Sabtu, 17 Mei 2014

26,200 guru naik pangkat

MUHYIDDIN Yassin merasmikan sambutan Hari Guru ke-43 yang bertemakan Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi, di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/NASIRRUDDIN YAZID
KUALA LUMPUR 16 Mei - Seramai 26,200 guru lepasan diploma dan siswazah di seluruh negara menerima kenaikan pangkat sejak 1 Januari lalu selepas kerajaan memperkenalkan skim perkhidmatan bersepadu dengan menjadikan aspek kecemerlangan sebagai garis panduan utama penilaian.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah tersebut, pa­ling ramai yang menikmati kenaikan pangkat hasil skim ber­kenaan ialah kumpulan guru bukan siswazah iaitu 354 dinaikkan gred DGA38, 11,314 dinaikkan gred DGA34 dan 4,091 dinaikkan gred DGA32.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan menambah, sehingga Jun 2014, bagi kumpulan pendidik lepasan siswazah pula dijangkakan seramai 195 guru dinaikkan gred DG54, 643 dinaikkan gred DG52, 803 dinaikkan gred DG48 dan 8,954 guru bakal menikmati tangga gaji baharu gred DG44.
"Bagi melaksanakan semua urusan kenaikan pangkat guru, kerajaan memperuntukkan sejumlah besar kewangan sekaligus membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memberi pengiktirafan kepada guru dalam usaha membentuk serta melahirkan modal insan yang berpersonaliti unggul.
"Saya berharap peluang ke­naikan pangkat ini akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan prestasi masing-masing," katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Guru ke-43 yang bertemakan Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan I dan II, Datuk Mary Yap Kain Ching serta P. Kamalanathan dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Selain itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad; Ketua Setia­usaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof juga turut hadir.
Sempena sambutan tersebut, Penasihat Kluster Johor, Tengku Azuan Tengku Mohamed dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2014 manakala bekas Ketua Pe­ngarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2014.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, menjelang tahun depan pula, seramai 27,105 guru bakal menikmati kenaikan pangkat hasil daripada skim sama kerana ketika ini mereka sedang mengikuti Program Pensiswazahan Guru (PPG) dan dijangka bakal menamatkan pengajian pada 2015.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin mahu nilai profesional guru ditingkatkan dengan kualiti menjadi keutamaan bagi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 mencapai objektif sebagaimana diharapkan pihak kerajaan.
Jelasnya, bagi tujuan itu, latihan guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) akan dimantapkan de­ngan penekanan diberikan kepada unsur-unsur kreativiti dan inovasi merangkumi program diploma perguruan serta sarjana muda perguruan.
Pada masa yang sama, beliau juga menuntut para guru agar sentiasa menambah nilai intelektual masing-masing kerana golongan pendidik merupakan ejen perubahan dalam usaha kerajaan melahirkan modal insan berkualiti yang sangat diperlukan negara.
"Guru biasa memberi petunjuk jalan yang betul, tetapi guru yang hebat memberi inspirasi kepada kita untuk mengenal diri. Mereka menggalakkan kita untuk menonjolkan bakat yang ada. Guru yang hebat mengasuh murid mereka untuk menjadi pemimpin.
"Jadi, guru perlu bersedia menerima perubahan dan memiliki ciri inovatif memandangkan tugas serta tanggungjawab mereka cukup besar khususnya dalam menghadapi persaingan global yang menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan," katanya.

Utusan Malaysia: 17 Mei 2014

Selasa, 18 Mac 2014

PT3 ganti PMR

KUALA LUMPUR 18 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mulai tahun ini.
Menerusi pelaksanaan penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada 1 April ini, tiada lagi peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah, katanya.
"Akan ada bentuk penilaian di peringkat sekolah. PT3 ini akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional.
"Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga akan menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka," jelas beliau.
Muhyidddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian dalam sidang media khas yang turut dihadiri penggiat utama sistem pendidikan negara seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di bangunan Parlimen di sini hari ini. -BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 18 Mac 2014

