permohonan beliau ditolak. Saya berasa amat sedih, kecewa dan terkilan. Mungkin pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan KPM terlepas pandang atau tidak tengok langsung borang permohonan pertukaran.

Berikut saya senaraikan sebab permohonan pertukaran beliau:

* Mengikut suami, seorang anggota tentera yang kini berkhidmat di Kem Sri Kuantan, Pekan, Pahang.

* Telah berkhidmat sebagai guru di Kuching, Sarawak melebihi lima tahun (81 bulan). Syarat minimum hanya tiga tahun sahaja.

* Menghidap penyakit corneal ulcer dan masih memerlukan rawatan susulan. Beliau pernah dimasukkan ke Hospital Umum Kuching beberapa minggu. Beliau menghadapi kesukaran memandu untuk jarak jauh dan memandu waktu malam (sebelah matanya telah rosak kerana penyakit tersebut).

* Beliau kini hanya ditemani oleh dua anak yang masih kecil. (Anak sulung berusia dua tahun dan anak kedua berusia dua bulan).

* Kesihatan ibu saya yang menghidap penyakit kanser usus semakin merosot kerana tertekan akibat terlalu risaukan keadaan adik saya yang bersendirian di Kuching.

Sebab-sebab yang disenaraikan di atas telah memenuhi kriteria untuk permohonan pertukaran guru. Sememangnya KPM mempunyai dasar mengutamakan kepentingan perkhidmatan. Namun, usah ketepikan budi bicara dan perikemanusiaan sesama insan. Guru juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan.

'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Usah biarkan slogan ini hanya tinggal slogan sahaja. Kepada pihak yang berkenaan, bertindaklah dengan wajar.


Utusan Malaysia Online: 23 November 2011

Jumaat, 18 November 2011

Kerja 9 jam: Guru mohon kajian

Saudara pengarang,
Laporan mengatakan Kementerian Pelajaran akan melaksanakan projek rintis sistem waktu kerja sembilan jam bagi guru di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak mulai Januari depan ternyata mengejutkan ramai warga pendidik.

Sebaik membaca laporan akhbar mengenainya, saya merupakan antara warga pendidik di Pahang yang melahirkan rasa kurang senang dengan cadangan tersebut.

Difahamkan, projek tersebut akan melibatkan hampir 5,000 guru di 104 sekolah di keempat-empat negeri berkenaan.

Jika ia dilaksanakan, tindakan tersebut pastinya akan menambahkan lagi beban kerja guru yang telah sedia ada.

Justeru itu, saya cadangkan kementerian mengadakan kaji selidik terlebih dahulu terhadap responden melibatkan warga pendidik di seluruh negara. Ini penting bagi melihat sejauh mana projek tersebut boleh diterima oleh guru-guru kerana perkara tersebut melibatkan mereka secara langsung.

Apa pun, perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana kementerian sedia maklum bahawa guru-guru bukan sahaja bertugas sebagai tenaga pengajar di sekolah sebaliknya kami juga sebagai pengasuh, pendidik serta menjalankan kerja-kerja perkeranian di sekolah melibatkan data-data murid.

Kami juga terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah murid dan ibu bapa yang kadangkala menyebabkan gangguan emosi selain terpaksa bekerja pada waktu petang untuk aktiviti kokurikulum.

Cadangan awal untuk melaksanakan di empat negeri sebagai percubaan juga langsung tidak munasabah kerana hanya mereka yang terlibat sahaja menanggung beban kerja sedangkan guru-guru di negeri lain hanya sebagai pemerhati sahaja dan ini sesungguhnya sangat tidak adil.

Saya berharap agar kementerian mengkaji semula dan berbincang dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu dasar atau agenda yang melibatkan para guru.

Masyarakat pula diharap tidak menilai kerja sebagai seorang guru sangat mudah dan tempoh bekerja yang singkat berbanding penjawat awam lain kerana kami turut melaksanakan kerja-kerja di sekolah sehingga ke rumah masing-masing ekoran kesuntukan masa.

