Memaparkan catatan dengan label naik pangkat/gred. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label naik pangkat/gred. Papar semua catatan

Sabtu, 17 Mei 2014

26,200 guru naik pangkat

MUHYIDDIN Yassin merasmikan sambutan Hari Guru ke-43 yang bertemakan Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi, di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/NASIRRUDDIN YAZID
KUALA LUMPUR 16 Mei - Seramai 26,200 guru lepasan diploma dan siswazah di seluruh negara menerima kenaikan pangkat sejak 1 Januari lalu selepas kerajaan memperkenalkan skim perkhidmatan bersepadu dengan menjadikan aspek kecemerlangan sebagai garis panduan utama penilaian.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah tersebut, pa­ling ramai yang menikmati kenaikan pangkat hasil skim ber­kenaan ialah kumpulan guru bukan siswazah iaitu 354 dinaikkan gred DGA38, 11,314 dinaikkan gred DGA34 dan 4,091 dinaikkan gred DGA32.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan menambah, sehingga Jun 2014, bagi kumpulan pendidik lepasan siswazah pula dijangkakan seramai 195 guru dinaikkan gred DG54, 643 dinaikkan gred DG52, 803 dinaikkan gred DG48 dan 8,954 guru bakal menikmati tangga gaji baharu gred DG44.
"Bagi melaksanakan semua urusan kenaikan pangkat guru, kerajaan memperuntukkan sejumlah besar kewangan sekaligus membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memberi pengiktirafan kepada guru dalam usaha membentuk serta melahirkan modal insan yang berpersonaliti unggul.
"Saya berharap peluang ke­naikan pangkat ini akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan prestasi masing-masing," katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Guru ke-43 yang bertemakan Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan I dan II, Datuk Mary Yap Kain Ching serta P. Kamalanathan dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Selain itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad; Ketua Setia­usaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof juga turut hadir.
Sempena sambutan tersebut, Penasihat Kluster Johor, Tengku Azuan Tengku Mohamed dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2014 manakala bekas Ketua Pe­ngarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2014.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, menjelang tahun depan pula, seramai 27,105 guru bakal menikmati kenaikan pangkat hasil daripada skim sama kerana ketika ini mereka sedang mengikuti Program Pensiswazahan Guru (PPG) dan dijangka bakal menamatkan pengajian pada 2015.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin mahu nilai profesional guru ditingkatkan dengan kualiti menjadi keutamaan bagi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 mencapai objektif sebagaimana diharapkan pihak kerajaan.
Jelasnya, bagi tujuan itu, latihan guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) akan dimantapkan de­ngan penekanan diberikan kepada unsur-unsur kreativiti dan inovasi merangkumi program diploma perguruan serta sarjana muda perguruan.
Pada masa yang sama, beliau juga menuntut para guru agar sentiasa menambah nilai intelektual masing-masing kerana golongan pendidik merupakan ejen perubahan dalam usaha kerajaan melahirkan modal insan berkualiti yang sangat diperlukan negara.
"Guru biasa memberi petunjuk jalan yang betul, tetapi guru yang hebat memberi inspirasi kepada kita untuk mengenal diri. Mereka menggalakkan kita untuk menonjolkan bakat yang ada. Guru yang hebat mengasuh murid mereka untuk menjadi pemimpin.
"Jadi, guru perlu bersedia menerima perubahan dan memiliki ciri inovatif memandangkan tugas serta tanggungjawab mereka cukup besar khususnya dalam menghadapi persaingan global yang menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan," katanya.

Utusan Malaysia: 17 Mei 2014

Rabu, 25 Julai 2012

1,779 guru PPPS cemerlang naik pangkat

HUSSAIN Awang (tengah) menyerahkan memo kenaikan pangkat DG41 ke DG44 kepada guru pada Majlis Penyerahan Memo tersebut di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 23 Julai - Seramai 1,779 guru di bawah skim Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah (PPPS) di negeri ini telah menikmati kenaikan pangkat secara time base pada tahun ini.
Daripada jumlah tersebut seramai 1,399 guru telah dinaikkan pangkat ke DG44, manakala 175 lagi DG48, 143 (DG52) dan 62 (DG54).
Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, kenaikan pangkat itu berasaskan kepada kecemerlangan guru berkenaan dalam pelbagai bidang termasuk aspek pengajaran dan pembelajaran.
Beliau berkata, guru terbabit sewajarnya bersyukur kerana ia turut melibatkan kenaikan gaji mereka.
“Sekiranya pada pembentangan Bajet 2011 mereka menerima kenaikan sebanyak 13 peratus, dengan kenaikan gred itu lebih banyak tambahan diterima.
“Sewajarnya, mereka bersyukur kerana bekerja di bawah Kementerian Pelajaran yang prihatin dengan kebajikan guru," katanya berucap pada Majlis Penyerahan Memo Kenaikan Pangkat PPPS Gred DG41 ke DG44 secara time base kepada 137 guru sekitar daerah ini di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai PPD Kota Bharu, Che Abb. Aziz Daud.
Menurut Hussain, banyak keistimewaan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dalam menghargai sumbangan yang diberikan warga guru di negeri ini.
“Kenaikan pangkat ke DG44 dan DG48 juga telah dipendekkan dari 10 tahun kepada lapan tahun sementara ke DG52 enam tahun dan DG54 pula tiga tahun.
“Kerajaan Persekutuan telah melaksana dan menunaikan apa yang dijanjikan sebelum ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, seramai 44 pelajar telah ditahan kerana ponteng sekolah setakat ini dengan daerah tertinggi adalah Kota Bharu membabitkan 29 pelajar.
Mengenai pelajar ponteng puasa pula, Hussain berkata, pihak jabatan setakat ini tidak mempunyai rancangan untuk mengadakan operasi menahan mereka kecuali menerima aduan daripada orang ramai.

