Jumaat, 30 September 2011

5 murid Tahun Enam ditegah ambil UPSR

Oleh Safuri Kamarudin
bhnews@bharian.com.my
2011/09/29

LIMA murid Sekolah Rendah Kebangsaan Telok Sira, (dari kiri) Mohd Zulidham, Mohd Fazli, Mohd Hakim, Mohd Zulhilmi  dan Mohd Zulfikar sedih selepas  mereka dilarang menduduki UPSR baru baru ini.
LIMA murid Sekolah Rendah Kebangsaan Telok Sira, (dari kiri) Mohd Zulidham, Mohd Fazli, Mohd Hakim, Mohd Zulhilmi dan Mohd Zulfikar sedih selepas mereka dilarang menduduki UPSR baru baru ini.
Dilarang ke sekolah pada 13 hingga 15 September kerana dianggap bodoh

BALING: Lima murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Telok Sira, dekat sini, mengalami nasib sama seperti yang berlaku ke atas tiga murid sebuah sekolah di Sarawak baru-baru ini apabila dilarang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pertengahan bulan ini.
Mereka mendakwa dilarang ke sekolah dan mengambil peperiksaan itu pada 13 hingga 15 September lalu kerana disifatkan lemah dalam pelajaran serta boleh menjejaskan prestasi sekolah jika menduduki peperiksaan berkenaan.
Perkara itu terbongkar apabila ibu bapa murid terbabit tampil mendedahkan perkara itu semalam kepada media dan kesal dengan sikap pengurusan sekolah menganiaya anak mereka.

Lima murid terbabit ialah Mohd Fazli Md Isa, Mohd Zulfikar Mohd Fauzi, Mohd Zulhilmi Abd Mizan, Mohd Hakim Hasan dan Mohd Zulidham Yusof yang semuanya berusia 12 tahun.

Bapa Mohd Fazli, Md Isa Che Lah, 43, berkata dia hanya mengetahui perkara itu apabila diberitahu anaknya, seminggu selepas UPSR berakhir.

Katanya, Mohd Fazli beritahu seorang guru sekolah itu memaklumkan kepada lima pelajar terbabit supaya tidak datang mengambil UPSR kerana mereka dikatakan `bodoh' dan lemah dalam pelajaran.
“Saya kesal dengan tindakan guru terbabit yang menghalang anak saya menduduki peperiksaan, sedangkan saya bertungkus-lumus menghantarnya ke sekolah sejak Tahun Satu lagi.

“Anak saya turut mengalami tekanan perasaan dan sering murung apabila pihak sekolah terbabit tidak membenarkan dia mengambil peperiksaan itu,” katanya di sini sambil mendakwa beliau tidak tahu apa sepatutnya dilakukan apabila dimaklumkan perkara itu oleh anaknya sehinggalah mengambil keputusan untuk melaporkan kepada media bersama ibu bapa murid lain yang terbabit, semalam.

Seorang lagi waris, Raziah Yahya, 50, berkata beliau dikunjungi seorang guru sekolah berkenaan dan memaklumkan anaknya, Mohd Zulhilmi tidak perlu ke sekolah ketika UPSR itu berlangsung.

“Guru terbabit mendakwa jika anak saya mengambil peperiksaan itu, dia akan mendapat keputusan `E' sehingga menjejaskan peratus kelulusan sekolah.

“Dia juga mendakwa anak saya bodoh tidak boleh membaca, sedangkan Mohd Zulhilmi hanya lembam tetapi boleh membaca.

“Saya kasihan melihat sikapnya yang sering termenung dan mengasingkan diri sejak beberapa hari lalu, mungkin kerana malu dengan rakannya yang lain,” katanya.

Norziah Wateh, 42, ibu kepada Mohd Zulfikar pula berkata, anaknya itu menangis ketika pulang ke rumah selepas diarahkan guru supaya tidak datang ke sekolah mengambil peperiksaan itu.

“Dia amat sedih kerana cikgu mengatakan dia bodoh, selain diejek rakan sekelas,” katanya.

Mereka bagaimanapun belum membuat laporan polis.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan itu dengan merujuknya kepada guru besar sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

“Saya masih menunggu laporan lengkap mengenai perkara itu dan akan menyiasat dakwaan itu dengan telus,” katanya.

Pada 20 September lalu, akhbar melaporkan tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, Sarawak tidak dibenarkan menduduki UPSR kerana mereka dianggap lemah dan dibimbangi boleh menjejas prestasi keseluruhan sekolah itu.

Berita Harian Online: 29 September 2011

Tindakan terhadap guru besar

PONTIAN 29 Sept. – Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan terhadap guru besar dan pengetua sekolah sekiranya terbukti mereka terlibat melarang murid daripada menduduki peperiksaan yang diadakan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, guru besar atau pengetua yang didapati bersalah dalam hal seumpama itu hanya akan memberi kesan negatif kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka.

“Tindakan menghalang murid daripada menduduki peperiksaan adalah salah kerana ia melanggar hak murid tersebut.

“Justeru, seandainya kita dapati guru besar atau pengetua menghalang murid daripada mengambil peperiksaan semata-mata untuk memastikan prestasi sekolah mereka tidak menurun, kita akan mengambil tindakan,” katanya mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang menyiarkan lima murid Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Sira di Baling, Kedah tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini.

Beliau yang ditemui selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Rakyat di pekarangan Masjid Jamek Kampung Sungai Bunyi dekat sini, hari ini memaklumkan belum menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Muhyiddin berkata, beliau akan mengarahkan Jemaah Nazir Sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah untuk menyiasat perkara itu dan murid-murid berkenaan akan dibenarkan menduduki semula peperiksaan tersebut.

Lima murid berkenaan iaitu Mohd. Zulidham Yusof, Mohd. Fazli Md. Isa, Mohd. Hakim Hasan, Zulhilmi Abd. Mizan dan Mohd. Zulfikar Mohd. Fauzi dilaporkan telah diminta oleh guru mereka supaya tidak menghadiri peperiksaan itu.

Sebelum ini, akhbar turut melaporkan tiga murid SK Bandar Bintangor, Sarawak tidak dibenarkan menduduki UPSR atas alasan akan menjatuhkan prestasi sekolah berkenaan.

Utusan Malaysia Online: 30 September 2011

Sekolah Agama Rakyat diajak sertai 'keluarga' SABK

JOHOR BAHRU 29 Sept. - Kementerian Pelajaran menjemput semua Sekolah Agama Rakyat (SAR), khususnya di negeri ini agar menjadi 'ahli keluarga' Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah kementerian itu untuk meningkatkan lagi tahap pembelajaran dan prasarana sekolah.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu akan dapat memenuhi permintaan tinggi ibu bapa untuk memasukkan anak mereka ke sekolah aliran agama dan membolehkan lebih ramai pelajar berpeluang mengikuti proses pembelajaran menggunakan dwikurikulum, kebangsaan dan Dini/Azhari.

Katanya, Kerajaan Pusat akan menyediakan peruntukan bersesuaian jika SAR menjadi SABK, contohnya skim gaji guru yang sama dengan tenaga pengajar di sekolah kebangsaan.

Di samping itu, katanya, pelbagai bantuan seperti guru terlatih, kemudahan pembelajaran, buku teks, biasiswa dan pembangunan infrastruktur turut akan diberi.

"Jika sekolah-sekolah agama di negeri ini dapat dilengkapkan dengan kemudahan terkini, ia boleh menjadi daya tarikan kepada pelajar bukan sahaja di negeri ini malah dari negeri lain," katanya dalam ucapan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Hijrah SABK Madrasah Al-Alattas Arabiah Johor di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Ali Hassan dan Nazir Keenam SABK Madrasah Al-Alattas Arabiah Johor, Syed Ali Mohamed Alattas.

Menurut Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri, Madrasah Al-Alattas adalah antara SAR di Johor yang terawal menandatangani Perjanjian Persefahaman dengan kementerian untuk berdaftar di bawah SABK.

"Penyertaan madrasah ini amat dialu-alukan demi memartabatkan sekolah agama agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan sekolah aliran perdana lain,'' katanya.

Beliau pada masa sama turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM270,000 bagi membantu penambahbaikan prasarana SABK Madrasah Al-Alattas Arabiah Johor bersempena 100 tahun penubuhannya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, kini tinggal 27 SAR di negeri ini yang dalam peringkat akhir penelitian sebelum mendaftar sebagai SABK dan sedang menunggu kelulusan.

"Pendaftaran SABK akan memberi banyak faedah, kemudahan dan bantuan kepada guru, murid serta pembangunan infrastruktur berbanding keadaan sekarang," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Johor mempunyai 19 sekolah menengah agama (SMA) dengan 577 guru dan 5,563 pelajar selain lapan sekolah rendah agama (SRA) dengan 208 guru dan 3,227 murid.

Utusan Malaysia Online: 30 September 2011

Rabu, 28 September 2011

Noktah Kembara Seorang Pendidik



TEMPOH 18 tahun mengabdikan diri mendidik anak-anak Orang Asli dirasakan begitu pantas berlalu tanpa disedari oleh lelaki yang membuang pandangannya ke luar jendela.

Entah apakah yang bersarang di kepala insan bernama Ahmad Mohd. Sa’at yang mesra disapa Haji Mat itu. Adakah memikirkan nasib anak-anak pedalaman tersebut selepas peninggalannya, atau mungkin mengenang kembali segala kenangan yang pernah wujud sepanjang khidmatnya di tanah itu?

Walau apapun, tekaan isi dewan pada hari itu tidak penting. Perkara utama saat itu ialah penghargaan yang sewajarnya diterima Haji Mat kerana sudi menabur bakti sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu, Sungai Siput Utara, Perak.


BIARPUN kecemerlangan anak-anak Orang Asli ini tidak sehebat murid di bandar, namun mereka amat patuh pada kata-kata guru.


Biarpun kemudahan dan kelengkapan sekolah terpencil itu tidak boleh dibanggakan, ia tidak pernah melahirkan keluh-kesah dalam diri lelaki berusia 58 tahun tersebut.

Perjalanan meredah bekas laluan lori balak dengan motosikal yang memakan masa lebih tiga jam bagi menuju ke penempatan itu juga sudah menjadi asam garam hidupnya.

Bukan itu sahaja, untuk sampai ke sekolah yang menjadi rumah keduanya itu juga, dia perlu melewati Bukit Galok, Bukit Petai dan Bukit Cermin yang sinonim sebagai laluan berbahaya.

Mungkin kedengaran tidak masuk akal, tetapi itulah realiti yang didepani Haji Mat dan seluruh warga pendidik Kuala Mu yang terletak 73 kilometer (km) dari Sungai Siput Utara.

Setiap hari Ahad atau Isnin, Haji Mat akan turun ke Kuala Mu bagi menjalankan tugasnya di sekolah tersebut dan hanya keluar dari kampung itu pada hari Jumaat.

Meskipun rutin guru besar kesayangan anak tempatan Kuala Mu itu kedengaran begitu meletihkan, ia seakan-akan satu keseronokan buat dirinya yang jatuh cinta dengan keharmonian perkampungan serba daif itu.

“Rutin harian saya adalah mengajar pada waktu pagi manakala waktu petang, saya akan meluangkan masa bersama guru-guru dan penduduk kampung.

“Memandangkan di sini tiada talian telefon, waktu malam saya dan warga pendidik lain banyak dihabiskan dengan menonton televisyen.

“Tetapi mujur ada Internet yang memudahkan saya dan mereka yang lain berkomunikasi bersama ahli keluarga,” ujar Haji Mat yang berkhidmat di Kuala Mu sejak tahun 1993.

Guru larikan diri


PERSARAAN Haji Mat menyedihkan semua penduduk berikutan kesefahaman dan keakraban mereka begitu utuh.


Pelbagai pengalaman ditimba Haji Mat sepanjang khidmatnya dan rata-ratanya merupakan kenangan indah yang membuatkannya bertambah sayang kepada Kuala Mu.