Selasa, 25 Februari 2014

PBS tidak dimansuhkan - Idris

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my

Idris Jusoh bertanyakan sesuatu kepada Nur Khairunnisahana Fazail (dua dari kanan) berkenaan sampel laut semasa melawat Pameran Kejayaan Penyelidikan di Universiti Malaya, Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) tidak akan dimansuhkan walaupun pelaksanaannya mendapat bantahan daripada guru.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh sebaliknya berkata, satu bentuk baharu pelaksanaan sistem itu akan diputuskan pada 1 April depan yang dijamin tidak akan membebankan lagi golongan pendidik.
Sehubungan itu, jelas beliau, dalam tempoh tersebut, guru diminta memberi fokus pengajaran kepada murid tanpa terlalu bimbang berhubung perkara tersebut.
"PBS merupakan sistem terbaik setelah kajian mengenainya dibuat selama dua tahun dan mendapat pelbagai input daripada 55,000 orang yang menyatakan tidak mahu lagi kepada sistem berorientasi peperiksaan.
"Kerajaan sudah buat keputusan untuk meneruskannya dan sistem ini tidak akan dimansuhkan, cuma baru-baru ini hanya timbul masalah implementasi yang akan diperkemaskan dan ditambah baik melalui kajian yang sedang dilaksanakan ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penerangan kejayaan hasil penyelidikan berasaskan penerbitan oleh lima Universiti Penyelidikan negara, di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin.
Kementerian Pendidikan semalam membuat keputusan menangguhkan pelaksanaan PBS bagi menjalankan kajian menyeluruh mengenainya agar dapat mengurangkan beban tugas guru.
Kajian itu membabitkan rombakan terhadap perkara yang melibatkan kekerapan guru memasukkan data berkaitan bukti dan pencapaian murid termasuk pengisian borang rekod prestasi murid.
Dalam pada itu Idris berkata, kementerian sentiasa terbuka dan telus terhadap rungutan, komen, pandangan, kritikan daripada guru dan masyarakat.
Oleh itu, kata beliau, isu bantahan berhubung perkara itu tidak perlu diperbesarkan kerana pasukan yang ditugaskan di pihak kementerian telah berjumpa dengan guru untuk mendapatkan maklum balas.
Sementara itu, mengulas mengenai kejayaan penyelidikan Universiti Penyelidikan negara iaitu UM; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau berkata, trend penyelidikan berasaskan penerbitan sudah menunjukkan peningkatan mendadak sejak 2007.
Katanya, demi mencapai kecemerlangan lebih baik, kerajaan akan memberikan dana bersesuaian agar universiti berkenaan dapat melakukan kerjasama penyelidikan dengan universiti ternama di luar negara.
"Pada 2008, universiti tempatan mengatasi Thailand dan pada 2010 berjaya mengatasi Singapura dalam bidang penerbitan penyelidikan.
"Sebab itu saya kesal apabila ada pihak yang menyatakan bahawa universiti kita banyak membelanjakan duit tetapi tidak ada hasil sekali gus memberi gambaran salah kepada negara luar," katanya.

Utusan Malaysia Online: 25 Februari 2014

TPM: Tiada arahan tukar guru tentang PBS

HULU LANGAT 24 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan arahan untuk mengambil tindakan atau menukar mana-mana guru yang menentang pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya dan Kementerian Pendidikan juga tidak pernah menganiaya mana-mana guru malah golongan itu bebas bersuara dalam menyatakan pendapat masing-masing.
"Saya tak keluarkan apa-apa arahan untuk mengambil tindakan (menukar) terhadap guru yang menentang PBS. Kalau ada (ditukar) mungkin berlaku melibatkan peringkat pentadbiran daerah, (tetapi tidak pasti) sama ada tindakan itu dibuat atas fakta lain atau hanya sebab guru berkenaan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap PBS.
"Saya sudah memperjelaskan pendirian saya dan kementerian. Kita tidak mahu menganiaya sesiapa, kita bersikap adil dan tidak mahu dilihat zalim," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Mesra Rakyat di Kampung Bukit Dukong, Kajang dekat sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika ditanya sama ada keputusan menukarkan seorang guru, Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari selaku Pengerusi Penaja Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) akan ditarik balik selepas kerajaan menangguhkan sementara pelaksanaan PBS.
Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof mengumumkan guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga perkara itu diputuskan oleh kementerian dalam masa terdekat.
Muhyiddin berkata, walaupun guru bebas bersuara, tetapi perkara itu perlu mengikut prosedur bersesuaian berdasarkan pekeliling tertentu.
"Bagi saya, yang penting ialah kita dalam peringkat untuk menemukan cara baharu yang mampu memberi keadaan lebih baik kepada semua pihak jika dilaksanakan kelak.
"Ini (pelaksanaan PBS) akan kita umumkan apabila kementerian meneliti semua aspek," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau ketika ditanya tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pencatuan air bagi kawasan yang terjejas di negeri itu berkata, perkara tersebut sepatutnya dirujuk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
"Ini (merujuk SPAN) tertakluk kepada undang-undang yang mana boleh diputuskan selepas SPAN berpuas hati jika situasi di peringkat kritikal. Ini mungkin dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet oleh menteri bertanggungjawab tetapi belum ada keputusan mencatu.
"Jadi, kalau dibentangkan nanti kata paras air menurun, ada cara-caranya. Kita tidak mahu menyusahkan rakyat kata esok kita nak catu, kerana ini mesti ada persiapan. Kalau nak catu, maknanya pengguna (orang ramai) perlu ada persiapan," katanya.
Beliau berkata, makluman mengenai pencatuan air juga perlu dinyatakan melalui notis awal.
"Tetapi saya tidak tahu jika Menteri Besar ada kuasa, tetapi setahu saya, itu diletakkan di bawah SPAN dan ini diputuskan dalam mesyuarat Kabinet," tambahnya.