Utusan Malaysia Online: 25 Julai 2012

Selasa, 24 Julai 2012

Cuepacs minta segera naikkan gred guru PJJ

GEORGETOWN: Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempercepatkan kenaikan gred penjawat awam termasuk guru yang memperoleh ijazah menerusi program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ).
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, penangguhan kenaikan gred penjawat awam berijazah hanya akan mendatangkan lebih banyak masalah selain turut menyebabkan mereka beranggapan dilayan dengan tidak adil.

“Cuepacs tidak mahu masalah membabitkan penjawat awam mendapat ijazah melalui PJJ timbul pada masa akan datang dan mereka ini sudah lama belajar untuk mendapat segulung ijazah.
“Kerajaan harus mempertimbangkan kenaikan taraf mereka supaya mereka ada semangat untuk bekerja lebih cepat, tepat dan berintegritri,” katanya ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng di sini semalam.

myMetro: 24 Julai 2012

Isnin, 23 Julai 2012

JPA lengah naik gred guru

400 tamat pengajian lima tahun lalu masih di takuk lama

Kuala Lumpur: Empat ratus guru yang memperoleh ijazah menerusi program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) belum menerima kenaikan gred sejak lima tahun lalu. Maklumat itu diperoleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) daripada kesatuan guru di seluruh negara, selain aduan disalur guru terbabit.
Mula pengajian 2003

Kebanyakan mereka mengikuti pengajian pada 2003 dan menamatkannya empat tahun kemudian.

Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata selepas tamat pengajian mereka memohon kenaikan gred kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pelajaran, namun belum diluluskan sehingga sekarang.

Berita Harian Online: 23 Julai 2012

Rabu, 18 Julai 2012

7,975 guru PPPS naik gred


oleh Petah Wazzan Iskandar 

Kenaikan dilaksanakan segera selepas dua tahun tertangguh

Butterworth: Seramai 7,975 guru lepasan Program Perkhidmatan Perguruan Siswazah (PPPS) akan menikmati kenaikan Gred DG41 dalam tempoh terdekat selepas tertangguh dua tahun. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pihaknya baru menerima waran kenaikan pangkat bagi Pegawai Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) yang berjaya menamatkan pengajian PPPS, masing-masing, 23 Mei lalu.
Katanya, kementerian sedar penangguhan kenaikan gred di kalangan guru lepasan PPLD yang menyertai PPPS sejak dua tahun lalu, menimbulkan perasaan negatif guru belum siswazah.

“Kementerian akan berusaha mempercepatkan kenaikan Gred DG41 yang membolehkan pelbagai faedah dapat dinikmati.

“Saya akui penangguhan kenaikan gred ini menyebabkan ramai guru PPLD tidak mahu menyertai PPPS,” katanya di sini, semalam.

Mohd Puad berkata, melalui PPPS yang diwujudkan pada 2006, seramai 70,062 guru menyertainya dengan peruntukan RM1.4 bilion disediakan kerajaan bagi tempoh sehingga 2020.
“Bagi pengambilan September ini, kita menjangka 22,102 guru akan menyertainya.

“Bagaimanapun, masih ada 16,574 kekosongan sehingga semalam (kelmarin) kerana hanya 3,528 memohon, puncanya dipercayai berkaitan isu penangguhan kenaikan Gred DG41,” katanya. 

Berita Harian Online: 18 Julai 2012

Sabtu, 7 Julai 2012

35 tahun masih DG41

15,000 guru ada sijil, diploma patut naik gred: NUTP

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan kira-kira 15,000 guru lepasan sijil dan diploma perguruan yang berkhidmat lebih 35 tahun dipertimbangkan untuk kenaikan ke gred DG41. Ia dianggap wajar berdasarkan pengalaman dan jumlah tahun mereka berkhidmat sebagai menghargai jasa guru berkenaan.
Presiden NUTP, Hashim Adnan, berpendapat adalah wajar pengalaman perkhidmatan guru terbabit dijadikan sebagai asas untuk kenaikan gred dan bukannya mengutamakan kelayakan akademik.

