Selasa, 30 Jun 2009

Sabah & Sarawak: JPN nafi arah SMK Wira Penrissen ditutup

KUCHING: Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak menafikan mengeluarkan arahan penutupan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wira Penrissen, Samarahan, berikutan kejadian histeria yang dilaporkan berlaku Khamis lalu.

Pengarah JPN Sarawak, Dr Julaihi Bujang, berkata pihaknya hanya membenarkan pelajar yang terbabit dalam kejadian histeria berkenaan berehat bagi memulihkan semangat sebelum kembali bersekolah pada hari ini.

Katanya, pihaknya tidak pernah membenarkan sekolah berkenaan ditutup selama tiga hari seperti yang dikatakan sesetengah ibu bapa sebaliknya ada pelajar yang bimbang 'dirasuk' tidak hadir ke sekolah pada Jumaat lalu.

"Ini bukan kes yang berbahaya seperti jangkitan wabak dengan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Samarahan telah diminta mengunjungi sekolah itu bersama ustaz bagi menyelesaikan masalah yang mengganggu pelajar.

"Sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa esok (hari ini) dengan ibu bapa diminta tidak menghalang anak mereka pergi ke sekolah dengan JPN akan mengambil langkah seterusnya jika kejadian berulang," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Khamis lalu, lebih 10 pelajar tingkatan tiga hingga lima sekolah berkenaan histeria selepas mendakwa melihat 'lembaga' berkeliaran di dalam kelas masing-masing menyebabkan keadaan menjadi gempar.

Akibatnya, Jumaat lalu, hampir separuh pelajar sekolah berkenaan tidak hadir selepas ibu bapa bimbang anak mereka dirasuk walaupun tiada arahan sekolah berkenaan ditutup dikeluarkan mana-mana pihak.

Dr Julaihi berkata, berdasarkan laporan yang diterima pihaknya, gangguan secara beramai-ramai berkenaan adalah yang pertama kali berlaku di sekolah berkenaan walaupun sebelum ini ada beberapa kes membabitkan individu berlaku.

Berita Harian Online: 30 Jun 2009

Pakej lebih baik PPSMI


Muhyiddin Yassin bersalaman dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan UNESCO, Koichiro Matsuura di Paris, semalam. - BERNAMA


PARIS 29 Jun - Satu pakej yang lebih baik akan dikemukakan berhubung keputusan muktamad mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dijadual diumumkan dalam masa terdekat ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan mengenainya akan mengambil kira kepentingan semua pihak terutama pelajar terbabit yang berjumlah kira-kira lima juta orang, guru-guru dan ibu bapa.

"Apapun keputusan yang bakal dibuat, kita akan kemukakan pakej yang dianggap lebih baik berhubung PPSMI," katanya yang juga Menteri Pelajaran kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Perancis, sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Ibu Pejabat UNESCO di sini.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak boleh terburu-buru dalam membuat keputusan berkenaan kerana kesannya sangat besar dan melibatkan banyak pihak.

"Apa juga keputusan yang dibuat kita kena fikirkan kesannya bukan sahaja pelajar malah masyarakat dan negara. Kalau nak ubah sistem memang senang tetapi apa sistem gantinya," katanya.

Baru-baru ini, Muhyiddin mengumumkan analisis menyeluruh dan kertas mengenai hala tuju PPSMI sudah siap dan akan dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya.

PPSMI mendapat banyak bantahan daripada pelbagai pihak termasuk bukan Melayu yang bimbang dengan pencapaian pelajar dalam subjek berkenaan khususnya di kalangan pelajar luar bandar.

Malah pejuang bahasa kebangsaan juga melihat PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan apabila bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah.

Kemuncak terhadap bantahan itu apabila Gerakan Menentang PPSMI (GMP) mengadakan perhimpunan membabitkan kira-kira 5,000 orang yang kemudiannya berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menuntut pemansuhan dasar tersebut. - UTUSAN

Utusan Malaysia Online: 30 Jun 2009

Tiga lagi sekolah dibuka semula

PETALING JAYA 29 Jun - Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1 dan 2 di sini, serta Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka di Cheras, yang ditutup kerana jangkitan Influenza A (H1N1) sejak minggu lepas, telah dibuka semula hari ini.

Sabtu lepas, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jalan Davidson, Kuala Lumpur telah dibuka semula.

Di SRK Assunta 2, lebih 80 peratus pelajar sekolah itu hadir bagi menyambung semula pembelajaran mereka yang tertangguh sejak sekolah itu ditutup Isnin lepas.

Pengarah Pelajaran Selangor Dr. Zahri Aziz berkata, kehadiran para pelajar sekolah itu amat memuaskan dan beliau berpuas hati dengan persediaan awal yang dilakukan oleh pengurusan sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Pada Sabtu lepas, sekolah itu dengan kerjasama PIBG telah mengadakan gotong-royong bagi membersihkan kawasan sekolah dari pagi hingga petang," katanya kepada pemberita ketika hadir untuk memantau keadaan di sekolah itu di sini.

Zahri berkata selain itu, sesiapa sahaja yang ingin memasuki kawasan sekolah perlu membersihkan tangan sebagai langkah berjaga-jaga.

Pihak sekolah itu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Selangor juga turut mengadakan pameran serta memberi penerangan kepada para pelajar dan guru mengenai langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil, termasuk pemeriksaan suhu badan.

Zahri berkata, para pelajar juga digalakkan menggunakan topeng muka sebagai inisiatif sendiri dalam menangani penularan wabak itu.

Pada Isnin lepas, Kementerian Kesihatan telah mengarahkan SRK Assunta 2 ditutup selama seminggu berikutan dua muridnya, iaitu pelajar tahun satu dan tahun lima, disahkan positif selesema babi.

Berikutan dengan dua kes positif di SRK Assunta 2, SRK Assunta 1 yang berkongsi bangunan dan kemudahan yang sama juga telah ditutup pada Selasa lepas dan dibuka semula hari ini.

Selain itu, Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka di Cheras juga dibuka semula hari ini setelah ditutup sejak Selasa lepas berikutan penularan selesema babi. - Bernama

Utusan Malaysia Online: 30 Jun 2009

34 pelajar SMK Seksyen 9 dibenar masuk kelas

SHAH ALAM 29 Jun - Seramai 34 pelajar dari sebuah kelas tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9 di sini yang dikuarantin seminggu sejak Isnin lalu berikutan penularan influenza A (HINI) memulakan sesi persekolahan seperti biasa hari ini.

Bagaimanapun, pihak sekolah memeriksa suhu badan semua pelajar terbabit sebelum mereka masuk ke kelas masing-masing.

Ia dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan mereka baik sepanjang waktu persekolahan.

Pengetua sekolah, Maizan Mohd. Nor berkata, semua pelajar kelas itu yang dikuarantin di rumah dan seorang pelajar perempuan yang sebelum ini disahkan positif H1N1 sudah dibenarkan datang ke sekolah dan belajar seperti biasa,.

Kata beliau, sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya membuat dua kali pengambilan suhu badan terhadap kesemua pelajar terlibat pada awal pagi dan waktu akhir sekolah iaitu sekitar 12.45 tengah hari.

''Langkah ini adalah kesinambungan pemeriksaan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini bagi memastikan pelajar-pelajar dalam keadaan sihat semasa berada di sekolah.

''Malah kita turut memberi penerangan amalan penjagaan kebersihan kepada semua pelajar dan ia disampaikan oleh pegawai kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling pada waktu perhimpunan pagi tadi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada 22 Jun lalu, kelas tersebut ditutup seminggu selepas pihak sekolah menerima surat yang mengarahkan semua pelajar dari kelas itu dikuarantin di rumah berikutan seorang pelajar perempuan disahkan positif H1N1.

Bagaimanapun, sekolah itu masih dibuka kepada pelajar lain berikutan tiada arahan penutupan diterima sama ada dari Kementerian Kesihatan atau Kementerian Pelajaran.

Maizan berkata, pihak sekolah terutama guru-guru yang mengajar kelas itu sudah mula menjalankan aktiviti pembelajaran seperti biasa.

"Guru-guru terlibat juga menyusun semula jadual pengajaran berikutan pelajar kelas itu sudah tertinggal beberapa bab mata pelajaran sepanjang tempoh kuarantin,'' katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan ibu bapa supaya tidak panik dan bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Utusan Malaysia Online: 30 Jun 2009

Guru harus jadi ejen perubahan

JOHOR BAHRU 29 Jun - Golongan guru menjadi ejen perubahan selaras dengan keperluan sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti pada masa akan datang.

Sehubungan itu Pengarah Pelajaran negeri, Sufaat Tumin berkata, guru dituntut berfikiran kreatif dan kritis dalam mempelbagaikan kaedah pembelajaran selaras dengan keperluan semasa.

Beliau berkata, ia mampu memberikan impak yang besar dalam memastikan kualiti perkhidmatan pendidikan sentiasa memenuhi kehendak pelanggan iaitu ibu bapa kepada para pelajar.

"Sekolah merupakan ejen melahirkan modal insan dan ia harus bergerak selari dengan keadaan semasa bagi memastikan setiap pelajar mendapatkan pendidikan pada tahap terbaik.

"Profesion perguruan pada abad ke-21 berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pelbagai perubahan dari pelbagai aspek dan ia memerlukan kreativiti para guru untuk menanganinya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Sudut Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah Contoh Negeri Johor di Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 1, Skudai, dekat sini kelmarin.

Sufaat berkata, dalam usaha melahirkan modal insan kelas pertama, para pendidik harus memainkan peranan memastikan generasi muda menjauhi gejala penagihan dadah kerana ia mampu memusnahkan masa depan mereka.

Beliau berkata, proses pembudayaan sekolah selamat perlu diwujudkan di setiap sekolah secara berterusan dengan sokongan daripada semua pihak.

Katanya, ia bagi memastikan generasi hari ini dapat meneruskan pembelajaran secara kondusif di samping mengelakkan diri daripada terlibat dengan kancah penagihan dadah.

"Usaha ini amat penting kerana sekolah berperanan penting dalam menjana pembangunan minda generasi muda dan pada masa sama menyediakan prasarana yang selamat untuk menjamin kualiti pendidikan.

"Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dan jangan biarkan masalah dadah merosakkan masa depan generasi hari ini dan menggugat kesejahteraan negara," katanya.

Utusan Malaysia Online: 30 Jun 2009

Isnin, 29 Jun 2009

H1N1: Sekolah Tinggi Chung Hwa ditutup

SEREMBAN: Sekolah Tinggi Chung Hwa, di sini menjadi sekolah pertama di negeri ini ditutup selama seminggu, mulai hari ini selepas seorang pelajarnya didapati positif jangkitan Influenza A (H1N1).

Pelajar Tingkatan Tiga itu dikatakan menghidap demam dan selesema Jumaat lalu dan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) di sini sebelum disahkan dijangkiti virus itu, petang semalam.

Pelajar perempuan itu dipercayai dijangkiti virus itu daripada abangnya, 22, yang pulang bercuti semester dari sebuah universiti di Australia, Isnin lalu.

Pengetua sekolah berkenaan, Sua Sin Zang, berkata sehubungan itu, ahli lembaga pengarah sekolah mengarahkan 46 rakan sekelas mangsa dan 14 guru diarahkan dikuarantin di rumah masing-masing selama seminggu.

Berita Harian Online: 29 Jun 2009

Fokus: Mata pelajaran SPM

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

Pelajar perlu fokus subjek berkaitan bidang diminati bagi mencapai keputusan terbaik

SETELAH sedekad Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaksanakan secara pensijilan terbuka, Kementerian Pelajaran akhirnya membuat transformasi apabila mengehadkan jumlah mata pelajaran diambil calon peperiksaan berkenaan.

Berdasarkan ketetapan baru yang akan dilaksanakan mulai tahun depan itu, calon peperiksaan berkenaan hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 subjek, manakala 11 mata pelajaran bagi calon aliran agama sains.