Utusan Online: 25 Februari 2014

Ahad, 23 Februari 2014

Guru tidak perlu teruskan pelaksanaan PBS sehingga diberitahu

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan PBS setelah Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan.
Katanya, penambahbaikan itu mengambil kira dapatan kajian terbaharu KPM, rungutan guru dan mengambil kira pandangan masyarakat termasuk Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).
"KPM telah mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru, dengan memfokuskan kepada rombakan perkara yang melibatkan kekerapan guru memasukkan data termasuk pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru," katanya.
Selain itu, antara tindakan yang diambil KPM ialah menubuhkan Jawatankuasa Task force PBS di peringkat kementerian yang akan mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS.
"War Rooms PBS di peringkat KPM juga diwujudkan untuk menangani isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan PBS dengan segera dan berkesan termasuk membuat maklum balas segera mengenainya dari semasa ke semasa," katanya.
KPM juga sedang melaksanakan usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bagi memastikan guru boleh mengakses sistem itu dengan lebih mudah dan berkesan.
Beliau juga memaklumkan bahawa KPM turut menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula 17 Feb lalu untuk mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.
KPM juga, katanya, telah mengadakan perbengkelan melibatkan guru termasuk kesatuan-kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula pelaksanaan PBS pada Februari lalu dan hasilnya akan dibentangkan dalam tempoh terdekat.
"Kesemua tindakan itu diambil bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa sama mengurangkan beban guru yang melaksanakannya," katanya.
- BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 23 Februari 2014

Ada Guru Enggan Guna E-Book Di Terengganu

KEMAMAN, 22 Feb (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) kesal dengan segelintir guru di negeri ini yang enggan menggunakan e-Book setelah kerajaan negeri menyediakan kemudahan itu dengan peruntukan besar setiap tahun.

Pengarah jabatan itu Zakaria Husin berkata pihaknya masih menerima aduan ibu bapa mengenai guru yang tidak menggunakan kemudahan e-Book di sekolah.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana e-Book sudah mempunyai sukatan pembelajaran yang sama lengkap dengan buku teks. Jadi, ia lebih mudah dan tidak membosankan pelajar untuk sesi pembelajaran dalam kelas," katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan buku kepada lima sekolah terlibat banjir di Kemaman oleh sebuah syarikat penerbitan di sini, Sabtu.

Zakaria berkata golongan pendidik di negeri ini perlu kreatif dalam menggunakan alat bantuan mengajar itu bagi menjadikan suasana dalam kelas lebih menarik dan interaktif.

Beliau berkata e-Book didapati berkesan melonjakkan prestasi akademik pelajar di negeri itu, dan sehingga kini, tiga buah sekolah menggunakan kemudahan itu 100 peratus iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga dan SK Seberang Takir di Kuala Terengganu serta SK Telok Kalong di sini.

"SK Paya Bunga kini muncul lima sekolah terbaik di seluruh negara dari segi Gred Purata Sekolah (GPS) malah kehadiran pelajarnya juga 100 peratus," katanya.

Bagi merungkai permasalahan itu, Zakaria berkata JPNT akan menemui 351 Guru Besar di seluruh Terengganu.

Setiap tahun, kerajaan negeri Terengganu membelanjakan RM25 juta untuk membeli e-Book dan menyelenggaranya.

BERNAMA: 22 Februari 2014

Sabtu, 15 Februari 2014

Pendidik diingat usah sertai Himpunan mansuh PBS

KUALA TERENGGANU - Warga pendidik diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dan menyertai himpunan mansuh pelaksanaan sistem aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), pada 22 Februari depan di Putrajaya.

Yang Dipertua Majlis Pegawai Pendidikan Daerah Malaysia (MPPDM) Shafruddin Ali Hussin berkata himpunan berkenaan merupakan dakyah pihak tertentu yang mahu menjatuhkan kerajaan dan menggugat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semata-mata, demi kepentingan diri.

"Kita akan ingatkan setiap pengetua dan guru besar melalui infoblast, khidmat pesanan ringkas (SMS), Whatsapp, e-mel dan surat supaya memastikan guru-guru tidak terlibat dalam perarakan," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Bersama Guru-guru Besar Hulu Terengganu di sini hari ini.

Shafruddin yang juga Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Terengganu secara peribadi tidak bersetuju dengan himpunan berkenaan kerana ia bukanlah cara terbaik untuk meluahkan ketidakpuasan hati kerana KPM sentiasa memberi ruang bagi menyuarakan pendapat.

Selasa lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata KPM akan mengkaji semula dan menangguhkan sehingga April pelaksanaan sistem aplikasi PBS selepas pelbagai aduan diterima daripada golongan guru.

PBS merupakan transformasi daripada berfokuskan peperiksaan kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik.

Bagaimanapun, sejak tahun lepas, para guru mendakwa ia membebankan mereka berikutan sistem aplikasi pengkomputeran itu sering tergendala menyebabkan data pelajar terpaksa dimasukkan pada lewat malam. - Bernama

