Selasa, 7 Ogos 2012
Pembantu Tadbir jawab guru kata kerani lembap
Gurun
SEBAGAI penjawat awam, saya perasan yang akhir-akhir ini luahan 'Guru' banyak terpapar di dada-dada akhbar.
Pertama 'isu kerani lembap', kedua 'isu cuti khas perayaan' dan ketiga 'isu penempatan Guru Lepasan Ijazah J-qaf'.
Saya merasakan golongan ini terlalu ingin diberi banyak keistimewaan walaupun banyak keistimewaan telah diberi oleh kerajaan kepada anda.
Mungkin, seperti sebelum ini, apa jua permintaan dan perjuangan golongan pendidik ini mudah diterima kerajaan, mereka ibarat diberi betis, mahu paha pula.
Untuk makluman 'Guru' berkaitan 'isu kerani lembap', saya menyarankan anda menyemak dan meneliti fail meja dan arahan-arahan kerja anda sebagai seorang yang bergelar 'Guru'.
Anda tidak boleh menyalahkan Pembantu Tadbir di atas lambakan kerja-kerja anda. Anda tidak perlu membebankan pihak lain sekiranya tidak dapat menyiapkan tugasan anda. Kadangkala mereka juga muak dengan kerenah guru-guru yang mengarah itu ini dan satu lagi ayat yang dilihat anda seolah-olah mempertikai, menghina dan tidak faham kerjaya sebagai Pembantu Tadbir bahawa anda menyatakan bahawa anda adalah majikan Pembantu Tadbir.
Harus diingat, walaupun anda 'Guru', anda bukanlah majikan Pembantu Tadbir.
Hampir keseluruhan Pembantu Tadbir di segenap jabatan memiliki Diploma/Ijazah/Sarjana yang jauh lebih baik daripada anda dan tidak perlulah anda memandang rendah terhadap kerjaya mereka.
Pengalaman saya yang mempunyai ibu dan bapa saudara serta rakan-rakan yang bergelar guru, saya lihat mereka kurang mahir menggunakan komputer dan mengurus masa, tambahan pula apabila sesuatu yang urgent mula menggelabah.
Anda harus tahu kerjaya sebagai Pembantu Tadbir yang banyak menolong orang/pegawai atasan boleh membuat kerja di bawah tekanan dan cepat menyiapkan kerja melainkan dia seorang kakitangan yang malas dan tidak proaktif.
Kadangkala pegawai pun tidak cekap membuat kerja berdasarkan pengalaman saya yang telah bekerja di pelbagai jabatan swasta dan kerajaan.
Namun, tidak salah untuk Pembantu Tadbir membantu guru-guru tersebut, tetapi apabila terlalu banyak membantu, golongan guru menganggap itu adalah tugas Pembantu Tadbir dan mereka bebas melayari internet, bersembang kosong, aktiviti jualan langsung dan sempat pula membuat kerja sampingan lain di luar waktu bekerja.
Tidak wajarlah anda menikmati gaji besar sekiranya bebanan tugas anda digalas oleh pihak yang lain pula.
Anda sebagai guru ketika ini harus mencontohi guru-guru terdahulu yang membawa balik kerja ke rumah tanpa melibatkan kakitangan yang lain walaupun mereka bergaji kecil pada masa itu.
Mengenai isu 'guru diberi cuti khas perayaan' bagi memudahkan perjalanan balik ke kampung dan mengelak guru-guru mengambil cuti sakit semata-mata ingin balik awal ke kampung, adalah cadangan tidak masuk akal.
Apakah keistimewaan anda sehingga anda perlu diberi cuti rehat khas? Inikah mentaliti seorang pendidik? Mungkin anda kurang sensitif mengenai penjawat awam yang lain, yang juga mahu pulang ke kampung.
Kami menguruskan masa dan merancang cuti lebih awal dan ada lagi penjawat awam lain tidak pulang berhari raya dan tidak mudah untuk mengambil cuti perayaan kerana ada sistem giliran.
Saya hairan, kenapa perlu diberi cuti khas kepada golongan guru dan tidak salah kalau tidak dapat balik sehari sebelum hari raya, balik pada hari yang anda ada kelapangan.
Utusan Malaysia Online: 7 Ogos 2012
Rabu, 1 Februari 2012
Banyak kerenah di IPG?
Sarawak
SAYA ingin mendedahkan beberapa masalah pensyarah dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) berkenaan kerenah birokrasi. Teguran ini terpaksa dibuat secara terbuka kerana teguran dalaman tidak berkesan.
Saya salah seorang pensyarah IPG yang telah 15 tahun berkhidmat. Saya dapati terlalu banyak kerenah diamalkan. Amalan kerja tidak berperancangan, tidak mengikut prosedur atau peraturan, tergesa-gesa, dan sebagainya yang diamalkan semasa IPG di bawah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) masih menjadi amalan oleh pegawai Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) serta Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK).
Walaupun IPGK dinaikkan ke taraf universiti, amalan mementingkan populariti, urusan remeh-temeh, kerenah birokrasi terus menjadi tonggak pentadbiran.
Setiap aktiviti perlu dihadiri oleh semua pelajar dan pensyarah, sedangkan aktiviti itu tiada kaitan. Ini menyebabkan berlaku pembaziran masa dan tenaga. Pelajar yang tidak hadir akan dileteri dan pensyarah pula diminta beri surat tunjuk sebab.
IPGK juga kerap menganjurkan perhimpunan dan setiap perhimpunan itu wajib dihadiri oleh pelajar dan pensyarah. Kerap kali terjadi perhimpunan diadakan sehingga dua atau tiga kali sehari. Akibatnya, sesi pengajaran dan pembelajaran terpaksa dibatalkan.