Namun, sudah tentu ada beberapa kisah pahit yang masih belum luput daripada ingatan, antaranya ialah berdepan kerenah guru-guru yang ditugaskan di kawasan tersebut.

Menurut Haji Mat, ada guru yang melarikan diri pada waktu tengah hari selepas melaporkan diri pada waktu pagi dan ada juga yang hanya mampu bertahan selama seminggu ataupun sebulan sahaja.

Namun baginya, bertugas di Kuala Mu tidak sukar sekiranya seseorang pendidik itu memiliki kekuatan fizikal dan mental sama rata. Paling penting, menurutnya, adalah semangat survival yang tinggi.

Murid-murid Orang Asli di sekolah itu sememangnya istimewa pada pandangan Haji Mat. Walaupun mereka tidak sehebat anak-anak di bandar, namun mereka tidak buta huruf malah amat mendengar kata dan mudah dibentuk.


HAJI MAT (duduk, tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama tenaga pengajar di SK Pos Kuala Mu.


“Terdapat beberapa bekas pelajar yang telah berjaya seperti Busu Ngah yang kini bertugas sebagai juruhebah Asyik FM dan Adzlan Pandak yang telah berjaya menjadi seorang guru.

“Melihatkan kejayaan mereka membuatkan saya berasa lapang dan itulah perkara paling menggembirakan dalam hidup saya.

“Saya sayangkan Kuala Mu kerana masyarakat Asli Temiarnya baik dan ramah. Memang sedih untuk bersara kerana semangat guru-guru mendidik anak-anak di sini masih bersama saya,” tutur Haji Mat berbaur sebak dalam ucapan perpisahannya.

Mencuri tumpuan dalam majlis tersebut adalah persembahan kumpulan koir. Dialunkan oleh pelajar-pelajar darjah empat hingga darjah enam sekolah itu, ternyata membuatkan suasana bertukar pilu.

Pelbagai riak emosi terpapar di dalam dewan tersebut saat itu, ada yang melinangkan air mata, ada yang menundukkan wajah dan ada juga yang sekadar menakung air mata tanpa mahu ia menitis ke pipi.

Sifat kebapaan


SIFAT kebapaan Haji Mat membuatkan anak-anak ini mudah mesra dengan guru besar kesayangan mereka itu.


Guru yang bertanggungjawab ke atas persembahan merentap emosi itu, Tarmizi Hassan, 28, menganggap Haji Mat sebagai seorang ketua yang benar-benar mendalami perasaan dan masalah kesemua warga pendidik Kuala Mu.

Mungkin normal bagi seorang ketua untuk membuat segala keputusan tanpa perbincangan anak buah, tetapi tidak bagi Haji Mat. Setiap yang dilakukannya adalah hasil perbincangan dan persefahaman setiap orang di bawahnya.

“Dia tidak pernah anggap diri sebagai seorang ketua tetapi lebih kepada seorang bapa yang prihatin terhadap anak-anaknya.

“Kami tidak merasai jurang guru besar dan guru biasa kerana dia meletakkan dirinya setaraf dengan orang lain,” luah Tarmizi yang telah enam tahun menabur bakti di Kuala Mu.

Begitu juga dengan Guru Kanan Kokurikulum sekolah tersebut, Mohd. Aminudin Rohani, 30, yang menyifatkan Haji Mat sebagai sumber rujukan utama semua orang termasuklah penduduk setempat.

Ujar Aminudin, mengajar di pedalaman tidak mudah dan adakalanya terlintas juga rasa tidak selesa dan putus asa. Namun, insan yang bertanggungjawab membangkitkan semula semangat dirinya dan rakan-rakan lain adalah Haji Mat.


MUAFAKAT penduduk kampung menjayakan majlis tersebut mencerminkan kasih mereka terhadap Haji Mat yang sudah dianggap seperti keluarga.


“Dia tidak hanya memahami anak-anak buahnya, Haji Mat turut disegani penduduk-penduduk kampung ini kerana sifatnya yang ramah dan suka bergaul.

“Kami tidak terkejut, anak-anak di sini rapat dan tidak takut kepadanya disebabkan kerendahan hati serta sifat kebapaan yang dimilikinya,” jelas Aminudin yang mula berkhidmat pada tahun 2002.

Fasih nahasa Temiar

Seorang lagi guru yang telah 11 tahun bersama-sama Haji Mat, Megat Asrul Megat Mohamed Yusof, 34, memberitahu, Haji Mat seorang individu yang tidak pernah marah dan sentiasa tersenyum.

Kelebihan berbahasa Temiar Haji Mat juga membuatkan dia begitu disegani penduduk kampung.

“Masyarakat di sini memang sensitif, jadi bukan sembarangan orang boleh merapati dan meyakinkan mereka.

“Itulah kehebatan Haji Mat kerana dia mampu bergaul mesra dengan penduduk di sini dan kelancarannya berbahasa tempatan banyak membantu kami menjalankan tugas sebagai guru.

“Memang sukar hendak mendapat seorang ketua mirip Haji Mat tetapi biarlah penggantinya seorang yang dapat memahami kehidupan dan perwatakan masyarakat tempat ini,” tutur Guru Kanan Pentadbiran sekolah itu.

Kosmo Online: 28 September 2011

Pelaksanaan LINUS beri impak positif

Oleh Azran Jaffar

2011/09/28

MEMASUKI tahun kedua pelaksanaannya, Program Literasi dan Numerasi (LINUS) yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran (KPM) bagi meningkatkan kadar kemahiran membaca dan mengira di kalangan murid tahap satu di sekolah rendah, menampakkan impak yang memberangsangkan.

Berdasarkan dua saringan yang dijalankan iaitu pada Mac dan Jun lalu, murid Tahun 2 melepasi sasaran 95 peratus yang ditetapkan dengan kadar literasi mencatatkan 95 peratus, manakala numerasi berada pada kadar 97 peratus.
Murid Tahun 1 juga menunjukkan prestasi membanggakan dengan mencapai 83 peratus untuk literasi dan 90 peratus untuk numerasi.
LINUS adalah program yang dirangka sebagai sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi menyediakan asas kukuh kemahiran literasi dan numerasi bagi kanak-kanak di negara ini untuk tempoh tiga tahun pertama pendidikan rendah.

Literasi adalah kebolehan membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk mudah (dengan menggunakan kata hubung dan) serta mengaplikasikan pengetahuan berkenaan dalam pembelajaran serta komunikasi harian.

Numerasi pula adalah apa yang dikatakan sebagai kebolehan melakukan operasi asas matematik serta memahami idea matematik yang mudah dan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik dalam kehidupan harian.

Melalui program ini, setiap murid menjalani proses saringan tiga kali setahun bagi mengenal pasti mereka yang menghadapi masalah membaca, menulis dan asas pengiraan yang kemudian diletakkan di dalam kelas pemulihan khas untuk meningkatkan prestasi mereka sementara yang mempunyai masalah pembelajaran akan mengikuti program Pendidikan Khas.
Untuk itu, kerajaan melatih 15,500 guru LINUS untuk mengajar di kelas pemulihan khas, manakala FasiLINUS (fasilitator yang memberikan sokongan profesional) ditugaskan di semua sekolah untuk memantau, membantu dan memberi sokongan kepada guru LINUS.

Objektif utama pengenalan program LINUS adalah untuk mengenal pasti pelajar yang menghadapi masalah dalam menguasai kemahiran berkenaan pada peringkat awal dan memulihkan mereka sebelum tertinggal lebih jauh berbanding rakan sebaya.

Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) LINUS berhasrat memastikan semua murid menguasai kemahiran literasi dan numerasi apabila memasuki Tahun 3. Untuk tahun 2010 sasaran KPM adalah pencapaian sebanyak 90 peratus untuk murid Tahun 1 (kohort 1), 95 peratus pada tahun 2011 dan 100 peratus untuk murid-murid kohort 1 ini yang akan memasuki Tahun 3 pada 2012.

Bagi murid kohort 1 ini yang membabitkan kira-kira 450,000 di seluruh negara, mereka menghadapi saringan tiga kali dan pada September 2010, sebanyak 380,440 atau 85 peratus lulus saringan asas literasi manakala 407,094 murid atau 91 peratus lulus saringan asas numerasi.

Proses saringan membabitkan dua bahagian iaitu lisan yang dijalankan secara individu antara guru dan murid manakala ujian bertulis dijalankan secara serentak. Saringan literasi dan numerasi juga dijalankan secara berasingan membabitkan guru Bahasa Malaysia dan Matematik.

Pada tahun 2010, saringan dijalankan untuk semua murid kohort 1 dan tahun ini ia diadakan untuk murid Tahun 1 (kohort 2) dan Tahun 2 (kohort 1).

Berita Harian Online: 28 September 2011

Selasa, 27 September 2011

Elak berkunjung ke selatan Thai

PASIR PUTEH 26 Sept. - Lebih 32,000 guru dan kakitangan sokongan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) diingatkan supaya mematuhi arahan Kementerian Luar yang tidak menggalakkan rakyat negara ini berkunjung ke selatan Thailand yang sedang bergolak bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang berkata, langkah itu bagi memastikan tidak ada guru, kakitangan JPN mahu pun pelajar yang tinggal di sempadan, terbabit dalam sebarang kejadian buruk ketika berkunjung ke sana terutama pekan Sungai Golok.

"Larangan yang dibuat JPN adalah selaras dengan arahan Kementerian Luar selepas berlakunya kejadian berdarah di pekan berkenaan," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri peringkat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Puteh, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil di sini, hari ini.

Lebih 1,000 guru dan kakitangan sokongan memeriahkan program berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh, Zawawi Othman dan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Puteh, Ismail Ghazali.

Pada 16 September lepas seorang kanak-kanak antara tiga rakyat Malaysia yang terbunuh manakala 60 rakyat tempatan cedera dalam kejadian tiga letupan bom di Sungai Golok, selatan Thailand.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, guru-guru sepatutnya mengambil iktibar kejadian tersebut dan bersyukur di atas keamanan negara berikutan kestabilan politik sehingga kerajaan berupaya menjaga kebajikan rakyat.

Beliau berkata, keamanan berjaya dikekalkan hasil kebijaksanaan pemimpin-pemimpin yang ada pada hari ini yang mampu mentadbir rakyat daripada pelbagai keturunan dan agama.

"Saya menyeru guru dan kakitangan sokongan supaya meneruskan perjuangan menyokong dasar-dasar kerajaan yang sedia ada demi mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.

"Kewibawaan dan keupayaan kerajaan sedia ada perlu dikekalkan dan tidak seharusnya mencuba untuk menyokong pihak lain yang belum tentu dapat membela nasib dan kesejahteraan keseluruhan rakyat sejak sekian lama," katanya.

Utusan Malaysia Online: 27 September 2011

Isnin, 26 September 2011

Pendidik perlu kuasai media baru


Rahimah Mohd Sura (kiri) menerima cenderamata daripada pelajar Seratas sebagai hadiah kenangan persaraannya di Taiping, Perak, baru-baru ini.


Pendidik masa kini perlu mempunyai pengetahuan tinggi termasuk menguasai media baru bagi memastikan mereka dapat melahirkan generasi muda yang berkualiti untuk mendepani cabaran globalisasi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, guru dan ibu bapa mesti berusaha melahirkan generasi baru yang kualitatif untuk mengisi ruang pembangunan dunia tanpa sempadan yang semakin pesat dengan meningkatkan nilai-nilai murni dan disiplin tinggi masing-masing.

"Dalam proses globalisasi setiap individu mesti mempunyai komitmen dan daya tahan yang tinggi supaya mereka mampu bersaing dalam pasaran kerjaya masa depan," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shafie ketika merasmikan Majlis Hari Anugerah Cemerlang dan meraikan persaraan Pengetua Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (Seratas), Taiping, Perak, baru-baru ini.