Sinar Harian: 15 Februari 2014

Isnin, 27 Januari 2014

Bekas guru besar dihukum kerana salah guna kuasa

ALOR SETAR 27 Jan - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM148,500 kepada seorang bekas penjawat awam setelah didapati bersalah atas lima tuduhan salah guna kuasa membabitkan bekalan pakaian seragam ko-kurikulum sekolah pada 2008 dan 2009 bernilai RM32,400.
Hakim Mohd Rosli Osman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Zakaria Md Lazim,56, yang merupakan guru besar Sekolah Kebangsaan Tandop Besar (SKTB), Kuala Nerang dekat sini ketika kesalahan dilakukan.
Hakim menetapkan hukuman penjara bermula dari hari ini, manakala tertuduh akan dipenjara 15 bulan lagi jika gagal membayar jumlah denda yang ditetapkan.
Dalam pertuduhan pertama, Zakaria didakwa menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR Kuala Nerang Enterprise (ZNR), sebagai pembekal set pakaian Puteri Islam bernilai RM3,300 dan dia didakwa mempunyai kepentingan kerana pemilik ZNR merupakan adiknya sendiri, Ros Adimas Md Lazim.
Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, Zakaria juga dituduh menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian PBSM bernilai RM6,300, set pakaian TKRS bernilai RM8,200 dan set pakaian Pengakap bernilai RM8,700.
Dalam pertuduhan kelima, Zakaria juga didakwa menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian seragam PBSM, Pengakap, Puteri Islam dan TKRS bernilai RM5,900 di SKTB pada September 2009.

Utusan Malaysia: 27 Januari 2014

Sabtu, 25 Januari 2014

Kecewa guru denda anak macam lembu

  • budak makan rumput Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Amin Osman (tengah, duduk) mahu tindakan tegas, ke atas guru SJKC yang menghukum dua murid seperti lembu. - Foto Sinar Harian oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
1 / 1
SUNGKAI - Dua ibu murid Tahun Empat di sebuah sekolah aliran Cina di sini kecewa dan sedih dengan cara seorang guru lelaki mendenda anak mereka kerana tidak membuat kerja sekolah pada Khamis lepas.
Mereka mendakwa guru berusia 26 tahun itu mengalungkan loceng di leher anak lelaki masing-masing dan diberi makan rumput serta dipanggil 'lembu'.
Yarnis Kasuma Dewi Zainal Aripin, 32, berkata beliau diberitahu oleh rakan anaknya bahawa guru itu turut merakam gambar anaknya dalam keadaan demikian  menggunakan telefon bimbit serta menunjukkan gambar itu kepada murid-murid di kelas lain sambil mengugut akan memuat naik gambar itu dalam laman sosial Facebook.
Katanya beliau amat sedih, kecewa dan sakit hati apabila mengetahui perkara itu dan akibat kejadian itu, anak lelakinya mengalami fobia dan takut untuk ke sekolah semalam, katanya kepada pemberita di kawasan Surau Awamiah, Taman Permai di sini, hari ini.
Siti Aisyah Hashim, 32, pula berkata mereka telah mengadakan pertemuan dengan guru itu dan guru besar sekolah berkenaan di Balai Polis Sungkai petang semalam bagi menyelesaikan perkara itu.
Dalam pertemuan itu, katanya guru berkenaan hanya memohon maaf dan terus beredar dari balai polis sebaik pertemuan itu selesai dan beliau menganggap permohonan maaf guru itu tidak ikhlas. 
Sementara itu, seorang daripada murid itu berkata mereka tidak disuruh memakan rumput yang diberikan dalam kejadian pada 9 pagi itu tetapi diberi amaran supaya tidak menanggalkan loceng itu sehingga 1.30 petang, jika tidak mahu dirotan sebanyak 10 kali.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw mengesahkan bahawa Yarni telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
"Siasatan polis dibuat dengan memanggil kedua-dua pihak dan murid terbabit.

Perjumpaan dihadiri Guru Besar sekolah berkenaan dan pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang.
"Hasil perbincangan mendapati guru itu mengaku melakukan perkara itu tetapi menafikan memberi mereka makan rumput," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Som Sak berkata guru itu mengambil tindakan demikian kerana  kedua-dua murid berkenaan tidak menyiapkan kerja rumah bahasa Inggeris sejak dua minggu lepas.
Dalam laporan polisnya di Balai Polis Sungkai pada 1.20 petang semalam, Yarni Kasuma mendakwa anaknya bersama-sama seorang lagi rakan kelas telah didenda memakai loceng di leher semasa murid lain menikmati waktu rehat.- Bernama

Sinar Harian: 25 Januari 2014

Isnin, 20 Januari 2014

Perlu pengalaman dan kaedah mantap

Oleh Ruhaiza Rusmin

Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai penawaran tangga gaji lebih tinggi kepada guru yang mempunyai ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) menunjukkan betapa komitednya kerajaan menaikkan martabat guru.
Biarpun mungkin segelintir pihak melihatnya tidak adil, secara positif ia bakal meningkat taraf profesion pendidik.
 Ia juga dianggap pencetus semangat kepada guru lain mengejar taraf pendidikan serupa bagi menikmati ganjaran ditawarkan.

Bagaimanapun, masih boleh dipersoalkan taraf dan kualiti guru itu sama ada mampu mempunyai kelebihan berbanding guru bertaraf ijazah sarjana muda, diploma atau sijil.

 Adakah mereka yang lebih tinggi kelayakan ini boleh memberi impak lebih besar kepada dunia pendidikan negara dengan sumbangan idea lebih jitu serta menggalas tanggungjawab lebih komited.

Atau hanya sekadar tinggi kelayakan, namun kredibiliti masih di takuk lama?