Utusan Malaysia Online: 18 November 2011

Selasa, 23 Ogos 2011

Harapan Kongres

Oleh Amir Hamzah Nordin

2011/08/23

Kementerian wajar perhalusi gred, kebajikan warga pendidik

KESATUAN Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) berharap Kementerian Pelajaran dapat menambah baik laluan kerjaya perkhidmatan pendidikan dengan melakukan penstrukturan semula bagi meningkatkan semangat bekerja warga berkenaan.

Presidennya, Jemale Paiman, berkata pihaknya memohon sembilan perkara dalam meningkatkan laluan kerjaya yang lebih menarik sejajar dengan transformasi pendidikan yang sedang dijalankan sekarang.
Antaranya beliau berkata, jawatan guru besar di sekolah kurang murid (SKM) dinaikkan daripada gred DGA32 kepada DGA34 sesuai dengan perkembangan semasa.
Katanya, kini sudah ramai guru lulusan diploma berada pada Gred DGA32 secara ‘time based’ dan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan berada pada Gred DG41.

“Kita mahu guru besar yang berada pada gred DGA34 dinaikkan kepada DGA38. Kementerian Pelajaran juga patut memperkenal gred baru, iaitu DGA40.

“Jawatan itu perlu bagi mengisi jawatan guru besar dan pengelola cemerlang yang bertugas di pejabat pelajaran daerah (PPD), jabatan pelajaran negeri dan Kementerian Pelajaran,” katanya.

Jemale berkata, KONGRES juga berharap elaun khas perjawatan guru besar dan pengetua dinaikkan daripada RM100 kepada RM500.
Beliau yang juga Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM), berkata gred jawatan pegawai pelajaran daerah (PPD) yang kini pada Gred DG52 perlu diletakkan pada Gred DG54.

Katanya, ada 139 PPD di seluruh negara dan mereka seharusnya diletakkan pada gred lebih tinggi memandang bidang pentadbiran yang luas dan jumlah warga pendidik yang ramai manakala kebanyakan PPD mempunyai kelayakan akademik yang tinggi.

“Gred PPD sewajarnya lebih tinggi berbanding gred pengetua (DG52) dalam struktur pentadbiran Kementerian Pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, KONGRES juga mencadangkan Pegawai Teknologi Pendidikan di 340 Pusat Kegiatan Guru seluruh negara yang kini pada Gred DGA32, DGA34 dan DGA38 perlu dinaikkan sehingga ke Gred DG41 dan DG52.

Katanya, Kementerian Pelajaran juga perlu meningkatkan peruntukan kewangan dalam pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) secara berperingkat-peringkat.

“Kementerian Pelajaran perlu menjaga kebajikan guru dan pegawai yang banyak mengikuti kursus KSSR dengan membayar elaun tuntutan perjalanan menghadiri program anjuran kementerian.

“Selain itu, kekosongan jawatan guru besar atau pengetua harus diisi dengan segera dan tidak terbiar kosong sehingga melebihi 60 hari kerana ini akan menjejaskan pentadbiran sekolah,” katanya.

Berita Harian Online: 23 Ogos 2011

Sabtu, 11 Jun 2011

Kerenah birokrasi sukarkan guru sambung PhD

2011/06/11

SAYA bersetuju dengan pendapat ‘Guru sabar menunggu, Bidor, Perak’ yang disiarkan dalam ruangan ini pada Rabu, 8 Jun. Masalah guru tidak mendapat bantuan tajaan atau biasiswa bagi melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) memang banyak berlaku.

Sepatutnya dalam situasi ini, guru wajar diberi perhatian dan keutamaan untuk melanjutkan pelajaran kerana mereka berada dalam bidang pendidikan. Malangnya, kerenah birokrasi yang menyusahkan sering membantutkan hasrat mereka.

Prosedur temuduga bagi cuti bergaji penuh perlu dilihat dan dinilai semula rasionalnya bagi memudahkan guru, bukannya menekan mereka.

Faktor kewangan adalah perkara kedua tetapi masa yang banyak diperlukan bagi menjalankan setiap penyelidikan yang merumitkan jika guru melanjutkan PhD secara sambilan.