“Walaupun sudah berkhidmat lebih 35 tahun, NUTP mendapati ada sebilangan guru yang masih kekal di gred DG34 dan DG38 kerana kenaikan (gred) adalah berdasarkan kelayakan akademik.

“Jika mahu dilihat dari segi kelayakan akademik, kita berasakan tidak wajar kerana segelintir mereka sudah berusia lebih 50 tahun dan ada juga yang hampir bersara,” katanya kepada BH, semalam.

Mac tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan permohonan Kementerian Pelajaran meningkatkan had usia pemohon Program Pensiswazahan Guru (PPG) daripada 45 tahun kepada 47 tahun untuk mencapai sasaran 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah menjelang 2015.
Syarat mohon ke PPG

Sebelum itu, syarat bagi permohonan ke PPG tidak melebihi 45 tahun, selain memiliki Diploma Pendidikan/Perguruan atau Sijil Perguruan dan tidak berdaftar dengan mana-mana universiti sebagai pelajar sepenuh masa atau sambilan tajaan kementerian.

Hashim berharap Kementerian Pelajaran akan mempertimbangkan cadangan itu yang sudah dipanjangkan kepada JPA, baru-baru ini.

“Tempoh perkhidmatan lebih 35 tahun adalah satu pengalaman cukup luas selain warga pendidik itu juga sudah menghadiri pelbagai kursus berkaitan perguruan. Kita melihat pengalaman itu cukup wajar untuk mereka menikmati kenaikan gred,” katanya.

Beliau berkata, NUTP juga akan mengemukakan syor itu kepada Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan kerajaan bagi mengkaji secara komprehensif perkhidmatan awam negara.

Berita Harian Online: 7 Julai 2012

Rabu, 23 Mei 2012

Pensyarah IPG tidak dapat perhatian untuk naik pangkat?

PENGUMUMAN Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sambutan Hari Guru baru lalu disambut meriah oleh kebanyakan guru di sekolah.
Namun keceriaan tersebut tidak dirasai oleh pensyarah-pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG). Pensyarah-pensyarah di IPG bagaikan tidak mendapat perhatian. Ini kerana, pada 16 Mei 2011 sempena Sambutan Hari Guru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa semua pengetua akan menikmati kenaikan daripada DG 48 kepada DG 52. Penolong Kanan DG 44 akan diberi kenaikan DG 48.
Sebelum itu semua guru yang mengajar Tingkatan Enam Satu dinaik pangkat sebagai Penyelia Tingkatan Enam Satu dan diberi kenaikan DG 48.
Persoalannya di sini, di manakah kedudukan pensyarah IPG? Adakah pensyarah IPG hanya setaraf guru-guru mata pelajaran biasa sahaja? Jika dilihat beban tugas dan tanggungjawab, pensyarah IPG melahirkan pelajar tahap diploma dan ijazah.
Bukan bermaksud mempersoalkan rakan-rakan yang mengajar di Tingkatan Enam. Tetapi dalam aspek memperkasakan Tingkatan Enam, kerajaan memberikan suatu anugerah yang baik kepada rakan-rakan kami yang mengajar di Tingkatan Enam. Tetapi perkara sama tidak berlaku di IPG.
Dalam usaha kerajaan memperkasakan IPG menjadi 'The New IPG', para pensyarah tidak mendapat apa-apa kenaikan, malah 'dianugerahkan' dengan tempoh waktu kerja 8 pagi hingga 5 petang.
Kami pensyarah IPG memohon agar pihak kerajaan 'menjengah' sedikit dan mengiktiraf pensyarah-pensyarah yang bertugas di IPG. Pengiktirafan terhadap pensyarah IPG harus sekurang-kurangnya setaraf dengan Penyelia Tingkatan Enam dengan diberi kenaikan DG 48 apabila seseorang itu dilantik sebagai pensyarah.
Ini kerana proses permohonan menjadi pensyarah itu sendiri amat ketat berdasarkan temuduga. Dari segi tahap akademik, hampir 90 peratus pensyarah IPG memiliki Sarjana dan hampir 30 peratus mempunyai Ph.D. Tahap kelulusan akademik yang tinggi ini secara tidak langsung dapat menaikkan imej IPGM setanding dengan institusi pendidikan tinggi lain.

Utusan Malaysia Online: 23 Mei 2012

Selasa, 22 Mei 2012

Guru bertugas di pejabat tak dipinggir

GEORGE TOWN: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) semalam menyangkal dakwaan guru yang dipindah bertugas ke jabatan pelajaran negeri serta pejabat pelajaran daerah dipinggirkan daripada kenaikan pangkat.
Sebaliknya kata Presiden kesatuan Hashim Adnan, NUTP sudah menghantar kertas kerja kepada Kementerian Pelajaran, menyarankan guru terbabit turut dipertimbang untuk kenaikan pangkat.