Justeru, ujar Zambry, ibu bapa dan pelajar seharusnya mempunyai ciri-ciri kehidupan gemar menghormati orang lain dan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni bagi membentuk sahsiah dan disiplin di kalangan warga sekolah.

"Amalan ini akan membantu sekolah mewujudkan iklim pembelajaran yang kondusif selaras dengan usaha menjadikan sekolah sebagai sebuah institusi yang cemerlang, gemilang dan terbilang," jelasnya.

Beliau menambah, warga pendidik perlu meningkatkan pelbagai program kecemerlangan dalam merealisasikan modal insan cemerlang sebagai pewaris kepimpinan negara pada masa depan.

"Kejayaan pelajar adalah menjadi simbol kejayaan sistem persekolahan dan pendidikan hasil kerjasama antara pentadbir, guru, sokongan ibu bapa dan pelajar," katanya.

Hubungan erat pihak sekolah dengan ibu bapa juga, jelasnya, dapat merealisasikan hasrat sekolah untuk menjadi sebuah institusi yang cemerlang, modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berkeperibadian mulia, berpengetahuan, berkemahiran tinggi serta berdaya saing.

Sementara itu, Pengetua yang diraikan, Rahimah Mohd Sura, 58, memberitahu, dunia pendidikan masa kini semakin mencabar dan guru perlu tabah menghadapi cabaran untuk menyesuaikan diri dengan matlamat transformasi dalam pendidikan.

"Pelajar sekarang menguasai media baru yang akan memberi impak besar dalam proses pembangunan pendidikan yang semakin pesat di negara ini.

"Oleh sebab itu, pendidik mesti peka dengan perubahan pantas di sekeliling kita dan mampu berkhidmat dengan dedikasi untuk melahirkan pelajar cemerlang bertaraf dunia," kata guru lulusan Sarjana Pendidikan Universiti Malaya ini.

Rahimah bersara selepas berkhidmat selama 34 tahun dalam sektor pendidikan.

Pada majlis yang sama, Emerald Chao terpilih sebagai Pelajar Terbilang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM ) 2010 setelah memperoleh 9A+ dan 1A dalam peperiksaan itu. Dua guru Seratas iaitu Noh Lasa dan Zahari Mohd Aliah dipilih menerima anugerah Panitia

Kemahiran Hidup. Manakala Nur Akma Kamarudin, Nurul Shahidah Mohd Nor, Nora Annuar Kassim dan Wong Tuck Ee pula untuk Panitia Bahasa Inggeris.

Turut menerima anugerah ialah Radzhiyah Salleh dan Nabisan Beebi Musa Sahib (Panitia Sejarah), Salwana Ahmad Suhaimi (Panitia Pendidikan Moral) dan Zulkiflee Rasdi (Panitia Pendidikan Seni Visual).

Tokoh Alumni Seratas dianugerahkan kepada Dr Zulkarimah Zainudin.

Utusan Malaysia Online: 26 September 2011

Guru agama selalu tersisih peluang kenaikan pangkat

2011/09/26

HASRAT Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk memberi perhatian mengenai kenaikan pangkat guru agama (Pendidikan Islam) seperti dilaporkan Berita Harian pada 21 September 2011 amatlah dialu-alukan.

Selepas lebih 30 tahun guru agama berada sebaris dengan guru akademik yang lain di arus perdana pendidikan negara, sudah banyak manfaat diterima daripada kerajaan seperti gaji yang setaraf dengan guru-guru lain, perjawatan guru cemerlang dan berbagai lagi. Namun demikian, guru agama masih kurang bilangan mereka yang memegang jawatan pentadbiran kecuali di Bahagian Pendidikan Islam.
Bukannya tiada langsung tetapi bilangan mereka yang berada di bahagian lain amat sedikit. Kebanyakan guru Pendidikan Islam perlu menunggu kekosongan jawatan di sekolah agama seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) atau Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sedangkan bilangan sekolah berkenaan terhad.
Jarang kita mendengar Pengetua sekolah (selain sekolah agama) atau Pegawai Pelajaran Daerah adalah dalam kalangan guru Pendidikan Islam apatah lagi untuk memegang jawatan Pengarah Pelajaran Negeri. Memandangkan bilangan guru Pendidikan Islam di negara ini sudah pun melebihi 30,000 orang atau hampir 10 peratus daripada bilangan keseluruhan guru di negara ini, sewajarnya guru Pendidikan Islam yang berkelayakan turut diberi tempat seperti guru-guru lain.

Pihak pentadbir baik pada peringkat Kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah atau pengetua sekolah seharusnya memberi peluang kepada guru Pendidikan Islam untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar dan bukan sekadar digunakan untuk majlis tertentu saja seperti membaca doa dan menjayakan hari kebesaran Islam.

GURU AGAMA KERAJAAN,
Serdang.

Berita Harian Online: 26 September 2011

Masalah murid lembam tak boleh dibiar berlarutan

2011/09/26

SAYA terpanggil untuk mengulas isu tiga pelajar di Bintangor, Sarawak dilarang mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya turut berasa simpati terhadap guru Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor (SKBB).

Saya berharap mereka janganlah berkecil hati dan kecewa ke atas apa yang berlaku. Teruskan usaha untuk menaikkan taraf pendidikan SKBB.
Masih ada ramai ibu bapa yang menghargai jasa baik guru dan jasa mereka tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Sedih jasa ini pula dibayar dengan tindakan undang-undang.
Saya mempunyai tiga anak yang melepasi UPSR. Sebagai ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), saya terbabit bersama guru sekolah anak saya dalam pelbagai program UPSR. Memang tidak dinafikan ada segelintir ibu bapa yang langsung tidak mempedulikan prestasi anak di sekolah.

Tugas itu diserahkan bulat-bulat kepada guru. Segala aktiviti sekolah tidak diikuti, sehingga ada yang kehadiran anak ke sekolah juga tidak dihiraukan. Ada guru yang mengambil inisiatif mengajar anak ini lebih daripada ibu bapa mereka sendiri.

Guru berusaha keras untuk menaikkan nama sekolah tetapi kes terpencil seperti ini boleh merosakkan cita-cita semua orang.

Saya mencadangkan kes pelajar seperti ini dilaporkan terus kepada Jabatan Pelajaran Negeri pada peringkat awal supaya beban kerja ke atas pelajar berkenaan dapat perhatian di peringkat negeri dan bukannya di peringkat sekolah terbabit saja.
Kebanyakan kes sebegini berlaku di sekolah luar bandar. Guru jangan berkecil-hati dan kecewa, jasamu sentiasa dikenang.

TRONGE,
SKJ3.


Berita Harian Online: 26 September 2011

Ahad, 25 September 2011

KSSR terima maklum balas positif ibu bapa, guru

25/09/2011 7:40pm

PUTRAJAYA 25 Sept. – Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dilaksanakan tahun ini menerima maklum balas positif daripada para guru dan ibu bapa, yang antara lain menyatakan ia berjaya meningkatkan minat para pelajar untuk belajar bahasa Inggeris.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar) Prof Dr Khair Mohamad Yusof berkata ini kerana pendekatan KSSR tidak lagi berbentuk kaedah tradisi pengajaran di bilik darjah (chalk and talk) tetapi menumpukan kepada kaedah pengajaran yang menyeronokkan dalam pembelajaran bahasa Inggeris.

"KSSR ini bukan sahaja menekankan kepada kefasihan bahasa tetapi juga komunikasi antara pelajar. Ia menggunakan kaedah-kaedah lain seperti permainan dan muzik,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan lawatan 35 guru dari Selangor yang menyertai konvoi bermotosikal 1Malaysia dari Shah Alam ke kementerian di sini.

Konvoi itu singgah di beberapa tempat sepanjang perjalanan mereka untuk menyerahkan bendera Jalur Gemilang dan risalah 1Malaysia kepada orang ramai.

Mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (Melta) Prof Madya Dr S. Ganakumaran, yang dilaporkan sebagai berkata bahawa kurikulum pengajaran bahasa Inggeris di sekolah ketinggalan zaman, Khair berkata kurikulum yang diperkatakan persatuan berkenaan mungkin kurikulum lama.

"Kami telah memperkenalkan kurikulum baru dan setakat yang saya tahu dan saya juga telah ke sekolah-sekolah dan para guru gembira dengan kurikulum baru dan kaedah baru yang diperkenalkan,” katanya. - Bernama

Utusan Malaysia Online: 25 September 2011

Sabtu, 24 September 2011

Guru cemerlang perlu jadi golongan pemikir

MARAN 23 Sept. - Guru cemerlang perlu menjadi golongan pemikir yang mencetuskan idea baharu lebih segar dan efektif bagi meningkatkan kualiti pendidikan di Pahang.

Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Mazlan Mohamad berkata, guru berkenaan berupaya memberi suntikan baharu berdasarkan kepada pelbagai situasi bukan sahaja dalam bilik darjah bahkan di luar bilik darjah.

Tegasnya, mereka perlu melakukan perancangan secara strategik dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar dalam akademik, bina insan dan kokurikulum.

"Dalam situasi ini guru perlu menghasilkan bahan-bahan ilmiah atau penyelidikan yang boleh diguna pakai sebagai rujukan bukan sahaja oleh pelajar bahkan oleh ahli masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Persidangan Ilmiah Pedagogi dan Pandragogi serta Inovasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, mereka perlu menjadi golongan yang sentiasa memberi pandangan positif kepada kemajuan pendidikan, serta menyokong pelaksanaan dasar-dasar pendidikan negara.

Katanya lagi, mereka dianggap sebagai rakan kongsi paling akrab oleh jabatan dalam membantu merangka program kecemerlangan bagi meningkatkan kualiti keputusan peperiksaan utama.

Sementara itu, pengerusi persidangan, Bajuri Rabu berkata, program bertemakan Guru Cemerlang Peneraju Transformasi Pendidikan Berkualiti itu memberi ruang kepada guru mewujudkan perkongsian pintar bersandarkan kepada pengetahuan, pengalaman dan kepakaran mereka.

"Jumlah Guru Cemerlang Negeri Pahang sekarang ialah 530 orang dengan pelbagai gred jawatan bermula dari Gred DG32, DG34, DG44, DG48, DG52, DG54 dan Gred Khas C," katanya.

Utusan Malaysia Online: 24 September 2011

Pegawai kanan JPN terharu terima anugerah

KUANTAN 23 Sept. - Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas di Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Aznan Mohamed terharu apabila terpilih menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2010 jabatan itu semalam.

Beliau yang berkhidmat sejak 30 tahun lalu, bersyukur dengan anugerah tersebut dan menganggapnya sebagai hadiah sempena persaraannya.

Menurut Aznan, walaupun hanya berpeluang memegang jawatan sebagai Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas selama setahun, namun banyak perkara dapat dilakukannya untuk sektor itu.

"Saya gembira dan terharu dengan anugerah yang diterima dan pastinya ia sesuatu yang cukup bermakna dalam hidup saya.

"Di kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang berkhidmat di sini," katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Indera Mahkota semalam.

Hadir menyampaikan anugerah kepada 33 staf dan pegawai jabatan itu ialah Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad dan Timbalannya, Yahya Zainal Abidin.

Sementara itu Mazlan dalam ucapannya berkata, anugerah perkhidmatan cemerlang diberikan kepada kakitangan yang menunjukkan prestasi cemerlang berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Beliau turut memuji usaha golongan pendidik Pahang yang sentiasa komited dalam melaksanakan tugas bagi memastikan mereka menduduki tempat terbaik.

