Memaparkan catatan dengan label penyakit/kesihatan/rawatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penyakit/kesihatan/rawatan. Papar semua catatan

Isnin, 27 Februari 2012

Guru perlu kreatif, inovatif


Jailani Ludin (kiri) melihat kereta solar ciptaan pelajar SMK Seri Tualang selepas merasmikan Majlis Pelancaran Produk dan Program Sains dan Teknologi di sekolah itu di Temerloh, Pahang, baru-baru ini.


Guru sains dan matematik perlu kreatif serta menggunakan pendekatan yang menarik bagi mengatasi masalah kemerosotan minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Ketua Sektor Pembangunan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Jailani Ludin berkata, kedua-dua mata pelajaran itu penting kerana ia merupakan tunjang bagi melahirkan pelajar sebagai modal insan yang kreatif dan inovatif.

Katanya, bagi mencapai status negara maju, rakyat negara ini perlu menguasai dan meneroka kemajuan sains dan teknologi.

"Ini merupakan satu cabaran buat warga pendidik, khususnya guru-guru yang mengajar mata pelajaran sains dan matematik bagi meningkatkan semula minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran tersebut.

"Guru perlu menyahut cabaran ini kerana kemajuan dan masa depan negara terletak di bahu kita bagi melahirkan pelajar yang mampu menguasai teknologi serta pakar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D)," kata Jailani.

Beliau yang mewakili Pengarah Pelajaran Pahang berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Pelancaran Produk dan Program Sains dan Teknologi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tualang di Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah, Aishah Hamzah dan Pengetua SMK Seri Tualang, Hussin Hamid.

Menurut beliau, mata pelajaran sains dan matematik juga memerlukan transformasi serta penambahbaikan seiring dengan perkembangan ilmu dan teknologi supaya para pelajar tidak berasa bosan semasa mengikuti subjek tersebut.

Jailani juga menasihati para pelajar supaya menanam cita-cita untuk berjaya dalam kerjaya berasaskan teknologi serta R&D dan bukannya bekerja dalam sektor kerajaan apabila tamat pengajian daripada universiti.

"Kita perlu membuang minda untuk makan gaji dengan kerajaan semata-mata.

"Hal ini kerana jawatan dalam kerajaan adalah terhad tetapi sebaliknya dunia kerjaya hari ini lebih terbuka kepada mereka yang mampu menguasai kemajuan sains dan teknologi," ujar Jailani.

Beliau menambah, kerjaya dalam bidang berkaitan sains, matematik dan teknologi menawarkan gaji yang lumayan dan ini yang menjadi cita-cita kerajaan untuk membolehkan rakyat meraih pendapatan tinggi.

Rabu, 22 Februari 2012

Penjaja jual makanan tidak berkhasiat

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/02/22

PENJAJA kecil terus mengambil kesempatan menjual makanan tidak berkhasiat di luar sekolah.
PENJAJA kecil terus mengambil kesempatan menjual makanan tidak berkhasiat di luar sekolah.
Menjadi tumpuan murid di luar kawasan sekolah

KEGAGALAN Kementerian Pelajaran menguatkuasakan Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan Kementerian Kesihatan didakwa punca penjaja kecil mengambil kesempatan menjual makanan tidak berkhasiat di luar premis.
Tinjauan di sekitar Petaling Jaya serta Subang Jaya (Selangor) dan Bangsar (Kuala Lumpur) mendapati penjualan makanan dan minuman tidak berkhasiat termasuk minuman berkarbonat atau makanan ringan masih berleluasa.
Berdasarkan perbualan dengan beberapa penjaja, ada yang secara terang-terangan mengakui menjualnya kerana juadah itu turut diperoleh di kantin sekolah dan sebagai daya tarikan mereka menjualnya pada harga lebih murah.

Ketua Penolong Pengarah (Hal-Ehwal Murid), Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur, Mohd Amir Abdu Ghani, berkata penjualan makanan di luar sekolah masih berleluasa dan membimbangkan pihaknya.

Katanya, mereka boleh mengawal penjualan makanan tidak berkhasiat di kantin sekolah, tetapi sukar membanteras perniagaan di luar kawasan itu kerana penguasaan tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Paling membimbangkan keadaan itu menyebabkan berlaku pengambilan makanan tidak selamat dan ada kes murid keracunan,” katanya diminta mengulas penjualan makanan tidak berkhasiat di kantin sekolah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Petaling Utama, Selangor, Abu Omar Mos, mengharapkan PBT bertindak tegas membanteras penjualan bagi mengelakkan daripada terus berleluasa.

“Kita mahu murid menikmati makanan berkhasiat untuk menjadikan mereka cerdas dan cergas. Makanan diniagakan di luar sekolah dikhuatiri tercemar dan menjejaskan kesihatan,” katanya.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sri Aman, Petaling Jaya, Datin Noorul-Aini Ambok, berkata pihaknya sudah melaporkan aktiviti itu kepada Kementerian Kesihatan namun diminta merujuk kepada PBT.

Katanya, pihak sekolah bimbang dikhuatiri pengambilan makanan daripada peniaga di luar kawasan sekolah boleh menyebabkan berlaku keracunan dan ibu bapa akan menyalahkan pihak sekolah kerana tidak mengawal keadaan itu.

Larangan penjualan 15 makanan diproses di kantin sekolah diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 4 April tahun lalu.

Makanan berkenaan termasuk burger, sosej, nuget, teh dan kopi, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan makanan ringan.

Berita Harian Online: 22 Februari 2012

Rabu, 8 Februari 2012

Pengusaha kantin masih jual 15 jenis 'makanan tak sihat'

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/02/08

Abai garis panduan tangani masalah obesiti murid sekolah

KEMENTERIAN Pelajaran perlu melaksanakan segera larangan penjualan 15 makanan diproses di kantin sekolah yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan sejak sembilan bulan lalu dan sepatutnya berkuatkuasa Jun lepas. Ini kerana kegagalan mengeluarkan arahan atau surat pekeliling kepada pengusaha atau operator kantin sekolah menyebabkan makanan dan minuman tidak berkhasiat itu masih dijual secara berleluasa.