“Memang kementerian beri keutamaan kepada mereka yang mengajar di sekolah dahulu, tetapi ia tidak bermakna mereka bertugas di jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah di pinggirkan, beri sedikit masa dan kami tetap akan bela nasib mereka,” katanya.
Beliau diminta mengulas keluhan sekumpulan guru yang mendakwa mereka dianak tirikan dari segi kenaikan pangkat setelah dipindah bertugas ke pejabat pelajaran. - Bernama

myMetro: 22 Mei 2012

Khamis, 17 Mei 2012

24,053 guru naik pangkat

PENERIMA Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan, dari kiri, Lim Ia Lee @ Lim Irene, Datuk Hassan Harun, Datuk Mary Yap Kain Ching, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib, Datuk Omar Hashim dan Mohd. Azman Abdul Rashid bersama sijil penghargaan masing-masing yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-41 di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, Perak, semalam. - utusan/Roy Azis Abd. Aziz
KUALA KANGSAR 16 Mei - Seramai 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma di seluruh negara yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan menikmati kenaikan pangkat mulai 1 Jun hingga 31 Disember ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, kenaikan pangkat tersebut melibatkan 8,222 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Siswazah dan 15,831 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.
‘‘Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed; Ketua Pengarah Pelajaran; Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selaras dengan usaha menambah baik skim perkhidmatan pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat secara ‘time-based’ berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac lalu.
Beliau menarik perhatian, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41 hanya memerlukan lapan tahun untuk kenaikan ke DG44, lapan tahun (DG44 ke DG48), enam tahun (DG48 ke DG52) manakala hanya tiga tahun (DG52 ke DG54).
Menurutnya, bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma pula, pemegang gred DGA29 hanya memerlukan lapan tahun untuk ke DGA32, lapan tahun (DGA32 ke DGA34) dan lima tahun (DGA34 ke DGA38).
Muhyiddin berkata, lanjutan pengumuman Perdana Menteri itu, 390 guru telah dinaikkan pangkat ke gred DG54, 676 (DG52), 3,938 (DG48) dan 19,805 (DG44).
‘‘Bagi Guru Bukan Siswazah pula, seramai 399 dinaikkan ke gred DGA38 manakala 2,639 (DGA34) dan 9,519 (DGA32)," katanya.
Selain itu, kata beliau, proses kenaikan pangkat pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan penolong kanan dari DG44 ke DG48 telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran.
Setakat ini, kata beliau, 854 pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke DG52 manakala 4,270 penolong kanan telah dinaikkan pangkat dari DG44 ke DG48.
Kenaikan pangkat itu kata Timbalan Perdana Menteri, melibatkan pengetua dan penolong kanan yang merupakan penyandang sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011 serta yang memangku jawatan sebelum atau pada 31 Disember 2010.
‘‘Bagi penyandang jawatan penolong kanan gred DG48 ke gred DG52 seramai 430 orang dan baki penyandang jawatan penolong kanan gred DG44 ke gred DG48 iaitu seramai 2,655 akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah memenuhi syarat ditetapkan," katanya.
Menurut Muhyiddin, peruntukan sebanyak RM934 juta bagi urusan kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pendidikan membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan berpersonaliti unggul.

Utusan Malaysia Online: 17 Mei 2012

Rabu, 16 Mei 2012

24,053 guru lepasan ijazah, diploma naik pangkat

KUALA KANGSAR 16 Mei - Seramai 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma di seluruh negara yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan dinaikkan pangkat berkuat kuasa 1 Jun hingga 31 Disember ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, ia melibatkan 8,222 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Siswazah dan 15,831 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma. - UTUSAN

Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2012

Guru Penolong Kanan Petang juga mahu kenaikan gred

Memetik ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 Mei 2011 sempena Sambutan Hari Guru: "Kenaikan gred Pengetua daripada DG48 kepada DG52 dan Penolong Kanan daripada DG44 kepada DG48 adalah satu pengiktirafan kepada jawatan Pengetua dan Penolong Kanan. Insya-Allah kenaikan ini akan menambahkan minat guru untuk memegang kedua-dua jawatan yang amat penting dalam kepimpinan sekolah".
Pengumuman ini semestinya amat melegakan barisan pentadbiran sekolah yang dipimpin oleh pengetua, penolong kanan pentadbiran, penolong kanan hal ehwal murid, penolong kanan kokurikulum dan penolong kanan petang (PKP) bagi sekolah yang ada sesi petang.
Setelah hampir setahun menunggu, berita yang menggembirakan itu rupa-rupanya menjadi kejutan apabila barisan PKP tidak tersenarai dalam pengiktirafan di atas. PKP yang selama ini berada dalam gred perjawatan yang sama dengan penolong kanan (PK) tidak menerima kenaikan gred tanpa ada pihak yang tampil memberi penjelasan tentang pengecualian itu.
Persoalannya, mengapa perkara ini berlaku? Adakah PKP tidak layak atau tidak setaraf? Jika dirujuk fail meja setiap PKP, tugas hakiki tidak ada bezanya, cuma pengkhususan dalam bidang masing-masing.
Jika diteliti dalam bidang kurikulum tugas PKP adalah seiring dengan PK Pentadbiran dan dalam bidang hal ehwal murid, kami seiring dengan PK HEM, dan dalam bidang kokurikulum adalah seiring dengan PK Kokurikulum.
Jelas berdasarkan tugas tersebut, PKP menjalankan kesemua tugas PK tetapi secara spesifik bagi murid sesi petang. Data juga menunjukkan jumlah murid sesi petang di sebuah sekolah mungkin lebih ramai daripada sesi pagi di sekolah lain.
Seorang pengetua bertugas mengikut waktu kerja pejabat tetapi bagi seorang PK Pentadbiran, PK HEM, PK Kokurikulum dan PKP adalah sama seperti guru biasa. Ini bermakna tiada sebarang penetapan masa bekerja bagi PKP selepas sesi persekolahan. PKP akan menggalas tugas pengurusan pentadbiran, akademik, kokurikulum, hal ehwal murid, staf dan sebagainya bagi sesi petang sendirian bermula 1 petang sehingga 6.45 petang.
Sumber tidak rasmi ada menyatakan bahawa di Bahagian Sumber Manusia jawatan PKP tidak wujud. Jawatan yang ada ialah penyelia petang. Adakah perkara ini benar dan mengapa boleh berlaku? Penyelia Tingkatan Enam Satu yang merupakan jawatan jauh lebih baru daripada penyelia petang telah pun diiktiraf sebagai PK Tingkatan Enam dan berada di gred DG48 .
Jika dirujuk dalam pekeliling yang ada selama ini, jawatan penyelia petang adalah seiring dengan jawatan PK lain dalam apa jua perkara, contohnya pembayaran elaun tanggungjawab, tugas di luar norma (masa mengajar kurang dari guru biasa kerana beban tugas pentadbiran). Gred perjawatan sebelum ini DG44. Mengapakah bagi kenaikan ke DG48, PKP diketepikan?
Dalam setiap carta kepimpinan organisasi sekolah, PKP sebaris dengan PK. Di manakah kedudukan PKP selepas ini? Semua carta organisasi perlu dirombak kerana gred perjawatan telah berubah. Tiga PK lain berada di Gred DG48 manakala PKP pada gred DG44 iaitu bersama empat guru kanan mata pelajaran atau ketua bidang.
Satu penjelasan perlu dibuat bagi menjernihkan keadaan ini. Bagi membaiki keadaan ini adalah amat diharapkan ada pihak yang akan tampil membuat penjelasan agar kekeliruan dapat diatasi, seterusnya meletakkan semula kedudukan PKP setaraf PK lain di gred DG48.

Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2012

NUTP mahu guru ada ijazah

Oleh Syuhada Choo Abdullah

2012/05/16

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu tenaga pengajar di sekolah seluruh negara adalah guru siswazah 100 peratus sebagai antara pengisian utama transformasi pendidikan negara yang sedang dirangka Kementerian Pelajaran.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata ketika ini dianggarkan kira-kira 45 peratus guru di sekolah rendah masih bukan siswazah, selepas kementerian melaksanakan Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG), yang mensasarkan 50 peratus tenaga pengajar di sekolah peringkat itu adalah lepasan ijazah menjelang 2010.
Beliau berkata, adalah penting untuk semua sekolah rendah dan menengah diisi guru siswazah sepenuhnya demi kepentingan pelajar yang berdepan perkembangan pendidikan semakin mencabar.
Katanya, langkah itu juga akan memudahkan urusan penempatan tenaga pengajar di sekolah.

“Guru yang belum bergelar siswazah berpeluang melanjutkan pelajaran melalui pelbagai program sedia ada.

“NUTP akan mengemukakan usul ini bersama keseluruhan cadangan lain untuk transformasi pendidikan negara, selepas mengadakan bengkel khas pada bulan depan atau Julai ini.

“Kami akan menjemput pakar yang banyak melakukan penyelidikan dalam bidang pendidikan untuk turut memberi input,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini melancarkan Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN), yang akan diadakan di 15 lokasi sehingga Julai depan.

Dialog itu bertujuan mendengar pandangan rakyat dalam proses merangka agenda transformasi pendidikan negara.

Selain mendapatkan pandangan semua peringkat masyarakat, ia turut membabitkan sesi perjumpaan dan perbincangan dengan pertubuhan guru, termasuk NUTP.

Yim Pheng berkata, pendidikan negara memerlukan transformasi berterusan untuk memastikannya bersesuaian keperluan negara.

“Saya ingin memperbetulkan persepsi orang ramai. Transformasi dilakukan ini bukan bermakna pendidikan negara tidak bagus, ada banyak masalah atau kelemahan, serta perlu diubah semuanya.