Pelajar dari sektor swasta dan orang perseorangan mendapat kemudahan melalui program MyMaster dan MyPhD yang mendapat sokongan kerajaan sepenuhnya.

Ramai guru yang mempunyai kelulusan sarjana di sekolah tidak dimanfaat sepenuhnya. Akhirnya kepakaran mereka menjadi sia-sia saja. Pihak kementerian perlu memandang serius hal ini jika ingin memartabatkan profesion perguruan.

Guru yang mempunyai sarjana dan PhD perlu diberi lebih keistimewaan untuk memohon sebagai pensyarah di institusi pengajian tinggi lain.
Guru terpaksa menunggu lama untuk dinaikkan ke gred DG44 untuk melayakkan diri ke maktab perguruan sebagai pensyarah.

Pengalaman mengajar yang lama tidak memberi banyak kelebihan banyak berbanding dengan mereka di luar sektor pendidikan.

Pihak kerajaan juga perlu lebih bersikap terbuka terhadap guru yang ingin memohon jawatan lebih tinggi dengan memberi sokongan sepenuhnya.

Tambahan pula guru berijazah di sekolah rendah dinafikan hak mereka untuk memohon jawatan Penolong Kanan dan Guru Besar atas alasan sistem sedia ada ditetapkan begitu sedangkan kita sendiri yang membuat sistem berkenaan dan sudah sampai masanya diubah mengikut peredaran masa selain memberi peluang kepada guru yang berkelayakan memegang jawatan berkenaan.

GURU LAMA,
Jitra, Kedah

Berita Harian Online: 11 Jun 2011

Rabu, 8 Jun 2011

Tidak dilantik guru walaupun tamat DPLI

NASIB isteri saya umpama yang dikejar tak dapat yang dikendung keciciran. Isteri saya adalah lepasan program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) pada Julai 2010, tetapi sehingga kini masih belum mendapat surat setuju pelantikan dan penempatan. Tidak seperti mana rakan-rakannya yang lain telah memulakan perkhidmatan sejak September 2010.

Hal ini adalah disebabkan beliau telah meletak jawatan Gred N17 kerana mendapat tawaran pengajian DPLI.

Pada mulanya, beliau beranggapan namanya tercicir daripada senarai guru yang akan ditempatkan pada September 2010.

Tetapi setelah disemak di Kementerian Pelajaran, barulah dimaklumkan beliau terpaksa memohon semula melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Sepatutnya, perkara yang sebegini perlu diberi penerangan yang jelas semasa taklimat oleh kementerian terbabit semasa pendaftaran sebagai pelajar iaitu apa yang perlu dibuat selepas tamat DPLI dan risiko bakal dihadapi ataupun menolak tawaran DPLI dan kekal pada jawatan lama.

Setelah permohonan baru dibuat kepada Kementerian Pelajaran dan dipanjangkan ke SPP, pihak SPP pula tidak memaklumkan perlu mengisi permohonan secara online. Dan permohonan online telah pun dibuat dan sehingga kini masih menunggu panggilan temu duga.

Utusan Malaysia Online: 8 Jun 2011

Surat: Guru kanan mohon cuti diluluskan untuk sambung belajar

2011/06/08

SEBAGAI guru di sekolah luar bandar yang menyedari mengenai kepentingan ilmu, saya sangat berminat menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana kedoktoran (PhD). Sudah lima kali saya memohon (dari 2006 hingga 2011), kecuali 2008 kerana permohonan ‘online’ disekat sebab terlebih had umur 40 tahun yang ditetapkan.

Saya sungguh gembira bila Kementerian Pelajaran mewujudkan program cuti belajar bergaji penuh tanpa biasiswa dengan had umur 44 tahun, dan saya sudah memohonnya sejak 2009 hingga 2011.
Pada Mac lalu, saya dipanggil temuduga dan sangat sedih apabila dimaklumkan pada 31 Mei lalu bahawa permohonan saya tidak berjaya.

Persoalan saya, mengapakah susah sangat untuk saya mendapat cuti belajar selepas saya memohonnya sebanyak lima kali? Apakah penggunaan bahasa Inggeris saya yang tidak lancar ketika sesi temuduga menjadi penyebab utama?