Berbanding sistem pensijilan terbuka dilaksanakan sejak 2000, jumlah mata pelajaran tidak dihadkan dan calon bebas menentukan jumlahnya hingga ada yang mengambil 21 subjek.

Mengulas keputusan itu, Yang Dipertua Kesatuan Kebangsaan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Malaysia (KKPSM), Azam Md Atan, berkata cadangan mengehadkan pengambilan subjek itu pernah disuarakan pihaknya kepada kementerian menerusi beberapa pertemuan sebelum ini, selain turut dijadikan fokus perbincangan seminar dan konvensyen pendidikan.

Katanya, kaitan pelajar mengambil banyak subjek sering dipersoalkan, malah pihak kesatuan sendiri pernah memohon agar Kementerian Pelajaran meneliti semula konsep sistem pensijilan terbuka SPM.

“Kami melihat keputusan ini sebagai bukti kepekaan kementerian terhadap pandangan dan saranan disuarakan pelbagai pihak termasuk KKPSM yang sememangnya menantikan respon positif sejak dulu lagi.

“Pujian wajar diberikan kepada Kementerian Pelajaran kerana bijak dan tuntas dalam membuat keputusan berkaitan isu ini. Bagi pihak kesatuan, setiap keputusan dibuat pasti ada sebab kukuh demi memastikan pembangunan potensi pelajar yang lebih menyeluruh,” katanya kepada Berita Harian.

Biarpun masih ada suara sumbang yang mempertikaikan kewajaran keputusan itu, beliau menyarankan agar semua pihak khususnya pelajar bersikap positif dan terbuka dengan perubahan itu.

Sebagai pelajar, katanya, wajar bagi mereka memfokus mata pelajaran berkaitan bidang diminati dan bersesuaian dengan kecenderungan atau kemahiran mereka bagi mencapai keputusan berkualiti.

“Jumlah kuantiti subjek yang banyak bukanlah kayu pengukur sebenar kecemerlangan pelajar, malah lebih parah jika ia tidak diseimbangkan dengan pencapaian kokurikulum yang menjadi penyumbang utama pemupukan kemahiran insaniah, sahsiah dan kepimpinan pelajar.

“Malah, pelajar juga perlu ingat, selepas keluar universiti kelak, persoalan sama ada seseorang itu pernah memperoleh 18 1A atau 20 1A dalam SPM tidak lagi relevan.

“Majikan kini lebih suka menawarkan pekerjaan kepada graduan yang bukan saja cemerlang akademik tetapi yang mempunyai keyakinan, bakat kepemimpinan, pandai bergaul, inovatif dan kreatif,” katanya.

Beliau turut berharap agar keputusan mengehadkan pengambilan subjek SPM dapat mengubah persepsi pelbagai pihak yang sebelum ini sering melabelkan sistem pendidikan negara terlalu berorientasikan peperiksaan.

Malah, katanya, keputusan itu juga dilihat sebagai sebagai mekanisme terbaik menangani isu pengagihan biasiswa khususnya yang ditawarkan kerajaan kepada lulusan SPM.

“Isu pemilihan pelajar yang layak menerima biasiswa sering dipersoalkan ramai pihak setiap tahun, malah ada yang mempertikaikan ketelusan kerajaan dalam isu itu.

“Peluang pelajar yang mendapat 20 A contohnya lebih luas untuk mendapat biasiswa berbanding pelajar 10 A. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan pelajar dan dengan keputusan mengehadkan pengambilan subjek, saya rasa isu ini akan diatasi dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Akademik, Sekolah Agama Menengah Bestari (SAM Bestari), USJ 5, Subang Jaya, Selangor, Sabariah Jaafar, berkata pengambilan maksimum 11 subjek SPM bagi calon aliran agama sains yang diputuskan Kementerian Pelajaran disifatkan rasional dan sememangnya menjadi amalan kebanyakan sekolah agama.

Di SAM Bestari, beliau menjelaskan, majoriti calon SPM diwajib mengambil 11 subjek dan hanya segelintir calon yang mengambil lebih daripada jumlah itu dengan syarat mendapat kebenaran pihak sekolah.

“Empat subjek wajib diambil calon adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik selain tiga subjek teras aliran agama iaitu Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah.

“Calon turut mengambil empat subjek elektif sains tulen iaitu Matematik Tambahan, Kimia, Fizik dan salah satu daripada subjek Biologi atau Lukisan Kejuruteraan.

“Kombinasi 11 subjek itu sudah mencukupi dan bersesuaian dengan masa yang diperlukan pelajar untuk pembelajaran dan ulangkaji tanpa mengenepikan kepentingan pembabitan mereka dalam aktiviti kokurikulum,” katanya.

Biarpun keputusan jumlah maksimum 11 subjek hanya membabitkan calon 2010 sebelum calon seterusnya diwajibkan mengambil 10 subjek maksimum mulai 2011, beliau berkata, pihaknya akan memastikan pengubahsuaian dilaksanakan segera bagi membantu calon membuat pilihan subjek yang tepat dan bersesuaian dengan mereka," katanya.

Berita Harian Online: 29 Jun 2009

Sekolah diarah tutup

SEREMBAN 28 Jun - Seorang pelajar perempuan di Sekolah Menengah Tinggi Chung Hua di sini menjadi mangsa pertama influenza A (H1N1) di negeri ini.

Pelajar berusia 15 tahun itu disahkan menghidap wabak berkenaan dipercayai berjangkit daripada abangnya yang juga positif H1N1 selepas pulang dari Melbourne, Australia baru-baru ini dan masih di kuarantin di Hospital Seremban.

Pengetua sekolah berkenaan, Sua Sim Zang, berkata, " Jabatan Pelajaran dan Jabatan Kesihatan telah bersetuju supaya sekolah ini ditutup buat sementara waktu dan kita telah memaklumkan kepada ibu bapa menerusi e-mel."

Sim Zang menjelaskan, kesemua 46 pelajar kelas terbabit dan 14 gurunya telah diarah dikuarantin di rumah bagi tujuan pencegahan.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Abdullah Muhammad yang mengesahkan penutupan sekolah tersebut berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan meminta ibu bapa sekolah berkenaan tidak panik.

Utusan Malaysia Online: 29 Jun 2009

Ahad, 28 Jun 2009

Utara: MCKK revolusi pendidikan Melayu

Oleh Ridzuan Yop
bminggu@bharian.com.my


SULTAN PERAK (kanan) diiringi Raja Dr Nazrin Shah meninjau pameran rancangan pembangunan pada Majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah MCKK, di Kuala Kangsar, semalam.

Kurikulum bina daya intelek bekal pelajar pengetahuan hadapi dunia moden

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang ditubuhkan pada 1905 berjaya melakukan satu revolusi besar kepada kaedah pendidikan anak Melayu di negara ini.

Baginda bertitah, penubuhan MCKK penting kerana kurikulum pendidikan yang dirangka sebelum itu sekadar berupaya melahirkan petani, nelayan dan tukang kayu Melayu yang lebih baik daripada ayah mereka.

Melalui MCKK, titah baginda, kurikulum lama itu dirombak kepada kurikulum yang dapat membina daya intelek dan membekalkan anak Melayu dengan pengetahuan untuk menghadapi dunia moden.

"Idea menubuhkan MCKK adalah lahir daripada istana untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat. MCKK ditubuhkan hasil tuntutan Raja-Raja Melayu sebagai program yang dapat menyediakan pendidikan berkualiti kepada anak Melayu yang sudah lama berada dalam ruang pemikiran Raja-Raja Melayu.

"Akhirnya melalui MCKK, lahirlah barisan inteligensia Melayu dalam pelbagai bidang, namun mereka tidak lupa kepada akar dan budaya bangsa," titah baginda ketika merasmikan Majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah MCKK, di sini, semalam.

Turut hadir, Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Mohamad Zahir Abdul Khalid dan Pengetua MCKK, Mohd Rauhi Mohd Isa.

Pada majlis itu, baginda turut menyampaikan hadiah kepada penerima anugerah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK, Iskandar Afiq Abd Nasir dan penerima anugerah Hassanal Bolkiah, Hazman Syamil Hassim atas kecemerlangan mereka.

Sultah Azlan Shah yang juga bekas pelajar MCKK, bertitah sempena sambutan 100 tahun penubuhannya, MCKK sudah dimasyhurkan sebagai Institusi Warisan Budaya dan Negara sebagai pengiktirafan negara dan dari Raja-Raja Melayu.

"Sebagai bekas pelajar MCKK, setiap kali beta berangkat ke kolej ini, ia adalah satu perjalanan melalui laluan peringatan yang penuh dengan kenangan manis," titah baginda sambil mengingatkan MCKK sebagai institusi pendidikan Melayu ulung, wajib meneruskan tradisi kecemerlangannya.

Titah baginda, usaha penambahbaikan kolej itu juga perlu terus dirintis supaya ia kekal unggul dan dihormati, manakala pelajarnya hendaklah menjadi penggerak utama mencipta kejayaan dan kecemerlangan serta terus menyalakan obor kegemilangan sepanjang masa.

Berita Harian Online: 28 Jun 2009

Sekolah luar bandar pertama ditutup

Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my

Tenaga pengajar dikuarantin sehingga esok

KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim 2, Kudat, Sabah, menjadi sekolah luar bandar pertama ditutup sehingga 1 Julai, berikutan jangkitan selesema babi (H1N1) menyebabkan 42 guru dikuarantin di rumah.

Ketiadaan tenaga pengajar yang dikuarantin sehingga 29 Jun depan menyebabkan pentadbiran sekolah menutup sekolah berkenaan walaupun Kementerian Kesihatan hanya mengarahkan dua kelas ditutup untuk kuarantin, Khamis lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata pihaknya memandang serius perkembangan yang berlaku di sekolah berkenaan dan akan meningkatkan pemantauan dari semasa ke semasa bagi menangani penularan virus H1N1 itu.

"Ini adalah sekolah luar bandar pertama disahkan positif H1N1. Kita mengambil langkah menutup sekolah walaupun kes membabitkan hanya seorang guru kerana guru lain dan kakitangan sekolah turut dikuarantin.

"Jawatankuasa Induk 3K (Keselamatan, Kebersihan dan Kesihatan) memandang serius perkara ini penyakit ini sudah menular ke kawasan pedalaman atau luar bandar," katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, di sini, semalam.

Turut dikuarantin di rumah, 76 murid dari dua kelas dan 10 kakitangan kerana menjadi kontak dekat kepada kes H1N1 ke-97. Lima belas kontak terdekat dengan mangsa membabitkan ahli keluarga dan rakan juga dikuarantin di rumah.

Sementara itu, sesi persekolahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson di sini, bermula semalam seperti biasa. Hampir semua murid, termasuk kes pertama murid disahkan positif virus H1N1 di sekolah berkenaan memulakan persekolahan seperti biasa.

Wee berkata, semua murid yang hadir diambil suhu badan oleh guru kelas masing-masing, dibantu pegawai Kementerian Kesihatan selain diarahkan membersihkan tangan sebelum berhimpun di dewan untuk sesi penerangan dan kesedaran mengenai H1N1.

"Pelajar (yang disahkan H1N1 sebelum ini) itu hadir hari ini (semalam). Beliau keluar dari hospital, Rabu lalu dan bebas daripada wabak berkenaan," katanya.

SJKC Jalan Davidson yang mempunyai 2,000 murid dan 100 kakitangan, ditutup seminggu bermula 19 Jun hingga 26 Jun berikutan tiga pelajarnya disahkan dijangkiti wabak H1N1.

Selain itu, Wee menegaskan semua penyertaan membabitkan guru dan murid ke luar negara perlu ditangguh atau dibatalkan sehingga wabak ini reda bagi mengelak penularan H1N1 yang lebih serius.

Katanya, guru atau murid yang baru pulang dari luar negara sama ada negara yang dijangkiti H1N1 atau tidak juga perlu memaklumkan kepada maka mereka perlu memastikan perintah kuarantin tujuh hari dipatuhi.