“Sebaliknya, transformasi ini bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan negara dengan kos paling minimum dan sumber manusia dimanfaatkan secara optimum, iaitu yang baik diteruskan, manakala kelemahan pula diperbaiki atau diganti dengan pelaksanaan baru berdasarkan inovasi dan kreativiti,” katanya.

Berita Harian Online: 16 Mei 2012

Rabu, 2 Mei 2012

Kementerian Pelajaran tawar jawatan guru cemerlang dan pensyarah cemerlang

KUALA LUMPUR 2 Mei - Kementerian Pelajaran menawarkan pengisian jawatan Guru Cemerlang dan Pensyarah Cemerlang secara khas untuk penyandang (KUP) tahun 2012.
Tawaran pensyarah cemerlang terbuka kepada Pegawai Perkhidmatan Pelajaran yang berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Aminuddin Baki (IAB), Kolej Matrikulasi (KM) dan English Language Teaching Centre (ELTC) manakala tawaran guru cemerlang pula terbuka kepada semua guru sekolah.
Menurut kenyataan kementerian itu hari ini, gred jawatan yang ditawarkan pada guru sekolah adalah gred DGA32, DGA34, DGA38, DG44, DG48, DG52, DG54 dan Khas C.
Sementara itu, pensyarah IPG dan IAB membabitkan gred DG48, DG52, DG54, Khas C, gred bagi pensyarah KM ialah DG48, DG52, DG54 manakala gred yang ditawarkan pada pensyarah ELTC adalah DG44, DG48, DG52 dan DG54.
"Borang permohonan serta maklumat lanjut boleh didapati dari semua Pejabat Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK), bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah serta menerusi laman web http://www.moe.gov.my/jnjk atau http://www.moe.gov.my ," menurut kenyataan itu.

Tarikh tutup permohonan 25 Mei. Permohonan dari sekolah perlu melalui Pengetua/Guru Besar sekolah masing-masing, manakala permohonan dari IAB, KM, ELTC dan IGP adalah melalui Pengarah institusi masing-masing.- BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 2 Mei 2012

Rabu, 21 Mac 2012

Guru menunggu gaji baru tidak kunjung tiba

TULISAN ini mewakili ramai lagi pengetua dan guru penolong kanan di sekolah menengah yang tertunggu-tunggu bila kerajaan akan mengotakan janjinya yang diumumkan semasa sambutan Hari Guru tahun lepas yang dibuat sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehingga kini, ia umpama menunggu durian yang tak gugur sedang sudah lama diumumkan.

Dalam ucapan sempena sambutan Hari Guru 2011 Peringkat Kebangsaan di Kuantan, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan berita yang menggembirakan terutama kepada pengetua dan guru penolong kanan sekolah menengah. Mulai 1 Januri 2012, gred gaji mereka dinaikkan.

Gred gaji pengetua dinaikkan kepada DG 52 manakala gred gaji guru penolong kanan kepada DG 48. Berita sensasi itu menjadi tajuk berita utama yang dimuatkan hampir semua akhbar utama ketika itu.

Ekoran pengumuman itu, pengetua dan guru penolong kanan mulalah memasang anganangan bahawa mulai 1 Januari 2012, gred gaji mereka dinaikkan. Namun sehingga kini, sudah masuk bulan Mac, ia masih menjadi satu tanda tanya.

Mengapa arahan Muhyiddin mengambil masa lama untuk dilaksanakan? Apakah pihak bertanggungjawab itu gagal mengambil tindakan segera? Kini timbul pertanyaan, apakah pengumuman yang dilakukan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri itu betul-betul akan dilaksanakan ataupun hanya satu pengumuman sahaja?

Utusan Malaysia Online: 21 Mac 2012

Ahad, 11 Mac 2012

Segerakan pelarasan gaji baharu guru - Muhyiddin

KULAIJAYA 10 Mac - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta melaksanakan pelarasan skim perkhidmatan perguruan secepat mungkin selaras dengan pembatalan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan Kementerian Pelajaran mengetahui mengenai kedudukan terperinci pelarasan tersebut.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengumuman Perdana Menteri itu disambut baik oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan kira-kira 480,000 warga pendidik yang merangkumi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan penjawat awam di negara ini.

"Pada masa ini, kita belum mengetahui tentang perincian perubahan pelarasan itu. Jadi, kita berharap pihak JPA dapat menyelesaikan ia dengan segera," katanya selepas merasmikan Program Jelajah Sayang 1Malaysia Wanita UMNO di Kem Bina Negara Gunung Pulai, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Wanita UMNO Johor, Senator Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Beliau berkata, biarpun SBPA tidak diteruskan, namun dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang baharu, kedudukan guru adalah lebih baik dan tawaran pada golongan pendidik adalah sesuatu yang diharapkan, malah hampir semua perkara diambil kira.

Justeru, Muhyiddin berharap dengan pelaksanaan pelarasan baharu itu, guru-guru akan lebih bersemangat dan memberikan tumpuan yang lebih baik untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di seluruh negara.