Dengan bebanan tugas sebagai guru kanan di sekolah menengah, di mana saya perlu mengendalikan dua bidang serentak iaitu bidang pengurusan dan pentadbiran serta pengajaran dan pembelajaran, saya sangat memerlukan cuti belajar untuk menyambung pelajaran, walaupun tanpa biasiswa.

Tambahan pula komitment terhadap keluarga dan kekangan masa untuk membuat kajian di luar kawasan turut menyumbang kepada sangat pentingnya cuti belajar ini kepada saya.

Saya mencadangkan pihak Bahagian Tajaan Kementerian Pelajaran turut mengambil kira faktor tanggungjawab dan kemampuan kewangan guru ketika membuat penilaian. Sehingga ke saat ini saya masih merayu pihak Kementerian Pelajaran terutama Bahagian Tajaan agar meluluskan permohonan yang sangat saya perlukan.
Tahun ini adalah peluang terakhir saya kerana tahun hadapan umur saya sudah pun melebihi had umur 44 tahun yang ditetapkan.

GURU SABAR MENANTI,
Bidor, Perak

Berita Harian Online: 8 Jun 2011

Selasa, 31 Mei 2011

Apa kesudahan nasib Guru Sandaran Tidak Terlatih?

SAYA merupakan bekas Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang telah mencurahkan khidmat bakti sama seperti guru terlatih. Kami tidak terkecuali dalam melaksanakan tugas sama ada daripada segi kurikulum dan kokurikulum.

Malah kami juga dicerap atau dipantau oleh pihak pentadbir mahu pun pegawai pelajaran peringkat negeri.

GSTT juga tidak dibezakan oleh pihak pentadbir. Maksudnya apabila saya menerima tawaran sebagai GSTT, bermakna tanggungjawab dan amanah yang dipikul adalah besar dan tiada bezanya seperti guru tetap.

Pendek kata, segala program yang diatur oleh pihak sekolah, GSTT juga bertanggungjawab dalam melaksanakan program berkenaan.

Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran pada 8 Mac lalu, seolah-olah memberi nafas kepada GSTT sehinggakan keesokan harinya terpampang di dada akhbar dan di kaca televisyen mengenai berita gembira untuk para GSTT.

Namun sehingga kini masih belum diketahui status sebenar kenyataan beliau.

Rata-rata masyarakat setempat umumnya mengandaikan bahawa kami bekas GSTT seolah-olah akan mendapat tawaran mengajar kembali setelah mendengar pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pelajaran.

Hakikatnya, hingga kini status pengumuman berkenaan masih lagi menjadi tanda tanya kepada bekas GSTT.

Oleh yang demikian, saya mengharapkan agar persoalan tersebut dapat dirungkaikan.

Saya juga amat mengharapkan agar Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran memberi peluang kepada bekas GSTT untuk menyambung kembali perkhidmatan kerana rata-rata GSTT telah berkhidmat lebih dari setahun dan telah mempunyai pengalaman.

Beri kami peluang untuk mencurahkan khidmat bakti kepada anak bangsa.

Utusan Malaysia Online: 31 Mei 2011

Tidak dapat komputer

SAYA Mohd. Faridzuan Abd. Rahman adalah pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Darulaman, Alor Star, Kedah. Saya sedih dan dukacita kerana nama saya telah tercicir dari senarai penerima komputer notebook yang diberikan oleh pihak kerajaan pada hari Sabtu 21 Mei lalu.

Program 'Satu rumah, satu komputer' adalah sesuatu yang tepat dan amat bermakna. Sebagai pelajar, saya merasa bangga kerana Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak begitu prihatin kepada golongan pelajar miskin agar memiliki satu komputer untuk setiap satu rumah.

Malangnya saya tidak memiliki satu pun komputer di rumah dan bertambah malang lagi nama saya tercicir kerana kelewatan saya mengisi borang kepada pihak sekolah.

Saya akui akan kesilapan ini. Apa harus saya lakukan sekarang? Masih adakah peluang untuk saya memiliki komputer notebook tersebut? Bantulah saya.