Berita Harian Online: 28 Jun 2009

Rombak kaedah belajar BM, BI

SHAH ALAM 27 Jun - Kerajaan disaran merombak semula kaedah pembelajaran bahasa Melayu dan Inggeris bagi mengukuhkan penguasaan kedua-dua bahasa itu di kalangan pelajar sekolah.

Profesor Diraja Ungku Aziz berkata, cadangan itu dibuat kerana beliau berpendapat pelaksanaan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak semestinya akan meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa tersebut.

"Kita bercakap daripada segi pengajaran dan pembelajaran bahasa, soal penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik tidak timbul.

"Sebaliknya, pembelajaran kedua-dua bahasa perlu ditingkatkan dengan bahasa Melayu perlu diberikan keutamaan yang sebaiknya," kata beliau ketika berucap merasmikan Kolokium Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid di sini hari ini.

Tambahnya, antara pendekatan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam dua bahasa itu ialah menambah masa pembelajaran di sekolah dan mengubah sistem pengajaran mengikut kesesuaian usia pelajar.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu melihat dan menetapkan persepsi bahawa bahasa Melayu dan Inggeris merupakan satu perkara yang berlainan dan ia tidak boleh ditambah atau dikurangkan antara satu sama lain dalam pembelajaran.

"Bahasa Melayu dan Inggeris adalah berbeza daripada segi sistem dan strukturnya," jelas beliau.

Ungku Aziz juga mahu kerajaan meneliti dan memperbanyakkan sumber maklumat termasuk buku-buku berkaitan sains dan teknologi dalam bentuk terjemahan bahasa Melayu.

Katanya, ketika ini beliau mendapati tidak begitu banyak terjemahan bahan-bahan ilmiah dalam bahasa Melayu terutamanya berkaitan dengan bidang berkenaan.

"Sebagai contoh, Sains dan Matematik tidak tertakluk pada pengunaan bahasa Inggeris kerana kedua-dua mata pelajaran itu sendiri merupakan 'bahasa simbolik'.

"Jadi dua mata pelajaran ini boleh diajar dalam pelbagai bahasa. Malah dengan ada banyak rujukan dalam bahasa Melayu, saya fikir tidak ada masalah untuk menguasai bidang-bidang ini," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 28 Jun 2009

Sabtu, 27 Jun 2009

SJKC Jalan Davidson dibuka semula hari ini selepas ditutup seminggu


PEKERJA menggunakan penutup hidung dan mulut semasa membersihkan bilik darjah SJKC Jalan Davidson yang akan dibuka untuk persekolahan selepas ditutup selama seminggu kerana penularan influenza A di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 26 Jun - Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson yang ditutup seminggu kerana penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1), mula dibersihkan hari ini untuk membolehkan sesi persekolahan dibuka semula esok.

Selain sesi persekolahan, urusan pejabat di sekolah berkenaan juga akan beroperasi semula seperti biasa mulai esok.

Esok merupakan hari persekolahan di sekolah tersebut menggantikan cuti peristiwa sempena Hari Raya Aidilfitri, September ini.

Tinjauan Utusan Malaysia ke sekolah itu hari ini mendapati, pihak sekolah mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah membabitkan kira-kira 40 guru dan kakitangan.

SJKC Jalan Davidson menjadi premis pertama di negara ini yang diarah ditutup selama seminggu ekoran wujudnya penularan H1N1 di kalangan pelajarnya.

Setakat ini empat pelajar sekolah itu disahkan dijangkiti H1N1, tiga daripadanya sudah bebas dari tempoh kuarantin manakala seorang lagi masih dikuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Guru Besar SJKC Jalan Davidson, Tan Chung Leong ketika ditemui berkata, para pelajar boleh datang ke sekolah seperti biasa esok tanpa sebarang perasaan takut.

Menurutnya, pelbagai langkah telah diambil untuk mengelakkan penularan H1N1 di kalangan pelajar.

Kata beliau, mulai esok pelajar akan dibekalkan dengan topeng muka dan mereka juga diwajibkan mencuci tangan mereka dengan bahan pencuci yang disediakan.

"Ibu bapa tidak perlu bimbang menghantar anak-anak ke sekolah kerana kita sudah memastikan keadaan di sekolah adalah terkawal," katanya.

Tambah Chung Leong, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Jalan Davidson juga akan mengadakan ceramah bagi menerangkan kepada pelajar mengenai cara-cara mengelak dan mencegah daripada dijangkiti H1N1.

"Guru-guru juga akan bekerjasama dengan pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan untuk mengukur suhu badan pelajar pada setiap hari bagi memastikan pelajar bebas daripada gejala H1N1.

"Langkah ini akan dikekalkan sehingga keadaan virus H1N1 di sekolah terbabit terkawal," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 27 Mei 2009

Pelajar serang rumah guru

KUALA TERENGGANU 26 Jun - Mereka datang dengan penuh rasa dendam dan marah.Setibanya di rumah guru itu, kumpulan tersebut mula membuat bising. Mereka semakin ganas dengan menjerit dan mencabar guru terbabit supaya keluar dari rumah.

Guru tersebut tidak berani untuk keluar melihat tindakan kurang ajar kumpulan itu yang masing-masing baru berusia 15 tahun.

Dia hanya mengintai dari tingkap rumahnya - melihat tiga daripada mereka terbabit memanjat pagar rumahnya. Bagaikan dirasuk hantu, kumpulan itu mula menggegarkan pintu jeriji rumah guru berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, dua buah kereta milik guru tersebut, Proton Waja dan Proton Satria turut dirosakkan.

Tindakan ganas ini bukanlah aksi filem atau perlakuan ah long - sebaliknya kumpulan pelajar sekolah yang tidak berpuas hati selepas salah seorang rakan mereka dirotan.

Salah seorang rakan mereka sebelum itu dirotan oleh guru disiplin terbabit, atas kesalahan ingkar arahan guru.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang, guru berusia 38 tahun itu berada di rumahnya di Kampung Paya Resak, Bukit Payong bersama isteri dan seorang anaknya.

Menurut beliau, ketika itulah pelajar tersebut datang secara berkumpulan dan menyerang rumahnya.

"Mereka mencabar guru tersebut, namun mangsa tidak memberikan sebarang reaksi menyebabkan pelajar itu naik berang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, guru itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payong kira-kira pukul 7.40 petang selepas kesemua pelajar itu beredar.

Bertindak atas laporan, katanya, polis menahan dua pelajar tingkatan tiga yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu pada hari sama untuk membantu siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati, pelajar tersebut mengaku mereka bertindak demikian kerana tidak berpuas hati setelah rakan mereka dirotan.

Kes itu, kata Mohd. Fauzi, disiasat di bawah Seksyen 147, 427 dan 506 Kanun Keseksaan. Pihak polis kini sedang mengesan saki baki pelajar yang terlibat dalam kejadian itu.

Utusan Malaysia Online: 27 Mei 2009

Jumaat, 26 Jun 2009

Tutup hawa dingin, guna kipas

PUTRAJAYA 25 Jun - Semua sekolah yang memasang pendingin hawa dicadangkan menggunakan kipas buat sementara waktu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah itu bertujuan memastikan pengudaraan yang baik dan bersih semasa sesi persekolahan bagi mencegah penularan H1N1.

Katanya, pihaknya mencadangkan Kementerian Pelajaran mengeluarkan arahan tersebut sebagai tambahan kepada langkah-langkah membendung peningkatan kes selesema babi.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa tindakan boleh dikenakan ke atas penyebar khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu mengenai wabak H1N1.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di sini hari ini.

Utusan Malaysia Online: 26 Jun 2009

Cegah anai-anai semua sekolah

SEREMBAN 25 Jun - Semua sekolah perlu menjalankan kerja-kerja pencegahan anai-anai bagi mengelakkan daripada terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk membaik pulih bangunan jika diserang serangga berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah tersebut perlu dijalankan dalam tempoh tiga tahun sekali.

Beliau berkata, sekiranya kerja-kerja pencegahan yang hanya berjumlah RM4,000 ini tidak dijalankan, perbelanjaan lebih besar mungkin terpaksa dikeluarkan sehingga mencecah RM200,000 bagi menyelenggara bangunan yang rosak akibat dimakan anai-anai.

"Langkah itu juga adalah bagi memastikan struktur bangunan sekolah berada dalam keadaan kukuh dan selamat untuk digunakan oleh pelajar dan guru di sekolah masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di sini semalam.

Menurutnya, tahun lalu, tiga buah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil di Jempol terpaksa diperbaiki berikutan masalah tersebut dan kos yang tinggi terpaksa ditanggung bagi membaikinya.

Katanya, baru-baru ini, hasil pemeriksaan pihak Jabatan Kerja Raya, mendapati SJK Cina Ladang Hillside di sini terpaksa diperbaiki ekoran masalah yang sama.

Sehubungan itu, tambah Mohamad, pelajar sekolah terbabit terpaksa belajar di dalam kabin yang disediakan sementara menunggu bangunan sekolah mereka siap dibaik pulih.

Kata beliau, pihak pengurusan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di setiap sekolah di negeri ini dinasihatkan agar tidak kedekut untuk mengeluarkan peruntukan bagi menjalankan kerja-kerja tersebut.

"Mengapa nak berjimat sedikit sedangkan perbelanjaan yang lebih besar perlu dikeluarkan sekiranya bangunan telah dimakan anai-anai. Jika tidak ada duit, pihak kerajaan negeri boleh bantu," tegas beliau.

Utusan Malaysia Online: 26 Jun 2009

Khamis, 25 Jun 2009

Tutup sekolah langkah akhir

KUALA LUMPUR 24 Jun - Tindakan menutup sekolah bagi menyekat penyebaran jangkitan virus selesema babi atau influenza A (H1N1) hanya akan diambil sekiranya situasi benar-benar mendesak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebelum tindakan itu diambil, pihak kerajaan terlebih dahulu akan menggunakan kaedah serta langkah-langkah lain bagi mengekang penularan virus tersebut.

''Kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya membuat keputusan itu (tutup sekolah) sebaliknya akan mengambil langkah lain jika kedudukan penyebaran penyakit itu masih boleh dikawal.

''Tindakan menutup sekolah adalah antara langkah terakhir yang akan diambil. Itu pun selepas kerajaan mendapati langkah-langkah lain tidak mendatangkan kesan atau gagal menghalang penyebaran virus itu,'' katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah kerajaan menutup dua buah sekolah lagi semalam dan menjadikan empat kesemuanya dengan jumlah H1N1 meningkat kepada 68 kes.

Sementara itu, ketika menjawab soalan lain Najib berkata, isu hutang cukai lapangan terbang sebanyak RM65 juta dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kini dalam peringkat kajian dan pihak konsultan telah pun dilantik.

''Kita akan menyelesaikan masalah ini dan kita akan membuat keputusan berdasarkan prinsip dan hasil kajian yang dibuat,'' ujarnya.

Apabila ditanya mengenai desas-desus berkaitan beberapa jawatan di Petronas pula, beliau berkata, itu bukan satu isu yang perlu diperbesarkan.

Desas-desus sejak beberapa bulan lepas menyatakan bahawa bekas Pegawai Khas Najib ketika beliau Timbalan Perdana Menteri, Omar Mustapha Ong akan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah, manakala bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dilantik sebagai Pengerusi Petronas bagi menggantikan Hassan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Petronas.

Utusan Malaysia Online: 25 Jun 2009

12 lagi kes baru H1N1


ROKIAH Yaakob membantu pelajarnya memakai penutup hidung dan mulut yang diberikan secara percuma ekoran seorang pelajar SMK Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur, dijangkiti HINI, semalam.


PUTRAJAYA 24 Jun – Kes selesema babi, influenza A (H1N1) di negara ini terus meningkat dengan 12 lagi kes baru dikesan.

Ia membabitkan 10 kes import baru dan dua jangkitan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican (gambar) berkata, kes baru itu melibatkan dua warga Yemen dan seorang dari Indonesia manakala selebihnya adalah warga tempatan yang telah melawat negara-negara terjejas dengan wabak itu iaitu Singapura, United Kingdom, Thailand, Filipina, Australia dan Amerika Syarikat.