Dekan Pusat Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed berkata kelayakan dan ganjaran yang lebih tinggi perlu diiringi dengan pencapaian lebih hebat dan berkualiti.

Beliau berkata, biarpun ada segelintir menganggap kelulusan tidak dapat menggambarkan secara tepat kemampuan sebenar, secara logik mereka yang mempunyai ijazah sarjana atau Phd memiliki kelebihan ilmu.

“Justeru dengan kelebihan ini, pastinya tahap intelektual mereka lebih ke hadapan dengan idea atau cara pembelajaran lebih baik.

“Ini berpadanan dengan kelayakan disandang serta ganjaran diperoleh selain memanfaatkan demi kesejahteraan menyeluruh,” katanya.

Bagaimanapun, perkara itu adalah subjektif kerana terpulang kepada mereka untuk mentafsirkan kelebihan atau kebolehan masing-masing.

“Sebenarnya terpulang pada individu (guru) untuk menunjukkan kebolehan atau kelebihan semasa proses pembelajaran dan pengajaran.

“Namun, pastinya mereka yang mempunyai kelayakan lebih tinggi mempunyai lebih banyak keistimewaan.

“Dalam konteks ini, dua aspek perlu dilihat sama ada melalui kandungan atau pedagogi (kemahiran) guru sendiri ketika melaksanakan tugasan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Dekan Fakulti Pendidikan Institut Pengajian Tinggi Awam berkata kelayakan atas sekeping kertas bukan penentu kejayaan total kemampuan guru.

“Rasionalnya belajar untuk memperoleh sijil, diploma dan ijazah sarjana muda prosesnya tidak akan sama untuk memperoleh ijazah sarjana atau PhD.
“Di situ wujud kelebihan dan perbezaan.

“Bagaimanapun, untuk menjadi guru yang baik bukan saja memerlukan kelayakan, tapi elemen lain seperti pengalaman dan kaedah pembelajaran mantap,” katanya mengakui ganjaran diberikan itu sepatutnya menaikkan semangat guru untuk gigih berusaha.

“Guru adalah golongan istimewa yang jasanya sukar dibalas.

“Dan, kerana keistimewaan itu mereka perlu diletakkan pada satu tahap istimewa untuk lebih dihormati.

“Penghargaan penting bukan saja untuk menghargai jasa mereka, malah mengembalikan kegemilangan golongan itu yang semakin tercalar kebelakangan ini,” katanya.

Mengenai andaian kemungkinan wujud konflik perbezaan darjat antara kedua-dua pihak di sekolah, beliau berkata ia tidak mungkin berlaku.

“Sesiapa saja boleh belajar untuk memperoleh kelayakan dan ganjaran itu. Tiada halangan berbuat demikian.

“Jika rasa kelayakan sedia ada sudah memuaskan hati (tidak perlu menyambung pengajian). Begitu juga sebaliknya.

“Namun, sebagai guru mereka perlu profesional dan tahu meletakkan keperluan mana lebih penting,” katanya.

Guru masa kini juga katanya perlu sentiasa ada keinginan tinggi untuk meningkatkan pencapaian diri.

“Kita bukan semakin bergerak ke belakang tapi ke depan. Apa yang berlaku pada masa depan termasuk dalam sektor pendidikan tidak dapat dijangka.

“Guru sepatutnya tidak boleh selesa dengan keadaan diri. Peluang sudah ada kenapa tidak memanfaatkannya untuk mempertingkatkan taraf diri.

“Jika halangan masa atau kekangan tanggungjawab menjadi penyebab itu bukan alasan yang baik,” katanya.

Berkenaan pelbagai ganjaran diberikan kepada guru, beliau berkata ia perlu dilihat dalam pelbagai konteks berbeza.

“Ada yang melihatnya sebagai satu penghargaan, tapi ada juga sebaliknya.

“Pandangan peribadi saya, untuk menjadi guru perlu ada keinginan dan minat yang tinggi.

“Malangnya tidak semua sanggup menjadi guru, mungkin tiada pekerjaan lain atau sebab peribadi, mereka memilih guru,” katanya.

Malah, dengan nisbah 1:13 iaitu satu guru untuk 13 pelajar, katanya, negara memiliki antara teramai guru di dunia.

“Ini menunjukkan kita boleh melahirkan ramai guru berkualiti, berkelayakan serta mampu menjadi tenaga pengajar terbaik.

“Guru pula perlu melihat cabaran dunia perguruan dengan cara berilmu sebab itu anda dipanggil guru.

“Jangan lagi dibuai tanggapan kerjaya guru ini mudah sebab bergelar guru hari ini hanya untuk mereka yang berminat dan tabah berdepan sepak terajang dunia perguruan,” katanya.
 
 
myMetro: 20 Januari 2014

Jumaat, 17 Januari 2014

Mukadimah zina: Guru besar, guru diarah bela diri

  • Diarah bela diri atas tuduhan mukadimah zina  
  • Guru besar (kanan) dan tertuduh wanita tersebut turut keluar sambil menutup muka mengelak wajahnya dirakam media.
KOTA BHARU - Seorang guru besar dan guru sebuah sekolah rendah di Pasir Mas diarah Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam supaya membela diri atas tuduhan mukadimah zina, April lalu.