Utusan Malaysia Online: 31 Mei 2011

Isnin, 30 Mei 2011

Tunggu panggilan induksi guru

SAYA merupakan seorang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG41 (guru). Saya ditempatkan di sebuah sekolah di sebuah daerah di Selangor pada tahun 2009.

Saya juga telah memohon untuk menghadiri kursus induksi sejurus selepas mendapat surat lantikan. Sehingga kini saya masih belum lagi dipanggil untuk kursus tersebut.

Kawan-kawan saya di daerah dan negeri yang lain telah selesai menjalani kursus tersebut sedangkan saya belum dipanggil.

Apabila diajukan soalan kepada Unit Latihan, Jabatan Pelajaran Selangor, alasan tiada peruntukan yang diberikan. Harap Kementerian Pelajaran beri perhatian kepada perkara ini.

GURU KECEWA

Selangor


Utusan Malaysia Online: 30 Mei 2011

Rabu, 11 Mei 2011

Berikan biasiswa guru di bawah skim cuti belajar

SAYA mengambil kesempatan ini untuk memohon kepada Kementerian Pelajaran Malaysia supaya memberikan biasiswa kepada guru-guru yang terpilih di bawah skim cuti belajar tanpa biasiswa sebagaimana yang diperoleh oleh rakan-rakan kami sebelum ini.

Skim ini telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 . Adalah menjadi aspirasi kami guru-guru untuk memantapkan pengetahuan untuk kerjaya tercinta. Namun kami juga memerlukan kemudahan dalam bentuk bantuan kewangan (biasiswa) untuk memastikan kesempurnaan dalam pengajian.

Bantuan yang dipohon bukanlah terlalu besar rasanya untuk dipenuhi oleh pihak kementerian. Golongan yang mendapat cuti belajar tanpa biasiswa pun bukanlah begitu signifikan jumlahnya.

Kami akur dengan kelewatan kenaikan pangkat di kalangan guru-guru. Namun sekurang-kurangnya berilah sedikit keistimewaan semasa melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kepada kami. Kami juga penjawat awam yang memberi sumbangan kepada anak bangsa.

Pada hemat saya adalah tidak adil untuk memperkenalkan skim cuti belajar tanpa biasiswa kepada pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah, sedangkan biasiswa kepada perkhidmatan di peringkat pengurusan dan profesional yang lain adalah kekal seperti lazimnya.

Sehubungan itu, besarlah harapan saya agar rayuan saya didengari dan dipertimbangkan sewajarnya. Letakkan diri tuan/puan yang menguruskan cuti belajar ini di tempat saya dan mungkin tuan/puan akan memahami peritnya.

Utusan Malaysia Online: 11 Mei 2011

Selasa, 10 Mei 2011

Lebih 5,000 calon hadir temu duga guru

SANDAKAN 9 Mei - Seramai 5,520 orang telah menghadiri temu duga terbuka proses pengambilan guru pedalaman di tujuh pusat di seluruh negeri ini yang dijalankan selama dua hari bermula semalam.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementeriannya amat komited untuk memenuhi kuota masing-masing 30 peratus guru bagi Sabah dan Sarawak, bakinya 40 peratus lagi bagi Semenanjung Malaysia.

"Pendekatan kementerian ialah bagi memastikan penempatan guru-guru di kawasan pedalaman mesti dipilih daripada kalangan penduduk tempatan," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gum-Gum di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum-Gum, Datuk Zakaria Edris dan pegawai kanan kementerian berkenaan.

Tambah Mohd. Puad, jumlah kehadiran itu amat memberangsangkan, malah terdapat juga pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut memohon.

Katanya, dalam temu duga itu, kementerian telah melonggarkan sedikit syarat minimum iaitu mana-mana calon yang hanya mendapat keputusan enam lulus dengan kepujian boleh diterima dengan syarat mereka lulus Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

"Apa yang penting mereka merupakan anak tempatan dan berasal daripada keluarga miskin. Melalui proses ini, calon tidak lagi perlu membuat permohonan melalui Internet memandangkan kawasan pedalaman tidak mempunyai akses kepada kemudahan itu.