‘‘Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes H1N1 yang dikesan di negara ini 80 kes iaitu 69 kes import dan 11 kes jangkitan tempatan.

‘‘Semua pesakit yang telah dimasukkan ke wad adalah stabil dan sedang menerima rawatan antiviral,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai H1N1 di sini hari ini.

Sehingga kini, jumlah kes terkumpul yang disiasat kerana disyaki jangkitan influenza A (H1N1) sebanyak 1,619 kes.

Mohd. Ismail berkata, sehingga pagi ini, 44 pesakit masih berada di hospital dan disahkan positif H1N1.

‘Hospital itu adalah Hospital Sungai Buloh (24 pesakit), Hospital Kuala Lumpur (4), Hospital Pulau Pinang (4) dan Hospital Ipoh (1).

‘‘Empat lagi hospital ialah Hospital Alor Setar (3), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (4), Hospital Tuanku Jaafar (2) dan Hospital Umum Sarawak (2),” katanya.

Menurutnya, bilangan sekolah yang ditutup kekal empat manakala tiga lagi sekolah kekal diarah tutup satu daripada kelas masing-masing.

Bagaimanapun, beliau berkata, ibu bapa pelajar sekolah terlibat diminta terus memastikan anak-anak mereka berada di rumah dan tidak mengunjungi tempat-tempat awam termasuk kelas tambahan dan sekolah agama.

‘‘Pelajar terlibat yang mengalami gejala demam dan tanda-tanda seperti batuk, sakit tekak dan selesema hendaklah segera mendapat rawatan di hospital berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa sehingga pagi ini, jumlah terkumpul kes H1N1 daripada 99 negara adalah sebanyak 53,110 kes dengan 232 kematian iaitu pertambahan sebanyak 423 kes.

Utusan Malaysia Online: 25 Jun 2009

Histeria jejas persekolahan SMK Wira Penrissen

KUCHING 24 Jun - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wira Penrissen gempar apabila hampir 10 pelajar diserang histeria secara berperingkat semasa majlis perhimpunan pagi sekolah itu hari ini.

Difahamkan ia bermula apabila seorang pelajar perempuan tingkatan tiga mula meracau ketika sesi ucapan wakil pelajar sedang berlangsung.

Seorang pelajar yang ditemui Utusan Malaysia berkata, serangan histeria bermula sejak Isnin lalu apabila seorang pelajar lelaki tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, kejadian itu berlanjutan sehingga semalam apabila dua pelajar lelaki mula meracau diikuti oleh lima lagi pelajar perempuan.

Pagi ini, kejadian sama berulang dan bilangan pelajar yang menjadi mangsa lebih ramai menyebabkan keadaan sukar dikawal.

Setelah keadaan semakin teruk dan sukar dikawal, semua pelajar perempuan diarah berkumpul di dalam dewan membacakan surah Yasin manakala bagi pelajar bukan Islam pula, mereka diminta berdoa mengikut cara masing-masing.

Menurut sumber, pelajar tingkatan tiga paling ramai diserang histeria.

Apa yang menghairankan, pelajar lelaki juga menjadi mangsa termasuk beberapa pelajar bukan Islam.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekolah tersebut sekitar jam 12 tengah hari mendapati pelajar sesi pagi dibenarkan pulang lebih awal dan beberapa pegawai dari Jabatan Pelajaran negeri berada di kawasan tersebut.

Sementara itu pelajar yang datang untuk sesi petang diarahkan berkumpul di dalam dewan sebelum dibenarkan pulang setengah jam kemudian.

Rata-rata ibu bapa pelajar yang ditemui di sini melahirkan rasa bimbang jika kejadian itu berterusan kerana ia boleh menjejaskan persekolahan anak-anak mereka.

Seorang ibu yang tidak mahu namanya disiarkan menyarankan agar pihak sekolah segera menyelesaikan masalah berkenaan kerana keadaan itu menyebabkan pelajar takut untuk ke sekolah.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr. Julaihi Bujang ketika dihubungi lewat petang ini mengesahkan kejadian tersebut.

Utusan Malaysia Online: 25 Jun 2009

Histeria jejas persekolahan SMK Wira Penrissen

KUCHING 24 Jun - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wira Penrissen gempar apabila hampir 10 pelajar diserang histeria secara berperingkat semasa majlis perhimpunan pagi sekolah itu hari ini.

Difahamkan ia bermula apabila seorang pelajar perempuan tingkatan tiga mula meracau ketika sesi ucapan wakil pelajar sedang berlangsung.

Seorang pelajar yang ditemui Utusan Malaysia berkata, serangan histeria bermula sejak Isnin lalu apabila seorang pelajar lelaki tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, kejadian itu berlanjutan sehingga semalam apabila dua pelajar lelaki mula meracau diikuti oleh lima lagi pelajar perempuan.

Pagi ini, kejadian sama berulang dan bilangan pelajar yang menjadi mangsa lebih ramai menyebabkan keadaan sukar dikawal.

Setelah keadaan semakin teruk dan sukar dikawal, semua pelajar perempuan diarah berkumpul di dalam dewan membacakan surah Yasin manakala bagi pelajar bukan Islam pula, mereka diminta berdoa mengikut cara masing-masing.

Menurut sumber, pelajar tingkatan tiga paling ramai diserang histeria.

Apa yang menghairankan, pelajar lelaki juga menjadi mangsa termasuk beberapa pelajar bukan Islam.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekolah tersebut sekitar jam 12 tengah hari mendapati pelajar sesi pagi dibenarkan pulang lebih awal dan beberapa pegawai dari Jabatan Pelajaran negeri berada di kawasan tersebut.

Sementara itu pelajar yang datang untuk sesi petang diarahkan berkumpul di dalam dewan sebelum dibenarkan pulang setengah jam kemudian.

Rata-rata ibu bapa pelajar yang ditemui di sini melahirkan rasa bimbang jika kejadian itu berterusan kerana ia boleh menjejaskan persekolahan anak-anak mereka.

Seorang ibu yang tidak mahu namanya disiarkan menyarankan agar pihak sekolah segera menyelesaikan masalah berkenaan kerana keadaan itu menyebabkan pelajar takut untuk ke sekolah.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr. Julaihi Bujang ketika dihubungi lewat petang ini mengesahkan kejadian tersebut.

Utusan Malaysia Online: 25 Jun 2009

Rabu, 24 Jun 2009

Negara kurang guru?

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


BAGI memenuhi keperluan yang semakin mendesak, kerajaan akan menambah jumlah pengambilan guru ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dari semasa ke semasa.

BAGI memenuhi keperluan yang semakin mendesak, kerajaan akan menambah jumlah pengambilan guru ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dari semasa ke semasa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan menambah pengambilan guru itu diambil berikutan keperluan guru semakin mendesak terutama di kawasan bandar yang mengalami kadar pertumbuhan pesat penduduk.

Namun, persoalannya, adakah benar kita masih mengalami kekurangan guru walaupun setiap tahun, institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pendidikan guru (IPG) melakukan pengambilan baru. Apatah lagi, kerjaya sebagai pendidik memang popular di negara ini.

Justeru, ke mana hilangnya bakal guru yang ditawarkan mengikuti program pendidikan IPTA dan IPG itu? Adakah mereka berkemungkinan 'kecundang' sebelum layak untuk menjadi pendidik?

Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Zakariah Kasa, berkata sememangnya negara masih mengalami masalah kekurangan guru walaupun setiap tahun pengambilan pelajar di IPTA atau IPG dilakukan.

Menurutnya, pengambilan pelajar dalam bidang perguruan berdasarkan unjuran yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran.

"Untuk bakal guru di sekolah menengah, mengikut unjuran kementerian, seramai 4,500 pelajar akan mengisi kekosongan di seluruh IPTA tahun ini.

"Daripada jumlah itu, UPSI akan menerima 2,500 pelajar dan semuanya akan mengisi kekosongan jawatan guru untuk empat tahun akan datang," katanya.

Jika dilihat bilangan pelajar yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru sekolah menengah empat tahun lagi, ia sangat mencukupi dan masalah kekurangan guru seharusnya tidak berlaku.

Namun, menurut Zakariah, masalah kekurangan guru tetap dihadapi disebabkan tidak punya calon yang sesuai dan benar-benar boleh menjadi guru yang diinginkan.

"Ketiadaan calon ini bukan disebabkan ketiadaan pelajar yang menghantar permohonan, namun ia disebabkan kegagalan mereka melepasi tahap saringan ditetapkan.

"Contohnya, mereka yang ditawarkan untuk mengikuti program perguruan di UPSI perlu lulus Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEdSI) sebelum sesi temu duga khas.

"Kegagalan mereka di ujian MEdSI itu secara tidak langsung mengurangkan jumlah pengambilan dan calon yang diunjurkan kementerian bagi mengisi kekosongan jawatan guru empat tahun akan datang tidak menepati apa yang diinginkan," katanya.

Kegagalan calon melepasi saringan itu secara tidak langsung mengurangkan jumlah pengambilan pelajar diperlukan.

"Selain itu, selepas menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah, mereka secara automatik di bawah seliaan kementerian dan sekali lagi perlu lulus Ujian Inventori Sahsiah Keguruan (Insak) sebelum dihantar ke mana-mana sekolah.

"Andai ujian itu gagal, mereka tidak akan bergelar pendidik dan ia menjadikan jumlah guru yang dikehendaki tidak tercapai serta menyebabkan masalah guru berkurangan," katanya.

Faktor kekurangan guru disebabkan graduan memilih subjek yang akan dikendalikan mereka tidak benar sama sekali.

Ini kerana, sepanjang mengikuti pembelajaran, mereka diberi dua subjek mengikut kelayakan dan kementerian tidak akan mengarahkan mereka mengajar subjek yang bukan dalam bidang kepakaran mereka.

Zakariah berkata, negara mengalami masalah kekurangan guru juga disebabkan sikap pemohon yang sambil lewa dalam pemilihan kursus.

"Masalah yang sering kita hadapi bagi pelajar lepasan IPTA yang mahu mengambil Diploma Perguruan di UPSI ini adalah kesilapan memilih kursus.

"Sebagai contoh, di IPTA, pengkhususan yang diambilnya adalah Sains Pertanian dan apabila memohon, dia mahu mengambil subjek Sejarah. Apabila masalah ini berlaku, kita tidak akan memproses permohonannya," katanya.

Menurutnya, masalah kekurangan guru itu juga berpunca daripada ketidaksesuaian calon untuk mengajar sesuatu mata pelajaran. Kuota pengambilan guru untuk subjek agama misalnya, cukup sukar dipenuhi disebabkan calon tidak memenuhi kriteria kelayakan.

"Bagi mengelakkan masalah kekurangan guru daripada berterusan, pemohon perlu memilih subjek yang diingini berdasarkan kelayakan masing-masing di samping minat terhadap subjek pengajaran bagi mengelakkan mereka sendiri berasa tertekan apabila bergelar guru kelak," katanya.

Menariknya, menurut Zakariah, masalah guru yang berhenti selepas dihantar ke kawasan pedalaman bukanlah sesuatu yang ketara. Ini kerana, guru berkenaan sudah diberi pendedahan awal mengenai bidang pengajaran di pedalaman menerusi latihan persediaan.

Di UPSI misalnya, calon guru diberi pendedahan dengan dihantar ke kawasan pedalaman terlebih dulu bagi membiasakan mereka dengan kawasan terbabit sebelum mula mengajar. Justeru, masalah keengganan mengajar di kawasan pedalaman bukanlah sesuatu yang membebankan calon guru berkenaan sehingga rela melepaskan jawatan.

myMetro: 24 Jun 2009

Wajib periksa suhu badan

Oleh Haika Khazi
bhnews@bharian.com.my


MURID Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2 memakai penutup pernafasan sebagai langkah berjaga-jaga.