Perintah dibuat Hakim Syarie, Nik Najib Che Hassan terhadap guru besar berusia 54 tahun dari Kampung Perupok, Chetok, Pasir Mas, dan pasangan berusia 26 tahun dari Taman Lubok Jong, daerah sama.

Lelaki tersebut didakwa melakukan perbuatan mukadimah zina iaitu berada di atas tubuh seorang perempuan yang bukan isteri atau muhramnya dalam keadaan separuh bogel dalam sebuah kereta Perodua Kancil pada jam 8.30 malam, 28 April lalu.

Wanita tersebut pula didakwa atas tuduhan sama dalam keadaan separuh bogel dengan memakai t-shirt tetapi seluar ditanggalkan serta berada di bawah badan lelaki tersebut masa dan tarikh yang sama.

Perbuatan dilakukan dengan di tempat duduk hadapan dalam sebuah kereta yang dipakir di bahu Lebuh raya Pasir Mas-Rantau Panjang, Kampung Gaung, Pasir Mas.

Pada prosiding semalam, pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie kes pada keputusan pada akhir kes pendakwaan.

Peguam mereka, Yuslan Yusof bagaimanapun memohon tarikh lain berikutan kedua-dua anak guamnya belum bersedia untuk perintah itu. Nik Najib kemudian bersetuju dan menetapkan sebutan semula pada 27 Mac depan.

Kedua-dua ditahan dalam serbuan kakitangan Pejabat Agama daerah itu. Kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Syarie (Kanan), Norhasney Ridhwan Hassan.

Sinar Harian: 17 Januari 2014

Rabu, 15 Januari 2014

Pengetua, guru pantau harga makanan kantin sekolah

KUALA SELANGOR 13 Jan. - Semua pengetua dan guru diarah memantau harga makanan di kantin sekolah masing-masing bagi memastikan pelajar tidak terbeban dengan harga makanan serta minuman yang tidak berpatutan.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pengusaha kantin tidak boleh mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati dan sebarang perubahan mengenainya perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah terlebih dahulu.
"Setakat ini hanya beberapa aduan diterima namun setelah pihak sekolah menegur, mereka telah menurunkan harga barangan.
"Oleh itu, pihak sekolah perlu memainkan peranan mengawal kenaikan harga makanan di kantin masing-masing," katanya.
Beliau berucap dalam majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Peperiksaan, Dr. Na'imah Ishak; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad.
Sebanyak 46 buah sekolah cemerlang di seluruh negara menerima anugerah dalam majlis itu yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Ijok, Bestari Jaya.
Sementara itu, gred purata nasional (GPN) bagi UPSR tahun lepas adalah 2.27 peratus dan peratusan calon yang mendapat semua gred A bagi semua matapelajaran yang diduduki meningkat sebanyak 0.21 peratus iaitu daripada 8.94 peratus pada 2012 kepada 9.15 peratus.
Sementara itu, Idris memberitahu, setakat ini tiada sekolah dijadikan pusat pemindahan banjir berikutan banjir gelombang kedua yang berlaku ketika ini.
"Keadaan banjir masih lagi terkawal termasuk di beberapa buah negeri yang terlibat seperti Sabah dan Kelantan, justeru tiada sekolah menjadi pusat pemindahan.
"Kita juga meminta pihak sekolah supaya bersedia dengan banjir gelombang kedua," katanya.

Utusan Malaysia: 14 Januari 2014

Isnin, 13 Januari 2014

P. Kamalanathan ditumbuk bapa mertua guru minta pindah sekolah

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan membuat laporan polis setelah didakwa ditumbuk oleh seseorang lelaki di pejabat beliau pada Ahad.

Menurut laporan laman web Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional, insiden diberlaku pada jam 2.30 petang ketika ayah pemuda berkenaan berjumpa dengan Kamalanathan untuk memohon supaya menantu beliau yang mengajar di Johor ditukarkan ke Hulu Selangor.

Namun, ahli Parlimen itu  memberitahu hanya boleh memberi sokongan sahaja kerana menantu beliau mengajar Bahasa Inggeris dan sukar mendapat kelulusan bertukar.

Dalam laporan polis beliau di balai Bukit Sentosa, Kamalanathan mendakwa pemuda itu kemudian berjumpanya dengan sekumpulan pemuda lain di pejabat beliau melepaskan satu tumbukan ke bahagian lehernya.

Polis Kuala Kubu Bahru juga mengesahkan menerima laporan timbalan menteri itu.