Sepanjang pemerhatian saya, pihak pentadbir IPGK tidak mengutamakan akademik baik aktiviti pelajar mahupun pensyarah, dan kepakaran bidang. Jika anda membuat kajian, anda akan temui pensyarah yang pakar dalam Jabatan A ditempatkan atau disuruh mengajar di Jabatan B. Akibatnya, pelajar akan menjadi mangsa kerana pensyarah berkenaan tidak dapat menyampaikan ilmu dengan baik.
Di samping itu, pensyarah IPGK juga dibebankan dengan urusan birokrasi daripada IPGM. Misalnya, bebanan tugas pengurusan pihak pentadbir atau mengisi maklumat sama dalam pelbagai borang.
Satu hal yang malang ialah sikap pentadbir IPGK dan IPGM yang tidak mempedulikan kebajikan pensyarah. Misalnya, semua pensyarah dilonggokkan dalam satu bilik dengan meja kerja yang kecil dan kemudahan yang terhad.
Di situlah tempat pensyarah bekerja dan menyimpan tugasan pelajar. Kalau anda mengunjungi bilik kerja pensyarah, suasananya tidak ubah seperti stor tempat menyimpan barangan terpakai.
Semoga teguran ini diterima dan mendapat maklum balas sesuai dengan cita-cita IPG mahu bertaraf dunia.
Utusan Malaysia Online: 1 Februari 2012
Sabtu, 31 Disember 2011
Kaji semula tempoh cuti persekolahan
2011/12/31
CUTI sekolah memang menyeronokkan tetapi kepada golongan yang kurang mampu agak membebankan. Saya rasa cuti akhir tahun sejak beberapa tahun ini agak terlalu lama berbanding sebelumnya. Cuti untuk 2012 akan bermula 10 November 2012 dan berakhir 31 Disember 2012. Ini bermakna cuti lebih dari 1 1/2 bulan.Saya lebih suka kalau anak saya pergi ke sekolah setiap hari bukan saja belajar tetapi dapatlah mereka bertemu dengan rakan serta guru.
Bagi ibu bapa yang mampu cuti yang panjang ini akan diisi dengan makan angin, tetapi bagi yang tidak mampu anak-anak terpaksa duduk di rumah dan menonton televisyen atau bermain video. Lagipun zaman sekarang ini sudah jarang sangat orang menghantar anak balik ke kampung sebab anak-anak akan bosan duduk di kampung kerana tiada kemudahan seperti di bandar. Oleh kerana ibu bapa terpaksa bekerja anak-anak pula ditinggalkan bersendirian di rumah. Apa yang saya nampak, kebanyakan cuti sekolah ini adalah medan untuk anak-anak melepak, merayau dan berpeleseran di kawasan kedai, taman dan kafe internet (bagi yang tiada kemudahan internet di rumah). Ini akan menggalakkan gejala sosial dalam kalangan kanak-kanak kerana ibu bapa tidak akan dapat memantau anak mereka setiap masa kerana bekerja.
Saya berharap sangat sekiranya pihak kementerian pelajaran dapat meneliti serta membuat kajian mengenai tempoh cuti persekolahan yang terlalu banyak setiap tahun dan sangat lama itu.
UTAMAKAN PELAJARAN, Kuala Lumpur.
Berita Harian Online: 31 Disember 2011
Rabu, 7 Disember 2011
Minda Pengarang: Graduan ISMP terpilih jadi guru mesti beri komitmen, tak banyak kerenah
2011/12/07
KEMELUT kira-kira 5,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) lepasan institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang mendakwa digantung tidak bertali oleh Kementerian Pelajaran sudah terlerai. Kelmarin, mahasiswa ISMP lepasan IPTA yang sebelum ini mendakwa dianaktirikan kementerian kerana lebih mengutamakan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) untuk diserap sebagai guru tetap, mendapat jaminan daripada Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi sendiri, mereka akan ditempatkan di sekolah menengah seluruh negara mulai Januari ini.Komitmen kerajaan dalam isu ini amat dihargai kerana ia jelas menunjukkan kerajaan mahu mengatasi masalah pengangguran graduan ISMP, sekali gus memberi petanda jelas kerajaan tidak mengabaikan nasib graduan terbabit, sebaliknya berusaha membantu mereka mendapatkan pekerjaan setaraf dengan kelulusan mereka. Perkembangan ini juga jelas menunjukkan kerajaan benar-benar serius untuk memberikan tumpuan kepada pembangunan modal insan bagi melahirkan generasi masa depan yang cemerlang dengan mengambil graduan ISMP menjadi tenaga pengajar di sekolah menengah, sekali gus membantu kerajaan memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Kita juga menghargai kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi menerusi penubuhan jawatankuasa bersama bagi menyelesaikan pelbagai masalah tertangguh yang dihadapi graduan ISMP, terutama dalam soal penempatan sekolah mengajar. Kita berharap Kementerian Pelajaran dapat menggunakan peruntukan RM50.2 bilion untuk sektor pendidikan melalui Bajet 2012 lalu bagi menyelesaikan isu berkaitan guru, termasuk soal penempatan guru yang membabitkan lepasan IPTA. Bagi graduan terpilih, mereka seharusnya bersyukur dengan tidak pula menimbulkan pelbagai kerenah kepada kementerian apabila dihantar bertugas di sekolah luar bandar, kawasan hulu atau pedalaman.
Berita Harian Online: 7 Disember 2011
Isnin, 28 November 2011
Benarkah wujud jurang maklumat?
pendidikan@utusan.com.my
KES pemotongan bayaran awal bantuan persekolahan yang berlaku di beberapa buah sekolah menimbulkan persoalan apakah wujud jurang maklumat antara sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)?
Sebuah sekolah di Keramat, Kuala Lumpur telah membuat potongan awal bantuan tersebut bagi kegunaan bayaran tahunan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) manakala sebuah sekolah di Sabah pula melakukan perkara yang sama bagi melunaskan yuran komputer lebih awal.
