Sabtu, 30 April 2011

Tugas Guru Cemerlang di sekolah amat dihargai

2011/04/30

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca ‘Guru Cemerlang, Putrajaya, dalam ruangan ini bertarikh 15 April 2011 – Prestasi Guru Cemerlang dipertikai, tenaga diperah.

Tujuan utama kerajaan meluluskan kaedah kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) yang dikenali dengan Guru Cemerlang adalah untuk mengiktiraf khidmat guru yang cemerlang di bilik darjah dan mewujudkan peluang kenaikan pangkat secara laluan pantas (fast track) kepada mereka tanpa perlu ditukarkan ke jawatan pentadbiran secara hakiki.

Guru yang dilantik sebagai Guru Cemerlang adalah guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran, khususnya dari aspek perancangan, pengurusan dan pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah.

Sebagai role model kepada guru lain, sewajarnya Guru Cemerlang menguasai kandungan mata pelajaran kepakarannya, bijak mengurus masa, mampu mengenal pasti masalah pembelajaran murid dan berupaya merangka program pendidikan yang boleh membangunkan potensi murid.

Selaras dengan pengiktirafan dan insentif yang diberikan, Guru Cemerlang yang dilantik berupaya menyumbang tenaga dan kepakaran sebagai pakar rujuk dalam bidang atau mata pelajaran masing-masing pada peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Guru Cemerlang berupaya menjadi sumber inspirasi dan pakar rujuk kepada guru lain untuk mempertingkatkan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran pada masa depan.

Walaupun tiada halangan bagi Guru Cemerlang untuk memberi sumbangan profesionalisme dalam bentuk perkongsian kepakaran dan pengalaman dengan warga pendidik yang lain, keutamaan tugas Guru Cemerlang hendaklah diberikan kepada program pembangunan dan peningkatan prestasi murid di sekolah masing-masing kerana ia lebih bermakna.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia

Berita Harian Online: 30 April 2011

Jumaat, 29 April 2011

Sepasang guru ditahan khalwat

Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2011/04/29

Wanita bergelar isteri dicekup bersama kekasih

JITRA: Sepasang kekasih masing-masing guru di sekolah rendah berhampiran dicekup anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) atas kesalahan berkhalwat di sebuah rumah sewa di Kampung Telok Malek di sini, malam kelmarin.
Pasangan guru berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 10.45 malam berdasarkan maklumat awam.
Ketika serbuan, wanita itu hanya berseluar pendek dengan kemeja-T dan menyorok di belakang cermin yang menghubungkannya dengan sebuah bilik rahsia bagi mengelak dikesan, manakala pasangannya hanya berkain pelekat.

Difahamkan pasangan itu sudah menjalin hubungan terlarang sejak tiga tahun lalu walaupun wanita berkenaan masih bergelar isteri orang dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 13 tahun.

Difahamkan, pasangan terbabit pernah mengajar di sekolah sama di Jitra, tetapi masing-masing ditukarkan ke sekolah lain selepas suami wanita itu mendapat tahu mengenai hubungan mereka.

Jurucakap PADKP berkata, pasangan itu dicekup di rumah yang dipercayai disewa lelaki berkenaan dan mereka dikatakan tinggal bersama sejak beberapa bulan lalu.
“Mengikut maklumat, wanita itu dikatakan merajuk selepas berselisih faham dengan suaminya sebelum meninggalkan rumah dan menyewa rumah di Taman Siswa di sini sejak tiga tahun lalu sebelum mula tinggal bersama kekasihnya beberapa bulan lalu.

“Sepanjang tiga tahun berasingan anak mereka dijaga oleh suami, manakala wanita itu tinggal berseorangan. Sejak beberapa bulan lalu, wanita terbabit mula tinggal serumah bersama kekasihnya hingga menimbulkan syak di kalangan masyarakat setempat,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, guru lelaki itu juga sudah berkahwin dua kali sebelum ini dan mempunyai tiga anak sebelum berpisah.

“Ketika pemeriksaan dibuat, pintu depan rumah berkunci dari dalam dan apabila diketuk berkali-kali seorang lelaki membuka pintu dan memberitahu dia menyewa seorang diri.

“Pemeriksaan lanjut kami menemui guru wanita itu berseluar pendek menyorok di belakang cermin yang dijadikan pintu ke bilik rahsia mereka,” katanya.

Berita Harian Online: 29 April 2011

Khamis, 28 April 2011

Ubah cara bekerja - Muhyiddin



Muhyiddin Yassin bermesra dengan sebahagian pesara Kementerian Pelajaran pada Majlis Jasamu Dikenang di Putrajaya, malam tadi.


PUTRAJAYA 27 April - Cara kerja lama warga Kementerian Pelajaran perlu diubah kepada yang lebih produktif dan berkualiti untuk menjayakan dasar baru seperti Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) serta 1Murid 1Sukan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan dasar dan inisiatif itu memerlukan warga berkenaan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, bersikap terbuka serta mengutamakan inovasi dan kreativiti.

Di samping itu, kata beliau, warga kementerian tersebut perlu sentiasa berfikir dan berusaha untuk melakukan penambahbaikan terhadap kerja yang dilakukan.

''Inilah cabaran besar untuk kita memastikan setiap sasaran dan matlamat yang ditetapkan dapat dicapai dengan sempurna dan memuaskan hati pelanggan kita.

''Namun saya yakin dengan kesungguhan dan komitmen tinggi seperti ditunjukkan oleh bekas pegawai-pegawai kanan kementerian yang diraikan pada malam ini, kita pasti akan dapat menggalas amanah besar ini dan memastikan setiap dasar dan program dilaksanakan baik," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada majlis persaraan ketua-ketua bahagian dan jabatan Kementerian Pelajaran di sini malam ini.

Antara pegawai kementerian yang diraikan ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Fatimah Md. Deni dan Datuk Badaruddin Abdul Rahaman serta bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Tambah Muhyiddin, beliau berharap bekas-bekas pegawai Kementerian Pelajaran akan terus memberi sumbangan idea dan tenaga dalam bidang pendidikan.

''Banyak pengalaman yang boleh dicurahkan dan dikongsi bersama dengan generasi baru, sama ada di kementerian atau di sekolah.

''Perkongsian pengalaman ini sudah tentunya berguna untuk kita mengorak langkah ke depan secara teratur dengan berpandukan pengalaman lalu," katanya.

Utusan Malaysia Online: 28 April 2011

Tuntutan tambang teksi 1 tempat duduk tak relevan

Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my
2011/04/28

NUTP minta guru diberi elaun perbatuan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat tuntutan tambang teksi satu tempat duduk bagi guru keluar berkursus sudah tidak relevan dan perlu digantikan dengan elaun perbatuan seperti dinikmati kakitangan awam lain.

Berikutan itu, Kementerian Pelajaran dituntut supaya menilai semula sistem berkenaan yang diguna pakai sejak sekian lama supaya ia diperbaharui selaras dengan kehendak kerajaan supaya tidak membebankan kira-kira 430,000 guru di negara ini.
Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata sekiranya kerajaan dapat menimbangkan perkara ini, ia mampu menjadi hadiah istimewa kepada guru terutama menjelang sambutan Hari Guru 16 Mei nanti.

“Kita tahu jumlah guru di negara ini ramai, tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak membenarkan guru membuat tuntutan perbatuan sedangkan kakitangan awam lain dibenarkan berbuat demikian.

“Jumlah guru yang keluar kursus juga tidak ramai dalam satu masa.

“Kementerian hanya membenarkan guru membuat tuntutan dengan nilai satu tempat duduk, sedangkan mereka perlu membayar tambang untuk sebuah teksi.
“Bagaimanapun, guru biasanya menggunakan kenderaan mereka sendiri dan kos petrol juga semakin meningkat.

“Jadi, adalah wajar tuntutan perbatuan dipertimbangkan kepada guru,” katanya di sini, semalam.

Hashim berkata, sistem tambang teksi satu tempat duduk sudah dilaksanakan sejak lebih 50 tahun lalu dan ia perlu kepada pembaharuan selaras dengan transformasi negara.

Katanya, kakitangan awam di negara ini boleh membuat tuntutan perbatuan sebanyak 70 sen bagi setiap kilometer tetapi ia tidak membabitkan guru.

“Sepatutnya guru juga mendapat tuntutan perbatuan seperti dinikmati kakitangan awam lain dan buat masa ini, hanya pengetua dan guru besar saja dibenar membuat tuntutan perbatuan jika keluar kursus,” katanya.

Sementara itu, mengulas kajian beban tugas guru yang dilaksanakan jawatankuasa khas bagi menangani masalah itu, Hashim berkata, ia belum selesai dan bebanan tugas guru kini semakin bertambah.

Katanya, NUTP menerima banyak aduan berhubung peningkatan beban tugas guru terutama dengan pelbagai program baru diperkenalkan kementerian selain turut menerima lebih 50 aduan berhubung guru bekerja pada setiap Sabtu.

Berita Harian Online: 28 April 2011

Rabu, 27 April 2011

Guru Didenda RM2,000 Atau Empat Bulan Penjara Kerana Tumbuk Guru Besar

ALOR SETAR, 27 April (Bernama) -- Seorang guru dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda, selepas didapati bersalah mencederakan Guru Besar sekolah tempat beliau mengajar lebih empat tahun lalu.