Astro Awani: 13 Januari 2014

Sabtu, 11 Januari 2014

Guru sarjana, Ph.D gaji lebih tinggi

PUTRAJAYA 9 Jan. - Guru-guru baharu yang mempunyai kelulusan sarjana dan doktor falsafah (Ph.D) akan menikmati gaji permulaan lebih tinggi bagi gred DG41 iaitu tambahan RM715 dan RM1,022 berbanding guru berkelulusan ijazah sarjana muda.
Sistem gaji baharu itu berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu dan telah dimaklumkan menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 40/2013 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (gambar) bertarikh 16 Disember lalu.
Menurut pekeliling tersebut, guru-guru berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan serta Diploma Pendidikan menerima gaji permulaan mereka pada gred DG41 iaitu RM2,018.52.
Namun, guru yang berkelulusan sarjana serta Diploma Pendidikan, gaji permulaan pada gred DG41 adalah RM2,733.98 iaitu pertambahan sebanyak RM715.
Bagi guru yang mempunyai kelulusan Ph.D serta Diploma Pendidikan pula gaji permulaannya pada gred DG 41 pula sebanyak RM3,040.60.
Bagaimanapun, menurut pekeliling itu, bagi guru-guru berkelulusan ijazah sarjana muda (kepujian) dalam bidang pendidikan atau ijazah sarjana muda (kepujian) dalam bidang berkaitan serta Diploma Pendidikan, gaji permulaan pada gred DG41 yang ditawarkan ialah RM2,222.94.

Utusan Malaysia: 10 Januari 2014

Khamis, 9 Januari 2014

Bantai pegawai pantau kelas

Oleh Shamsul Munir Safini

Padang Besar: “Saya tergamam melihat seorang rakan ditumbuk di bahu, belakang kepala dan badannya oleh dua guru lelaki di kaki lima kelas sebelum kejadian itu dileraikan.”
Begitu kata seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Hisham, 30-an, apabila melihat rakannya yang juga pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dikepung dan ditumbuk dua guru berusia 40-an yang berlagak ala samseng dalam kejadian di sebuah sekolah rendah, di sini.


Dalam kejadian jam 8.50 pagi kelmarin, mangsa berusia 39 tahun dibelasah dua guru lelaki terbabit yang dipercayai akibat berang dengan tindakannya memantau sesi mengajar di dalam kelas yang dikendalikan seorang daripada mereka.

Sebelum itu, Hisham berkata, pada kira-kira jam 7.30 pagi, dia bersama 30 pegawai Jabatan Pendidikan negeri daripada Bahagian Sektor Penilaian sekolah hadir ke sekolah berkenaan.
FotoWARTAWAN Harian Metro menemu bual saksi kejadian pergaduhan antara guru dan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri.

Kehadiran mereka termasuk mangsa bertujuan memantau sesi pembelajaran berikutan prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah itu kurang memuaskan.

myMetro: 9 Januari 2014

Isnin, 6 Januari 2014

Nasional Lebihan guru punca pertukaran dibeku

Jertih: Tiga negeri di Semenanjung dikenal pasti mempunyai lebih guru yang menyebabkan permohonan pertukaran ramai pendidik dari luar ke negeri terbabit terpaksa dibekukan.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata Kelantan mencatat jumlah lebihan guru paling ramai, iaitu 30,000, diikuti Terengganu dan Kedah, masing-masing mempunyai lebihan 10,000 guru.

 Katanya, ramai guru berasal dari tiga negeri terbabit bertugas di luar terutama di Sabah dan Sarawak, memohon bertukar ke negeri kelahiran mereka, tetapi terpaksa ditangguhkan atas alasan itu.


“Antara masalah lain ialah mereka yang memohon tidak memenuhi kekosongan opsyen (aliran) yang diperlukan.

Ramai pemohon daripada aliran Bahasa Melayu, sedangkan keperluan ialah guru Bahasa Inggeris atau pemohonnya guru Sejarah tetapi keperluan adalah untuk mengajar Sains,” katanya.

Masyuarat khas

Sehubungan itu, Idris berkata, mesyuarat peringkat kementerian akan diadakan pertengahan bulan ini bagi membantu guru yang mempunyai alasan kukuh untuk bertukar seperti ibu atau ayah sakit, hendak bersama isteri atau suami yang sudah lama tinggal berjauhan selain masalah keselamatan atau sakit.

“Kementerian bersimpati dengan masalah yang disuarakan guru terbabit, terutama masalah keluarga seperti suami isteri yang berjauhan dan kesihatan ibu bapa,” katanya selepas menyampaikan bantuan pendidikan antara RM500 hingga RM1,000 kepada pelajar miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di sini, semalam.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, Kementerian Pendidikan akan menyiasat dan menyemak harga makanan dan minuman di kantin sekolah seluruh negara bagi memastikan tiada kenaikan melampau yang boleh membebankan ibu bapa serta pelajar.

“Setakat ini, kementerian tidak menerima sebarang aduan daripada pentadbir sekolah atau ibu bapa mengenainya.

Pengusaha kantin sekolah tidak sepatutnya menaikkan harga makanan dan minuman atas alasan kenaikan harga barangan seperti gula sehingga membebankan pelajar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta semua ADUN dan Ahli Parlimen melaporkan kepada kementerian jika ada pelajar yang bermasalah dan tidak dapat bersekolah kerana dibelenggu kemiskinan.