Lebih mengecewakan ialah sebelum insiden tersebut dilaporkan, di Selangor turut berlaku keengganan pihak sekolah untuk membuat bayaran kepada ibu bapa pelajar yang berada di Tahun 6 kerana mengandaikan bahawa mereka akan mendapat bayaran semasa berada di Tingkatan 1 tahun depan di sekolah lain. Pada 2012 hanya murid tahun 1 sahaja yang akan menerima bantuan khas RM100 itu.
Dari perspektif KPM perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana sejak 4 November lalu peruntukan tersebut telah dimasukkan ke akuan sekolah bagi membolehkan para pelajar menerimanya sebelum cuti sekolah bermula.
Malah sebelum itu beberapa taklimat turut diberikan kepada pengetua dan guru besar bahawa bantuan awal persekolahan tersebut hendaklah diberikan sepenuhnya tanpa sebarang pemotongan walaupun murid terbabit berhutang dengan pihak sekolah.
Sekiranya pihak sekolah ingin menuntut sebarang hutang atau yuran tertunggak daripada pelajar, perbincangan hendaklah dibuat supaya satu persetujuan dicapai tetapi bukannya dengan cara memotong wang bantuan tersebut.
Pada dasarnya, guru besar atau pengetua tidak dibenarkan membuat potongan.
Perbezaan tafsiran ketika melaksanakan sesuatu arahan, walaupun arahan itu telah diturunkan secara jelas, masih berlaku. Keadaan ini menyebabkan ramai yang tertanya-tanya bagaimana satu arahan boleh menjadi lebih banyak tafsiran? Apakah kaedah komunikasi yang digunakan tidak berkesan?
Jawapannya ialah kerana ada segelintir guru besar dan pengetua memberikan alasan kerana perkara tersebut sudahpun diputuskan oleh PIBG dalam mesyuarat tahunannya, maka ibu bapa tidak seharusnya merungut.
Sewaktu keputusan itu dibuat, tidak ramai ibu bapa yang hadir dan apabila hendak dilaksanakan, maka ramailah ibu bapa tidak berpuas hati.
Setiap kali permulaan penggal sekolah, rungutan demi rungutan mengenai bayaran tambahan yang dikenakan oleh pihak sekolah menjadi perhatian masyarakat walaupun secara jelasnya KPM telah memansuhkan semua yuran-yuran yang dahulunya terpaksa dibayar oleh pelajar seperti yuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), yuran peperiksaan dan sebagainya.
Belum pun sekolah bermula, ada sekolah telah memberitahu bahawa setiap pelajar mesti membayar sejumlah wang bagi membolehkan beberapa aktiviti sekolah terus berjalan seperti biasa.
Hal ini akan menyebabkan ibu bapa terus beranggapan, sekolah masih mengenakan yuran sedangkan kerajaan telah membuat keputusan memberi pendidikan rendah dan menengah secara percuma dengan memansuhkan semua yuran.
Di sinilah bermulanya salah faham antara ibu bapa dengan pihak sekolah. Maka adalah wajar pihak sekolah memberikan taklimat atau mengeluarkan surat siaran memberitahu ibu bapa bahawa yang mereka pungut bukanlah yuran.
Sekolah memerlukan sumbangan daripada ibu bapa untuk melaksanakan beberapa aktiviti kokurikulum demi membolehkan para pelajar mencapai kecemerlangan dan menjadi modal insan terbaik.
Jika diberi penjelasan secara baik, ibu bapa secara rasional akan memahami kenapa sesuatu sumbangan itu penting. Namun begitu, pihak sekolah tidak boleh melakukan paksaan bahawa semuanya perlu dijelaskan sebelum berakhir minggu pertama persekolahan.
Misalnya untuk sumbangan kepada tabung PIBG, pihak sekolah bolehlah membuat perancangan bahawa ibu bapa boleh menyumbang secara beransur-ansur selama tiga atau empat kali.
Sekiranya ini sanggup dilaksanakan oleh pihak sekolah dan dipersetujui oleh PIBG, salah faham tidak mungkin berlaku.Utusan Malaysia Online: 28 November 2011
Rabu, 23 November 2011
Pantau rombongan pelajar sekolah
Kuala Lumpur.
TRAGEDI bas rombongan pelajar-guru dari Kulim, Kedah dalam perjalanan ke Genting Highlands yang ditimpa kemalangan ngeri di lebuh raya PLUS berhampiran Behrang-Slim River, Perak, 11 November 2011 kira-kira jam 4.20 pagi yang menyebabkan lima terbunuh dan beberapa lagi cedera parah, adalah suatu tragedi ngeri yang amat menyayat hati.
Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (PPPM/ Pendidik) mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga terlibat.
Adalah sesuatu yang malang andainya rombongan pelajar-guru tersebut tidak mematuhi prosedur seperti yang ada dalam garis panduan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Sehubungan ini, Pengetua/Guru Besar/ Pentadbir Sekolah wajib memantau dan mengambil tahu secara terperinci apa jua bentuk pemeriksaan rapi ke atas rombongan pelajar, khususnya yang mahu melakukan lawatan di luar negeri.
Kondisi bas dan keupayaan serta pengalaman pemandu bas juga wajar diambil kira, terutama berhubung aspek keselamatan dan piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan.
Di samping aspek teknikal dan prosedur lawatan, insurans dan surat keizinan ibu bapa, serta Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan KPM perlu ada. Pihak pentadbir sekolah seharusnya mengambil tahu jadual perjalanan dan pengisian lawatan. Biarlah lawatan sambil belajar itu diolah untuk tujuan semata-mata memperoleh pengalaman dan bersifat menimba pengetahuan dan ilmu di luar bilik darjah.
Justeru, perancangan rapi dan perbincangan antara guru muda dan guru senior haruslah ada dari semasa ke semasa di samping idea-idea daripada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Pengetua. Sikap lepas tangan haruslah dihindari.