Majistret Nor Azah Idris menjatuhi hukuman itu ke atas Norazman Abdul Wahab, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Norazman, 41, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan terhadap tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menumbuk muka dan menyepak paha Halim Saad, 52, di pejabat Sekolah Kebangsaan Gerigis, Jalan Langgar, Alor Setar pada 20 Disember 2006 kira-kira pukul 8.35 pagi.

Dalam rayuannya Norazman meminta mahkamah meringankan hukuman kerana menurutnya dia digantung kerja sejak Mac 2008, manakala dua anaknya akan memasuki universiti dan dua lagi belajar di sekolah menengah.

Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd Nor meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh yang merupakan pendidik supaya menjadi contoh kepada penjawat awam lain.

Peguambela Norazaman, G Ravishankar tidak hadir dan beliau diwakili peguam Pyara Singh a/l Dara Singh.

Norazman kemudian membayar denda itu.


BERNAMA: 27 April 2011

Ibu bapa berdemonstrasi depan sekolah

SHAH ALAM 26 April - Seramai 30 ibu bapa yang kecewa dengan kegagalan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini menangani kes pergaduhan pelajar di sekolah itu baru-baru ini, mengadakan perhimpunan aman semalam.

Perhimpunan selama 20 minit itu diadakan di luar pagar utama sekolah berkenaan bermula pukul 12.45 tengah hari.

Seorang ibu kepada pelajar terbabit, Kia Ooi Meng, 50, berkata, dia tidak berpuas hati dengan sikap 'lepas tangan' pentadbiran sekolah dalam menyelesaikan kes pukul melibatkan anaknya yang juga seorang pengawas.

Katanya, dalam kejadian 13 April lalu, anaknya yang merupakan pelajar tingkatan tiga cedera akibat dibelasah oleh sekumpulan lapan pelajar tingkatan empat.

"Saya risau keselamatan anak saya kerana lapan pelajar terlibat masih ada di sekolah," katanya ketika ditemui di sini.

Dia mendakwa, sikap lepas tangan itu telah menyebabkan satu pergaduhan yang lebih besar berlaku melibatkan dua kumpulan pelajar pada 20 April lalu sehinggakan 23 pelajar diambil keterangan.

Sementara itu, Stephen Perumal Velu pula berkata, dalam insiden pergaduhan pada 20 April lalu, anaknya merupakan salah seorang daripada 23 pelajar yang dibawa ke balai polis untuk diambil kenyataan.

Dia mendakwa, semasa kesemua pelajar termasuk anaknya dibawa ke balai polis, pihak sekolah langsung tidak memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mahmud Karim berkata, insiden pergaduhan di SMK Taman Sri Muda sedang dalam perhatian pihaknya.

Sementara itu, polis membuka dua kertas siasatan berhubung kes pergaduhan melibatkan dua kumpulan pelajar di sekolah itu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, laporan pertama pada 13 April lalu melibatkan seorang pelajar tingkatan tiga yang didakwa cedera dipukul di dalam kelas disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera dengan sengaja.

Beliau berkata, kes kedua melibatkan pergaduhan dua kumpulan pelajar tingkatan empat dan lima yang dilaporkan pada 20 April lalu pula disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rusuhan.

Utusan Malaysia Online: 27 April 2011

Catat firasat buruk di Facebook

Oleh Yahya Awang
bhnews@bharian.com.my
2011/04/27


Guru hilang ketika daki bukit ditemui mati tertiarap dalam lopak berair

TAIPING: Hancur luluh hati isteri guru Sekolah Menengah King Edward VII, Abdullah Zubair Ismail, 27, sebaik melihat jip polis membawa mayat suaminya yang dibaluti plastik hitam tiba di kaki Bukit Larut, di sini, semalam.

Sebaik mengetahui kematian suaminya itu, Norziah Zulkifli, 26, yang mengandung empat bulan meraung sambil memeluk kedua-dua mentuanya, Ismail Yusuh, 57, dan Zaitun Ismail, 50.
Norziah yang juga penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim dan kini menjalani latihan praktikal mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Burung, Tanjung Karang, Selangor, tidak dimaklumkan lebih awal kematian suaminya kerana keluarga bimbang dirinya tertekan, lebih-lebih lagi sedang mengandung anak sulung.

Abdullah Zubair dilaporkan hilang selepas mendaki bukit itu kelmarin, ditemui mati oleh pasukan mencari dan menyelamat di kawasan cerun bersebelahan Air Terjun Bukit Larut, lima kilometer dari kaki bukit itu pada jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata mayat mangsa berpakaian baju sukan dan berseluar trek manakala kasut kaki kanannya tertanggal, ditemui dalam keadaan tertiarap di kawasan lopak berair.

“Ketika ditemui, ada kesan darah di kepala dan luka di kening kanan mangsa. Kesan tergelincir sepanjang tiga meter turut ditemui di lokasi berkenaan, dipercayai akibat terjatuh,” katanya.
Sementara itu, Norziah yang ditemui berkata, dia melarang suaminya mendaki bukit berkenaan ketika arwah menghubunginya malam Sabtu lalu dan arwah sekali lagi menghubunginya jam 8.30 pagi keesokannya tetapi sekadar memaklumkan mahu keluar minum.

“Ketika menghubungi saya, arwah gembira kerana mendapat geran kereta yang baru dibelinya,” katanya sambil memaklumkan jenazah suaminya akan dikebumikan di Jitra, Kedah.

Seorang guru sekolah sama, Mohd Noor Hisham Baharom berkata, arwah yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah Tingkatan Enam Atas adalah seorang guru berdedikasi.

“Arwah mempunyai facebook menggunakan nama Ali Bana. Sebelum keluar rumah pada pagi Ahad, beliau sempat menulis di dalam facebooknya beliau mempunyai firasat akan berlaku perkara buruk pada hari itu,” katanya.

Guru warden sekolah berkenaan yang juga rakan baik mangsa, Ahmad Din Ahmad Zuki berkata, Abdullah Zubair gemar mendaki bukit dan melakukan kegiatan lasak sudah tiga atau empat kali mendaki bukit itu dan lazimnya tidak melalui jalan tar, sebaliknya trek hutan sesuai dengan minatnya.

Berita Harian Online: 27 April 2011

Selasa, 26 April 2011

Kesatuan guru syor kekalkan BISP

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
2011/04/26

SELEPAS dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) digantikan kepada Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI), guru yang menerima Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) resah dengan dakwaan elaun berkenaan mungkin dimansuhkan tahun depan.

Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata walaupun pihaknya menyambut baik transformasi pendidikan itu, namun mengharapkan jika ada cadangan menarik balik elaun berkenaan, pelaksanaannya perlu dilakukan beransur-ansur.

Beliau berkata, KGMMB meminta supaya guru yang tidak mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris saja ditarik BISP, manakala yang masih mengajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris dikekalkan sehingga pelaksanaan MBMMBI 2016.
“Penggantian PPSMI kepada MBMMBI dilakukan secara beransur-ansur melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bermula tahun ini. Jadi, dicadangkan pemotongan dan penarikan balik bayaran BISP juga perlu dibuat dengan kaedah sama,” katanya.

Memandangkan perubahan mengikut keperluan semasa, wajar bagi kementerian membuat penelitian kerana proses pengajaran kini semakin kompleks dan pembayaran BISP dilihat sebagai imbuhan wajar.

Sementara itu, Mohamed Sabri berkata, bagi memantapkan proses pengajaran sedia ada, kesatuan mencadangkan guru opsyen bahasa Inggeris mengajar sekurang-kurangnya 20 hingga 25 waktu seminggu, kecuali sekolah yang mempunyai lebihan guru opsyen dan sekolah kurang murid.

Pelaksanaan itu kata beliau, bertujuan mengekalkan kepakaran dan kecemerlangan dalam bidang dikuasai mereka.
Secara dasarnya KGMMB katanya, bersetuju dengan transformasi pendidikan itu kerana kajian `Global Trends in Mathematics and Science Studies’ majalah Times mendapati kedudukan Malaysia dalam pencapaian bagi mata pelajaran peringkat 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira merosot.

“Hasil kajian mendapati pencapaian negara menurun pada kedudukan 20 pada 2007 berbanding 10 pada 2003, sedangkan tiga pencapaian tiga peperiksaan umum mencatatkan peningkatan A,” katanya.

Mohamed Sabri berkata, penstrukturan bayaran BISP itu juga baik untuk mengurangkan rasa tidak puas hati guru yang tidak menerima imbuhan berkenaan walaupun mereka mengajar subjek penting seperti bahasa Malaysia di sekolah aliran Cina dan Tamil serta bahasa Arab di Sekolah Kebangsaan.

Bagi memantapkan KSSR pula, beliau berkata, kesatuan mencadangkan jika BISP yang ditarik balik, peruntukan sedia ada perlu digunakan untuk memperkasakan bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan mewujudkan makmal bahasa melalui pengubahsuai makmal komputer sedia ada.

Berita Harian Online: 26 April 2011

Rabu, 20 April 2011

Kecewa dua kali mohon jadi pensyarah ditolak

2011/04/20

SAYA guru berkelulusan Sarjana dan sudah lebih enam tahun berkhidmat di Sarawak. Baru-baru ini saya membuat permohonan untuk menjadi pensyarah, tetapi dukacita kerana permohonan itu dua kali ditolak.