"Saya juga bangga dengan perkhidmatan yang diberikan staf termasuk di kawasan luar bandar, semuanya memainkan peranan yang betul dan baik," jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 24 September 2011

Jumaat, 23 September 2011

Sembilan pelajar kena halau sekolah lapor polis

2011/09/23

GEMENCHEH: Seramai sembilan pelajar membuat laporan polis selepas dihalau keluar dari sebuah sekolah menengah di sini, pagi semalam kerana didakwa sering tidak lulus peperiksaan, tidak mahu belajar dan degil.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, lima pelajar Tingkatan Lima, tiga pelajar Tingkatan Empat dan seorang pelajar Tingkatan Dua dihalang masuk ke kelas oleh pengawas dan diherdik pengetua yang menyuruh mereka keluar dari sekolah berkenaan.
Mereka terpaksa menunggu di luar pagar hingga ditegur orang awam yang menasihati mereka supaya tidak berdiri bersebelahan jalan raya yang sibuk dan sebaliknya pergi membuat laporan polis.
Pelajar berkenaan kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Gemencheh, pada jam 7.17 pagi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Seorang bapa yang anaknya turut dihalau kesal terhadap tindakan sekolah kerana membahayakan keselamatan pelajar.

“Walaupun pelajar berkenaan, termasuk anak saya bermasalah dari segi pelajaran dan disiplin, tindakan sepatutnya diambil dalam lingkungan kawasan sekolah dan bukan dihalau keluar dari sekolah pada waktu persekolahan.
“Bagaimana jika mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya? Adakah pihak sekolah mahu bertanggungjawab? Pada masa sama saya mengaku memang anak saya ada masalah sikit, tetapi ambillah tindakan dalam sekolah,” katanya yang tidak mahu identitinya disiarkan.

Selepas laporan polis dibuat, dua guru sekolah bersama Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) dari Tampin datang ke balai polis jam 11 pagi dan menasihatkan pelajar berkenaan kembali ke sekolah untuk menyambung sesi pembelajaran.

Pegawai Pelajaran Daerah Tampin, Hamzah Abu, berkata pihaknya berjumpa semua pelajar berkenaan dan selepas dinasihat, mereka kembali ke kelas masing-masing jam 11.30 pagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, Abdul Halim Abdul Razak, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

“Saya sudah mengarahkan PPD untuk membuat laporan lengkap berhubung kejadian itu dan pengetua sekolah berkenaan juga akan disiasat,” katanya.

Berita Harian Online: 23 September 2011

SK Luboh tidak selamat dirujuk Kementerian Pelajaran



JUSLIE Ajirol (tengah) menyatakan sesuatu kepada guru SK Luboh semasa melakukan tinjauan ke sekolah itu, kelmarin.


SANDAKAN 22 Sept. - Masalah struktur lantai bangunan bilik guru dan dua buah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Luboh di sini, yang tidak selamat akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol berkata, keadaan itu amat berbahaya dan berisiko tinggi kerana pada masa ini ia masih digunakan oleh guru dan pelajar.

"Ini amat membimbangkan kerana sekolah ini hanya memiliki dua buah bangunan yang menempatkan 173 orang murid.

"Saya sendiri akan kemukakan masalah ini kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau bangunan sekolah itu di sini, semalam.

Menurut Juslie, beliau akan menasihatkan pihak pentadbiran sekolah supaya berhati-hati semasa menduduki bangunan itu, termasuk segera mengosongkannya jika keadaan bertambah buruk.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pembinaan bangunan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Kampung Rancangan Luboh, kata beliau, ia tertangguh disebabkan beberapa masalah teknikal.

"Saya akan sekali lagi kemukakan permohonan pembinaan bangunan sekolah ini kepada kerajaan, ia amat penting demi kepentingan anak-anak untuk belajar agama," katanya.


Utusan Malaysia Online: 23 September 2011

Murid lemah perlukan perhatian bukan disisih

Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my
2011/09/23

KECUALI rakyat di Bumi Kenyalang, rata-rata rakyat di negara ini rasanya tidak pernah mendengar nama Pekan Bintangor yang terletak dalam Bahagian Sarikei di kawasan tengah Sarawak.

Malah ramai tidak tahu pekan yang dibuka penempatannya pada 1896 itu sebelum ini dikenali sebagai Pekan Binatang, namun pada 1984, Kerajaan Sarawak mengarahkan namanya ditukar kepada Pekan Bintangor, bagi menangani sensitiviti nama tempat di Sarawak.
Di sebalik nama Binatang itu pun ada sejarahnya, kerana satu ketika dulu berlaku peristiwa aneh di situ setiap kali tiba musim buah ‘engkabang’ dengan pelbagai jenis binatang aneh dan tidak pernah dijumpai tiba-tiba muncul untuk memakan buah berkenaan.
Begitu juga nama Bintangor yang menggantikannya, berasal daripada nama pokok Bintangor yang dipercayai boleh menjadi penawar dan menjadi ubat kepada penyakit AIDS, yang ditemui di pekan yang terletak enam jam perjalanan menggunakan jalan darat dari Bandaraya Kuching itu.

Di kalangan penduduk tempatan, Bintangor juga amat terkenal dengan buah limaunya yang manis selain nanas dan pelbagai buah-buahan lain, malah limau turut dijadikan maskot bagi Pekan Bintangor.

Namun, agak malang kerana nama Pekan Bintangor tiba-tiba menjadi popular susulan kes tiga murid di kurung guru, bagi menghalang mereka menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, baru-baru ini.

Apa yang pasti guru terbabit mahu menjaga prestasi sekolah itu secara keseluruhan hingga sanggup mengorbankan masa depan tiga anak muridnya yang mereka kategorikan sebagai lemah dalam pelajaran dengan mengurung mereka dalam bilik pemulihan dua hari berturut-turut.
Seperti ditekankan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, ada sekolah yang terlalu taksub untuk mencatat prestasi dengan keputusan semua A dalam peperiksaan awam, sehingga sanggup bertindak di luar batasan.

Ia tidak sepatutnya berlaku, kerana masyarakat juga akan mula mempersoalkan keikhlasan guru dalam mendidik anak bangsa. Kita tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga, sedang di luar sana lebih ramai guru ikhlas dan sanggup berkorban masa dan tenaga untuk melahirkan insan cemerlang.

Mungkin guru di sekolah itu perlu mengambil iktibar daripada pendekatan guru di SK Ulu Lubai di Limbang, utara Sarawak, yang diumumkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) kedua 2010, iaitu sekolah pedalaman paling cemerlang di negara ini.

Biarpun SK Ulu Lubai antara yang paling jauh dan terletak terpencil serta di luar bandar Sarawak, namun ia bukan halangan untuk guru-guru di sekolah itu memberi komitmen padu untuk memastikan semua anak muridnya cemerlang.

Guru besar sekolah itu, Jaul anak Bunyau, 48, bersama 11 guru sekolah itu menjadikan kelemahan murid sekolah itu sebagai cabaran untuk meningkatkan prestasi murid sehingga tahap kelulusan setakat 36.4 peratus yang dicatatkan pada 1999, berjaya ditingkatkan kepada 55.6 peratus pada 2001, 77.8 peratus pada 2002, 100 peratus pada 2003, 80 peratus pada 2004 dan 2005; 100 peratus pada 2006, 2007, 2008, 2009 dan 2010.

Bagi memastikan semua murid sekolah itu, termasuk yang lemah dalam pelajaran, dapat meningkatkan prestasi akademik, sistem tuisyen diadakan bukan saja di bilik darjah, malah di rumah panjang, dengan pengawasan di lakukan secara bersama oleh guru dan ibu bapa, di samping guru turut memberi tumpuan membantu murid yang lemah.

Mungkin pendekatan sama boleh digunakan untuk murid lemah di SK Bintangor termasuk tiga murid malang yang dikurung itu, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi. Mereka seharusnya dibantu, bukannya dikurung.

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membenarkan tiga murid terbabit menduduki semula peperiksaan UPSR, kurang 24 jam selepas peristiwa itu didedahkan, dengan menggunakan kuasanya sebagai Menteri Pelajaran dan mengikut Akta Pendidikan, membawa kembali sinar kepada tiga murid malang itu.

Ketiga-tiga mereka akan menduduki semula UPSR pada 4 hingga 6 Oktober ini di sekolah sama dengan pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sendiri akan bertindak sebagai guru pengawas.

Berita Harian Online: 23 September 2011

Kementerian yakin capaian program EduwebTV meningkat

2011/09/23

KEMENTERIAN Pelajaran mensasarkan program EduwebTV mencapai peningkatan 50 peratus capaian (internet) dari rumah menjelang akhir tahun ini menerusi pemberian komputer riba 1Malaysia kepada pelajar.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mohd Fuad Zarkashi, berkata program EduwebTV yang diperkenalkan kementerian itu pada 1 Mac 2008 bertujuan melahirkan generasi celik IT mempunyai purata 500,000 capaian sebulan dengan 33 peratus daripadanya dari rumah.
Beliau berkata, golongan pelajar yang menerima komputer riba 1Malaysia digalak menggunakan kemudahan dengan melayari program EduwebTV. Pelajaran itu memberi kesan dalam membantu pelajar meneruskan pelajaran dari rumah masing-masing.
“Sejajar objektif kerajaan memberikan komputer riba berkenaan, diharap pelajar boleh memanfaatkannya untuk kemudahan pembelajaran dengan mengikuti program EduwebTV yang mempunyai lapan saluran dan 3,185 rancangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis penyerahan 667 unit komputer riba 1Malaysia kepada 12 buah sekolah di Parlimen Kapar, di Klang, Selangor, baru-baru ini.

Puad berkata, antara rancangan yang boleh diikuti menerusi EduwebTV ialah Berita Pendidikan (Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia), Rancangan Akademik, Rencana, Wawancara, kurikulum, Interaktif dan siaran langsung arkib.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah, Muhammad Amirul Hizmi Adnan, 15, berkata, pemberian itu sangat bermakna memandangkan dia akan menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lama lagi.
Katanya, pelbagai cara boleh dilakukan untuk memantapkan persediaan menghadapi PMR dengan adanya kemudahan itu. Proses belajar menjadi lebih mudah termasuklah bertukar-tukar soalan peperiksaan dengan rakan seluruh negara secara maya.

S Ranjini, 19, dari SMK Tinggi Klang, berkata kemudahan komputer riba itu memudahkannya mendapat maklumat terkini sebagai persediaan menghadapi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, akhir tahun ini.

Berita Harian Online: 23 September 2011

Penolong kanan sekolah, kontraktor tipu dokumen

Oleh Nurhayati Abllah dan Abu Bakar Al Sidek
bhnews@bharian.com.my
2011/09/23

   DOKUMEN palsu yang menggunakan cop Menteri Besar  (gambar atas) dan tiga cop asli (gambar bawah)   digunakan untuk urusan rasmi Pejabat Menteri Besar Perak    yang dirampas dalam serbuan polis   di Pulau Pinang, semalam.
DOKUMEN palsu yang menggunakan cop Menteri Besar (gambar atas) dan tiga cop asli (gambar bawah) digunakan untuk urusan rasmi Pejabat Menteri Besar Perak yang dirampas dalam serbuan polis di Pulau Pinang, semalam.
Suspek guna cop MB Perak palsu projek balak, perumahan

IPOH: Seorang penolong kanan sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dan seorang kontraktor ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam beberapa kes penipuan serta pemalsuan dokumen menggunakan cop Menteri Besar Perak membabitkan kerugian lebih puluhan ribu ringgit.
Lelaki berusia 45 dan 47 tahun itu ditahan berasingan di Pulau Pinang dan di sini Selasa lalu, susulan dua laporan polis dibuat antara 2 hingga 11 Ogos lalu, membabitkan 12 kes berkaitan permohonan perusahaan pembalakan serta permohonan pelepasan dan penjualan lot kuota Bumiputera dalam projek perumahan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata, polis turut merampas tiga cop berkaitan urusan rasmi pejabat Menteri Besar serta beberapa dokumen berkaitan permohonan beberapa projek perusahaan di Perak.

“Polis menahan penolong kanan itu di Pulau Pinang, manakala kontraktor itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh,” katanya, semalam.

Awal Februari lalu, Pejabat Menteri Besar Perak membuat dua laporan polis berhubung kes penipuan dan pemalsuan dokumen menggunakan nama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan jabatan kerajaan negeri berhubung kelulusan tanah serta projek membabitkan pembalakan.