Berita Harian: 6 Januari 2014

Ahad, 5 Januari 2014

Pelajar serang guru ditahan

Suspek berumur 17 tahun dibawa ke mahkamah untuk direman kerana menyerang seorang guru di Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, semalam

KANGAR 3 Jan. - Polis menahan seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis dekat sini kerana didakwa mencederakan seorang guru lelaki dengan kerambit pada hari pertama persekolahan semalam.
Kejadian dipercayai berlaku selepas pelajar lelaki itu ditegur oleh guru berkenaan kerana menggayakan rambut ala 'punk'.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Supritendan Ismail Che Isa berkata, suspek lelaki berusia 17 tahun itu ditahan pada pukul 1 pagi ini di rumahnya di Kuala Perlis dekat sini.
"Turut dirampas ialah senjata yang digunakan untuk mencederakan guru lelaki tersebut iaitu gunting kecil yang telah diubah suai menjadi kerambit," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut Ismail, pihaknya telah mendapatkan perintah tahanan reman selama seminggu terhadap pelajar berkenaan bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
"Kita akan berbincang dengan pihak Jabatan Pendidikan negeri dan juga sekolah terbabit supaya dapat melakukan pemeriksaan mengejut bagi memastikan insiden pelajar membawa senjata ke sekolah tidak berulang.
"Kita juga mahu memastikan persekitaran sekolah bebas daripada sebarang kejadian jenayah," ujarnya.
Dalam kejadian pukul 7 pagi semalam, pelajar terbabit dikatakan marah selepas guru berkenaan yang memeriksa pintu masuk sekolah menegurnya kerana menggayakan rambut ala 'punk' dan mewarnakan rambut.
Selepas ditegur, pelajar itu pulang ke rumah dan datang semula ke sekolah dengan ibunya untuk bertemu dengan guru tersebut sehingga berlaku satu pertengkaran.
Pelajar itu dikatakan bertindak menyerang guru berkenaan menggunakan kerambit sehingga mengakibatkan kecederaan di bawah mata kanannya dan terpaksa diberikan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Perlis.

Utusan Malaysia: 4 Januari 2014

Khamis, 2 Januari 2014

Pengarah JPN diberi kuasa lulus projek RM5 juta

KUALA LUMPUR - Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kini boleh meluluskan projek pembangunan pendidikan sehingga RM5 juta setahun untuk negeri masing-masing, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini adalah satu daripada langkah transformasi pendidikan yang bertujuan memperkasakan jabatan pendidikan di peringkat negeri dan daerah di bawah fasa pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.  
  
"Ketua Setiausaha kementerian telah meluluskan penurunan kuasa kepada pejabat peringkat negeri, yang dahulu mereka hanya boleh belanja sekadar RM500,000 setahun," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan hari pertama persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, di sini, hari ini.
  
Terdahulu beliau turut melakukan tinjauan ke SK Presint 14(1) Putrajaya, Sekolah Menengah Kebangsaan St. Gabriel di Kampung Pandan dan Sekolah Jenis Kebangsaan(SJK) Tamil Kampung Pandan, Jalan Thaver.

Muhyiddin berkata, dengan kelulusan itu, "kalau ada perkara-perkara yang perlu dilaksanakan maka pihak pengarah peringkat negeri boleh laksanakan.
  
"Dia boleh panggil sebut harga ataupun tawaran untuk selesaikan hal-hal berkaitan pelaksanan infrastruktur fizikal, dan juga perolehan yang perlu dibuat di peringkat negeri masing-masing," tambahnya.
  
Muhyiddin berkata, ia bertujuan untuk pengagihan keputusan-keputusan pelaksanaan dan mempercepatkan proses kelulusan tanpa perlu melalui peringkat kementerian, dan dengan cara itu, perjalanan pembelajaran di sekolah boleh berjalan lebih lancar.
  
Kerajaan sedar banyak pihak yang kritikal mengenai pencapaian pendidikan negara, justeru pelbagai inisiatif lain yang telah dirangka di dalam PPPM akan diterjemahkan secara berperingkat dengan secepat mungkin, katanya.
  
"Nak terjemahkan semua dalam tempoh singkat tidak mungkin dapat dilakukan. Ia kena berperingkat, sebab itu 13 tahun.
  
"Proses ini akan berlaku sepanjang masa, dengan cara itu kita boleh perbaiki kelemahan ataupun tingkatkan kualiti pembelajaran," katanya.
Menyentuh mengenai guru, Muhyiddin berkata, tahun ini, kira-kira 9,000 guru lagi akan menjalani latihan tingkat kemahiran dan kecekapan (Upskill) dalam persediaan mencapai objektif pelajar wajib lulus Bahasa Inggeris menjelang 2016.
Sementara itu, mengulas tinjauannya ke empat buah sekolah hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau amat puas hati dengan perjalanan awal persekolahan tahun ini bermula dengan lancar di kesemua sekolah.
Malah pihaknya juga berpuas hati dengan kemampuan sekolah-sekolah memenuhi Penunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian iaitu satu pelajar, satu meja, satu kerusi dan satu set buku teks, katanya.
"Kesemua tidak hadapi masalah dan semua berjalan baik," katanya dan menambah, peranan komuniti dan ibu bapa  amat penting dalam memastikan sistem pendidikan sekolah terus mencapai matlamat.
Bagaimanapun daripada tinjauannya hari ini, beliau mendapati wujud beberapa keperluan yang dikemukakan oleh empat sekolah yang dilawatinya, termasuk penambahbaikan dan menurutnya ini akan laksanakan dalam Bajet 2014. - Bernama

Sinar Harian: 2 Januari 2014