Tinjauan Berita Harian di sekolah di Subang Jaya dan Petaling Jaya mendapati juadah itu termasuk ais krim dan minuman bergas yang tersenarai sebagai makanan dilarang mengikut Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata antara kekangan pelaksanaannya adalah ketiadaan kerjasama daripada pihak pengusaha kantin atau operator kantin sekolah, pihak sekolah serta ibu bapa.

“Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan oleh Kementerian Kesihatan hanya boleh dilaksanakan menerusi kerjasama pihak sekolah, operator kantin, pelajar dan ibu bapa.
“Tindakan terhadap pengusaha kantin sekolah tidak boleh dilaksanakan kerana ia bukan dasar sebaliknya hanya garis panduan,” katanya kepada Berita Harian selepas melancarkan Pertandingan Antiaedes Renjer Ridsect peringkat Sekolah Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pada pengumuman April tahun lalu, Kementerian Pelajaran sepatutnya mengeluarkan pekeliling kepada pihak sekolah untuk melarang penjualan makanan larangan berkenaan, bagaimanapun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Cadangan larangan 15 jenis makanan yang dilarang penjualannya di sekolah terkandung dalam draf garis panduan penjualan makanan di kantin sekolah yang diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 4 April tahun lalu.

Berita Harian sebelum ini menyiarkan makanan diproses seperti burger, sosej dan nuget serta teh dan kopi ialah antara 15 jenis makanan `tidak sihat' yang dilarang dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai Jun tahun lalu.

Makanan lain ialah mi segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan makanan ringan.

Bagaimanapun, ada 70 jenis makanan, termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu, disenaraikan sebagai makanan yang boleh dijual mengikut garis panduan baru.

Garis panduan itu dirangka bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes dalam kalangan pelajar.

Penyenaraian 70 jenis makanan dan larangan 15 jenis makanan itu disediakan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Larangan penjualan makanan tidak sihat sejajar dengan usaha kementerian menangani masalah obesiti dan diabetes yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat, terutama kanak-kanak, selain dijadikan langkah pencegahan peringkat awal.

Berita Harian Online: 8 Februari 2012

Selasa, 7 Februari 2012

Denda sekolah kotor untuk jaga kesihatan pelajar


DUA orang pelajar mengutip plastik dan botol minuman yang tidak dikutip di hadapan sebuah sekolah di Selayang kelmarin.


KUALA LUMPUR - Sekolah yang gagal menyediakan persekitaran bersih serta menyumbang kepada peningkatan kes kesihatan dalam kalangan pelajar wajar dikenakan tindakan denda.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, tindakan itu harus dilaksanakan demi kepentingan pelajar.

"Kegagalan pihak sekolah menyediakan kawasan pembelajaran yang bersih dan selesa menunjukkan pihak pengurusan sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan alpa dengan aspek tersebut.

"Ia juga bagaikan mendidik generasi akan datang bahawa isu kebersihan adalah tidak penting dan boleh diabaikan padahal ia merupakan antara perkara yang perlu dititikberatkan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman baru-baru ini bahawa sebanyak 20 peratus kes denggi di negara ini membabitkan pelajar sekolah.

Berdasarkan kes tahun lalu, sebanyak 4,222 daripada 19,884 kes denggi membabitkan golongan pelajar.

Dalam pada itu, Mohd. Ali turut mencadangkan agar setiap pelajar bermasalah dihukum dengan didikan menerusi kerja-kerja khidmat sosial seperti membersihkan kawasan sekolah masing-masing.

Jelasnya, hukuman yang boleh dikatakan sebagai 'serampang dua mata' itu bukan sahaja boleh mendidik mereka mengenai pentingnya menjaga kebersihan sekolah malah pada masa sama memastikan sekolah berkenaan sentiasa bersih.

"Selain daripada aktif menjalankan kempen-kempen kesedaran tentang isu kebersihan, pihak sekolah juga perlu menjalankan gotong-royong sekurang-kurangnya sebulan sekali.

"Jika tidak, kes-kes sebegitu tidak akan berkurangan dan turut akan memberi persepsi yang negatif kepada pihak luar tentang kealpaan institusi pelajaran," ujar beliau.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di beberapa buah sekolah di sekitar Lembah Klang semalam mendapati ada antaranya dicemari sampah sarap yang boleh membiakkan nyamuk aedes.

Di sebuah sekolah kebangsaan di Selayang, kawasan hadapan sekolah terbabit dipenuhi dengan plastik dan botol manakala kawasan pondok menunggu bas di hadapan sebuah sekolah menengah pula seakan-akan menjadi tempat membuang sampah haram.

Kosmo Online: 7 Februari 2012

Selasa, 15 November 2011

Elak lintah masuk kemaluan


HUSSAIN (tiga dari kiri) bersama pegawainya melawat pelajar SMK Penambang, Nor Fazira Ahmad Suhaimi yang menjalani peperiksaan SPM di HPRZ II akibat dijangkiti demam kepialu di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Pelajar perempuan di negeri ini dinasihatkan supaya tidak 'ghairah' bermain dan mandi air banjir bagi mengelakkan berulangnya kes lintah memasuki alat sulit seperti yang dilaporkan tahun lalu.

Pengarah Pelajaran Negeri Hussain Awang berkata, pada musim banjir tahun lalu, seramai 13 orang pelajar perempuan di negeri ini yang bermain dan mandi air banjir telah dimasuki lintah dalam alat sulit mangsa.