Permohonan pertama dihantar kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Samarahan, Kuching. Saya ditemu duga dua kali dan disenaraikan sebagai calon simpanan.

Selepas tamat tempoh menunggu dua bulan seperti dinyatakan dalam surat mereka, saya tidak dihubungi pihak pentadbiran UiTM. Kemudian saya mendapat tahu saya tidak mendapat jawatan sebagai pensyarah atas alasan ia diisi calon dari UiTM Shah Alam.
Persoalan yang timbul kenapa UiTM Shah Alam mengadakan temu duga di sana dan menghantar calonnya ke UiTM kampus Samarahan Kuching sedangkan saya adalah calon sedia ada dan lulus temu duga di sini?

Permohonan kedua ialah di Institut Perguruan kampus Batu Lintang, Kuching yang juga turut gagal atas alasan kekurangan guru.

Jadi, apakah sebenarnya tujuan Kementerian Pelajaran menggalakkan guru menaikkan tahap pendidikan mereka ke peringkat ijazah Sarjana Muda dan Sarjana serta Ijazah Kedoktoran (PhD) sedangkan peluang permohonan jawatan pensyarah tidak dilayan?

Lebih mengecewakan ialah apabila permohonan itu ditolak pada peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) saja. Kenapa permohonan saya itu tidak dihantar dan dirujuk terus kepada Kementerian Pelajaran atau Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya?
Kenapa JPN negeri tidak menyokong dan meluluskan permohonan saya sedangkan permohonan guru berijazah Sarjana di Semenanjung diluluskan?

Sebagai pegawai kerajaan berkhidmat di Sarawak, saya berharap kedua-dua kementerian berkenaan akan mengkaji dan mengambil tindakan sewajarnya agar kami tidak tertindas.

MUHADHIR,
Kuching, Sarawak

Berita Harian Online: 20 April 2011

Selasa, 19 April 2011

Guru dituduh edar 371 gram ganja

2011/04/19

Abdul Karim Mohammad
Abdul Karim Mohammad
KUALA TERENGGANU: Guru bahasa Inggeris di sekolah agama di Ladang, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan mengedar dadah di rumahnya di Jalan Hiliran, awal April lalu.

Abdul Karim Mohammad, 40, dituduh mengedar dadah jenis ganja seberat 371 gram di rumahnya di Jalan Hiliran pada 6 April lalu kira-kira jam 1 pagi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Pendakwaan di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah, Mohd Rusli Ahmad dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud dan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh berpakaian lokap warna oren sempat bersalam dan mencium isterinya yang duduk di barisan depan di galeri awam ketika dibawa keluar daripada kandang tertuduh, sambil isterinya memberikan kata semangat kepadanya.

Mohd Rusli menetapkan 31 Mei untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Akhbar awal bulan ini melaporkan, guru sekolah agama di Ladang ditahan selepas polis menemui ketulan mampat ganja seberat 371 gram ketika serbuan di rumahnya di Jalan Hiliran.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata siasatan awal polis mendapati suspek adalah penagih dan ujian air kencing mendapati bapa tiga anak itu positif ganja dan polis tidak menolak kemungkinan suspek menjadikan pelajar sekolah sebagai sasarannya untuk menjual dadah berkenaan.

Berita Harian Online: 19 April 2011

Ahad, 17 April 2011

Cikgu Maarof ditukar

Oleh HAMDAN TAWADI
utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 16 April - Maarof Abd. Mutalib (gambar), suami kepada calon Pas dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, 30 Januari lalu diarahkan bertukar ke sekolah lain selepas didapati menyalahgunakan cuti sakit untuk berkempen bagi pihak isterinya.

Maarof yang dilihat membantu isterinya, Normala Sudirman berkempen pada pilihan raya kecil itu dengan mengambil cuti sakit selama 21 hari, diarahkan bertukar berkuat kuasa 1 April lalu ke sebuah sekolah menengah di daerah lain di negeri ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Maarof turut melakukan satu lagi kesalahan serius iaitu mengingkari peraturan yang tidak membenarkan seorang guru terlibat dalam kempen pilihan raya.

"Sebagai seorang guru beliau tidak sepatutnya terlibat dalam kempen pilihan raya. Jadi dua kesalahan besar.

"Apa yang saya difahamkan, kita sudah ambil tindakan dengan menukarkan beliau ke tempat lain, keterangan lanjut kena tanya Pengarah Pelajaran Negeri," katanya selepas Majlis Juara Rakyat di Taman Sri Penggaram, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri, Markom Giran ketika dihubungi mengesahkan arahan pertukaran Maarof itu.

Pada pilihan raya kecil itu, Normala tewas kepada calon Barisan Nasional, Mohd. Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi.

Utusan Malaysia Online: 17 April 2011

Tak langgar etika perguruan

Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ
rnorain@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Selagi tidak melanggar etika perguruan dan mengabaikan pekerjaannya, dia boleh melakukan apa saja kerana itu haknya.

“Bagi saya, tindakannya tidak salah kerana dia tidak mengganggu individu lain, sebaliknya hanya mencari hiburan sendiri,” kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan ketika diminta mengulas penghasilan klip video miming Cikgu Syida.


Menurutnya, dia tidak melihat apa dilakukan guru itu boleh merosakkan profesyen guru, sebaliknya ia adalah perkembangan sihat.

Katanya, jika dilihat daripada sudut positif, ia menunjukkan daya kreativiti guru berkenaan kerana mampu melakonkan pelbagai aksi di depan kamera mengikut kesesuaian lagu.


“Meraih populariti sejuta pengunjung adalah luar biasa bagi individu biasa dan secara tidak langsung membuktikan guru zaman kini serba boleh.


“Walaupun buat masa kini dia lebih terarah menghasilkan klip video berbentuk hiburan, mungkin satu hari nanti dia mampu merakam video yang mempunyai unsur ‘edutainment’,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Katanya, melihat populariti diterimanya, dia percaya guru berkenaan ada peminat sendiri dan ia mungkin boleh dijadikan ruang untuk menerapkan elemen positif melalui penghasilan klip videonya.

Hashim berkata, laman Youtube mampu dilayari sesiapa saja dari seluruh dunia dan ini bererti video itu boleh ditonton pelbagai golongan, sekali gus menaikkan institusi perguruan.

“Walaupun ada pihak berpendapat tindakan itu (penghasilan klip video) memburukkan nama guru, NUTP tidak melihat ia sebagai sesuatu yang salah dan tidak ada rasionalnya mengenakan tindakan terhadap Cikgu Syida.

“Sebaliknya, ia lebih kepada kebebasan individu untuk mencari hiburan sendiri dan pada masa sama berkongsi minat itu bersama orang luar,” katanya.

myMetro: 17 April 2011

Sabtu, 16 April 2011

Guru Cemerlang wajar muhasabah diri, usah pertikai beban tugas

2011/04/16

SAYA ingin menarik perhatian mengenai surat bertajuk 'Prestasi Guru Cemerlang dipertikai, tenaga diperah' yang disiarkan pada 15 April lalu. Persoalannya, benarkah tenaga Guru Cemerlang diperah?

Berdasarkan pemerhatian saya, sebenarnya tenaga guru biasa yang diperah, contohnya dalam program di sekolah membabitkan semua guru sama ada cemerlang ataupun tidak, begitu juga untuk menyiapkan modul, soalan dan bahan pengajaran dan pembelajaran.

Guru Cemerlang akan mengumpulkan guru mengikut opsyen untuk berbengkel. Hasil bengkel itu akan dihebohkan sebagai hasil kerja Guru Cemerlang, malah Guru Cemerlang menggunakan modul dan hasil bengkel itu sebagai bahan untuk memohon gred lebih tinggi. Justeru, jika Majlis Pengetua tidak meletakkan Logo Majlis Guru Cemerlang pada muka hadapan soalan adalah perkara biasa. Guru Cemerlang perlu sedar, pengetua mempunyai kuasa eksekutif di sekolah walaupun gred mereka lebih rendah.
Kementerian Pelajaran perlu melihat semula gred perjawatan bagi memastikan gred guru mestilah tidak mengatasi gred pengetua dan pengarah. Hal ini penting kerana mereka dilantik menjadi pengetua atau pengarah berdasarkan perkhidmatan cemerlang sebagai guru di sekolah.

Saya juga adalah Guru Cemerlang, jurulatih utama yang terbabit dengan Kementerian Pelajaran, Lembaga Peperiksaan, Panel soalan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) peringkat negeri dan macam-macam lagi.

Apa yang saya hendak maklumkan, tidak dinafikan Guru Cemerlang memang cemerlang tetapi bukan semuanya cemerlang seperti label yang diberi. Mulai 2007, sebahagian besar mereka yang dilantik adalah untuk memenuhi kuota perjawatan yang diluluskan, malah ada yang tidak memohon tetapi menerima surat pelantikan.

Saya menyeru kepada semua Guru Cemerlang, bersyukurlah dengan gred yang kita dapat sekarang. Rutin kerja kita hanya fokus kepada pengajaran dan pembelajaran. Tugas yang kita laksanakan sekarang tidak seberapa jika dibandingkan dengan gred perjawatan yang diberikan oleh kerajaan.