Cadangan pelajar jalani pemeriksaan setiap hari dibincang hari ini dibincangkan

PUTRAJAYA: Kerajaan bercadang mewajibkan pelajar di seluruh negara menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memulakan sesi pembelajaran setiap hari berikutan peningkatan kes Influenza A (H1N1) dengan dua lagi sekolah ditutup semalam dan 10 kes baru dikesan, menjadikan jumlah meningkat kepada 68 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka, Cheras diarah ditutup sehingga Sabtu ini, manakala Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1, Petaling Jaya selama seminggu.

Sebelum ini, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur dan SRK Assunta 2, Petaling Jaya diarah ditutup selama seminggu.

Tiga lagi sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama, Petaling Jaya, SMK Seksyen 9 Shah Alam dan Sekolah Menengah Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur kekal dengan penutupan satu kelas bagi tempoh tujuh hari.

Dr Ismail berkata, cadangan mewajibkan pelajar menjalani pemeriksaan suhu badan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani Penularan H1N1 bersama Kementerian Pelajaran, hari ini.

"Kita akan mengenal pasti kaedah paling sesuai dan mudah untuk guru memeriksa suhu badan pelajar. Sekiranya semua pihak bersetuju, kita akan membekalkan termometer kepada guru bagi mengesan pelajar yang menunjukkan tanda demam," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah memaklumkan kepada Kementerian Pelajaran supaya mengarahkan semua warga sekolah yang baru pulang dari Australia, Filipina, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) supaya tidak ke sekolah dalam tempoh tujuh hari.

"Langkah itu perlu kerana kebanyakan kes import H1N1 dibawa masuk dari empat negara berkenaan. Kita juga mengarahkan semua yang terbabit mengkuarantin diri sendiri, iaitu dengan berkurung di rumah masing-masing sepanjang tempoh itu," katanya.

Dr Ismail berkata, daripada 10 kes terbaru, dua adalah penularan tempatan masing-masing pelajar Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka dan SJKC Jalan Davidson, manakala lapan kes import membabitkan lima rakyat Malaysia serta masing-masing seorang warga Yaman, Switzerland dan Itali.

"Kes ke-62 adalah seorang pelajar lelaki warga tempatan berusia 16 tahun dan dia adalah kontak kepada kes ke-42, iaitu pelajar Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka yang disahkan positif H1N1," katanya.

Mangsa ke-62 itu yang juga kes jangkitan tempatan kelapan, mengalami demam, batuk dan sakit tekak pada Sabtu lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh keesokannya serta disahkan positif semalam.

Dr Ismail berkata, seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun dari SJKC Jalan Davidson pula adalah kontak dengan seorang rakannya yang disahkan positif H1N1, dua hari lalu.

Mangsa ke-66 itu mengadu mengalami demam, batuk dan sakit tekak sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan positif, kelmarin.

Kes import pula ialah:

l Budak perempuan berusia 5 tahun 9 bulan yang baru pulang dari California, AS dengan pesawat Cathay Pacific (CX 873) dan transit di Hong Kong sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu;

l Pelajar perempuan warga tempatan berusia 14 tahun yang tiba dari Melbourne, Australia, Khamis lalu dengan menaiki pesawat MH148;

l Lelaki berusia 23 tahun yang pulang dari Melbourne, Jumaat lalu dengan pesawat MH128 sebelum meneruskan perjalanan ke Kuching melalui penerbangan MH2504;

l Budak perempuan berusia 5 tahun 8 bulan yang menetap di Manila dan kembali ke Malaysia bersama ibunya pada 20 Jun lalu dengan penerbangan MH705 sebelum menyambung perjalanan ke Pulau Pinang menerusi pesawat MH1166;

  • Lelaki berumur 42 tahun yang pulang dari Manila dengan pesawat Cebu Pacific Airways 5J 501 pada 18 Jun;

  • Lelaki warga Yaman berumur 24 tahun yang bertolak dari Bangkok ke Malaysia pada 19 Jun menaiki penerbangan AirAsia AK 342;

  • Lelaki warga Switzerland berumur 54 tahun yang ke Malaysia bersama isteri menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ 118; dan

  • Pelajar lelaki warga Itali berusia 19 tahun yang menaiki pesawat MH148 dari Melbourne dan tiba di KLIA pada 21 Jun.

    Mohd Ismail berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sehingga jam 8 pagi semalam jumlah terkumpul kes H1N1 yang dilaporkan adalah sebanyak 52,687 kes dengan 231 kematian dari 99 negara, iaitu pertambahan 7,709 kes.

    Negara yang melaporkan pertambahan kes tertinggi adalah AS (3,594), Chile (1,190), Kanada (805), United Kingdom (754) dan Australia (297).

  • Berita Harian Online: 24 Jun 2009

    Bukan semua sekolah ditutup

    Oleh Johari Ibrahim
    joib@bharian.com.my

    Kementerian Kesihatan pantau keadaan elak H1N1 merebak: Muhyiddin

    PUTRAJAYA: Kerajaan tidak bercadang menutup semua sekolah di Lembah Klang atau menguatkuasakan sekatan pergerakan pada masa ini walaupun berlaku pertambahan kes Influenza A (H1N1), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Sambil meminta orang ramai tidak cemas, beliau berkata, Kementerian Kesihatan sedang memantau keadaan itu dan mengambil langkah sewajarnya untuk menghalang penularan dan memberi jaminan langkah diambil kerajaan sekarang berkesan.

    "Tidak, tidak buat masa ini (menutup sekolah di Lembah Klang)," katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis makan tengah hari sempena Persidangan Ketujuh Ketua Perwakilan Luar di sini, semalam.

    Ditanya sama ada kerajaan akan menguatkuasakan sekatan pergerakan berikutan pertambahan kes berkenaan, Muhyiddin berkata: "Kita akan memantau keadaan, saya tidak mahu membuat jangkaan kecuali sampai masa yang kita perlu melakukannya kerana tidak mahu orang ramai cemas jika tindakan dilakukan tanpa pertimbangan rapi."

    Beliau berkata, pada masa ini, Kementerian Kesihatan mengambil tindakan menutup sekolah kerana kawasan berkenaan dikesan ada kes H1N1.

    Beliau diminta mengulas sama ada kerajaan akan mengambil dua tindakan berkenaan kerana bilangan kes penyakit itu di Lembah Klang meningkat kepada 68 kes semalam, dengan empat buah sekolah diarah ditutup selama seminggu.

    Ditanya sama ada Malaysia akan bersepakat dengan negara Asean untuk meminta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan arahan saringan bagi mereka yang keluar dari negara yang ada kes, beliau berkata, perkara itu pernah dibincangkan oleh badan berkenaan.

    "Sesetengah negara setuju dan banyak anggota rasakan ia tidak perlu. Sehingga ada permuafakatan mengenai perkara itu, kita akan melaksanakan kaedah sekarang," katanya.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, WHO juga mempunyai forum sendiri untuk menentukan sama ada nasihat perjalanan perlu dikeluarkan atau sebaliknya berikutan penularan itu.

    Beliau juga meminta Kementerian Kesihatan mengadakan perjumpaan dengan guru dan ibu bapa bagi menjelaskan mengenai sebab sekolah ditutup agar mereka dapat membantu menangani serangan penyakit itu.

    Ditanya mengenai laporan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Sungai Timah, Teluk Intan, Perak yang hanya mempunyai seorang murid, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan tidak akan menutup sekolah berkenaan.

    "Itu dah ada dasar, maknanya, dari sudut kita kalau mereka masih nak belajar, walau seorang murid (dengan) 10 guru, persefahaman yang kita ada ialah kita kekalkan (sekolah) itu.

    "Tapi kita nasihat kepada pentadbir sekolah dan pihak yang berkepentingan kalau boleh mereka masuk ke sekolah lain, tak jadi masalah untuk menguruskan sekolah itu dengan kos yang tinggi," katanya yang menyerahkan kepada budi bicara pentadbiran sekolah untuk mengambil keputusan.

    Berita Harian Online: 24 Jun 2009

    Guru Kafa terima elaun awal bulan

    KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada Penulis 'Guru Kafa' Wakaf Baru, Kelantan dalam ruangan ini, 10 Jun lalu.

    Sukacita dimaklumkan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Kelantan dibayar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diturunkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan diuruskan pembayarannya Jabatan Pelajaran Kelantan melalui Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) masing-masing. Setiap PPD mempunyai kerani khas lantikan Jakim untuk menguruskan elaun guru Kafa.

    Kelewatan pembayaran elaun berpunca daripada masalah teknikal. Hasil lawatan Jabatan Audit pada akhir 2008, mereka tidak membenarkan kerani bergaji harian menguruskan elaun guru Kafa.

    Sedangkan Jakim tidak melantik kerani tetap di PPD baru diwujudkan iaitu Tumpat (daerah pengadu). Machang, Jeli, Bachok dan Gua Musang.

    Bagaimanapun dimaklumkan semua guru Kafa daerah Tumpat menerima elaun mereka pada awal Jun.

    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
    Kementerian Pelajaran.


    Berita Harian Online: 24 Jun 2009

    Sekolah Terbilang: Fokus kebitaraan

    Oleh Basir Zahrom
    basir@bharian.com.my


    SMTTJ mendapat taraf Sekolah Kluster dua tahun lalu.

    SMT Tuanku Ja'afar sasar jadi institusi cemerlang bertaraf dunia menjelang 2012

    SEBAGAI sebuah sekolah menengah aliran teknik terkemuka di negara ini, Sekolah Teknik Tuanku Jaafar (STTJ), Seremban sentiasa memberi penekanan aspek kebitaraannya bagi mencapai visi menjadi institusi cemerlang bertaraf dunia menjelang 2012.

    Pengetuanya, Arshad Md Yusof, berkata kebitaraan itu termasuk reka cipta dan Inovasi, sukan sofbol serta bola jaring sentiasa dipantau pencapaiannya lebih-lebih lagi selepas mendapat taraf Kluster dua tahun lalu.

    Beliau berkata, pihaknya terus memberi fokus bidang akademik apabila berjaya mencatat keputusan lulus 100 peratus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak lima tahun lalu.

    “Pada masa sama kami menggalakkan kerjasama di kalangan 721 pelajar dan 63 tenaga pengajar dalam setiap kegiatan dijalankan,” katanya kepada Berita Harian.

    Mengenai pemilihan kebitaraan, Arshad berkata, sukan sofbol dipilih berdasarkan tradisi kecemerlangan dicapai STTJ yang menjadi juara peringkat negeri 10 tahun berturut-turut dari 1987 hingga 1997 di bawah jurulatihnya, Radin Khalid Radin Husin.

    SMTTJ mendapat taraf Sekolah Kluster dua tahun lalu.

    Katanya, kemampuan pasukan itu mengekalkan pencapaian cemerlang diteruskan apabila menjuarai kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan pada Kejohanan Antara Teknik Seluruh Malaysia, Mei lalu.

    Selain itu, katanya, sukan bola jaring juga mencatatkan kejayaan membanggakan apabila meraih naib juara peringkat kebangsaan pada 2006, 2007 dan 2008 pada Sukan Antara Teknik Peringkat Kebangsaan.

    Sejajar moto ‘Teknologi Asas Kemajuan’ reka cipta dan inovasi dipilih STTJ dan ia memberikan kelainan kerana memfokus inovasi tenaga solar.

    “Antara projek sedang dan sudah dijalankan termasuk penggunaan palang pagar utama pada pintu masuk sekolah, kincir air di Taman Suria STTJ dan pembinaan kereta yang diusahakan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sekali gus persediaan menyertai Kejohanan Cabaran Kereta Solar Antarabangsa di Australia pada 2011.


    “Projek yang dilancarkan Mei lalu menarik minat Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Fuad Zarkashi, seterusnya mencadangkan inovasi berkaitan reka cipta dan teknologi diperkenalkan di semua SMT pada masa akan datang,” katanya.

    Beliau berkata, keperluan industri kini memerlukan ramai tenaga separuh mahir bidang berkenaan dan SMT mampu menyediakan keperluan asas dalam bidang kerjaya berkaitan.