"Dengan adanya temu duga terbuka ini, calon-calon berkenaan hanya perlu membawa sijil mereka untuk hadir temuduga," katanya.

Hari ini, Mohd. Puad menyaksikan sendiri proses temu duga di SMK Telupid yang dihadiri oleh 850 calon. Antara pusat lain ialah di SMK Kudat 2, Semporna, Pulau Banggi dan Nabawan.

Utusan Malaysia Online: 10 Mei 2011

Khamis, 24 Februari 2011

Guru: Kementerian disaran utamakan rakyat Sabah

TAWAU 23 Feb. - Kementerian Pelajaran diminta mempertimbangkan cadangan agar rakyat Sabah diberi keutamaan bagi mengikuti kursus perguruan di institut latihan perguruan yang ada di negeri ini.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan (gambar) berkata, cadangan itu bagi mengurangkan kadar penghijrahan guru berkualiti dan berpengalaman dari Sabah.

"Sabah sering kehilangan guru-guru berkualiti dan berpengalaman apabila guru terbabit kembali ke negeri asal mereka di Semenanjung. Bagaimanapun, ini tidak bermakna orang Sabah menolak kehadiran guru-guru dari Semenanjung untuk mengajar dan menabur bakti dalam bidang pendidikan di negeri ini," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan mengutamakan rakyat tempatan yang berkelayakan, masalah penghijrahan tersebut dapat diatasi.

Tawfiq mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi baru-baru ini bahawa kementerian itu akan terus menghantar guru-guru dari Semenanjung untuk berkhidmat di Sabah.

Tawfiq turut mencadangkan kepada kementerian tersebut agar memberi peluang kepada guru sandaran di negeri itu mengikuti latihan perguruan menerusi Program Kursus Dalam Cuti.

"Tanpa memberi peluang kepada mereka berkursus, secara tidak langsung Jabatan Pelajaran akan mewujudkan golongan penganggur," katanya.

Tawfiq yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau sebelum itu merasmikan penangguhan Majlis Tadarus al-Quran Sekolah-Sekolah Rendah Zon Bandar Selatan di SK Batu Payung, di sini. — BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 24 Februari 2011

Selasa, 15 Februari 2011

Buildings unsafe, but 1,000 pupils still attending school

KOTA KINABALU: Three primary school buildings in the east coast of Tawau have been declared unsafe for about a year but at least 1,000 pupils are continuing to attend classes there.

Despite the Public Works Department’s declaration that the buildings are unsafe, the pupils still attend classes and hold activities at the schools – SK Bahagia, SK Kukusan and SK Jambatan Putih.

Kalabakan MP Datuk Abdul Ghapur Salleh said that a full report on the condition of the schools had been submitted to the Education Ministry but no steps had been taken to ensure the safety of the students and teachers.

“I handed over the report to Deputy Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin when he was in Lahad Datu during the fasting month last year.

“I was assured that some allocation would be made available for the schools but until today, nothing has come,” Ghapur said.

He added that he had also discussed the problem with Deputy Education Minister Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi.

“I just hope nothing serious happens,” said Ghapur, who urged the Education Ministry to act.

The three schools come under the Kalabakan constituency of Tawau.

Sabah Education Department director Datuk Dr Muhiddin Yusin said the state office had forwarded to the ministry the PWD reports on the safety of the buildings.

“It is up to the ministry to take action. We have done what we are supposed to do,” he said.

However, he said that his department and other relevant agencies were continuously monitoring the structure of the buildings.

The Star Online: 15 Februari 2011

Sabtu, 30 Oktober 2010

OUM tidak ada kaitan kenaikan pangkat guru

2010/10/30

MERUJUK surat 'Guru DGA29' dari Kuala Lumpur yang disiarkan dalam ruangan ini pada 21 Oktober lalu, pihak Open University Malaysia (OUM) mengucapkan terima kasih atas keprihatinan beliau terhadap kursus pengajian yang ditawarkan oleh OUM.

Untuk makluman, OUM ada menawarkan beberapa kursus pengajian peringkat ijazah khusus untuk guru melalui kerjasama antara OUM dengan Kementerian Pelajaran. Permohonan kemasukan ke kursus pengajian ini dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG), mengikut syarat kemasukan yang ditetapkan.