GURU CEMERLANG INSAF,
Kuala Lumpur


Berita Harian Online: 16 April 2011

Jumaat, 15 April 2011

Prestasi Guru Cemerlang dipertikai, tenaga diperah

2011/04/15

SAYA ingin menarik perhatian mengenai prestasi Guru Cemerlang yang sering dipertikaikan pihak pentadbir sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri dan Kementerian Pelajaran.

Persoalannya, benarkah Guru Cemerlang masa kini sudah tidak cemerlang lagi? Daripada 12,000 orang, mungkin lima peratus saja tidak menunjukkan kecemerlangan, tetapi 95 peratus lagi masih menunjukkan prestasi cemerlang.

Tetap peliknya, mengapa dalam mesyuarat pada peringkat kementerian, jabatan dan daerah serta mesyuarat pada peringkat pengetua dan guru besar, isu mengenai Guru Cemerlang ini sering ditimbulkan sedangkan tenaga mereka ‘diperah’ oleh semua pihak yang ada kepentingan dengan pendidikan.
Misalnya, Majlis Pengetua dan Majlis Guru Besar kerap menggunakan tenaga Guru Cemerlang untuk menyediakan soalan peperiksaan setara. Selepas soalan sudah disediakan dengan sempurna, maka Majlis Pengetua dan Majlis Guru Besar akan mencetaknya dan mewajibkan sekolah membelinya.

Pada muka hadapan soalan hanya tertera logo Majlis Pengetua atau Majlis Guru Besar atau logo Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri. Logo Majlis Guru Cemerlang tidak disertakan.

Selain itu, tenaga Guru Cemerlang juga digunakan semua bahagian dalam Kementerian Pelajaran.

Sejak jawatan Guru Cemerlang diwujudkan, mereka diletakkan di bawah penyeliaan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK). Saya mendapati JNJK sentiasa membantu Majlis Guru Cemerlang Malaysia (MGCM) dalam mengendalikan pelbagai program pada peringkat kebangsaan dan negeri.

Jika ini berlaku, bagaimana boleh Guru Cemerlang melaksanakan aktiviti yang memberi impak kepada umum, khasnya dalam bidang pendidikan?

GURU CEMERLANG,
Putrajaya


Berita harian Online: 15 April 2011

Khamis, 14 April 2011

Pendidikan awal langkah terbaik tangani masalah buta huruf

2011/04/14

NEGARA kita masih lagi mempunyai murid yang tidak tahu membaca dan menulis apabila berada di Tahun Satu, terutama di luar bandar.

Ini memberikan gambaran bahawa mereka tidak diberikan pendedahan ilmu asas membaca dan menulis di rumah oleh keluarga mereka. Antara faktor kepada fenomena ini ialah keluarga miskin, keluarga tidak mementingkan pelajaran, keluarga terumbang-ambing dan memang keluarga itu juga buta huruf.

Apabila tidak mendapat pendidikan secara asas di rumah, maka menjadi satu kesusahan kepada murid itu sendiri apabila melangkah ke alam persekolahan. Guru terpaksa bekerja keras untuk mengajar mereka mengenal huruf.
Proses pembelajaran ini memakan masa yang lama dan ada juga yang masih belum boleh membaca walaupun berada di Tahap Dua. Keadaan ini amat menyedihkan kepada murid-murid yang tidak bersalah ini yang menjadi mangsa.

Saya mencadangkan agar Kementerian Pelajaran membuat satu revolusi baru dalam dunia pendidikan dengan mengambil inisiatif menjadikan pendidikan awal sebagai dasar utama kepada kecemerlangan pendidikan.

Pihak kementerian harus mewujudkan sebuah badan khas yang bertanggungjawab melaksanakan peranan menghapuskan masalah buta huruf dalam kalangan kanak-kanak.

Idea paling praktikal yang boleh dilaksanakan ialah dengan mencari kanak-kanak seawal umur empat tahun yang terbiar akibat keluarga miskin, keluarga tidak sedar mengenai kepentingan pendidikan dan keluarga bermasalah khususnya di luar bandar.
Kanak-kanak ini harus ditempatkan di sekolah khas dan berasrama penuh dan dijadikan sebagai anak angkat kementerian.

Barulah kanak-kanak ini dapat mengenal apa itu A, B,C dan 1,2,3. Hidup mereka juga akan pasti lebih teratur, kemas, bersih dan yang penting mereka mempunyai cita-cita.

Pendidikan adalah teras utama kepada jatuh bangunnya sesebuah tamadun itu. Bangsa yang maju ialah bangsa yang cerdik.

Semoga dunia pendidikan tanah air akan terus berkembang dengan pesat dengan idea baru dan perancangan hebat dan menjadi nadi utama kepada penggerak kemajuan negara.

GURU SEKOLAH,
Larkin, Johor Bahru

Berita Harian Online: 14 April 2011

Rabu, 13 April 2011

KPM sentiasa tingkat program prauniversiti

2011/04/13

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat pembaca bertarikh 19 Mac 2011 bertajuk 'Tingkatan enam perlu dirombak, Pelajar Prauniversiti 2010/2011, Ampang', 23 Mac 2011 'Perkasa semula tingkatan enam ,Hasron Nazri Hashim, Kuala Lumpur' dan 25 Mac 2011 'Kementerian patut hebah kelebihan masuk tingkatan enam, Insan Prihatin, Ampang, Selangor'.

Untuk makluman , KPM melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) sentiasa berusaha untuk memperkasakan program pendidikan tingkatan enam dengan merangka rancangan penjenamaan semula program pendidikan prauniversiti ini. Satu daripadanya ialah merombak sistem peperiksaan STPM daripada sistem terminal kepada sistem modular.

Sistem pentaksiran STPM secara modular akan dilaksanakan mulai sesi persekolahan tingkatan enam bawah pada 2012, bukan pada 2011 seperti yang dinyatakan oleh Pelajar Prauniversiti 2010/2011. Dalam sistem modular ini, penilaian terhadap pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap semester (ada tiga semester semuanya). Selain peperiksaan akhir berpusat pada setiap hujung semester, pelajar akan dinilai juga melalui kerja kursus yang dijalankan sepanjang pengajian. Dengan pelaksanaan sistem baru ini diharapkan pengajian tingkatan enam akan menjadi lebih menarik, dan dengan yang demikian, lebih banyak pelajar akan mengikuti pengajian peringkat prauniversiti ini.
Dari segi promosi, KPM sudah menghebahkan maklumat ini melalui laman web, media massa dan program turun padang untuk menyebarluaskan maklumat pelaksanaan sistem modular ini kepada warga pendidik pada semua peringkat.

KPM akan terus mempergiatkan usaha mempromosikan kelebihan tingkatan enam serta terus memperkasakan pendidikan tingkatan enam.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
KPM

Berita Harian Online: 13 April 2011

Selasa, 12 April 2011

Kementerian peka keperluan pensyarah kolej matrikulasi

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia ingin merujuk kepada surat Pensyarah Matrikulasi dalam ruangan ini pada 6 April 2011 bertajuk 'Nasib Pensyarah Matrikulasi.

Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) amat menghargai jasa dan bakti yang diberikan oleh pensyarah-pensyarah kolej matrikulasi dalam mendidik pelajar. Sehubungan itu, Bahagian Matrikulasi sentiasa peka dan prihatin di atas keperluan pensyarah-pensyarah di semua kolej matrikulasi.

Pertukaran pensyarah kolej matrikulasi adalah merujuk kepada dasar pertukaran pensyarah kolej matrikluasi. Kelulusan pertukaran pensyarah kolej matrikulasi juga tertakluk kepada kekosongan dan keperluan di kolej matrikulasi yang dimohon. Pertukaran pensyarah pada dasarnya akan hanya dilakukan setahun sekali dan diputuskan dalam mesyuarat panel pertukaran di peringkat Bahagian Matrikulasi.

Dasar pertukaran pensyarah kolej matrikulasi telah menetapkan bahawa seorang pensyarah boleh dipertimbangkan permohonan pertukaran sekiranya telah berkhidmat di kolej berkenaan lebih daripada tiga tahun sebelum boleh diluluskan permohonan pertukarannya.

Sekiranya tiada kekosongan di kolej yang dimohon, maka permohonan pertukaran tidak dapat dipertimbangkan untuk tahun semasa. Kelulusan pertukaran adalah tertakluk kepada keperluan kolej yang dimohon seperti mengisi jawatan mengikut keperluan mata pelajaran.

Bagaimanapun, pihak kementerian amat peka dan perihatin serta memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap kes-kes khas seperti faktor kesihatan yang kritikal yang dialami oleh pensyarah yang memerlukan pemeriksaan kesihatan di tempat yang dipohon. Pemohon perlu mengemukakan laporan kesihatan daripada pegawai perubatan kerajaan untuk mengesahkan penyakit yang dihadapi.

Penempatan guru-guru sekolah dan pegawai KPM yang mendapat kenaikan pangkat juga mengikut prosedur dan kekosongan serta keperluan yang ada di kolej-kolej matrikulasi. Tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada kumpulan ini dan penempatan adalah bergantung kepada kekosongan mengikut opsyen di semua kolej matrikulasi.