Utusan Malaysia Online: 23 November 2011
Isnin, 21 November 2011
Staf sokongan tak kerja masa cuti sekolah
2011/11/21
SAYA tertanya-tanya sama ada jawatan Ahli Kakitangan Sokongan (AKS) seperti Pembantu Tadbir (kerani), Pembantu Pengurusan Murid (PPM) serta Kakitangan Am yang ditempatkan di kebanyakan sekolah rendah dapat meringankan beban tugas guru ataupun tidak. Kenyataan ini mungkin agak mengelirukan tetapi mungkin ada baiknya dikongsi bersama sebagai teladan.Kebanyakan sekolah rendah mempunyai asrama harian khasnya di daerah terbesar di Sarawak iaitu Daerah Baram mempunyai cukup kakitangan AKS yang ditugaskan membantu guru menjaga kebajikan murid dari tahun 1 hingga tahun 6 di sekolah rendah berasrama. Bagaimanapun jawatan ini seolah-olah melepaskan batuk di tangga kerana tidak dapat menyumbangkan tugas dan bakti sepatutnya di sekolah.
Apa yang berlaku di kebanyakan sekolah, murid dibiarkan di kelas ketika waktu senggang selepas waktu persekolahan, manakala PPM berada di bilik khas mereka sambil melayari internet di komputer riba masing-masing.
Perkara ketiga kebajikan murid, kebanyakan PPM selalu terlepas pandang terhadap kebajikan murid terutama dari segi penyakit biasa dan juga kebersihan pakaian murid.
Ini yang menjadi persoalan saya kerana masih terdapat murid tidak memakai pakaian bersih ataupun kebersihan diri tidak terjaga.
Akhir kata, usaha Kementerian Pelajaran membantu mengurangkan beban tugas guru tidak kesampaian jika sikap staf sokongan yang diambil bekerja tidak membantu untuk mengurangkan beban guru.
CIKGU BIASA,
Baram, Sarawak
Berita Harian Online: 21 November 2011
Rabu, 5 Oktober 2011
Sekolah bagai tak hargai jasa guru
2011/10/05
SAYA ingin menarik perhatian Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berhubung isu pemberian markah untuk prestasi guru. Saya mengajar Bahasa Inggeris (BI) di sekolah rendah luar bandar di daerah Kuala Lipis. Sekolah ini tidak pernah ada seorang pun murid mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR apatah lagi lulus 100 peratus dalam BI. Namun tahun lalu seorang murid mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR dan lebih membanggakan pelajar sekolah ini lulus 100 peratus dalam subjek BI.Rating sekolah ini pun naik mendadak. Penduduk kampung buat kenduri kesyukuran.
Saya ingin bertanya kepada KPM bagaimanakah markah menilai prestasi guru? Saya tidak meminta markah 100 peratus tetapi biarlah berpadanan dengan penat lelah saya. Saya percaya ramai juga guru menghadapi masalah sama. Bukan tidak ikhlas tetapi hargailah dengan sewajarnya.
GURU YANG BINGUNG,
Kuala Lipis
Berita Harian Online: 5 Oktober 2011
Bukan salah guru sahaja
MEMANG dikesalkan apabila ada murid dinafikan hak mereka untuk mengambil peperiksaan. Tetapi tidak ramai yang menyalahkan ibu bapa, hanya guru sahaja yang dipersalahkan.
Di sekolah saya sendiri, saban tahun, akan ada beberapa orang murid yang bakal menduduki UPSR tidak hadir ke sekolah sepanjang tahun selepas nama mereka didaftarkan.
Waris mereka telah dihubungi sama ada melalui surat berdaftar atau pergi sendiri ke rumah, tetapi tiada tindakan diambil. Walau bagaimanapun mereka masih dibenarkan menduduki peperiksaan. Bayangkan apa yang akan mereka jawab nanti!
Pihak sekolah tidak ada masalah dan sentiasa memberikan perhatian kepada murid lemah yang hadir ke sekolah setiap hari.
Pihak sekolah tidak memotong nama murid yang ponteng dalam jangka masa yang lama kerana menyahut seruan kerajaan untuk memberi peluang kepada murid-murid tersebut. Walaupun terdapat pekeliling KPM yang menyatakan akan mengenakan denda RM5,000 kepada ibu bapa yang gagal menyekolahkan anak mereka, ia tidak pernah dilaksanakan.
PESARA GURU,
Utusan Malaysia Online: 5 Oktober 2011
Isnin, 26 September 2011
Guru agama selalu tersisih peluang kenaikan pangkat
2011/09/26
HASRAT Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk memberi perhatian mengenai kenaikan pangkat guru agama (Pendidikan Islam) seperti dilaporkan Berita Harian pada 21 September 2011 amatlah dialu-alukan.Selepas lebih 30 tahun guru agama berada sebaris dengan guru akademik yang lain di arus perdana pendidikan negara, sudah banyak manfaat diterima daripada kerajaan seperti gaji yang setaraf dengan guru-guru lain, perjawatan guru cemerlang dan berbagai lagi. Namun demikian, guru agama masih kurang bilangan mereka yang memegang jawatan pentadbiran kecuali di Bahagian Pendidikan Islam.
Pihak pentadbir baik pada peringkat Kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah atau pengetua sekolah seharusnya memberi peluang kepada guru Pendidikan Islam untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar dan bukan sekadar digunakan untuk majlis tertentu saja seperti membaca doa dan menjayakan hari kebesaran Islam.
GURU AGAMA KERAJAAN,
Serdang.
Berita Harian Online: 26 September 2011
Jumaat, 23 September 2011
Murid lemah perlukan perhatian bukan disisih
Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my
2011/09/23
KECUALI rakyat di Bumi Kenyalang, rata-rata rakyat di negara ini rasanya tidak pernah mendengar nama Pekan Bintangor yang terletak dalam Bahagian Sarikei di kawasan tengah Sarawak.Malah ramai tidak tahu pekan yang dibuka penempatannya pada 1896 itu sebelum ini dikenali sebagai Pekan Binatang, namun pada 1984, Kerajaan Sarawak mengarahkan namanya ditukar kepada Pekan Bintangor, bagi menangani sensitiviti nama tempat di Sarawak.