    Katanya, bagi meningkatkan pencapaian STTJ menjalin kerjasama dengan UTM, Universiti Teknikal Melaka, beberapa politeknik dan industri bagi berkongsi kepakaran disamping memotivasikan pelajar secara berterusan.

    “Sekolah kami dipilih menyertai Projek GenYES (Youth & Educators Succeeding) anjuran Malaysian Student Technology Leaders (MYSTL) yang memilih Malaysia sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara menjadi perintis projek ini.

    “Program membabitkan 30 pelajar bertujuan membantu guru menyelesaikan masalah berkaitan komputer sebagaimana dilaporkan laman web GenYES,” katanya.

    Menurut beliau, MYSTL banyak membantu sekolah meningkatkan perkakasan komputer dan kemahiran pelajar serta guru dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

    SMT premier yang menjadi pilihan lulusan cemerlang Penilaian Menengah Rendah termasuk SMT Johor Bahru, Johor; SMT Bukit Piatu, Melaka; SMT Cheras, Kuala Lumpur; SMT Kuantan, Pahang; SMT Ipoh, Perak; SMT Batu Lanchang, Pulau Pinang; SMT Alor Setar, Kedah dan SMT Kuala Terengganu, Terengganu.

    INFO: Pencapaian STTJ

  • Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan 2003

  • Johan 3K Peringkat Kebangsaan 2003

  • Naib Johan Negeri Sofbol 2006

  • Anugerah Koperasi 5 Bintang 2006

  • Anugerah Khas Koperasi Peringkat Negeri 2007

  • Anugerah Dewan Makan Asrama Terbaik Negeri 2008

  • Johan Sofbol Negeri 2009.

  • Berita Harian Online: 24 Jun 2009

    PPSMI siap minggu depan?

    KUALA LUMPUR 23 Jun – Setelah hampir enam tahun dilaksanakan, nasib dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang banyak menimbulkan kontroversi akan dapat diketahui dalam waktu terdekat ini.

    Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan mengenai PPSMI akan diumumkan awal bulan depan selepas analisis pelaksanaan dasar tersebut dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh terdekat ini.

    Katanya, analisis menyeluruh dan kertas mengenai hala tuju PPSMI sudah siap dan akan dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya.

    ‘‘Saya memberi jaminan bahawa keputusan yang akan diambil oleh kerajaan berhubung dasar PPSMI akan memberi kebaikan kepada murid, guru dan masa depan negara,” katanya yang juga Menteri Pelajaran ketika menjawab soalan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

    Muhyiddin berkata, kerajaan juga memikirkan implikasi terhadap kohort murid yang terlibat dalam pelaksanaan dasar itu sejak 2003 hingga sekarang iaitu kelompok murid yang dapat mengikuti dengan baik dan kelompok murid yang sebaliknya.

    ‘‘Oleh sebab itu sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita mengambil sedikit masa untuk menilai implikasi dasar tersebut daripada pelbagai sudut dan memikirkan cara-cara untuk menambah baik sistem pendidikan negara secara komprehensif,” jelasnya.

    Muhyiddin berkata, kerajaan komited memastikan kecemerlangan murid dalam subjek Sains dan Matematik seiring dengan peningkatan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan komunikasi antarabangsa.

    Pada masa yang sama juga katanya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan perpaduan di kalangan rakyat akan terus dimartabatkan.

    ‘‘Sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan, kerajaan akan memastikan komponen bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran akan dipertingkatkan. Kerajaan akan mengambil kira kedua-dua pertimbangan ini dalam membuat keputusan mengenai dasar PPSMI,” katanya.

    PPSMI mendapat banyak bantahan daripada pelbagai pihak termasuk bukan Melayu yang bimbang dengan pencapaian pelajar dalam subjek berkenaan khususnya di kalangan pelajar luar bandar.

    Malah pejuang bahasa kebangsaan juga melihat PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan apabila bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah.

    Kemuncak terhadap bantahan itu apabila Gerakan Menentang PPSMI (GMP) mengadakan perhimpunan membabitkan kira-kria 5,000 orang yang kemudiannya berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menuntut pemansuhan dasar tersebut.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kementerian memfokuskan kepada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru dan murid dengan menambah baik latihan guru serta meningkatkan mutu pengajaran serta pembelajaran subjek itu di sekolah.

    ‘‘Antara langkah yang diambil ialah masa pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah ditambah untuk membolehkan kandungan pengajaran dan pembelajarannya ditambah,” ujarnya.

    Menurutnya, langkah itu penting kerana penguasaan bahasa Inggeris yang baik di kalangan murid dan guru merupakan pra syarat utama kepada kejayaan dasar seperti PPSMI.

    Tambahnya, kajian kementerian dan pasukan penyelidik bebas daripada institusi pengajian tinggi (IPT) mendapati tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid dan guru secara keseluruhannya berada pada tahap sederhana.

    Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) mengenai PPSMI yang tidak membantu peningkatan terutama di kalangan murid-murid luar bandar, Muhyiddin berkata, semua guru bahasa Inggeris yang dihantar ke luar bandar telah diberikan insentif dalam bentuk elaun.

    Mengenai faktor keengganan segelintir guru mengajar di kawasan luar bandar, beliau menjelaskan, ia disebabkan oleh ketiadaan tempat tinggal yang selesa untuk mereka.

    Utusan Malaysia Online: 24 Jun 2009

    Kementerian Kesihatan cadang periksa suhu badan pelajar sekolah

    PUTRAJAYA 23 Jun - Kementerian Kesihatan akan mencadangkan pelaksanaan pemeriksaan suhu badan setiap pelajar sekolah bagi membendung penularan tempatan influenza A (H1N1) dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bagi Menangani Penularan H1N1 esok.

    Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, jika cadangan itu dipersetujui, pihaknya akan membekalkan peralatan jangka suhu kepada setiap guru bagi memeriksa suhu badan pelajar.

    ''Kita akan bekalkan peralatan yang mudah digunakan bagi mengesan sama ada pelajar berkenaan demam atau tidak dan semua guru yang terlibat akan dilatih menggunakan peralatan itu.

    ''Ia adalah satu cadangan yang perlu diperhalusi jawatankuasa teknikal itu bagi mengelakkan jangkitan H1N1 tempatan sukar dikawal di masa depan,'' katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai situasi semasa wabak H1N1 dan tindakan Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

    Sehingga pukul 9 pagi ini, terdapat 10 kes H1N1 dikesan melibatkan lapan kes import dan dua jangkitan tempatan.

    Jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak 68 kes iaitu 59 kes import dan sembilan kes jangkitan tempatan.

    Mohd. Ismail berkata, dalam mesyuarat itu, pihaknya akan turut menyentuh soal kaedah penerimaan borang pengisytiharan kesihatan di semua pintu masuk negara ini yang dikatakan tidak begitu berkesan.

    ''Kita akan bincang isu itu sebab ada rungutan orang ramai dalam akhbar tempatan menyatakan pegawai kementerian tidak mengambil atau meneliti borang yang diserahkan kepada mereka.

    ''Jika ada kelemahan, kita mungkin akan menukar kaedah sedia ada bagi memastikan penularan H1N1 di negara ini dapat ditangani dengan lebih berkesan,'' katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pelajaran bersetuju melarang pelajarnya yang baru pulang dari Manila, London, Australia dan Amerika Syarikat, menghadiri sesi persekolahan di sekolah masing-masing.

    Beliau berkata, larangan itu dibuat kerana sebahagian besar kes H1N1 yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini melibatkan tempat terbabit.

    ''Kita minta mereka supaya tidak ke mana-mana selama tujuh hari,'' katanya.

    Utusan Malaysia Online: 24 Jun 2009

    SRK Assunta ditutup, PIBG lega

    PETALING JAYA 23 Jun - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRK Assunta 1 hari ini lega dengan keputusan kerajaan menutup sekolah itu selama seminggu mulai esok, sehari selepas penutupan SRK Assunta 2.

    SRK Assunta 1 yang menjalankan persekolahan pada sesi petang dan SRK Assunta 2 pada sesi pagi, berkongsi bangunan dan kemudahan yang sama.

    Semalam, Kementerian Kesihatan mengarahkan penutupan SRK Assunta 2 selama seminggu berikutan dua muridnya dari tahun satu dan lima disahkan positif influenza A (H1N1).

    Ahli Jawatankuasa PIBG SRK Assunta 1, John Daniel, 48, menyifatkan keputusan menutup sekolah tersebut bijak kerana majoriti ibu bapa kini bimbang kesihatan anak mereka.

    ''Kebimbangan kita berasas. Ini kerana semua pelajar SRK Assunta 1 dan 2 berkongsi kemudahan sama termasuk tandas, kantin dan bilik darjah lebih-lebih lagi SRK Assunta 2 telah diarah tutup mulai hari ini.

    ''Kedatangan murid pada hari ini mencatatkan kemerosotan, hanya 13.5 peratus yang hadir berbanding jumlah keseluruhan 800 orang,'' katanya.

    Tinjauan Utusan Malaysia ke SRK Assunta 1 petang ini mendapati semua murid sekolah itu memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga penularan wabak H1N1.

    Kebanyakan kelas didapati kosong serta kurang bilangan murid manakala ibu bapa menjemput pulang anak mereka mulai pukul 2.30 petang walaupun sesi persekolahan sepatutnya tamat 6.30 petang.

    Seorang bapa, Hasan Mohd Aziz, 49, menyokong penutupan SRK Assunta 1 dan 2 kerana wabak H1N1 berbahaya.

    ''Ini wabak baru, kita pun tidak tahu sejauh mana risiko dan kesannya kepada murid-murid.

    ''Saya telefon pihak sekolah tetapi tidak dijawab, saya buat keputusan bawa pulang anak sebagai langkah pencegahan,'' katanya.

    Sementara itu, seorang murid, Nurul Rahimah Mohd Hanipah, 12, ketika ditemui berkata, tiga daripada empat kelas tahun enam telah digabungkan memandangkan bilangan pelajar yang hadir terlalu sedikit.

    ''Biasanya, dalam kelas saya ada 40 orang tetapi hanya lapan yang hadir. Apabila digabung tiga kelas, jumlah pelajar hanya 24 orang,'' katanya.

    Utusan Malaysia Online: 24 Jun 2009

    Dua sekolah lagi ditutup


    Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama Petaling Jaya memakai topeng muka berikutan salah seorang pelajar sekolah tersebut dijangkiti virus H1N1.


    KUALA LUMPUR 23 Jun - Dua buah sekolah lagi ditutup hari ini menjadikan empat kesemuanya dengan jumlah penghidap selesema babi atau influenza A (H1N1) meningkat kepada 68 kes.

    Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka, Cheras ditutup sehingga Sabtu ini manakala Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1 di Petaling Jaya ditutup selama seminggu.

    Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur dan SRK Assunta 2 di Petaling Jaya sudah diarah ditutup selama seminggu mulai 19 Jun lalu sehingga 26 Jun ini, kerana berlaku penularan tempatan.

    Tiga sekolah lain iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama, Petaling Jaya, SMK Seksyen 9 Shah Alam dan SM Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur kekal dengan penutupan satu kelas bagi tempoh tujuh hari.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu pemberita di Parlimen, Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka, Cheras diarah tutup selepas dua pelajarnya didapati positif H1N1.

    "Sehingga tengah hari ini sebanyak 10 lagi kes baru dilaporkan termasuk dua kes di sekolah berkenaan yang menjadikan jumlah keseluruhan H1N1 di negara ini kepada 68 kes baru.

    "Daripada 10 kes baru itu, dua penularan tempatan dan bakinya kes import di mana pesakitnya dijangkiti wabak itu di Melbourne, Australia sebelum pulang ke tanah air," katanya.

    Beliau memberi jaminan yang pihaknya meneliti perkembangan wabak itu dan yakin dapat menghalangnya daripada merebak kerana telah mengenal pasti dan mengesan perhubungan pesakit dengan orang lain.