Bahagian Matrikulasi menerima banyak permohonan pertukaran pensyarah setiap tahun dengan pelbagai alasan. Setiap permohonan diteliti dan disesuaikan dengan kekosongan yang sedia ada di kolej yang dipohon. Slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sentiasa menjadi amalan semua pegawai KPM.

Pada masa kini terdapat 13 buah kolej matrikulasi iaitu 10 buah kolej matrikulasi dan tiga buah kolej matrikulasi teknikal.

Dengan bilangan kolej matrikulasi yang terhad ini, maka proses pertukaran memerlukan pertimbangan yang teliti agar tiada berlaku kelas-kelas yang tiada pensyarah disebabkan tiada pengganti untuk pensyarah yang diluluskan pertukaran.

KPM sentiasa memastikan perkara ini tidak berlaku dan justeru yang demikian sesetengah permohonan bertukar tidak dipertimbangkan demi keperluan perkhidmatan.

Utusan Malaysia Online: 12 April 2011

Ahad, 10 April 2011

'Pendidik mesti jujur bertugas'

2011/04/10

TANAH MERAH: Segelintir daripada 40,000 penjawat awam yang terbabit dalam sektor pendidikan di negeri ini dikesan gagal melaksanakan amanah diberikan kepada mereka.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan), berkata beliau kesal kerana masih ada yang mengkritik kerajaan, tanpa mengutamakan amanah diberikan.

Katanya, penjawat awam harus sedar mereka sebenarnya menggunakan duit rakyat untuk pembayaran gaji selain sebagai pemegang amanah terutama dalam menghasilkan modal insan berguna kepada agama, masyarakat serta negara.
“Kumpulan penjawat awam terbesar di negeri ini terbabit dalam sektor pendidikan dan mereka perlu amanah dalam melaksanakan tanggungjawab diberikan walaupun segelintirnya menentang kerajaan (Pusat).

“Saya minta penjawat awam tidak mengkhianati amanah kerajaan kerana ia bertujuan mendidik anak bangsa oleh itu mereka perlu fahami dasar kerajaan serta menyokongnya,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Taklimat Keselamatan dan Penjelasan Isu Keselamatan Negara kepada 1,000 warga pendidik negeri ini di Pusat Dakwah Jeli, Bukit Nangka, semalam.

Mustapa yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, menasihatkan warga pendidik supaya tidak fanatik terhadap isu tertentu terutama membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, sebagai seorang pendidik, mereka perlu membuat pertimbangan rasional dalam memilih pemimpin masa depan bagi memastikan bukan saja negara maju, malah pembangunan modal insan rancak berkembang.

“Anwar bercita-cita tinggi menjadi Perdana Menteri dan beliau seharusnya mempunyai akhlak yang baik selain tidak dibelenggu d pelbagai kontroversi. Orang seperti ini sukar menjadi pemimpin, kalau berjaya pun, akan menjadi pemimpin yang lemah,” katanya.

Berita Harian Online: 10 April 2011

Sabtu, 9 April 2011

Sayang anak, cikgu jadi mangsa

2011/04/09

TERDETIK di hati saya untuk menyuarakan pendapat mengenai keganasan pelajar sekolah di negara kita pada masa sekarang. Terlalu banyak yang berlaku hingga ada kala membimbangkan kerana isteri saya juga seorang guru.

Tindakan pelajar menumbuk sehingga mencederakan guru, menyerang rakan sekolah lain seperti samseng, bergaduh di dalam kelas dan banyak lagi perkara yang kita tidak sanggup dengar kini semakin menjadi-jadi.

Pada zaman saya bersekolah dulu, tidak pernah kedengaran masalah disiplin melampau seperti ini.
Kita juga nakal, tetapi masih menghormati dan takut kepada guru. Kita ditampar, didenda dan pelbagai hukuman diterima tanpa ada bantahan atau perasaan dendam terhadap guru. Jika mengadu kepada ibu bapa, mereka pula yang meminta supaya hukuman itu ditambah.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan guru disiplin adalah individu paling ditakuti. Terdengar saja bunyi tapak kaki terus bertempiaran masuk ke dalam kelas. Guru pada zaman lalu diberikan kebenaran untuk menjalankan hukuman tanpa mencederakan murid, bergantung pada budi bicara guru itu sendiri, tidak tertakluk kepada guru disiplin, Penolong Kanan HEM, pengetua atau pun guru besar.

Tetapi kini, hendak dijentik sekalipun tidak dibenarkan. Bagaimana pula jika guru berkenaan diserang? Adakah mereka berhak untuk mempertahankan diri? Ibu bapa pada masa kini lebih banyak membela anak mereka dengan membuta tuli, termasuk suka mengugut guru dengan tindakan undang-undang. Adakah mereka prihatin berkenaan dengan disiplin anak mereka? Akibat terlalu sayangkan anak, guru dijadikan mangsa.

Dalam Program Transformasi Kerajaan yang dilancarkan baru-baru ini, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pendidikan hanya lebih ditekankan kepada pengurangan tahap buta huruf pelajar. Kenapa tidak diwujudkan sekali NKRA Pendidikan itu mengenai masalah disiplin pelajar?
Saya memohon supaya perkara ini diatasi segera kerana mereka ini generasi kita pada masa hadapan. Jika tidak ditangani sekarang, bayangkan apa lagi masalah yang mungkin timbul 10 atau 20 tahun lagi.

Rasanya tidak sanggup saya menempuh masa berkenaan. Saya berharap apa yang suarakan ini diberikan perhatian secara serius demi keselamatan guru dan masa depan anak kita.

MUHD HABANI HELMI,
Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 9 April 2011

Pelajar kes tumbuk cikgu direman 4 hari

2011/04/09

PELAJAR yang didakwa menumbuk guru hingga patah hidung dibawa keluar selepas polis mendapat perintah reman di Mahkamah Majistret Kangar, semalam.
PELAJAR yang didakwa menumbuk guru hingga patah hidung dibawa keluar selepas polis mendapat perintah reman di Mahkamah Majistret Kangar, semalam.
KANGAR: Mahkamah Majistret di sini semalam, mengeluarkan perintah reman empat hari terhadap pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah dekat sini, yang didakwa terbabit dengan kejadian menumbuk seorang guru, Mariati Mat Ail, 37, sehingga patah tulang hidung, kelmarin.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nursyarida Abd Rahman yang bermula semalam hingga Isnin ini terhadap pelajar berusia 14 tahun itu di dalam kamarnya.

Suspek yang memakai baju lokap tiba di Mahkamah Kangar dengan kenderaan polis kira-kira jam 9.30 pagi.
Dia yang ditahan polis semalam, memakai baju lokap ungu dan bergari kemudian dilihat meninggalkan perkarangan mahkamah kira-kira jam 11 pagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin, mangsa yang juga seorang guru disiplin cedera parah di bahagian hidung akibat ditumbuk seorang murid Tingkatan Dua di Chuping di sini, kelmarin.

Mangsa yang juga guru Sejarah di sekolah berkenaan dipercayai pa-
tah tulang hidung selepas ditumbuk di bahagian muka oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang dikatakan tidak berpuas hati dengan tegurannya sebelum itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, beberapa guru yang melihat kejadian terbabit, bertindak membawa mangsa yang berlumuran darah ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, untuk menerima rawatan lanjut.

Difahamkan ketika kejadian, guru berkenaan sedang bertukar kelas untuk mengajar subjek Sejarah di kelas lain sebelum terserempak dengan suspek, seorang pelajar Tingkatan Dua yang sedang bergaduh di kaki lima bangunan sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, berkata polis sudah mengambil keterangan daripada saksi dan mangsa.

“Kita sudah ambil beberapa keterangan daripada mangsa dan saksi kejadian hari ini (semalam) dan akan menyiapkan kertas siasatan dalam masa terdekat.

“Jika siasatan selesai, polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya selewat-lewatnya Isnin ini," katanya ketika dihubungi, semalam.

Berita Harian Online: 9 April 2011

Jumaat, 8 April 2011

Pukul cikgu

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my

SAKIT...Mariati menutup hidungnya yang patah akibat ditumbuk pelajar sendiri.
SAKIT...Mariati menutup hidungnya yang patah akibat ditumbuk pelajar sendiri.

KANGAR: Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar Hassan, di sini, bertindak kurang ajar apabila menumbuk muka seorang guru perempuan sehingga mangsa patah hidung, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, guru berkenaan dipercayai baru saja selesai mengajar subjek Sejarah sebelum keluar menuju ke bilik guru.

Difahamkan, suspek berang selepas guru terbabit Mariati Mat Ail, 37, ingin membawanya ke bilik guru disiplin selepas suspek didapati bergaduh di koridor sekolah itu.

Jurucakap Jabatan Pelajaran Negeri Perlis (JPNPs) berkata, mangsa terserempak dengan satu pergaduhan di mana suspek sedang membelasah seorang pelajar tingkatan satu di kaki lima sekolah itu sebelum cuba menyuraikannya.


“Mangsa menarik suspek yang pernah dibuang sekolah untuk dibawa ke bilik guru disiplin kerana membelasah pelajar berkenaan.

“Suspek yang enggan dibawa ke bilik itu tiba-tiba melepaskan satu tumbukan kuat tepat ke muka guru itu yang mengenai hidung mangsa,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.

Katanya, hidung mangsa patah akibat tumbukan berkenaan menyebabkan mangsa pening sebelum terjatuh.