Di kalangan penduduk tempatan, Bintangor juga amat terkenal dengan buah limaunya yang manis selain nanas dan pelbagai buah-buahan lain, malah limau turut dijadikan maskot bagi Pekan Bintangor.
Namun, agak malang kerana nama Pekan Bintangor tiba-tiba menjadi popular susulan kes tiga murid di kurung guru, bagi menghalang mereka menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, baru-baru ini.
Apa yang pasti guru terbabit mahu menjaga prestasi sekolah itu secara keseluruhan hingga sanggup mengorbankan masa depan tiga anak muridnya yang mereka kategorikan sebagai lemah dalam pelajaran dengan mengurung mereka dalam bilik pemulihan dua hari berturut-turut.
Seperti ditekankan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, ada sekolah yang terlalu taksub untuk mencatat prestasi dengan keputusan semua A dalam peperiksaan awam, sehingga sanggup bertindak di luar batasan.
Ia tidak sepatutnya berlaku, kerana masyarakat juga akan mula mempersoalkan keikhlasan guru dalam mendidik anak bangsa. Kita tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga, sedang di luar sana lebih ramai guru ikhlas dan sanggup berkorban masa dan tenaga untuk melahirkan insan cemerlang.
Mungkin guru di sekolah itu perlu mengambil iktibar daripada pendekatan guru di SK Ulu Lubai di Limbang, utara Sarawak, yang diumumkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) kedua 2010, iaitu sekolah pedalaman paling cemerlang di negara ini.
Biarpun SK Ulu Lubai antara yang paling jauh dan terletak terpencil serta di luar bandar Sarawak, namun ia bukan halangan untuk guru-guru di sekolah itu memberi komitmen padu untuk memastikan semua anak muridnya cemerlang.
Guru besar sekolah itu, Jaul anak Bunyau, 48, bersama 11 guru sekolah itu menjadikan kelemahan murid sekolah itu sebagai cabaran untuk meningkatkan prestasi murid sehingga tahap kelulusan setakat 36.4 peratus yang dicatatkan pada 1999, berjaya ditingkatkan kepada 55.6 peratus pada 2001, 77.8 peratus pada 2002, 100 peratus pada 2003, 80 peratus pada 2004 dan 2005; 100 peratus pada 2006, 2007, 2008, 2009 dan 2010.
Bagi memastikan semua murid sekolah itu, termasuk yang lemah dalam pelajaran, dapat meningkatkan prestasi akademik, sistem tuisyen diadakan bukan saja di bilik darjah, malah di rumah panjang, dengan pengawasan di lakukan secara bersama oleh guru dan ibu bapa, di samping guru turut memberi tumpuan membantu murid yang lemah.
Mungkin pendekatan sama boleh digunakan untuk murid lemah di SK Bintangor termasuk tiga murid malang yang dikurung itu, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi. Mereka seharusnya dibantu, bukannya dikurung.
Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membenarkan tiga murid terbabit menduduki semula peperiksaan UPSR, kurang 24 jam selepas peristiwa itu didedahkan, dengan menggunakan kuasanya sebagai Menteri Pelajaran dan mengikut Akta Pendidikan, membawa kembali sinar kepada tiga murid malang itu.
Ketiga-tiga mereka akan menduduki semula UPSR pada 4 hingga 6 Oktober ini di sekolah sama dengan pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sendiri akan bertindak sebagai guru pengawas.
Berita Harian Online: 23 September 2011
Khamis, 22 September 2011
Minda Pengarang: Sekolah wajar dinilai jika berjaya bantu murid lemah
2011/09/22
ISU tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, dalam Bahagian Sarikei, Sarawak yang tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), walaupun masih belum selesai, sudah mendapat pembelaan Kementerian Pelajaran. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran kelmarin mengarahkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) membenarkan calon berkenaan menduduki UPSR dalam tempoh empat minggu lagi. Murid berkenaan yang dianggap lemah oleh guru masing-masing, minggu lalu tidak dapat mengambil UPSR kerana didakwa dikurung pentadbir sekolah terbabit.Pentadbir sekolah dikatakan bertindak demikian kerana tidak mahu prestasi keseluruhan sekolah itu terjejas berikutan mereka dijangka gagal dalam ujian berkenaan. Kita bersimpati dengan ketiga-tiga calon berkenaan dan memahami perasaan ibu bapa mereka. Ibu bapa mana yang tidak kecewa dan marah jika anak diperlakukan sedemikian. Peristiwa ini tidak sepatutnya berlaku dan pastinya masyarakat mempersoal keikhlasan guru serta sekolah berkenaan dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pendidik tulen. Sebagai guru, mereka sepatutnya lebih mengetahui mengenai pentingnya setiap pelajar diberi peluang dan hak membuktikan potensi masing-masing, lebih-lebih lagi dalam ujian penting seperti UPSR. Jika peluang ini disekat, ia menutup terus potensi yang kemungkinan dimiliki pelajar ini, sekali gus menggelapkan masa depan mereka.
Berita Harian Online: 22 September 2011
Isnin, 19 September 2011
Sekolah Berasrama Penuh perlu selaras hukuman pelajar
2011/09/19
SAYA berpendapat tindakan mengenakan hukuman ke atas pelajar di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) perlu diselaraskan kerana kini wujud ketidakseragaman dalam tindakan dikenakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan.Pelajar yang bersalah diarah keluar daripada asrama, dikenakan tindakan buang sekolah dan ada hanya digantung persekolahan.
Perbuatan disedari waris dari sekolah itu dan maklumat mengenainya juga sampai ke pengetahuan SBP. Namun selepas ibu bapa pelajar berkenaan menghubungi pihak SBP, mereka dimaklumkan pengawas terbabit digantung persekolahan seminggu.