    Di Putrajaya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican memberitahu kes ke-62, seorang pelajar lelaki warga Malaysia berumur 16 tahun adalah kontak kepada kes ke-42 iaitu pelajar Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka.

    "Dia mengalami demam, batuk dan sakit tekak Sabtu lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada keesokan harinya dan disahkan positif semalam.

    "Pelajar lelaki itu merupakan kes jangkitan tempatan kelapan dan sehubungan itu, telah terdapat dua kes positif di kalangan pelajar di sekolah tersebut," katanya kepada pemberita di sini.

    n Daripada 68 jumlah kes influenza A sehingga kini, 59 kes adalah import manakala sembilan kes penularan tempatan.

    n Daripada lapan kes import hari ini - lima membabitkan rakyat Malaysia dan tiga warga asing masing-masing dari Yemen, Switzerland dan Itali.

    n Justeru, mereka yang berkunjung ke negara-negara terjejas wabak H1N1 seperti Filipina, United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat akan dinasihatkan mengambil tindakan kuarantin sendiri di rumah selama seminggu.

    Utusan Malaysia Online: 24 Jun 2009

    Hanya menteri boleh tutup


    Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Timah yang hanya mempunyai seorang murid dan tiga guru di Teluk Intan, Perak. (Gambar kecil ialah K. Humah)


    IPOH 23 Jun - Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Ladang Sungai Timah akan beroperasi seperti biasa selagi ada murid walaupun hanya seorang.

    Pengarah Pelajaran Perak, Mohd. Radzi Abd. Jabar memberitahu, itu merupakan peraturan yang diguna pakai selama ini.

    Beliau berkata, hanya Menteri Pelajaran mempunyai kuasa menentukan sama ada sesebuah sekolah harus dibuka atau ditutup.

    ''Peraturan yang ada menyebut, selagi ada murid, operasi sekolah akan dikekalkan. Pihak jabatan tiada kuasa menutup sekolah, hanya Menteri Pelajaran berkuasa tutup atau buka sekolah,'' katanya di sini hari ini.

    Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kisah seorang murid yang bosan dan sunyi kerana terpaksa belajar seorang diri berikutan dia satu-satunya murid di SRJK Tamil Ladang Sungai Timah dekat Teluk Intan sejak enam bulan lalu.

    Ketiadaan rakan untuk diajak berbual, apatah lagi bermain permainan yang disukai pada waktu lapang, menyebabkan K. Humah, 12, menjadi seorang murid pendiam.

    Sekolah itu terletak di kawasan ladang kelapa sawit milik MHC Plantation Berhad, kira-kira 40 kilometer dari sini melalui Jalan Teluk Intan-Lumut.

    Selain Guru Besar, M. Paramiswary, sekolah itu dibantu seorang guru akademik, M. Jayakumar dan seorang guru sandaran, V. Moganathaf, 19.

    Apa yang menarik, sekolah berkenaan mempunyai kelengkapan setanding sekolah lain seperti komputer, projektor, perpustakaan, bilik permainan dalaman, televisyen 42 inci (106.7 sentimeter), kantin dan padang mini.

    Mengulas lanjut, Mohd. Radzi berkata, beliau percaya ada usaha dilakukan untuk memujuk murid berkenaan berpindah ke sekolah lain demi masa depannya.

    ''Tetapi mungkin atas faktor-faktor tertentu ibu bapa murid tersebut, menyebabkan mereka mahu anak mereka kekal di sekolah sedia ada,'' ujarnya.

    Jelas beliau, sebelum ini, pihaknya pernah berdepan senario sama di sekolah lain tetapi dapat diselesaikan dengan baik apabila ibu bapa murid terbabit bersedia memindahkan anak mereka ke sekolah berhampiran.

    ''Dalam kes-kes seperti ini, kita tidak akan mendesak tetapi terpulang kepada murid dan ibu bapa sendiri untuk membuat keputusan mereka,'' katanya.

    Utusan Malaysia Online: 24 Jun 2009

    Tiada murid baru: Humah mungkin pelajar terakhir

    TELUK INTAN 23 Jun - Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Ladang Sungai Timah di sini mungkin ditutup tahun depan berikutan ketiadaan murid baru yang mendaftar untuk memasuki sekolah itu.

    Beberapa bekas murid sekolah itu yang ditemui Utusan Malaysia hari ini berkata, bilangan murid di sekolah tersebut mula merosot sejak tahun 1980-an lagi.

    Jefri Din Md. Baddaron, 40, berkata, sebelum ini ramai murid Melayu dari kampung tradisional berdekatan belajar di sekolah tersebut termasuk dia sendiri dari tahun 1974 hingga 1979.

    ''Ketika itu, sekolah berkenaan mempunyai 80 murid India dan Melayu,'' katanya.

    Bagaimanapun katanya, apabila kerajaan membina dua sekolah kebangsaan (SK) iaitu SK Sungai Jejawi dan SK Seberang Perak, ramai murid Melayu telah berpindah ke sekolah baru.

    Seorang lagi murid tua sekolah itu, G. Devanandran, 40, berpendapat, sekolah itu wajar ditutup kerana tidak ramai lagi pekerja ladang tempatan tinggal di situ.

    ''Tiada buruh tempatan tinggal di Ladang Sungai Timah lagi kerana telah berpindah ke tempat lain, yang ada buruh asing dari Bangladesh dan Indonesia,'' katanya.

    Sementara itu, pemandu bot, G. Kalai Selvan, 57, membayangkan dia mungkin tidak lagi membawa murid ke sekolah itu tahun depan.

    Berpengalaman selama 20 tahun membawa bot penumpang menyeberangi Sungai Perak katanya, apa yang bakal berlaku itu akan meninggalkan memori dalam hidupnya.

    ''Dulu saya bawa antara 10 hingga 20 murid setiap hari ke sekolah dengan tambang dibayar oleh pihak pengurusan ladang. Sekarang hanya seorang murid sahaja dan selepas ini, tiada lagi murid yang akan saya bawa,'' katanya.

    Sementara itu, usaha Utusan Malaysia mendapatkan maklumat lanjut daripada guru besar sekolah itu gagal apabila beliau enggan menjawab sebarang soalan.

    Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kisah seorang murid yang bosan dan sunyi kerana terpaksa belajar seorang diri berikutan dia adalah satu-satunya murid di sekolah tersebut sejak enam bulan lalu.

    Ketiadaan rakan untuk diajak berbual, apatah lagi bermain permainan disukai pada waktu lapang, menyebabkan K. Humah, 12, menjadi murid pendiam.

    Sekolah itu terletak di kawasan ladang kelapa sawit milik MHC Plantation Berhad, kira-kira 40 kilometer dari sini melalui Jalan Teluk Intan - Lumut.

    Selain Guru Besar, M. Paramiswary, 54, sekolah itu dibantu oleh seorang guru akademik, M. Jayakumar, 27, dan seorang guru sandaran, V. Moganathaf, 19.

    Apa yang menarik, sekolah berkenaan mempunyai kelengkapan setanding dengan sekolah lain seperti komputer, projektor, perpustakaan, bilik permainan dalaman, peti televisyen, kantin dan padang mini.

    Utusan Malaysia Online: 24 Jun 2009

    Guru Pendidikan Islam berlebihan di Kelantan

    KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat daripada Bapa Mithali, Kota Bharu, Kelantan di ruangan ini 8 Jun lalu.

    Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pelajaran Malaysia amat mengambil berat masalah yang dihadapi oleh guru yang memohon pertukaran. Namun guru perlu memahami bahawa BPI terikat dengan peraturan yang telah ditetapkan. Dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pertukaran, beberapa kriteria akan diambil kira, antaranya:

    n Keperluan Perkhidmatan.

    n Kekosongan Perjawatan di negeri yang dipohon.

    Untuk makluman, pertukaran ke Kelantan telah dibekukan pada mesyuarat pertengahan tahun 2009 kerana negeri berkenaan mengalami lebihan guru Pendidikan Islam yang ramai. Dasar baru Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menentukan mana-mana negeri yang mengalami lebihan guru, boleh dikenakan surcharge. Dasar ini perlu dilaksanakan bagi memastikan taburan guru yang seimbang dan menyeluruh di seluruh negara. Sebagai penjawat awam, khususnya guru, keutamaan adalah memberi pendidikan walau di mana jua ditempatkan selaras dengan saranan Perdana Menteri 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan''.

    BPI juga ingin memberi penjelasan tentang kes yang ditimbulkan oleh pengadu mengenai anak beliau yang telah disahkan mengidap penyakit Genetik Matabolik oleh doktor pakar Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur. Justeru, BPI merasakan beliau wajar berada di Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan terbaik. Sekiranya berjaya masuk ke Kelantan, besar kemungkinan penempatan akan berlaku di pedalaman. Hal ini tentunya merumitkan anak penulis untuk mendapatkan rawatan.

    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
    Kementerian Pelajaran Malaysia

    Utusan Malaysia Online: 24 Jun 2009

    Selasa, 23 Jun 2009

    Hanya seorang murid, tiga guru

    Oleh Abu Bakar Al Sidek
    bhnews@bharian.com.my


    HUMAH berjalan keluar dari bangunan SRJK Tamil Ladang Sungai Timah selepas tamat waktu persekolahan.

    SRJK Tamil Ladang Sungai Timah mungkin tiada pelajar tahun depan

    TELUK INTAN: Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Ladang Sungai Timah, Mukim Bandar dekat sini, kini hanya mempunyai seorang murid, tetapi tiga guru termasuk guru besarnya.

    Pelajar perempuan tunggal sekolah itu, K Humah, 12, adalah murid Tahun Enam yang belajar di situ sejak Tahun Satu dan tahun depan sekolah berkenaan dijangka tiada lagi murid.

    Guru Besarnya, M Paramisywary, 45, dibantu dua guru lain iaitu M Jayakumar, 27, yang sudah tiga tahun mengajar di situ, manakala seorang lagi adalah guru sandaran, V Moganathaf, 19, baru setahun mengajar serta seorang tukang kebun.

    Walaupun hanya seorang murid, sekolah itu mempunyai pelbagai kemudahan pembelajaran seperti komputer, projektor, perpustakaan, peti televisyen, kantin dan padang.

    Kemerosotan bilangan murid di sekolah itu bermula sejak 80-an apabila ramai buruh ladang yang bersara berpindah ke tempat lain sementara tempat mereka diambil alih buruh asing.

    Berita Harian yang meninjau sekolah itu baru-baru ini juga gagal menemui guru besarnya kerana bercuti sakit, sementara Jayakumar dan Moganathaf enggan memberi sebarang komen dengan alasan perlu mendapat izin Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

    Humah juga tidak bersekolah pada hari berkenaan kerana demam.

    Ketika ditemui di rumahnya di Ladang Edward kira-kira lapan kilometer dari sekolahnya, dia mengesahkan berasa sunyi dan bosan belajar seorang diri.

    "Saya jadi pendiam kerana tidak ada rakan untuk berbual waktu rehat, bermain atau bertanya mengenai pelajaran," katanya yang bercita-cita menjadi pendidik.

    Dia dihantar bapanya setiap hari ke sekolah berasa terkilan kerana tidak dapat menyertai kegiatan kokurikulum seperti sukan kerana seorang diri.

    Bapanya, P Krishnan, 40, buruh ladang dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan, berkata beliau tiada pilihan dan terpaksa menghantar anaknya ke sekolah itu.

    "Saya tidak mampu membayar tambang bas RM20 sebulan dan belanja sekolah lain jika terpaksa menghantar anak saya ke sekolah di bandar Teluk Intan," kata bapa kepada enam anak itu.

    Berita Harian Online: 23 Jun 2009

    Ibu bapa usah panik wabak H1N1 di sekolah

    Oleh Amirullah Andi Nur, Tuan Nazuri Tuan Ismail, Sazarina Shahrim, Siti Haliza Yusop, S Anand Kumar, Johari Ibrahim dan Nurulfatiha Muah
    bhnews@bharian.com.my

    Kementerian Pelajaran, Kesihatan laksana langkah proaktif tangani penularan virus

    KUALA LUMPUR: Suasana kelam kabut jelas dilihat di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1, apabila sebahagian besar ibu bapa bertindak membawa pulang anak mereka yang sepatutnya memulakan pembelajaran sesi petang, berikutan timbul kebimbangan selepas kes pertama jangkitan Influenza A (H1N1) membabitkan pelajar SRK Assunta 2, dikesan, Ahad lalu.