“Sambil menekup hidungya dengan kain, mangsa mengagahkan dirinya untuk bangun dan pergi meminta bantuan daripada rakannya yang berada di bilik guru sekolah itu.

“Suspek yang menumbuk mangsa kemudian melarikan diri sebelum mangsa pergi mendapatkan rawatan kecemasan di HTF dan membuat laporan polis kira-kira jam 4 petang, semalam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros ketika dihubungi berkata, suspek berusia 14 tahun ditahan kira-kira jam 5 petang semalam sebaik saja menerima laporan mangsa.

Katanya, suspek sebelum itu membelasah seorang pelajar tingkatan satu sekolah berkenaan kerana tidak berpuas hati masalah peribadi sebelum disuraikan mangsa.

“Mangsa cuba menyelamatkan pelajar tingkatan satu terbabit sebelum dia ditumbuk suspek di muka.

“Polis memandang serius perkara ini kerana membabitkan kawasan sekolah dan akan menyiasat punca kejadian,” katanya.

Menurutnya, polis menerima dua laporan kejadian itu, daripada guru terbabit dan pelajar tingkatan satu yang dibelasah suspek.

myMetro: 8 April 2011

Khamis, 7 April 2011

Cadangan beri kelonggaran Sains, Matematik dalam BI dikaji

2011/04/07

DATUK Seri Najib Razak berkata kerajaan masih mengkaji cadangan sekumpulan ibu bapa supaya diberi kelonggaran kepada anak mereka yang ingin mengikuti pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Katanya, ketika ini kerajaan tidak membuat sebarang komitmen berhubung cadangan itu tetapi pada masa sama menilai hasrat ibu bapa terbabit.

2011/04/07

DATUK Seri Najib Razak berkata kerajaan masih mengkaji cadangan sekumpulan ibu bapa supaya diberi kelonggaran kepada anak mereka yang ingin mengikuti pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Katanya, ketika ini kerajaan tidak membuat sebarang komitmen berhubung cadangan itu tetapi pada masa sama menilai hasrat ibu bapa terbabit.
“Kementerian Pelajaran akan mengkaji sama ada kelonggaran boleh diberikan kepada mereka yang ingin belajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris.
“Selepas kajian itu, barulah kerajaan akan membuat keputusan berhubung cadangan itu,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini selepas mengakhiri lawatan tiga hari ke Korea Selatan, semalam.

Mengenai tayangan video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang, Najib berkata: “Saya tidak mahu komen sebab dari awal lagi, perkara ini sesuatu yang perlu dinilai oleh rakyat sendiri.”

Berhubung tindakan sekumpulan rakyat Sabah mengumpul tandatangan untuk mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan mengenai masalah pendatang tanpa izin di negeri itu, Najib berkata, mereka boleh menghantar memorandum dan kerajaan bersedia menimbang cadangan mereka.

Katanya, kerajaan mengakui isu pendatang itu satu masalah besar dan langkah berterusan diambil oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendatang Tanpa Izin yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.

Berita Harian Online: 7 April 2011

Guru BI sorok ganja dalam rumah ditahan

2011/04/07

KUALA TERENGGANU: Seorang (BI) guru Bahasa Inggeris sebuah sekolah agama di Ladang, di sini ditahan selepas polis menemui ketulan mampat dipercayai ganja seberat 371 gram ketika serbuan di rumahnya di Jalan Hiliran di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, guru berusia 40 tahun berada di dalam bilik tidurnya dan pemeriksaan badan yang dibuat terhadapnya menemui wang tunai RM3,250 dalam genggaman tangannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata pemeriksaan dalam bilik menemui dua kotak yang di dalamnya terdapat ketulan mampat disyaki ganja.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati suspek adalah seorang penagih dan pemeriksaan ujian air kencing mendapati bapa kepada tiga anak itu positif ganja.

“Kita menganggarkan nilai dadah yang dirampas sebanyak RM2,000 dan polis tidak menolak kemungkinan suspek menjadikan pelajar sekolah sebagai sasarannya untuk menjual barang terlarang ini,” katanya.

Berita Harian Online: 7 April 2011

MUET ukur kemampuan pelajar sebelum ke universiti

2011/04/07

SAYA merujuk kepada surat 'Pengendali MUET, Kuala Lumpur' bertajuk 'Ujian bahasa Inggeris universiti di Malaysia tidak sesuai diadakan di sekolah' yang disiarkan 2 April lalu dan surat 'Pelajar MUET, Shah Alam' bertajuk 'Ujian MUET wajar diadakan tiga kali setahun' yang disiarkan 4 April lalu.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) ingin memaklumkan bahawa Malaysian University English Test (MUET) adalah ujian untuk mengukur penguasaan berbahasa Inggeris yang diwajibkan kepada semua calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), pelajar matrikulasi, diploma dan prauniversiti yang melanjutkan pelajaran ke ijazah pertama di institusi pengajian tinggi (IPT).

Jadi, tujuan MUET diadakan sebelum kemasukan ke IPT untuk membolehkan pelajar mahir berbahasa Inggeris pada tahap tertentu sebagai persediaan mengikuti pengajian kerana sebahagian besar bahan rujukan dalam bahasa Inggeris.
Pelaksanaan MUET sebelum mengikuti program ijazah pertama juga atas permintaan IPT untuk membuat pemilihan pelajar bagi mengikuti jurusan tertentu yang memerlukan kemahiran berbahasa Inggeris pada tahap tinggi, selain penilaian terhadap kelulusan akademik pelajar.

Dengan demikian, IPT tidak perlu lagi mengadakan kelas bahasa Inggeris bagi pelajarnya dalam jurusan berkenaan.

Pertambahan bilangan ujian MUET daripada dua kepada tiga kali setahun pula dibuat atas permintaan pelajar.

Seperti dinyatakan Pelajar MUET, Shah Alam, pertambahan ini memberikan ruang lebih selesa kepada calon menduduki MUET mengikut masa sesuai dan memberi lebih peluang kepada calon memperbaiki keputusan MUET sebelumnya.
MPM sentiasa mengambil berat kebajikan penjawat MPM dalam mengendali peperiksaan atau ujian, termasuk guru pengawas ujian MUET. MPM sedia maklum mengenai beban tugas dan kekangan masa yang terpaksa ditanggung guru di sekolah.

MPM sentiasa berusaha menyediakan kemudahan dan memperbaiki sistem pengurusan peperiksaan bagi meringankan beban guru yang bertugas sebagai pengawas dan mengambil langkah mengurangkan penggunaan borang untuk tuntutan elaun pengawasan dan perjalanan serta sistem pendaftaran peperiksaan secara online.

KHAWARI IDRIS,
Pegawai Perhubungan Awam
Majlis Peperiksaan Malaysia

Berita Harian Online: 7 April 2011

Rabu, 6 April 2011

Mana surat panggilan Guru Sandaran Tidak Terlatih?

SAYA merupakan salah seorang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang telah berkhidmat lebih dua tahun. Saya ditamatkan kontrak perkhidmatan 31 Disember 2010.

Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, segala tugas dan amanah yang diberikan kepada saya dilaksanakan dengan sebaik mungkin tanpa mengira waktu dan tempat. Ini termasuklah pada hari cuti umum sekiranya pelajar sekolah terlibat dengan aktiviti luar seperti perkhemahan atau aktiviti sukan.

Di sekolah, kami juga tidak terkecuali bertugas seperti Guru Sandaran Terlatih (GST) yang lain seperti menjadi guru kelas, guru kadet dan sebagainya.

Tujuan saya memperincikan tugas ini bukan untuk mendabik dada atau mengungkit apa yang telah kami lakukan. Tetapi ia adalah sebagai renungan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) supaya tidak mengabaikan nasib guru seperti saya. Apa yang membezakan GSTT dan GST adalah daripada segi ikhtisas sahaja kerana dari segi pengalaman dan mutu kerja ada antara kami yang lebih menyerlah berbanding GST.

Kenyataan dan pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 3 Mac 2011 bahawa surat penamatan perkhidmatan yang diberikan kepada guru GSTT ditarik balik selain ingin menyerap golongan guru tersebut sebagai guru tetap melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) amat menggembirakan 13,000 orang guru GSTT di seluruh negara. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Itulah perasaan kami.

Tetapi yang menghairankan sehingga kini berita tersebut yang diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri 'tidak sampai' kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Buktinya, sehingga kini kami guru GSTT masih belum menerima sebarang surat panggilan bertugas. Saya berasa amat sedih dan rasa seperti kami dipermainkan sedangkan kami percaya dengan prinsip kerajaan untuk mengotakan setiap apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Oleh itu saya berharap agar Timbalan Perdana Menteri meninjau sekali lagi sama ada arahan tersebut telah dilaksanakan oleh kakitangan KPM atau sebaliknya.

Kami guru GSTT sedia berkhidmat di mana sahaja asalkan kami berpeluang menjadi guru tetap. Kami tidak meminta lebih daripada itu. Yang kami pinta hanyalah renungan kasih pihak kerajaan tentang nasib kami guru GSTT di seluruh negara.