“Jadi saya ingin menasihatkan pelajar perempuan supaya tidak bermain banjir bagi mengelak kejadian serupa berulang kerana ia boleh mengancam nyawa mereka akibat pendarahan dalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini semalam.

Terdahulu beliau bersama pegawainya serta pegawai perhubungan awam HPRZ II, Zaid Ahmad meluangkan masa melawat tiga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpakasa mengambil peperiksaan di hospital akibat masalah kesihatan.


Kosmo Online: 15 November 2011

Selasa, 1 November 2011

Guru sakit mohon tukar sekolah ikut suami

2011/11/01

SAYA ingin menarik perhatian Kementerian Pelajaran mengenai permohonan pertukaran guru bagi sesi Januari depan. Selepas tamat mengikuti kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), rakan saya, seorang guru wanita ditempatkan mengajar di sebuah sekolah rendah di Sibu, Sarawak mulai Februari lalu dengan gred DC41.

Pada Jun lalu, beliau melangsungkan perkahwinan dengan seorang guru yang mengajar di Selangor. Pada waktu sama guru wanita ini disahkan mengidap penyakit yang memerlukannya sering berulang alik ke hospital untuk diberi suntikan ubat.
Beliau perlu makan ubat selama tempoh setahun tanpa henti. Saya ingin bertanya kepada pihak berkenaan, adakah guru ini boleh memohon untuk bertukar balik ke Semenanjung, khususnya ke Selangor dengan alasan mengikut suami dan masalah kesihatan?

Pertanyaan ini terpaksa dibuat kerana ada pegawai menyatakan guru terbabit tidak boleh mohon berpindah kerana tempoh perkhidmatan di Sibu tidak cukup 12 bulan dan alasan kedua, Sibu pun ada hospital.

Kalau betul pun syarat memohon tukar kena berkhidmat melebihi 12 bulan, itu kan syarat dibuat manusia? Alasan di Sibu juga ada hospital, memang betul tetapi perlu diingat bahawa sesuatu yang menyentuh kesihatan adalah perkara yang mempengaruhi emosi diri dan prestasi kerja seseorang.

INGIN TAHU,
Kuala Lumpur

Utusan Malaysia Online: 1 November 2011

Jumaat, 28 Oktober 2011

Pemantauan, laporan peralatan jadi agenda mesyuarat PIBG

28/10/2011 7:03pm

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Langkah pemantauan serta laporan peralatan di sekolah perlu dijadikan agenda tetap dalam setiap mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, pemantauan dan laporan ini perlu dikemukakan pada setiap mesyuarat untuk mengetahui peralatan di sekolah berada dalam keadaan baik atau sebaliknya.

"Laporan mengenainya perlu agar pihak sekolah dan PIBG dapat berbincang jalan penyelesaiannya sekali gus mengambil tindakan segera terhadap peralatan usang atau reput yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan pelajar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kejadian seorang murid perempuan tahun satu pengsan manakala rakannya cedera di tangan setelah ditimpa sebatang tiang bendera ketika menyertai aktiviti sukan di sebuah sekolah di Beranang, Selangor, semalam.

Menurutnya, budaya mementingkan keselamatan di sekolah perlu disemai di dalam diri setiap pelajar agar kemalangan seperti ini tidak berlaku.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, kejadian itu kes terpencil di negara ini kerana mempunyai peratusan yang sangat sedikit dalam statistik kemalangan ketika berada di kawasan sekolah.

"Walaupun begitu, ia tidak boleh dipandang remeh kerana melibatkan pihak sekolah dan ibu bapa. Oleh itu, tindakan yang wajar perlu dilakukan bagi mengelak kejadian seperti ini berulang," katanya.

Pihaknya berharap agar ibu bapa tidak mudah 'melatah' jika kejadian ini berlaku kepada anak mereka kerana pihak sekolah sedaya upaya menjaga keselamatan pelajar ketika berada di kawasan sekolah.

“Pihak sekolah pula perlu lebih prihatin terhadap keselamatan pelajar kerana sudah menjadi tanggungjawab untuk memantau mereka agar tidak berlaku kemalangan,” ujarnya.

Pada bulan lepas, seorang murid tahun lima maut setelah cedera parah di kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa 1, Klang. - Utusan


Utusan Malaysia Online: 28 Oktober 2011

Murid pengsan ditimpa tiang bendera

HULU LANGAT 27 Okt. – Seorang murid perempuan Tahun Satu pengsan manakala rakannya cedera di tangan setelah ditimpa sebatang tiang bendera yang tiba-tiba tumbang ketika menyertai aktiviti sukan di sebuah sekolah rendah di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika kedua-dua mangsa sedang bermain berhampiran tiang bendera tersebut yang terletak di hadapan kawasan perhimpunan sekolah.

Seorang saksi kejadian memberitahu, salah seorang daripada murid itu dikatakan bermain pada skru tiang bendera sebelum skru tersebut tercabut dan mencederakan tangannya.

“Seorang lagi rakan mangsa yang berdiri tiba-tiba terkejut apabila tiang terbabit jatuh dan menghempap kepalanya lalu tidak sedarkan diri di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ketika kejadian, saksi itu berkata, kebanyakan murid berada di padang sekolah kerana terlibat dalam aktiviti sukan sekolah.

Berikutan kejadian itu, kedua-dua mangsa segera dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan oleh guru sekolahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, seorang murid hanya mengalami cedera ringan di tangan, manakala rakannya yang dihempap tiang kini boleh bercakap dan dilaporkan stabil.

Jelasnya, guru sekolah tersebut telah memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa murid berkenaan dan membuat laporan polis petang ini.