Kelmarin Perdana Menteri mengumumkan pembatalan SBPA dan kembali kepada SSM yang ditambah baik dengan pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus kepada kira-kira 1.4 juta penjawat awam.

Utusan Malaysia Online: 11 Mac 2012

Rabu, 7 Mac 2012

NUTP rayu laksana skim khas

Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
2012/03/07

Kenaikan pangkat secara ‘time base’ pertingkat profesion perguruan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) merayu kerajaan melaksanakan skim perkhidmatan khas untuk penyandang (KUP) iaitu kenaikan pangkat berdasarkan ‘time base’ membabitkan kira-kira 450,000 guru di negara ini seperti diumumkan kerajaan pada Bajet 2012.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata NUTP menyokong skim perkhidmatan itu yang dilihatnya laluan kerjaya terbaik untuk warga pendidik serta menjadi pemangkin kepada guru meningkatkan mutu kerja masing-masing.
“Maksud ‘time base’ ialah cukup tempoh masa perkhidmatan dan guru itu akan mendapat kenaikan pangkat. Contohnya, mengikut sistem baru ini, guru siswazah gred DG44 yang berkhidmat lapan tahun akan naik pangkat untuk jawatan gred DG48 berbanding tempoh masa 10 tahun sebelum ini.

“Bagi guru bukan siswazah gred DG29 yang turut berkhidmat lapan tahun, akan naik pangkat untuk jawatan gred DG32, jika sebelum ini seorang guru itu terpaksa menunggu 10 tahun untuk naik pangkat tetapi kini hanya lapan tahun saja.

“NUTP menyokong penuh penambahbaikan dilakukan kerajaan terhadap sistem ‘time base’ yang mula dilaksanakan sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002,” katanya di sini, semalam.

Hashim berkata, NUTP berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan berita baik pelaksanaannya seiring dengan pengumuman semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bakal diumumkan keputusannya tidak lama lagi.
“Ke mana saja kepemimpinan tertinggi NUTP pergi dan turun padang, guru sering bertanya kepada kami mengenai KUP ini seperti diumumkan kerajaan tahun lalu, tanya kami bila ia dilaksanakan kerana beribu guru masih tidak berpeluang mendapat kenaikan pangkat.

“NUTP amat berharap ketika kerajaan mengumumkan keputusan semakan semula SBPA, Perdana Menteri akan turut menyampaikan berita baik kepada warga pendidik di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, kesatuan itu turut mengirim telegram kepada Perdana Menteri, kelmarin merayu jasa baik pemimpin nombor satu negara supaya turut mengambil kira kebajikan golongan pendidik.

Berita Harian Online: 7 Mac 2012

Sabtu, 25 Februari 2012

Guru skim SSM diminta tunggu pengumuman

2012/02/25

BATU PAHAT: Keputusan kenaikan pangkat guru yang dinilai mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM) bergantung kepada pengumuman penting yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, golongan guru yang menantikan keputusan kenaikan pangkat diminta bersabar sehingga pengumuman itu dibuat.
“Lebih baik kita tunggu hasil perbincangan antara CUEPACS dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)... seperti kita maklum satu pengumuman penting akan dilakukan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat ini.
“Jika merujuk kenyataan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman semalam (kelmarin), sesuatu yang menggembirakan akan diumum Perdana Menteri tidak lama lagi.

“Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng juga salah seorang pimpinan CUEPACS dan saya yakin perkara ini ada dibangkitkan dalam perbincangan bersama JPA... jadi kita tunggu hasilnya,” katanya selepas merasmikan Karnival TM Gegar, di Dataran Penggaram, di sini, semalam.

Kelmarin, Berita Harian melaporkan Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) meminta Kementerian Pelajaran mengesah terlebih dulu kenaikan pangkat yang sudah dinilai mengikut SSM sebelum menguatkuasakan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

KGMMB mendakwa sejumlah jawatan kanan masih belum mendapat pengesahan kementerian walaupun penilaian, temu duga dan pembentangan sudah dilaksanakan pada Jun dan Julai tahun lalu.

Berita Harian Online: 25 Februari 2012

Khamis, 23 Februari 2012

Sahkan naik pangkat sebelum laksana SBPA

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2012/02/23

KGMMB dakwa ramai guru kanan tak pasti status

KESATUAN guru mendesak Kementerian Pelajaran mengesahkan terlebih dahulu mengenai kenaikan pangkat yang sudah dinilai mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM) sebelum menguatkuasakan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mendakwa sejumlah jawatan kanan masih belum mendapat pengesahan kementerian walaupun penilaian, temu duga dan pembentangan sudah dilaksanakan pada Jun dan Julai tahun lalu.
Warga pendidikan kini serba salah kerana selepas menandatangani SBPA, syarat kenaikan pangkat berbeza berbanding SSM sedangkan mereka sudah dinilai mengikut SSM. - Abdullah Mamat, Pengerusi KGMMB.
Pengerusi KGMMB Cawangan Terengganu, Abdullah Mamat, berkata sebagai contoh beberapa penjawat Pengetua gred DG48 masih menunggu surat pengesahan kenaikan gred DG52, iaitu Pengetua Cemerlang.