CIKGU GSTT

Taiping, Perak


Utusan Malaysia Online: 4 April 2011

Ganjaran Guru Inovatif tidak setimpal gelaran

SABAN tahun diadakan pertandingan Guru Inovatif sempena meraikan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan. Walaupun tidak pernah menyertai kerana saya tidak memiliki kepakaran yang hebat dalam bidang ini, saya melihat dari jauh usaha dan kesungguhan yang begitu mengagumkan daripada guru yang terpilih menyertai pertandingan ini.

Bagi saya, kejayaan guru yang terpilih dalam pertandingan ini bukan sahaja memerlukan kreativiti dan inovatif yang tinggi. Lebih daripada itu, ia memerlukan kesungguhan yang tiada surutnya untuk menghasilkan sesuatu inovasi yang kemudian dinilai sebagai terbaik pula. Pemilihan untuk memperoleh tempat terbaik di peringkat kebangsaan amat teliti, sengit dan memerlukan pembuktian yang bukan sedikit.

Pengalaman saya melihat calon Guru Inovatif beberapa tahun lepas di peringkat kebangsaan, setelah berjaya di peringkat negeri, amat menakutkan. Banyak masa dan tenaga dihabiskan semata-mata untuk menghasilkan bahan inovatif yang terbaik. Pemilihan yang begitu eksklusif bermula di peringkat daerah, kemudian ke peringkat negeri dan akhirnya di peringkat kebangsaan.

Pada peringkat ini, pembentangan hampir beberapa kali dipantau oleh penilai daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), amat membebankan. Bukan sahaja guru itu yang terbeban, guru-guru lain yang berada di sekolah itu turut terkena tempiasnya kerana apabila ada pemantauan, semua guru mesti kelihatan sempurna di kaca mata pemantau. Kerisauan turut singgah dalam kalangan warga sekolah itu.

Untuk guru yang dicalonkan amatlah lebih hebat tanggungannya. Dengan pembentangan yang bersilih ganti beberapa kali di peringkat kebangsaan, barulah seseorang guru itu terpilih untuk dinobatkan sebagai Guru Inovatif Peringkat Kebangsaan.

Sayangnya, hasil kerja guru yang kreatif, inovatif ini bagaikan tidak dihargai. Anugerah Guru Inovatif amatlah tinggi nilainya. Tetapi bagaimana dengan ganjarannya?

Saya tidak pasti untuk tahun ini. Tetapi hadiah untuk tahun-tahun lepas bagaikan tidak berbaloi dengan status anugerah yang diberikan. Tiada wang tunai disediakan. Hanya sijil dan plak sebagai 'pengiktirafan terbaik'.

Keadaan ini menyebabkan saya terpanggil untuk melahirkan rasa simpati atas sikap terlepas pandang ini. Bayangkan, juara nyanyian boleh memperoleh RM1 juta (rancangan pertandingan realiti); pertandingan Adik-Adikku (pidato) pun diberi hadiah RM10,000 dan umrah (pelajar bukan guru); pertandingan lawak pun juaranya menerima RM100,000 dan hadiah dalam kewartawanan pun mencecah RM10,000.

Tetapi, apakah nasib Guru Inovatif (yang hanya beberapa orang terpilih), yang hanya setahun sekali diiktiraf sebagai guru hebat? Mereka menyumbang kepada pembangunan anak didik pelajar yang akan mencerna pembangunan negara, tetapi apa ganjaran yang mereka dapat? Hadiah wang tunai pun tiada!

Terpukul rasanya insan yang bernama guru. Guru sering dianggap mulia kerana sentiasa berkorban untuk orang lain. Dalam waktu yang sama, guru juga seharusnya diberikan penghormatan, pengiktirafan dan penghargaan seperti bidang lain.

Janganlah apabila insan guru bersuara dikatakan mementingkan kebendaan dan tiada keikhlasan. Berpijaklah di alam realiti. Setanding dengan kualiti penghasilan kerja yang ditampilkan, ganjarannya pada hemat saya seharusnya lebih berpadanan.

HORMATI TERBAIK

Pekan, Pahang

Utusan Malaysia Online: 6 April 2011

Perkhidmatan awam lebih kejap

Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my
2011/04/06

Jawatan di Kementerian Pelajaran dirasionalisasikan, diguna sepenuhnya: TPM

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yasin mahu jawatan di Kementerian Pelajaran dirasionalisasikan bagi menghasilkan perkhidmatan awam yang kejap selain memastikan tiada tenaga kerja yang tidak digunakan sepenuhnya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu boleh dilakukan melalui penjajaran fungsi bahagian bertindih, pengawalan pengisian jawatan kosong, pemansuhan jawatan serta pengagihan semula jawatan ke agensi yang lebih kritikal.
“Kita ada ramai pegawai di kementerian dan kita mahu memastikan tenaga kerja pegawai kita digunakan sepenuhnya selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sesetengah sektor kita memerlukan tenaga manusia lebih tapi ada sesetengah sektor mempunyai tenaga kerja pegawai yang seolah-olah tidak digunakan sepenuhnya,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini, semalam.

Pada majlis itu juga Muhyiddin melancarkan tema Hari Guru, ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ yang akan disambut di Kuching, Sarawak, bulan depan.

Sebanyak 81.2 peratus atau 438,480 daripada kira-kira 540,000 kakitangan Kementerian Pelajaran adalah guru.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin berkata, perkhidmatan awam yang kejap perlu dibentuk di kementerian bagi mewujudkan jentera yang cekap, produktif, kreatif dan inovatif selain mementingkan hasil pencapaian.

Beliau berkata, kementerian juga memerlukan anjakan paradigma dari segi strategi, struktur pengurusan dan kakitangan berkualiti dengan sikap yang terbuka dalam menerima pandangan serta cadangan.

“Ini adalah perkara asas transformasi. Mungkin hari ini kita mencapai sasaran yang diletakkan tahun lalu tetapi jika tidak diusahakan secara berterusan mungkin tahun akan datang ia akan menurun, justeru, untuk menjadi lestari, kita perlu bekerja keras selalu,” katanya.

Berita Harian Online: 6 April 2011

Pensyarah kecewa sistem pertukaran tidak adil

2011/04/06

SAYA ingin menyuarakan berkenaan sistem pertukaran pensyarah kolej matrikulasi yang berada di bawah pengurusan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran.

Sistem pertukaran pensyarah antara kolej matrikulasi mengundang rasa tidak senang kepada banyak pihak, terutama pensyarah yang sudah memohon berulang kali. Ada yang sudah berkhidmat lebih lima tahun di sesebuah kolej malah ada yang lebih lama daripada itu dan sudah memohon bertukar sebanyak tiga hingga empat kali tetapi masih gagal.

Bukan kerana tiada kekosongan di kolej matrikulasi yang dipohon, tetapi disebabkan Bahagian Matrikulasi kementerian hendak menempatkan guru sekolah dan pegawai kementerian lain yang mendapat kenaikan pangkat atau gred untuk mengajar di kolej terbabit.
Manakala pensyarah yang berada di dalam sistem matrikulasi kementerian, setia berkhidmat serta membangunkan matrikulasi diketepikan.

Jika perkara ini adalah arahan pihak atasan di Kementerian Pelajaran, saya berharap mereka sedar dan dapat mengambil tahu bahawa sejumlah besar pensyarah matrikulasi sedia ada yang sudah memohon pertukaran sangat berharap permohonan kami diluluskan.

Bukan tidak mementingkan berkenaan kenaikan pangkat atau gred pegawai lain, tetapi fikirkanlah juga nasib kami yang sudah menunggu lama untuk bertukar. Dalam tempoh itu kami terpaksa berjauhan dengan keluarga, serta anak.

Ramai antara kami terpaksa berulang hampir setiap hujung minggu untuk berjumpa keluarga masing-masing dan hal ini sememangnya mengganggu kualiti tugas dan tanggungjawab kami, sedangkan perkara ini boleh diatasi jika pihak berkenaan dapat menguruskan isu pertukaran pensyarah dengan baik.

PENSYARAH MATRIKULASI,
Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 6 April 2011

Guru naik pangkat ikut kekosongan jawatan

2011/04/06

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada surat 'Abang Chor, Ipoh, Perak', dalam ruangan ini bertarikh 29 Mac lalu bertajuk 'guru lama dakwa susah naik pangkat'.

Jawatan Penolong Kanan adalah jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA32 (hakiki) dan bukannya jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41.

Untuk pengetahuan, buat masa ini, masih belum wujud jawatan Penolong Kanan, PPPS Gred DG41 dalam skim perkhidmatan di kementerian.
Pengisian bagi jawatan Penolong Kanan, PPPLD Gred DGA32 (hakiki) adalah berdasarkan kepada calon urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat PPPLD yang diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP).

Pengisian jawatan itu perlu merujuk kepada waran perjawatan yang diluluskan oleh Kerajaan melalui Anggaran Belanja Mengurus (ABM) iaitu jawatan yang khusus untuk PPPLD.

Pengadu ketika ini adalah PPPS dan tidak lagi sebagai PPPLD. Oleh itu, sebagai PPPS, pengadu boleh menikmati urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat melalui Laluan Hakiki, Laluan Cemerlang dan Laluan Time-Based.