Secara amnya, OUM menawarkan kursus pengajian kepada sesiapa saja yang memenuhi syarat kelayakan. Bagaimanapun, bagi guru yang masih dalam perkhidmatan, mereka dikehendaki mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing.
Mengenai urusan kenaikan pangkat pula, ia adalah di luar bidang kuasa pihak OUM. Bagaimanapun, guru yang menamatkan pengajian di OUM boleh membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Diharapkan penjelasan ini dapat memberikan maklumat yang diperlukan oleh Guru DGA29 dalam membuat pertimbangan untuk menyambung pengajian.

Jika Guru DGA29 memerlukan maklumat lanjut, sila berhubung dengan Pendaftar OUM melalui e-mel (kamariah@oum.edu.my). Segala kerjasama dan sokongan yang diberikan amatlah kami hargai dan sanjung tinggi.

DATIN TEH RAQAMAH ABDULLAH,
Pengarah Unit Perhubungan Korporat OUM.


Berita Harian Online: 30 Oktober 2010

Selasa, 26 Oktober 2010

Berminat jadi guru tetap

2010/10/26

BERIKUTAN minat yang mendalam dan hasrat yang tidak kesampaian untuk bergelar seorang guru, menyebabkan saya memohon jawatan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT). Alhamdulillah, berkat doa yang tidak putus-putus, akhirnya saya diterima mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Hulu Selangor.

Walaupun tidak mendapat jawatan tetap, tugasan rasmi seorang guru saya laksanakan dengan penuh ikhlas dan dedikasi. Saya menyedari, GSTT seperti diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’ dengan khidmat kami boleh ditamatkan pada bila-bila masa, seperti tertera di dalam surat lantikan.

Namun, persoalan yang sering bermain di minda, ke manakah arah tuju GSTT seperti kami ini? Saya dan guru GSTT terlalu ingin menjadi guru tetap. Namun rezeki masih belum memihak kepada kami. Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) masih belum menjadi rezeki kami.

Menyakitkan hati apabila mendengar kawan-kawan yang terpilih menjadi guru tetap apabila mereka mengatakan bahawa mereka ‘suka-suka mohon dan dapat’. Alangkah baiknya jika kami yang benar-benar berminat ini di tempat mereka.

Kepada pihak kementerian, kami merayu, tolonglah kami guru GSTT yang benar-benar berminat ini untuk menyertai Kursus Dalam Cuti (KDC) walaupun kami tidak mengajar kelas pendidikan khas ataupun berilah keutamaan kepada kami bagi mengikuti DPLI dan KPLI.

GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH,
Hulu Selangor, Selangor

Berita Harian Online: 26 Oktober 2010

Isnin, 25 Oktober 2010

Berita baik bagi guru sandaran

MELAKA 24 Okt. - Kementerian Pelajaran merancang menyerap masuk guru sandaran tidak terlatih (GSTT) yang berkhidmat melebihi lima tahun ke dalam program Kursus Dalam Cuti (KDC) sebelum layak memegang jawatan tetap.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya sedang mengenal pasti GSTT yang berkhidmat lebih lima tahun daripada keseluruhan 12,000 orang yang mengikuti KDC.

Menurutnya, kementerian tidak mampu menyerap masuk kesemua GSTT mengikuti KDC memandangkan tempat yang disediakan agak terhad.

''Bagi memenuhi permintaan pelbagai pihak untuk mengambil guru sandaran ke jawatan tetap, mungkin kita boleh ambil GSTT yang berkhidmat lebih lima tahun mengikuti KDC sebelum mereka diserap ke jawatan tetap," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menutup Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ke-22 di sini hari ini.

Katanya, kementerian menganggarkan kurang 1,000 GSTT yang sudah berkhidmat lebih lima tahun ketika ini.

''Jumlah mereka amat kecil, tidak sampai beribu orang, hanya mereka ini yang mungkin dipilih mengikuti KDC sebelum boleh diserap ke jawatan tetap," katanya.

Utusan Malaysia Online: 25 Oktober 2010