Sementara tindakan terhadap pelajar yang dipukul terletak dalam bidang kuasa pengetua sekolah terbabit. Situasi itu bagaimanapun berbeza dengan sekolah lain di mana pelajar yang menjentik hidung dan melakukan kesalahan lain dibuang sekolah.
Pelajar yang mengalami trauma dan takut untuk bersekolah selepas kejadian dipukul, sukar pula mendapat kelulusan dipindahkan ke SBP lain atas alasan ia adalah peraturan yang ditetapkan.
Saya berharap pihak SBP dapat bertindak dengan adil dan sekiranya peraturan hendak dikuatkuasakan, ia hendaklah meliputi semua pihak termasuk guru, pengawas dan guru.
Tindakan ini difikir perlu kerana pelajar yang mengalami trauma itu terpaksa ditukarkan ke sekolah harian biasa walaupun tidak bersalah.
SAMSUDIN,
Alor Setar
Berita Harian Online: 19 September 2011
Selasa, 30 Ogos 2011
Guru ijazah sarjana, PhD terpinggir
2011/08/30
KEMENTERIAN perlu kaji semula skim gaji dan skim perkhidmatan warga pendidikan secara menyeluruh. Demikian tajuk utama Buletin Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) 2011. Tahniah saya ucapkan kepada staf kepemimpinan KPPK yang setiap detik memerah otak berjuang memartabatkan profesion perguruan di Malaysia.Walaupun begitu, meneliti helaian demi helaian buletin itu, tidak ada satu pun nasib guru yang memegang ijazah sarjana dan PhD diperkatakan.
Putera Muadzam Shah,
Alor Setar, Kedah
Berita Harian Online: 30 Ogos 2011
Sabtu, 27 Ogos 2011
Pentadbiran UPSI tunggang-langgang, sistem peperiksaan tak telus
2011/08/27
SAYA salah seorang dari ratusan guru yang mengikuti Program Pengsiswazahan Guru (PPG) ambilan Mac 2011 yang lalu dan ditempatkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sebelum ini saya amat berbangga sekali walaupun hanya mendengar nama universiti ini yang melahirkan ramai guru berwibawa. Tetapi persepsi ini semakin hari semakin pudar apabila saya sendiri dan mungkin ramai rakan guru yang lain kecewa dengan tenaga pengajar dan pengurusan pihak kampus.Pertama sekali saya mendaftar ke kampus ini sedikit terkejut kerana pelajar UPSI juga yang menguruskan segala pendaftaran PPG KPM 2011. Di dalam diri saya berkata mungkin itu hanya latihan untuk mengajar pelajar ini untuk menguruskan apabila bakal menjadi guru kelak. Amat mengejutkan apabila taklimat dan penerangan mengenai UPSI dan laman webnya juga diterangkan oleh pelajarnya.
Ternyata dakwaan ini benar kerana saya sendiri mengalaminya. Cukup kecewa apabila dapati rakan yang lain tidak pernah melayari perbincangan secara atas talian dan tidak menghantar tugasan mendapat markah lebih tinggi berbanding rakan guru yang lain.
Sekali lagi berita yang lebih mengejutkan yang diterima pihak UPSI boleh mengubah keputusan peperiksaan yang dikeluarkan? Saya amat berharap supaya Kementerian Pelajaran mengambil berat hal ini kerana UPSI sebuah institut perguruan tertua di Malaysia dan jangan dicemarkan namanya dengan orang bekerja sambil lewa.
BAKAL GRADUAN UPSI, Tanjung Malim
Berita Harian Online: 27 Ogos 2011
Isnin, 22 Ogos 2011
e-mel anda: Percayalah guru
MASYARAKAT digemparkan sekali lagi dengan masalah membabitkan pelajar sekolah. Kali ini, seramai 33 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) mendakwa mereka didera secara fizikal termasuk dibotakkan kepala ketika menyertai kem motivasi di Penjara Kluang pada 29 hingga 31 Julai lalu.
Malah, mengikut laporan akhbar, pelajar terbabit mendakwa bukan saja dibotakkan, tetapi juga dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan dipaksa menggunakan pakaian banduan sewaktu menghadiri kursus motivasi itu dan sepanjang tempoh berada di situ, malah mereka dilayan tidak ubah seperti banduan yang melakukan jenayah.
Ini adalah satu dakwaan yang cukup serius dan berat. Dalam hal ini kita percaya pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBBU dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru serta Kementerian Pelajaran sendiri sudah memulakan langkah sewajarnya menyiasat segala dakwaan berkenaan.
Isu ini perlu disiasat dan dirungkai dengan segera kerana ia membabitkan keselamatan pelajar dan integriti pihak sekolah.
Dalam pada itu, ada beberapa fakta yang didedahkan juga wajar diambil perhatian.
Antaranya ialah pelajar berkenaan sememangnya dikatakan mempunyai pelbagai masalah disiplin.
Mengikut laporan, sebahagian besar daripada pelajar itu dikatakan sering terbabit dalam pergaduhan, ada juga ditahan kerana merokok, ponteng kelas dan sekolah namun tidak dikenakan tindakan tegas oleh pengurusan sekolah.
Ini menyebabkan ada pelajar bermasalah disiplin merasakan diri mereka kebal dan tidak dikenakan tindakan oleh sekolah jika melakukan kesalahan.
Malah, lebih mengecewakan apabila dilaporkan ibu bapa menyerang pihak pengurusan sekolah jika diambil tindakan ke atas mereka kerana mendakwa anak mereka baik sedangkan hakikat sebaliknya.
Dalam hal ini, kita bukanlah hendak mengiyakan atau bersetuju dengan perbuatan penderaan berkenaan jika benar berlaku seperti dakwaan pelajar itu.