Utusan Malaysia Online: 28 Oktober 2011

Khamis, 27 Oktober 2011

SMK Jeram, Kubang Bemban juara kantin bersih


Wan Mansor Hamzah (empat dari kanan) bersama pengetua sekolah yang memenangi Pertandingan Kantin Sekolah Bersih dan Dewan Makan Asrama Bersih 2011 menunjukkan tanda bagus pada majlis penyampaian hadiah di SMK Kubang Bemban, Pasir Mas, baru-baru ini.


PASIR MAS 26 Okt. - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, Pasir Puteh dan SMK Kubang Bemban di sini diumumkan sebagai juara kategori kantin serta dewan makan bersih pada Pertandingan Kantin dan Dewan Makan Sekolah Menengah Bersih Peringkat Negeri Kelantan 2011.

Tempat kedua kategori kantin dimenangi oleh SMK Pengkalan Chepa dan ketiga, SMK Kubang Golok, Bachok manakala kategori dewan makan pula, naib johan SMK Cherang Ruku, Pasir Puteh dan SMK Badak, Bachok di tempat ketiga.

Majlis yang diadakan di Dewan Bestari SMK Kubang Bemban di sini, disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Datuk Hanapi Mamat.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr. Wan Mansor Hamzah.

Kemenangan itu melayakkan SMK Jeram, Pasir Puteh dan SMK Kubang Bemban mewakili Kelantan ke Pertandingan Kantin dan Dewan Makan Sekolah Menengah Bersih Peringkat Kebangsaan.

Sementara itu Wan Mansor berkata, secara keseluruhan tahap kebersihan kantin dan dewan makan sekolah-sekolah menengah di negeri ini meningkat.

"Bagaimanapun masih ada ruang yang boleh diperbaiki dan ditingkatkan agar makanan yang disajikan benar-benar bersih. Jabatan Kesihatan negeri akan terus memantau dan memberi kerjasama kepada Jabatan Pelajaran negeri bagi memastikan aspek kebersihan dapat ditingkatkan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 27 Oktober 2011

Sabtu, 22 Oktober 2011

Kesan negatif tampar muka budak

2011/10/22

SAYA tergerak untuk menulis berkenaan kesan menampar muka kanak-kanak sama ada anak kita ataupun murid sekolah. Kita mungkin menganggap menampar adalah tindakan yang tidak serius dan bukanlah isu besar, malah kita sendiri pun pernah ditampar pada satu ketika dulu.

Bagaimanapun tahukah perbuatan menampar itu boleh memberi kecederaan serius terutama ke atas kanak-kanak. Dari sudut perubatan, kita mengetahui kanak-kanak mempunyai organ yang masih berkembang dalam menjalani proses tumbesaran.
Organ ini juga rapuh, mudah cedera dan berpotensi menghadapi masalah kesan negatif jangka panjang. Organ di bahagian muka seperti mata, telinga, mulut, lidah, saraf tunjang leher dan juga otak ialah organ penting yang berpotensi tercedera jika bahagian muka dan kepala dijadikan tempat membuat pukulan atau tamparan.
Jika kita membaca mengenai kesan kecederaan muka dan kepala terutama ke atas kanak-kanak yang didera, kita dapati kebanyakan kecederaan disebabkan tindakan menampar ataupun menumbuk di bahagian muka.

Orang yang menampar mungkin memakai cincin atau gelang dan kesan yang diakibatkan oleh tangan ini tentu sekali lebih serius. Apabila melakukan tamparan terutama di dalam keadaan emosi yang tidak terkawal, kita tidak dapat mengawal dan menentukan dengan tepat bahagian muka yang terkena tamparan.

Ini menyebabkan tamparan bahagian muka kadangkala boleh terkena leher, mata dan telinga. Tamparan yang kuat ke bahagian kepala boleh mencederakan tulang leher dan saraf tunjang kerana anjakan kepala yang mendadak dan cepat.

Anjakan cepat bahagian kepala ini juga boleh menggoncang otak dan ini boleh memecahkan salur darah, mengoyak selaput otak dan boleh berlaku pendarahan otak.
Pada waktu sama jika kepala terhentak ke dinding atau benda keras akibat momentum pergerakan kepala ketika ditampar, kecederaan yang berlaku boleh menjadi lebih serius dan mungkin boleh mengancam nyawa.

Jika tamparan tepat pada cuping telinga dan menutup lubang telinga, maka tekanan kuat akan disalurkan ke dalam rongga telinga dan sampai ke gegendang, gegendang telinga boleh pecah dan ini akan menyebabkan gangguan pendengaran yang kekal jika ia serius dan tidak dirawat dengan cepat.

Sebenarnya banyak lagi kesan fizikal akibat tamparan seperti lebam, bibir pecah, gigi patah dan lain-lain lagi. Apa yang penting ialah menampar bukan perbuatan yang boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai kaedah untuk menghukum.

Di samping kesan fizikal yang dialami oleh kanak-kanak atau pelajar yang ditampar, kesan psikologi ialah salah satu akibat yang tidak kurang seriusnya.

Menampar dikatakan satu kaedah yang boleh menjatuhkan maruah seseorang lebih-lebih lagi jika ia dilakukan di hadapan khalayak. Saya menyeru kepada semua pihak supaya mengelakkan diri daripada menggunakan tamparan muka sebagai kaedah menghukum.

Kesimpulannya, apabila kita menghukum terutama ke atas anak-anak atau pelajar, hukumlah dengan kaedah sesuai serta berhikmah dengan tujuan mendidik dan penuh kasih sayang supaya ia dapat menjadi pengajaran berguna dan bertujuan menjadikan mereka seorang insan yang lebih baik di masa hadapan.

DR MOHD RUSHDAN MD NOOR,
Hospital Sultanah Bahiyah,
Alor Setar, Kedah

Berita Harian Online: 22 Oktober 2011

Rabu, 12 Oktober 2011

‘Saya tidak mengalah’

Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

DUNGUN: “Saya tetap akan gagahkan diri demi kejayaan pelajar,” kata seorang guru, Edlin Ishak, 44, yang menghidap penyakit Parkinson menyebabkan pergerakannya terbatas sehingga terpaksa dipapah ketika ke sekolah selain sukar hendak bertutur.