Kes itu menyebabkan beberapa mangsa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit kerana tertipu mengenai tawaran projek yang didakwa mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri.
Mohd Shukri berkata, siasatan turut mendapati tiga cop yang dirampas termasuk satu daripadanya cop Menteri Besar adalah cop asli yang digunakan untuk urusan rasmi pejabat Menteri Besar Perak dan ia dicuri dari pejabat berkenaan.

“Bagaimanapun, kita tidak menerima sebarang laporan polis mengatakan ketiga-tiga cop itu dicuri dari pejabat berkenaan dan kita tidak menolak kemungkinan kes itu membabitkan orang dalam. Kita masih menjalankan siasatan mengenai kes itu,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu kini direman sehingga hari ini dan kini ditahan di IPD Cheras di Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut kerana mempunyai beberapa rekod jenayah lain.

Sementara itu, Zambry yang ditemui pada majlis Hari Ladang Peringkat Daerah Hilir Perak di Sungai Manik, dekat Teluk Intan, semalam memuji kecekapan polis memberkas pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Saya sendiri terkejut apabila ada rakyat yang berjumpa saya menunjukkan surat sokongan daripada Pejabat Menteri Besar yang ditandatangani saya sendiri, sedangkan saya tidak pernah mengeluarkan surat sokongan itu.

“Saya mengingatkan rakyat Perak agar tidak percaya dengan mana-mana individu yang mendakwa boleh memberi surat sokongan yang mempunyai cop rasmi Pejabat Menteri Besar,” katanya.

Zambry berkata, beliau menyerahkan kes itu disiasat polis secara terperinci untuk memberkas mereka yang bersalah.

Berita Harian Online: 23 September 2011

Khamis, 22 September 2011

Pelajar menanti penempatan KPLI

2011/09/22

SAYA ialah bekas pelajar Kursus Perguruan Lepasan Ijazah Sekolah Rendah (KPLIsr) sepenuh masa Ambilan Jun 2010 yang menamatkan pengajian pada akhir Mei 2011.

Saya mewakili semua warga KPLIsr sehingga sekarang masih belum menerima apa-apa berita mengenai penempatan KPLI. Sudah banyak kali panggilan telefon dibuat kepada pihak berkenaan di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Putrajaya, namun berbagai tarikh dan alasan yang diberikan.
Harapan cuma jadi harapan kerana kami masih belum menerima apa-apa surat atau berita selama empat bulan ini. Sekurang-kurangnya kami ingin satu tarikh yang pasti dan berita kerana ramai di kalangan kami yang mempunyai tanggungan dan beban hutang.
Terdapat juga beberapa kawan saya yang berhasrat melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini terpaksa menangguh dulu niat baik itu. Justeru, kami perlu mencari pekerjaan lain sekiranya penempatan kami lambat.

Di samping itu, apa yang menghairankan kami selalunya pelajar KPLI yang memiliki diploma pendidikan ini hanya akan menunggu selama tiga bulan kemudian akan ditempatkan untuk bertugas di semua sekolah rendah di seluruh Malaysia.

Ini kerana pelajar KPLIsr diambil berdasarkan peruntukkan guru yang diperlukan oleh kerajaan dan akan lebih diutamakan berbanding pelajar jurusan pendidikan lain.

Bagaimanapun, selepas isu GSTT tempoh hari dan berjaya diselesaikan oleh KPM, kami pula yang menjadi mangsa lambat ditempatkan.
Semoga pihak KPM dan menteri yang berkenaan dapat memberi jawapan yang sewajarnya akan nasib kami ini. Kami mohon supaya kami dapat penempatan segera.

BAKAL GURU,
Johor

Berita Harian Online: 22 September 2011

Minda Pengarang: Sekolah wajar dinilai jika berjaya bantu murid lemah

2011/09/22

ISU tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, dalam Bahagian Sarikei, Sarawak yang tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), walaupun masih belum selesai, sudah mendapat pembelaan Kementerian Pelajaran. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran kelmarin mengarahkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) membenarkan calon berkenaan menduduki UPSR dalam tempoh empat minggu lagi. Murid berkenaan yang dianggap lemah oleh guru masing-masing, minggu lalu tidak dapat mengambil UPSR kerana didakwa dikurung pentadbir sekolah terbabit.

Pentadbir sekolah dikatakan bertindak demikian kerana tidak mahu prestasi keseluruhan sekolah itu terjejas berikutan mereka dijangka gagal dalam ujian berkenaan. Kita bersimpati dengan ketiga-tiga calon berkenaan dan memahami perasaan ibu bapa mereka. Ibu bapa mana yang tidak kecewa dan marah jika anak diperlakukan sedemikian. Peristiwa ini tidak sepatutnya berlaku dan pastinya masyarakat mempersoal keikhlasan guru serta sekolah berkenaan dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pendidik tulen. Sebagai guru, mereka sepatutnya lebih mengetahui mengenai pentingnya setiap pelajar diberi peluang dan hak membuktikan potensi masing-masing, lebih-lebih lagi dalam ujian penting seperti UPSR. Jika peluang ini disekat, ia menutup terus potensi yang kemungkinan dimiliki pelajar ini, sekali gus menggelapkan masa depan mereka.
Kejadian ini tidak boleh dibiarkan berulang dan Kementerian Pelajaran harus menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan tidak ada sekolah yang bertindak sama. Apakah ia berpunca daripada tekanan untuk memastikan prestasi UPSR meningkat setiap tahun sehingga ada sesetengah pentadbir sekolah sanggup melihat pelajar dicatatkan sebagai TH (tidak hadir) dalam keputusan ujian Tahun Enam ini? Catatan TH itu difahamkan tidak diambil kira dalam prestasi keseluruhan sekolah, memungkinkan sekolah terbabit mengekalkan laporan prestasi baik. Selain tindakan berkenaan, difahamkan ada juga segelintir guru sengaja menasihatkan pelajar yang tidak ada harapan langsung untuk lulus, memangkah saja jawapan tertentu dalam ujian format objektif, seperti jawapan B atau C yang dianggap kerap muncul sebagai jawapan betul.
Isu murid SK Bandar Bintangor ini sekali lagi menyerlahkan kepincangan pengukuran prestasi sekolah sekarang yang mana pencapaian 5A dalam UPSR menjadi ukuran utama. Bukan hanya guru, tetapi ibu bapa juga menjadi terlalu taksub dalam pencapaian ini sehingga memberi tekanan kepada calon. Kita berpendapat peningkatan dalam pencapaian UPSR ini penting, tetapi janganlah sampai menidakkan hak pelajar lemah. Mereka sepatutnya dibantu dan mendapat perhatian guru melebihi pelajar cemerlang. Kejayaan sekolah tidak sepatutnya dinilai dari segi keupayaan melahirkan pelajar cemerlang, tetapi keupayaan memulihkan pelajar lemah juga patut diambil kira.

Berita Harian Online: 22 September 2011

Rabu, 21 September 2011

Rahimah 34 tahun tabur bakti sebagai guru

TAIPING 20 Sept. - Setelah 34 tahun menabur bakti sebagai pendidik, Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (Seratas), Rahimah Mohd. Sura, 58, bersara wajib semalam.

Sempena persaraan itu, Rahimah yang menjadi pengetua di Seratas sejak 2006 turut diraikan pada majlis Hari Anugerah Cemerlang kali ke-29 di dewan sekolah itu.

Majlis itu dirasmikan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shafie yang mewakili Menteri Besar Perak.

Pada majlis itu, persembahan pancaragam Sekolah Kluster Kecemerlangan tersebut turut diadakan dan kemudian kenderaan yang dinaiki Rahimah diiring oleh para pelajar hingga ke pintu sekolah berkenaan.

Rahimah ketika ditemui berkata, pendidik hari ini perlu meningkatkan pengetahuan termasuk menguasai media baru dalam memastikan generasi masa depan cemerlang dalam pendidikan.

Katanya, pendidikan sekarang semakin mencabar dan pendidik perlu tabah dalam menghadapi setiap cabaran dalam memastikan transformasi pendidikan negara mencapai kejayaan yang diharapkan oleh Kementerian Pendidikan.

"Pelajar hari ini bukan seperti pelajar dahulu kerana pelajar sekarang menguasai media baru yang banyak memberikan impak terhadap pendidikan.

"Kita perlu peka dan berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam melahirkan pelajar yang cemerlang bertaraf dunia," katanya.

Rahimah yang berasal dari Negeri Sembilan pernah bertugas sebagai Pengetua di Sekolah Menengah Jelapang Jaya di Ipoh sebelum dilantik sebagai Pengetua Seratas pada 1 Oktober 2006.

Beliau mendapat Diploma Pendidikan dan Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Malaya (UM) pada 1977 dan Sarjana Pendidikan daripada universiti yang sama pada 1984.

Utusan Malaysia Online: 21 September 2011

Guru merungut program SAPS lebih sukar dari manual

Oleh Azrul Affandi Sobri
azr@bharian.com.my
2011/09/21

Sistem kumpul data murid guna komputer tidak semudah seperti diuar-uarkan

SISTEM Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) diperkenalkan baru-baru ini bagi membolehkan tugas pengumpulan data dilakukan dengan secara lebih sistematik dan praktikal berkaitan data mata pelajaran, enrolmen murid, data guru mata pelajaran dan profil sekolah.
Semua guru sekolah rendah dan menengah termasuk sekolah berasrama penuh perlu mengisi markah ujian Mac, peperiksaan pertengahan tahun, peperiksaan percubaan atau ujian Ogos dan peperiksaan akhir tahun di SAPS ini. Untuk menjadikan sistem ini lebih sistematik, tempoh masa ditetapkan dan guru perlu mematuhinya.
Kebaikan sistem ini ialah selepas guru memasukkan data dan markah pelajar, ia akan secara automatik membuat analisis dalam pelbagai aspek, sekali gus menjimatkan banyak masa guru yang mungkin pada sedekad dulu terpaksa membuat pengiraan analisis secara manual.

Tekan mesin pengira setiap kali mahu mencari peratusan dan purata. Berpinar mata mencari berapa jumlah A yang murid peroleh dan pelbagai lagi.

Malah, dulu guru kelas terpaksa meminta markah setiap mata pelajaran daripada guru yang mengajar dan mengisinya secara manual dalam borang khas. Semua perkiraan dilakukan secara manual dan diisi pula dalam buku laporan kemajuan murid. Sistem dalam talian diakui lebih memudahkan dan lebih sistematik serta menjimatkan banyak masa.

Namun, sistem yang sebenarnya dicipta untuk memudahkan mereka akhirnya menyebabkan lebih ramai yang terseksa. Ada guru terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3 pagi semata-mata untuk mengisi markah pelajar dan ada pula yang menghadapi masalah kerana tidak mempunyai komputer atau talian internet di rumah.
Namun selepas menggunakan SAPS buat seketika, ramai guru merungut dan melepaskan kemarahan mereka dalam blog dan menulis surat kepada akhbar.

Antaranya, yang dipetik daripada blog adalah seperti berikut:

“Idea mewujudkan sistem ini memang baik tetapi program berkenaan susah untuk dicapai dan selalu terkeluar daripada talian dan ada banyak masalah lain.

“Sebagai guru yang terbabit dengan SAPS, saya sudah beberapa kali membuka sistem ini untuk memasukkan markah tetapi setiap kali markah mahu disimpan, sistem ini akan terkeluar daripada talian. Saya terpaksa mengisi semula markah dan ini ia berlaku beberapa kali.

“Kami terpaksa menunggu sehingga pagi semata-mata untuk mengisi markah ujian satu, peperiksaan pertengahan tahun, menentukan nilai letak kerja (TOV) dan jangkaan hasil sasaran akhiran (ETR) setiap pelajar. Bayangkan, jika ada enam kelas yang markah pelajarnya perlu diisi dan setiap satu kelas pula ada 40 pelajar.