    Kebanyakan ibu bapa pelajar SRK Assunta 1 yang ditemui Berita Harian semalam, turut meminta kerajaan menutup sekolah sesi petang itu selepas SRK Assunta 2, ditutup seminggu.

    Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SRK Assunta 1, C Mahavishnu, berkata Kementerian Pelajaran sepatutnya mengambil tindakan menutup sesi persekolahan SRK Assunta 1 selama seminggu, kerana pelajar sekolah itu turut berkongsi bangunan yang sama dengan pelajar SRK Assunta 2.

    “Memang bukan pelajar sesi petang yang dikesan menghidap wabak H1N1 tetapi jika kementerian membuat keputusan SRK Assunta 2 perlu ditutup selama seminggu, tindakan yang sama perlu dilakukan ke atas pelajar SRK Assunta 1, kerana kami berkongsi bangunan sama dan hanya berlainan pentadbiran sekolah.

    “Bukan itu saja, kedatangan pelajar sesi petang pada hari ini (semalam) juga kurang memberangsangkan kerana ibu bapa khuatir dengan kenyataan yang pelajar sekolah ini berkongsi bangunan yang sama dengan pelajar SRK Assunta 2.” katanya ketika ditemui di sekolah itu, semalam.

    Pendapat sama turut dinyatakan seorang bapa pelajar SRK Assunta 1, Zairi Lazli Zainal, yang ditemui ketika membawa pulang anaknya, iaitu seorang pelajar sesi petang Tahun Dua di sekolah itu.

    “Saya berasa khuatir mahu menghantar anak saya ke sekolah, dan disebabkan itu saya mengambil keputusan membawa anak saya pulang semula ke rumah. Jika keadaan semakin serius, baiklah sekiranya sesi persekolahan petang turut ditutup, kerana saya khuatir kehadiran pelajar ke sekolah akan memudahkan wabak penyakit itu merebak.” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom meminta ibu bapa supaya tidak panik berikutan penularan wabak itu di beberapa sekolah di sekitar Lembah Klang.

    Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil langkah proaktif dengan kerjasama Kementerian Kesihatan bagi menangani masalah itu.

    “Semua guru besar dan pengetua memantau setiap hari keadaan pelajar masing-masing dan segera merujuk kes yang ada tanda-tanda jangkitan. Semua sekolah juga diarahkan memastikan persekitaran sekolah sentiasa bersih, terutama tandas, bilik darjah, kantin dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

    Di SHAH ALAM, Pengarah Pelajaran Selangor, Dr Zahri Aziz, berkata seramai 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, di sini, semalam diarah pulang sehari untuk pemeriksaan selepas mereka didapati baru kembali dari luar negara, sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang wabak H1N1.

    Katanya, mereka tidak termasuk 43 pelajar sebuah kelas dan 12 guru sekolah sama yang diarah tidak datang ke sekolah selama seminggu mulai semalam, untuk tujuan kuarantin berikutan penularan kes H1N1.

    “Lebih 90 peratus pelajar datang ke sekolah hari ini (semalam). Pihak sekolah sudah diminta lebih peka terhadap wabak ini dan segera menghantar guru atau pelajar yang mengalami simpton H1N1 ke hospital untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah itu.

    Tinjauan di SMK Seksyen 9, mendapati pihak sekolah mengaturkan program penyampaian taklimat oleh Jabatan Kesihatan Selangor (JKS) kepada sekumpulan ibu bapa pelajar terbabit mengenai garis panduan langkah pencegahan H1N1 dan dinasihatkan segera mendapatkan rawatan jika terdapat simpton penyakit itu.

    Bapa pelajar yang diarahkan pulang semalam, Zawawi Shamroz, 55, berkata beliau dan anaknya baru pulang dari mengerjakan umrah di Makkah, dua hari lalu dan tiada masalah ketika melalui pemeriksaan ketat di lapangan terbang.

    “Menurut anak saya, dia adalah antara 15 pelajar sekolah itu yang diarahkan pulang kerana baru balik dari luar negara," katanya.

    Sementara bapa pelajar yang diarahkan tidak hadir, Bakri Mad Salleh, 53, berkata beliau akur dengan arahan supaya anaknya dikuarantin di rumah.

    Berita Harian Online: 23 Jun 2009

    Wajib lulus BI sekat potensi pelajar

    CADANGAN Kementerian Pelajaran untuk menjadikan syarat lulus Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sewajarnya difikirkan dengan mendalam. Perkara ini penting kerana kesan daripada pelaksanaan itu akan menyebabkan kesulitan yang teramat sangat kepada anak-anak bagi menyambung pelajaran pada peringkat lebih tinggi.

    Penulis berpendapat proses memperoleh ilmu dan menguasai ilmu tidak perlu terlalu rigid, disukarkan atau disusahkan. Walaupun polisi kementerian atau kerajaan bertujuan untuk memastikan warga Malaysia menjadi insan yang boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan serba boleh, ia perlu dibuat dengan penuh berhemah dan bijak sana.

    Dalam dunia pendidikan moden, cara manusia membina maklumat adalah pelbagai. Apabila syarat lulus Bahasa Inggeris ditetapkan, akan menyebabkan peluang lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat sijil lanjutan, diploma dan ijazah akan terhalang.

    Saya berpendapat bahasa Inggeris tidak wajar dijadikan 'autoriti' yang boleh menyekat potensi individu dalam menuntut ilmu. Sepatutnya, mekanisme menguasai bahasa Inggeris dipermudahkan seperti penguasaan bahasa Inggeris boleh dilanjutkan kepada institusi tempat pelajar melanjutkan pelajaran.

    Sebagai contoh pelajar yang melanjutkan pelajaran pada peringkat diploma dan ijazah perlu menghadiri kuliah bahasa inggeris dan menguasai tahap tertentu dalam tempoh pengajian. Tahap penguasaan itu dire-kodkan.

    Dengan cara itu, proses pengajaran Bahasa Inggeris akan menjadi lebih bermakna dan menyeronokkan. Menjadikan syarat lulus Bahasa Inggeris pada peringkat SPM sebenarnya tidak relevan.

    Sepatutnya majikan termasuk JPA perlu menetapkan tahap penguasaan bahasa Inggeris tertinggi yang dipelajari, sama ada pada peringkat universiti, kolej dan sebagainya.

    GURU TUA AMPANG,
    Ampang,
    Selangor.

    Berita Harian Online: 23 Jun 2009

    Bicara Canseleri: Penghasilan guru





    KERJASAMA erat antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi khususnya institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjadi jambatan penting dalam menentukan hala tuju pembangunan dan latihan guru. Malah, ramai yang melihat pemuafakatan itu pendekatan terbaik menangani pelbagai isu termasuk masalah lebihan guru yang suatu ketika dulu pernah dipolemikkan. Ikuti pandangan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Zakaria Kasa mengenai kepentingan kerjasama kedua-dua kementerian dalam memperkasakan latihan perguruan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Khairina Yasin.

    DENGAN kapasiti 13 institusi pengajian tinggi awam yang menawarkan 43 program pengajian pendidikan, IPTA jelas berperanan besar dalam menyumbang kepada penghasilan guru berijazah bagi memenuhi keperluan bidang berkenaan setiap tahun.

    Dengan matlamat melahirkan guru siswazah sekolah menengah seluruh negara, tanggungjawab IPTA juga tidak lari daripada memastikan pengisian kurikulum dan latihan perguruan yang ditawarkan mampu memastikan kecemerlangan pendidikan, sekali gus menyokong Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran.

    Guru sememangnya tidak lari sebagai tunjang memastikan kesinambungan proses pembelajaran pelajar berlaku bermula di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti.

    Sebelum ini wujud perselisihan pendapat apabila universiti menyalahkan sekolah yang dikatakan ‘gagal’ melaksanakan tanggungjawab mendidik pelajar apabila ‘output’ diterima universiti tidak mencapai tahap dikehendaki.

    Masing-masing menuding jari sehingga mengundang pelbagai kemelut yang akhirnya membawa kepada usul perlunya kerjasama antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan IPTA.

    Kini, jawatankuasa bersama kedua-dua kementerian diwujudkan dengan matlamat memupuk kerjasama dan penyelarasan dalam merancang serta melaksanakan program pembangunan pendidikan khususnya berkaitan pengisian kurikulum dan latihan yang dibangunkan IPTA.

    Penubuhan jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kedua-dua kementerian penting bagi membangun dan memajukan sistem pendidikan negara ke arah melahirkan modal insan terbaik.

    Pertemuan dan interaksi berkala diadakan dengan pihak berkepentingan bagi membincang serta memperhalusi semua perkara berkaitan guru.

    Pemuafakatan itu penting bagi memastikan matlamat melahirkan guru berpengetahuan, terlatih dan berkelayakan, sekali gus mampu menyumbang tenaga ke arah melahirkan generasi masa depan berketerampilan dan jati diri unggul.

    Malah, jawatankuasa itu turut berperanan menangani beberapa kemelut berkaitan guru yang pernah dipolemikkan sebelum ini termasuk isu lebihan guru serta latihan dan kurikulum yang kurang berkesan akibat wujudnya ‘salah padan’ kedua-dua kementerian.

    Situasi menang-menang dalam menyelesaikan masalah perlu diamalkan bagi memastikan pengambilan bakal guru bukan dilakukan sewenang-wenang atau hanya mengisi kekosongan tempat ditawarkan.

    Di peringkat IPTA pula, Majlis Jemaah Dekan Fakulti Pendidikan diwujudkan dengan peranan memantapkan pengisian kurikulum program perguruan di universiti masing-masing, selain memastikan unjuran keperluan guru yang tepat.

    Perbincangan mengenainya seperti digariskan Kementerian Pelajaran diberi keutamaan bagi memastikan jumlah kemasukan pelajar baru selari dengan keperluan.

    Bagi membantu menangani masalah kekurangan guru subjek tertentu pula, pengambilan pelajar terbabit dipertingkatkan tetapi perlu diselaraskan dengan bilangan pensyarah dalam bidang berkenaan.

    Dalam konteks ini, perancangan mengenal pasti unjuran dan keperluan guru mengikut bidang secara teliti amat penting supaya tidak berlaku lambakan ataupun kekurangan guru sesuatu bidang itu.

    Malah, penyelarasan dan keseragaman dalam syarat asas kemasukan program pendidikan di IPTA juga diberi penekanan bagi memastikan siswazah dihasilkan menepati kriteria ditetapkan.

    Menyedari keperluan dan kehendak pihak berkepentingan, Fakulti Pendidikan, UPSI sebagai penyumbang terbesar penghasilan guru sentiasa peka terhadap perkembangan pendidikan semasa.

    Antara transformasi dilaksanakan adalah menambak baik kurikulum sedia ada supaya sentiasa relevan dengan mengambil kira maklum balas pelbagai pihak termasuk Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Bahagian Pendidikan Guru.

    Pengenalan kurikulum baru dilaksanakan dengan memfokuskan keperluan penguasaan subjek dan atribut seorang guru termasuk memastikan tahap keupayaan mengajar pelajar UPSI bukan hanya terhad di peringkat sekolah menengah semata-mata, malah mampu mencecah peringkat pengajian tahun pertama di universiti.

    Selain penawaran program pendidikan dalam pengkhususan bidang tertentu, pelajar UPSI turut digalakkan mengambil lebih daripada satu bidang menerusi pengenalan pakej minor bagi membina pengetahuan, sekali gus membolehkan mereka mengajar subjek kedua, selain major.

    Pelajar UPSI juga dilatih lebih kreatif dan kritis ketika mengajar, selain berketerampilan serta sanggup berkhidmat di mana saja.

    Berita Harian Online: 23 Jun 2009