Bagi memastikan pelajarnya cemerlang dalam pelajaran, Edlin yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Pulau Serai di sini, tetap meneruskan kerjaya biarpun terpaksa dipapah setiap hari oleh suaminya, Rosdi Hussin, 41, ke sekolah.


Katanya, dia disahkan menghidap Parkinson selepas menemui doktor pakar pada 2009 dan sering mengalami gangguan saraf yang menyebabkannya sukar bercakap.

“Biarpun tak dapat berdiri lama, saya tetap gagahkan diri demi kecemerlangan pelajar dan terpaksa menggunakan alat pembesar suara ketika mengajar,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kerusi roda bertandas yang disumbangkan Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh di rumahnya di Kampung Pulau Serai di sini, kelmarin.


Edlin berkata, dia berterima kasih dengan sumbangan kerusi roda itu kerana ia dapat memudahkannya bergerak termasuk membuang air besar ketika mengajar di sekolah.


“Sebelum ini, saya sukar untuk membuang air dan terpaksa mendapatkan bantuan suami serta guru lain di sekolah,” katanya.

Dia terpaksa makan ubat diberikan doktor pakar untuk mengelak menggeletar dan sekiranya lambat mengambil ubat, akan membuatkan sukar untuk mengajar.


“Ketika ini, saya terpaksa berehat dua bulan selepas mengambil ubat doktor bertujuan mengembalikan semula kecergasan otak dan selepas itu barulah saya boleh mengajar semula,” katanya.


myMetro: 12 Oktober 2011

Rabu, 27 Julai 2011

TPM lancar Sekolah Dalam Hospital


Guru Sekolah Dalam Hospital, Muhammad Sufyan Bujang berbincang dengan anak-anak muridnya sewaktu majlis pelancaran Sekolah Dalam Hospital di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 26 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan program perintis Sekolah Dalam Hospital (SDH) yang melibatkan tiga buah hospital di Lembah Klang.

Tiga hospital terbabit ialah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang.

Penubuhan SDH di tiga sekolah berkenaan yang juga dikenali dengan Projek Hati Nurani adalah hasil kerjasama Yayasan Nurul Yaqeen, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Muhyiddin di dalam ucapan pelancarannya di Institut Pediatrik, HKL di sini berkata, objektif utama SDH adalah untuk memastikan semua kanak-kanak serta remaja termasuk mereka yang mendapat rawatan di hospital berpeluang mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

‘‘Adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Pelajaran memastikan setiap kanak-kanak di negara ini mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti tidak kira di mana pun mereka berada,’’ katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga penaung projek, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Dalam ucapannya Muhyiddin turut mengucapkan penghargaan kepada isterinya kerana mengingatkan beliau supaya tidak mengabaikan masa depan pelajar-pelajar yang menerima rawatan di hospital.

‘‘Oleh itu, apabila isteri saya menyatakan hasrat untuk membantu menyediakan pendidikan secara formal dan berstruktur kepada golongan ini, saya bukan sekadar menyokong 100 peratus malah lebih daripada 200 peratus.

‘‘Ini bukan disebabkan cadangan ini datang daripada isteri saya tetapi sememangnya ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kita semua demi kelangsungan masa depan kanak-kanak ini,’’ katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, SDH merupakan satu program pendidikan yang menggunakan pendekatan yang berbeza daripada sekolah biasa.

Ujarnya, di sekolah tersebut para pelajar akan menimba ilmu melalui pendekatan belajar secara menyeronokkan dan santai.

‘‘Persekitaran pembelajaran yang tenang, menarik dan berwarna warni merupakan terapi semulajadi bagi pelajar dan kanak-kanak di hospital.

‘‘Sekurang-kurangnya sesi pelajaran yang menarik dan diselang-selikan dengan permainan akan dapat membantu menghilangkan rasa bosan mereka apabila perlu mendapat rawatan dalam tempoh yang lama di hospital,’’ katanya lagi.

Seperkara lagi beliau berkata, kewujudan SDH juga mampu menghilangkan rasa bimbang para ibu bapa apabila terhadap pelajaran anak-anak mereka apabila menerima rawatan di hospital.

‘‘Kebimbangan ini tentunya lebih tinggi jika anak-anak mereka akan menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan.,’’ katanya lagi.

Sementara itu pada sidang akhbarnya Muhyiddin berkata, sekolah itu telah memulakan sesinya di tiga hospital terlibat sejak dua minggu lalu.

‘‘Pihak kementerian telah menyediakan 16 guru terpilih untuk memastikan projek SDH dapat dijalankan dengan baik. Saya ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada mereka kerana sanggup menyahut cabaran kerajaan merealisasikan usaha murni ini.

‘‘Kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan korporat kami mengalu-alukan sekiranya mereka sedia membantu kami memperluaskan projek ini di hospital-hospital terutama di hospital besar di setiap negeri,’’ katanya lagi.

Utusan Malaysia Online: 27 Julai 2011

Selasa, 19 Julai 2011

Cikgu berkelakuan pelik didakwa sakit jiwa

KUALA LUMPUR - Seorang guru di sebuah sekolah rendah di Batu Caves yang didakwa sering memaki serta melakukan gangguan seksual terhadap murid-muridnya dipercayai mengalami gangguan mental.

Menurut Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah terbabit, Ramlan Suparman, pihaknya telah dimaklumkan bahawa guru itu mengalami masalah kesihatan dan mempunyai surat perakuan perubatan.