“Yang peliknya dalam taklimat kami diberitahu ketika menggunakan SAPS, kami tidak boleh menekan butang ‘enter’ pada papan kekunci kerana akan mengganggu sistem. Ini adalah kali pertama saya mendengar satu sistem yang direka akan rosak jika tertekan butang ‘enter’.

“Masalah lain yang dihadapi ialah ada pelajar yang tiada dalam senarai kelas tetapi apabila didaftar, jawapan yang diterima ialah ‘pelajar telah didaftarkan’ tetapi jika telah didaftarkan kenapa nama pelajar tiada dalam senarai?”

Di mana silapnya? Apakah sengaja kementerian mencipta satu sistem untuk menyusahkan guru sedangkan perlu diakui guru sudah terlalu banyak dibebankan. Rasanya bukan itu alasannya kerana yang paling tepat ialah sistem itu masih terlalu mentah dan perancangan untuknya tidak mengambil kira banyak perkara.

Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Razak Hamdan, berkata kebanyakan sistem dalam talian (online) di negara ini tidak stabil pada peringkat permulaan dan menyebabkan masalah kepada pengguna, namun ia akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Kebanyakan sistem dibangunkan menggunakan teknologi sedia ada dan dirasakan memadai untuk kegunaan pada masa itu tetapi selepas digunakan secara meluas, ia tidak mampu menampung keperluan semasa dan perlu peningkatan.
Masalahnya, untuk mempertingkatkannya memerlukan kos tinggi dan itu yang menjadi halangan banyak pihak.

“Kita rujuk kepada sejarah Unit Pusat Universiti (UPU) pun pada mulanya ada masalah. Selalu tidak stabil tetapi selepas dipertingkatkan, ia sudah semakin baik dan stabil. Ia membabitkan sistem itu sendiri dan talian komunikasi. Jika salah satu tidak stabil atau lembab, ia akan menyusahkan pengguna.

“Kebanyakan sistem menggunakan talian terbuka (public). Jika ia sudah ditentukan untuk menerima sebanyak dua megabait (MB), tetapi yang menggunakannya melebihi jumlah itu, ia pasti akan menyebabkan sistem itu perlahan.
“Setiap sistem juga ada had penggunaan pada satu masa. Jika dihadkan sebanyak 1,000 pengguna tetapi pada satu masa pengguna melebihi jumlah itu, ia juga akan menyebabkan sistem menjadi lembab.

“Selalunya, pembangun sistem akan membuat anggaran berapa ramai pengguna akan gunakan sistem itu terutama pada waktu puncak dan menetapkan jumlah tertentu. Penetapan ini perlu kerana semakin besar ruang penggunaannya, semakin mahal sistem itu untuk dibangunkan. Malangnya, ada ketika berlaku, ramalan mereka tidak tepat dan pengguna melebihi anggaran,” katanya.

Beliau berkata, ada sistem yang menggunakan kaedah ‘server balancing’ iaitu membolehkan ia dipindahkan ke pelayan lain jika kuota dalam satu pelayan sudah penuh. Ia membolehkan sistem tidak perlahan jika melebihi kuota yang sudah ditetapkan tetapi membabitkan kos yang tinggi.

Masalahnya, katanya, kebanyakan pengguna akan menggunakan sistem itu secara maksimum pada waktu puncak terutama ketika tarikh tamat tempoh semakin dekat. Ia pasti menyebabkan sistem itu tidak mampu menampung penggunaannya yang banyak. Justeru, pemantauan pada waktu itu perlu dipertingkatkan.

“Selalunya, masalah utama bermula daripada sistem komunikasi. Jika talian internet yang digunakan perlahan, ia juga akan memberi kesan. Masalah lain ialah kebanyakan pembangun sistem salah membuat perkiraan jumlah pengguna. Mereka boleh tinggikan had pengguna asalkan mampu memperuntukkan kos yang tinggi.

“Dalam kes ini, sewajarnya mereka buat percubaan tekanan (stress test) sebelum dilancarkan. Pastikan ia mampu menangani seramai mungkin pengguna termasuk guru terutama ketika waktu puncak. Perlu buat perkiraan secara tepat berapa banyak had diperlukan untuk menangani seberapa ramai guru dan sekolah.

“Selain itu, tidak semua sistem sesuai digunakan bagi semua negeri dengan kapasiti yang sama. Sudah pasti tidak sama jumlah pengguna di Perlis dan Selangor. Pelayan yang digunakan perlu stabil.

“Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah adalah untuk memasukkan data. Ia sewajarnya gunakan sistem simpanan secara automatik (autosave). Maksudnya, setiap kali data dimasukkan, ia disimpan secara automatik dan tidak hilang jika tiba-tiba berlaku masalah talian. Kosnya tinggi tetapi perlu dalam kes pengendalian data,” katanya lagi.

“Kelemahan utama kebanyakan sistem di negara ini ialah ambil mudah dan jadikan pengguna sebagai bahan ujian. Asalkan ia nampak berkesan di sesetengah kementerian, ia secara mudah digunakan pula di kementerian yang lain. Cara ini salah kerana tidak semuanya sama,” katanya.

Justeru, adalah wajar kementerian lebih peka dalam hal ini dan memastikan apa saja sistem yang mahu dibangunkan tidak menjadi beban kepada pengguna, sekali gus menambahkan tekanan mereka.

Berita Harian Online: 21 September 2011

Mohd Adenan akhiri khidmat 32 tahun

Oleh Nor Azma Laila
norazma@bharian.com.my
2011/09/21

SELEPAS 32 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam, Pengarah Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan (JPNWP), Mohd Adenan Deraman menamatkan perkhidmatannya apabila bersara pilihan sendiri 1 September lalu.

Sebagai penghargaan terhadap jasa dan baktinya itu, Majlis Lambaian Kasih diadakan meraikan sumbangan Mohd Adenan dalam bidang pendidikan dan perkhidmatan awam.
Beliau yang mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Bahasa dan Ekonomi memulakan perkhidmatan sebagai guru penolong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdullah, Semporna, Sabah pada 1979 sebelum bertukar ke SMK Agaseh, Lahad Datu (1983).
Selepas 21 tahun berkhidmat sebagai pendidik di beberapa negeri antaranya Sabah, Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang, Mohd Adenan kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Maktab Perguruan Tuanku Bainun Pulau Pinang pada (2005) dan ditukarkan ke Bahagian Pendidikan Guru sebagai Timbalan Pengarah pada tahun berikutnya.

Khidmatnya dalam perkhidmatan awam diteruskan apabila dilantik Pengarah Bahagian Buku Teks (2008 dan 2009), Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (2008) dan Pengarah Pelajaran JPNWP pada 2009.

Pelbagai sumbangan dilakukan Mohd Adenan ketika mengemudikan JPNWP antaranya dalam bidang penyelidikan dan aktiviti pertubuhan sukarela.

Mohd Adenan ketika ditemui berkata, kejayaan yang dikecapi sepanjang perkhidmatan awamnya adalah hasil usaha serta kerjasama yang diberikan rakan sekerja.
"Saya harap semua kakitangan akan terus berkhidmat dengan cemerlang dan memberi komitmen penuh dalam meningkatkan lagi kecemerlangan JPNWP.

"Kepada rakan sekerja yang ada, bekerjalah dengan ikhlas dan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu sepanjang perkhidmatan di JPNWP," katanya pada majlis berkenaan.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pejabat Pelajaran Wilayah Putrajaya, Jamaluddin Yusof.

Sementara itu, Jamaluddin berkata persaraan Mohd Adenan membuatkan JPNWP kehilangan seorang pengarah yang sudah dianggap seperti bapa kerana banyak membantu mereka dalam kerja-kerja di jabatan.

"Beliau seorang yang lemah lembut, tenang, senang didekati dan mudah diajak berbincang. Malah beliau juga sering memberi galakan dan sokongan dalam apa jua aktiviti yang dilakukan, kerana itu kami sentiasa bersemangat untuk bekerja," katanya.

Berita Harian Online: 21 September 2011

3 murid dibenar ambil UPSR

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my
2011/09/21


Muhyiddin kecewa guru besar sekat hak pelajar, arah ambil tindakan

DUNGUN: Tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, Sarawak yang tidak dibenar menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana dianggap lemah, dibenar menduduki peperiksaan itu dalam tempoh empat minggu lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sambil meluahkan dukacita terhadap pentadbiran sekolah terbabit yang menyekat hak tiga murid iaitu Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi menduduki UPSR, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, setiap pelajar yang mendaftar mengambil peperiksaan awam, mesti diberi peluang menduduki peperiksaan itu.
“Sama ada murid itu cemerlang, kurang cemerlang atau lemah, itu soal kedua. Hak dia untuk ambil peperiksaan tidak boleh disekat atau dihalang oleh pentadbir sekolah.

“Sebagai Menteri Pelajaran, ini kuasa saya mengikut Akta Pendidikan dengan membenarkan mereka menduduki UPSR. Saya juga sudah menerima laporan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bahawa ini boleh dilakukan.

“Biasanya, ia mengambil masa empat minggu daripada tarikh keputusan saya untuk murid terbabit menduduki peperiksaan itu,” katanya selepas majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Aidilfitri di Padang Merdeka, Sura, di sini, semalam yang dihadiri lebih 15,000 penduduk setempat.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob; Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Datuk Za'abar Mohd Adib; Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.
Muhyiddin berkata, LPM akan mengolah soalan peperiksaan itu supaya setara dengan kertas peperiksaan UPSR yang selesai diduduki calon 15 September lalu.

Beliau turut mengingatkan pentadbir sekolah tidak terlalu ghairah mencapai kecemerlangan sekolah hingga bertindak di luar perkara sepatutnya.

Muhyiddin berkata, beliau juga sudah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran melakukan siasatan mendalam dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pentadbir sekolah terutama guru besarnya.

Sementara itu, beliau berkata, Bajet 2012 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Oktober ini akan memberi perhatian kepada isu dihadapi rakyat termasuk mengurangkan kos hidup ketika ini.

“Wallahualam..apa yang terkandung dalam bajet itu, kita berharap akan menyentuh perkara yang dapat mengurangkan kos bebanan rakyat,” katanya pada majlis dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Kepimpinan Masyarakat dan Pegawai Kanan Kerajaan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, sebagai kerajaan yang sentiasa prihatin kebajikan rakyat, Najib yang juga Menteri Kewangan pasti mengambil kira semua aspek yang akan memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Muhyiddin berkata, cadangan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, selaras kematangan rakyat negara ini.

Katanya, walaupun akta itu dimansuhkan, semua pihak termasuk mereka yang ekstremis dan cuba mengganggu gugat keamanan dan keselamatan negara, tidak akan terlepas daripada lunas undang-undang negara.


'Cikgu kata saya tak pandai'


BINTANGOR: “Cikgu tidak benarkan saya ambil ujian kerana cikgu kata saya tak pandai. Setakat ini keputusan terbaik saya hanya C, sebab itulah saya dikurung,” kata Idie Ganhyol, 12, seorang daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor yang tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atas atasan lemah.

Idie bersama dua rakannya, Edward Ujoh dan Richmend Mangi, dikurung dalam bilik pemulihan sekolah itu bagi menghalang mereka daripada menduduki UPSR kerana bimbang prestasi keseluruhan sekolah akan menurun.

Mereka dikurung mulai jam 8 pagi hingga tengah hari dua hari berturut-turut, pada 13 dan 14 September lalu.

Edward pula berkata, gurunya turut memaklumkan dia juga tidak boleh menduduki UPSR kerana terlalu lemah dalam pelajaran, sebelum mengurungnya bersama dua rakannya.

Sementara itu, ibu Edward, Molly Nilau, yang ditemui mengaku sangat marah dan sakit hati kerana anaknya diperlakukan sedemikian.

“Anak saya dilayan macam pencuri... penjenayah, sehingga dikurung sebegitu. Kami juga tidak pernah tarik balik laporan polis. Guru sekolah merayu kami tarik balik laporan... tapi kami enggan.