“Apa yang berlaku guru, penolong kanan dan pengetua diberi notis singkat pada Disember lalu untuk menandatangani opsyen sebelum 28 Disember dan menerima SBPA.

“Warga pendidikan kini serba salah kerana selepas menandatangani SBPA, syarat kenaikan pangkat berbeza berbanding SSM sedangkan mereka sudah dinilai mengikut SSM,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Abdullah berkata, Kementerian Pelajaran harus mewujudkan tempoh peralihan yang memadai untuk menyelesaikan semua kenaikan pangkat atau pelantikan jawatan kanan sebelum menguatkuasa SBPA.
Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) percaya Bahagian Sumber Manusia , Kementerian Pelajaran akan menyelesaikan isu berkenaan secara adil kepada semua pihak.

Presidennya, Adnan Hashim, berkata sebarang perjanjian yang sudah ditandatangani warga pendidikan di bawah SSM akan terpakai walaupun mereka menerima opsyen SBPA.

Beliau berkata, isu penangguhan pelantikan ke jawatan lebih tinggi itu membabitkan segelintir pegawai kanan manakala sebahagian besar warga pendidikan terutama guru biasa menyambut baik SBPA.

“Skim baru ini menyediakan gaji lebih lumayan kepada guru sekolah rendah atau menengah dan saya percaya kebanyakan guru menyambut baik SBPA,” katanya.

Berdasarkan SBPA, guru bukan siswazah menerima kenaikan gaji sehingga 39 peratus, manakala guru siswazah menerima kenaikan 37.7 peratus.

Sebagai contoh, gaji maksimum guru bukan siswazah gred DGA34 dinaikkan daripada RM3,860 di bawah SSM kepada RM5,370 mengikut SBPA.

Bagi guru siswazah pula, gaji maksimum gred DG48, di bawah SSM ialah RM6,325 menjadi RM8,710 mengikut SBPA.

Berita Harian Online: 23 Februari 2012

Sabtu, 18 Februari 2012

Guru Tidak Akan Naik Pangat Secara Automatik, Kata Muhyiddin

GEORGETOWN, 18 Feb (Bernama) -- Kenaikan pangkat guru-guru tidak akan berlaku secara automatik sebaliknya mereka harus melalui proses temuduga dan sebagainya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kaedah kenaikan pangkat guru terbabit akan diputuskan setelah perbincangan antara Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan kerajaan selesai kelak.

"Berkaitan soal kebajikan guru kita sudah ambil kira. Tetapi apapun, keputusan muktamad belum tercapai kerana urusan ini telah kita bawakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam disamping perbincangan di peringkat wakil-wakil kesatuan dan CUEPACS, katanya pada pemberita selepas menghadiri majlis kenduri rakyat 1Malaysia di Kampung Permatang Tepi, Simpang Empat, dekat sini, Sabtu.

Katanya, isu kenaikan pangkat itu bagaimanapun dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar yang memetik sebanyak 15,000 guru lepasan ijazah yang belum menerima kenaikan gred akan menikmatinya sebaik semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diselesaikan April ini.

BERNAMA: 18 Februari 2012

15,000 naik gred

Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my
2012/02/18

Guru lepasan ijazah nikmati manfaat semakan semula SBPA

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam memberi jaminan 15,000 guru lepasan ijazah yang belum menerima kenaikan gred akan menikmatinya sebaik semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diselesaikan April ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Kementerian Pelajaran sudah mengambil tindakan berhubung kenaikan pangkat itu walaupun SBPA masih di peringkat semakan semula Pasukan Petugas Khas diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.
Beliau menjelaskan Kementerian Pelajaran tidak dapat menaikkan gred guru terbabit tahun lalu disebabkan dasar membekukan lantikan baru bermula 20 Mei sehingga 31 Disember, selain tidak mempunyai jumlah perjawatan mencukupi.

“Daripada rekod Kementerian Pelajaran, kita dapati 7,396 pegawai perkhidmatan pendidikan lepasan diploma (PPPLD) sudah diperakui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dilantik sebagai pegawai perkhidmatan siswazah.

“Bagaimanapun, pelantikan mereka tidak dapat dilakukan tahun lalu berikutan pembekuan itu... sebab itulah timbul isu berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng mendedahkan kira-kira 15,000 guru lepasan ijazah di seluruh negara belum menerima kenaikan gred DG41 walaupun sebahagian mereka sudah melepasi proses temu duga sejak dua tahun lalu.
Situasi itu menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang terpaksa membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan peribadi bagi menampung kos menyambung pelajaran masing-masing.

Berita Harian Online: 18 Februari 2012