Memang kita tidak boleh berkompromi jika insiden itu benar-benar berlaku kerana ia agak melampau.
Namun, persoalannya kenapa ibu bapa yang terbabit terlalu manjakan anak-anak mereka sehingga tidak mahu percayakan pihak sekolah?
Bagaimana pihak guru hendak menjalankan tugas hakiki mereka iaitu mendidik dan membentuk anak-anak jika kita sendiri tidak percaya kepada sekolah dan guru?
Biarkanlah para guru dan pihak sekolah menjalankan kerja mereka sebaik yang mungkin.
Bukankah ibu bapa yang malu jika anak mereka digantung atau dibuang dari sekolah ataupun ditahan pihak polis?
Untuk itu, ibu bapa perlu bersikap lebih terbuka dan percayakan para guru dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Janganlah terlalu manjakan anak-anak kita demi kebaikan masa depan mereka sendiri.
Ingat, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor
myMetro: 22 Ogos 2011
Rabu, 17 Ogos 2011
Tak sandang GPK jadi guru besar
2011/08/17
SAYA Guru Penolong Kanan (GPK) sekolah rendah. Mula dilantik pada 2002 dengan Gred DGA32 Hakiki. Tahun 2003/4 mengikuti kursus Pengurusan (NPQH) selama setahun di IAB. Tahun 2005 hingga 2008 mengikuti Ijazah Pengurusan Pendidikan di UPSI. Sehingga sekarang 2011 masih GPK di sekolah rendah.Manakala seorang guru DGA29, 2/3 tahun menjawat DGA32(KUP), tidak pernah memegang jawatan GPK kini dilantik Guru Besar DGA34. Persoalannya apakah ini KPI yang betul memperkasakan pengurusan sekolah? Adakah saya akan terus menjadi GPK sampai pencen?
Berita Harian Online: 17 Ogos 2011
Selasa, 16 Ogos 2011
Sistem peperiksaan mesti fokus kemenjadian murid
PENGETAHUAN diperoleh daripada ibu bapa, guru dan pakar serta daripada buku dan media biasanya boleh diterima sebagai betul. Sumber pengetahuan seperti ini dikenali sebagai autoriti dan ia mempunyai kebaikan terutama dari segi mudah dan cepat mendapatkan pengetahuan.
Bagaimanapun, terdapat batasan tertentu sebab kepakaran seseorang itu mungkin lebih rendah daripada apa yang dijangkakan. Mereka mungkin memberi maklumat atau pengetahuan yang salah sebab terdapat juga pakar yang mempunyai tujuan tertentu yang tidak profesional dengan sengaja memberi maklumat yang salah untuk mengembangkan idea yang bias.
Kepakaran seorang guru sekolah tidak sama dengan pengetahuan seorang peguam, jurutera atau pegawai perubatan. Guru mempunyai pertimbangan sosial yang lebih konkrit untuk menyampaikan ilmu pengetahuan. Indikator penerimaan ilmu dapat diukur melalui perubahan tingkah laku, atau lebih dikenali sebagai kemenjadian murid dan proses ini berterusan hingga ke akhir persekolahan.
Kerjaya guru kini tersepit di antara menyampaikan ilmu dan mencari kecemerlangan prestasi. Guru terarah untuk memilih akibat perubahan sistem penilaian terhadap kecemerlangan dan kepakaran serta kemenjadian individu yang diajar. Ini bersangkut paut dengan proses kecemerlangan guru dan kenaikan pangkat.
Umum tahu bahawa prestasi sekolah diukur melalui pencapaian akademik murid dalam peperiksaan awam yang menuntut guru memberi lebih penekanan terhadap persediaan murid untuk menghadapi peperiksaan. Dengan itu, proses penyampaian ilmu sedikit terabai disebabkan guru lebih terarah untuk mengajar kaedah menjawab soalan, latih tubi, membincangkan soalan dan meramal topik untuk peperiksaan.
Kita berharap sistem peperiksaan di sekolah lebih fokus kepada perkara-perkara kemenjadian murid yang diajar oleh guru. Ini merangkumi tiga aspek penting yang menjadi domain utama pembelajaran iaitu, ilmu pengetahuan, kemahiran sosial dan mengamalkan nilai murni dalam kehidupan. Matlamat akhir kelak adalah membentuk masyarakat Malaysia yang lebih toleran, menghormati orang lain dan berilmu pengetahuan.
MOHD ASRAN AMISAH,
Kajang, Selangor.
Berita Harian Online: 16 Ogos 2011
Rabu, 10 Ogos 2011
Malang nasib graduan UPSI
Tajung Malim, Perak
Saya adalah bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim. Perak. Pada 26 hingga 30 Julai 2011, UPSI telah mengadakan Istiadat Konvokesyen ke-13 dan saya adalah salah seorang pelajar yang menerima ijazah pada hari itu.
Malangnya, kegembiraan saya dan kebanyakan rakan lain pada hari itu tidak seberapa kerana UPSI tidak telus dengan kami, ibu bapa kami dan juga masyarakat luar. Sepanjang istiadat berlangsung, kesemua ucapan yang diberikan oleh pihak pengurusan UPSI membayangkan seolah-olah kesemua kami akan keluar dan menjadi guru seperti kebiasaannya.
Hakikatnya, hanya pelajar-pelajar di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sahaja yang akan ditawarkan jawatan guru. Kami yang selebihnya dikategorikan sebagai graduan UPSI Pasaran Terbuka. Dengan lain perkataan, kami tidak akan ditawarkan secara terus menjadi guru tetapi perlu mencari pekerjaan lain di luar sana selain guru.
Rata-rata kami belajar dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasioanl (PTPTN) dan bukannya tajaan KPM. Setelah bertahun-tahun belajar dan ribuan wang dihabiskan untuk belajar di UPSI sebagai bakal guru, kami disuruh mencari pekerjaan lain.