“Mereka juga kata kalau kami mahu teruskan juga kes itu sampai ke mahkamah, kami tak akan mampu bayar kos yang dikenakan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Bapa Idie, Ganyol Lubok berkata, guru sekolah terbabit sudah meminta maaf dan merayu supaya ibu bapa menarik balik laporan polis yang dibuat.

“Tapi saya jawab tidak... kami tidak akan tarik balik laporan polis yang dibuat. Guru terbabit sepatutnya merujuk kepada ibu bapa terlebih dulu kalau tak mahu anak kami menduduki peperiksaan, bukannya mengurung mereka.

“Guru juga memberitahu mereka akan mengemukakan ujian percubaan anak kami sebagai ganti kepada peperiksaan UPSR,” katanya yang sangat kecewa dengan tindakan guru sekolah itu.

Berita Harian Online: 21 September 2011

Selasa, 20 September 2011

3 murid dikurung ketika UPSR

Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my
2011/09/20

Dilarang ambil peperiksaan kerana bimbang jejas prestasi sekolah

KUCHING: Tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, dalam Bahagian Sarikei, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana mereka dianggap lemah dan dibimbangi boleh menjejas prestasi keseluruhan sekolah itu.
Ketiga-tiga murid lelaki terbabit, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi dikurung di bilik pemulihan sekolah, sementara rakan sekelas lain menduduki peperiksaan berkenaan pada 13 dan 14 September lalu.
Mereka hanya dibenarkan menduduki peperiksaan pada 15 September, iaitu pada hari terakhir UPSR, selepas ibu bapa mereka membuat aduan kepada polis.

Difahamkan ketiga-tiga murid terbabit dikunci di dalam bilik pemulihan mulai jam 8 pagi hingga tengah hari pada kedua-dua hari berkenaan. Pasukan polis yang tiba di sekolah itu pada 15 September menemui murid terbabit dikurung dalam bilik berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Bintangor, Deputi Superintendan (DSP) Mohd Hafifi Mohd Salim, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu bapa murid terbabit.

“Kita mendapati ketiga-tiga murid itu dikunci dalam bilik untuk mengelak mereka daripada menduduki peperiksaan kerana pihak sekolah mendakwa murid terbabit lemah dalam pelajaran dan boleh menjejas pencapaian sekolah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan kes itu sudah ditutup kerana ibu bapa murid terbabit bersetuju menarik balik laporan polis yang dibuat.

“Pihak Jabatan Pelajaran juga sudah dimaklumkan. Kami dimaklumkan tindakan akan diambil terhadap guru besar sekolah terbabit,” katanya.

Mengulas perkembangan sama, Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah, kesal dengan tindakan pengurusan sekolah terbabit.

“Saya belum menerima laporan secara rasmi. Kita serahkan kepada polis untuk menyiasat. Bagaimanapun, kejadian seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana semua murid Tahun Enam berhak menduduki UPSR, tak kira sama ada mereka bijak atau lemah,” katanya.

Guru besar sekolah itu dan Jabatan Pelajaran Sarawak bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk komen.

Berita Harian Online: 20 September 2011

Usah perlekeh tugas, tanggungjawab guru prasekolah

2011/09/20

PADA hemat saya, kerjaya guru prasekolah amat mulia tetapi meletihkan kerana terlalu banyak beban kerja di luar tugasan wajib guru. Antara faktor yang menyumbang kepada masalah itu seperti:

  • Program Berbintang anjuran PPD/JPN Kelantan mengguna pakai instrumen yang agak mengelirukan. Contoh: 10 markah untuk ‘tanggapan awal’. Bangunan yang dijadikan kelas prasekolah kurang sesuai.
  • Cara pemantauan yang dilakukan mentor (lantikan PPD) amat memualkan. Mentor dengan angkuh memberi komen/kritikan negatif.
  • Guru prasekolah terlalu dibebani pelbagai tugasan hingga tidak ada masa untuk berehat dari jam 7.00 pagi hingga jam 1.15 petang. Kadang-kala kerja sekolah dibawa ke rumah untuk diselesaikan.

  • Guru prasekolah juga perlu memastikan kelas dalam keadaan cukup kemas dan ceria - Guru terpaksa menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit untuk menyiapkan satu-satu aktiviti yang dijalankan.

  • Tiada imbuhan yang diberikan walaupun guru prasekolah mengajar semua subjek terutama Bahasa Inggeris (Pendidikan Agama Islam diajar oleh ustaz/ustazah)

  • Pelbagai aktiviti yang terpaksa disertai/dijalankan pada peringkat kelas, sekolah, zon, daerah dan negeri.
  • JU (Jurulatih Utama) terpaksa akur arahan PPD/JPN meskipun terlalu kerap meninggalkan kelas/anak didik kepada PPM (Pembantu Pengurusan Murid)

  • Kami mohon agar pihak tertentu jangan meremehkan kerja seorang guru prasekolah.

    Walaupun pada pandangan luaran ia amat mudah untuk dilaksanakan, namun hakikatnya, tugas serta tanggungjawab yang kami laksanakan adalah amat besar dan perit.

    SAL78,
    Pasir Mas, Kelantan.

  • Berita Harian Online: 20 September 2011

    Isnin, 19 September 2011

    Guru penolong kanan hadapi tuduhan pecah amanah

    2011/09/19



    KANGAR: Seorang guru penolong kanan hal ehwal murid sebuah sekolah rendah di sini, hari ini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas tuduhan pecah amanah.
    Farida Ariani Fadzil, 49, dituduh melakukan pecah amanah wang dari Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) berjumlah RM5,400 yang sepatutnya dibayar kepada 12 murid tahun satu pada 4 November 2008 di pejabat Sekolah Kebangsaan Behor Empiang, di sini.
    Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, guru yang tidak diwakili peguam itu tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan.
    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A. Hafiizh Abu Bakar mencadangkan mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 kepada tertuduh.

    Bagaimanapun tertuduh merayu jumlah jaminan itu dikurangkan kerana beliau adalah seorang ibu tunggal dan mempunyai tanggungan seorang anak.
    Hakim Mahkamah Sesyen, Wan Norzanuar Wan Ahmad memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Tertuduh membayar ikat jamin itu. - BERNAMA

    Berita Harian Online: 19 September 2011

    Sekolah Berasrama Penuh perlu selaras hukuman pelajar

    2011/09/19

    SAYA berpendapat tindakan mengenakan hukuman ke atas pelajar di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) perlu diselaraskan kerana kini wujud ketidakseragaman dalam tindakan dikenakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan.

    Pelajar yang bersalah diarah keluar daripada asrama, dikenakan tindakan buang sekolah dan ada hanya digantung persekolahan.
    Tindakan mengenakan hukuman itu adalah tanggungjawab pengurusan sekolah terbabit, namun SBP perlu memberi perhatian jenis kesalahan yang dikategorikan. Baru-baru ini pengawas Tingkatan Lima dipertanggungjawabkan menjaga pelajar Tingkatan Satu di asrama SBP mengambil tindakan memukul dan membuang pakaian mereka.

    Perbuatan disedari waris dari sekolah itu dan maklumat mengenainya juga sampai ke pengetahuan SBP. Namun selepas ibu bapa pelajar berkenaan menghubungi pihak SBP, mereka dimaklumkan pengawas terbabit digantung persekolahan seminggu.

    Sementara tindakan terhadap pelajar yang dipukul terletak dalam bidang kuasa pengetua sekolah terbabit. Situasi itu bagaimanapun berbeza dengan sekolah lain di mana pelajar yang menjentik hidung dan melakukan kesalahan lain dibuang sekolah.

    Pelajar yang mengalami trauma dan takut untuk bersekolah selepas kejadian dipukul, sukar pula mendapat kelulusan dipindahkan ke SBP lain atas alasan ia adalah peraturan yang ditetapkan.
    Saya berharap pihak SBP dapat bertindak dengan adil dan sekiranya peraturan hendak dikuatkuasakan, ia hendaklah meliputi semua pihak termasuk guru, pengawas dan guru.

    Tindakan ini difikir perlu kerana pelajar yang mengalami trauma itu terpaksa ditukarkan ke sekolah harian biasa walaupun tidak bersalah.

    SAMSUDIN,
    Alor Setar

    Berita Harian Online: 19 September 2011

    Pelajar maut dihempap tiang gol


    TIANG gol yang menghempap Muhammad Fakhrul sehingga maut ketika bermain bola sepak di padang SK Kampung Jawa 1, Klang semalam.


    KLANG - Hasrat seorang pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa 2 di sini untuk memiliki sepasang kasut bola tidak kesampaian apabila dia maut setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Allahyarham Muhammad Fakhrul Amin Abdul Rahman, 11, anak keempat daripada lapan beradik dikatakan bersama-sama rakan-rakannya sedang bermain bola di padang SK Kampung Jawa 1. Dia mengalami pendarahan teruk selain retak tempurung kepalanya.

    Bapa mangsa, Abdul Rahman Sarbaini, berkata, beliau yang berada di rumah terkejut apabila dipanggil seorang jirannya mengatakan anaknya mengalami kemalangan akibat bermain bola di padang kira-kira 50 meter dari kediamannya di kuarters guru Kampung Jawa.

    "Apabila sampai ke tempat kejadian, saya melihat banyak darah keluar daripada kepalanya dan dia (Muhammad Fakhrul) sudah terbaring tidak sedarkan diri.

    "Melihat kecederaannya yang parah, saya terus menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk menerima rawatan namun dia gagal diselamatkan," katanya.


    Kosmo Online: 19 September 2011

    Ahad, 18 September 2011

    Pusat sedia bayar gaji guru agama

    Oleh Fazli Abdullah, Amin Ridzuan Ishak, Pettah Wazzan Iskandar dan Faridzwan Abdul Ghafar

    2011/09/18

    MUHYIDDIN menyerahkan bantuan kepada wakil Madrasah Tahfiz Al-Quran Masjid Banggali,  Seberang Prai Utara, Rezuan Ahmad di Pulau Pinang, semalam.
    MUHYIDDIN menyerahkan bantuan kepada wakil Madrasah Tahfiz Al-Quran Masjid Banggali, Seberang Prai Utara, Rezuan Ahmad di Pulau Pinang, semalam.
    BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Pusat sedia mengambil alih pembayaran gaji guru sekolah agama naungan beberapa kerajaan negeri supaya setaraf jumlah diterima guru di bawah seliaan Kementerian Pelajaran.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya sudah berbincang dengan beberapa kerajaan negeri untuk menjalin kerjasama supaya sistem pendidikan peringkat negeri bukan saja mengikuti kurikulum ditetapkan malah mampu melahirkan warga berkemahiran.
    Kerajaan Pusat sedia membantu kerajaan negeri dengan mengambil tanggungjawab membayar gaji guru supaya setanding dengan guru di bawah Kementerian Pelajaran, terserah sama ada kerajaan negeri terbabit sedia membantu dengan cara bekerjasama.
    Kementerian Pelajaran terutama Kerajaan Pusat tidak ada niat untuk mengambil alih tanggungjawab (sekolah agama). Tanggungjawab kita adalah menyokong supaya tenaga pengajar dapat menjalankan tugas mereka lebih baik kerana saya sedar sesetengah negeri tidak mampu membayar imbuhan setimpal.

    Ramai guru berdepan masalah itu dan sebab itu kerajaan memutuskan kalau ada hasrat kerajaan (negeri) berkenaan untuk dapatkan sokongan, kita pada peringkat Kerajaan Pusat sedia membantu, katanya berucap pada majlis perjumpaan khas dengan guru sekolah agama dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Permatang Pauh, dekat sini, semalam. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran enggan menyebut negeri terbabit.

    Pada majlis berasingan, Timbalan Perdana Menteri berkata, Bajet 2012 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bulan depan, diharap mampu meringankan beban rakyat.