Oleh itu, beliau berpeluang untuk mendapat kenaikan pangkat sekiranya memenuhi syarat yang telah ditetapkan di dalam skim perkhidmatan PPPS, bagaimanapun kenaikan pangkat itu tertakluk kepada wujudnya kekosongan jawatan kenaikan pangkat PPPS.
Pihak Kementerian tidak dapat mempertimbangkan PPPS Gred DG41 untuk memegang jawatan Penolong Kanan, PPPLD Gred DGA32 disebabkan pengadu sudah dilantik sebagai PPPS DG41 yang secara automatik meletakkan pengadu berada dalam skim perkhidmatan yang berbeza.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 6 April 2011

Selasa, 5 April 2011

Guru lambat terima tuntutan perjalanan

2011/04/05

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan ada Jabatan Pelajaran Negeri belum membayar tuntutan perjalanan pegawai pendidik walaupun selepas lebih setahun tuntutan dibuat.

Ia membabitkan tuntutan perjalanan ke program dan kursus anjuran Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) sejak Februari serta Mac tah un lalu.

Berikutan itu, NUTP meminta jabatan dan pejabat yang berkenaan supaya menyegerakan bayaran balik tuntutan kerana ia dikenal pasti menjadi tekanan kepada guru.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata kelewatan itu berpunca daripada peruntukan disediakan tidak mencukupi.

“Keadaan ini menyebabkan ramai guru terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menghadiri program dan kursus yang diadakan jabatan, selain menanggung bayaran lain seperti rumah dan kereta.

“Di Johor, hanya 50 peratus tuntutan perjalanan diberi surat makluman pada minggu lalu bahawa mereka akan dibayar selepas perbincangan diadakan dengan Kementerian Pelajaran.

“Kita sudah mengadakan perjumpaan dengan pegawai Kementerian Pelajaran yang memberi jaminan akan menyiasat dan menyegerakan pembayaran terbabit,” katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata masalah kelewatan pembayaran tuntutan perjalanan membabitkan hampir semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Saya dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelajaran, Datuk Wan Khazanah Ismail pembayaran lewat disebabkan peruntukkan tidak mencukupi.

“Kita berharap kementerian akan menambah peruntukan kepada Jabatan Pelajaran Negeri untuk menyegerakan pembayaran berdasarkan tuntutan semasa,” katanya.

“Peruntukan tambahan juga diperlukan untuk elaun keraian guru besar dan pengetua, selain guru ganti bagi mereka yang bersalin,” katanya.

Berita Harian Online: 5 April 2011

YGMB bantu guru atasi beban hutang

Oleh Zailani Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2011/04/05

RM30,000 disedia selesai beban kewangan

SHAH ALAM: Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menawarkan skim pinjaman mudah kepada kira-kira 500,000 tenaga pengajar dan kakitangan sokongan seluruh negara bagi melupus pelbagai hutang bank termasuk mereka yang disenarai hitam.

Yayasan itu, yang dilancarkan dua bulan lalu, juga sedia menawarkan kemudahan itu kepada pendidik yang terbabit dengan pinjaman syarikat tidak berdaftar bagi menjamin keselamatan mereka daripada ancaman penagih hutang atau ‘along’.
Pada masa ini, YGMB, dengan keahlian seramai 129,124 termasuk 77,000 ahli seumur hidup, mempunyai aset dan simpanan bernilai RM45 juta, dan kempen menambah keahlian giat dijalankan melalui pengedaran risalah di sekolah, jabatan pelajaran, laman sesawang, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan juga siaran media.

Berikutan itu YGBM sedang memperkasa kempen menambah bilangan keahlian di seluruh negara bagi memudahkannya menyalurkan pelbagai bantuan dan kemudahan untuk dinikmati 400,000 tenaga pengajar dan 100,000 tenaga sokongan, di seluruh negara.

Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pihaknya akan segera bertemu dengan 27 pertubuhan pendidik termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) bagi mendaftarkan mereka dalam YGMB sekali gus membincangkan isu kebajikan tenaga pengajar.

Katanya, kajian mendapati ramai pendidik terutama di kawasan bandar dibebani hutang dan segelintir mereka terpaksa berurusan dengan ‘along’ bagi menyelesaikan masalah kewangan masing-masing.
Alimuddin berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan ramai tenaga pengajar meminta ditukarkan ke negeri lain semata-mata mahu melarikan diri daripada cengkaman peminjam wang tidak berdaftar yang menuntut hutang, sehingga mengancam keselamatan keluarga mereka.

Beliau berkata, YGMB menyediakan skim pinjaman mudah berjumlah RM30,000 bagi membolehkan pendidik menyelesaikan semua atau sebahagian hutang peribadi dan kad kredit .

“Bagi menikmati kemudahan ini, mereka (tenaga pengajar dan kakitangan sokongan terbabit) perlu mendaftar dengan YGMB dan membayar yuran bulanan RM10 atau tahunan RM120 menerusi skim potongan gaji,” katanya pada sidang media selepas taklimat dengan kira-kira 100 pengetua sekolah dan pentadbir Jabatan Pelajaran Selangor, di sini, semalam.

Alimuddin berkata, selain kemudahan pinjaman peribadi bagi melupus hutang, YGMB juga menyediakan beberapa kemudahan lain antaranya pinjaman membeli hartanah, menunaikan umrah dan melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Katanya, semua ahli yayasan itu juga menikmati beberapa kemudahan asas seperti khairat kematian, derma siswa pelajaran, bantuan kemalangan dan bencana alam.

“Yayasan mensasarkan seramai 100,000 ahli baru menjelang akhir tahun ini bagi memperkasa pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan Koperasi YGMB termasuk di sektor pertanian dan perumahan,” katanya.

Berita Harian Online: 5 April 2011

Minda Pengarang: Semua pihak wajar ambil iktibar kes murid dibelasah guru hingga mati

2011/04/05

BARU-baru ini kita dikejutkan dengan kejadian seorang murid sekolah agama persendirian di Perlis, berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas empat hari koma dibelasah gurunya. Murid berkenaan, Saiful Syazani Saiful Sofidee, seorang anak yatim mengalami pendarahan dalaman kerana dipercayai dibelasah teruk, selepas dituduh mencuri RM7 milik rakan sekelasnya. Atas apa juga kesalahan murid sementah itu, tindakan guru berkenaan sama sekali tidak masuk akal dan tidak boleh diterima oleh sesiapa juga. Lebih menyayatkan hati apabila laporan akhbar menyatakan kanak-kanak itu sudah kematian ibu. Kejadian pula berlaku di sebuah sekolah agama yang bukan terletak di bawah pentadbiran kerajaan negeri. Dalam kejadian di Jejawi, Perlis empat hari lalu kedua-dua tangan kanak-kanak terbabit diikat pada tingkap asrama dan dibelasah. Apabila dia berjaya melepaskan diri, guru terbabit dilaporkan ‘naik berang’ dan terus memukul kepala budak berkenaan dan menggoncang badan serta menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai menjadi punca utama mangsa mengalami pendarahan dalam kepala dan komplikasi jantung. Apabila berlaku kejadian seumpama itu, timbul tanda tanya di benak hati kita di manakah sifat perikemanusiaan seorang guru, apatah lagi seorang bergelar guru dan warden di sekolah agama. Jika perkara sekecil itu pun boleh menyebabkan murid didera dengan sedemikian rupa? Kejadian ini patut diberi perhatian serius pihak berkuasa, khususnya kerajaan negeri dan tidak harus dianggap terpencil semata-mata kerana ia berlaku di sebuah sekolah persendirian.

Sudah sampai masanya pihak berkuasa mengemaskinikan senarai semua sekolah bukan di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran terutama sekolah agama persendirian. Latar belakang sekolah harus diteliti termasuk kelayakan tenaga pengajar, warden asrama serta aspek kebajikan pelajarnya. Sebarang usaha memperbaiki keadaan tidak harus hanya nampak serius apabila berlaku sesuatu kes penderaan, tetapi selepas itu kembali menyepi. Pihak Kementerian Pelajaran juga harus menyiasat dan menyimpan maklumat semua sekolah persendirian bagi tujuan pemantauan dan tidak menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada pihak lain termasuk kerajaan negeri. Mereka tidak mempunyai pengalaman menjaga hal ehwal sekolah, sehingga menyebabkan pelantikan guru dan warden dibuat tanpa mengikut peraturan dan kelayakan tertentu. Justeru, adalah wajar peranan Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pelajaran diperluaskan menerusi peruntukan undang-undang agar pembukaan sekolah, termasuk pertubuhan politik, perlu mendapat kelulusan kementerian supaya perkembangannya dapat dipantau dari semasa ke semasa.

Namun, kita mengakui hakikatnya bahawa kejadian di Perlis itu juga berpunca daripada sikap guru atau warden yang gagal mengawal perasaan marahnya. Apapun, kita harap kes berkenaan dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin supaya guru yang bertanggungjawab mendapat hukuman setimpal. Ia juga dapat menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua pihak termasuk guru dan ibu bapa agar tidak menggunakan ‘kuasa’ mereka selaku orang dewasa dengan mudah melakukan kekerasan ke atas kanak-kanak mengikut nafsu kemarahan dalam menangani sesuatu perkara. Anak kecil adalah fitrah dan tanggungjawab memberikan kasih sayang dan dilindungi bukannya dianiaya atau didera. Adalah menjadi harapan kita agar kejadian yang menimpa kanak-kanak tidak berdosa ini tidak berulang.

Berita Harian Online: 5 April 2011