Tambah buruk lagi UPSI sendiri ingin lepas tangan dan menyembunyikan hal ini daripada ibu bapa yang hadir pada istiadat konvokesyen yang lalu. Perbuatan sebegini, sungguh tidak bertanggungjawab. Ternyata UPSI seperti bermain wayang dan membuat kami serta masyarakat percaya bahawa setiap pelajar mereka adalah bakal guru.
Perasmian Muzium Pendidikan Nasional di dalam kampus UPSI baru-baru ini juga adalah helah UPSI untuk membuat masyarakat terus percaya bahawa UPSI masih merupakan tempat latihan bakal guru sedangkan sebenarnya pelajarnya disuruh mencari pekerjaan lain di pasaran terbuka.
Jika dilihat dari sudut utama pameran ketika pelancaran, ia tidak langsung berfokus kepada tokoh-tokoh guru dan pendidik nasional. Perasmian Muzium Pendidikan Nasional UPSI sekadar gimik supaya orang awam menyangka bahawa UPSI masih lagi melatih bakal guru.
Kenyataannya, UPSI gagal membuat sebarang perjanjian muktamad dengan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi menjamin tempat kesemua graduannya sebagai bakal guru. Wajarkah kami yang belajar dengan sukatan pelajaran menjadi seorang bakal guru di UPSI disuruh mencari kerja lain sedangkan wang kami telah habis dibelanjakan untuk UPSI? Masanya sudah tiba untuk masyarakat perlu sedar bahawa UPSI tidak lagi seperti dahulu.
Setidak-tidaknya, kami mengharapkan ada sedikit rasa tanggung-jawab di pihak UPSI khususnya Naib Canselor UPSI, menjelaskan hal ini kepada ibu-bapa kami ketika berucap dalam istiadat konvokesyen yang lalu.
Kecewa rasanya bila beliau juga berucap seolah-olah kami sudah dijamin untuk mendapat jawatan guru. Tidakkah ibu-bapa kami perlu tahu akan hal ini setelah mereka juga membelanjakan banyak wang kepada UPSI? Kebanyakan mereka adalah orang kampung yang masih percaya bahawa bila anak mereka masuk UPSI, pasti akan jadi guru.
Kesal rasanya menjadi graduan UPSI. Lebih baik jika kami belajar di universiti lain yang sememangnya khusus untuk pasaran terbuka dengan peluang mendapat pekerjaan bukan guru yang lebih cerah.
Jika masih berminat untuk jadi guru, graduan universiti lain masih boleh memohon Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) tajaan KPM dengan masa depan lebih terjamin. Takkan UPSI mahu kami graduan UPSI mengikuti kursus DPLI juga semata-mata untuk dapat jawatan guru? Apa faedahnya kami belajar di UPSI jika itu yang perlu kami lakukan nanti?
Apapun, kami sudah tamat belajar di UPSI tanpa sebarang jaminan untuk jadi guru. Nasi sudah jadi bubur. Kami sudah tidak dapat menebus kembali wang dan masa pengajian kami yang telah hilang. Untuk mencari kerja lain dengan hanya kemahiran menjadi guru yang kami ada, bukan satu perkara mudah.
Kepada semua pelajar UPSI amnya dah Majlis Perwakilan Pelajar UPSI khususnya, harap bangun daripada mimpi anda.
Kepada bakal lepasan sekolah yang berminat untuk jadi guru, ingatlah bahawa UPSI tidak lagi menjanjikan sebarang jawatan guru untuk graduannya seperti dulu. Anda adalah bakal graduan untuk pasaran terbuka. Jangan keliru UPSI dengan Institut Pendidikan Guru (IPG).
Untuk UPSI pula, gugurkan saja perkataan "Pendidikan" pada namanya supaya masyarakat sedia maklum bahawa graduan UPSI adalah graduan pasaran terbuka seperti lain-lain universiti. Itu lebih bagus daripada terus mengelirukan masyarakat.Utusan Malaysia Online: 10 Ogos 2011
Isnin, 8 Ogos 2011
e-mel anda: Kuasa guru disiplin pelajar
BEZA ‘budak sekolah’ dulu dengan ‘budak sekolah’ sekarang begitu ketara di mana pelajar zaman dulu, apabila dirotan hingga lebam di tapak tangan atau di punggung kerana tidak membuat kerja sekolah yang guru berikan adalah perkara biasa.
Mereka tidak akan mengadu kepada sesiapa pun lebih-lebih lagi kepada ibu bapa kerana jika mereka tahu, akan bertambah lebam kena rotan.
Pelajar sekarang terlalu manja. Jika dijentik sedikit atau dicubit oleh guru yang ada bekas lebam saja, mulalah ibu bapa datang ke sekolah mengadu kepada guru besar.
Tidak cukup dengan itu, mereka akan buat laporan polis dan memanggil pemberita untuk kejadian disiarkan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Jika inilah sikap kebanyakan ibu bapa yang kerjanya suka mengadu hingga ke peringkat Kementerian Pelajaran hanya kerana denda cubit atau ketuk ketampi, bererti kuasa guru untuk mendidik dan mendisiplinkan pelajarnya menjadi terhad.
Tindakan ibu bapa murid manja ini akan mematahkan semangat guru untuk mengajar adat dan adab ketika belajar dan berikutan itu, ada antara guru kini membiarkan saja murid nakal dan tidak berdisiplin itu.
Maka lahirlah murid tidak lagi menghormati guru kerana kini di belakang pelajar ada ibu bapa yang sanggup ‘menyerang’ sesiapa saja yang cuba ‘mencubit’ anak mereka.
Ibu bapa perlu lebih rasional kerana tiada guru yang merotan hingga patah tangan atau patah riuk tulang muridnya kerana segala yang dilakukan itu hanya sebagai pengajaran yang menunjukkan keprihatinan guru yang sayangkan muridnya supaya jadi manusia berguna.
SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Seremban
myMetro: 8 Ogos 2011