    Beberapa perkara dalam penelitian kerajaan dan Perdana Menteri akan mengumumkan dalam bajet nanti. Mudah-mudahan sesuatu yang membantu rakyat dan mengurangkan beban rakyat, katanya pada majlis Kenduri Rakyat Merdeka Raya anjuran UMNO Bahagian Nibong Tebal, di sini.
    Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menyambut baik tindakan UMNO Pulau Pinang menghantar notis tuntutan meminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng memohon maaf dan menarik balik tuduhan kononnya UMNO terbabit dalam kes kebakaran di ibu pejabat DAP negeri, bulan lalu.

    UMNO bukan parti tidak bermaruah. Kalau ada sesiapa yang membuat tohmahan di khalayak ramai kononnya UMNO terbabit dalam perbuatan membakar bangunan (pejabat DAP), ini kenyataan buruk sangka dan fitnah, katanya.

    Lawatan sehari Timbalan Perdana Menteri ke Pulau Pinang semalam membawa berita gembira apabila peruntukan dan insentif bernilai RM21.3 juta diluluskan Kerajaan Pusat untuk pelbagai keperluan.

    Muhyiddin mengumumkan RM7.1 juta disalurkan kepada 35 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR). Beliau juga meluluskan peruntukan RM1.4 juta bagi menaik taraf Pasar Awam Tasek Gelugor dan mengecat semula empat blok flet di Taman Retina, Tasek Gelugor. Sebanyak RM2.5 juta pula untuk menaik taraf Masjid Sungai Acheh yang berusia 120 tahun, manakala RM1 juta bagi menaik taraf Jeti Nelayan Sungai Udang serta RM500,000 disumbang kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Tek, Nibong Tebal.

    Muhyiddin juga meluluskan peruntukan tambahan RM1.5 juta bagi pembinaan projek perumahan mangsa banjir di Kampung Manggis, Bukit Mertajam serta RM6.1 juta bagi pembinaan semula Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Batu Kawan.

    Berita Harian Online: 18 September 2011

    Jumaat, 16 September 2011

    Pengawas digantung sekolah seminggu

    GEORGETOWN: Pengawas yang didakwa membelasah dan merotan 20 pelajar sebuah sekolah di Tasek Gelugor, dekat sini, pada 11 September lalu akan disiasat Jabatan Pelajaran Negeri.

    Mereka itu yang dikenal pasti adalah Ahli Jawatankuasa Disiplin Sekolah akan disiasat berikutan mengambil tindakan di luar pengetahuan warden asrama sekolah terbabit.


    Pengarah Jabatan Pelajaran Pulau Pinang, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, pihaknya juga akan menyiasat sama ada kejadian itu berlaku disebabkan kumpulan pelajar terbabit melakukan kesalahan merokok atau berpunca sebab lain hingga menyebabkan ahli jawatankuasa bertindak di luar kawalan.

    Menurutnya, jika benar kumpulan pelajar berkenaan melakukan kesalahan merokok, ia juga bukan menjadi alasan bagi pengawas berkenaan menjatuhkan hukuman sendiri terhadap mereka itu.


    “Jika kumpulan pelajar terbabit melakukan kesalahan, ia tanggungjawab sekolah bagi menentukan hukuman sewajarnya. “Buat masa ini, mereka (pengawas) sudah digantung dari persekolahan selama seminggu sementara siasatan dijalankan,” katanya ketika melancarkan majlis Penutup Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Bukit Gambir, semalam.


    Selasa lalu, akhbar ini melaporkan 20 pelajar tingkatan satu hingga lima sebuah sekolah menengah di Seberang Prai Utara (SPU) mendakwa empat pengawas mengambil alih kuasa guru disiplin dengan merotan mereka atas kesalahan merokok di luar sekolah. Selain itu, beberapa pelajar juga turut mendakwa ditumbuk serta diarahkan memakan tembakau sebaik dipanggil ke sebuah bilik dalam asrama sekolah.

    Kebanyakan mereka juga disebat dengan rotan buluh oleh ketua pengawas yang juga pelajar tingkatan enam sekolah berkenaan.

    myMetro: 16 September 2011

    Selasa, 13 September 2011

    Guru dituduh cabul pelajar

    13/09/2011 3:36pm

    KUALA LUMPUR - Seorang guru sebuah sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan mencabul seorang pelajar lelaki berusia tujuh tahun Mac lepas.

    Mohd Sabri Che Bedolah, 34, dari Taman Kajang Utama, Kajang, Selangor, didakwa mencabul kehormatan pelajar itu di tangga sekolah berkenaan pada 12 tengah hari 4 Mac lepas.

    Mohd Sabri yang diwakili peguam Wan Ahamad Fadzil Wan Omar didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika disabit kesalahan.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norasyikin Ahmad menawarkan jaminan sebanyak RM11,000 dengan seorang penjamin tetapi Wan Ahamad Fadzil merayu supaya wang jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 kerana anak guamannya terpaksa menanggung anak yang masih bersekolah serta keluarganya.

    Majistret Aizatul Akmal Maharani membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 kemudian menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan kes.

    Ibu Mohd Sabri membayar jaminan itu. - Bernama


    Kosmo Online: 13 September 2011

    Isnin, 12 September 2011

    Sharifah Aini rai persaraan guru besar SK Kampung Tunku


    Ainon Abdullah diiringi masuk ke kereta selepas majlis meraikan persaraannya di SK Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


    PENYANYI terkenal tanah air, Datuk Sharifah Aini membuat persembahan istimewa untuk meraikan persaraan Guru Besar Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tunku, Ainon Abdullah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

    Persembahan selama setengah jam penyanyi pujaan Ainon itu diadakan sebagai usaha pihak sekolah untuk memberi penghargaan terakhir atas segala sumbangan dan pengorbanannya mengharumkan nama sekolah.

    Dalam ucapannya Ainon berkata, dia berasa sangat gembira namun tetap sedih dan terharu kerana bakal meninggalkan sekolah yang telah mengabadikan terlalu banyak kenangan pahit dan manis baginya.

    "Semoga kecemerlangan sekolah akan dapat diteruskan oleh para guru yang menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan ia dikekal atau dipertingkatkan pada masa hadapan.

    "Teruskanlah usaha membawa nama sekolah ke satu tahap kecemerlangan yang membanggakan dan pada masa yang sama dapat melahirkan murid-murid cemerlang dalam bidang akademik mahupun kokurikulum," kata guru Bahasa Inggeris kelahiran Johor Bahru ini.

    Ainon telah berkhidmat selama 35 tahun tujuh bulan sebagai guru di 11 buah sekolah di Johor, Pahang dan Selangor.

    Beliau pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang Bahasa Inggeris pada tahun 1994 (Johor), 1998 (Pahang) dan 2002 (Selangor).

    Hadir sama pada majlis "Sanjungan Budi, Lambaian Kasih" itu ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kampung Tunku, Datuk Dr. Wong Sai Hau; Penolong Pengarah Kanan Unit Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Selangor, Jamaluddin Harun; Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Petaling Utama, Abu Omar Mos dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Datuk Nasir Mohd. Ali.

    Pada majlis itu, Sai Hau turut menyampaikan sumbangan bernilai RM2,000 kepada Ainon untuk diserahkan kepada sekolah tersebut.

    Ainon turut merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pihak termasuklah PIBG yang telah banyak memberi sumbangan kepada sekolah dalam pelbagai bentuk demi kejayaan dan pembangunan murid-murid di sekolah berkenaan.

    Sementara itu, Abu Omar berkata, guru-guru di sekolah ini sangat bertuah kerana rangka dan hala tuju sekolah telah disediakan dan ia hanya perlu dilaksanakan dengan cara yang betul agar kecemerlangan sekolah dapat ditingkatkan dari masa ke masa.

    Tambahnya lagi, segala sumbang bakti yang diberikan oleh bekas guru besar sekolah ini diharap akan menjadi amal jariah yang hanya akan mampu di balas oleh Allah.

    Utusan Malaysia Online: 12 September 2011

    Laporan diserah hujung tahun ini

    LONDON 11 Sept. – Jawatankuasa Mengkaji Kurikulum Sejarah diberi tempoh sehingga hujung tahun ini untuk menyerahkan laporan dapatan mereka supaya proses pengolahan dan komen daripada pemegang saham dan masyarakat dapat dipercepatkan.

    Hal ini penting kerana subjek itu akan menjadi wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2013.

    Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beberapa lapis proses juga terpaksa dilakukan seperti mengolah, memperjelas dan mendapatkan cadangan dan komen masyarakat.

    Tegas Muhyiddin, sebelum isu kenyataan Pas yang memutarbelitkan sejarah Bukit Kepong lagi, memang beliau telah mengarahkan buku teks Sejarah dirombak, dan telah mengarahkan jawatankuasa itu ditubuhkan segera ketika itu.

    Katanya, jawatankuasa berkenaan terdiri daripada beberapa pakar sejarah pelbagai kaum yang dilantik, akan memastikan kesaksamaan dalam komposisi pensejarahan kaum di negara ini.

    Bagi Menteri Pelajaran itu, adalah penting tiada satu kaum pun yang merasakan buku sejarah baru itu berat sebelah kepada kaum tertentu sahaja.

    ‘‘Apa yang lebih penting lagi, ia adalah bebas daripada putar belit politik. Fakta tetap fakta dan sejarah tidak boleh diubah,” kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Kementerian Pelajaran sebelum ini mengumumkan mulai 2013, mata pelajaran Sejarah akan menjadi subjek wajib lulus sebagai syarat untuk layak mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain mata pelajaran Bahasa Melayu.

    Subjek Sejarah akan mula diperkenalkan dalam SPM Ulangan mulai tahun 2014.

    Format pentaksiran mata pelajaran Sejarah akan menggunakan sukatan pelajaran sedia ada bermula dari tahun 2013 sehingga 2017.

    Bermula SPM 2018, ia akan menggunakan sukatan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

    Muhyiddin menambah kata, bagi tujuan ketelusan, pihaknya akan membuka kepada masyarakat untuk mengemukakan idea tentang mata pelajaran Sejarah di sekolah.

    ‘‘Saya dapati langkah yang kita ambil ini bertepatan dengan perkembangan terkini, iaitu perdebatan tentang sejarah itu berlaku dengan hangat,” katanya.

    Mengulas tentang lawatan kerjanya di sini, Muhyiddin menganggap ia berjaya dan beliau mendapat maklum balas daripada peserta warga Malaysia di sini mereka telah mendapat mereka mendapat maklumat yang penting daripada sesi forum dan dialog yang diadakan.

    Sehubungan itu, beliau mengumumkan akan menjadikan program Forum Merdeka dan dialog bersama pemimpin menjadi acara tahunan di London.

    Jika ada permintaan oleh mana-mana kedutaan yang mempunyai ramai rakyat Malaysia, maka ia boleh dikembangkan di mana-mana kedutaan, kata Muhyiddin.

    Majlis Karnival Merdeka 2011 di London anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom mempunyai kelainan apabila ia disisipkan dengan majlis dialog pemimpin dan Forum Merdeka.

    Dialog kali ini bertema 54 Tahun Merdeka: Menghargai Waktu Silam, Mentransformasikan Masa Depan.

    Pada sesi Forum Merdeka, dua ikon sosial, iaitu Profesor Ulung Negara, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa, Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin mengupas tema 54 Tahun Kemerdekaan: Membangunkan Negara, Berkongsi Matlamat.

    Forum itu merupakan yang julung-julung kali diadakan sempena sambutan kemerdekaan .

    Muhyiddin menambah, perkara yang penting ialah maklumat yang disampaikan adalah tepat.

    Katanya, banyak perkara penting yang dibangkitkan oleh warga Malaysia yang hadir, mencakupi isu pentadbiran Kerajaan Pusat sehingga kepada isu mata pelajaran Bahasa Inggeris.

    ‘‘Semua saranan ini akan diambil kira,” katanya. - Utusan


    Utusan Malaysia Online: 12 September 2011