"Difahamkan guru tersebut ada masalah kesihatan dan ada surat doktor. Kami sudah bawa perkara ini untuk dibincangkan dengan pengurusan sekolah selepas laporan mengenai kejadian ini didedahkan dalam akhbar dan atas desakan ibu bapa yang tidak mahu anak mereka menjadi mangsa.

"Saya yakin tindakan sudah diambil oleh pihak sekolah namun, sebagai penjawat awam, mereka perlu mengambil tindakan berdasarkan prosedur dan tatacara yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! pada Sabtu lalu mendedahkan mengenai tindakan pelik seorang guru yang didakwa melakukan gangguan seksual selain kerap menampar dan menendang kaki murid-murid lelaki dan perempuan tanpa sebab.


Kosmo Online: 19 Julai 2011

Khamis, 7 Julai 2011

Bapa dakwa guru cuai

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

KUANTAN: Seorang murid tahun dua yang mengikuti latihan sukan sekolah, kini bertarung nyawa di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, akibat disengat tebuan pada 20 Jun lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Muhamad Al-Amin Ibrahim, 8, dari Kampung Darat Sungai Ular bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular, di sini, belum sedarkan diri akibat cedera di kepala, leher, rusuk, lengan dan belakang badan.


Bapa angkat mangsa, Aziz Mamat, 49, berkata dia mendapat tahu kejadian terbabit melalui isterinya, Rosilawati Abdul Rahman, 39, sebelum bergegas pulang ke rumah.

“Isteri memberitahu dia yang berada di rumah didatangi guru yang membawa anak kami pulang dan memberitahu dia disengat tebuan sebelum mendapati keadaannya separuh sedar.


“Isteri bertanyakan mengenai kejadian terbabit, namun guru memberitahu anak kami disengat di luar kawasan sekolah padahal sarang tebuan itu berada di sebuah bangunan sekolah itu,” katanya.


Menurutnya, melihat keadaan dan rupa anaknya bertukar kebiruan dia membawanya ke klinik kesihatan berhampiran sebelum dipindahkan ke HTAA.

Katanya, sehingga kini, anaknya sudah 18 hari menerima rawatan dan dipercayai paru-parunya dijangkiti kuman.


Aziz berkata, susulan itu dia merujuk Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang untuk mengambil tindakan lanjut berikutan kecuaian guru yang mendakwa lambat menghantar anaknya ke HTAA Kuantan.

“Saya sedih apabila melihat keadaannya ketika menerima rawatan yang menyeksakan.


“Bayangkan 10 sengatan tebuan sehingga menyebabkan bisa serangga itu merebak ke paru-parunya,” katanya ketika ditemui, semalam.


Katanya, dia difahamkan, sarang tebuan itu yang berada di bangunan sekolah sudah dibuang sepasukan anggota bomba dan penyelamat sehari selepas kejadian terbabit.


Menurutnya, dia sudah membuat surat aduan untuk diserahkan kepada Pengarah JPN selain akan mengambil tindakan undang-undang selepas mendapati kecuaian berlaku dalam sekolah berkenaan.

myMotro: 7 Julai 2011

Sabtu, 25 Jun 2011

PBPPM ziarah bekas guru terlantar sakit


Sebahagian ahli rombongan JPN Kelantan dan Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Negeri Kelantan yang mengunjungi pesakit kronik, Bakar Rasip (duduk, tengah) di Kampung Kasar, Pasir Mas, baru-baru ini.


PASIR MAS 24 Jun - Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PBPPM) Kelantan dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menziarahi tujuh pesara guru yang menghidap penyakit kronik di rumah mereka sempena Perayaan Hari Guru ke 40 Peringkat Negeri Kelantan tahun ini.

Tiga pesara guru berkenaan ialah Mohd. Embong Mohamad dari Pendek, Kota Bharu; Abd. Mutalib Mamat dari Jalan Datuk Lundang dan Mohd. Nor Ismail dari Taman Seri Pengkalan Chepa.

Empat orang lagi, Hussin Senik dari Wakaf Bharu, Tumpat; Bakar Rasip dari Kampung Kasar; Shaari Hussin dari Kampung Dangar, Pasir Mas dan Muhamad Kasim dari Kampung Gong Kual, Pasir Puteh.

Kebanyakan mereka diserang strok serta penyakit berpunca dari komplikasi kencing manis dan kini terlantar dengan segala urusan dilakukan oleh ahli keluarga.

Timbalan Pengarah JPN Kelantan, Zahari Daud yang mengetuai rombongan ziarah mahabbah itubaru-baru ini berkata, pihaknya mengatur kunjungan tersebut untuk melihat sendiri keadaan pesara berkenaan.

Katanya, ia bagi menunjukkan bahawa pesara berkenaan tidak dilupakan walaupun sedang terlantar sakit.

''Mereka masih diberikan perhatian walaupun telah bersara dari perkhidmatan, jasa mereka sebagai golongan pendidik tetap dalam ingatan terutama sempena Hari Guru kerana jasa mereka untuk mendidik anak bangsa tidak ternilai," katanya.

Sementara itu, Bakar Rasip, 70, yang diserang strok lebih setahun lalu berkata, dia gembira menerima kunjungan itu.

''Saya berbesar hati kerana masih ramai rakan yang mengingati saya," katanya yang menamatkan perkhidmatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim 1 Pasir Mas pada tahun 1993.

Utusan Malaysia Online: 25 Jun 2011

Jumaat, 10 Jun 2011

Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah Dibentang Kepada TPM Dalam Masa Terdekat

PUTRAJAYA, 10 Jun (Bernama) -- Garis panduan pemakanan sihat di sekolah akan dibentang kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran untuk diluluskan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd Ghafar Mahmud berkata garis panduan itu kini dalam proses akhir untuk disiapkan dan beberapa mesyuarat antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran telahpun selesai.

"Insya-Allah apabila sudah siap nanti kita akan bawa kepada Timbalan Perdana Menteri untuk diluluskan," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Garis panduan yang turut memberi tumpuan kepada beberapa perkara baru termasuk kekerapan sesuatu makanan itu dijual di kantin sekolah dihasilkan bagi memastikan amalan pemakanan sihat di kalangan murid dan menangani masalah kesihatan mereka, seperti masalah berlebihan berat badan.

Dalam perkembangan lain, Abd Ghafar berkata masa persekolahan yang ditetapkan pada hari Jumaat adalah memadai dan tidak sepatutnya menghalang pelajar-pelajar Islam menunaikan solat Jumaat.

Beliau berkata setiap hari Jumaat, waktu pelepasan pelajar adalah 12.15 tengah hari sedangkan waktu Zohor sekitar 1.20 tengah hari, justeru masa yang ada cukup untuk mereka mempersiapkan diri.

Abd Ghafar diminta mengulas mengenai beberapa aduan daripada ibu bapa bahawa masa persekolahan pada hari Jumaat menyebabkan anak mereka tidak sempat menunaikan solat Jumaat.

-- BERNAMA

BERNAMA: 10 Jun 2011

Isnin, 16 Mei 2011

Kantin sekolah masih jual makanan larangan


ANTARA makanan berat yang dijual di kantin ketika tinjauan mengenai pelajar yang mengalami masalah obesiti di Sekolah Menengah Tinggi, Setapak, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 15 Mei - Rata-rata pengusaha kantin sekolah masih menjual pelbagai jenis makanan termasuk makanan ringan seperti kentang goreng, keropok lekor, sosej, bebola ikan dan burger walaupun kerajaan telah mengumumkan cadangan larangan penjualan makanan tidak berkhasiat baru-baru ini.

Hasil tinjauan wartawan unit khas Utusan Malaysia di 11 sekolah sekitar Kuala Lumpur mendapati, selain makanan tersebut, pihak kantin turut menyediakan makanan berat seperti nasi lemak, nasi goreng serta nasi berlauk.

Malah, masih terdapat sekolah yang menjual minuman berkarbonat kepada pelajar.

Mereka turut menjual buah-buahan seperti tembikai, jambu dan betik namun kurang mendapat sambutan daripada pelajar.

Pengusaha kantin, Zulkifly Jusoh, (gambar) 52, berkata, ketika ini pihak kantin belum menerima sebarang senarai makanan yang perlu disediakan sebagai makanan yang berkhasiat walaupun media sudah menghebahkan mengenai perkara itu.

Ditanya mengenai menu makanan sihat, katanya, dia pernah menyediakan menu pilihan seperti roti, sup dan sayur campur menggantikan makanan yang berminyak, namun langsung tidak mendapat sambutan daripada pelajar dengan alasan tidak mengenyangkan dan tidak sedap.

"Pelajar sesi pagi memilih makanan yang berat seperti nasi berlauk atau nasi lemak kerana mereka ingin makanan yang boleh mengenyangkan hingga tamat sesi sekolah.

"Memang benar mereka banyak makan nasi, tetapi mereka juga aktif di sekolah termasuk melakukan aktiviti bersukan, jadi saya tidak setuju jika dikatakan makanan di kantin punca pelajar gemuk," katanya yang sudah 10 tahun menjadi pengusaha kantin.

Dalam tinjauan tersebut, para pengusaha kantin turut mengakui tiada pemeriksaan dilakukan oleh pihak sekolah atau Kementerian Kesihatan mengenai khasiat makanan, namun pemeriksaan lebih tertumpu kepada soal kebersihan.

Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2011

Jumaat, 28 Januari 2011

Suami Normala sakit kritikal?



Maarof Abd. Mutalib (kiri) membantu isterinya, Normala Sudirman berkempen bagi Pilihan Raya Kecil DUN Tenang di Kampung Tenang, Labis, Johor, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Jan. - Status kesihatan Maarof Abd. Mutalib, suami kepada Normala Sudirman calon Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, menjadi persoalan kerana beliau dilaporkan mengambil cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini.

Perkara itu didedahkan menerusi sebuah blog, http://marahku.blogspot.com/ yang mendakwa Maarof mengambil cuti sakit selama dua hari pada 6 dan 7 Januari dari Pusat Perubatan Keluarga di Jalan Segamat, Labis, Johor.

Ia diikuti dengan cuti sakit selama dua minggu bermula 10 hingga 23 Januari yang dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Bandar Putra, Segamat dan tambahan cuti lima hari lagi yang diperoleh dari pusat kesihatan sama.

Ketiga-tiga salinan surat sakit yang dikeluarkan kepada Maarof itu turut dimuat naik ke dalam blog tersebut menerusi entri bertajuk 'PRK Tenang: Normala's cheating husband has been keeping secrets from her' yang disiarkan semalam.

Menurut penulis blog itu, cuti sakit yang panjang tersebut membayangkan Maarof sedang berdepan masalah kesihatan yang serius.

''Saya bertanyakan rakan yang merupakan seorang doktor, apakah penyakit yang memerlukan seseorang mengambil cuti sakit sehingga dua minggu dan dia (doktor) berkata, penyakit itu mestilah sangat serius dan berkemungkinan mengancam nyawa.

''(Sebab jika) demam hanya diberikan cuti sakit satu atau dua hari dan jangkitan mata pula paling lama hanya beberapa hari.

''H1N1 pula akan dikuarantin selama dua minggu. Mungkinkah beliau dijangkiti H1N1?.

''Saya tidak pasti tetapi selepas dua minggu, adalah jelas beliau masih tidak sihat untuk mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen dan doktor menambah lima hari lagi cuti sakit dari 24 hingga 28 Januari," katanya.

Tidak berpuas hati dengan perkara itu, penulis blog tersebut menambah, beliau membuat banyak rujukan, menyemak kamus perubatan, bercakap dengan ahli fizik dan pakar, malah, turut menulis kepada beberapa buah pusat kawalan penyakit.

Bagaimanapun tambahnya, kesemua usahanya itu menjurus kepada satu jawapan iaitu kesimpulan yang tidak dapat dijelaskan.

''Kami dengan sedih memaklumkan kepada Cikgu Mala (Normala) bahawa suaminya itu telah mengalami politicitis husbandus temperaturis permanantum atau juga dikenali sebagai election fever-candidate's husband strain 2 (EF-CHS2).

''Ia boleh menjadi penyakit yang kekal dan membunuh kariernya sebagai seorang guru," katanya dalam blog itu.

Penulis blog itu menambah, kelibat Maarof yang sentiasa kelihatan bersama Normala ketika berkempen sebelum ini telah menimbulkan pertanyaan di kalangan orang ramai mengenai pekerjaan sebenar beliau.

Antaranya, kata beliau, apakah Maarof bekerja sendiri atau merupakan seorang ahli politik sepenuh masa.

''(Sebenarnya) Maarof adalah seorang guru dan sangat jelas beliau sedang merahsiakan sesuatu daripada isterinya.

''Bukan rahsia kecil tetapi rahsia yang boleh merubah hidup," katanya.

Utusan Malaysia Online: 28 Januari 2011

Isnin, 15 November 2010

Guru melecur gel pemanas makanan meletup



AINON MARDHIAH menunjukkan mukanya yang cedera dalam kejadian di SMK Sultan Yussuf, Batu Gajah, Perak.


IPOH - Seorang guru melecur teruk di kepala apabila disambar api kesan letupan bahan api berbentuk gel yang dinyalakan di bawah sebuah bekas dulang berisi lauk-pauk pada Jumaat lalu.

Berikutan kejadian pada majlis makan malam tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf, Batu Gajah dekat sini pada kira-kira 8.30 malam itu, Ainon Mardhiah Elias, 39, melecur di bahagian dahi, rambutnya sedikit terbakar dan mata serta pipinya bengkak.

Ainon Mardhiah yang juga warden sekolah terbabit memberitahu, semasa kejadian, dia dan seorang guru, Nur Haliza Zainal Abidin sedang memanaskan hidangan untuk majlis yang diadakan di dewan sekolah tersebut.

Majlis makan malam itu dihadiri kira-kira 250 orang merangkumi pelajar, guru dan ahli keluarga masing-masing.

Cerita Ainon Mardhiah, pada mulanya Nur Haliza memasukkan bahan api berupa gel yang diletakkan di dalam bekas khas di bawah sebuah dulang manakala dia menyalakan api dengan mancis.

"Tiba-tiba berlaku letupan kuat hingga botol berisi bahan api gel itu terpelanting hampir lima meter ke atas pentas dewan.

Kosmo Online: 15 November 2010

Isnin, 25 Oktober 2010

'Sandwich kosong' untuk pelajar, sardin lesap

Regina Lee
Okt 25, 10
3:12pm

Kanak-kanak sekolah yang dijanjikan roti sandwich sardin tetapi hanya dibekalkan dua keping roti dengan marjerin.

Perkara itu didedahkan dalam laporan Ketua Auditor Negara 2009 yang mendapati Rancangan Makanan Tambahan oleh kerajaan tidak menepati apa yang serpatutnya seperti yang berlaku di SK Jeroco di Lahad Datu.

Selain sardin, sandwich yang dijanjikan itu sepatutnya juga mempunyai timun, tomato dan salad, tetapi kanak-kanak itu cuma dibekalkan dengan marjerin.

Selain SK Jeroco, pembekal makanan di lima sekolah rendah yang lainj sekitar Malaysia juga didapati membekalkan kualiti makanan yang jauh lebih rendah daripada menu yang dicadangkan mengikut Rancangan Makanan Tambahan di sekolah-sekolah.

"Selepas maklum-balas daripada pakar pemakanan daripada jabatan pemakanan, Kementerian Kesihatan, kami dapati makanan daripada menu yang dibekalkan boleh menyebabkan pemakanan yang tak seimbang dan akan membantutkan perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak,” petik laporan Ketua Audit Negara itu.

Bernilai lebih rendah

Enam lagi pembekal didapati menyediakan makanan yang langsung berbeza dengan apa yang dicadangkan dalam program itu, lazimnya makanan berkenaan bernilai lebih rendah daripada sepatutnya.

Rancangan Makanan Tambahan diperkenalkan 30 tahun lalu bagi memberi kanak-kanak kurang berkemampuan makanan percuma pada nilai RM1.80 (di Semenajung Malaysia) dan RM2.05 (di Sabah dan Sarawak).

Namun, laporan Ketua Audit Negara mendapati beberapa kontraktor terus menipu dalam pembekalan makanan kanak-kanak.

Antaranya adalah apa yang berlaku di SJK(C) Choong Hua 2 di Bidor, Perak. Pembekal makanan kantin menyediakan bungkusan mee segera kepada kanak-kanak, di mana sepatutnya mereka dibekalkan dengan bihun goreng.

Antara alasan lazim yang dikemukan oleh sekolah dan juga pembekal adalah “kesukaran mendapatkan bahan mentah, khususnya untuk sekolah di kawasan pedalaman.

Laportan Ketua Audit Negara itu juga mendedahkan kualiti makanan yang rendah di beberapa hospital.

"Dalam persampelan, kami dapati Hospital Sultan Ismail Hospital membekalkan makanan yang berkualiti rendah. Ayam gorengnya masih berdarah, manakala Hospital Besar Pulau Pinang pula menyediakan sup sayur yang mempunyai rambut di dalamnya,” petik laporan itu.

malaysiakini: 25 Oktober 2010